Pages

Tuesday, May 27, 2014

Prayuth dapat restu Raja Bhumibol


PRAYUTH (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Tentera Diraja Thailand di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pemimpin junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha semalam mengisytiharkan beliau mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej untuk memerintah Thailand.
Justeru, beliau memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukannya.
Prayuth berkata, pilihan raya akan diadakan secepat mungkin tetapi beliau tidak menetapkan tempoh masa untuk mengembalikan semula kuasa politik kepada 67 juta rakyat Thailand selepas merampas kuasa Khamis lalu.
"Junta tentera akan bertindak tegas bagi mengelakkan berulangnya protes dan keganasan politik yang telah berlarutan selama beberapa bulan," kata Prayuth.
Beliau mendesak para penunjuk perasaan menghentikan perhimpunan yang boleh membahayakan diri dan keluarga mereka kerana undang-undang tentera yang kini berkuat kuasa amat ketat.
Prayuth menyekat kebebasan awam dan media, melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam dan memansuhkan sebahagian besar perlembagaan negara.
Beliau turut mengambil alih kuasa untuk menggubal undang-undang.
Dalam pada itu, junta tentera telah menahan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bersama kira-kira 200 pemimpin kerajaan, tokoh politik, pengkritik dan ahli akademik susulan rampasan kuasa tersebut.
Seorang komander tentera semalam menyatakan bahawa Yingluck masih berada di bawah tahanan tentera tetapi enggan mendedahkan lokasinya.
"Kami menjaganya (Yingluck). Beliau sihat. Beliau boleh memilih untuk tinggal di mana sahaja (di Thailand)," kata komander tersebut, Leftenan Jeneral Thirachai Nakwanich.
Sebelum ini Prayuth melantik diri sendiri sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Rampasan kuasa kali ini berlaku selepas Yingluck dipecat oleh mahkamah negara ini pada pertengahan bulan ini kerana menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32rl4qMSu 
Hakcipta terpelihara 

No comments: