Pages

Tuesday, August 24, 2010

Masjid WTC: Suasana makin tegang


KUMPULAN penyokong pembinaan masjid berdekatan tapak bangunan World Trade Center di Manhattan, New York berdepan dengan penentang berhampiran lokasi bangunan yang dicadang untuk dibina Pusat Islam di New York, kelmarin. - AFP/ AP


NEW YORK 23 Ogos - Rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero menarik beratus-ratus penunjuk perasaan yang menyokong dan membantah projek tersebut semalam, di sekitar lokasi pembinaan di Manhattan.
Kumpulan yang membantah dilihat membawa sepanduk-sepanduk mengaitkan Islam dengan darah, manakala kumpulan penyokong melaungkan 'Katakan tidak kepada kebimbangan perkauman!' di samping bendera Amerika Syarikat (AS) yang dikibarkan kedua-dua kumpulan.
Pada masa sama, dua individu bertanggungjawab membina projek tersebut mempertahankan rancangan mereka tetapi seorang daripadanya berkata, pihak penganjur mungkin sedia berbincang tentang lokasi pembinaan alternatif.
Seorang lagi, Imam Feisal Abdul Rauf semasa satu kunjungan ke Asia Barat berkata, objektif yang dibawa projek tersebut bersifat positif dan beliau berharap ia boleh mendatangkan pemahaman ramai.
Di sekitar kawasan bangunan lama yang dikepung, lokasi yang bakal membangunkan masjid serta pusat masyarakat Islam setinggi 13 tingkat, polis mengasingkan dua kumpulan penunjuk perasaan.
Tiada laporan dibuat tentang pertempuran fizikal, tetapi perang mulut dilapor berlaku termasuk antara seorang lelaki dan wanita yang menjerit satu sama lain di sepanjang sekatan jalan ketika cuaca hujan.
Sepanduk-sepanduk yang diangkat penunjuk perasaan di belakang sekatan polis tertera perkataan 'SHARIA', menggunakan tulisan seakan darah bagi menggambarkan undang-undang syariah yang menjadi pegangan Islam.
Pada satu laluan pejalan kaki berhampiran, polis mengusir satu kumpulan yang mengibarkan sepanduk dengan gambar mangsa dipukul, direjam dan lain-lain penyeksaan yang dilaksanakan mengikut undang-undang syariah.
Perhimpunan kumpulan propembinaan masjid yang diadakan satu blok dari lokasi tunjuk perasaan yang membantah, menyaksikan beratus-ratus penyokong melaungkan 'Islam dialu-alukan di sini!' dan 'Kami katakan tidak kepada kebimbangan perkauman!'.
Sementara itu, Miss USA 2010, Rima Fakih, seorang gadis keturunan Arab, menyokong kenyataan Presiden Barack Obama tentang hak kebebasan beragama, namun mengatakan masjid perlu dibina di lokasi lebih jauh dengan mengambil kira kebimbangan tragedi berbanding agama. - AP

No comments: