Pages

Monday, May 26, 2014

Mammoth bersalut emas dilelong


LONDON 25 Mei - Artis seni kontemporari, Britain, Damien Hirst melelong rangka seekor gajah purba bersalut emas pada harga tinggi sebanyak 8.9 juta pound (RM48 juta), di sini baru-baru ini.
Arca rangka seekor mammoth berusia 10,000 tahun itu disalut dengan kepingan nipis emas seberat 24 karat.
Hirst menjualnya pada satu acara jualan lelong di Cannes, dan dia kemudian mendermakan wang hasil jualan lelong itu untuk tujuan kebajikan.
Portal berita Daily Mail melaporkan, rangka mammoth bersalut emas itu yang diletakkan di dalam kotak kaca gergasi berbingkai emas dibeli oleh seorang jutawan Britain.
Hasil seni bertajuk Gone But Not Forgotten itu dilelong pada Jumaat lalu pada satu majlis penuh glamor dikenali sebagai amfAR di Cannes yang dihadiri bintang-bintang popular seperti Leonardo DiCaprio, Kylie Minogue, Dita Von Teese, Adrien Brody, Paris Hilton dan Catherine Deneuve.
Arca emas itu dibeli oleh seorang ahli perniagaan warga Amerika Syarikat, Leonard Blavatnik berasal dari Ukraine yang memiliki syarikat muzik Warner Music dan merupakan individu keempat terkaya di Britain.
Blavatnik masih tidak pasti apa yang akan dilakukannya dengan arca setinggi 3 meter itu.
Hirst yang merupakan artis paling kaya di dunia dengan kekayaan bernilai lebih 200 juta pound (RM1.08 bilion) telah membeli rangka gajah purba itu pada tahun lalu tanpa mendedahkan identiti pemilik asal arca tersebut.
Ia mengambil masa selama beberapa minggu untuk Hirst dan ahli kumpulan artis seninya menanggalkan setiap tulang rangka mammoth tersebut untuk dicat semula dengan salutan emas di studionya di Science Ltd, di Stroud, Gloucestershire, Britain sebelum memasang semula tulang-tulang gajah purba berkenaan.
Turut dilelong pada acara tersebut ialah satu tiket melancong ke angkasa lepas bersama aktor DiCaprio menaiki pesawat angkasa Virgin Galactic pada harga 567,000 pound (RM3.06 juta) dan sebuah lukisan cetakan gambar Marilyn Monroe karya artis seni Andy Warhol pada harga 283,000 pound (RM1.52 juta).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140526/lu_08/Mammoth-bersalut-emas-dilelong#ixzz32lrFv4Xz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: