Pages

Thursday, August 7, 2014

Larangan berimej Islam di Karamay

Larangan berimej  Islam di Karamay
 Polis memegang sepanduk ketika majlis penganugerahan untuk mereka yang menyertai aktiviti untuk membanteras jenayah dan keganasan di Hotan, Xinjiang. - Foto Reuters 
2014/08/07 - 06:30:56 AM

Tak boleh pakai hijab, berjanggut, guna lambang bulan sabit, bintang naik bas



Beijing: Bandar raya di wilayah Xinjiang melarang penduduk bertudung, memakai hijab dan menyimpan janggut panjang menaiki bas, ketika kerajaan berdepan ketegangan dengan dasar yang dikatakan pengkritik mendiskriminasi penduduk Islam. Xinjiang, yang diduduki penduduk Muslim Uighur yang bercakap bahasa Turkestan, berdepan keganasan sejak bertahun-tahun yang dipersalahkan kerajaan ke atas pemisah.


Pihak berkuasa melarang lima golongan penumpang, iaitu mereka yang memakai hijab, tudung, jubah, pakaian dengan lambang bulan sabit dan bintang serta yang menyimpan janggut panjang, daripada menaiki bas di bandar raya Karamay, lapor media.


Mahu negara bebas

Simbol bulan sabit dan bintang yang melambangkan Islam tertera pada banyak bendera negara, selain yang digunakan beberapa kumpulan di China yang berkata mahu menubuhkan negara bebas, Turkestan Timur.
Peraturan bertujuan membantu mengukuhkan keselamatan sepanjang 20 Ogos ini ketika satu acara sukan dan akan dikuatkuasakan pasukan keselamatan, menurut akhbar Karamay Daily Isnin lalu.

“Sesiapa yang tidak mematuhi arahan, terutama lima golongan itu, laporan polis akan dibuat,” menurut akhbar itu.

Julai lalu, pihak berkuasa di ibu negeri Xinjiang, Urumqi melarang penumpang bas membawa barangan daripada pemetik api kepada dadih dan air, dalam usaha menghalang serangan ganas.

Kumpulan Uighur dalam buangan dan aktivis hak kemanusiaan berkata dasar menindas kerajaan di Xinjiang, termasuk mengawal Islam, mencetuskan ketegangan, dakwaan yang dinafikan Beijing.


Dasar perkauman

“Pegawai di bandar raya Karamay meluluskan dasar perkauman dan diskriminasi terbuka yang disasarkan kepada penduduk biasa Uighur,” kata Presiden Persatuan Uighur Amerika, Alim Seytoff, dalam kenyataan melalui e-mel.

Walaupun ramai wanita Uighur memakai gaya kasual sama seperti di tempat lain di China, sebahagiannya mula memakai hijab, pakaian yang biasa di Pakistan atau Afghanistan berbanding Xinjiang.

Polis menawarkan ganjaran wang bagi maklumat mengenai semua perkara daripada latihan keganasan kepada penduduk yang berjanggut panjang.

Beratus-ratus penduduk maut dalam ketegangan di Xinjiang sejak 18 bulan lalu tetapi keselamatan ketat menjadikan sukar untuk wartawan membuat penilaian bebas mengenai keganasan itu.

Kira-kira 100 maut apabila penyerang bersenjatakan pisau melancarkan serangan di dua bandar di selatan wilayah itu Julai lalu, lapor media, termasuk 59 yang ditembak mati oleh polis.

Pengebom bunuh diri mengorbankan 39 orang di pasar di Urumqi Mei lalu.

Reuters

No comments: