Pages

Thursday, September 25, 2014

India tiba di Marikh


India tiba di Marikh
India tiba di Marikh
BANGALORE - INDIA. India menjadi negara Asia pertama tiba di planet Marikh selepas pesawat angkasa berkos rendah, Mangalyaan memasuki orbit planet tersebut pada jam 8.02 pagi (waktu tempatan) selepas dilancarkan kira-kira 10 bulan lalu.

Kejayaan itu diumumkan Perdana Menteri India, Narendra Modi yang turut disambut sorakan kumpulan saintis di Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India berhampiran Banglore.
Difahamkan, misi tersebut bertujuan mengesan kehadiran metana di atmosfera Marikh bagi membuktikan kewujudan primitif di planet terbabit.

Pelancaran kapal angkasa berwarna emas tersebut dilakukan selepas India menghantar kapal angkasa tanpa manusia, Chandrayaan ke bulan pada 2008.

Sebelum ini, hanya Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Rusia dapat tiba di planet tersebut manakala lebih separuh misi penjelajahan ke Marikh gagal termasuk cubaan Jepun pada 2003 dan China pada 2011 dalam laporan AFP.

RM17.3 juta untuk elak dipancung


Riyadh: Seorang lelaki yang didapati bersalah perlu membayar 20 juta riyal (RM17.3 juta) untuk mengelak daripada dihukum mati.

Menurut laporan akhbar Saudi, keluarga mangsa yang mati dibunuh Hussein Ali Al Rasheedi menetapkan jumlah itu sebagai syarat untuk mengampunkan perbuatannya.

Hussein dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Yanbu beberapa tahun lalu selepas mendapatinya bersalah membunuh mangsa dalam satu pergaduhan.

Dalam kenyataan yang diterbitkan akhbar Sabq, keluarga Hussein merayu orang ramai menyelamatkannya dengan berkata mereka hanya berjaya mengumpul sebahagian kecil daripada jumlah itu.

“Kami merayu semua dermawan untuk menyelamatkan nyawa anak kami kerana dia akan dipancung dalam masa beberapa bulan kecuali kami dapat membayar wang darah sebanyak 20 juta riyal,” menurut kenyataan keluarga itu.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Lelaki seret anjing dengan kereta kena kecam



RAKAMAN video menunjukkan seekor anjing yang diikat pada belakang sebuah kereta dan diseret di sebatang jalan raya di bandar Shantou di wilayah Guangdong, China baru-baru ini.


GUANGZHOU - Seorang lelaki di bandar ini 'diburu' berjuta-juta pengguna laman sosial selepas tindakannya mengheret seekor anjing dengan menggunakan sebuah kereta di sebatang jalan di bandar Shantou di wilayah Guangdong, China tersebar di internet, lapor London Evening Standard Online kelmarin.
Tindakan kejam lelaki tersebut dirakam dengan menggunakan telefon bimbit oleh seorang pengguna jalan raya sebelum memuat naik video berkenaan di laman sosial popular China, Weibo.
Video berkenaan memaparkan anjing berkenaan diseret di belakang kereta yang dipandu laju sehingga menyebabkan kakinya berdarah.
Pengguna laman sosial berkenaan yang terkejut dengan tindakan tersebut kemudiannya 'memburu' pemandu berkenaan dengan menyiasat latar belakangnya sebelum menyiarkan nama, alamat dan nombor telefon lelaki itu.
Ekoran itu, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Zheng membuat permohonan maaf di sebuah stesen televisyen tempatan selepas tertekan dengan dengan kecaman yang diterimanya.
"Saya sebenarnya mahu menghalau anjing itu kerana ia sering menggigit dan menyerang orang," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3EGnN6Ofb 
Hakcipta terpelihara 

Digelar Budak Ular kerana badan bersisik



ARI sukar untuk bergaul dengan remaja lain kerana ramai bimbang penyakit kulit yang dihidapinya boleh berjangkit.


JAKARTA - Gara-gara menghidap sejenis penyakit kulit yang ganjil, seorang budak lelaki berusia 16 tahun digelar 'Budak Ular' apabila memiliki tubuh yang dipenuhi sisik seperti reptilia sejak lahir, lapor MailOnline semalam.
Remaja tersebut, Ari Wibowo mendapat gelaran tersebut kerana setiap 41 hari, sisik pada kulitnya akan tertanggal dan diganti dengan sisik baharu seperti proses bersalin kulit yang dialami oleh seekor ular.
Doktor berkata, Ari yang tinggal di sebuah kampung di sini menghidap penyakit erythroderma yang juga dikenali sebagai sindrom lelaki merah menyebabkan kulit di seluruh badan menjadi bersisik dan mengelupas.
Kehidupan Ari didedahkan oleh seorang jurugambar Indonesia, Nurcholis Anhari Lubis yang merakam keadaan remaja itu.
"Ia sangat menyedihkan kerana dia lahir sebagai manusia tidak normal. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, seluruh tubuhnya diselaputi kulit bersisik. Ia kelihatan seperti luka terbakar," katanya.
Menurutnya, Ari perlu berendam di dalam air setiap sejam dan menyapu kulitnya dengan losen pelembap bagi mengelak kulitnya mengeras. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3EGnAzPTw 
Hakcipta terpelihara 

Projek ubah suai rumah Zuckerberg ganggu jiran


Penduduk di Dolores Park mengadu, kerja-kerja pengubahsuaian rumah Mark Zuckerberg mengganggu mereka. - AGENSI
SAN FRANCISCO 24 Sept. - Penduduk di kawasan perumahan pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg mengadu, kerja-kerja pengubahsuaian yang dijalankan di rumah jutawan itu menyebabkan mereka mengalami pelbagai masalah serta gangguan.
Mail Online melaporkan, penduduk di Dolores Park menyifatkan pengubahsuaian rumah Zuckerberg yang bernilai AS$10 juta (RM32.45 juta) sejak 17 bulan lalu telah mendatangkan masalah tempat letak kereta serta bunyi bising secara berterusan.
Rumah mewah yang dibina pada tahun 1920-an dan memiliki enam bilik itu, merupakan satu daripada empat buah rumah yang dibeli oleh Zuckerberg bersama isterinya, Priscilla Chan kerana lokasinya yang berhampiran dengan pejabat mereka.
Jutawan berusia 30 tahun itu mahu melakukan pengubahsuaian bagi membina beberapa bilik tambahan untuk dijadikan sebagai pejabat, bilik media, bilik air serta bar.
Seorang jiran yang enggan mendedahkan namanya memberitahu CBS San Francisco, kira-kira 50 buruh binaan bekerja di rumah berkenaan sehingga mengundang masalah lalu lintas serta bunyi bising.
"Dia (Zuckerberg) turut mengupah orang untuk menjaga kawasan tempat letak kereta sepanjang malam supaya buruh binaan boleh menggunakan ruang berkenaan.
"Itu tidak termasuk empat atau lima tempat letak kereta sudah digunakan untuk menempatkan peralatan pembinaan," jelas jiran tersebut.
Menurut laporan Bloomberg, Zuckerberg merupakan orang keempat terkaya di dunia dengan aset sebanyak AS$16.8 bilion (RM54.52 bilion).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140925/lu_12/Projek-ubah-suai-rumah-Zuckerberg-ganggu-jiran#ixzz3EGjKvAPr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Projek ubah suai rumah Zuckerberg ganggu jiran


Penduduk di Dolores Park mengadu, kerja-kerja pengubahsuaian rumah Mark Zuckerberg mengganggu mereka. - AGENSI
SAN FRANCISCO 24 Sept. - Penduduk di kawasan perumahan pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg mengadu, kerja-kerja pengubahsuaian yang dijalankan di rumah jutawan itu menyebabkan mereka mengalami pelbagai masalah serta gangguan.
Mail Online melaporkan, penduduk di Dolores Park menyifatkan pengubahsuaian rumah Zuckerberg yang bernilai AS$10 juta (RM32.45 juta) sejak 17 bulan lalu telah mendatangkan masalah tempat letak kereta serta bunyi bising secara berterusan.
Rumah mewah yang dibina pada tahun 1920-an dan memiliki enam bilik itu, merupakan satu daripada empat buah rumah yang dibeli oleh Zuckerberg bersama isterinya, Priscilla Chan kerana lokasinya yang berhampiran dengan pejabat mereka.
Jutawan berusia 30 tahun itu mahu melakukan pengubahsuaian bagi membina beberapa bilik tambahan untuk dijadikan sebagai pejabat, bilik media, bilik air serta bar.
Seorang jiran yang enggan mendedahkan namanya memberitahu CBS San Francisco, kira-kira 50 buruh binaan bekerja di rumah berkenaan sehingga mengundang masalah lalu lintas serta bunyi bising.
"Dia (Zuckerberg) turut mengupah orang untuk menjaga kawasan tempat letak kereta sepanjang malam supaya buruh binaan boleh menggunakan ruang berkenaan.
"Itu tidak termasuk empat atau lima tempat letak kereta sudah digunakan untuk menempatkan peralatan pembinaan," jelas jiran tersebut.
Menurut laporan Bloomberg, Zuckerberg merupakan orang keempat terkaya di dunia dengan aset sebanyak AS$16.8 bilion (RM54.52 bilion).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140925/lu_12/Projek-ubah-suai-rumah-Zuckerberg-ganggu-jiran#ixzz3EGjKvAPr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, September 24, 2014

Kereta kuasa solar dipandu dari Los Angeles ke San Francisco

SAN FRANCISCO: Sebuah kereta kuasa solar menamatkan perjalanannya dari Los Angeles ke San Francisco dengan digerakkan oleh sinaran matahari.
Pencipta kereta 'Stella' itu menarik perhatian orang ramai sepanjang perjalanannya di Lebuhraya Pasifik yang mempunyai pemandangan indah.
'Stella' adalah kereta futuristik yang mungkin menjadi impian kenderaan pada masa depan.
Ia mampu berjalan sejauh 800 kilometer dengan sekali caj - lebih jauh jika matahari menyinar - dengan mencatatkan kelajuan 80 batu sejam.
"Amat menyeronokkan apabila ramai yang melihat kami; ada yang tergesa-gesa mendapatkan telefon pintar mereka untuk merakam gambar ketika kami memandu," kata Lex Hoefsloot, Pengurus Pasukan Solar Eindhoven.
"Pada mulanya saya ingat kami (Stella) menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya dan bimbang pula kalau ada pemandu terlanggar kami ketika cuba merakam gambar," katanya.
Hoefsloot adalah salah seorang pelajar Universiti Teknologi Eindhoven di Belanda, yang mereka cipta dan membina Stella.
Ia kemudian menjadi projek sekolah sepenuhnya yang memenangi perlumbaan Kereta Dunia Solar di sekitar Australia pada 2013. - AFP

Pengasas laman Alibaba paling kaya di China

jack-ma-alibaba
Shanghai: Pengasas laman sesawang e-dagang Alibaba kini menjadi orang paling kaya di China ekoran sahamnya kini bernilai AS$25 bilion (RM81 bilion), lapor firma penganalisis semalam.

Penerbit majalah ekonomi Hurun Report, 2014 adalah tahun yang cemerlang untuk ahli perniagaan China ekoran perkembangan ekonomi negara itu yang rancak.


Sebelum membuta Alibaba, Ma adalah lelaki biasa yang tidak mendapat pendidikan istimewa kerana kemiskinan ibu bapanya.

Bapa Ma terpaksa bergantung kepada elaun persaraan bulaan kerajaan yang bernilai AS$40 (RM130) bagi menyara keluarga.


Untuk memulakan perniagaan, dia terpaksa meyakinkan rakannya untuk meminjamkan AS$60,000 (RM195,000) bagi memulakan perniagaan itu 15 tahun lalu.


Permohonan awal Ma kepada pemodal AS ditolak sebelumnya.

Kini syarikat itu mempunyai nilai lebih daripada AS$200 bilion (RM650 bilion) selepas tersenarai dalam Bursa Saham New York Jumaat lalu.

Penyenaraian laman sesawang Alibaba membolehkan Ma meraih lebih daripada AS$800 juta (RM260 bilion) melalui tawaran awam awal (IPO).

Tahun lalu nilai kekayaan Ma dianggarkan hanya AS$4 bilion (RM13 bilion) dan gagal menempatkan dirinya dalam kelompok 20 hartawan China. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Tayang Mercedes bertatah kristal


Namun seorang wanita Russia semalam mencipta penanda aras baru apabila hadir menayangkan keretanya, Mercedes CLS 350 yang dipakaikan dengan kristal mahal Swarovski.
Berdasarkan harga semasa, kereta itu bernilai £25,000 (RM133,000) tetapi perhiasan yang digunakan pada badannya dianggap mewah.

Pemiliknya, seorang siswi perniagaan dari Russia, Daria Radionova, 21, menjadikan kereta keluaran 2011 nampak amat bergaya.
Foto
KERETA Mercedes CLS 350 yang disalut kristal Swarovski.
Foto
KERETA Mercedes CLS 350 yang disalut kristal Swarovski.

Kata Daria, dia mahukan sesuatu yang unik dan istimewa pada kereta berkenaan.
“Kereta ini dihias oleh pereka dari Russia.

“Mereka bekerja selama 12 jam sehari selama dua bulan untuk menyiapkannya,” katanya.

Ketika muncul di Knightsbridge, tidak sukar untuk Daria menarik perhatian ramai.

Ke mana saja dia memandu, katanya, orang ramai pasti akan menoleh takjub.

Namun Daria tidak bercadang menyimpan kereta itu selamanya.

“Suatu hari nanti saya akan menjualnya dan wang berkenaan bakal didermakan untuk pertubuhan kebajikan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Dibakar hidup-hidup


24 September 2014


LUCKNOW - INDIA. Gara-gara menggunakan telefon bimbit, seorang remaja perempuan di India dibakar hidup-hidup oleh empat lelaki ketika mangsa keluar ke tandas di luar rumahnya di kampung Auraiya, Uttar Pradesh.

Menurut AFP, jurucakap polis, Akhilesh Chaurasiya memberitahu remaja berusia 17 tahun itu turut diserang kesemua suspek sebelum insiden menggemparkan itu berlaku pada malam Sabtu lalu.

"Siasatan awal mendapati mangsa bertengkar dengan mereka selepas dilarang menggunakan telefon bimbit kerana ia dianggap tidak bermoral oleh masyarakat tempatan," katanya.

Menurutnya lagi, remaja malang itu meninggal dunia akibat melecur teruk pada keesokan harinya.

Lelaki berjalan atas tali sejauh 224 meter tanpa alat keselamatan


MITTERMAIER tidak menggunakan sebarang peralatan keselamatan ketika berjalan di atas tali pada ketinggian 199 meter.


SWITZERLAND - Seorang lelaki Jerman, Julian Mittermaier, 21, mencipta rekod berjalan di atas tali sejauh 224 meter merentangi Empangan Mauvoisin di sini, lapor akhbar The Sun semalam.
Lokasi tersebut pernah dijadikan penggambaran untuk filem James Bond, GoldenEye pada tahun 1995.
Mittermaier yang menetap di Regensburg, Jerman berada pada ketinggian 199 meter dari atas tanah dan tidak memakai sebarang peralatan keselamatan sewaktu melakukan aksi berani itu.
Dia berjaya melaksanakan misi tersebut pada Ogos lalu, namun gambarnya baru sahaja disiarkan semalam.
"Saat saya menjejakkan kaki di atas tanah, barulah saya rasa teruja kerana berjaya melakukan aksi tersebut," kata Mittermaier. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3EDp2olXd 
Hakcipta terpelihara 

Penyepit makanan tertusuk pada hidung kanak-kanak


Doktor terpaksa mengambil masa selama empat jam untuk mengeluarkan penyepit yang tertusuk di hidung Huang Zicheng di wilayah Hubei, China, kelmarin. - AGENSI
BEIJING 23 Sept. - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun terpaksa menahan kesakitan selepas hidungnya tertusuk sebatang kayu penyepit makanan secara tidak sengaja, kelmarin.
Menurut laman web mirror.co.uk, sekumpulan doktor terpaksa mengambil masa selama empat jam untuk mengeluarkan penyepit yang menembusi ke bahagian otak mangsa sedalam tiga inci.
Huang Zicheng dari Wuhan di wilayah Hubei bagaimanapun bernasib baik kerana penyepit tersebut tidak terkena sarafnya.
Bapanya berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila terdengar Zicheng menangis.
"Saya terkejut kerana apabila berpaling ke arah Zicheng, sebatang penyepit makanan telah tertusuk di hidungnya," ujarnya.
Awal tahun ini, seorang bayi, 18 bulan, Li Kaiyi, terpaksa dikejarkan ke hospital selepas penyepit tertusuk ke dalam mulutnya ketika dia terjatuh semasa sedang berlari.
Ketika kejadian, Kaiyi dari bandar Yueyang di wilayah Hunan sedang bermain di rumahnya jirannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_10/Penyepit-makanan-tertusuk-pada-hidung-kanak-kanak#ixzz3EDlWUB00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi ada 'ekor' selamat dibedah


Seorang bayi dilahirkan mempunyai ekor yang merupakan daging saudara kembarnya. - AGENSI
GUJARAT 23 Sept. - Seorang bayi yang baru lima hari dilahirkan, terpaksa menjalani pembedahan selepas doktor mendapati dia memiliki lebihan daging yang menyerupai ekor di belakang badan.
Mail Online melaporkan, bayi yang masih belum diberikan nama itu terpaksa menjalani pembedahan selama empat jam untuk membuang daging seberat 350 gram tersebut.
Menurut doktor, daging berkenaan merupakan saudara kembar bayi tersebut yang mengalami masalah pertumbuhan anatomi tidak lengkap yang dipanggil sebagai kembar siam 'heteropagus' iaitu keadaan di mana kembar kepada bayi tidak berkembang sempurna.
Ibu bayi terbabit, Jamnibhen Patel, 30, berkata, dia terkejut dengan masalah kesihatan yang dialami oleh anak keempatnya itu dan mengakui pembedahan terpaksa dijalankan bagi mengelak daripada berlakunya penyakit kanser di kemudian hari.
"Saya tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat keadaan anak saya. Bagaimanapun, saya berasa sangat gembira dia sudah menjalani pembedahan dan doktor mengesahkan anak saya sihat.
"Oleh kerana masalah kewangan yang kami hadapi, kami terpaksa meminjam wang sebanyak 1,000 pound (RM5,268) bagi membolehkan pembedahan dijalankan," kata Jamnibhen.
Pengerusi Hospital Ahmedabad, Dr. Rohit Joshi di mana bayi berkenaan menjalani pembedahan berkata, kembar siam 'heteropagus' berlainan dengan kembar siam lain kerana tidak melibatkan penyambungan organ-organ utama badan seperti salur darah, perut atau tulang.
"Keadaan ini sering berlaku di India serta negara-negara Afrika dan masalah ini boleh dikesan melalui ujian ultra bunyi dan imbasan MRI," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_09/Bayi-ada-ekor-selamat-dibedah#ixzz3EDl4O8rm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, September 23, 2014

Dipaksa tidur 1,800 lelaki


Anak seorang wanita yang terbabit dalam satu ajaran sesat berikrar dia tidak akan memaafkan ibunya, Jacqueline Marling, yang kejam kerana memaksanya tidur dengan 1,800 lelaki.

Wanita itu, Annabelle Forest berkata, dia dipaksa melihat ibunya melakukan seks dengan pemimpin ajaran sesat, Colin Batley sebagai sebahagian proses memasukkannya ke dalam kumpulan itu ketika dia berusia tujuh tahun.

Pada usia 11 tahun, dia diperkosa Batley, kejadian yang disifatkannya sebagai ‘paling sakit dan mengejutkan pernah dialaminya.’ Annabelle mendedahkan pengalamannya itu dalam wawancara dengan Wales Online, semalam.

Dia juga menceritakan secara terperinci mengenai pengalaman perit dilaluinya selama 10 tahun dalam buku berjudul ‘The Devil on the Doorstep: My Escape from a Satanic Sex Cult.’ “Selepas diperkosa, dia (Batley) bertanya sama ada saya seronok.

“Saya tahu apa yang perlu saya jawab.

Saya kata seronok.

“Tetapi di dalam hati, saya merasakan seperti hendak mati,” kata Annabelle dalam bukunya itu.


Bagaimanapun, kejadian paling buruk menyusuli apabila dia didera secara seksual oleh ibu kandungnya sendiri ketika berusia 14 tahun.

“Ibu saya wanita jahat dan saya tidak boleh memaafkannya,” kata Annabelle.

Menurutnya, dia dipaksa tidur dengan 1,800 lelaki untuk mengutip dana bagi gereja milik agama itu.

“Saya menjadi pelacur untuk membantu kumpulan itu.


Siang saya ke sekolah.

Malam saya dipaksa melacur,” kata Annabelle di dalam bukunya itu.

Batley dan Jacqueline dipenjara pada 2011 selepas didapati bersalah mendera Annabelle secara seksual.

Fahaman ajaran mereka berdasarkan buku berjudul Book of the Law karangan Aleister Crowley.

Mereka membuat kanak-kanak beranggapan cara mendekatkan diri dengan tuhan ialah dengan melakukan seks.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Monday, September 22, 2014

iPhone 6 untuk tambat semula hati isteri


Bristol: Seorang lelaki sanggup menunggu di kedai Apple selama 44 jam untuk membeli telefon iPhone 6 dalam usaha menambat semula hati isterinya.

Darius Wlodarski mula beratur di Cabot Circus, Bristol di barat daya England, Rabu lalu, hampir dua hari sebelum telefon bimbit terbaru itu mula dijual.


Dia antara yang berada di barisan depan sebelum orang lain beratur kerana mahu memastikan dia dapat membeli telefon itu.

Wlodarski, 41, kelahiran Poland yang berpisah dengan isterinya, Joanna bulan lalu mengaku masalah rumah tangganya berpunca daripadanya.


“Selepas 20 tahun berkahwin, dia meninggalkan saya bulan lalu kerana saya bukan suami dan bapa yang baik.


“Saya banyak melakukan kesilapan. Saya mahu meminta maaf kepada isteri dan anak saya.”

Selepas membeli iPhone pertama untuk isterinya beberapa tahun lalu, Wloddasri berharap model terbaru itu akan menggembirakannya, sekali gus bersedia untuk memaafkannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Pengemis hidup mewah



Beijing: Cerita mengenai peminta sedekah memiliki kereta mahal dan tinggal di hotel mewah tidak terhad di satu tempat saja.

Laporan terbaru disiarkan akhbar Nanyang Business Daily mendedahkan beberapa pengemis profesional menjalani kehidupan mewah, berbelanja di pusat beli-belah ternama dan memperoleh pendapatan sehingga RM45,000 sebulan.

Seorang jurugambar akhbar itu yang mengekori tiga pengemis ‘senior’ di Zhengzhou baru-baru ini, mendedahkan penemuan mengejutkan mengenai gaya hidup mereka.

Laporan akhbar itu berserta dengan gambar berjudul ‘Sehari dalam kehidupan pengemis profesional’ menjadi viral di media sosial negara itu, mencetuskan perbahasan mengenai bantuan kepada pengemis jalanan berbanding membuat sumbangan kepada badan kebajikan disahkan.

Laporan itu menunjukkan bagaimana sebuah ‘keluarga pengemis’ memulakan kehidupan seharian mereka dengan memakan burger di restoran segera untuk sarapan, daging dan bir untuk makan tengah hari, tembikai dan aiskrim ketika minum petang dan makan malam di restoran hotel lima bintang.

Ia juga menunjukkan mereka berbelanja di kedai barang mewah seperti Cartier.

Ketika mengemis siang hari, dua daripada mereka berpura-pura sakit dan terbaring di jalan raya sementara seorang lagi merayu wang daripada orang ramai.

Menurut laporan itu, berdasarkan pengamatan wartawannya, pengemis itu memperoleh antara RM1,000 dan RM1,500 sehari, menjadikannya RM45,000 sebulan.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

Lelaki dirasuk kemaruk darah


Algiers: Seorang lelaki yang didakwa dirasuk jin, bertukar menjadi pontianak apabila mula menyerang penduduk dan haiwan di kampungnya untuk menghisap darah.

Akhbar di Algeria memetik keluarga Abdul Hadi sebagai berkata, lelaki itu dirasuk jin perempuan bernama ‘Ratu Najma binti Al Ahmar.’ Menurut mereka, keinginan Abdul Hadi terhadap darah semakin menjadi-jadi sejak beberapa hari lalu.

“Dia akan membaca mantera sekuat hati.



Kadang kala dia pengsan.

Mukanya akan berkerut sementara matanya putih.


Dia mengejar jiran dan haiwan untuk menghisap darah mereka.


“Kami tidak ada jalan lain, kecuali mengurungnya,” kata seorang anggota keluarga lelaki itu.

Menurut akhbar, Abdul Hadi menetap di bandar Girdaya di selatan Algeria.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

Unta RM6.8 juta


Unta muda itu dijual oleh tuannya, Alian Rashid Al Tuhaimi kepada Saleh Brak Al Rashidi, dua pemilik ladang unta terkenal di Arab Saudi. 
Laporan akhbar Sabq, unta itu dari baka yang sukar didapati. 

“Ia mendapat harga paling tinggi tahun ini dan antara yang paling tinggi dibayar untuk seekor unta Arab Saudi,” lapor akhbar itu.
Foto
UNTA yang dijual dengan harga RM6.8 juta.

Urusan jual beli itu dilakukan menjelang pertandingan ratu cantik unta yang akan diadakan di negara itu bulan depan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Seluruh pasukan Cameroon peluk Islam


Benoit Assou-Ekotto (depan, kanan) antara pemain beragama Islam dalam skuad kebangsaan Cameroon.
Benoit Assou-Ekotto (depan, kanan) antara pemain beragama Islam dalam skuad kebangsaan Cameroon.
MENURUT laporan Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Kebajikan Dubai (IACAD), Emiriyah Arab Bersatu, kesemua anggota pasukan bola sepak pelapis kebangsaan Cameroon termasuk jurulatih dan paderi mereka telah memeluk agama Islam.

Anggota pasukan Cameroon yang rata-rata dalam lingkungan 20-an mengucap dua kalimah syahadah beramai-ramai setelah menghadiri satu kem latihan yang dianjurkan jabatan tersebut di Dubai, baru-baru ini.

Menurut IACAD, keputusan itu diambil kerana mereka tertarik dengan layanan baik dari warga tempatan serta keamanan dan ketenangan yang dapat dirasakan di dalam Islam.

Pasukan Cameroon berasal dari akademi bola sepak yang ditubuhkan khas untuk anak-anak yatim, orang gelandangan dan orang miskin.

Ketua Pengarah IACAD, Dr Hamad Al Shaibani berkata, jabatan tersebut telah menyaksikan ramai penduduk dan pelancong dari pelbagai kewarganegaraan memeluk Islam.

“Kebanyakan mereka memeluk agama Islam kerana tertarik dengan nilai-nilai toleransi berperikemanusiaan dan prinsip Islam serta kebajikan yang ditunjukkan oleh orang Islam itu sendiri,” katanya.

Sunday, September 21, 2014

Ketagih makan kucing


“Apa salahnya makan kucing,” kata Tran Qui selepas dia ditahan kerana memanggang seekor kucing bernama Mungo milik seorang pesara tempatan.
Kini, pemilik kucing di Andernach di Rihneland terpaksa mengurung haiwan peliharaan masing-masing selepas Qui disyaki membunuh dan memakan 30 kucing yang hilang sejak beberapa bulan lalu.

Seorang jurucakap polis berkata: “Dia memasak haiwan itu di luar rumah. Mungkin sudah menjadi budaya Asia memakan daging kucing. Tetapi di Jerman, ia tidak boleh diterima.”
Foto
DAGING kucing dimasak di sebuah restoran di Vietnam.

Seorang penduduk, Christina Sarwatka berkata, 30 kucing hilang baru-baru ini.

“Saya tidak akan biarkan kucing saya keluar lagi. Saya bimbang dia akan dimakan oleh lelaki itu,” katanya.

Qui, bapa lima anak, tinggal di bandar itu sejak dua tahun lalu dan berkata, dia merindui ‘masakan Vietnam.’ 

“Kerana itu saya masak daging kucing dan memakannya,” katanya.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21