Pages

Sunday, May 25, 2014

Coklat Cadbury dikesan DNA babi


Seorang petugas sebuah pasar raya menarik semula penjualan coklat Cadbury yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan mengandungi DNA babi di Kuala Lumpur, semalam. - Bernama
KUALA LUMPUR 24 Mei - Kementerian Kesihatan mengesahkan dua sampel coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah (gambar) berkata, keputusan tersebut diperoleh hasil daripada tiga sampel coklat susu Cadbury yang telah diambil untuk analisis bagi tujuan pemantauan.
"Keputusan analisis mendapati dua sampel dikesan mengandungi DNA babi iaitu coklat susu dengan kacang hazel, nombor kelompok 200813M01H I2 yang tarikh luput pada 13 November 2014 dan coklat susu dengan buah badam, nombor kelompok 221013N01R I1 yang tarikh luput pada 15 Januari 2015.
"Satu lagi sampel coklat susu Cadbury (Cadbury Dairy Milk Chocolate) tidak dikesan DNA babi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, pihak pengeluar produk berkaitan, Cadbury Confectionary Malaysia Sdn. Bhd. memberi jaminan akan menarik balik produk terbabit daripada pasaran dengan serta-merta.
"Kementerian menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya.
"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada kami menerusi laman web Bahagian Ke­selamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di http://fsg.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq," ujarnya.
Sementara itu, Cadbury Malaysia dalam laman Facebooknya menyatakan, pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan menarik balik dua produk berkenaan.
"Bagaimanapun, kami kini sedang memantau pembekalan produk tersebut secara menyeluruh bagi memastikan standard kualiti mencapai tahap ditetapkan.
"Kami memberi jaminan kepada pengguna bahawa semua coklat Cadbury yang dikeluarkan di Malaysia disahkan halal oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), termasuk lokasi dan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk.
"Cadbury Malaysia menggunakan prosedur yang ketat dalam memastikan semua produk kami mempunyai standard keselamatan dan kualiti yang tinggi," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140525/dn_07/Coklat-Cadbury-dikesan-DNA-babi#ixzz32fzur5Dk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: