Pages

Wednesday, September 21, 2011

Tiga maut serangan bom di Turki




API kebakaran marak di kawasan letupan bom di pusat bandar raya Ankara, Turki, semalam. - REUTERS


ANKARA 20 Sept. - Satu letupan kuat dipercayai berpunca daripada bom di dalam kereta menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan 15 orang cedera di ibu negara Turki ini, hari ini.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab tetapi serangan itu berlaku ketika pemberontak Kurdis yang menuntut autonomi di tenggara Turki memperhebatkan serangan ke atas sasaran di negara ini.
"Kami menerima maklumat sebutir bom dipasang di dalam sebuah kenderaan yang meletup di daerah Kizilay di pusat bandar," kata Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc.
Menurut televisyen NTV, letupan tersebut menyebabkan tingkap-tingkap kedai dan pejabat di kawasan sekitar pecah dan mencetuskan api yang kemudiannya dipadamkan oleh anggota bomba.
Sekurang-kurangnya tiga mangsa terbunuh dan sesetengah daripada mangsa yang cedera dilaporkan kehilangan kaki atau tangan.
"Saya merasai kesan daripada letupan yang berlaku kira-kira 500 meter jauhnya," kata seorang saksi, Ekrem Erkoc.
Agensi berita Anatolia melaporkan, letupan itu berlaku di hadapan pejabat pentadbir tempatan Chankaya di daerah Kizilay. - AFP

Rantai Titanic dicuri di Tivoli




RANTAI emas milik Eleanor Widener yang terselamat dalam tragedi kapal Titanic didapati dicuri semasa dipamerkan di Tivoli, Copenhagen, Sabtu lalu. - AP


COPENHAGEN 20 Sept. - Seutas rantai yang dipakai oleh seorang penumpang kapal Titanic yang karam, dicuri dari pameran yang diadakan di sini, kata pengurus pameran, semalam.
Rantai tersebut dicuri Sabtu lalu ketika waktu pembukaan di dewan pameran di Tivoli dan pencuri berjaya melarikannya selepas melepasi sistem penggera, kata jurucakap Tivoli, Torban Plank.
"Kami rasa pencuri tersebut bukan pencuri profesional kerana ada barang kemas yang lebih mahal yang dipamerkan di situ," katanya.
Menurut pemilik syarikat Musealia yang menguruskan pameran bergerak itu, Luis Ferreiro, rantai itu berharga sekurang-kurangnya 14,000 euro (RM60,000).
"Rantai yang berharga itu merupakan milik keluarga Widener yang merupakan antara keluarga terkaya yang menaiki kapal Titanic pada tahun 1912.
"Namun, mereka tidak mungkin berjaya menjualnya kerana ia dikenali di seluruh dunia," katanya.
Rantai tersebut mungkin dimiliki oleh Eleanor Widener yang terselamat dari kapal yang karam itu setelah melanggar ketul ais tetapi terdapat khabar angin mengatakan ia ditemui di dalam poket mayat seorang pembantu rumah. - AFP

Banon mahu seret Strauss-Kahn ke mahkamah




Tristane Banon


PARIS 20 Sept. - Penulis Perancis yang mendakwa Dominique Strauss-Kahn cuba merogolnya pada 2003, semalam berikrar untuk mengemukakan kes sivil terhadap bekas ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) itu jika tiada pendakwaan kes jenayah difailkan.
Tristane Banon, 32, bercakap dalam siaran televisyen waktu perdana sehari selepas Strauss-Kahn diwawancara buat kali pertama berhubung dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di New York pada Mei lalu.
Strauss-Kahn dalam wawancara itu memberitahu lebih 13 juta penonton beliau tidak menyerang Banon atau cuba merogol pengemas bilik hotel, Nafissatou Diallo.
Polis Perancis masih menyiasat dakwaan Banon bahawa lapan tahun lalu, Strauss-Kahn memanggilnya ke sebuah pangsapuri, mengunci pintu dan cuba merogolnya.
"Saya akan mengemukakan kes sivil," kata Banon kepada stesen swasta Canal+, juga dalam wawancara pertamanya di televisyen sejak skandal itu didedahkan.
Pendakwa raya Paris belum memutuskan sama ada hendak mendakwa Strauss-Kahn berhubung kes Banon itu, tetapi pemerhati undang-undang di sini berpendapat kes itu sukar dibuktikan kerana insiden berlaku lapan tahun lalu dan tidak ada lagi bukti fizikal.
Di New York, pendakwa raya sudah menggugurkan dakwaan terhadap Strauss-Kahn selepas memutuskan kenyataan Diallo tidak boleh dipercayai, meskipun beliau masih menghadapi kes sivil berhubung dakwaan itu.
Strauss-Kahn, 62, dibebaskan dari tahanan di rumah di New York dan dibenarkan pulang ke Perancis pada 4 September lalu.
Kelmarin, semasa wawancara televisyen yang dikendalikan oleh seorang rakan isterinya, Strauss-Kahn mendakwa insiden yang berlaku antara beliau dengan pekerja hotel itu adalah 'kesilapan moral' dan bukan percubaan untuk merogol.
Beliau juga tidak menafikan berlaku insiden dengan Banon tetapi berkata, dalam pertemuan itu tidak ada serangan atau kekerasan, sebaliknya versi yang dilaporkan adalah khayalan dan berunsur fitnah. - AFP

Banjir: Lebih sejuta penduduk China dipindah




PASUKAN penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan mangsa yang terperangkap dalam bangunan setelah banjir menenggelamkan pekan Daxian di provinsi Sichuan, China, kelmarin. - AP


BEIJING 20 Sept. - Hujan lebat dan banjir di seluruh China menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut, berpuluh-puluh lagi hilang dan beratus-ratus cedera manakala lebih daripada sejuta penduduk dipindahkan dari rumah mereka, kata kerajaan negara itu.
Hujan yang paling lebat sejak minggu lalu menyebabkan air banjir menenggelami bahagian utara, tengah dan barat daya China.
Walaupun penduduk yang terjejas menarik nafas lega kerana hujan sudah reda tetapi paras air sungai terus meningkat.
Menurut kenyataan dari Kementerian Hal Ehwal Awam, insiden tersebut memaksa pihak berkuasa memindahkan lebih daripada 1.2 juta orang dari rumah mereka.
"Hujan lebat yang tidak berhenti-henti menyebabkan kejadian banjir serius di Sichuan (barat daya), Shaanxi (utara) dan Henan (tengah China) serta menjejaskan 12.3 juta orang termasuk 57 orang maut dan 29 lagi hilang," jelas kenyataan itu lewat semalam.
Tambahnya, lebih daripada 120,000 rumah runtuh dan mengalami kerugian ekonomi daripada kerosakan rumah, tanaman dan tanah yang dianggarkan bernilai AS$ 2.7 bilion (RM 8.1 bilion).
Pihak berkuasa menghantar pasukan penyelamat bagi membantu usaha-usaha kerajaan dan merancang untuk mengedar beribu-ribu khemah, katil, selimut dan pakaian, kata kementerian. - AFP

Rupert Murdoch bayar pampasan



LONDON 20 Sept. - Jutawan media, Rupert Murdoch akan membayar pampasan sebanyak dua juta pound (RM9.8 juta) kepada keluarga seorang remaja perempuan yang mati dibunuh, Milly Dowler.
Dowler, 13, merupakan antara mangsa penggodam telefon oleh akhbar tabloid, News of the World yang dimiliki Murdoch.
Selain pampasan itu, Murdoch juga akan menyerahkan sumbangan peribadi sebanyak sejuta pound (RM4.9 juta) kepada badan amal sebagai langkah penyelesaian terhadap kontroversi berkenaan.
Jurucakap News International semalam mengesahkan syarikat itu telah berunding dengan keluarga remaja terbabit berhubung pembayaran pampasan berkenaan.
Ogos lalu, News of the World telah ditamatkan operasinya selepas terlibat dalam skandal penggodaman telefon.
Akhbar tabloid mingguan Ahad itu juga mencetuskan kontroversi apabila bertindak mendapatkan khidmat penyiasat persendirian untuk menceroboh masuk ke dalam peti mel suara Dowler selepas dia dilaporkan hilang pada 2002.
Sementara itu, peguam kepada keluarga remaja tersebut, Mark Lewis berkata, Murdoch sendiri telah bertemu keluarga Dowler pada Julai lalu untuk meminta maaf atas apa yang telah dilakukan oleh akhbar tersebut.
''Beliau telah berulang kali memohon maaf,'' tambahnya.
Pada 2008, News International membayar pampasan sebanyak 425,000 pound (RM2,082,500) kepada Ketua Eksekutif Pertubuhan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA), Gordon Taylor atas kontroversi yang sama.
Pada Mei lalu pula, bintang filem Sienna Miller memenangi 100,000 pound (RM490,000) bayaran pampasan bagi kes gangguan privasi oleh News of the World yang menggodam panggilan telefonnya. - AFP

Palestin miliki ‘peluru diplomatik’




ANGGOTA pengakap perempuan Palestin meraikan ulang tahun badan Pengakap Lelaki Baitulaham sambil memegang bendera ‘Ya kepada negara Palestin... Resolusi 194 PBB’ di Dataran Manger, Baitulaham, Palestin pada 18 September lalu. – AFP


NEW YORK 20 Sept. – Kempen Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat oleh ramai pemerhati sebagai ‘peluru diplomatik’ yang ditujukan bukan sahaja terhadap Israel tetapi juga Amerika Syarikat (AS).
Sebarang veto AS untuk menggagalkan permohonan pengiktirafan negara Palestin di Majlis Keselamatan PBB boleh membawa ketegangan Palestin-AS ke kemuncak selepas setahun menyaksikan tiada kemajuan dicapai dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin.
Presiden AS, Barack Obama dijadual menemui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semasa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) minggu ini, yang dijangka dibayangi oleh kempen negara Palestin itu.
Tiada pertemuan AS diatur dengan Presiden Palestin, Mahmud Abbas, dan wakil Palestin di PBB, Riyad Mansour menuduh pentadbiran AS mengambil ‘pendirian negatif’ dengan ugutan untuk menggunakan kuasa vetonya.
Pemerhati Palestin berkata, Washington tidak berupaya untuk mempengaruhi Netanyahu berhubung pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin dan beberapa isu lain.
AS yang sudah mengancam untuk menggunakan kuasa vetonya terhadap resolusi negara Palestin di Majlis Keselamatan, berpendirian hanya rundingan langsung Israel-Palestin boleh membawa kepada penubuhan negara Palestin.
Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton semalam berkata, AS telah melancarkan usaha ‘amat intensif’ bagi meyakinkan pemimpin Palestin supaya membatalkan kempen mereka itu, tetapi diplomat Palestin pula berkata, belum ada cadangan AS yang menepati jangkaan mereka untuk mencapai persetujuan yang boleh mengelakkan konfrontasi.
Khaled Elgindy daripada Pusat Saban bagi Dasar Asia Barat di Brookings Institution berkata, tindakan Palestin itu adalah sebagai mesej kepada AS dan masyarakat antarabangsa bahawa Palestin tidak berpuas hati dengan cara Amerika mengurus proses damai.
Abbas dan pemimpin lain dari satu segi cuba memastikan AS menanggung akibat daripada kegagalan itu, katanya.
“Saya tidak fikir pemimpin Palestin mahu menolak sama sekali peranan AS sebagai peneraju atau penaja proses damai.
“Namun mereka mengharapkan peranan lebih saksama daripada Washington dan penglibatan antarabangsa yang lebih luas supaya proses damai tidak didominasi semata-mata oleh AS,” ujar beliau. – AFP

NTC hampir tawan Sabha

BENGHAZI: Pejuang anti-Gaddafi berkata semalam, mereka menawan lapangan terbang dan sebuah garison tentera di selatan Libya ketika pertempuran berlaku di dua kubu penyokongnya di utara negara itu.
Kemenangan di medan pertempuran itu dicapai ketika Amerika Syarikat dan sekutunya bersiap sedia untuk bersidang di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York bagi membincangkan masa depan Libya.
Lapangan terbang dan garison itu terletak di Sabha, sebuah bandar strategik padang pasir, 800 kilometer ke selatan Tripoli.

Pertempuran dilapor masih berlaku di beberapa kawasan tetapi tentera pro-Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menjangka menawan keseluruhan Sabha sedikit masa lagi, kata jurucakap ‘Briged Desert Shield,’ Mohammed Wardugu.


Mereka juga menawan seorang jeneral kanan Gaddafi dan memaksa lebih 300 tentera upahannya melarikan diri.

“Pejuang kami menyerang hendap dan kemudian membunuh, mencederakan dan menawan ramai tentera pro-Gaddafi,” kata Mohammed tanpa memberi jumlah sebenar.

Menurutnya, Jeneral Belgacem Al-Abaaj, ketua perisik Gaddafi di wilayah Al-Khofra, ditawan kira-kira 100 kilometer dari Sabha.

Jeneral itu yang dikehendaki oleh tentera NTC ditangkap bersama-sama anggota keluarganya ketika mereka dalam perjalanan dalam lima kenderaan.

“Dia melakukan banyak jenayah di Al-Khorfra (selatan Libya) dan apabila bandar ini dibebaskan, dia melarikan diri ke Al-Jufra (tengah Libya), tempat dia mengetuai operasi sabotaj terhadap tentera baru Libya,” kata Mohammed.

Di utara, puluhan pejuang rejim baru menyerang bandar Sultana tanpa mempedulikan tembakan roket dan meriam ketika mereka meraikan satu lagi kejayaan dalam kemaraan menuju ke Sirte, bandar kelahiran Gaddafi di pantai Mediterranean.

Sambil melaungkan takbir dan, pejuang itu memasuki Sultana, bandar yang menyaksikan pertempuran sejak dua hari lalu, memaksa pengunduran penyokong setia Gaddafi ke arah Sirte. - Reuters

Raja Jordan kecewa dengan sikap Israel

AMMAN: Raja Abdullah semalam memberi amaran, pendirian Israel dalam rundingan dengan Palestin hanya memburukkan lagi ketidakstabilan di Asia Barat.
Raja Jordan itu, dalam wawancara dengan The Wall Street Journal berkata, meskipun beliau terdorong dengan ‘kenyataan positif’ Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, realiti sebenar amat mengecewakan.
“Cara terbaik untuk menggambarkan pandangan saya terhadap Israel ialah peningkatan kekecewaan saya terhadap pendirian mereka yang berpura-pura,” katanya. - AFP

140 bilion gambar dalam Facebook

LOS ANGELES: Apabila anda memuatnaikkan gambar ke dalam Facebook, bayangkan angka ini - 140 bilion.
Itulah jumlah gambar yang terdapat dalam rangkaian sosial popular itu.

Jumlah itu adalah 10,000 kali lebih banyak daripada katalog gambar yang terdapat di Perpustakaan Kongres, perpustakaan terbesar di dunia.

Flickr, laman web yang menjadi hos khusus untuk imej dan video, juga ketinggalan dengan 140 bilion gambar yang dimuatnaikkan ke Facebook.

Kira-kira 2.5 bilion orang di seluruh dunia memiliki kamera digital.

Hakikatnya, jumlah gambar yang dirakam setiap dua minit sehari adalah sama jumlahnya dengan gambar yang dirakam pada 1880-an.


Jika seseorang merakam 150 gambar setahun, ini bermakna 375 bilion gambar diambil secara keseluruhan.

Lebih 70 bilion gambar dijangka dimuatnaikkan dalam Facebook tahun ini, bermakna kira-kira 20 peratus daripada semua gambar yang diambil akan dimasukkan ke laman itu. - Agensi

Kereta tanpa pemandu


SEORANG saintis membetulkan pengimbas laser di atas bumbung kereta yang dikawal komputer.
SEORANG saintis membetulkan pengimbas laser di atas bumbung kereta yang dikawal komputer.
BERLIN: Ia boleh bercakap, melihat dan memandu serta tidak memerlukan manusia untuk mengawalnya dari jarak jauh.
Kereta masa depan, yang dikawal komputer sepenuhnya kini sudah berada di jalan raya di Berlin.

Sepanjang musim panas, penyelidik dari bandar Free University menguji kenderaan itu di sekitar ibu negara Jerman.

Kereta berkenaan bergerak menerusi trafik bersendirian dengan menggunakan gabungan peranti, termasuk komputer, elektronik dan sistem pemandu arah ketepatan satelit, pengimbas laser di atas bumbung dan sekitar bampar depan dan belakang.

“Kenderaan itu boleh mengenal pasti kereta lain di jalan raya, pejalan kaki, bangunan dan pokok yang terletak sejauh 70 meter di sekelilingnya.

“Malah, ia juga boleh melihat lampu isyarat di depan merah atau hijau dan bertindak sepatutnya,” kata Raul Rojas, Ketua Penyelidik Kumpulan Kecerdasan Tiruan universiti itu, Menurutnya, pengenalpasti an dan tindak balasnya terhadap persekitaran adalah lebih pantas berbanding reaksi manusia Saintis terbabit menjalankan kajian terhadap kereta ujian, sebuah Volkswagen Passat dengan melengkapkan teknologi khas yang menelan belanja 400,000 euro (RM1.7 juta) sejak empat tahun lalu.


Beberapa kumpulan lain sebelum ini turut memberi tumpuan terhadap teknologi serupa baru-baru ini, khususnya Google, yang kini menjalankan kajian kereta robotik Toyota Prius di Nevada. - AP

Rumah Mat Sabu diserang


KENA BAKAR...Nurul menunjukkan pagar yang dibakar dipercayai perbuatan khianat.
KENA BAKAR...Nurul menunjukkan pagar yang dibakar dipercayai perbuatan khianat.

SHAH ALAM: “Saya terkejut apabila jiran menelefon memberitahu rumah saya terbakar,” kata Nurul Huda Mohamad, 28, anak perempuan kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berhubung insiden kebakaran di rumah pemimpin pembangkang itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam Isnin lalu.
Ketika kejadian Nurul Huda berada seorang diri di rumah, manakala seorang lagi anak lelaki Mat Sabu, Ahmad Saiful Islam, 23, berada di luar.
Ketika ditemui di kediaman Mat Sabu di Jalan 19/32 C Seksyen 19, di sini, Nurul Huda berkata dia sedang melayari Internet di tingkat atas rumah apabila tiba-tiba terdengar bunyi seperti ada orang terlanggar pagar di luar rumah.

“Saya ingatkan adik saya Saiful yang pulang ke rumah apabila terdengar bunyi pagar itu. Saya tidak mengesyaki apa-apa dan terus melayari Internet.


“Tiba-tiba, saya mendapat panggilan telefon dari jiran yang memberitahu bahawa bahagian pagar di depan rumah terbakar,” katanya.

Pengasuh bayi ditahan

AMPANG: Seorang wanita yang juga pengasuh kepada seorang bayi lelaki yang dipercayai menjadi mangsa dera ditahan di rumahnya di Pandan Jaya, di sini, semalam.
Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata wanita berusia 30-an itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes dera terhadap bayi lelaki terbabit.

Menurutnya, suspek yang dipercayai warga Filipina direman sehingga 3 Oktober depan mengikut Seksyen 31(1)(c) Akta Kanak-kanak 2001.

Selain itu, beliau berkata, suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak mempunyai dokumen.

Bagaimanapun, menurutnya, suami wanita terbabit belum ditahan.

Kelmarin Harian Metro melaporkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan dipercayai menjadi mangsa dera suami pengasuh bayi itu ketika berada dalam jagaan mereka di sebuah pangsapuri di Pandan Jaya, di sini.


Difahamkan, tindakan lelaki berusia 30-an itu terbongkar selepas ibu bapa bayi berkenaan menghantarnya menerima rawatan di sebuah klinik. Menurut sumber, hasil pemeriksaan doktor menemui beberapa kesan lebam pada pipi dan paha bayi itu dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Dua bulan ikat perut

LEGA...Mohd Afifuddin (kiri) dipeluk ayahnya Md Tahir Ali sambil diperhatikan ibunya Arifah Ahmad sebaik tiba di KLIA, semalam.
LEGA...Mohd Afifuddin (kiri) dipeluk ayahnya Md Tahir Ali sambil diperhatikan ibunya Arifah Ahmad sebaik tiba di KLIA, semalam.


SYUKUR...Muhammad Khairil Anum mencium tangan ibunya, Normahani Mohd Yunus.
SYUKUR...Muhammad Khairil Anum mencium
tangan ibunya, Normahani Mohd Yunus


SEPANG: “Kami terpaksa berjimat cermat dua bulan bagi memastikan duit simpanan mencukupi untuk menampung perbelanjaan makan, minum dan membayar sewa rumah berikutan kesukaran mengeluarkan wang dari bank,” kata Mohd Afifuddin Md Tahir, 22.
Pelajar tahun satu jurusan Sastera Arab dan Syariah dari Maahad Dauli, Damsyik, Syria itu berkata, persatuan pelajar di institusi pengajian tinggi berkenaan turut mengambil inisiatif meminta bantuan rakan yang ke Lubnan dan Jordan untuk mengeluarkan wang pelajar lain.


“Kami meminta bantuan rakan yang pergi ke dua negara itu mengeluarkan wang untuk kami.


“Ini kerana jika ingin pergi sendiri ia mengambil masa tiga jam, jadi kami menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada rakan dan meminta mereka mengeluarkan wang secukupnya untuk kegunaan kami sepanjang di universiti,” katanya.


Mohd Afifuddin yang berasal dari Kedah ditemui sebaik tiba bersama 47 pelajar Malaysia lain di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, melalui penerbangan Emirates EK 0346 dari Dubai, petang semalam.


Kos penerbangan pulang dibiayai penuh Wisma Putra dan Kementerian Pengajian Tinggi.




Laporan sebelum ini menyatakan lebih 200 pelajar Malaysia di Syria mengikat perut selepas Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas kad kredit di negara itu, mengakibatkan mereka gagal mengeluarkan wang simpanan.


Berikutan itu, kerajaan memutuskan membawa mereka pulang menerusi penerbangan komersial atau operasi khas.


Kumpulan sukarelawan Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno turut menghulurkan bantuan kewangan dan keperluan asas kepada kumpulan pelajar terbabit, selain meninjau keadaan semasa di Syria bagi memudahkan urusan membawa pulang mereka.


Kumpulan kedua pelajar dari negara itu dijangka pulang ke tanah air, 29 September ini.


Pelajar jurusan Sastera Arab dari Universiti Mujama Al-Fatah Islamiah, Damsyik, Omar Farouq Mohd Ali Rojab, 24, berkata keadaan di kota itu terkawal dan tidak seteruk dilaporkan media.


Katanya, pelajar Malaysia selamat cuma perlu sentiasa berwaspada.

Remaja hilang ikut teman lelaki

KUALA LUMPUR: Dua remaja perempuan berusia 16 tahun hilang dari rumah mereka di Felda Kemasul, Temerloh, Pahang sejak 12 September lalu dan sehingga kini, masih gagal dikesan.
Kedua-dua mereka iaitu Nurmuniera Farisha Nizam, dan Siti Noor Atika Hamzani, pelajar sebuah sekolah menengah di Felda Chemomoi, dipercayai mengikut teman lelaki Nurmuniera. Bapa saudara mangsa, Faizal Mohd Lazim, 30-an, berkata, anak saudaranya, Nurmuniera berkenalan dengan teman lelakinya yang belajar di sekolah sama sejak setahun lalu.

Katanya, mangsa tidak pernah berkelakuan pelik ketika berada di rumah dan dipercayai berjumpa teman lelakinya ketika keluar belajar bersama rakannya dikenali sebagai Atika yang turut hilang.

Menurutnya, pada hari kejadian, anak sauadaranya itu baru pulang dari rumah Atika kira-kira jam 4 petang sebelum keluar semula kira-kira jam 5.30 petang dengan alasan mengambil nota pelajaran.

“Kami hanya tahu dia berniat lari bersama teman lelaki selepas seorang jiran ternampaknya membawa beg sandang,” katanya.

Faizal berharap dan merayu kepada teman lelaki anak saudaranya itu agar membebaskannya dan mereka mempunyai maklumat boleh hubunginya di talian 016-6745130 atau datuk mangsa, Muhamad Lazim Mat Sap di talian 011-2976711.

Bayi lebam muka akibat komplikasi

SHAH ALAM: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mengesahkan kejadian seorang bayi perempuan yang lahir dengan lebam di muka di hospital berkenaan pada Selasa minggu lalu akibat komplikasi ketika proses kelahiran, bukan kecuaian.
Pengarah HTAR, Dr M Sukumar, berkata bayi yang selamat dilahirkan Siti Aishah Abdullah, 23, selepas pembedahan pada 13 September itu mengalami penyembaban dan lebam (facial congestion and bruising ) di mukanya.

Beliau berkata, kejadian itu berpunca daripada komplikasi ketika proses kelahiran kerana posisi yang luar biasa dan bukan kerana kesilapan atau kecuaian pihak hospital. “Kedua-dua ibu dan bapa bayi berkenaan sudah pun diberikan penjelasan serta kaunseling oleh pihak hospital.

“Bayi berkenaan masih berada dalam pemerhatian pihak hospital. Keadaan bayi beransur pulih dan akan dibenarkan pulang dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Harian Metro pada 16 September lalu melaporkan, kekecewaan seorang lelaki baru bergelar bapa, Ibrahim Umran, 23, yang terkejut melihat zuriat sulungnya iaitu bayi perempuan berkeadaan lebam di muka.

Ibrahim berkata, dia kecewa kerana sebelum kelahiran dan sepanjang tempoh kandungan doktor mengesahkan bayinya sempurna dan sihat.

Belasah percuma

SAKIT...mata kanan Mohd Syawal yang lebam.
SAKIT...mata kanan Mohd Syawal yang lebam
MERU: Malang bagi seorang pekerja bengkel apabila dibelasah hingga pengsan sebelum ditinggalkan di tepi jalan penyerangnya yang tersilap sasaran menyerang mangsa untuk membalas dendam terhadap orang lain.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada Sabtu lalu, mangsa yang cedera teruk di mata, muka, kepala dan badan selepas ditumbuk serta dipijak hingga pengsan oleh tiga lelaki warga asing berusia 30-an dimasukkan ke wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dekat sini.

Mangsa, Mohd Syawal Rosnaini, 25, berkata kejadian berlaku kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Perepat, di sini, ketika dia baru pulang dari tempat kerjanya.

“Rumah saya dengan tempat kerja di bengkel besi kira-kira dua kilometer dan saya biasanya ikut jalan dalam serta tak pakai topi keledar.

“Ketika berhenti di simpang tiga Jalan Keretapi Lama menuju rumah, tiba-tiba muka saya ditumbuk seorang lelaki yang berada di simpang itu.

“Saya terjatuh sebelum datang dua lagi lelaki membelasah saya. Kepala, muka dan badan saya ditumbuk serta dipijak bertubi-tubi hingga tak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perepat, semalam, selepas dibenarkan keluar hospital.


Menurutnya, dia tersedar dari pengsan di dalam kereta bapanya, Rosnaini Ahmad, 52, ketika dalam perjalanan ke hospital pada hari kejadian.

Syawal berkata, rakannya yang membantu serta memberitahu kejadian kepada bapanya memberitahu dua daripada tiga warga asing itu ditangkap beberapa penduduk, manakala seorang lagi melarikan diri.

“Rakan saya menyatakan selepas didesak berulang kali dua lelaki terbabit mengakui mereka tersilap orang kerana menyangka saya mengugut wang seorang daripada penyerang itu beberapa hari sebelum kejadian.

“Mereka sangka saya melakukan perbuatan itu dan mahu membalas dendam,” katanya.

Sementara itu, Rosnaini berkata, dia terkejut apabila seorang daripada rakan anak sulungnya itu datang ke rumah dan memaklumkan Syawal pengsan tepi jalan.

“Dengan dibantu penduduk, saya membawa Syawal ke hospital,” katanya.

Dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Ibu nafi subahat

SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan bersubahat membenarkan kekasih merogol anak sulungnya berusia 13 tahun di hadapan mata sendiri.
Tertuduh yang bertugas sebagai penyelia teksi di sebuah hotel mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar. Pada prosiding sama, teman lelakinya, Ma Kasim Sirat, 43, petani, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol mangsa. Ma Kassim didakwa merogol anak teman wanitanya di sebuah rumah di Bukit Sentosa, Hulu Selangor dekat sini, jam 12.30 tengah malam, pada pertengahan 2009 dan 30 Januari tahun lalu. Ibu mangsa berusia 30 tahun pula didakwa bersubahat dengan membenarkan anaknya dirogol pada tempat, masa dan tarikh sama. Bagi setiap pertuduhan, pasangan kekasih itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor tidak menawarkan sebarang jaminan bagi menjamin keselamatan mangsa. Beliau berkata, ini kerana tertuduh tahu tempat tinggal mangsa yang kini dijaga neneknya dan sekolah di mana remaja itu belajar. “Terkini, kami mendapat tahu bahawa mangsa membuat laporan polis untuk menarik balik laporan pertamanya (berhubung dakwaan rogol).

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan belum menerima laporan berkenaan,” katanya. Latifah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan supaya tertuduh tidak dikenakan jaminan. Beliau berkata, kes ini membabitkan dakwaan terhadap ibu mangsa dan teman lelakinya di samping status kanak-kanak perempuan itu yang masih bersekolah.

“Penjamin yang mahu menjamin pula adalah nenek kanak-kanak perempuan itu, jadi mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan,” katanya.

Ketika ditanya Latifah sama ada ibu tunggal itu sedar betapa serius dakwaan bersubahat dihadapinya, wanita itu hanya berdiam diri.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 21 Oktober depan untuk tujuan lantikan peguam.

4 anggota Geng Dol ditembak mati



Oleh Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bharian.com.my
2011/09/21

POLIS mengangkat mayat salah seorang daripada empat  penjenayah yang ditembak mati di Jalan Kampung Changkat Larang, Batu Gajah, malam kelmarin.
POLIS mengangkat mayat salah seorang daripada empat penjenayah yang ditembak mati di Jalan Kampung Changkat Larang, Batu Gajah, malam kelmarin.
Kumpulan warga asing disyaki terbabit 18 kes samun, pecah rumah, rompak 

IPOH: Empat anggota Geng Dol yang mengganas di Perak dengan melakukan 18 samun, pecah rumah dan rompak sejak awal tahun ini, ditembak mati dalam kejadian berbalas tembak dengan sepasukan polis di Jalan Kampung Changkat Larang, Batu Gajah, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, empat lelaki dipercayai warga asing yang bersenjatakan sepucuk pistol buatan sendiri dan tiga parang ditembak apabila cuba menyerang polis selepas kereta yang dinaiki tersekat di jalan mati.
Sebelum itu, mereka menaiki kereta Proton Waja berwarna perak memecut laju dan melanggar bahu jalan apabila cuba diperiksa sepasukan polis di tepi jejantas Jalan Kampung Changkat Larang. 

Selepas dikejar polis kira-kira 15 minit sehingga ke jalan mati, suspek bertindak memberhentikan kenderaannya sebelum mengundur sehingga melanggar bahagian depan kereta polis sambil melepaskan tembakan ke arah kereta polis. 

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan, berkata polis yang bertindak balas bagi mempertahankan diri kemudian berjaya menembak mati keempat-empat penjenayah terbabit yang dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an. 

Katanya, polis turut menemui dua komputer riba, tiga telefon bimbit, tiga jam tangan serta beberapa barangan kemas dalam kereta dan pada tubuh suspek, dipercayai hasil rompakan bernilai kira-kira RM13,000 yang dilakukan di sebuah rumah di Menglembu kira-kira jam 2.30 pagi semalam (kelmarin). 
Beliau berkata, turut ditemui pelbagai jenis barangan kemas lain, dipercayai hasil rompakan di Sungai Siput dua hari lalu selain wang tunai RM1,870. 

“Polis masih menyiasat identiti penjenayah terbabit berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui. Siasatan awal mendapati kereta Proton Waja digunakan kumpulan terbabit adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Ipoh pada 30 Mac lalu,” katanya, semalam. 

Shukri berkata, berdasarkan kepada modus operandi dan barang kes ditemui serta dicam mangsa samun dan rompakan sebelum ini, polis percaya 18 kes samun, pecah rumah dan rompakan dilaporkan di Daerah Ipoh, Batu Gajah, Sungai Siput, Manjung dan Perak Tengah berjaya diselesaikan. 

Katanya, dalam kebanyakan kes anggota Geng Dol itu hanya menutup mulut mereka menggunakan kain ketika melakukan jenayah dengan kadang kala menggunakan topeng dan polis masih menyiasat sama ada terdapat anggota lain kumpulan itu yang masih bebas. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan, katanya. 

Penuntut UiTM diarah jalani pemulihan akidah



MOHD FARIZ ILHAM diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Rayuan Syarie, semalam.
MOHD FARIZ ILHAM diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Rayuan Syarie, semalam.
KOTA BHARU: Mahkamah Rayuan Syarie Kelantan mengarahkan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun, yang pernah membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian, diberi bimbingan khas oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). 

Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Daud Muhammad yang dibantu dua ahli panel, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd Halim dan Tan Sri Ghazali Abd Rahman selepas menolak permohonan Ketua Pendakwa Syarie Kelantan, Hashim Deraman supaya pelajar itu diletakkan di Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.
Hashim memohon Mahkamah Rayuan membuat semakan semula keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei lalu terhadap Mohd Fariz Ilham Mohd Zulkifli, 19, pelajar Diploma Seni Kulinari UiTM Dungun, supaya diletak di bawah pengawasan Unit Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Hashim berhujah, Unit Dakwah JAHEAIK hanya sebuah jabatan yang tidak mempunyai kelengkapan khas untuk memberi bimbingan secara khusus kepada Mohd Fariz Ilham dalam usaha memulihkan akidahnya. 

Berikutan permohonan Hashim itu, Daud menyoal pelajar berkenaan sama ada sepanjang bersama pegawai JAHEAIK, dia mengikuti kelas bimbingan akidah dan Mohd Fariz Ilham memaklumkan, dia sempat menyertai beberapa siri ceramah. 

“Saya mengikuti siri ceramah anjuran JAHEAIK dan saya bukan seorang yang mudah dipengaruhi, selain mempunyai cara sendiri untuk berubah,” katanya ketika disoal Daud sama ada dia menghadapi masalah atau kesukaran menerima bimbingan dalam usaha memulihkan akidahnya akibat membuat pengakuan menukar agama kepada Kristian sebelum itu. 

Mohd Fariz Ilham berkata, dia menerima pembelajaran agama Islam daripada kedua-dua ibu bapanya sejak kecil dan mengaku mempunyai kawan bukan beragama Islam ketika menuntut di UiTM Dungun. 
“Saya masih menunggu jawapan untuk bekerja sebagai penjawat awam di Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) sebagai penceramah penduduk Orang Asli. Jika permohonan ini diterima, ia mungkin dapat membantu saya mengubah orang lain dan pada masa sama, saya juga boleh mengubah diri sendiri,” katanya sambil mengaku turut sembahyang lima waktu dan berpuasa. 

Berikutan pengakuan Mohd Fariz Ilham itu, Daud dan dua ahli panel sebulat suara memutuskan supaya penjagaan dan bimbingan khas bagi memulihkan akidah pelajar itu diserahkan kepada MAIK. 

“Mahkamah Rayuan Syarie membuat keputusan supaya kamu diletakkan di bawah bimbingan MAIK dan tidak perlu dipindahkan ke Pusat Pemulihan Akidah Selangor,” katanya. 

“Keputusan ini juga boleh memberi keselesaan kepada dirinya kerana dia juga tidak keluar dari negeri ini,” katanya. 

Akhbar sebelum ini melaporkan, pelajar itu yang sebelum ini mengaku menukar agama kepada Kristian, memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini, bahawa dia sudah insaf dan kini kembali memeluk Islam. 

Berikutan pengakuan itu, Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty memerintahkan Mohamad Fariz Ilham, dari Pengkalan Chepa, bersembahyang jemaah di tempat pengajiannya serta melaporkan kehadiran kepada imam masjid itu selama enam bulan, berkuat kuasa 4 Mei lalu. 

FBI siasat penggodam foto sejak 2010

LOS ANGELES: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat sekumpulan penggodam yang dipercayai mencuri gambar daripada telefon bimbit ak-tres Scarlett Johansson tetapi siasatan itu bermula sebelum foto bogelnya disebarkan.

“Siasatan pada 2010 berikutan laporan kecurian oleh beberapa selebriti Hollywood selepas telefon dan komputer mereka digodam,” kata sumber kepada Los Angeles Times.
Jurucakap FBI, Laura Eimiller memberitahu, minggu lalu bahawa mereka menyiasat beberapa kes komputer diceroboh penggodam yang menyalin gambar termasuk milik Johansson.
Eimiller tidak menamakan mangsa penggodam tetapi web TMZ mendakwa lebih 50 selebriti terbabit termasuk Jessica Alba, Vannesa Hudgens, Lindsey Vonn, Ali Larter dan Emma Caulfield.

Sementara itu, penggodam dikenali ‘Hollywood Leaks’ menafikan ia terbabit dalam penyebaran gambar Johansson.

HL mengakui terbabit dalam menggodam tetapi menafikan peranan penyebaran foto bogel Johansson tetapi hanya menyiarkannya dalam laman web penggodam. – Agensi