Kini setelah genap 10 tahun, peristiwa hitam itu masih menghantui berjuta-juta penduduk dunia terutamanya di Aceh, Malaysia, Sri Lanka, Thailand, Myanmar, Somalia, Tanzania, Syechelles, Bangladesh dan Kenya, khususnya mangsa yang terselamat dan ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi itu.
Indonesia mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu lebih 220,000 orang, diikuti Sri Lanka (35,322 orang), India (18,045 orang) dan Thailand (8,212 orang) manakala kematian di negara-negara lain di bawah 100 orang.
Selain itu, lebih 1.2 juta mangsa lagi kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah sepenuhnya dibadai ombak tsunami setinggi 30 meter dan bergerak menyamai kelajuan sebuah kapal terbang iaitu antara 500 dan 600 kilometer sejam.
Sebagai wilayah yang paling teruk dilanda tsunami, Banda Aceh musnah dalam lingkungan lima kilometer dari pantai yang dihuni kira-kira 300,000 penduduk sehinggakan bot dan kapal nelayan yang besar dihanyutkan jauh ke kawasan darat.
Bangunan dan struktur kecil ranap sepenuhnya dihempas keganasan tsunami melainkan beberapa bangunan besar dan kukuh seperti Masjid Baiturrahman hanya mengalami kerosakan kecil akibat bencana itu.
Malaysia turut mengalami tempias tsunami itu, apabila kawasan pantai barat semenanjung Malaysia dilanda bencana itu mengakibatkan lebih 68 orang terkorban, manakala 299 lagi cedera dan enam lagi dilaporkan hilang dalam tragedi itu.
Ramai yang memperkatakan tsunami 2004 merupakan balasan Tuhan terhadap manusia kerana melakukan kerosakan di muka bumi termasuk mencemarkan udara, merosakkan muka bumi, menggondolkan hutan dan menggali hasil bumi dengan rakus, tanpa memikirkan kesan sampingan.
Tragedi ini mengajar manusia bahawa tamadun yang hebat dan teknologi yang canggih tidak mampu menandingi kuasa alam. Ini terbukti apabila kejadian tsunami sekali lagi berlaku di Jepun, tujuh tahun kemudian membawa kemusnahan yang dahsyat dan menyebabkan lebih 15,000 orang maut, selain kerosakan teruk kepada sistem loji nuklear negara itu.