Pages

Saturday, August 21, 2010

Pakistan perlu lebih banyak bantuan




ISLAMABAD 20 Ogos - Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berkata, Pakistan berhadapan 'tsunami perlahan-lahan' ketika negara yang musnah akibat banjir ini merayu masyarakat dunia menyuntik lebih banyak bantuan, dan memberi amaran pelampau boleh mengeksploitasi krisis tersebut.
Pada satu sesi penubuhan tabung kecemasan PBB di New York semalam, beliau berkata, dunia mempunyai tanggungjawab untuk membantu berjuta-juta penduduk negara ini yang hilang tempat perlindungan selepas satu perlima wilayah Pakistan ditenggelami air.
"Ia merupakan satu ujian terbesar perpaduan global," katanya kepada mesyuarat Perhimpunan Agung PBB, semalam.
Dalam perkembangan sama, terdapat kebimbangan pelampau mungkin memanfaatkan rasa tidak puas hati mangsa untuk menambah keadaan ketidakstabilan kerajaan Pakistan yang kini berhadapan dengan pergolakan.
"Saya berdiri mewakili suara 20 juta penduduk Pakistan yang terjejas akibat banjir. Penderitaan akibat bencana ini dan kerugian ekonomi yang ditanggung berjuta-juta penduduk Pakistan perlu ditangani segera.
"Kita tidak boleh biarkan bencana ini menjadi satu peluang kepada pengganas," kata Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi semasa mesyuarat tersebut.
Sementara itu Pakistan berkata, pihaknya akan mengawal ketat pertubuhan amal yang dikaitkan dengan militan yang cuba mengeksploitasi kemarahan mangsa banjir, di tengah-tengah kebimbangan penglibatan mereka dalam operasi bantuan boleh menjejaskan usaha kerajaan memerangi militan seperti Taliban.
Ketika kerajaan Pakistan terkejut dengan skala bencana yang menyukarkan penghantaran bantuan kepada berjuta-juta mangsa banjir, pertubuhan amal dengan sumber yang lebih kecil, telah bergerak pantas untuk mengisi kekosongan itu.
Ini bukanlah kali pertama kerajaan mengumumkan sekatan terhadap pertubuhan-pertubuhan amal yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.
"Pertubuhan yang diharamkan, tidak boleh melawat kawasan dilanda banjir. Kami akan menahan ahli pertubuhan diharamkan yang mengutip derma dan akan membicarakan mereka di bawah Akta Anti-Keganasan," kata Menteri Dalam Negeri, Rehman Malik kepada Reuters.
Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan seorang Senator kanan Amerika Syarikat (AS) semalam memberi amaran, militan cuba mempromosi perjuangan mereka semasa banjir, seperti yang dilakukan selepas gempa bumi di wilayah Kashmir Pakistan pada 2005. - AFP/REUTERS

No comments: