Orang ramai dilihat mengutip sebahagian duit RM15 juta di tengah Hong Kong, baru-baru ini apabila pemandu van keselamatan yang membawa wang itu tidak menutup pintu belakang kenderaan dengan kemas. – AGENSI
Menurut laporan portal Mail Online yang memetik kenyataan seorang pegawai polis, Wan Siu-hung, pemandu van itu dalam perjalanan untuk menghantar wang berkenaan dan setengah jam kemudian baru dia menyedari pintu belakang kenderaan itu terbuka menyebabkan beberapa kotak wang itu terjatuh dan bertaburan di jalan raya.
Jelas Siu-Hung, kotak berisi wang itu terjatuh di Jalan Gloucester di tengah Hong Kong menyebabkan berlaku kesesakan trafik apabila ramai pemandu memberhentikan kenderaan untuk mengutip wang yang bertaburan itu.
Tambahnya, sepasukan polis yang lengkap bersenjata dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.
Bagaimanapun polis tidak dapat mengesahkan jumlah wang yang dapat dikumpulkan semula.
“Sesiapa yang mengambil atau terjumpa wang tersebut perlu me­mulangkannya semula kepada pihak polis atau mereka akan didakwa atas kesalahan mencuri dan akan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
“Polis akan menjalankan siasatan dan mencari semula wang yang hilang itu melalui nombor siri yang terdapat pada duit terbabit,” katanya.
Bagaimanapun nasib pemandu van itu tidak dapat dipastikan sama ada dia akan didakwa atas kesalah­an kecuaian atau sebaliknya.