Pages

Friday, September 10, 2010

Netanyahu sedar peluang tipis untuk capai perjanjian damai



BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu rakyatnya tiada jaminan bahawa rundingan damai antara Israel dan Palestin akan berjaya. 

Beliau bagaimanapun 'berjanji' akan meneruskan usaha untuk mencapai perjanjian damai pada hujung tahun ini. 

"Tahun ini, selepas banyak usaha dijalankan, akhirnya rundingan secara langsung dengan Palestin sudah bermula dan inilah langkah paling penting dalam percubaan kita untuk mencapai persetujuan bersama," katanya dalam rakaman televisyen. 

Netanyahu juga menegaskan Israel kononnya akan berunding secara 'ikhlas tetapi tidak secara naif' untuk mencapai persetujuan dengan Palestin. 

Kenyataan Netanyahu itu dikeluarkan sehari selepas beliau menyuarakan kebimbangan bahawa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan menarik diri daripada rundingan damai kerana enggan memenuhi permintaan Israel. 

Tel Aviv dilihat cuba mengalihkan perhatian dunia daripada isu keganasan rejim itu ke atas konvoi kemanusiaan ke Gaza yang membunuh sembilan aktivis, 31 Mei lalu, dengan bersetuju untuk menyambung semula proses damai dengan Palestin. 

Rundingan damai itu juga dilihat beberapa pemerhati politik sebagai salah satu 'pertunjukan semata-mata' untuk menyelamatkan imej Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sempena pilihan raya Kongres AS tidak lama lagi.

No comments: