Pages

Wednesday, September 21, 2011

Maut sebelum sertai majlis TPM




KEADAAN kereta Perodua Alza dan Mercedes yang bertembung di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kemaman dekat Kampung Alor Tumang, Dungun semalam.


MARANG - Hasrat bekas Ahli Parlimen Dungun, Datuk Awang Jabar untuk menghadiri sebuah majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu, kereta dinaiki Awang bertembung dengan sebuah kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki enam pelancong warga Yemen di Kilometer 26, Jalan Kuala Terengganu-Kemaman dekat Kampung Alor Tumang di sini.
Awang, 66, yang juga bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan (1984 hingga 1990) meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala. Turut terkorban ialah seorang pelancong Yemen, Nesmah Nabil Abdul Karem, 25.
Sementara itu, lima lagi penumpang MPV terbabit cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dekat sini manakala pemandu Awang, Abdul Razak, 67, hanya cedera di muka.
Warga asing yang parah dikenali sebagai Muhamad Mazan Jamal, Muhamad Hassan, Muhamad, Najda dan Fairus. Masing-masing berusia lingkungan 20-an dan 30-an.
Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki enam pelancong Yemen itu cuba memotong kenderaan di hadapan tetapi hilang kawalan sebelum bertembung dengan kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki Awang dan pemandunya.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Alias Hashim berkata, mangsa dijadualkan menghadiri satu majlis pemimpin bersama masyarakat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang turut dihadiri Muhyiddin di Dungun pada pagi semalam.

Warga emas terima rasuah atur poligami dijel, denda




Osman (kiri) dan Mohd. Zulkifli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang warga emas terpaksa meringkuk di penjara sehari selain didenda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM2,300 kononnya bagi mengaturkan perkahwinan poligami tanpa mengikut prosedur yang sah.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Osman Nandood, 64, yang kelihatan sugul di dalam kandang tertuduh.
Sekiranya gagal membayar denda, Osman bakal berhadapan hukuman penjara selama setahun. Osman membayar denda itu.
Tertuduh yang bekerja sendiri itu mengaku menerima wang berkenaan daripada Mohamad Adib Ab. Rahman, 27, di No. 39, Jalan 2A/6, Taman Setapak Indah, Sentul di sini pada pukul 2.37 petang, 13 Februari 2011.
Wang itu adalah sebagai upah bagi membantu menguruskan perkahwinan Mohamad Adib untuk berpoligami dengan pasangannya, Nor Fariha Rosli tanpa mengikut prosedur di bawah Seksyen 23 Akta Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
Dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Wanita bunuh buaya 317.51kg



CONNIE HANCOCK membunuh seekor buaya sepanjang 
3.96 meter di Tasik George, Florida baru-baru ini.


MIAMI - Seorang wanita, Connie Hancock menangkap dan membunuh salah seekor buaya yang paling besar di negeri Florida, Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar semalam.
Connie yang berusia 27 tahun menghabiskan masa lebih sejam untuk menangkap buaya sepanjang 3.96 meter dan seberat 317.51 kilogram (kg) di Tasik George di Florida baru-baru ini.
Dia menangkap dan membunuh buaya itu semasa memburu bersama suaminya dengan menaiki sebuah bot.
Buaya itu dibunuh Connie dengan sejenis senjata dalam air selepas haiwan tersebut makan umpan yang dipasang mereka.
Haiwan itu dibenarkan untuk dibunuh di Florida.
Suruhanjaya Pemuliharaan Hidupan Liar Florida menyatakan buaya paling besar yang pernah ditangkap pada tahun lalu di negeri itu ialah sepanjang 4.37 meter. - Agensi

Lelaki 90 tahun ada 50 anak



LUIZ COSTA DE OLIVERIA


SAO PAULO - Seorang pesara pekerja ladang dari Rio Grande do Norte, Brazil, Luiz Costa de Oliveria yang berumur 90 tahun mempunyai 50 orang anak hasil hubungannya dengan empat wanita dua daripadanya adik-beradik dan seorang lagi adalah ibu mereka sendiri, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia mempunyai 17 anak hasil hubungan dengan isterinya yang pertama.
Selepas isteri yang pertama meninggal dunia, dia berkahwin dengan Maria Francisca da Silva yang melahirkan 17 lagi anak.
Lelaki itu kemudian menjalin hubungan dengan adik isterinya yang kedua menyebabkan dia memperoleh 15 orang lagi anak.
Ibu kedua-dua wanita adik-beradik itu yang berusia 89 tahun itu juga menjalin hubungan dengan Oliveria telah melahirkan seorang anak.
"Perkara yang terbaik dicipta Tuhan di dunia ialah wanita," katanya kepada sebuah akhbar tempatam, Diario de Natal.
Beberapa orang anaknya mati semasa mereka hidup dalam kemiskinan.
Namun, dia kini mempunyai lebih 100 cucu dan 30 cicit.
Lelaki itu tidak pernah merokok atau minum minuman keras selama 40 tahun mengaku, dia tidak mengetahui semua nama anaknya.
Isteri keduanya berkata, suaminya tidak pernah mengabaikannya selain selalu mengambi berat tentang anak-anaknya. - Agensi

Ahli perniagaan didakwa atur gadis untuk PM Itali



CAROLONA MARCONI


ROM - Seorang ahli perniagaan Itali, Giampaolo Tarantini didakwa telah mengatur perjalanan untuk sejumlah wanita cantik dari Britain untuk menghadiri parti Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang wanita yang berasal dari Venezuela, Carolona Marconi, 33, yang sering muncul di televisyen dalam program-program televisyen terbitan sebuah stesen penyiaran milik Berlusconi juga dikatakan terlibat sama.
Maklumat itu didedahkan dalam fail yang mengandungi lebih 100,000 intipan ke atas perbualan telefon melibatkan Tarantini dengan Berlusconi.
Fail itu menyimpan maklumat tersebut ekoran kes mahkamah yang membicarakan tuduhan terhadap lapan orang yang disyaki membekalkan pelacur untuk parti-parti Berlusconi.
Berlusconi menganjurkan parti itu di kediamannya di Rom, Milan dan Sardinia.
Maklumat itu menunjukkan bahawa Tarantini membelanjakan kira-kira £80,000 (RM394,080) dalam tempoh sembilan bulan untuk gadis-gadis menghadiri 25 parti dengan membeli tiket penerbangan dari London dan Paris menuju ke Rom.
Selain tiket penerbangan, dia juga membayar pemandu untuk menjemput para gadis yang ditempatkan di hotel lima bintang.
Dia akan membayar wanita itu melebihi £4,000 (RM19,708) untuk menghabiskan waktu malam bersama Berlusconi selain memberi mereka barang kemas. - Agensi

Gaddafi didakwa guna Mercedes canggih




KERETA Mercedes ML yang merupakan model sama yang dimiliki Muammar Gaddafi.


PARIS - Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya melarikan diri dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda paling canggih yang telah dibekalkan oleh Presiden Nicolas Sarkozy (gambar kecil), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Presiden Perancis tersebut memberikan lampu hijau kepada Gaddafi untuk menerima kenderaan jenis Mercedes ML berharga £3.5 juta (RM17.2 juta) yang telah diubah suai itu pada 2008.
Kenderaan kalis peluru dan kalis bom itu dilengkapi sistem komunikasi canggih yang membolehkan Gaddafi sentiasa berhubungan dengan tenteranya tetapi pada masa yang sama, ia mampu mengelak daripada dikesan sistem radar pemberontak.
"Pada 2007, Sarkozy yang ketika itu merupakan Menteri Dalam Negeri meluluskan penjualan kenderaan tersebut kepada Gaddafi," kata laman web tempatan, Mediapart
Mengulas mengenai laporan Mediapart, sumber tentera menyatakan, pendedahan itu boleh menjejaskan kredibiliti Sarkozy yang selama ini dianggap pemimpin dari Eropah yang mahu Gaddafi berundur daripada jawatannya.
Gaddafi kini diburu tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) selepas rejimnya yang berkuasa selama 42 tahun berjaya ditumbangkan menjelang Hari Raya Aidilfitri lalu. - Agensi

Bom kereta meletup di Ankara



API menjulang selepas sebutir bom dalam kereta meletup di Ankara, Turki semalam.


ANKARA - Sebuah kereta meletup di hadapan sebuah sekolah menengah di daerah Kizilay di sini menyebabkan tiga maut dan 34 mangsa cedera semalam, kata pihak berkuasa.
Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini. Namun, serangan itu berlaku ketika pemberontak Kurdis yang berjuang untuk mendapatkan autonomi di wilayah tenggara Turki kian memperhebatkan serangan mereka.
Sebelum ini, kumpulan tersebut melancarkan serangan bom di bandar-bandar di Turki.
Pemberontak Kurdis mula berjuang untuk mendapatkan autonomi di Turki sejak tahun 1984.
Militan-militan Islam dan pihak berhaluan kiri juga didakwa menjadi dalang beberapa serangan di negara ini.
"Terdapat maklumat yang menyatakan sebutir bom telah dipasang pada sebuah kenderaan," jelas Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc.
Beberapa orang mangsa hilang anggota badan.
"Mereka yang cedera dirawat di halaman sekolah sebelum dihantar ke hospital," kata seorang saksi, Ekrem Erkoc, 42.
Pada 28 Ogos lalu, para pemberontak Kursdis didakwa bertanggungjawab berhubung serangan di sebuah bandar peranginan, Kemer di Mediterranean yang mencederakan sepuluh orang, termasuk empat orang warga Sweden. - AP

Tuesday, September 20, 2011

Lagi kisah sejadah berdiri



KAMPUNG GERAI - Belum pun reda kisah mengenai sejadah berdiri di surau Hospital Besut Sabtu lalu, kes sama berlaku di Surau Kampung Gerai dekat Jertih pada keesokannya.

Kejadian itu disedari oleh imam surau berkenaan, Ibrahim Latif, 39, ketika dia hendak menunaikan solat Zuhur di surau berkenaan yang terletak bersebelahan rumahnya di sini.

Menurutnya, ketika dia masuk ke dalam surau tersebut dia terperanjat apabila mendapati sehelai sejadah berwarna biru dalam kedudukan berdiri menghadap ke arah kanan masjid.

Katanya, pada waktu kejadian, dia ingin menunaikan solat seorang diri sebelum ternampak sejadah berkenaan yang seolah-olah berada dalam kedudukan berdiri.

“Mulanya saya agak terkejut kerana pada waktu itu tidak ada orang yang ke surau ini yang terletak hanya di sebelah rumah saya.

“Saya tidak menolak kemungkinan kejadian ini dilakukan individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Ibrahim, dia hanya memberitahu seorang rakan mengenai hal itu dan tidak lama kemudian berita itu tersebar menyebabkan surau tersebut diserbu orang ramai yang mahu melihat sendiri.

Bagaimanapun katanya, dia tidak mahu perkara itu diperbesarkan dan menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk kampung.

Mayat Isteri Zina Diserang Ribuan Lintah



Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!”


Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih menyedihkan ianya bukan sahaja melibatkan remaja malah lebih ramai di kalangan individu dewasa yang bujang mahupun yang telah berkahwin! Seperti yang pernah penulis kisahkan tentang kecurangan isteri dan balasan yang diterima akibat perbuatan menduakan suami, kini sekali lagi penulis ingin menceritakan azab seksa seorang wanita yang berkahwin tetapi masih melakukan seks bebas.

Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Bomoh Pakar Rawatan Sakit Cinta, En. Idris Zakaria yang kini menetap di Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas, Kelantan. Kini beliau bergiat cergas berikhtiar mengubati masalah rumah tangga dan masalah cinta tidak kesampaian, mendapat cerita ini dari kes-kes yang telah diadukan kepadanya. Semoga kita mendapat manfaat dan pengajaran darinya.

“Dalam saya merawat seorang pesakit, saya telah dikhabarkan satu kisah tragis mengenai seorang isteri curang. Jamilah isteri kepada Husin masih jelita walaupun telah beranak pinak. Beliau pandai bergaya, bertudung litup, berkulit putih dan memiliki bentuk badan yang menarik. Jamilah mendapat sumber kewangan dengan cara berniaga kecil-kecilan iaitu dengan menjual beras seludup dari Thailand bagi membantu suami yang ketika itu hanya seorang petani di kampung.

Ketika itu kegiatan penyeludupan beras tidak dikawal oleh kerajaan seperti sekarang maka ramai para wanita melibatkan diri dengan berniaga beras seludup dari Thailand. Pendapatan hasil penjualan beras seludup tidak seberapa hanya boleh menampung hidup seharian sahaja.” Jelas En.Idris.

Suami Jamilah Husin berumur 50an ( bukan nama sebenar ) merestui pekerjaan isterinya itu. Husin juga nampak tidak selincah isterinya, beliau berjiwa lembut dan menurut apa sahaja kata isterinya tanpa banyak bantahan. Semakin lama peranan Husin sebagai ketua keluarga semakin pudar dek ketidaktegasan dirinya terhadap Jamilah yang semakin bebas ke sana ke mari.

Husin baik dan jujur orangnya dan tidak banyak perangai. Jamilah keluar masuk rumah dan melakukan pekerjaan kadang-kadang pulang lewat malam bahkan pernah juga tidak pulang untuk sehari dua tidak menjadi masalah pada Husin. Husin percaya akan apa yang Jamilah lakukan demi mencari wang dan membela nasib keluarganya.

Ramai wanita sekitar kampung Jamilah melakukan pekerjaan menjual beras seludup namun ianya hanya sekadar boleh menyara kehidupan ala kadar sahaja. Berbeza dengan Jamilah yang menampakkan sedikit mewah dengan gelang dan rantai emas yang banyak pada tubuhnya. Ramai orang mempertikai akan kelebihan Jamilah menampakkan mewah sebegitu. Maka ada beberapa orang yang ingin tahu bagaimana dia bekerja, sedangkan ramai juga yang melakukan pekerjaan sama namun tidak semewah Jamilah.

Semenjak itu banyak mata yang mengintip setiap pergerakan Jamilah tanpa disedarinya. Pada mula-mulanya rahsia Jamilah terbongkar ketika pihak Imigresen Thailand membuat pemeriksaan di sempadan maka tertangkap beberapa orang yang cuba menyeludup masuk beras dari Thailand termasuklah Jamilah ditahan sama ketika itu.
Namun setelah beberapa jam kemudian nampak Jamilah dilepaskan oleh seorang pegawai kastam Thailand dengan muka yang senyum dan beras seludupnya juga selamat dibawa balik ke Malaysia. Beberapa orang lain yang menyeludup masuk beras terpaksa membayar denda dan beras terpaksa dirampas Sikap tidak puas hati rakan-rakan penyeludup lain mula membuak-buak mengapa Jamilah terlepas sedangkan mereka menerima nasib sebaliknya. Maka siasatan dibuat oleh beberapa orang yang tidak puas hati berkenaan. Maka pada suatu hari mereka mendapat tahu rupa-rupanya Jamilah telah memberikan rasuah dengan Pegawai Kastam Thailand berkenaan dengan meniduri dirinya.

Malah rasuah tersebut bukan sekali dua bahkan telah banyak kali berlaku setiap kali tidak boleh membolosi diri ditahan Kastam Thailand di sempadan. Tidak lama kemudian dapat lagi berita mengatakan Jamilah juga membuat perniagaan sampingan ketika berada di Thailand. Rupa-rupanya Jamilah memperdagangkan tubuhnya sebagai pelacur dengan lelaki Thailand. Maka tidak mustahil Jamilah mampu membeli emas yang banyak.

Maka heboh diceritakan akan kisah Jamilah yang sedemikian rupa, orang ramai tidak hairan dengan kemewahan yang Jamilah miliki malah dicemuhi dan dipandang jijik terhadapnya oleh orang kampung serta masyarakat setempat. Tergamak Jamilah melakukan perkara terkutuk sedemikian semata-mata mencari sedikit kemewahan. Husin telah diberitahu gejala isterinya itu namun Husin tidak percaya cerita sedemikian dan membuat tidak tahu sahaja.

Husin yang sudah lewat 50an mungkin juga tidak segagah dahulu lagi manakala Jamilah berusia lewat 40an masih bernafsu tidak mustahil ianya satu perlakuan yang terdesak disamping minat pada wang. Husin hanya berserah pada Allah, hendak menuduh isterinya curang beliau tidak mempunyai cukup bukti dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri.

Selang beberapa tahun kemudian Jamilah diserang sakit kepala lalu demam dan jatuh sakit. Makin hari makin teruk sakit Jamilah. Selang beberapa minggu kemudian Jamilah mengalami nazak yang teruk. Pada hari sakaratul maut Jamilah dikatakan menyalak seperti anjing untuk beberapa kali kurang daripada sepuluh salakan sebelum nyawanya habis. Jamilah habis nyawa dalam keadaan menyedihkan matanya terbeliak manakala lidahnya terjelir. Ahli keluarga yang berkumpul turut merasa pelik akan kelakuan Jamilah menyalak sebelum menghembuskan nafas terakhir dan mati dalam keadaaan yang sebegitu.

Upacara kematian seperti biasa orang kampung lakukan bagi menyempurnakan jenazah Jamilah. Setelah dikafankan liang lahad disukat dan digali tibalah masa untuk dikebumikan. Sebaik sahaja jenazah Jamilah dimasukkan ke liang lahad tiba-tiba didapati panjang liang lahad itu tidak mencukupi untuk menyimpan mayatnya. Mayat Jamilah diukur semula dan liang lahad di panjang sekali lagi namun masih tidak cukup panjang lagi. Diulangi kali ketiga dipanjangkan lagi liang lahad itu pun begitu juga masih tidak cukup panjang. Satu kejadian luar biasa telah berlaku mayat Jamilah disimpan begitu tanpa memanjangkan lagi liang lahadnya.

Setelah semua keluarga pulang ke rumah tiba masa untuk Husin membuat sijil kematian Jamilah pada hari itu juga. Bila diminta kad pengenalan daripada anak perempuannya kata anaknya itu, “Allah, abah sewaktu mengkafankan mayat ibu saya terletak kad pengenalan atas jenazah mak, bermakna kad pengenalan itu ada bersama mayat mak dalam kubur” Husin agak terganggu memarahi anak perempuannya itu namun terpaksa memanggil penggali kubur di situ agar menggali kembali liang lahad kubur arwah Jamilah yang baru beberapa jam dikebumikan tadi.

Maka kubur itu digali semula, alangkah terkejutnya beberapa orang yang mengikut Husin termasuk diri saya sendiri melihat mayat Jamilah telah didatangi beberapa ekor ulat seperti lintah namun bertaring menggigit tubuh mayat Jamilah. Husin mengenepikan beberapa ekor ulat itu beberapa kali namun ulat yang sama itu kembali ke tempat asal di mana ianya menggigit tubuh mayat Jamilah tadi. Kejadian itu amat pelik sekali.

Setelah itu mayat Jamilah terpaksa dipusingkan agar tangan boleh diseluk ke dalam bungkusan kain kafannya untuk mendapatkan kad pengenalannya. Dalam mengiringkan mayat Jamilah itu sekali lagi kejutan berlaku. Terdapat beribu-ribu ekor ulat seperti lintah bertaring itu berada di bawah mayat Jamilah . Segera kami menimbusnya kembali setelah berjaya mendapatkan kad pengenalannya itu.

Saya tidak dapat membayangkan akan apakah rahsia sebenarnya kejadian yang Allah pertunjukkan sebegitu. Namun saya terasa agak seram dan insaf bila melihat kejadian aneh sebegitu buat pertama kali dalam sejarah hidup saya. Di dunia lagi Allah sudah menunjukkan azabnya apatah lagi diakhirat kelak.

Saya boleh memberikan gambaran atas kejadian begitu bahawa kita manusia tidak boleh lari daripada azab pembalasan jika melakukan salah yang besar atau dosa yang besar. Bagi isteri-isteri tetapkan iman, jangan berlaku curang pada suami kita nescaya dosanya amatlah besar.
Dosa berzina sudah cukup besar tidak tertanggung bagi yang masih bujang, apatah lagi wanita yang bergelar isteri melakukan zina. Nauzubillah…hanya Allah sahaja yang mengetahui akan azabnya kelak.

Di dunia lagi sudah Allah tunjukkan maka sama-sama kita ambil iktibarnya supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan pada diri kita atau keluarga kita, minta disisihkan Allah.

p/s: Tak tau lah sejauh mana kebenarannya…sekadar untuk dijadikan tauladan kepada kita semua.

kredit kepada : zzxmelayucyber


Read more: http://biaqpila.blogspot.com/#ixzz1YUrvYC2C

Strauss-Kahn akui kesnya 'kesilapan moral'



PARIS 19 Sept. - Bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss- Kahn semalam mengakui pertemuannya dengan seorang pekerja hotel di New York merupakan satu 'kesilapan moral'.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak pernah melakukan cubaan untuk merogol pekerja hotel tersebut atau wanita lain.
Strauss-Kahn berkata, beliau telah mengecewakan isterinya dan rakyat Perancis ekoran kejadian itu.
Beliau juga mengaku 'putus' harapan untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden Perancis.
''Apa yang berlaku tidak melibatkan keganasan atau perbuatan jenayah,'' katanya dalam wawancara pertama berhubung kes berkenaan dengan stesen televisyen TFI.
Beliau dalam nada kesal berkata demikian ketika ditanya berhubung apa yang berlaku di bilik hotel Manhattan pada 14 Mei lalu sebelum penahanannya berhubung dakwaan serangan seksual oleh wartawan, Claire Chazal, yang merupakan rakan baik isterinya.
Ahli politik Parti Sosialis berumur 62 tahun itu menyifatkan pertemuan selama tujuh minit dengan pekerja hotel itu, Nafissatou Diallo sebagai satu kesilapan moral dan perkara yang amat dikesalinya.
Beliau turut menegaskan penyiasat tidak menemui sebarang luka dan tanda keganasan di badan wanita itu.
Beliau juga menafikan menyerang secara seksual seorang penulis muda Perancis, Tristane Banon, 32, yang mendakwa Strauss- Kahn cuba merogolnya di sebuah flat di Paris pada 2003.
Walaupun menafikan melakukan perbuatan berkenaan, beliau mengaku tidak lagi boleh menjadi calon dalam pilihan raya presiden tahun depan. - AFP

46 penunjuk perasaan maut ditembak tentera Yaman

SANAA 19 Sept. - Seramai 46 orang terbunuh manakala 500 lagi cedera selepas tentera Yemen melancarkan serangan terhadap penunjuk perasaan anti-rejim di sebuah rumah tokoh kabilah berpengaruh di Sanaa, semalam.
Menurut kenyataan pegawai perubatan, kebanyakan yang terbunuh dan cedera adalah akibat terhidu gas pemedih mata selain terkena tembakan peluru hidup.
Daripada jumlah yang tercedera, 25 orang kini dilaporkan kritikal.
Antara yang terbabit adalah Ahli Majlis Kebangsaan Yemen, sebuah kumpulan sayap pembangkang, Mohammed al-Shaheri serta anggota kanan parti pembangkang Al-Islah, Ahmed al-Qumairi.
Sementara itu, para saksi memberitahu, anggota keselamatan terdiri daripada tentera 1 Briged Armor kemudiannya mengatur kedudukan di sekitar Dataran Pembaharuan.
Saksi menambah, tentera berkenaan dilaporkan berbalas tembakan dengan mereka yang setia terhadap Presiden Ali Abdullah Saleh.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri mendakwa penunjuk perasaan telah mencederakan empat anggota keselamatan selain mengebom beberapa penjana elektrik menggunakan bom petrol dan membakar kenderaan milik pegawai kerajaan. - AFP

NTC tangguh umum kerajaan baru Libya

BENGHAZI 19 Sept. - Pengumuman mengenai kerajaan baru Libya yang dijadual dibuat semalam ditangguhkan ekoran perbalahan berhubung portfolio Kabinet, sementara penyokong setia Muammar Gaddafi memberikan tentangan sengit di kubu-kubu yang masih mereka pertahankan.
Timbalan Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mahmud Jibril berkata, pertelingkahan saat-saat akhir menyebabkan pengumuman barisan baru Kabinet terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang belum diputuskan.
"Pengumuman mengenai sebuah kerajaan peralihan baru ditangguhkan bagi membolehkan rundingan akhir diselesaikan," kata Jibril kepada wartawan di sini, lewat semalam.
Katanya, banyak kemajuan telah dicapai untuk mengagihkan beberapa portfolio dan rundingan mengenai jawatan lain dijangka diselesaikan segera.
Kerajaan baru juga akan menimbangkan pelantikan wanita dan golongan muda sebagai timbalan menteri dan ketua pengarah kementerian supaya mereka dapat memainkan peranan utama dalam kerajaan, tambah beliau.
Jibril, bekas pegawai rejim Gaddafi, dituduh oleh sesetengah rakannya dalam NTC gagal mengadakan rundingan sewajarnya dengan kumpulan pembangkang peringkat akar umbi seperti Ikhwan Muslimin.
Beliau sendiri dijangka mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri sementara, manakala Ali Tarhuni dipercayai akan dilantik sebagai Naib Presiden bagi hal-ehwal ekonomi.
Osama al-Juwili dijangka memegang portfolio pertahanan manakala portfolio minyak diberikan kepada Abdel Rahman bin Yezza.
Di medan pertempuran, penyokong setia Gaddafi di Sirte dan Bani Walid terus bertahan sementara tentera NTC cuba mematahkan semangat mereka dengan melancarkan serangan baru dari beberapa penjuru.
Jurucakap tentera NTC, Ahmed Omar Bani berkata, beliau menjangka tentera Gaddafi di Sirte dan Bani Walid dikalahkan dalam masa beberapa hari. - AFP

Taliban serang rumah polis




ANGGOTA keselamatan Pakistan memeriksa kawah kesan letupan sebesar tiga meter dan bangunan yang musnah dalam serangan berani mati pengganas Taliban ke atas rumah pegawai kanan polis di Karacho, semalam. - AGENSI


KARACHI 19 Sept. - Sekurang-kurangnya lapan orang maut, termasuk enam anggota polis, selepas seorang pengebom berani mati Taliban yang memandu sebuah kereta membawa muatan bahan peledak merempuh rumah ketua polis anti-pengganas Pakistan di sini hari ini.
Pegawai polis, Naeem Shaikh berkata, enam orang yang terbunuh merupakan anggota polis yang bertugas mengawal rumah Supritendan Polis Chaudhry, Muhammad Aslam yang terselamat dalam serangan tersebut.
Sebanyak 300 kilogram bahan letupan digunakan dalam serangan berani mati itu yang turut menyebabkan seorang wanita dan kanak-kanak terbunuh.
Aslam berkata kepada pemberita, beliau menerima beberapa ugutan daripada kumpulan militan, termasuk pemberontak Taliban di Pakistan, yang rapat dengan kumpulan al-Qaeda.
"Saya sedang tidur ketika mereka melakukan serangan ini dengan merempuh rumah saya menggunakan kenderaan yang membawa bahan letupan.
"Saya tidak gentar dengan serangan ini dan akan memberi pengajaran kepada generasi militan," katanya.
Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab dalam pengeboman tersebut dengan alasan Aslam telah menahan dan membunuh ramai pejuang kumpulan militan itu.
"Kami akan menyerang pegawai polis lain yang mengambil tindakan terhadap pejuang kami," kata jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan kepada Reuters melalui panggilan telefon dari lokasi yang tidak diketahui.
Dia turut menamakan lima pegawai polis Karachi yang berada dalam senarai sasaran militan Taliban.
Ia merupakan serangan terbaru di Karachi sejak sekumpulan pemberontak menyerang pangkalan tentera laut pada Mei lalu. - REUTERS

Restoran kenakan caj jika pelanggan membazir

MANAMA: Sebuah restoran di Arab Saudi mula mengenakan caj kepada pelanggan sekiranya mereka memesan lebih makanan daripada yang mampu dimakan.
Tindakan Restoran Marmar di Dammam itu bertujuan menghentikan pembaziran dan mengurangkan pesanan secara berlebihan, kata pemilik restoran, Fahad al-Anezi.

“Terdapat ramai pelanggan yang membuat pesanan berlebihan semata-mata untuk berbangga dengan kedudukan mereka dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain,” katanya.

Kereta putus lekat di tiang


REMUK...keadaan kereta selepas kemalangan.
REMUK...keadaan kereta selepas kemalangan.

PUTRAJAYA: “Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat kereta mangsa putus dua, kaki mangsa terperosok di bahagian pedal minyak manakala beberapa cebisan dipercayai otak mangsa melekat di tempat duduk belakang,” kata seorang saksi kemalangan maut di sini, semalam.
Menurut saksi yang enggan dikenali itu, dia adalah antara yang terawal melihat kejadian terbabit di Kilometer 7.2, Persiaran Selatan berhampiran susur keluar Pusat Konvensyen Antarangsa Putrajaya (PICC).

“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan berkenaan, namun sebaik tiba saya melihat anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

“Ketika itu saya ingat mangsa masih hidup, tetapi rupanya dia sudah meninggal dunia. Keadaan kereta mangsa terputus dua, enjin serta dua tayar depan tercampak tidak jauh dari tiang lampu yang dilanggarnya,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kemalangan pada jam 5.25 petang itu, mangsa Mohammad Rasydan Rasid, 20, yang dikatakan dalam perjalanan dari Dengkil, Sepang ke Putrajaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis, Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.

Katanya, akibat rempuhan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa terputus dua.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh lalu merempuh tiang lampu di tempat kejadian.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pihak Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya.

Guru, pelajar ratapi kematian warga Syria didera

RIYADH: Guru dan pelajar di sebuah sekolah swasta di timur bandar raya ini meratapi kematian seorang guru warga Syria akibat didera yang ditonton di YouTube, lapor sebuah akhbar, semalam.
Guru bahasa Arab, Luai Abdul Hakim Al-Amir, 40, pulang ke Syria untuk meluangkan cuti musim panas bersama keluarganya, tetapi dia ditahan oleh tentera Syria 7 Ogos lalu di sebuah desa kira-kira 20 kilometer dari Homs. Guru dan pelajar menyaksikan dia didera oleh tentera Syria di YouTube.

Bapa Luai berkata anak lelakinya dibunuh enam hari selepas ditahan.

Sirte terus dikepung

SIRTE (Libya): Pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menghentikan serangan sementara ke atas bandar kelahiran Muammar Gaddafi di sini dan percaya seorang daripada anak lelakinya bersembunyi, manakala mereka turut diserang balas di kubu pertahanan di Bani Walid.
NTC turut mengalami masalah apabila pengumuman Kabinet baru terpaksa ditunda berikutan ‘rebutan’ dalam portfolio. Jurucakap Gaddafi, Moussa Ibrahim melalui perbualan telefon kepada stesen televisyen Arai di Syria, berkata, penyokong setia bekas pemimpin itu memenangi beberapa pertempuran menewaskan pejuang NTC, sejak beberapa hari lalu. Komander NTC briged al-Qabra, Walid al-Feturi berkata, semalam mereka mengosongkan laluan di Sirte untuk membolehkan orang awam melarikan diri sebelum melancarkan serangan baru di bandar Mediterranean itu yang dihuni 130,000 orang.

“Masalah pertama ialah terdapat kanak-kanak dan orang awam di sini dan kami tidak mahu menggunakan roket atau senjata artileri,” katanya. - AFP

17 ‘askar upahan’ ditangkap di Bani Walid

KAHERAH: Jurucakap Muammar Gaddafi, Moussa Ibrahim, semalam berkata kepada Stesen Televisyen Arrai di Syria, 17 askar upahan termasuk pakar teknikal Perancis dan Britain ditangkap di kubu Gaddafi di Bani Walid.
“Satu kumpulan terdiri daripada 17 askar upahan ditangkap di Bani Walid. Mereka adalah pakar teknikal dan pegawai perunding,” katanya. Kebanyakan daripada mereka warga Perancis, seorang dari negara Asia yang tidak dikenal pasti, dua lagi warga Britain dan juga seorang rakyat Qatar,” katanya.

Beliau berkata, 17 orang itu akan disiarkan di televisyen kelak, tetapi tidak memberi maklumat lanjut mengenainya. Bagaimanapun, Kementerian Luar Perancis berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai laporan itu. - Reuters

Gempa gegar wilayah terpencil di Himalaya: 53 maut

GANGTOK (India): Anggota penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang tertimbus dalam tanah runtuh dan hujan lebat selepas gempa bumi menggegarkan wilayah terpencil Himalaya, semalam, dan mengorbankan sekurang-kurangnya 53 orang.
Gempa sekuat 6.9 magnitud itu berpusat di kawasan terpencil di sempadan negeri Sikkim di India dan Nepal.

Kemungkinan besar jumlah korban meningkat kerana laporan dari kawasan bencana masih belum diperoleh sepenuhnya.

Hujan lebat dan awan tebal rendah menghalang helikopter digunakan di kawasan berkenaan.

Tanah runtuh pula memutuskan satu-satunya jalan ke ibu negeri Sakkim, Gangtok, menyebabkan cubaan penyelamat ke situ terhalang.

Jurucakap Pasukan Bertindak Bencana Kebangsaan berkata, penyelamat terkandas di pinggir Sakkim.


“Keadaan di tempat bencana sangat membimbangkan tetapi petugas melakukan apa yang terdaya bagi membolehkan bantuan dihantar ke sana,” katanya.

Lebih 5,000 tentera dihantar bagi memulihkan rangkaian jalan raya ke Gangtok dan utara Sakkim. Selain India dan Nepal, gempa itu turut melanda Tibet. - AFP

Rital, Ritag dipisah

SEBELUM... Kembar siam Rital dan Ritag yang bercantum di kepala.
SEBELUM... Kembar siam Rital dan Ritag yang bercantum di kepala.SEBELUM... Kembar siam Rital dan Ritag yang bercantum di kepala.


SELEPAS... Kembar siam Rital dan Ritag sihat  selepas pembedahan.
SELEPAS... Kembar siam Rital dan Ritag sihat selepas pembedahan


LONDON: Dua bayi perempuan kembar siam yang bercantum di kepala telah selamat dipisahkan oleh kumpulan doktor di Britain.
Rital dan Ritag Gaboura, yang berusia 11 bulan adalah pasangan kembar siam, satu antara 10 juta di dunia.


Pasangan kembar ini telah melalui empat pembedahan kompleks di Hospital Kanak-kanak Great Ormond Street di London.


Mereka yang dilahirkan di Khartoum, Sudan, dibawa oleh ibu bapa mereka, Abdelmajeed Gaboura 31 dan Enas, 27,kedua-dua mereka adalah doktor perubatan ke Britain untuk menjalani pembedahan. Sewaktu mereka tiba, jantung Ritag sungguh lemah.


Doktor melakukan empat fasa pembedahan. Dua pembedahan awal dilakukan Mei lalu sebelum penambahan tisu dilakukan Julai lalu.


Akhirnya pembedahan untuk memisahkan kembar siam itu dilakukan pada 15 Ogos lalu.




Ibu bapa bayi kembar itu telah meminta bantuan kewangan daripada satu badan kebajikan untuk kanak-kanak, Facing the World, yang bersetuju untuk membiayai kos pembedahan itu.


Bayi kembar siam itu mengalami keadaan yang jarang ditemui iaitu ‘craniopagus’ di mana mereka bercantum di bahagian kranium dan pembedahan itu dilakukan oleh sepasukan doktor yang diketuai oleh Dr David Dunaway.


Kenyataan Facing the World berkata, “Dalam masa beberapa hari saja, kembar itu sudah ditempatkan di wad biasa dan mereka berinteraksi dan bermain seperti biasa.


“Tawa dan kegembiraan mereka memberi inspirasi setelah berbulan merasa bimbang terhadap kesihatan mereka.


“Tidak lama lagi, ibu bapa mereka boleh membawa anak kembar mereka yang sihat, pulang.” Kata ibu bapa kembar itu, “Kami bersyukur kerana akan dapat membawa anak-anak kami yang sudah terpisah dan sihat, pulang.


“Kami juga berterima kasih kepada semua doktor atas usaha merka dan juga kepada Facing the World yang telah membantu dari segi logistik dan membiayai kos pembedahan ini. “Kami merasa bertuah anak kembar kami dapat menjalani pembedahan yang diperlukan, tapi kami juga faham ada kanak-kanak lain yang memerlukan pembiayaan pembedahan dan keluarga mereka yang terpaksa bertungkus-lumus cuba mendapatkan bantuan.” Kembar siam jarang berlaku. Ia hanya terjadi, satu dalam 100,000 kelahiran dan tiga kali ganda kes berlaku kepada bayi perempuan.


Dalam dua pertiga kes yang berlaku, kembar siam bercantum di bahagian tengah badan. Hanya empat peratus dari kes kembar siam yang bercantum di kepala dan kebanyakannya meninggal ketika dilahirkan atau tidak dapat hidup lebih daripada 24 jam.


Kembar Rital dan Ritag merupakan kes kembar siam yang sangat serius kerana mereka berkongsi salur darah dan aliran darah yang ketara ke otak mereka.


Ritag membekalkan separuh daripada darah ke otak saudara kembarnya dan mengalirkannya kembali ke tubuhnya - ini bermakna jantungnya bekerja untuk kedua-dua mereka. Sekiranya berlaku kekurangan dalam tekanan darah mereka yang ketara ketika pembedahan, akan menyebabkan kecederaan otak. - DM