Pages

Saturday, December 27, 2014

Anak hilang dalam perut

Yogyakarta: Seorang lelaki semalam mendakwa anak yang dikandung isterinya hilang secara tiba-tiba beberapa hari sebelum isterinya melahirkan cahaya mata pertama mereka.
"Selepas 17 tahun berkahwin, ini kali pertama isteri saya mengandung. Tetapi ketika menanti hari untuk melahirkan, bayi itu hilang dari perut isteri saya," kata Sumarno kepada wartawan di Nitikan Barat Semanu Gunung Kidul.
Menurut Sumarno, 49, isterinya Susilah yang sudah sembilan bulan mengandung menjerit seperti orang hilang akal pagi kelmarin sebaik terjaga dari tidur.
"Sebaik mendengar jeritannya, saya meluru ke bilik. Dia meraung dan berkata kandungannya dicuri. Saya melihat perutnya yang besar sebelum ini kempis," kata Sumarno.
Dia sendiri menyaksikan perut Susilah, 41, besar, seperti orang mengandung sembilan bulan sebelum tidur malam itu.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:44 PM


SUSILAH
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/19360#sthash.iqR0xyv9.dpuf

Beribu-ribu orang solat di masjid terselamat tsunami



KOMBINASI gambar menunjukkan Masjid Besar Baiturrahman masih tersergam selepas ombak besar tsunami melanda daerah Banda Aceh pada 26 Disember 2004.



BANDA ACEH – Beribu-ribu penduduk Indonesia berhimpun kelmarin untuk menunaikan solat hajat di sebuah masjid yang masih utuh di sini selepas sepertiga Aceh dimusnahkan ombak besar tsunami yang meragut sekurang-kurangnya 226,000 nyawa 10 tahun lalu.
Gambar masjid berusia 135 tahun itu tersergam di tanah lapang yang dipenuhi serpihan dan runtuhan selepas hampir semua benda dihanyutkan tsunami merupakan antara imej yang paling diingati sehingga kini.
Bencana tsunami dicetuskan oleh gempa bumi kuat berukuran 9.1 magnitud di perairan pulau Sumatra pada 2004.
“Allah menjaga rumahnya. Itulah yang kami orang Islam percaya,” kata Azman Ismail yang merupakan imam besar masjid berkenaan, Masjid Besar Baiturrahman.
Kira-kira 5,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak memenuhi masjid itu dalam majlis solat hajat terbesar sejak bencana tsunami.
Wilayah Aceh paling teruk dilanda tsunami dengan sekurang-kurangnya 168,000 orang terkorban manakala ribuan lagi mangsa terbunuh di Sri Lanka, India dan Thailand.
Azman berkata, tsunami turut membawa keamanan di Aceh yang telah bertahun-tahun menderita akibat konflik antara kumpulan pemisah dan tentera Indonesia.
“Tsunami perlu dilihat sebagai rahmat dan bukannya bala Allah,” kata seorang imam dari Arab Saudi, Syeikh Ali Jaber. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3N3Rf98Ek 
Hakcipta terpelihara 

Jutawan kecewa Lamborghini diganggu


27 Disember 2014 12:50 AM




NEW YORK 26 Dis. – Seorang jutawan dari New York, Allen Wong, yang merasa dirinya dianiaya oleh pihak yang cemburu dengannya kerana memiliki kereta mewah, mengambil inisiatif mendedahkan gelagat orang ramai ketika mendekati kereta sport miliknya itu, Lamborghini Aventador.
Menurut laporan portal Mail Online, Wong mengambil inspirasi daripada video yang merakamkan seorang wanita yang sedang berjalan di sekitar kota ini berhadapan gelagat lelaki-lelaki yang lalu lalang di situ menganggunya.
Wong kemudian memutuskan untuk memasang kamera itu pada keretanya bagi melihat reaksi orang ramai apabila mendekati kere­tanya itu yang dibelinya pada harga 260,000 pound (AS$410,000).
“Saya fikir dengan memasang ka­mera pada kereta saya, akan menakutkan mereka menganggu kereta saya, selain melindungi kereta saya daripada penipuan agen insu­rans,’’ katanya.
‘Kejadian yang paling teruk saya lihat apabila tiga remaja lelaki duduk di atas bonet Lamborghini saya yang diletakkan di satu tempat letak kereta sambil menganggu gadis-gadis yang lalu lalang di situ. Bonet itu tidak kuat menyebabkan ia kemek.
“Selain itu, terdapat banyak kesan calar pada kereta saya akibat kunci yang diletakkan di belakang poket seluar atau kerana butang besi seluar individu yang duduk di atas kereta saya.
“Saya berjaya merakam aksi lebih 12 orang duduk di atas kereta saya semata-mata mahu mengambil gambar dengan kereta saya,” katanya.
Wong menjadi jutawan selepas berjaya mencipta aplikasi telefon yang diberi nama 5-0 Radio, sebuah alat pengesan untuk kegunaan polis.
Wong berkata, video dirakamnya itu pada mulanya bertujuan sebagai ‘sindiran’, tetapi mendakwa ia kini membawa ‘mesej yang jelas’ untuk memberitahu orang ramai supaya berhenti merosakkan harta orang lain.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jutawan-kecewa-lamborghini-diganggu-1.41362#sthash.gOUlJG85.dpuf

Kereta dicuri selama 28 tahun ditemui semula


Kereta Ford Mustang 1967  yang dicuri pada 1986 ditemui semula.
Kereta Ford Mustang 1967 yang dicuri pada 1986 ditemui semula. – AGENSI
SALINAS, California 26 Dis. – Seorang wanita tidak menyangka dapat menemui semula kereta Ford Mustang 1967 miliknya yang dicuri 28 tahun lalu.
Lynda Alsip yang tinggal di Hollister berkata, kereta itu dicuri dari kompleks pangsapurinya di sini ketika dia bercuti selama seminggu pada 1986.
“Polis Peronda Lebuh raya California datang ke rumah saya kelmarin dan memaklumkan bahawa kereta saya itu telah ditemui semula.
“Saya tidak menyangka dapat melihat kereta itu semula,’’ katanya kepada akhbar Monterey Herald.
Wanita itu berkata, dia akan mengunci kereta itu di garaj.
Polis berkata, kereta itu ditemui selepas seorang lelaki cuba mendaftarkan kenderaan itu.
“Lelaki itu memberitahu bahawa dia membeli kenderaan itu pada 1991 dan baharu hendak mendaf­tarkan kereta itu,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kereta-dicuri-selama-28-tahun-ditemui-semula-1.41349#sthash.acPwxxOU.dpuf

Friday, December 26, 2014

Pondok telefon awam jadi kios perniagaan



SEORANG wanita berdiri di pondok telefon merah di London, Britain yang diubah suai menjadi kios menjual air kopi dan perkhidmatan mengilap kasut.- AGENSI


LONDON – Sebuah syarikat di Britain menukar pondok telefon awam di negara itu menjadi kios perniagaan yang menjual minuman, gula-gula dan kedai kasut.
Syarikat Red Kiosk mengubah suai lebih 100 pondok telefon ikonik berwarna merah yang terkenal di Britain itu sebagai kios perniagaan sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada usahawan muda.
Langkah itu diambil susulan kejayaan dua kios kedai kopi yang dibuka di bandar Brighton dan Aberdeen.
Pondok telefon berwarna merah tersebut merupakan salah satu warisan di Britain tetapi semakin dilupakan ekoran kemajuan sistem telekomunikasi ketika ini.
Seorang jurucakap syarikat itu berkata, orang ramai atau majlis tempatan boleh menyewa pondok telefon berkenaan dan menukarnya menjadi pelbagai bentuk kios perniagaan.
“Usaha ini bukan sahaja mampu membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat dan pada masa yang sama dapat mengekalkan pondok telefon merah yang merupakan warisan negara,” katanya. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Mx1JMn00 
Hakcipta terpelihara 

Arah alih patung hantu depan rumah


BEBERAPA patung hantu yang diletakkan di depan rumah Dixon di Sycamore di negeri Ohio, Amerika Syarikat.- AGENSI


COLUMBUS, Ohio– Seorang penduduk di sini terpaksa mengalihkan beberapa patung hantu yang diletakkan sebagai hiasan di depan rumahnya selepas mendapat aduan daripada orang ramai.
Penduduk tersebut, Jasen Dixon yang tinggal di kawasan kejiranan Sycamore dekat sini berkata, pihak majlis tempatan memberinya masa selama satu minggu untuk mengalihkan patung-patung berkenaan.
“Pihak berkuasa memberitahu terdapat dua aduan dibuat oleh orang ramai yang berasa tidak selesa dengan hiasan patung hantu di depan rumah saya ini.
“Mereka mengarahkan saya mengalihkan patung-patung ini kerana didakwa diletakkan di luar kawasan rumah dan mengganggu jalan raya berhampiran,” katanya.
Ujarnya, dia meletakkan patung-patung hantu itu sebagai salah satu cara untuk menarik perhatian orang ramai supaya melawat sebuah rumah hantu yang dimilikinya.
“Hiasan patung ini tidak mengganggu sesiapa tetapi saya akan mematuhi arahan pihak berkuasa itu,” jelasnya. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Mx1799hp 
Hakcipta terpelihara 

Pemandu teksi memandu 
secara mengundur


26 Disember 2014 1:00 AM


NEW DELHI 25 Dis. – Seorang pemandu teksi di India menampilkan keunikan tersendiri untuk menarik pelanggan apabila mempamerkan kemahirannya memandu kereta secara mengundur sejak lebih 11 tahun lalu.
Pemandu yang dikenali sebagai Harpeet Dev, 30, turut diberikan lesen khas oleh kerajaan yang membolehkannya memandu secara mengundur di mana-mana kawasan di utara negara ini.
Malah sejak dia mula me­lakukan perbuatan pelik itu pada 2003, Harpeet mengakui dia tidak lagi percaya pada dirinya un­­tuk membawa kereta secara normal iaitu memandu ke depan.
Menurut Harpeet, dia mula memandu secara mengundur apabila teksi kesayangannya jenis Fiat Padmini mengalami kerosakan dan ha­nya boleh dipandu secara mengundur.
“Ketika itu saya berada di kawasan luar bandar dan tidak mempunyai banyak wang, sekali gus memaksa saya untuk memandu secara mengundur sehingga ke Bathinda.
“Sejak itu, saya memandu de­ngan cara yang sama dan memperoleh keyakinan untuk meneruskan cara pemanduan mengundur itu,” katanya seperti yang dilaporkan portal berita unik, Oddity Central.
Bagaimanapun impian Harpeet untuk tersenarai dalam Guinness Book of World Records dengan kemahiran yang dipamerkan tidak kesampaian kerana seorang rakyat Britain, John Smith telah melakukan aksi yang sama.
Malah jika Harpeet mahu memecahkan rekod berkenaan, dia perlu menghasilkan video yang merakamkan aksinya memandu secara mengundur tanpa henti, tetapi dia tidak mampu berbuat demikian.
Harpeet berkata, tabiatnya memandu secara mengundur memberi kesan buruk kerana dia sering me­ngalami sakit belakang dan leher.
“Tetapi saya berpuas hati dengan pencapaian saya kerana untuk melakukan sesuatu yang menakjubkan bukanlah satu perkara yang mudah,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemandu-teksi-memandu-8232-secara-mengundur-1.40918#sthash.Vxh2eE0U.dpuf

Tsunami 2004, iktibar untuk penduduk dunia


This combo shows a file photo (L) taken on December 29, 2004 of
SEBATANG jalan di Banda Aceh.
Tanggal 26 Disember 2004 terus menjadi kenangan pahit dan diingati sebagai hari dukacita apabila beberapa buah negara di pinggir Lautan Hindi dilanda tsunami dahsyat yang menyaksikan kira-kira 300,000 orang terbunuh atau hilang dalam sekelip mata.
Kini setelah genap 10 tahun, peristiwa hitam itu masih menghantui berjuta-juta penduduk dunia terutamanya di Aceh, Malaysia, Sri Lanka, Thailand, Myanmar, Somalia, Tanzania, Syechelles, Bangladesh dan Kenya, khususnya mangsa yang terselamat dan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi itu.
Indonesia mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu lebih 220,000 orang, diikuti Sri Lanka (35,322 orang), India (18,045 orang) dan Thailand (8,212 orang) manakala kematian di negara-negara lain di bawah 100 orang.
Selain itu, lebih 1.2 juta mangsa lagi kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah sepenuhnya dibadai ombak tsunami setinggi 30 meter dan bergerak menyamai kelajuan sebuah kapal terbang iaitu antara 500 dan 600 kilometer sejam.
Sebagai wilayah yang paling teruk dilanda tsunami, Banda Aceh musnah dalam lingkungan lima kilometer dari pantai yang dihuni kira-kira 300,000 penduduk sehinggakan bot dan kapal nelayan yang besar dihanyutkan jauh ke kawasan darat.
Bangunan dan struktur kecil ranap sepenuhnya dihempas keganasan tsunami melainkan beberapa bangunan besar dan kukuh seperti Masjid Baiturrahman hanya mengalami kerosakan kecil akibat bencana itu.
Malaysia turut mengalami tempias tsunami itu, apabila kawasan pantai barat semenanjung Malaysia dilanda bencana itu mengakibatkan lebih 68 orang terkorban, manakala 299 lagi cedera dan enam lagi dilaporkan hilang dalam tragedi itu.
Ramai yang memperkatakan tsunami 2004 merupakan balasan Tuhan terhadap manusia kerana melakukan kerosakan di muka bumi termasuk mencemarkan udara, merosakkan muka bumi, menggondolkan hutan dan menggali hasil bumi dengan rakus, tanpa memikirkan kesan sampingan.
Tragedi ini mengajar manusia bahawa tamadun yang hebat dan teknologi yang canggih tidak mampu menandingi kuasa alam. Ini terbukti apabila kejadian tsunami sekali lagi berlaku di Jepun, tujuh tahun kemudian membawa kemusnahan yang dahsyat dan menyebabkan lebih 15,000 orang maut, selain kerosakan teruk kepada sistem loji nuklear negara itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tsunami-2004-iktibar-untuk-penduduk-dunia-1.40915#sthash.kIq6Izf3.dpuf

Wang kertas RM15 juta bertaburan di jalan


HONG KONG 25 Dis. - Durian runtuh. Itulah situasi yang dapat digambarkan dalam satu kejadian di Hong Kong apabila orang ramai berebut-rebut untuk mengutip wang kertas lebih HK$1.25 juta (RM6.5 juta) yang bertaburan di jalan raya, selepas pintu sebuah van yang membawa wang itu tidak ditutup dengan kemas.
Orang ramai dilihat mengutip sebahagian duit RM15 juta di tengah Hong Kong, baru-baru ini apabila pemandu van keselamatan yang membawa wang itu tidak menutup pintu belakang kenderaan dengan kemas. – AGENSI
Menurut laporan portal Mail Online yang memetik kenyataan seorang pegawai polis, Wan Siu-hung, pemandu van itu dalam perjalanan untuk menghantar wang berkenaan dan setengah jam kemudian baru dia menyedari pintu belakang kenderaan itu terbuka menyebabkan beberapa kotak wang itu terjatuh dan bertaburan di jalan raya.
Jelas Siu-Hung, kotak berisi wang itu terjatuh di Jalan Gloucester di tengah Hong Kong menyebabkan berlaku kesesakan trafik apabila ramai pemandu memberhentikan kenderaan untuk mengutip wang yang bertaburan itu.
Tambahnya, sepasukan polis yang lengkap bersenjata dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.
Bagaimanapun polis tidak dapat mengesahkan jumlah wang yang dapat dikumpulkan semula.
“Sesiapa yang mengambil atau terjumpa wang tersebut perlu me­mulangkannya semula kepada pihak polis atau mereka akan didakwa atas kesalahan mencuri dan akan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
“Polis akan menjalankan siasatan dan mencari semula wang yang hilang itu melalui nombor siri yang terdapat pada duit terbabit,” katanya.
Bagaimanapun nasib pemandu van itu tidak dapat dipastikan sama ada dia akan didakwa atas kesalah­an kecuaian atau sebaliknya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wang-kertas-rm15-juta-bertaburan-di-jalan-1.40909#sthash.2CJAh8WW.dpuf

Thursday, December 25, 2014

KISAH BENAR !!! Lelaki Gagal Memasuki Masjidil Haram Akibat Gemar Menonton Video Tutttttt !!!


KISAH BENAR !!! Lelaki Gagal Memasuki Masjidil Haram Akibat Gemar Menonton Video Tutttttt !!! | Assalamualaikum dan selamat sejahtera, ini ada satu kisah yang boleh dijadikan renungan dan pengajaran kepada kita semua. Kisah di mana seorang lelaki gagal untuk masuk ke Masjidil Haram.... Beberapa kali mencuba untuk memasuki Masjidil Haram tapi tetap sahaja tidak boleh. Kisah ini diceritakan oleh Dato Dr Harun Din...

Sekadar Gambar Hiasan
Lelaki ini tidak sama pakej dengan saya, jadi saya tidak mengenali beliau. Apa yang berlaku kepada lelaki berkenaan ialah setiap kali dia hendak masuk ke masjidil haram, dia tiba-tiba menjadi panik seperti orang ketakutan.... Kemudian lelaki itu tergopoh-gapah ke luar semula daripada masjid dan tergesa-gesa pulang ke rumah tumpangannya.... 

Selepas kali pertama gagal, lelaki itu cuba sekali lagi tetapi apabila orang-orang dalam masjid memandang ke arahnya, dia terus berlari balik ke rumah tumpangannya.... Kejadian aneh itu berulang kali berlaku selama seminggu sehingga lelaki tadi tidak dapat sembahyang dalam Masjidil Haram.... Melihat keadaan yang sungguh aneh ini, seorang sahabat datang memberitahu saya dan minta supaya saya cuba ubati lelaki itu. Saya bersetuju tetapi tidak terus mengubati lelaki itu. Sebaliknya,saya cuba mendapat maklumat mengenainya terlebih dahulu.... Saya sengaja berbuat demikian kerana saya rasa mesti ada sesuatu kesalahan yang telah dibuatnya hingga menyebabkan dia jadi sedemikian rupa. 

Jadi saya suruhlah kawan saya selidiki dahulu latar belakang lelaki itu.... Kawan saya itu pun pergilah berjumpa semula dengan lelaki itu dan meminta dia ceritakan apakah sebenarnya yang telah berlaku. Mulanya lelaki tersebut malu hendak bercerita apakah sebenarnya yang telah berlaku tetapi selepas dipujuk akhirnya lelaki itu bersetuju.... Ceritanya agak memalukan tapi memberi banyak pengajaran. Sebenarnya, dia punyai hobi yang sangat memalukan.... Filem lu-cah sudah menjadi makanan hariannya malah pada malam terakhir hendak bertolak ke Mekah pun dia sempat lagi menonton filem lu-cah.... 

Rupa-rupanya, lelaki itu memberitahu bahawa setiap kali dia hendak masuk ke masjidil haram, dia tiba-tiba nampak seorang perempuan yang dalam keadaan bo-gel menerkam ke arahnya atau seperti mencari-carinya.... Maka kerana takut kelakuan perempuan tadi akan memalukan dirinya, lelaki berkenaan lari. Selepas mengetahui kedudukan sebenar, barulah saya mengubati lelaki tadi. Saya diberitakan, selepas itu barulah dia dapat masuk ke masjid, itupun cuma sampai ke pintu.... 

## Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada kita semua.... Pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa masih lagi di badan.. Jangan lah kita segan silu memohon ampun dari Allah SWT... Manusia ni kan lemah selalu melakukan kesalahan.. via lajujarumpedas.

Hidup semula sebelum dibakar

Seorang lelaki hidup semula sejurus sebelum keluarganya membakar 'mayatnya' pada satu upacara pengebumian.
Deepak Singh, 72, sebelum itu rebah di rumah di depan keluarganya di Bhilwada, Rajashtan, negeri di barat laut India, sebaik keluar untuk memberi makan haiwan ternakannya.
"Dia kelihatan sihat apabila bangun pagi itu dan keluar untuk melakukan kerja hariannya. Tetapi, dia rebah ketika dalam perjalanan ke kandang lembu. Saya bergegas mendapatkannya dan tidak nampak tanda-tanda dia hidup. Degupan nadi dan jantungnya terhenti sama sekali.
"Seluruh keluarga bersetuju datuk saya sudah mati. Seorang doktor yang dipanggil juga mengesahkannya," kata cucu Deepak, Banda Nalwa, 26.
Selaras dengan adat agama Hindu, keluarga itu melakukan persiapan untuk membakar mayatnya dan mula membaca mantera, amalan biasa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang sudah mati.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:13 AM


DEEPAK dibantu selepas tersedar sebelum keluarganya membakar ‘mayatnya.’
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18999#sthash.APY9EIMm.dpuf

Wednesday, December 24, 2014

Selfie tak bertempat

Beijing: Biro Kesihatan Xi’an mengumumkan pemecatan tiga pegawai hospital selepas gambar sekumpulan pakar bedah mencetus kontroversi apabila mereka mengambil selfie bersebelahan pesakit yang sedang dirawat.
Tiga yang dipecat itu ialah timbalan presiden, dekan dan ketua jururawat di jabatan anestesiologi Hospital Xi’an Fengcheng.
Ketua pegawai eksekutif dan pekerja perubatan di dalam gambar berkenaan juga dikenakan demerit dalam rekod mereka - satu daripada hukuman dalam pentadbiran di China.
Mengikut biro berkenaan, gambar itu diambil pada 15 Ogos lalu di dalam bilik pembedahan yang akan ditutup.
Disebabkan itu, petugas terbabit sengaja mengambil gambar kenang-kenangan di bilik berkenaan.
Selfie itu kemudian dimuat naik ke Sina Weibo - Twitter versi China - Sabtu lalu oleh seorang pengguna yang mendakwa rakan kepada doktor terbabit.
Ekoran penyiaran gambar itu, ramai pengguna Weibo yang berang.
Seorang daripada mereka menulis: “Apa yang kamu lakukan ketika pembedahan? Patutlah banyak kes perubatan dipertikaikan pesakit.”
Walaupun gambar itu dipadamkan, ia terlewat kerana tersebar di media sosial.
Pada Isnin, gambar berkenaan dilihat 9.9 juta kali dan mendapat lebih 12,000 komen.
Ada pengguna Weibo menyelar perbuatan doktor terbabit sebagai tidak profesional.
“Perbuatan itu salah. Pesakit belum sedar dan doktor bergembira tanpa mengendahkan privasi pesakit,” kata pengguna bernama Youma.
Namun ada juga yang memandang perkara itu dengan positif.
Baiyishanmao yang dikenal pasti seorang pakar bedah menganggap tidak ada salahnya mengambil gambar selepas selesai melakukan pembedahan yang berjaya.
Komennya itu mendapat lebih 10,000 ‘like.’
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:06 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18645#sthash.IBzZb0Gn.dpuf

Lelaki koma mampu bertutur bahasa Perancis


Rory Curtis
Rory Curtis
BIRMINGHAM 23 Dis – Seorang tukang gunting rambut bangsa Inggeris, yang koma setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, tersedar daripada koma dengan kebolehan bercakap dalam bahasa Perancis serta menyangka dirinya aktor terkenal Hollywood, Matthew McConaughey.
Portal berita ibtimes melaporkan Rory Curtis, 25, yang berasal dari Redditch, Worcestershire mengalami cedera parah selepas berlanggar dengan sebuah lori sebelum dirempuh enam buah kereta di Tamworth, Staffordshire.
Ketika kemalangan itu beberapa orang anggota bomba mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan Curtis yang tersepit dicelah kenderaan sebelum dia dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth di Birmingham dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak.
“Dalam fikiran saya. Saya fikir saya Matthew McConaughey. Apabila saya ke tandas, saya lihat cermin dan terkejut kerana wajah saya tidak kelihatan seperti McConaugher. Saya tidak tahu apa yang saya lihat,” kata Curtis.
“Kemudian perlahan-lahan saya kembali pulih dan mengenal diri saya.
“Ketika di hospital saya rasa tidak sabar untuk keluar dari hospital dan kembali menjalani pengambaran filem. Saya sangat yakin saya adalah dia (Matthew McConaughey) dan saya juga mempunyai penampilan yang baik. Saya berasa sangat yakin dengan apa yang saya fikir,” katanya.
Curtis telah dibenarkan keluar dari hospital selepas dua bulan menjalani rawatan.
Sejurus tersedar daripada koma, Curtis juga didapati sangat fasih berbahasa Perancis walaupun dia tidak pernah memperlajari bahasa itu semasa di kolej.
“Saya tidak ingat bila perkara itu berlaku, tapi keluarga saya memberitahu saya, saya bersembang dengan seorang jururawat Afrika dalam bahasa Perancis mengenai perkembangan diri saya.
“Saya tidak pandai semasa belajar di sekolah, jadi saya tidak tahu bagaimana saya mampu melakukannya. Saya hanya buat sahaja,” kata Curtis.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-koma-mampu-bertutur-bahasa-perancis-1.40181#sthash.kxGVcGnz.dpuf

Tuesday, December 23, 2014

Lelaki buat terjunan 2,438 meter guna belon



SEBANYAK 90 biji belon yang diisi dengan gas helium telah digunakan oleh Roner semasa melakukan terjunan setinggi 2,438 meter. - Agensi


LOS ANGELES – Seorang lelaki yang gemar melakukan aksi berbahaya telah membuat terjunan setinggi 2,438 meter menggunakan 90 biji belon sebelum dia bertindak menembak belon-belon itu semasa dalam terjunan.
Menurut laporan portal Daily Dot, lelaki itu, Erik Roner yang juga merupakan ahli kumpulan sarkas, Nitro Circus telah melakukan aksi tersebut dengan duduk di atas kerusi malas yang diikat dengan 90 biji belon berisi gas helium.
Dia merakam sendiri aksi terjunan itu dengan menggunakan kamera yang dipasang pada topi keledar keselamatan.
“Tiada apa yang lebih menyeronokkan selain melakukan aksi berbahaya ini,” kata Roner semasa berada pada ketinggian 2,448 meter dan bersedia untuk terjun.
Lelaki itu dilihat menembak belon-belon yang diikat pada kerusinya satu persatu sebelum membuka payung terjun dan telah melakukan pendaratan dengan selamat. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3MiJZBeER 
Hakcipta terpelihara 

Sindrom Sleeping Beauty


23 Disember 2014
Menderita sindrom Sleeping Beauty akan menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.
Menderita sindrom Sleeping Beauty akan menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi. 



'WABAK'  misteri yang melanda sebuah perkampungan di utara Kazakhstan menyebabkan penduduk tertidur selama beberapa hari.

Sehingga kini, doktor masih gagal untuk mengenal pasti punca yang menyerang penduduk di kawasan terpencil Kalachi sejak empat tahun lalu.

Menurut penduduk tempatan, hampir 14 peratus daripada 600 penduduk kini menderita sindrom Sleeping Beauty tersebut yang turut menyebabkan sakit kepala, tidak boleh berdiri, berasa penat, mengalami masalah memori dan halusinasi.

Kebanyakan penduduk percaya sindrom misteri tersebut mungkin berpunca daripada bekas lombong uranium tinggalan era-Soviet yang terletak berhampiran dengan kampung mereka.

Bacaan radiasi di kawasan tersebut didakwa 16 kali ganda lebih tinggi daripada paras normal, namun gejala yang dialami mereka dikatakan tidak sama dengan simptom keracunan radiasi.

Lyubov Belkova menjadi penduduk pertama diserang sindrom Sleeping Beauty tersebut pada April 2010 dan ia dikatakan berpunca daripada strok iskemik yang berlaku apabila terdapat darah beku di dalam saluran darah hingga menyebabkan otak tersumbat. - Daily Mail

Monday, December 22, 2014

Detik cemas lelaki dilanggar lori treler

SEDUTAN rakaman kamera keselamatan ini menunjukkan seorang penunggang basikal dilanggar sebuah lori treler ketika melintas jalan di bandar Ningbo di wilayah Zhejiang di China baru-baru ini. - Agensi



NINGBO, China – Satu rakaman kamera keselamatan memaparkan detik-detik cemas seorang penunggang basikal dilanggar sebuah lori treler ketika melintas sebatang jalan di bandar ini yang terletak di wilayah Zhejiang.
Rakaman itu yang dipercayai dirakam baru-baru ini menunjukkan seorang lelaki yang menunggang sebuah basikal tidak sedar sebuah lori treler yang membelok ke arahnya ketika melintas jalan.
Lelaki itu kemudiannya terjatuh selepas dilanggar lori treler berkenaan dan terus terperosok ke bawah kenderaan berat tersebut seolah-olah digilis.
Bagaimanapun, selepas lori itu melepasinya, dia dilihat masih hidup dan terus duduk dalam keadaan terpinga-pinga.
Lebih menakjubkan lagi, lelaki tersebut disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya mengalami luka-luka kecil.
Pihak polis berkata, mereka sedang mengesan pemandu lori yang melanggar lelaki itu kerana terus melarikan diri selepas kejadian tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Maa5FwwG 
Hakcipta terpelihara 

Fenomena ais berbentuk piring di Scotland

BERATUS-RATUS ais berbentuk piring yang dijumpai terapung di Sungai Dee di Aberdeenshire, Scotland selepas cuaca sejuk melanda kawasan itu baru-baru ini.



ABERDEENSHIRE, Scotland – Seorang ahli biologi terkejut selepas menemui satu fenomena ais berbentuk piring yang terapung di Sungai Dee di sini selepas cuaca sejuk melanda bandar itu baru-baru ini.
Ahli biologi tersebut, Jamie Urquhart berkata, dia menemui beratus-ratus ais berbentuk bulat seperti piring terapung-apung di sungai berkenaan ketika menjalankan kajian di situ.
Katanya, ais berbentuk piring itu biasanya dijumpai selepas ribut di Laut Artik yang sejuk dan sangat jarang ditemui di kawasan sungai.
“Salji ini mungkin terbentuk daripada buih-buih di kawasan hulu sungai di mana airnya mengalir dengan laju sebelum buih itu dihanyutkan ke sini.
“Cuaca sejuk sehingga mencecah parah beku yang dicatatkan beberapa minggu lalu mungkin menyebabkan buih ini membeku,” katanya.
Menurutnya, ais berbentuk piring yang sering ditemui di kawasan laut dan tasik di Artik biasanya terbentuk apabila arus yang berpusing menghalang air membeku secara sekata. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3MaZon1QG 
Hakcipta terpelihara 

Mengingati Tsunami 2004

KEADAAN di Banda Aceh semasa dilanda tsunami pada pagi 26 Disember 2004 yang mengorbankan lebih 170,KEADAAN di Banda Aceh semasa dilanda tsunami pada pagi 26 Disember 2004 yang mengorbankan lebih 170,000 penduduk wilayah itu
TANGGAL 26 Disember ini, genaplah 10 tahun tragedi Tsunami Lautan Hindi 2004 yang merupakan antara bencana alam terburuk dalam sejarah manusia. Bencana alam itu telah mengorbankan lebih 230,000 orang dari 14 buah negara termasuk Malaysia.
Indonesia mencatatkan angka korban tertinggi iaitu kira-kira 170,000 orang, diikuti Sri Lanka (35,322 orang), India (18,045 orang) dan Thailand (8,212 orang) manakala kematian di negara-negara lain di bawah 100 orang. Mengikut Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), jumlah korban mencecah 283,000 orang dengan 14,000 lagi hilang dan 1,126 juta hilang tempat tinggal.
Dari segi angka korban, Tsunami Lautan Hindi 2004 merupakan bencana alam keenam paling banyak membunuh manusia di dunia, selepas Banjir China 1931 yang mengorbankan lebih 2.5 juta orang, Taufan Bhola di Bangladesh 1970 (500,000 orang), Gempa Bumi Haiti 2010 (316,000 orang), Gempa Bumi Tangshan, China 1976 (242,419 orang) dan Gempa Bumi Haiyuan, China 1920 (234,000 orang).
Pusat gempa terletak pada bujur 3,298° utara dan 95,779° timur kira-kira 160 kilometer (km) sebelah barat Aceh sedalam 10 km. Ia merupakan gempa bumi yang kelima terkuat dalam sejarah dunia sejak 1900.
Hanya antara 15 dan 20 minit selepas gempa bumi itu, ombak raksasa setinggi 30 meter yang dicetuskan oleh gegaran itu melanda kawasan pesisir pantai Indonesia terutamanya Banda Aceh. Ombak tsunami itu yang mempunyai kelajuan seperti sebuah kapal terbang telah bergerak sehingga 5,000 kilometer (km) dan menyebabkan kerosakan serta kematian sehingga ke pesisir timur Afrika.
Pada amnya, tsunami amat jarang berlaku di Lautan Hindi tetapi sering berlaku di Lautan Pasifik. Namun, Tsunami Lautan Hindi 2004 merupakan tsunami paling ganas pernah direkodkan. Tsunami itu dikatakan telah menghasilkan tenaga yang menyamai 23,000 butir bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Fokus Rencam minggu ini menyoroti kembali peristiwa Tsunami Lautan Hindi 2004 yang masih meninggalkan kesannya sehingga hari ini khususnya di Banda Aceh.

MALAYSIA
DI MALAYSIA, apabila tsunami pertama kali melanda negara ini pada 26 Disember 2004, sebanyak 68 orang disahkan terbunuh manakala enam lagi dilaporkan hilang dan lebih 5,000 orang hilang tempat tinggal. Bencana itu membabitkan empat buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Daripada bilangan angka korban itu, Pulau Pinang mencatatkan kematian tertinggi iaitu sebanyak 52 orang, Kedah (12 orang), Perak (dua orang) dan Selangor seorang. Sebanyak 2,486 nelayan dan 86 petani mengalami kerugian akibat bencana dahsyat itu.
Di Pulau Pinang, kawasan yang terlibat ialah di pesisir pantai Balik Pulau, Pantai Pasir Panjang, Batu Feringgi dan Teluk Bahang. Di Kedah pula, kawasan terlibat ialah Kuala Muda dan Pulau Langkawi.
Paling menyayat hati, seorang bapa kehilangan kehilangan isteri dan empat anaknya apabila tsunami melanda tempat mereka berkelah di Batu Feringgi. Dalam kejadian itu, Hassan Harun kehilangan isteri, Nizari Mahmud yang berusia 39 tahun ketika itu, serta empat anaknya; Nurul Hasinah, 17, Nurul Naimah, 15, Nurul Nazirah, 13, dan Mohd. Ferdaus, 4.
Di Pantai Pasir Panjang pula, sepasang suami isteri, Zulkifli Mohd. Noor dan Jamilah Majid kehilangan lima anak dan seorang anak saudara selepas tempat mereka berkelah dipukul ombak tsunami pada hari tersebut. Lima anak mereka yang terkorban dalam tragedi itu ialah Siti Nurain, 17, Mohd. Shukri, 12, Siti Nur Shuhada, 10, Siti Nur Atikah, 9, dan Siti Suraya, 5.

THAILAND
KERAJAAN Thailand menganggarkan sebanyak 8,212 orang terbunuh dengan 2,817 orang hilang apabila enam wilayah di negara itu dilanda tsunami yang disebabkan gempa bumi di Lautan Hindi pada 26 Disember 2004.
Daripada jumlah kematian itu, sebahagian besar melibatkan pelancong asing yang sedang bercuti di kawasan pelancongan di negara tersebut termasuk Khao Lak, Krabi, Koh Phi Phi, Songkhla, Surat Thani, Phuket, Phang Nga, Ranong, Satun dan Trang. Tsunami yang membawa ombak setinggi lima meter itu turut memusnahkan beribu-ribu rumah di sepanjang kawasan pantai.
Kawasan yang paling teruk dilanda tsunami ialah Khao Lak yang terletak di dalam wilayah Phang Nga, 80 km di utara Phuket. Sebanyak 4,163 orang termasuk 2,213 pelancong asing disahkan terkorban dalam tragedi itu. Angka sebenar kematian di situ mungkin lebih besar kerana 2,113 orang dilaporkan hilang.
Pulau pelancongan terkenal, Phi Phi yang terletak di wilayah Krabi turut musnah teruk dalam kejadian itu. Beratus-ratus resort percutian di pulau tersebut lenyap apabila dilanda tsunami. Bhumi Jensen yang merupakan cucu Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, turut terkorban dalam bencana itu.
Salah seorang pelancong asing yang terselamat dalam insiden itu ialah model terkenal, Petra Nemcova. Semasa kejadian, Nemcova sedang bercuti bersama tunangnya, Simon Atlee yang merupakan seorang jurugambar fesyen di sebuah resort di Khao Lak.
Ketika ombak besar pertama melanda, Nemcova dan Atlee berada di dalam banglo percutian mereka. Tidak lama kemudian, air laut memasuki banglo itu dan menghanyutkan mereka berdua.
Namun, Nemcova terselamat selepas berjaya berpaut sebatang pokok palma ketika dihanyutkan. Bagaimanapun, Atlee yang sebelum itu melamarnya untuk berkahwin terbunuh dalam tragedi itu. Mayat Atlee hanya ditemui pada 3 Mac 2015 iaitu hampir tiga bulan selepas kejadian.

ACEH
SEPULUH tahun sudah berlalu sejak kejadian tsunami 2004 yang meninggalkan peristiwa hitam kepada wilayah Aceh terutamanya di kotanya, Banda Aceh. Wilayah Aceh yang mempunyai keluasan 57,365.57 km persegi dan terletak di utara Sumatera, menerima kesan paling teruk daripada bencana tersebut kerana terletak paling hampir dengan pusat gempa dan keadaan muka buminya yang rendah. Lebih 130,000 penduduk Aceh disahkan terbunuh manakala 37,063 lagi hilang dan masih belum dijumpai sehingga hari ini selepas tragedi tersebut.
Walaupun kehidupan penduduk Aceh kini kembali menjalani kehidupan normal dan wilayah itu pesat membangun selepas mendapat kuasa pemerintahan ekonomi dari Indonesia pada Julai 2005, kejadian itu masih meninggalkan parut yang dalam kepada penduduk wilayah itu.
Kesan tsunami itu juga masih boleh dilihat di situ sehingga hari ini. Empat tanah perkuburan besar yang menjadi tempat persemadian puluhan ribu penduduk yang terkorban, sebuah kapal yang terdampar di atas runtuhan bangunan dan serpihan-serpihan bertaburan akan terus menjadi ingatan kepada tragedi itu bagi mereka yang terselamat.
Selain itu, Muzium Tsunami Aceh setinggi empat tingkat dengan bentuk atapnya menyerupai ombak besar yang dibina pada 2009, menjadi simbol ingatan kepada tragedi memilukan itu.
Seorang penduduk Banda Aceh, Nanda Suhada masih trauma dengan kejadian itu, apatah lagi dia kehilangan ayah, abang dan neneknya dalam bencana itu. “Saya tidak akan pernah melupakan hari itu. Pengalaman yang sangat menakutkan,” katanya.
Mengimbau kembali kejadian itu, pada pagi Ahad 26 Disember 2004, penduduk Banda Aceh sedang menjalani rutin kehidupan harian. Secara tiba-tiba, mereka dikejutkan dengan gempa bumi kuat yang disusuli dengan ombak kuat menghempas pantai.
Namun, mereka yang sudah biasa dengan keadaan itu kerana wilayah berkenaan terletak dalam lingkungan Lingkaran Api Pasifik, tidak menjangkakan ia petanda kedatangan musibah besar.
Namun ombak pertama itu tidak berhenti setakat itu sahaja, ia disusuli sekurang-kurangnya dua ombak lagi sehingga membentuk ombak besar setinggi pokok kelapa menuju ke kawasan di dalam wilayah Aceh termasuk ibu kotanya, Banda Aceh. Dalam sekelip mata sahaja, amukan ombak kuat itu meragut nyawa ratusan ribu penduduk dan memusnahkan lebih 50 peratus bangunan di wilayah itu sehingga menjadi ibarat padang jarak padang terkukur.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mengingati-tsunami-2004-1.39240#sthash.k1rcQckH.dpuf