Pages

Sunday, June 6, 2010

Kapal gergasi ragut lubuk rezeki








TIADA apa yang mampu dilafazkan kecuali keluhan yang menggambarkan kehampaan bukan sahaja bagi golongan nelayan bahkan seluruh warga Pengerang, Kota Tinggi, Johor ekoran kejadian tumpahan minyak yang berlaku di perairan itu 26 Mei lalu.
Gara-gara pelanggaran dua buah kapal kargo, MV Waily dengan Bunga Kelana 3 kira-kira empat batu nautika ke barat daya Tanjung Setapa, Pengerang dan 3.7 batu nautika dari perairan Singapura, rezeki mereka bagai diragut sekelip mata.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, kapal MV Waily yang berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines yang dalam pelayaran ke Hong Kong telah berlanggar dengan kapal Bunga Kelana 3 yang berdaftar di Pelabuhan Klang yang membawa 61,858 tan metrik minyak mentah.
Pelanggaran itu menyebabkan badan Bunga Kelana 3 yang membawa muatan minyak milik Petronas itu dan sedang belayar dari Bintulu, Sarawak ke kilang penapis minyak Petronas di Melaka, terkoyak sepanjang 10 meter mengakibatkan tumpahan 2,000 tan metrik minyak mentah.
Ikat perut
Ironinya, para nelayan di Pengerang sudah mengetahui nasib mereka yang bakal suram sebaik sahaja mengetahui bencana tersebut.
Walaupun Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberi jaminan sisa tumpahan minyak tidak akan memasuki perairan negara, jauh di sudut hati nelayan tahu bahawa tiada siapa yang dapat menghalang takdir.
Dua hari selepas kemalangan itu, kesan buruk daripada limpahan minyak mentah itu mula menghitami pantai Pengerang.
Tiupan angin menyebabkan sisa tumpahan minyak merebak hampir 30 kilometer ke pesisiran pantai Pengerang dan menjejaskan pelbagai lokasi seperti Teluk Ramunia, Kampung Sungai Musuh, Kampung Langkah Baik, Kampung Jawa, Tanjung Pengelih, Tanjung Punggai, Tanjung Setapa, Tanjung Kapal, Sungai Haji Ahmad, Sungai Teluk Kemang, Sungai Haji Yusof dan Sungai Rengit.
Paling terjejas teruk ialah Tanjung Ayam, lokasi pertama yang perairannya bertukar menjadi laut hitam.
Tragedi tumpahan minyak yang dianggap terbesar di Pengerang itu ternyata mengulangi musim kesukaran yang pernah dihadapi para nelayan yang sebelum ini sudah pun terpaksa mengikat perut gara-gara insiden pencemaran minyak kapal.
Kegiatan nelayan kini dihentikan dan pendapatan 1,400 nelayan di kawasan itu semakin terancam.
Seorang nelayan, Zakaria Idris, 49, berkata, mereka pernah beberapa kali mengalami nasib yang serupa sebelum ini, kali terakhir bulan Ogos tahun lalu apabila sebuah kapal besar terlanggar terumbu batu sehingga menyebabkan tumpahan minyak.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Kampung Sungai Musuh berkata, lazimnya mereka mendapat hasil tangkapan lebih RM100 sehari.
Namun, ekoran pelanggaran itu, pendapatan mereka yang secara purata RM1,200 sebulan tergugat.
Saya jangka keadaan akan jadi lebih sukar sekarang kerana tidak dapat turun ke laut untuk beberapa hari.
Sebelum ini pendapatan kami menyusut selepas semakin banyak kapal besar berlabuh di sini terutama sejak pengambilalihan Pulau Batu Putih oleh Singapura, katanya yang memperoleh hasil tangkapan sehari dua hingga empat kilogram sahaja.

BOT-BOT kecil nelayan tersadai di muara Sungai Rengit hampir dua minggu ekoran kejadian tumpahan minyak baru-baru ini.


