Pages

Tuesday, August 24, 2010

Pakistan terus dibelenggu banjir


satu keluarga meredah air banjir untuk kembali ke kampung mereka di Sultan Kot, kira-kira 51 kilometer dari Sukkur, wilayah Sindh di Pakistan, semalam. - REUTERS


KARACHI 23 Ogos - Pihak berkuasa Pakistan hari ini berusaha menyelamatkan Shahdadkot, sebuah bandar di wilayah selatan yang terjejas akibat banjir, selepas satu perpindahan besar dilakukan ketika banjir terus memburukkan lagi keadaan.
Banjir hampir sebulan telah mengorbankan 1,500 mangsa dan menjejaskan sehingga 20 juta penduduk di seluruh negara ini dalam bencana terburuk melanda Pakistan, dengan ancaman penyakit mula menular di kem-kem yang menempatkan mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang.
Berpuluh-puluh ribu mangsa dipindahkan dari kawasan terjejas akibat banjir di selatan negara ini semalam termasuk bandar Shahdadkot, dengan kebanyakan daripada 100,000 penduduknya diiringi ke tempat selamat dengan apa juga cara.
"Buat masa ini kami cuba melindungi Shahdadkot, yang terancam oleh paras air yang semakin meningkat," kata Menteri Pengairan wilayah Sindh, Jam Saifullah Dharejo kepada AFP.
Menurut beliau, benteng yang dibina untuk melindungi bandar berkenaan dari banjir, berada di bawah tekanan dan pihaknya sedang cuba menyelamatkan bandar tersebut daripada banjir yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Bagaimanapun, masih ada mangsa yang terkandas di kampung-kampung ini (di sekitar Shahdadkot) dan kita sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka," katanya.
Dharejo dalam pada itu menyatakan, setakat ini tiada ancaman banjir dilapor di Hyderabad, bandar kedua terbesar di Sindh dan keenam terbesar di Pakistan yang dihuni 2.5 juta penduduk.
Kerajaan Pakistan yang lemah berhadapan kemarahan ramai rakyat berikutan usaha bantuan yang lembap, ketika pegawai memberi amaran negara ini mengalami kerugian ekonomi sehingga AS$43 bilion (RM137.6 bilion).
Jutaan mangsa banjir yang terselamat terdesak mendapatkan makanan, tempat perlindungan, air bersih dan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup, ketika kebimbangan semakin meningkat ekoran penularan penyakit taun, demam kepialu dan hepatitis.
Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dijangka memulakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Pakistan hari ini bagi menyusun semula pinjaman bernilai AS$10 bilion (RM32 bilion). - AFP

No comments: