Pages

Saturday, August 21, 2010

Ramai pelajar cemerlang di Britain panik



DUA pelajar Daphne Walet (kiri) dan Saba Mahdi memberikan reaksi gembira kerana mendapat keputusan cemerlang peperiksaan A-Level di sebuah sekolah di Manchester, utara England kelmarin.


LONDON - Pelajar lepasan sekolah di Britain digesa supaya tidak panik selepas ramai daripada mereka mungkin tidak dapat memasuki universiti awam di negara itu walaupun mendapat keputusan peperiksaan A-Level yang amat baik, lapor sebuah akhbar semalam.
Perasaan panik itu menyebabkan pihak pengurusan Universiti Nottingham memberitahu, masih terdapat 40 tempat untuk pelajar Britain yang mahu melanjutkan pengajian di beberapa kampus cawangannya di Malaysia dan China.
Pihak pengurusan Universiti Bolton pula menyatakan, ia mempunyai tempat yang tidak terhad di kampusnya yang terletak di Emiryah Arab Bersatu (UAE).
Terlalu ramai yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan itu semasa kedudukan ekonomi Britain yang lembap.
Menurut sebuah agensi perkhidmatan penempatan universiti Britain, sehingga tengah hari kelmarin, kira-kira 180,000 pelajar masih tidak mendapat tempat.
"Tidak ada tempat (di universiti) yang mencukupi," kata seorang remaja dari Munster di Jerman yang belajar di sebuah sekolah di Brighton selatan England.
Remaja itu mendapat keputusan yang amat baik tetapi gagal untuk mendapat tempat untuk belajar di Universiti Oxford, Sekolah Ekonomi London dan Kolej Universiti London.
Pelajar itu yang berusia 18 tahun mendapat tiga gred A* dan tiga A.
Ekoran terlalu ramai pelajar yang cemerlang, gred baru A* diwujudkan untuk pelajar paling cemerlang.
Susulan perkembangan yang luar biasa itu, Menteri Universiti Britain, David Willetts menyarankan calon yang gagal supaya mencari pekerjaan selain cuba mengambil peperiksaan pada tahun depan atau memasuki institut pengajian tinggi swasta.
Antara pelajar yang mencatatkan kejayaan dalam peperiksaan itu ialah dua beradik, Wajih Ahmed berumur 12 tahun dan Zohaib berusia sepuluh tahun yang mendapat empat gred A*. - Agensi

No comments: