Pages

Tuesday, September 20, 2011

Kereta putus lekat di tiang


REMUK...keadaan kereta selepas kemalangan.
REMUK...keadaan kereta selepas kemalangan.

PUTRAJAYA: “Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat kereta mangsa putus dua, kaki mangsa terperosok di bahagian pedal minyak manakala beberapa cebisan dipercayai otak mangsa melekat di tempat duduk belakang,” kata seorang saksi kemalangan maut di sini, semalam.
Menurut saksi yang enggan dikenali itu, dia adalah antara yang terawal melihat kejadian terbabit di Kilometer 7.2, Persiaran Selatan berhampiran susur keluar Pusat Konvensyen Antarangsa Putrajaya (PICC).

“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan berkenaan, namun sebaik tiba saya melihat anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

“Ketika itu saya ingat mangsa masih hidup, tetapi rupanya dia sudah meninggal dunia. Keadaan kereta mangsa terputus dua, enjin serta dua tayar depan tercampak tidak jauh dari tiang lampu yang dilanggarnya,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kemalangan pada jam 5.25 petang itu, mangsa Mohammad Rasydan Rasid, 20, yang dikatakan dalam perjalanan dari Dengkil, Sepang ke Putrajaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis, Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.

Katanya, akibat rempuhan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa terputus dua.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh lalu merempuh tiang lampu di tempat kejadian.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pihak Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya.

No comments: