Pages

Wednesday, May 28, 2014

Forbes umum 100 wanita paling berkuasa 2014


28 Mei 2014

SINGAPURA - Forbes hari ini mengumumkan ulang tahun ke-10 100 Wanita Paling Berkuasa di Dunia, dengan Canselor Jerman Angela Merkel mendahului senarai tahun ini bagi tahun keempat berturut-turut.
 
Ia merupakan kali sembilan Angela berada dalam senarai itu.
 
Ini diikuti Pengerusi Rizab Persekutuan US Janet Yellen di tempat kedua, dan Pengerusi Bersama Bill & Melinda Gates Foundation, Melinda Gates, sekali lagi di tempat ketiga.
 
Dilma Rouseff, Presiden Brazil, turun dua tempat di Nombor 4 manakala Christine Lagarde, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, naik dua anak tangga ke tempat kelima.
   
"Sempena ulang tahun ke-10 penerbitan senarai 100 Wanita Paling Berkuasa di Dunia, wanita-wanita mengagumkan dari seluruh dunia ini akan terus membuat impak berpanjangan dalam semua aspek kehidupan kita di dunia," kata Moira Forbes, Presiden Forbes dan Penerbit ForbesWoman.
 
Mereka yang dimasukkan dalam ranking 2014 mewakili wanita dalam lapan kategori iaitu teknologi, politik, perniagaan, kewangan, media, hiburan, dermawan dan NGO serta jutawan.  - Bernama

Wanita hamil direjam keluarga di Pakistan

Wanita hamil direjam keluarga di Pakistan
MOHAMMAD Iqbal, 45, berada disamping mayat isterinya, Farzana Parveen yang direjam dengan batu hingga mati oleh ahli keluarganya di luar mahkamah di Lahore kerana berkahwin dengan lelaki yang dicintainya. - Foto Reuters 
LAHORE, Pakistan: Seorang wanita hamil direjam dengan batu hingga mati oleh ahli keluarganya di luar mahkamah di Lahore kerana berkahwin dengan lelaki yang dicintainya.

Wanita berkenaan dibunuh ketika dalam perjalanan ke mahkamah bagi menjawab kes dakwaan culik yang difailkan keluarganya terhadap suami beliau.
Pegawai penyiasat, Rana Mujahid, berkata bapa wanita itu segera ditangkap dan polis sedang memburu mereka yang terbabit dalam "jenayah kejam" itu.


Perbuatan itu dilakukan secara terbuka pada waktu siang sambil disaksikan orang ramai.

Seorang pegawai polis, Naseem Butt, menyatakan wanita itu ialah Farzana Parveen, 25, dan mengahwini Mohammad Iqbal, 45, tanpa restu keluarga.

Peguam wanita itu, Mustafa Kharal, berkata bapa mangsa, Mohammad Azeem, memfailkan kes culik terhadap Iqbal.

Katanya, wanita itu hamil tiga bulan. - AP

Pemuda main video tiga hari lumpuh


2014/05/28 - 06:02:27

Beijing: Seorang pemuda di wilayah Hunan dikejarkan ke hospital minggu lalu dalam apa yang kelihatan seperti satu lagi kes kematian mengejut di kafe internet. Namun beliau bernasib baik kerana masih hidup.

Menurut laporan akhbar Voice of China, Xiao Qiang, 26, pengsan di kerusinya di kafe internet selepas sesi bermain permainan selama tiga hari tiga malam.


Xiao Qiang dilaporkan dibawa ke Hospital Otak Hunan di Changsa.

“Doktor mengisytiharkan beliau mengalami pendarahan otak,” lapor akhbar Laporan menyebut, lelaki berkenaan ialah pekerja pejabat dan pemain permainan online.

Menurut Voice of China, Xiao Qiang yang menggemari ayam goreng dan minuman bergas itu, seberat 100 kilogram, antara faktor risiko, kata doktor.

“Xiao Qiang kini separuh lumpuh. Doktor Xiong Zhiwei, berkata fungsi motornya dapat pulih tetapi sukar bercakap dan beberapamasalah mental,” kata akhbar itu lagi.
AGENSI

Budak 6 tahun hafal Quran


Musaab Amir Hamza yang berasal dari Makkah mampu menghafal al-Quran walaupun masih belum bersekolah dan dianggap media di negara berkenaan sebagai sesuatu yang jarang terjadi. 
Pengetua sebuah sekolah, Daifullah Al Harbi menyuarakan kegembiraannya mengenai keistimewaan kanak-kanak itu. 

“Kami sangat gembira dengan anugerah unik yang dimilikinya. Walaupun masih belum bersekolah, dia mampu menghafal al-Quran, sesuatu yang tidak mampu dilakukan kebanyakan lelaki dewasa,” katanya
Foto
MUSAAB (dua dari kanan) didukung pada satu majlis meraikannya di Makkah, semalam.

Media tempatan melaporkan, kakak Musaab juga mampu menghafal al-Quran dengan bantuan ayahnya. - Agensi.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Bela 2 harimau seperti haiwan peliharaan


Foto
JANICE baring bersama harimau peliharaannya, Janda di rumah di Orlando, Florida.
Harimau Bengal itu tinggal bersama dengan tuannya, Janice Haley dan dilayan seperti haiwan peliharaan. 
Foto
JANICE bersama Saber dan Janda.
Mereka disuapkan makanan, dipeluk dan harimau jantan putih, Saber tidur sambil menghisap ibu jarinya. 

Kehidupan Janice berubah 20 tahun lalu selepas dia terlihat iklan mengenai kursus latihan harimau di akhbar.


Dua tahun kemudian harimau pertama tiba di rumahnya.

Pada 2002, dia membeli harimau kedua, Janda yang berumur 12 tahun sekarang. 

Pada 2007, harimau pertama miliknya mati dan Saber yang berusia dua minggu mula diperkenalkan kepada keluarganya. 

Janice yang tinggal di Davenport berkata: “Mereka melihat saya seperti ibu mereka. Saya pula menganggap mereka anak yang mempunyai empat kaki dan berbulu. 

“Kami mempunyai ikatan istimewa - mereka menggosok muka saya dan membenarkan saya mencium hidung dan memeluk mereka.” 

Selepas rutin harian bermain dan makan, Janice baring dengan harimau itu sehingga mereka tertidur.

“Saya tidak tahu jika anda boleh melakukan sedemikian di tempat lain. Memeluk harimau yang matang. Kami melakukan ini sejak bertahun-tahun lalu,” katanya. 

Janice dan suaminya David bergilir-gilir untuk memastikan harimau mereka dijaga dengan baik serta sanggup menghabiskan pendapatan untuk membeli makanan dan penjagaan harimau berkenaan. 

Harimau ini diberi makan tiga kali sehari, bermula jam 1 petang hingga 11 malam dan kawasan seluas 18 meter persegi perlu dibersihkan beberapa kali sehari. 

“Kami perlu menghabiskan beberapa jam memandu setiap minggu untuk membeli daging kuda bagi diberikan kepada Saber dan Janda,” kata Janice.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Cebisan kertas RM30,000


Menurut ebay, lelongan bermula pada 22 Mei dengan harga serendah $0.99 (RM3.20).
Pada awalnya pembida meletakkan harga sebanyak beberapa dollar, tetapi keadaan bertukar menjadi ‘hangat.’

Tiga hari selepas lelongan bermula, tawaran mula mencecah sehingga ribuan dolar. - Agensi
Foto
KEPINGAN kertas yang tercatat perkataan ‘The’ dibida hingga RM30,000.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/27

Bekas lelaki paling berat meninggal dunia


Manuel Uribe berjaya menurunkan berat badannya kepada 394 kilogram daripada 558 kilogram, catatan paling beratnya yang disahkan oleh Rekod Dunia Guinness pada 2006.
Kematian Uribe disahkan oleh pegawai jabatan kesihatan negeri Nuevo Leon.

Uribe nmenghabiskan masa bertahun-tahun di atas katil di rumahnya di Monterrey kerana tidak berupaya berjalan.
Foto
URIBE

Menurut pegawai Uribe dimasukkan ke hospital pada 2 Mei lalu kerana degupan jantung tidak normal.

Dia terpaksa ‘diangkut’ dengan kren ke hospital oleh unit kecemasan dan kakitangan pertahanan awam.

Punca kematian Uribe belum disahkan, tetapi selain masalah jantung, dia juga dipercayai mengalami masalah hati.

Sepanjang hidupnya, dia hanya meninggalkan rumahnya beberapa kali, termasuk pada hari dia melangsungkan perkahwinannya dengan Claudia Solis pada 2008.

Perkahwinan itu bagaimanapun tidak bertahan lama. 

Uribe montel ketika kanak-kanak dan beratnya lebih 113 kilogram ketika dewasa.

Bermula 1992, beratnya berat badannya bertambah tanpa dapat dikawal.

Sejak musim panas 2002, dia hanya hidup di atas katil, bergantung dengan ibu dan kawan-kawan untuk memberinya makan dan membersihkannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/28

Lelaki pernah digelar paling gemuk meninggal dunia



URIBE


MONTERREY, Mexico - Seorang lelaki Mexico, Manuel Uribe yang pernah digelar sebagai manusia paling gemuk di dunia meninggal dunia pada usia 48 tahun, kata beberapa pegawai kelmarin.
Berat Uribe pernah mencecah sehingga 587 kilogram (kg) sebelum dia menjalani diet untuk mengurangkan berat badannya kepada 394kg.
Seorang pegawai di Hospital Universiti, Monterrey berkata, laporan awal menunjukkan dia meninggal dunia disebabkan masalah kadar degupan jantungnya yang tidak teratur dan penyakit berkaitan dengan kehilangan cecair pada kedua-dua kakinya.
Dia dimasukkan ke hospital itu pada 2 Mei lalu.
Sebuah kren digunakan untuk mengangkut Uribe yang berada di atas katilnya di rumahnya di bandar San Nicolas de los Garza ke hospital tersebut dengan dibantu para pekerja perkhidmatan kecemasan dan pasukan pertahanan awam.
Uribe berkahwin pada tahun 2008 dengan Claudia Solis yang berusia 38 tahun.
Sebuah stesen penyiaran Amerika Syarikat membeli hak penyiaran majlis perkahwinannya yang dihadiri kira-kira 400 orang tetamu itu.
Dia diiktiraf sebagai lelaki paling gemuk di dunia oleh Guinness World Records pada tahun 2007.
Bagaimanapun, ekoran berat badannya semakin meningkat, hubungan baik dengan isterinya semakin merosot.
"Dia (Solis) meminta saya menceraikannya. Saya berasa amat murung," kata Uribe sebelum ini.
Uribe pada mulanya merupakan seorang remaja yang mempunyai berat hanya 113.39kg.
Namun, pada tahun 1992, berat badannya mula meningkat.
Pada tahun 2007, dia pernah memberitahu saluran televisyen ABC News: "Saya mempunyai masalah obesiti sejak bertahun-tahun lamanya. Berat badan saya bertambah dari semasa ke semasa."
Menurutnya, dia makan sama seperti penduduk Mexico yang lain.
Antara makanannya itu ialah hamburger, kentang goreng, piza, kacang, nasi dan makanan tradisi Mexico iaitu jagung tortilla.
Uribe ketika itu berkata, dia bekerja sebagai juruteknik, membaiki mesin taip, mesin pengira elektronik dan komputer yang menyebabkan dia hanya duduk di atas kerusi.
Sejak tahun 2002, Uribe mula terbaring di atas katil dan terpaksa bergantung kepada ibu dan rakan-rakannya untuk memberinya makanan dan membersihkan badannya.
Mayat Uribe kemudian dibakar di sebuah pusat pengurusan mayat di sini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0528&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz32xj6JOmk 
Hakcipta terpelihara 

Dua gadis sunti mangsa perkosaan 38 lelaki


KOTA BHARU 27 Mei - Seorang remaja perempuan berdepan pe­ngalaman menakutkan apabila dia dan rakannya mendakwa menjadi mangsa 'kenduri seks' 38 lelaki di sebuah rumah kosong di Ketereh di sini malam Selasa lalu.
Sebelum kejadian, mangsa ber­usia 15 tahun dikatakan menerima panggilan telefon daripada rakan perempuan yang mendakwa berada di Ketereh dan meminta mangsa membantu membawanya pulang ke rumah.
Sehubungan itu, mangsa keluar dari rumahnya yang terletak di Kuala Krai dengan menaiki motosikal bersama seorang sahabat lelaki.
Menurut sumber, sebaik sahaja tiba di Ketereh, mangsa dan sahabat lelakinya itu bertemu seorang pemuda sebelum dibawa ke sebuah rumah kayu kosong untuk mengambil rakan perempuannya itu.
"Sebelum sempat keluar dari rumah berkenaan, seorang lelaki berusia 40-an muncul dan menahan mereka berempat.
"Tidak lama selepas itu, lebih kurang 40 lelaki lain tiba dan memaksa mangsa dan rakan perempuannya masuk ke dalam bilik sebelum menampar dan merogol mereka berdua sehingga pengsan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, selepas mangsa sedar dan dibawa keluar dari rumah berkenaan, rakan lelakinya memberitahu, dia telah dipaksa menonton aksi mangsa dan rakannya dirogol secara bergilir-gilir oleh 38 lelaki.
Katanya, mangsa hanya pulang ke rumahnya beberapa hari selepas kejadian tersebut sebelum menga­du sakit perut selain mengalami pen­darahan di kemaluannya. Ba­gaimanapun dia dimarahi ibu bapa­nya kerana keluar rumah tanpa pe­ngetahuan.
"Keluarganya sekadar menyuruh mangsa menelan ubat dan mi­num air berkarbonat untuk mencuci perut dan meredakan kesakitan namun sehingga kelmarin, kema­luan gadis itu masih berdarah menyebabkan dia dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan dan kecederaan pada kemaluan serta dubur mangsa. Mangsa seterusnya membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh semalam," katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis sedang memburu suspek untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Ke­seksaan kerana merogol.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140528/je_05/Dua-gadis-sunti-mangsa-perkosaan-38-lelaki#ixzz32xfE5gQY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, May 27, 2014

Prayuth dapat restu Raja Bhumibol


PRAYUTH (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Tentera Diraja Thailand di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pemimpin junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha semalam mengisytiharkan beliau mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej untuk memerintah Thailand.
Justeru, beliau memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukannya.
Prayuth berkata, pilihan raya akan diadakan secepat mungkin tetapi beliau tidak menetapkan tempoh masa untuk mengembalikan semula kuasa politik kepada 67 juta rakyat Thailand selepas merampas kuasa Khamis lalu.
"Junta tentera akan bertindak tegas bagi mengelakkan berulangnya protes dan keganasan politik yang telah berlarutan selama beberapa bulan," kata Prayuth.
Beliau mendesak para penunjuk perasaan menghentikan perhimpunan yang boleh membahayakan diri dan keluarga mereka kerana undang-undang tentera yang kini berkuat kuasa amat ketat.
Prayuth menyekat kebebasan awam dan media, melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam dan memansuhkan sebahagian besar perlembagaan negara.
Beliau turut mengambil alih kuasa untuk menggubal undang-undang.
Dalam pada itu, junta tentera telah menahan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bersama kira-kira 200 pemimpin kerajaan, tokoh politik, pengkritik dan ahli akademik susulan rampasan kuasa tersebut.
Seorang komander tentera semalam menyatakan bahawa Yingluck masih berada di bawah tahanan tentera tetapi enggan mendedahkan lokasinya.
"Kami menjaganya (Yingluck). Beliau sihat. Beliau boleh memilih untuk tinggal di mana sahaja (di Thailand)," kata komander tersebut, Leftenan Jeneral Thirachai Nakwanich.
Sebelum ini Prayuth melantik diri sendiri sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Rampasan kuasa kali ini berlaku selepas Yingluck dipecat oleh mahkamah negara ini pada pertengahan bulan ini kerana menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32rl4qMSu 
Hakcipta terpelihara 

China larang kenderaan lama guna jalan raya



SEJUMLAH kenderaan menyeberangi Jambatan Guomao dalam cuaca berjerebu akibat pencemaran udara yang teruk di Beijing pada 29 Januari tahun lalu.


BEIJING - China merancang melarang lebih lima juta kenderaan lama daripada berada di jalan-jalan raya di seluruh negara itu tahun ini, kata pemerintah semalam.
Menurut pemerintah, larangan itu turut melibatkan 330,000 buah kereta di ibu kota China di sini.
Dasar baharu tersebut bertujuan untuk mengurangkan pencemaran udara, air dan tanah di negara itu yang semakin buruk.
Menurut dokumen mengenainya semalam, sebanyak 5.33 juta kenderaan 'label kuning' termasuk 330,000 buah kereta di sini dan 660,000 kereta di sekitar wilayah Hubei akan 'dimusnahkan' ekoran gagal memenuhi standard bahan api China.
Beberapa badan pemerhati alam sekitar tempatan berkata, asap kenderaan menyumbang sebanyak 31 peratus bilangan partikel berbahaya, PM2.5 yang mencemari udara di kota raya ini, manakala 22.4 peratus lagi berpunca daripada pembakaran arang batu.
Beijing merancang mengehadkan bilangan keseluruhan kereta di jalan-jalan raya di sini kepada 5.6 juta buah pada tahun ini dan cuma enam juta buah menjelang 2017.
- Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz32rkSo2TD 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat Mesir mengundi pilih Presiden baharu


SEORANG lelaki mencium pipi bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang membuang undi di sebuah pusat pengundian di Kaherah semalam.


KAHERAH - Berjuta-juta rakyat Mesir mula mengundi semalam untuk memilih Presiden baharu negara itu dalam pilihan raya yang dijangka dimenangi oleh bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi.
Pilihan raya yang berlangsung selama dua hari tersebut merupakan yang pertama sejak al-Sisi menggulingkan Presiden Mohamed Morsi pada 3 Julai tahun lalu.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan Morsi tidak menyertai pilihan raya berkenaan dan beberapa kumpulan revolusi juga bimbang al-Sisi bakal menjadi diktator terbaharu Mesir.
Bagaimanapun, al-Sisi, 59, yang ditentang oleh seorang pemimpin berhaluan kiri, Hamdeen Sabbahi dijangka menang mudah dalam pilihan raya tersebut.
Seramai 53 juta pengundi mendaftar mula mengundi dalam pilihan raya tersebut yang bermula seawal pukul 6 pagi waktu tempatan.
"Seluruh dunia kini memerhati Mesir dan bagaimana kita menulis sejarah serta masa depan negara ini," kata al-Sisi selepas membuang undi di sebuah pusat pembuangan undi di sini semalam.
Jika memenangi pilihan raya Presiden, beliau akan menjadi Presiden terbaharu yang mempunyai latar belakang ketenteraan.
Pada 3 Julai tahun lalu, beliau mengetuai tentera untuk merampas kuasa ke atas Morsi yang merupakan orang awam pertama dipilih menerusi pilihan raya untuk menjadi ketua negara.
Morsi kini ditahan dan didakwa melakukan pengintipan dan menyebabkan keganasan berlaku di Mesir.
- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz32rkAmxDC 
Hakcipta terpelihara 

Bela harimau di halaman rumah


JANICE Haley bermanja dengan dua ekor harimau Bengal peliharaannya di Florida, Amerika Syarikat. - AGENSI
FLORIDA 26 Mei - Penggemar haiwan biasanya memilih untuk mem­bela binatang peliharaan yang jinak.
Namun berbeza bagi seorang wanita dari Davenport, Florida, ke­rana dia memilih untuk memelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumahnya, malah turut memberi makan haiwan-haiwan itu dengan tangannya sendiri.
Bukan setakat itu, Janice Haley juga sering mengusap dan memeluk kucing besar tersebut yang mempunyai taring sepanjang 15 sentimeter dan berat 272 kilogram.
Seekor harimau berwarna putih peliharaannya juga akan tidur dan menghisap jari Haley.
Kehidupan Haley mula berubah 20 tahun lalu selepas dia mengambil kursus melatih harimau dan dua tahun selepas itu, dia menerima seekor anak harimau berusia dua bulan yang diberi nama Saber dan pada 2002, dia membeli seekor lagi harimau yang dinamakan Janda.
"Haiwan itu menganggap saya sebagai ibunya dan setakat yang saya tahu, mereka itu adalah anak-anak saya yang berkaki empat.
"Kami mempunyai satu ikatan yang amat istimewa. Kedua-dua harimau itu akan menggosok muka saya dan membiarkan saya mencium hidung mereka malah saya dan suami boleh memeluk dan membe­lai mereka," kata Haley sebagaimana lapor Mirror.co.uk.
Haley berkata, dia dan suaminya, David akan membelanjakan pendapatan mereka untuk membeli makanan Saber dan Janda yang akan diberi makan sebanyak tiga kali sehari, malah sangkar yang menempatkan harimau tersebut akan dibersihkan beberapa kali dalam sehari.
"Dalam tempoh seminggu, kami perlu mengembara selama satu jam ke kawasan utara Florida bagi mendapatkan daging kuda untuk Janda sebelum ke selatan untuk mendapatkan daging lembu buat Saber," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_10/Bela-harimau-di-halaman-rumah#ixzz32rfXAiav
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nasib lelaki didera


LONDON 26 Mei - Satu kajian yang dijalankan oleh badan amal ManKind Initiative bagi mempromosikan kempen #ViolenceIsVioence di laman sosial Twitter mendapati, faktor jantina pelaku memainkan peranan penting dalam mempengaruhi reaksi masyarakat terhadap kes keganasan rumah tangga.
Laman web Mail Online melaporkan, keputusan itu diperolehi selepas badan amal tersebut, melakukan kaji selidik dengan melakonkan kes keganasan rumah tangga di tempat awam melibatkan dua orang individu yang menyamar sebagai pasangan kekasih.
Dalam kaji selidik yang pertama, pelakon lelaki terbabit bertindak menyerang pelakon wanita berkenaan dengan melakukan perbuatan agresif terhadapnya.
Seperti dijangka, mereka yang menyaksikan kejadian itu segera memberi reaksi membantu wanita tersebut, dengan ada seorang wanita berkata: "Jika kamu tidak menghentikan kelakuan ini, kami tidak akan teragak-agak untuk menghubungi pihak polis".
Kaji selidik seterusnya dilakukan de­ngan menggunakan pelakon yang sama, namun pelakon wanita pula yang bertindak agresif terhadap pelakon lelaki.
Reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat begitu mengejutkan, tiada seorang pun pergi untuk membantu lelaki tersebut, sebaliknya mereka lebih gemar memerhatikan dan ketawa melihat kejadian itu.
Video tersebut dibuat selepas penyanyi rap terkenal, Jay-Z ditum­buk dan ditendang oleh adik isterinya iaitu Solange Knowles di New York baru-baru ini.
ManKind Initiative yang berpusat di Taunton, Somerset, England, ditubuhkan untuk memberi sokong­an kepada kaum lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Kajian yang dijalankan oleh ManKind Initiative mendapati, 38 peratus mangsa keganasan rumah tangga adalah lelaki


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_09/Nasib-lelaki-didera#ixzz32rfGJALv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sejarah pengenalan pesawat Air Force One


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (kiri) mendengar taklimat daripada pembantunya dalam pesawat Air Force One. - AGENSI
KEDATANGAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia pada bulan lalu, menarik perhatian penduduk negara dan dunia.
Bagaimanapun, di sebalik polisi-polisi yang dibincangkan dengan kedatangan Obama ke negara ini, perkara yang turut menjadi perhatian adalah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin dunia nombor satu itu terutama pesawatnya.
Pesawat yang dikenali sebagai Air Force One itu merupakan kenderaan tentera udara yang akan membawa Presiden AS ke mana-mana majlis atau acara rasmi.
Air Force One turut menjadi perhatian dan terkenal selepas menjadi tajuk dan plot utama dalam beberapa filem Hollywood.
Idea menyediakan pesawat khas untuk pemimpin dunia nombor satu itu timbul berdasarkan faktor keselamatan jika terus menaiki pesawat komersial pada 1943 oleh Tentera Udara AS.
Pada awalnya, sebuah pesawat C-87 Liberator Express diubah suai untuk kegunaan Presiden AS, namun ditolak oleh Perkhidmatan Rahsia ekoran rekod keselamatan kenderaan itu dan digantikan dengan pesawat C-54 Skymaster dan dikenali sebagai Sacred Cow.
Pesawat itu mula digunakan oleh Presiden, Franklin D. Roosevelt dan kemudian oleh Presiden, Harry S. Truman.
Tanda nama Air Force One mula digunakan selepas kejadian pada 1953 apabila pesawat membawa Presiden, Dwight D. Eisenhower memasuki ruang udara sama dengan pesawat komersial menggunakan tanda panggilan yang serupa.
Beberapa jenis pesawat lain telah digunakan sebagai Air Force One sejak kewujudannya termasuk dua pesawat Beoeing 707 pada 1960-an dan 1970-an.
Sejak 1990, armada pesawat khas Presiden terdiri daripada dua Boeing VC-25A dan Boeing 747-200B yang telah diubah suai.
Tentera Udara AS kini merancang untuk menggantikan dua pesawat VC-25A itu dengan tiga pesawat baharu menjelang 2017.
Franklin D. Roosevelt merupakan Presiden AS yang pertama menaiki pesawat ketika masih menyandang jawatan itu.
Pesawat khas pertama untuk penerbangan Presiden adalah pesawat amfibia Douglas Dolphin yang direka oleh tentera laut AS pada 1933 dan berpangkalan di pangkalan tentera laut Anacostia.
Douglas Dolphin diubah suai untuk membawa empat penumpang dan mempunyai ruang tidur kecil.
Bagaimanapun berdasarkan sejarah AS, Theodore Roosevelt merupakan pemimpin AS yang mula-mula menaiki pesawat, namun selepas beliau tidak lagi bergelar Presiden kerana digantikan oleh William Howard Taft.
Beliau menaiki pesawat dikenali sebagai Wright Flyer dalam satu karnival di Kinloch Field berdekatan St. Louis, Missouri pada 11 Oktober 1910.
Walaupun merupakan satu penerbangan pendek dan Roosevelt bukan lagi menyandang jawatan Presiden AS ketika itu, peristiwa tersebut menjadi permulaan untuk penerbangan pemimpin utama negara berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_08/Sejarah-pengenalan-pesawat-Air-Force-One#ixzz32reeZgNg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, May 26, 2014

Pilihan raya Mesir: Ulama fatwa haram undi


  • Poster Al-Sisi dan Hamdeen disiram cat sekali gus menyaksikan pilihan raya negara itu diboikot oleh rakyatPoster Al-Sisi dan Hamdeen disiram cat sekali gus menyaksikan pilihan raya negara itu diboikot oleh rakyat

ISTANBUL - TURKI. Lebih 200 ulama mengeluarkan fatwa, semalam yang mengharamkan mengundi dalam pilihan raya Presiden di Mesir, lapor Middle East Monitor.

Fatwa itu diumumkan dalam satu sidang media di Istanbul anjuran Jawatankuasa Penyelaras bagi Fatwa Negara Islam.

Sidang media diberi tajuk ‘Pengharaman iktiraf rampasan kuasa dan penglibatan dalam pengundian’.

Fatwa tersebut dikeluarkan berasaskan kepada prinsip Islam yang melarang sokongan kepada pemerintah yang zalim.

Penandatangan fatwa itu turut disertai Presiden Kesatuan Ulama Antarabangsa, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan ulama Kuwait, Nabil Al-Awadi.

Proses pengundian selama dua hari di Mesir telah bermula hari ini.

Pilihan raya itu menyaksikan pertembungan dua penjuru antara bekas ketua tentera yang melakukan rampasan kuasa Julai lalu, Abdel Fatah Al-Sisi dan penyandang tempat kedua pilihan raya 2012, Hameen Sabahi.

Mammoth bersalut emas dilelong


LONDON 25 Mei - Artis seni kontemporari, Britain, Damien Hirst melelong rangka seekor gajah purba bersalut emas pada harga tinggi sebanyak 8.9 juta pound (RM48 juta), di sini baru-baru ini.
Arca rangka seekor mammoth berusia 10,000 tahun itu disalut dengan kepingan nipis emas seberat 24 karat.
Hirst menjualnya pada satu acara jualan lelong di Cannes, dan dia kemudian mendermakan wang hasil jualan lelong itu untuk tujuan kebajikan.
Portal berita Daily Mail melaporkan, rangka mammoth bersalut emas itu yang diletakkan di dalam kotak kaca gergasi berbingkai emas dibeli oleh seorang jutawan Britain.
Hasil seni bertajuk Gone But Not Forgotten itu dilelong pada Jumaat lalu pada satu majlis penuh glamor dikenali sebagai amfAR di Cannes yang dihadiri bintang-bintang popular seperti Leonardo DiCaprio, Kylie Minogue, Dita Von Teese, Adrien Brody, Paris Hilton dan Catherine Deneuve.
Arca emas itu dibeli oleh seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat, Leonard Blavatnik berasal dari Ukraine yang memiliki syarikat muzik Warner Music dan merupakan individu keempat terkaya di Britain.
Blavatnik masih tidak pasti apa yang akan dilakukannya dengan arca setinggi 3 meter itu.
Hirst yang merupakan artis paling kaya di dunia dengan kekayaan bernilai lebih 200 juta pound (RM1.08 bilion) telah membeli rangka gajah purba itu pada tahun lalu tanpa mendedahkan identiti pemilik asal arca tersebut.
Ia mengambil masa selama beberapa minggu untuk Hirst dan ahli kumpulan artis seninya menanggalkan setiap tulang rangka mammoth tersebut untuk dicat semula dengan salutan emas di studionya di Science Ltd, di Stroud, Gloucestershire, Britain sebelum memasang semula tulang-tulang gajah purba berkenaan.
Turut dilelong pada acara tersebut ialah satu tiket melancong ke angkasa lepas bersama aktor DiCaprio menaiki pesawat angkasa Virgin Galactic pada harga 567,000 pound (RM3.06 juta) dan sebuah lukisan cetakan gambar Marilyn Monroe karya artis seni Andy Warhol pada harga 283,000 pound (RM1.52 juta).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140526/lu_08/Mammoth-bersalut-emas-dilelong#ixzz32lrFv4Xz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, May 25, 2014

Wanita ke-2 tertua dunia sambut hari lahir ke-115


  • Jeralean Talley masih mampu bergerak dan berjalan walaupun usianya sudah mencecah 100 tahun.Jeralean Talley masih mampu bergerak dan berjalan walaupun usianya sudah mencecah 100 tahun.

MICHIGAN - AMERIKA SYARIKAT.  Wanita kedua tertua di dunia, menyambut hari lahirnya yang ke-115,  semalam.

Menurut Kumpulan Penyelidik Gerontologi, Jeralean Talley dilahirkan pada 23 Mei 1899 merupakan yang kedua tertua selepas Misao Okawa yang berumur 116 tahun.

Dilahirkan di Montrose, Georgia, beliau berpindah ke Michigan pada tahun 1935 dan mempunyai seorang anak dengan suaminya, Alfred, yang meninggal dunia pada tahun 1988.

Menurut sumber yang dipetik dari BBC, anak perempuannya Thelma Holloway, 76, tinggal bersama ibunya di Inkster, Wayne County, dan tiga lagi generasi keluarganya tinggal berhampiran dengan kediamannya.

Ditanya tentang sambutan hari lahirnya, Talley bercadang untuk menyambut majlis tersebut bersama keluarga dan rakan-rakannya di sebuah gereja pada hari esok.

Walaupun usianya menginjak melepasi angka 100 tahun, Talley masih boleh berjalan dengan bantuan tongkat.

Coklat Cadbury dikesan DNA babi


Seorang petugas sebuah pasar raya menarik semula penjualan coklat Cadbury yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan mengandungi DNA babi di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR 24 Mei - Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil daripada tiga sampel coklat susu Cadbury yang telah diambil untuk analisis bagi tujuan pemantauan.
"Keputusan analisis mendapati dua sampel dikesan mengandungi DNA babi iaitu coklat susu dengan kacang hazel, nombor kelompok 200813M01H I2 yang tarikh luput pada 13 November 2014 dan coklat susu dengan buah badam, nombor kelompok 221013N01R I1 yang tarikh luput pada 15 Januari 2015.
"Satu lagi sampel coklat susu Cadbury (Cadbury Dairy Milk Chocolate) tidak dikesan DNA babi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihak pengeluar produk berkaitan, Cadbury Confectionary Malaysia Sdn. Bhd. memberi jaminan akan menarik balik produk terbabit daripada pasaran dengan serta-merta.
"Kementerian menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya.
"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada kami menerusi laman web Bahagian Ke­selamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsg.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq," ujarnya.
Sementara itu, Cadbury Malaysia dalam laman Facebooknya menyatakan, pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan menarik balik dua produk berkenaan.
"Bagaimanapun, kami kini sedang memantau pembekalan produk tersebut secara menyeluruh bagi memastikan standard kualiti mencapai tahap ditetapkan.
"Kami memberi jaminan kepada pengguna bahawa semua coklat Cadbury yang dikeluarkan di Malaysia disahkan halal oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), termasuk lokasi dan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk.
"Cadbury Malaysia menggunakan prosedur yang ketat dalam memastikan semua produk kami mempunyai standard keselamatan dan kualiti yang tinggi," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140525/dn_07/Coklat-Cadbury-dikesan-DNA-babi#ixzz32fzur5Dk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'Sanggul' daripada rambut pusaka


PEMAKAIAN rambut pusaka ini juga sebagai tanda menghormati roh nenek moyang mereka.
SIAPA sangka, golongan remaja perempuan dari keturunan Miao yang tinggal di daerah Guizhou, barat daya China memiliki tradisi unik iaitu menjadikan rambut nenek moyang mereka yang sudah meninggal dunia sebagai sanggul yang merupakan lambang perhiasan peribadi.
Secara turun temurun, sejak dari kanak-kanak, mereka diajar untuk tidak membuang rambut yang gugur apabila disikat tetapi sebaliknya mengumpul dan menyimpan rambut tersebut bagi dijadikan perhiasan kepala untuk dipakai dalam upacara perayaan tertentu.
Malah, mereka turut menggunakan tanduk haiwan bagi membentuk sanggul tersebut supaya kelihatan lebih kemas. Bagi pembaca .com, bukan rambut sahaja yang diwarisi, tetapi setiap benang dan aksesori yang digunakan untuk upacara perayaan itu juga menjadi tradisi yang diamalkan sehingga kini.
Justeru, tidak hairanlah, apa yang dihias oleh mereka sudah berusia beratus-ratus tahun. Mengikut kepercayaan kaum Miao, tradisi membuat sanggul ini dikatakan sebagai satu bentuk penghormatan kepada nenek moyang yang telah meninggal dunia.
Meskipun, minoriti Miao hanya memiliki lebih kurang 5,000 orang sahaja di dalam negara yang memiliki populasi penduduk 1.3 bilion di dunia, tradisi ini tetap diteruskan dan bagaikan 'tidak lapuk ditenggelami zaman'.
Demi memastikan rambut pusaka tersebut sentiasa berkilat dan sihat, setiap gumpalan rambut itu akan dicelup untuk kerja-kerja pembersihan dan dikendalikan secara berhati-hati.
Pokoknya, apa yang membuatkan tradisi ini kelihatan unik adalah perhiasan rambut ini akan diwarisi secara turun temurun oleh anak perempuan daripada ibu mereka sejak mereka kecil lagi.
Seorang pakar budaya di China, Shu Tu, 27, berkata, rambut yang digunakan dalam majlis perkahwinan dan upacara perayaan secara tradisinya turut dilakukan oleh golongan lelaki tetapi semakin kurang diamalkan masa kini.
"Tradisi ini tetap berterusan dalam kalangan anak perempuan. Rambut yang diperoleh itu bukan sahaja terhad daripada nenek dan ibu mereka, malah turut melibatkan rambut nenek moyang mereka daripada salasilah keturunan yang lebih awal dan kemudiannya ditenun bersama.
"Pada pandangan saya, ia mungkin berasal daripada pemakaian tanduk lembu yang dianggap haiwan suci pada zaman dahulu oleh penduduk luar bandar. Tetapi kini rambut itu bukan sahaja digunakan untuk menghias tanduk tersebut malah menjadi simbol penghormatan terhadap nenek moyang," katanya.
Tambahnya, bagi sesetengah orang, sejarah mereka tertulis di dalam buku tetapi bagi masyarakat Miao, sejarah mereka terletak di atas kepala.- DHIYA'ZULHILMI DAUd


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_01/Sanggul-daripada-rambut-pusaka#ixzz32fyCEWmQ
© Utusan Melayu (M) Bhd