Pages

Friday, August 8, 2014

Mencari pasangan hidup di 'pasar cinta'

Mencari pasangan hidup di 'pasar cinta'
Vang Thi Xo meniup daun di
pekan Sapa. - Foto AFP 
Sapa: Temujanji memang bukan perkara mudah tetapi untuk mencari pasangan sesuai apabila menetap di perkampungan kecil dan terpinggir di kawasan pergunungan di Vietnam, ia hampir mustahil.

Penyelesaiannya cuma dengan satu cara: pasar cinta.

Selama beberapa generasi, penduduk muda daripada etnik minoriti di utara Vietnam mengunjungi pekan Sapa setiap malam Sabtu dengan harapan menemui bakal pasangan hidup.
“Ia sungguh mengujakan. Saya mahu melihat jika berpeluang menemui gadis yang baik,” kata pemuzik tradisi Hmong, Giang A Vang, 50, mengenai lawatan pertamanya ke pasar cinta tiga dekad lalu. Seorang gadis kelihatan menonjol di kalangan ramai pengunjung ketika itu.

“Apabila melihatnya buat kali pertama, saya memainkan biola saya. Saya bertanya sama ada beliau menyukainya, menyukai saya. Saya agak gemuruh,” katanya.

Vang tidak bertepuk sebelah tangan. Beberapa minggu kemudian, beliau kembali ke pasar itu untuk bertemu kekasihnya, Vang Thi Xo dan bermain muzik bersama-sama sebagai tanda upacara percintaan Hmong, Vang memainkan biola dan kekasihnya meniup daun.

Minoriti Hmong meniupkan daun, selalunya daun pisang, dengan menggulungkan ia dan meletakkan ia pada mulut supaya ia bergegar apabila ditiup yang menghasilkan bunyi kuat.
Pasangan itu berkahwin tidak lama kemudian dan masih bersama sejak itu. - AFP

Terkahwin kakak sendiri


Sao Paulo, Brazil: Seorang wanita yang mencari ibunya selepas terpisah sejak kecil terkejut apabila mendapat tahu dia sebenarnya bersekedudukan dan berkahwin dengan adik lelaki kandungnya.

Adriana, 39, dan suaminya Leandro, 37, yang sudah berkahwin sejak tujuh tahun lalu juga mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun.

Pasangan itu yang enggan mendedahkan nama keluarga masing-masing berusaha mencari ibu mereka sebelum ini yang dianggap kebetulan bernama Maria.

Mereka ditinggalkan ibu ketika masih kecil.



Namun kedua-duanya jauh sekali tidak menyangka ‘Maria’ sebenarnya orang sama.

Adriana yang juga jurujual kosmetik kali terakhir melihat ibunya ketika berusia setahun dan sejak itu dibesarkan ayahnya.

Pada masa sama, pemandu lori Leandro yang dibesarkan ibu tirinya tahu dia ditinggalkan ibu kandung ketika berusia lapan tahun.

Leandro membesar di Sao Paolo manakala Adriana meninggalkan bandar itu bekerja sebagai pembantu rumah dan selama 15 tahun dan mempunyai tiga anak.

Dia menemui Leandro 10 tahun lalu selepas bercerai dengan bekas suaminya lalu pulang ke Sao Paolo.

Mereka hidup bersama tidak lama kemudian dan Adriana menghubungi stesen radio tempatan untuk terus mendapat bantuan mencari ibunya.

Adriana dan Maria akhirnya ditemukan dalam rancangan temu bual radio namun pada akhir rancangan berkenaan, si ibu mendedahkan dia juga mempunyai anak lelaki bernama Leandro.

Mereka akhirnya menyedari Leandro adalah kekasih Adriana menyebabkan dia menangis.

“Saya tidak percaya ini berlaku.

Sekarang saya takut pulang kerana bimbang Leandro membenci saya sedangkan saya terlalu mencintainya,” katanya.


Bagaimanapun, Leandro dan Adriana kemudian berkata mereka tidak akan berpisah.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Baiki jalan di lereng gunung di China



SEBUAH trak melalui jalan yang sempit itu.


QIAOJIA, China - Sejumlah orang pekerja menggunakan beberapa buah jentera membaiki sebatang jalan sempit di lereng sebuah gunung di daerah Zhaotong, wilayah Yunaan semalam.
Jalan yang dibaiki itu menghubungkan kampung Hongshiyan di kawasan perbandaran Qiaojia di daerah Zhaotong, barat laut Yunnan.
Jalan raya itu rosak akibat gempa bumi kuat yang berskala 6.1 pada skala Richter menyebabkan hampir 600 orang terbunuh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39kPXP351 
Hakcipta terpelihara 

Beri makan ikan jerung tanpa memakai pakaian perlindungan



ZENATO (kiri) memberi ikan sebagai makanan kepada beberapa ekor ikan jerung di dalam Akuarium S. E. A di Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Seorang aktivis alam sekitar, Cristina Zenato melakukan aksi berbahaya apabila dia memberi makan sekawan ikan jerung menggunakan tangannya, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Wanita itu dirakamkan mengambil ikan dari dalam sebuah baldi lantas dihulur ke mulut beberapa ekor ikan jerung yang berenang di dasar Akuarium S.E.A di sini baru-baru ini.
Dia hanya memakai sut berantai sebagai perlindungan semasa melakukan aksi berisiko tersebut.
Penyelam Itali itu menyelam bersama ikan jerung sejak hampir 20 tahun lalu.
Namun, dia masih memakai sut selam berantai sebagai persediaan jika ikan pemangsa tersebut bertindak untuk menggigitnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz39kOvjRO5 
Hakcipta terpelihara 

Guna duit syiling bayar saman


GAMBAR bertarikh 31 Julai lalu merakamkan Andres Carrasco bergambar bersama beberapa baldi yang mengandungi duit syiling, sebahagian daripada ganti rugi yang dimenanginya dalam tuntutan ke atas syarikat insurans, Adriana. - AGENSI
LOS ANGELES 7 Ogos - Sebuah syarikat insurans Amerika Syarikat menggunakan duit syiling bagi menyelesaikan sebahagian daripada tuntutan saman seorang lelaki warga emas di sini, kata peguambelanya, semalam.
Lelaki itu, Andres Carrasco, 76, menerima kira-kira 17 buah baldi yang mengandungi ribuan duit syiling 25 sen, lima sen, 10 sen dan satu sen daripada syarikat perkhidmatan insurans, Adriana yang dianggarkan berjumlah kira-kira AS$20,000 (RM64,053).
Ganti rugi itu hasil daripada saman yang difailkan Carrasco ke atas firma yang beribu pejabat di Rancho Cucamonga tersebut pada 2012.
Lelaki dari Los Angeles Timur itu mendakwa, semasa dia cuba mendapat penjelasan daripada syarikat berkenaan berhubung pembatalan insuransnya secara automatik, seorang ejen firma itu bertindak mengasari dan menghalaunya dari pejabat syarikat tersebut.
Syarikat itu kemudiannya mencapai penyelesaian dengan warga emas berkenaan berhubung kes tersebut pada Jun lalu dan mula membayar sebahagian daripada ganti rugi yang tidak dinyatakan pada minggu lalu dalam bentuk cek serta meninggalkan beberapa buah baldi di pejabat peguam tersebut.
Peguambela itu, Antonio Gallo berkata, dia enggan menerima baldi berkenaan kerana tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar wang di dalam baldi tersebut, namun baldi itu diletakkan semula di pejabatnya pada keesokan harinya semasa dia berada di mahkamah.
"Menurut pembantu saya, sebanyak lapan lelaki datang dan meletakkan baldi-baldi itu di ruang lobi pejabat.
"Terdapat kira-kira 17 buah baldi dan setiap satu baldi dianggarkan seberat 31 kilogram hingga 45 kilogram. Saya hanya mengandaikan kerana saya tidak mampu meng­angkatnya," kata Gallo yang enggan mendedahkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Adriana dan menganggarkan kesemua baldi itu mengandungi wang berjumlah AS$20,000 (RM64,053).
Sementara itu, Carrasco berkata, dia berasa kecewa dengan cara Adriana melayan pelanggannya lebih-lebih lagi warga emas sepertinya.
"Kami mungkin orang miskin, namun kami juga manusia," kata Carrasco kepada KNBC-TV manakala cubaan untuk menghubungi peguam Adriana, Edvin Flores gagal. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_14/Guna-duit-syiling-bayar-saman#ixzz39kJwUJsD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, August 7, 2014

Lelaki Saudi bakal kempunan beristeri warga Asia Selatan


Makkah: Akhbar tempatan semalam melaporkan lelaki Arab Saudi kini dilarang berkahwin dengan wanita Bangladesh, Pakistan, Chad dan Myanmar.

Ketua Polis Makkah, Mejar Jen Assaf Al-Qurashi mengumumkan peraturan terbaru itu kelmarin.



Menurut data tidak rasmi, terdapat kira-kira 500,000 wanita dari empat negara terbabit kini menetap di Arab Saudi.

Tindakan kerajaan itu dilihat sebagai langkah mengurangkan lelaki tempatan memilih wanita warga asing sebagai pasangan hidup.

Jika sebelum ini niat mereka dapat dilaksanakan dengan mudah, peraturan terbaru berkenaan memperlihatkan keinginan itu akan berdepan pelbagai proses lebih rumit.

Assaf berkata, mana-mana lelaki yang ingin mengahwini wanita asing perlu mendapatkan kebenaran kerajaan terlebih dulu dan mengisi borang permohonan perkahwinan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Larangan berimej Islam di Karamay

Larangan berimej  Islam di Karamay
 Polis memegang sepanduk ketika majlis penganugerahan untuk mereka yang menyertai aktiviti untuk membanteras jenayah dan keganasan di Hotan, Xinjiang. - Foto Reuters 
2014/08/07 - 06:30:56 AM

Tak boleh pakai hijab, berjanggut, guna lambang bulan sabit, bintang naik bas



Beijing: Bandar raya di wilayah Xinjiang melarang penduduk bertudung, memakai hijab dan menyimpan janggut panjang menaiki bas, ketika kerajaan berdepan ketegangan dengan dasar yang dikatakan pengkritik mendiskriminasi penduduk Islam. Xinjiang, yang diduduki penduduk Muslim Uighur yang bercakap bahasa Turkestan, berdepan keganasan sejak bertahun-tahun yang dipersalahkan kerajaan ke atas pemisah.


Pihak berkuasa melarang lima golongan penumpang, iaitu mereka yang memakai hijab, tudung, jubah, pakaian dengan lambang bulan sabit dan bintang serta yang menyimpan janggut panjang, daripada menaiki bas di bandar raya Karamay, lapor media.


Mahu negara bebas

Simbol bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam tertera pada banyak bendera negara, selain yang digunakan beberapa kumpulan di China yang berkata mahu menubuhkan negara bebas, Turkestan Timur.
Peraturan bertujuan membantu mengukuhkan keselamatan sepanjang 20 Ogos ini ketika satu acara sukan dan akan dikuatkuasakan pasukan keselamatan, menurut akhbar Karamay Daily Isnin lalu.

“Sesiapa yang tidak mematuhi arahan, terutama lima golongan itu, laporan polis akan dibuat,” menurut akhbar itu.

Julai lalu, pihak berkuasa di ibu negeri Xinjiang, Urumqi melarang penumpang bas membawa barangan daripada pemetik api kepada dadih dan air, dalam usaha menghalang serangan ganas.

Kumpulan Uighur dalam buangan dan aktivis hak kemanusiaan berkata dasar menindas kerajaan di Xinjiang, termasuk mengawal Islam, mencetuskan ketegangan, dakwaan yang dinafikan Beijing.


Dasar perkauman

“Pegawai di bandar raya Karamay meluluskan dasar perkauman dan diskriminasi terbuka yang disasarkan kepada penduduk biasa Uighur,” kata Presiden Persatuan Uighur Amerika, Alim Seytoff, dalam kenyataan melalui e-mel.

Walaupun ramai wanita Uighur memakai gaya kasual sama seperti di tempat lain di China, sebahagiannya mula memakai hijab, pakaian yang biasa di Pakistan atau Afghanistan berbanding Xinjiang.

Polis menawarkan ganjaran wang bagi maklumat mengenai semua perkara daripada latihan keganasan kepada penduduk yang berjanggut panjang.

Beratus-ratus penduduk maut dalam ketegangan di Xinjiang sejak 18 bulan lalu tetapi keselamatan ketat menjadikan sukar untuk wartawan membuat penilaian bebas mengenai keganasan itu.

Kira-kira 100 maut apabila penyerang bersenjatakan pisau melancarkan serangan di dua bandar di selatan wilayah itu Julai lalu, lapor media, termasuk 59 yang ditembak mati oleh polis.

Pengebom bunuh diri mengorbankan 39 orang di pasar di Urumqi Mei lalu.

Reuters

China haramkan lelaki berjambang naik bas

Sekatan kebebasan beragama akan meningkatkan lagi ketegangan di wilayah Xinjiang.
Sekatan kebebasan beragama akan meningkatkan lagi ketegangan di wilayah Xinjiang.
BEIJING - CHINA.  Pihak berkuasa Karamay di wilayah Xinjiang, China telah mengharamkan penduduk berjambang atau berpakaian Muslim menaiki bas awam dan mereka yang mengingkari arahan akan ditahan.

Menurut laporan media Karamay Daily, mereka yang memakai niqab, hijab, burka atau sebarang pakaian yang mempunyai simbol bintang dan bulan sabit dilarang mengambil bas tempatan untuk ke mana-mana di sekitar bandar.

Jurucakap Kongres Uyghur Dunia (WUC) Dilxat Reaxit berkata, pengharaman tersebut mendorong kemarahan kumpulan hak asasi manusia luar negara dan menyifatkan sekatan ke atas kebebasan agama dan budaya masyarakat minoriti Islam Uighur telah mencetuskan
ketegangan.

"Sekatan yang dikenakan oleh Karamay adalah langkah diskriminasi biasa yang menambahkan lagi ketegangan antara Uighur dan Beijing,"katanya dipetik Channel News Asia

Difahamkan, keputusan terbabit dikeluarkan sehari selepas ketua masjid terbesar di China yang dilantik kerajaan terbunuh selepas mengimamkan solat subuh di bandar Kashgar.

Ramadan lalu, kerajaan China menguatkuasakan larangan berpuasa ke atas pelajar dan kakitangan kerajaan selain telah menggalakkan penduduk tempatan di wilayah terbabit tidak memakai tudung.

Ancaman kepada industri penerbangan


PAKAR keselamatan siber, Ruben Santamarta mendedahkan cara untuk menggodam peralatan komunikasi satelit melalui WiFi dan sistem hiburan yang terdapat pada pesawat komersial. - AGENSI
BOSTON 6 Ogos - Pakar keselamatan siber, Ruben Santamarta mendedahkan, peralatan komunikasi satelit pesawat komersial boleh digodam termasuk melalui sistem hiburan dalam pesawat dan teknologi jalur lebar (WiFi), sekali gus meningkatkan risiko ancaman siber terhadap tahap keselamatan pesawat dan penumpang.
Santamarta yang merupakan perunding firma keselamatan siber, IOActive berkata, beliau menemukan kelemahan tersebut melalui proses 'pembalikan kejuruteraan' atau mentafsirkan kod ke atas perisian khas yang dikenali sebagai 'firmware' (program perisian kekal) buatan lima syarikat teknologi iaitu Cobham Plc, Harris Corp, EchoStar Corp's Hughes Network Systems, Iridium Communications Inc dan Japan Radio Co Ltd. yang digunakan untuk operasi peralatan komunikasi.
Secara teori katanya, penggodam boleh menggunakan isyarat WiFi atau sistem hiburan dalam pesawat untuk menggodam peralatan penerbangan, sekali gus berpotensi mengganggu atau mengubah komunikasi satelit, termasuk mengusik sistem keselamatan dan laluan pesawat.
Jelas pakar berusia 32 tahun itu, satu kelemahan paling ketara yang ditemukan pada peralatan buatan lima firma berkenaan adalah pengesahan daftar masuk sistem yang menggunakan kod kekal (hardcoded) yang dicipta untuk membolehkan juruteknik mengakses mana-mana peralatan atau program menggunakan kata daftar masuk dan kata kunci yang sama.
"Penggunaan kod kekal membolehkan penggodam mendapatkan kata kunci dengan menggodam program perisian kekal sebelum menceroboh sistem yang lebih sensitif," katanya.
Bagaimanapun Santamarta mengakui, ujian itu dilakukan olehnya dalam situasi terkawal di makmal IOActive di Madrid, dan pencerobohan sistem tersebut sukar dilakukan pada situasi sebenar.
"Soalnya adalah, peralatan komunikasi yang terdapat pada pesawat boleh digodam dan saya berharap kajian yang saya lakukan akan mengubah keadaan itu.
"Saya juga akan membawa perkara ini kepada umum supaya syarikat elektronik yang bertanggungjawab memasang peralatan pada pesawat dapat memperbaiki kelemahan yang didedahkan," katanya.
April lalu, Santamatra mengeluarkan laporan kajian setebal 25 muka surat yang menjelaskan beberapa kelemahan yang terdapat pada program perisian buatan Cobham, Harris, Hughes, Iridium dan Japan Radio Co. yang digunakan pada peralatan komunikasi satelit.
Selain digunakan dalam industri penerbangan, program terbabit turut digunakan dalam industri aeroangkasa, ketenteraan, pengangkutan maritim, tenaga dan komunikasi. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_13/Ancaman-kepada-industri-penerbangan#ixzz39eZJUrnj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, August 6, 2014

Soya berlebihan bawa kesan buruk

Air soya kaya dengan antioksidan isoflavone yang juga bersifat xenoestrogen. - Foto Internet
Air soya kaya dengan antioksidan isoflavone yang juga bersifat xenoestrogen. - Foto Internet
GOLONGAN lelaki yang makan 20 gram kacang soya setiap hari selama dua minggu mengundang risiko mengalami penurunan paras hormon testosteron. Malah mereka juga akan mengalami peningkatan paras hormon kortisol.

Kombinasi penurunan paras testosteron dan peningkatan paras kortisol ini mendedahkan seseorang kepada pembentukan pelbagai penyakit. Penemuan tersebut berdasarkan kajian saintis dari University of Connecticut yang membandingkan kesan pengambilan protein kacang soya dan protein dadih susu (whey) terhadap proses pengembalian dan tumbesaran otot.

Kajian berbentuk rawak dan plasebo terkawal bersilang (randomized, placebo-controlled crossover) yang dilaporkan dalam Journal of the American College of Nutrition (JACN) menunjukkan kesan pengambilan suplemen soya kepada testosteron, kortisol dan paras hormon seks lekatan globulin (SHBG, sex hormone-binding globulin) pada lelaki yang menjalankan senaman dan latihan berhalangan (resistance exercise). Saintis membandingkan kesan itu dengan mereka yang mengambil suplemen dadih susu.


Fenomen keperempuanan

Dalam kajian tersebut hormon 10  lelaki berusia awal 20an diarahkan hanya mengambil suplemen berdasarkan jenis yang dirancang. Subjek kajian dibahagikan tiga kumpulan iaitu mengambil protein dadih susu; mengambil protein soya; dan mengambil plasebo maltodextrin.

Setiap subjek kajian diarahkan mengambil 20 gram suplemen seperti dirancang untuk dua minggu. Mereka kemudian diarah untuk menjalankan enam set cangkungan berhalangan berat yang melebihi 80 peratus keupayaan daya angkatan mereka. Pada penghujung hari ke 14, penyelidik mengambil profil hormon daripada setiap subjek dan seterusnya menjalankan perbandingan.

Mereka mendapati setiap subjek kajian yang mengambil protein kacang soya mengalami penurunan paras testosteron dan pada masa sama mengalami peningkatan paras kortisol. Kombinasi penurunan paras testosteron dan peningkatan kortisol mendedahkan diri mereka kepada peningkatan berat badan serta meningkatkan risiko untuk mengalami pelbagai penyakit.

Fenomena ‘keperempuanan’ (feminization phenomenon) memang boleh berlaku kepada lelaki jika mereka mengalami paras testosteron rendah dan pada sama paras kortisol tinggi. Lelaki yang mengalami fenomena tersebut akan mengalami sifat fizikal orang perempuan iaitu pertumbuhan puting payu daya, pembesaran payu dara dan hot flashes.

Pada masa sama mereka juga boleh mengalami masalah kesihatan seperti tulang menjadi rapuh, fungsi tiroid terganggu, masalah tidur, fungsi seks terganggu dan masalah reproduktif.

Penemuan utama saintis tersebut ialah pengambilan suplemen protein kacang soya selama 14 hari menyebabkan paras testosteron darah berkurangan. Protein dadih susu pula mempengaruhi pengeluaran kortisol selepas seseorang menjalani senaman berhalangan dengan cara menghalang peningkatannya.

Dengan kata lain, protein kacang soya bukanlah bahan sesuai diambil oleh mereka yang melakukan latihan jenis berat bagi mengembalikan dan membesarkan otot. Protein kacang soya dikatakan memiliki kekurangan dari segi profil asid amino untuk membina otot.

Ini jelas menyebabkan seorang lelaki mengalami kekurangan kemaskulinan seperti kehilangan sifat dan imej kelelakian. Penulis pernah diberitahu seseorang mengenai kanak-kanak yang sering mengambil produk berasaskan kacang soya secara berpanjangan boleh menyebabkan mereka menjadi ‘lembut’. Maksud lembut di sini ialah kelakuan dan tindak-tanduk kanak-kanak itu lebih keperempuanan. Penulis hanya tersenyum dan menganggapnya hanya gurauan.

Namun pada masa sama penulis tahu kacang soya kaya dengan bahan kimia yang dikenali sebagai xenoestrogen. Xenoestrogen ialah bahan kimia yang boleh melekap pada reseptor estrogen dalam tubuh manusia. Struktur kimia xenoestrogen tidak serupa dengan struktur kimia estrogen. Selain kacang soya, bahan diperbuat daripada pelbagai jenis plastik dikatakan bertindak sebagai xenoestrogen.

Pada zaman moden ini boleh dikatakan setiap hari kita terdedah kepada bahan plastik terutama dalam bentuk bungkusan makanan. Air berasid dan panas, contohnya air teh limau panas dan mi sup panas yang dibungkus dengan plastik dikatakan menyebabkan bahan kimia plastik larut ke dalam air dan makanan.

Gelas yang digunakan di kebanyakan restoran juga turut menggunakan bahan plastik. Ia juga tidak ketinggalan digunakan di sesetengah rumah terutama jika penghuninya tidak ambil berat mengenai keterlarutan bahan plastik oleh air panas dan larutan berasid.


Bersifat karsinogen

Bagaimana dengan melamin yang pernah heboh digunakan sebagai bahan tambahan dalam susu tepung keluaran kilang di China suatu ketika dahulu? Melamin ialah sejenis polimer yang biasa digunakan boleh dikatakan oleh sebahagian besar restoran di negara kita.

Tomyam dihidang dalam mangkuk melamin. Nasi menggunakan pinggan melamin. Begitu juga mangkuk atau piring. Sesungguhnya melamin juga tergolong dalam kategori xenoestrogen. Air panas dan larutan berasid akan melarutkannya.

Sesungguhnya pelbagai jenis plastik yang biasa digunakan untuk membungkus makanan boleh larut dalam air akibat suhu air atau makanan yang panas. Xenoestrogen daripada bahan plastik dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon, penyakit jantung, pertumbuhan otak terganggu, pembentukan organ seksual terganggu/bertukar dan pelbagai jenis kanser.

Sesetengah plastik seperti HDPE (polyethylene ketumpatan tinggi), LDPE (polyethylene ketumpatan rendah) dan polypropylene dikatakan lebih stabil berbanding plastik lain.

Plastik tertentu dikatakan menyumbang risiko yang lebih tinggi berbanding plastik lain contohnya PVC (polyvinyl chloride), polystyrene dan polycarbonate dikenalpasti sebagai agen pengganggu hormon dan bersifat karsinogen. Polstysrene dikaitkan juga dengan kerosakan saraf dan masalah reproduktif.

Pendedahan kepada xenoestrogen seperti pengambilan kacang soya secara berlebihan dan menggunakan bekas plastik yang diisi makanan/air panas secara berpanjangan tetap mendedahkan diri seseorang kepada risiko untuk mengalami beberapa masalah kesihatan seperti disebutkan. Sesungguhnya xenoestrogen bertindak pada kedua-dua golongan lelaki dan wanita!

Guo terlanjur mengikut nafsu


Guo Meimei, 23, menjadi fenomena di laman sosial Weibo kerana sering memuat naik gambarnya bersama kereta mewah di beberapa lokasi eksotik.

Melalui laman sesawang itu Guo mendakwa kononnya kenderaan berkenaan adalah hadiah sebagai penghargaan terhadap tugasnya sebagai pengurus kanan pertubuhan Palang Merah.
Bagaimanapun, selepas ditahan di bawah akta perjudian China, Guo terpaksa mengakui dia hidup dengan wang sebagai pelacur kelas atasan dan menjadikan golongan kaya sebagai sasaran.

Malah Guo mengaku dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pertubuhan kebajikan berkenaan.

Bagi pertubuhan Palang Merah pula, mereka sukar mendapatkan sumbangan sejak tingkah laku Guo tersebar.
Foto
GUO bermesra dengan salah seorang pelanggannya.
Mereka kemudian menuntut Guo memohon maaf secara terbuka di stesen televisyen China.

Kata Guo, dia mengaku bersalah kerana suka berlagak dan mengikut nafsu semata-mata. “Saya memohon maaf kepada Pertubuhan Palang Merah China yang sukar mendapat bantuan kerana tindakan saya,” katanya.
Guo juga mengakui terbabit dalam skandal perjudian ketika pertandingan Piala Dunia 2014 berlangsung di Brazil bulan lalu.

Dia ditangkap hasil siasatan unit khas polis China.

Tidak cukup dengan itu, Guo mendedahkan dia membuka pusat perjudian tanpa lesen di Beijing selain melacur untuk mendapatkan wang.

“Ia adalah sebahagian daripada cara saya mendapatkan semula perhatian orang ramai,” katanya. Pada kemuncak ‘kegemilangannya’ Guo mempunyai hampir 1.9 juta pengikut di Weibo dan kebanyakan mereka amat kagum dengan kemewahannya.

Dengan kekayaan dimiliki Guo pernah membiayai penerbitan filem mengenai dirinya pada tahun lalu.

Melalui filem itu Guo digambarkan sebagai kanak-kanak bermasalah di Hunan sebelum belajar di Akademi Filem Beijing. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/06

Maut tertembak diri sendiri ketika 'selfie'

Oscar Otero Aguilar
Oscar Otero Aguilar
MEXICO CITY - MEXICO. Seorang pemuda maut tertembak diri sendiri ketika mengambil gambar 'selfie', minggu lalu.

Sebelum kejadian, Oscar Otero Aguilar, 21, dikatakan sedang minum bersama dua orang kawannya di utara Mexico City, lapor DailyMail.

Bagaimanapun, ketika mahu mengambil 'selfie' bersama sepucuk pistol, Oscar tertembak dirinya sendiri kerana tidak mengetahui pistol berkenaan mempunyai peluru.

Jiran Oscar memberitahu bahawa beliau terdengar bunyi tembakan dan segera menelefon polis.

"Oscar masih hidup ketika polis menjumpainya," tambah beliau.

Bagaimanapun Oscar disahkan mati ketika dalam perjalanan ke hospital.

Haiwan misteri gemparkan penduduk

Haiwan misteri gemparkan penduduk
CALIFORNIA – LOS ANGELES. Komuniti masyarakat di selatan California gempar dengan kehadiran seekor binatang misteri berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan di pinggir bandar Norwalk, Los Angeles.

Kelibat binatang tersebut dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV), awal pagi pada Jumaat lepas.

Dalam rakaman tersebut, binatang tersebut dilihat berjalan tenang melepasi kawasan parkir kereta di kejiranan tersebut.

Memetik laporan oleh sebuah portal hari ini, haiwan tersebut mempunyai saiz sebesar anjing dewasa, berkaki empat dan mempunyai ciri-ciri seperti harimau atau singa gunung.

Namun kenyataan tersebut disangkal oleh Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California bahawa ia bukan dari jenis singa gunung.

Dalam pada itu, seorang Professor dari Pusat Penyelidikan Universiti Minnesota, menyokong kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California.

Menurutnya, haiwan tersebut tidak mempunyai persamaan dari jenis harimau kumbang atau singa gunung namun ia lebih menunjukkan ciri-ciri seperti singa Afrika.

Menurut jurucakap Zoo San Diego, haiwan itu digambarkan sebagai salah satu daripada haiwan jenis ‘kucing besar’ namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya.

Pihak peronda sudah diarah untuk melakukan rondaan dan kawalan di kawasan kejiranan tersebut dan para penduduk yang melihat kelibat haiwan tersebut pada masa akan datang diminta untuk menghubungi pihak berkuasa dengan segera.

Orang berjanggut dilarang naik bas di sebuah bandar di China


2014/08/06 - 11:01:53 AM
BEIJING: Sebuah bandar di wilayah Xinjiang, China yang mempunyai ramai penduduk Islam melarang orang berjanggut atau memakai pakaian Islam daripada menaiki bas awam, sekaligus mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi di negara asing.

Pihak berkuasa di Karamay melarang orang yang memakai hijab, niqab, burka atau pakaian yang mempunyai simbol bulan bintang daripada menaiki bas tempatan, lapor akhbar tempatan Karamay.
Larangan itu juga meliputi ‘jambang’, kata akhbar berkenaan.

“Mereka yang tidak memberi kerjasama dengan petugas yang melakukan pemeriksaan akan diserahkan kepada polis,” katanya.

Xinjiang, sebuah wilayah berhampiran Asia Tengah yang mempunyai jumlah penduduk Muslim Uighur minoriti, sering menghadapi pertempuran antara penduduk tempatan dengan pasukan keselamatan yang mengakibatkan ratusan orang terkorban tahun lalu.

Bulan lalu China menguat kuasa larangan ke atas pelajar dan kakitangan kerajaan daripada berpuasa pada Ramadan, manakala pegawai kerajaan berusaha untuk meminta penduduk tempatan di Xinjiang supaya tidak memakai tudung.

“Larangan di Karamay itu adalah langkah diskriminatori...yang menambahkan lagi konfrontasi antara Uighur dan Beijing,” kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Uyghur Sedunia (WUC) yang kini berada dalam buangan.
Media China melaporkan hampir 100 orang termasuk 59 pengganas terbunuh dalam serangan di Xinjiang minggu lalu.

Laporan itu menyusuli kejadian di mana imam masjid terbesar China di Kashgar, dibunuh selepas solat Subuh.

Larangan Karamay itu juga dikuat kuasakan bagi pertandingan sukan yang akan berakhir pada 20 Ogos ini, kata laporan berkenaan.

Pihak berkuasa di Urumqi bulan lalu melarang penumpang bas daripada membawa barangan tertentu termasuk pemetik api rokok dan yogurt, kata media kerajaan. - AFP 

Pindah bot kerana air tasik di AS semakin kering



GAMBAR menunjukkan sebuah bot diangkut dengan menggunakan kren.


BANDAR SALT LAKE - Beberapa buah bot di Marina Tasik Great Salt di negeri Utah, Amerika Syarikat (AS) terpaksa dipindah dengan menggunakan sebuah kren kelmarin.
Setakat ini, sebanyak 70 buah bot terpaksa dipindahkan ke tempat lain kerana air di tasik berkenaan surut dengan mendadak.
Air tasik berkenaan berada pada tahap yang paling rendah sejak tahun 1963 selepas kemarau melanda negeri tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan bot-bot yang diletakkan di tasik berkenaan tidak dapat belayar akibat paras air terlalu cetek.
Tasik itu sepanjang 120.70 kilometer dan selebar 56.32 kilometer.
Seorang pemilik bot, Ian Jacobson, 25, merancang untuk memindahkan botnya ke pantai Oregon selepas air di tasik itu kering. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz39Yin4CeD 
Hakcipta terpelihara 

Trend miliki rumah kecil di Colorado



SEBUAH rumah kecil keluaran Tumbleweed dipamerkan di Boulder, Colorado kelmarin.


BOULDER, Colorado - Sekumpulan penduduk di Amerika Syarikat (AS) memilih untuk tinggal di rumah yang lebih kecil kerana bimbang dibebani masalah hutang dan kesan terhadap alam sekitar kerana memiliki rumah yang besar, lapor akhbar MailOnline semalam.
Komuniti yang digelar sebagai Pergerakan Rumah Kecil dianggotai sekumpulan individu dewasa yang gembira mengecilkan saiz kediaman mereka dan hidup dalam keadaan yang penuh kesederhanaan.
Purata keluasan rumah penduduk di AS adalah sekitar 241 meter persegi tetapi kumpulan berkenaan gembira tinggal di rumah yang mempunyai keluasan dari 9.29 meter persegi hingga 37.16 meter persegi.
Sebuah syarikat pembinaan, Tumblewee memperkenalkan rumah kecil yang diperbuat daripada kayu dan mempunyai ruang untuk empat lelaki dewasa tidur dengan selesa.
Rumah berkenaan mempunyai pelbagai bentuk dan saiz serta ia juga masih mempunyai kemudahan asas termasuk tandas, bilik air dan dapur. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39YiA9hFt 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, August 5, 2014

Cinta sampai hujung nyawa

Don Simpson dan Maxine Simpson
Don Simpson dan Maxine Simpson
BAKERSFIELD – CALIFORNIA. Maut sekali pun tidak dapat memisahkan pasangan Don dan Maxine Simpson apabila suaminya, Don, 90 turut meninggal dunia sebaik Maxine, 87 menemui ajal.

Setelah hampir 62 tahun mendirikan rumahtangga, pasangan ini dikatakan tidak boleh dipisahkan walau hanya seketika.

Kenyataan tersebut terbukti apabila Don meninggal dunia hanya selepas empat jam Maxine pergi buat selamanya.

Cucu pasangan tersebut, Melissa Sloan berkata, pasangan tersebut meninggal dunia Julai lalu ketika menghabiskan sisa-sisa waktu hidup mereka bersama.

“Mereka meninggal dunia dalam keadaan bersebelahan antara satu sama lain,” katanya.

Pasangan tersebut dipertemukan di tempat hiburan boling di Bakersfield, California pada tahun 1952.

Don dikatakan memiliki sebuah syarikat jurutera manakala Maxine pula bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital.

Pasangan tersebut kemudiannya mengambil sepasang kembar dari sebuah rumah anak yatim di Jerman untuk dijadikan anak angkat.

Kini mereka mempunyai lima orang cucu.

Sungai berdarah

Sungai berdarah
PENDUDUK di kampung Xinmeizhou, wilayah Zhejiang, China terkejut dan bingung apabila air sungai di perkampungan mereka tiba-tiba berubah menjadi merah seperti darah.

Seorang penduduk Na Wan berkata, air sungai tersebut akan berubah warna tepat pada jam 5 pagi setiap hari.

“Setiap jam 5 pagi sungai itu dipenuhi dengan botol plastik dan mengeluarkan bau busuk,” katanya kepada China Times.

Menurutnya, sungai ini merupakan punca rezeki buat penduduk kampung di sini kerana ia sebelum ini tidak pernah tercemar dan airnya juga digunakan untuk memasak.

“Kini kami tidak boleh menjala jauh sekali untuk menggunakan air sungai ini,” katanya dengan kesal.

Sementara  itu, pakar alam sekitar mengesyaki, perubahan air itu berpunca daripada tindakan individu tidak bertanggungjawab yang telah membuang sisa buangan pepejal ke sungai berkenaan.

“Kami sudah mengambil sampel air berkenaan. Ia mengandungi bahan yang biasanya digunakan untuk pewarna makanan. Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap kilang berhampiran kerana ia mencemarkan sungai sekali gus mengundang risiko penyakit buat penduduk di perkampungan ini,” katanya.

Lelaki di New Zealand tempah nombor plat kereta MH17

Lelaki di New Zealand tempah nombor plat kereta MH17
Russell Montaperto 
WELLINGTON: Seorang lelaki di New Zealand menempah nombor plat kereta MH17 selepas pesawat Penerbangan Malaysia terhempas di Ukraine kerana ingin mengabadikan kejadian itu yang turut membabitkan rakyat di negara berkenaan.

Russell Montaperto berkata beliau membelanjakan NZ$650 (RM1,950) bagi nombor plat itu beberapa hari selepas pesawat Boeing 777 berkenaan ditembak jatuh di timur Ukraine dan menganggap nombor plat yang ditempahnya sebagai “satu kerja seni yang tidak ternilai.”

Dalam kejadian itu rakyat New Zealand yang menetap di Australia, Mary Menke dan Robert Ayley, seorang lagi rakyat New Zealand dari Otaki dan lahir di Britain adalah antara 298 orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

“Apabila orang melihatnya, ia menandakan sesuatu kepada mereka...kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah yang menjejaskan seluruh dunia,” katanya.

Montaperto berkata sekiranya anggota keluarga MH17 berasa sedih, beliau tidak akan menggunakannya dan bersedia untuk memberinya kepada mereka ataupun menjualnya pada harga kos.

Montaperto juga memiliki dua nombor plat peribadi - tema Piala Amerika SEA NZ1 dan SS70, untuk kereta Chevrolet Camaro, yang juga sering mendapat tawaran daripada pihak lain. Beliau tidak pasti sama ada minat sama akan berlaku ke atas plat MH17, tetapi beliau tidak ada bercadang untuk menjualnya dalam masa terdekat ini.

“Ia mempunyai nilai bersejarah. Kepada saya, nilainya lebih besar daripada wang di dalam bank. Saya tidak perlu wang itu.”
Pemilik beberapa hartanah pelaburan itu berkata beliau tidak perlu menempah mahupun menjual plat berkenaan untuk menyara hidupnya.

“Saya lihat tentera Belanda mengusung keranda daripada pesawat, ia mengingatkan kita kepada Anzacs. Ia membuatkan kita melihat hidup ini daripada perspektif berbeza apabila kita lihat mereka di dalam penerbangan itu.

“Saya juga pernah lihat gambar mangsa, dan mereka masih di tempat duduk mereka. Mereka sudah tiada lagi sekarang,” katanya.

Montaperto bagaimanapun bukanlah orang pertama yang menempah nombor plat peribadi yang dikaitkan dengan kejadian tragik. Dua nombor plat yang tertera nombor MH370 dijual selepas Boeing 777 itu hilang Mac lalu. Sehingga kini pesawat terbabit tidak dapat dikesan, dan terdapat dua rakyat New Zealand di dalam pesawat itu.

Pengarah Mr Plates, Bruno Szajer, yang menjalankan perniagaan menerusi laman web yang menjual beribu-ribu nombor plat di New Zealand dan Australia, berkata jualan plat berkaitan dengan kejadian di dunia adalah perkara biasa.

Jurucakap Agensi Pengangkutan, Andrew Knackstedt berkata plat peribadi tidak akan dikeluarkan sekiranya ia menggalakkan keganasan, diskriminasi, berat sebelah, bahan atau kegiatan haram, yang melanggar hak intelek hartanah atau mengandungi bahasa kesat. - Agensi 

Pengantin Malaysia 'popular' di Israel

Pengantin Malaysia 'popular' di Israel
SHAH ALAM - Berita mengenai sepasang pengantin Malaysia yang mengabadikan kenangan majlis perkahwinan mereka dengan memijak dan membakar bendera Israel sebagai tanda protes kekejaman rejim itu terhadap rakyat Palestin mendapat liputan sehingga ke negara itu.

Berita tersebut disiarkan menerusi laman blog milik Israel iaitu elderofziyon.blogspot.com dengan judul “Malaysian couple decides to burn Israeli flag on their wedding day ".

Berita itu turut dikongsi oleh laman Facebook Israel iaitu The Israel Project (Tip), perkongsian berita itu mendapat respon daripada penyokong Israel yang marah dengan tindakan itu.

Ada di antaranya mendoakan agar pasangan tersebut mendapat ‘bala bencana’ dek kerana perbuatan itu.

Patrick Gleen Hendry  yang dipetik sebagai berkata "semoga kehidupan mereka suami isteri penuh dengan kesengsaraan".

Terdahulu pasangan pengantin yang berasal dari Jasin, Melaka  Norfadhilah Mohd Badroldin, 27, dan suami, Mohd Hilmi Muslim, 27, kedua-duanya yang bekerja sebagai arkitek bertindak melakukan perkara itu selepas berasa amat sedih melihat penderitaan umat Islam khususnya kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis.

Pasangan itu memijak dan membakar bendera Israel sebelum memasuki kawasan rumah mereka.

Terdahulu, bendera berkenaan diletakkan di jalan masuk ke kediaman tersebut untuk dipijak oleh hampir 3,000 tetamu yang menghadiri majlis tersebut.

Tindakan memijak bendera itu merupakan simbolik yang menjelaskan Israel selayaknya diletakkan di bawah telapak kaki umat Islam selain membangkitkan perasaan marah terhadap kekejaman rejim tersebut.