Md. Taib Hanafi, 60, pula mendakwa tuntutan pampasan yang dibuat nelayan terhadap syarikat yang terlibat dalam pelanggaran pada Ogos tahun lalu masih belum diterima.
Laluan sibuk
Beliau menyifatkan insiden pelanggaran kapal baru-baru ini menyukarkan lagi keadaan mereka.
Kami semakin tersepit lebih-lebih lagi kebanyakan nelayan mengalami kerugian selepas peralatan menangkap ikan seperti jala dan enjin bot rosak teruk akibat terkena sisa tumpahan minyak, ujarnya hampa.
Bagi Boh Ah Chio, 62, banyak juga bot kecil nelayan yang tersadai di jeti kerana tidak dapat turun ke laut.
Apa tidaknya, hendak baiki jala-jala yang rosak akibat terkena sisa tumpahan minyak lebih mahal daripada pendapatan kami menangkap ikan, katanya.
Perairan Pengerang yang bercantum dengan Selat Singapura itu memang terkenal sebagai laluan kapal yang sibuk.
Mengikut laporan agensi insurans kapal, The Standard Club, dianggarkan 50,000 buah kapal besar melalui selat tersebut setiap tahun dengan 400 kapal berlabuh pada setiap hari.
Kehadiran kapal-kapal tersebut diakui merencatkan kerancakan aktiviti tangkapan hasil laut di kawasan itu.
Kami terkilan kerana kapal-kapal itu berlabuh di atas permukaan lubuk rezeki kami, kata Latip Manan, 47.
Jelasnya, sebelum ini tidak sukar bagi mereka memperoleh udang kara yang boleh dijual RM70 sekilogram, namun kini tinggal memori.
Selain udang kara, banyak juga hasil tangkapan lain seperti ikan kerapu, ikan jenahak, ikan kurau, ikan pari dan ikan gelama kuning yang boleh diperoleh nelayan di lubuk tersebut.
Sekarang susah, macam mana kami nak menjala ikan di situ apabila kapal-kapal besar sudah ada, kata Latip.
Laut hitam
Seorang lagi nelayan, Ishak Moksan, 45, berkata, seandainya situasi ini berterusan bagi jangka panjang, tidak mustahil nelayan-nelayan berputih mata.
Kami memang orang kampung di sini dan memang kerja kami sebagai nelayan. Kalau kami tidak dapat turun ke laut, kami mahu buat apa lagi? soalnya.
Pendapat sama turut dikongsi oleh seorang lagi nelayan, Abdul Rahim Bujang, 54, yang sudah seminggu tidak turun ke laut.
Saya ada anak, ada isteri dan perlukan duit untuk beli barang dapur dan belanja sekolah.


LAUT yang berminyak memaksa para nelayan menggantung pukat dan jaring mereka.

Pening juga kepala dibuatnya jika tidak dapat turun ke laut. Tidak mustahil saya terpaksa berhenti menjadi nelayan jika keadaan ini berterusan, katanya.
Bagi seorang penduduk, Latipah Abdul Jalil, 50, tawaran membersihkan sisa tumpahan minyak di pantai Pengerang dengan upah RM50 sehari tidak disia-siakan memandangkan mereka tidak dapat turun ke laut.
Bolehlah daripada tak ada. Kami perlu meneruskan kehidupan. Kalau tak ada duit alamat dapur tak berasaplah, katanya.
Tambah Latipah, kejadian paling teruk berlaku pada
29 Mei lalu apabila perairan Tanjung Ayam bertukar menjadi laut hitam tepat pukul 10.30 pagi.
Mula-mula biasa sahaja tapi lama-kelamaan makin hitam, tidak ubah seperti dodol, katanya.
Dengan keadaan tidak menentu sekarang, nasib nelayan Pengerang masih kelam.
kredit : kosmo.com.my

No comments: