Pages

Wednesday, August 6, 2014

Orang berjanggut dilarang naik bas di sebuah bandar di China


2014/08/06 - 11:01:53 AM
BEIJING: Sebuah bandar di wilayah Xinjiang, China yang mempunyai ramai penduduk Islam melarang orang berjanggut atau memakai pakaian Islam daripada menaiki bas awam, sekaligus mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi di negara asing.

Pihak berkuasa di Karamay melarang orang yang memakai hijab, niqab, burka atau pakaian yang mempunyai simbol bulan bintang daripada menaiki bas tempatan, lapor akhbar tempatan Karamay.
Larangan itu juga meliputi ‘jambang’, kata akhbar berkenaan.

“Mereka yang tidak memberi kerjasama dengan petugas yang melakukan pemeriksaan akan diserahkan kepada polis,” katanya.

Xinjiang, sebuah wilayah berhampiran Asia Tengah yang mempunyai jumlah penduduk Muslim Uighur minoriti, sering menghadapi pertempuran antara penduduk tempatan dengan pasukan keselamatan yang mengakibatkan ratusan orang terkorban tahun lalu.

Bulan lalu China menguat kuasa larangan ke atas pelajar dan kakitangan kerajaan daripada berpuasa pada Ramadan, manakala pegawai kerajaan berusaha untuk meminta penduduk tempatan di Xinjiang supaya tidak memakai tudung.

“Larangan di Karamay itu adalah langkah diskriminatori...yang menambahkan lagi konfrontasi antara Uighur dan Beijing,” kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Uyghur Sedunia (WUC) yang kini berada dalam buangan.
Media China melaporkan hampir 100 orang termasuk 59 pengganas terbunuh dalam serangan di Xinjiang minggu lalu.

Laporan itu menyusuli kejadian di mana imam masjid terbesar China di Kashgar, dibunuh selepas solat Subuh.

Larangan Karamay itu juga dikuat kuasakan bagi pertandingan sukan yang akan berakhir pada 20 Ogos ini, kata laporan berkenaan.

Pihak berkuasa di Urumqi bulan lalu melarang penumpang bas daripada membawa barangan tertentu termasuk pemetik api rokok dan yogurt, kata media kerajaan. - AFP 

No comments: