Pages

Wednesday, August 6, 2014

Orang berjanggut dilarang naik bas di sebuah bandar di China


2014/08/06 - 11:01:53 AM
BEIJING: Sebuah bandar di wilayah Xinjiang, China yang mempunyai ramai penduduk Islam melarang orang berjanggut atau memakai pakaian Islam daripada menaiki bas awam, sekaligus mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi di negara asing.

Pihak berkuasa di Karamay melarang orang yang memakai hijab, niqab, burka atau pakaian yang mempunyai simbol bulan bintang daripada menaiki bas tempatan, lapor akhbar tempatan Karamay.
Larangan itu juga meliputi ‘jambang’, kata akhbar berkenaan.

“Mereka yang tidak memberi kerjasama dengan petugas yang melakukan pemeriksaan akan diserahkan kepada polis,” katanya.

Xinjiang, sebuah wilayah berhampiran Asia Tengah yang mempunyai jumlah penduduk Muslim Uighur minoriti, sering menghadapi pertempuran antara penduduk tempatan dengan pasukan keselamatan yang mengakibatkan ratusan orang terkorban tahun lalu.

Bulan lalu China menguat kuasa larangan ke atas pelajar dan kakitangan kerajaan daripada berpuasa pada Ramadan, manakala pegawai kerajaan berusaha untuk meminta penduduk tempatan di Xinjiang supaya tidak memakai tudung.

“Larangan di Karamay itu adalah langkah diskriminatori...yang menambahkan lagi konfrontasi antara Uighur dan Beijing,” kata Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Uyghur Sedunia (WUC) yang kini berada dalam buangan.
Media China melaporkan hampir 100 orang termasuk 59 pengganas terbunuh dalam serangan di Xinjiang minggu lalu.

Laporan itu menyusuli kejadian di mana imam masjid terbesar China di Kashgar, dibunuh selepas solat Subuh.

Larangan Karamay itu juga dikuat kuasakan bagi pertandingan sukan yang akan berakhir pada 20 Ogos ini, kata laporan berkenaan.

Pihak berkuasa di Urumqi bulan lalu melarang penumpang bas daripada membawa barangan tertentu termasuk pemetik api rokok dan yogurt, kata media kerajaan. - AFP 

Pindah bot kerana air tasik di AS semakin kering



GAMBAR menunjukkan sebuah bot diangkut dengan menggunakan kren.


BANDAR SALT LAKE - Beberapa buah bot di Marina Tasik Great Salt di negeri Utah, Amerika Syarikat (AS) terpaksa dipindah dengan menggunakan sebuah kren kelmarin.
Setakat ini, sebanyak 70 buah bot terpaksa dipindahkan ke tempat lain kerana air di tasik berkenaan surut dengan mendadak.
Air tasik berkenaan berada pada tahap yang paling rendah sejak tahun 1963 selepas kemarau melanda negeri tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan tersebut menyebabkan bot-bot yang diletakkan di tasik berkenaan tidak dapat belayar akibat paras air terlalu cetek.
Tasik itu sepanjang 120.70 kilometer dan selebar 56.32 kilometer.
Seorang pemilik bot, Ian Jacobson, 25, merancang untuk memindahkan botnya ke pantai Oregon selepas air di tasik itu kering. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz39Yin4CeD 
Hakcipta terpelihara 

Trend miliki rumah kecil di Colorado



SEBUAH rumah kecil keluaran Tumbleweed dipamerkan di Boulder, Colorado kelmarin.


BOULDER, Colorado - Sekumpulan penduduk di Amerika Syarikat (AS) memilih untuk tinggal di rumah yang lebih kecil kerana bimbang dibebani masalah hutang dan kesan terhadap alam sekitar kerana memiliki rumah yang besar, lapor akhbar MailOnline semalam.
Komuniti yang digelar sebagai Pergerakan Rumah Kecil dianggotai sekumpulan individu dewasa yang gembira mengecilkan saiz kediaman mereka dan hidup dalam keadaan yang penuh kesederhanaan.
Purata keluasan rumah penduduk di AS adalah sekitar 241 meter persegi tetapi kumpulan berkenaan gembira tinggal di rumah yang mempunyai keluasan dari 9.29 meter persegi hingga 37.16 meter persegi.
Sebuah syarikat pembinaan, Tumblewee memperkenalkan rumah kecil yang diperbuat daripada kayu dan mempunyai ruang untuk empat lelaki dewasa tidur dengan selesa.
Rumah berkenaan mempunyai pelbagai bentuk dan saiz serta ia juga masih mempunyai kemudahan asas termasuk tandas, bilik air dan dapur. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39YiA9hFt 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, August 5, 2014

Cinta sampai hujung nyawa

Don Simpson dan Maxine Simpson
Don Simpson dan Maxine Simpson
BAKERSFIELD – CALIFORNIA. Maut sekali pun tidak dapat memisahkan pasangan Don dan Maxine Simpson apabila suaminya, Don, 90 turut meninggal dunia sebaik Maxine, 87 menemui ajal.

Setelah hampir 62 tahun mendirikan rumahtangga, pasangan ini dikatakan tidak boleh dipisahkan walau hanya seketika.

Kenyataan tersebut terbukti apabila Don meninggal dunia hanya selepas empat jam Maxine pergi buat selamanya.

Cucu pasangan tersebut, Melissa Sloan berkata, pasangan tersebut meninggal dunia Julai lalu ketika menghabiskan sisa-sisa waktu hidup mereka bersama.

“Mereka meninggal dunia dalam keadaan bersebelahan antara satu sama lain,” katanya.

Pasangan tersebut dipertemukan di tempat hiburan boling di Bakersfield, California pada tahun 1952.

Don dikatakan memiliki sebuah syarikat jurutera manakala Maxine pula bekerja sebagai seorang jururawat di sebuah hospital.

Pasangan tersebut kemudiannya mengambil sepasang kembar dari sebuah rumah anak yatim di Jerman untuk dijadikan anak angkat.

Kini mereka mempunyai lima orang cucu.

Sungai berdarah

Sungai berdarah
PENDUDUK di kampung Xinmeizhou, wilayah Zhejiang, China terkejut dan bingung apabila air sungai di perkampungan mereka tiba-tiba berubah menjadi merah seperti darah.

Seorang penduduk Na Wan berkata, air sungai tersebut akan berubah warna tepat pada jam 5 pagi setiap hari.

“Setiap jam 5 pagi sungai itu dipenuhi dengan botol plastik dan mengeluarkan bau busuk,” katanya kepada China Times.

Menurutnya, sungai ini merupakan punca rezeki buat penduduk kampung di sini kerana ia sebelum ini tidak pernah tercemar dan airnya juga digunakan untuk memasak.

“Kini kami tidak boleh menjala jauh sekali untuk menggunakan air sungai ini,” katanya dengan kesal.

Sementara  itu, pakar alam sekitar mengesyaki, perubahan air itu berpunca daripada tindakan individu tidak bertanggungjawab yang telah membuang sisa buangan pepejal ke sungai berkenaan.

“Kami sudah mengambil sampel air berkenaan. Ia mengandungi bahan yang biasanya digunakan untuk pewarna makanan. Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap kilang berhampiran kerana ia mencemarkan sungai sekali gus mengundang risiko penyakit buat penduduk di perkampungan ini,” katanya.

Lelaki di New Zealand tempah nombor plat kereta MH17

Lelaki di New Zealand tempah nombor plat kereta MH17
Russell Montaperto 
WELLINGTON: Seorang lelaki di New Zealand menempah nombor plat kereta MH17 selepas pesawat Penerbangan Malaysia terhempas di Ukraine kerana ingin mengabadikan kejadian itu yang turut membabitkan rakyat di negara berkenaan.

Russell Montaperto berkata beliau membelanjakan NZ$650 (RM1,950) bagi nombor plat itu beberapa hari selepas pesawat Boeing 777 berkenaan ditembak jatuh di timur Ukraine dan menganggap nombor plat yang ditempahnya sebagai “satu kerja seni yang tidak ternilai.”

Dalam kejadian itu rakyat New Zealand yang menetap di Australia, Mary Menke dan Robert Ayley, seorang lagi rakyat New Zealand dari Otaki dan lahir di Britain adalah antara 298 orang yang terbunuh dalam kejadian itu.

“Apabila orang melihatnya, ia menandakan sesuatu kepada mereka...kerana ia adalah sebahagian daripada sejarah yang menjejaskan seluruh dunia,” katanya.

Montaperto berkata sekiranya anggota keluarga MH17 berasa sedih, beliau tidak akan menggunakannya dan bersedia untuk memberinya kepada mereka ataupun menjualnya pada harga kos.

Montaperto juga memiliki dua nombor plat peribadi - tema Piala Amerika SEA NZ1 dan SS70, untuk kereta Chevrolet Camaro, yang juga sering mendapat tawaran daripada pihak lain. Beliau tidak pasti sama ada minat sama akan berlaku ke atas plat MH17, tetapi beliau tidak ada bercadang untuk menjualnya dalam masa terdekat ini.

“Ia mempunyai nilai bersejarah. Kepada saya, nilainya lebih besar daripada wang di dalam bank. Saya tidak perlu wang itu.”
Pemilik beberapa hartanah pelaburan itu berkata beliau tidak perlu menempah mahupun menjual plat berkenaan untuk menyara hidupnya.

“Saya lihat tentera Belanda mengusung keranda daripada pesawat, ia mengingatkan kita kepada Anzacs. Ia membuatkan kita melihat hidup ini daripada perspektif berbeza apabila kita lihat mereka di dalam penerbangan itu.

“Saya juga pernah lihat gambar mangsa, dan mereka masih di tempat duduk mereka. Mereka sudah tiada lagi sekarang,” katanya.

Montaperto bagaimanapun bukanlah orang pertama yang menempah nombor plat peribadi yang dikaitkan dengan kejadian tragik. Dua nombor plat yang tertera nombor MH370 dijual selepas Boeing 777 itu hilang Mac lalu. Sehingga kini pesawat terbabit tidak dapat dikesan, dan terdapat dua rakyat New Zealand di dalam pesawat itu.

Pengarah Mr Plates, Bruno Szajer, yang menjalankan perniagaan menerusi laman web yang menjual beribu-ribu nombor plat di New Zealand dan Australia, berkata jualan plat berkaitan dengan kejadian di dunia adalah perkara biasa.

Jurucakap Agensi Pengangkutan, Andrew Knackstedt berkata plat peribadi tidak akan dikeluarkan sekiranya ia menggalakkan keganasan, diskriminasi, berat sebelah, bahan atau kegiatan haram, yang melanggar hak intelek hartanah atau mengandungi bahasa kesat. - Agensi 

Pengantin Malaysia 'popular' di Israel

Pengantin Malaysia 'popular' di Israel
SHAH ALAM - Berita mengenai sepasang pengantin Malaysia yang mengabadikan kenangan majlis perkahwinan mereka dengan memijak dan membakar bendera Israel sebagai tanda protes kekejaman rejim itu terhadap rakyat Palestin mendapat liputan sehingga ke negara itu.

Berita tersebut disiarkan menerusi laman blog milik Israel iaitu elderofziyon.blogspot.com dengan judul “Malaysian couple decides to burn Israeli flag on their wedding day ".

Berita itu turut dikongsi oleh laman Facebook Israel iaitu The Israel Project (Tip), perkongsian berita itu mendapat respon daripada penyokong Israel yang marah dengan tindakan itu.

Ada di antaranya mendoakan agar pasangan tersebut mendapat ‘bala bencana’ dek kerana perbuatan itu.

Patrick Gleen Hendry  yang dipetik sebagai berkata "semoga kehidupan mereka suami isteri penuh dengan kesengsaraan".

Terdahulu pasangan pengantin yang berasal dari Jasin, Melaka  Norfadhilah Mohd Badroldin, 27, dan suami, Mohd Hilmi Muslim, 27, kedua-duanya yang bekerja sebagai arkitek bertindak melakukan perkara itu selepas berasa amat sedih melihat penderitaan umat Islam khususnya kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis.

Pasangan itu memijak dan membakar bendera Israel sebelum memasuki kawasan rumah mereka.

Terdahulu, bendera berkenaan diletakkan di jalan masuk ke kediaman tersebut untuk dipijak oleh hampir 3,000 tetamu yang menghadiri majlis tersebut.

Tindakan memijak bendera itu merupakan simbolik yang menjelaskan Israel selayaknya diletakkan di bawah telapak kaki umat Islam selain membangkitkan perasaan marah terhadap kekejaman rejim tersebut.

Rusia jalani latihan ketenteraan

Rusia menjalankan latihan ketenteraan dengan melibatkan aset pertahanan udara lebih besar.
Rusia menjalankan latihan ketenteraan dengan melibatkan aset pertahanan udara lebih besar.
MOSCOW - RUSIA. Rusia, semalam mengumumkan bahawa mereka akan menjalankan latihan ketenteraan melibatkan aset pertahanan udara lebih besar berhampiran sempadan Ukraine.

Jurucakap tentera, Igor Klimov berkata, lebih 100 jet pejuang, pesawat pengebom dan helikopter bakal menyertai latihan selama lima hari yang berakhir Jumaat ini.

"Kami akan menggunakan jet Su-27 dan MiG-31 serta pesawat pengebom seperti Su-34 untuk melakukan ujian peluru berpandu," katanya menurut laporan Reuters.

Menurutnya lagi, latihan tersebut bertujuan untuk meningkatkan koordinasi angkatan tentera udara mereka.

Mac lalu, Rusia pernah menerima kecaman negara Barat selepas kira-kira 8,500 askar dilengkapi senjata dikerah untuk menjalani latihan ketenteraan di sempadan Ukraine ketika konflik antara kedua-dua negara tersebut memuncak.

Buaya punca kesesakan trafik

Buaya punca kesesakan trafik
KELIBAT seekor buaya digelar Longlong mengejutkan orang ramai hingga menyebabkan kesesakan trafik luar biasa berlaku di Manila, Filipina baru-baru ini.

Difahamkan, orang ramai menyangka bahawa buaya yang diangkut pada bumbung sebuah van di tengah Manila itu adalah buaya gergasi yang dikhabarkan sudah mati pada tahun lalu.

Namun, untuk mendapatkan kepastian, van tersebut telah dikerumuni orang ramai untuk melihat kesahihan buaya berkenaan.

Malangnya, buaya sepanjang 21 kaki yang dibawa itu adalah buaya diperbuat dari gentian kaca direka cipta khas sebagai memperingati kematian buaya gergasi tersebut.

Pemandu van berkenaan berkata, Longlong akan dihantar ke Taman Buaya Pasay City sebagai replika khas di taman berkenaan.

“Buaya ini dicipta sebagai sebagai satu penghormatan kepada ‘Lolong’ iaitu buaya air masin terbesar di dunia yang mati dalam kurungan tahun lalu,” katanya kepada Manila Times.

Dicipta oleh Juvy Bangut dan Jessie Suerte, kos untuk mencita Longlong dikatakan mencecah harga AS$2,000 (RMxx) dan disiapkan kira-kira tiga bulan.

Remaja China kemaruk tayang ketiak berbulu


Gambar ketiak masing-masing kini dilaporkan memenuhi laman sesawang Weibo yang berfungsi seperti Twitter di China bagi menyahut cabaran untuk peraduan selfie bulu ketiak terbaik. 
Peraduan yang diumumkan melalui Internet pada 17 Julai lalu itu berjaya menarik lebih 28.5 juta orang yang mula menyumbang ribuan gambar dalam tempoh hanya lima hari. 

Penganjur peraduan Gadis Yang Tidak Mencukur Bulu Ketiak itu berkata, ia bertujuan mewujudkan sikap positif di kalangan wanita terhadap persepsi kecantikan di mata masyarakat.
Foto
PELBAGAI cara digunakan wanita China untuk mempamerkan ‘kecantikan’ masing-masing.

“Wanita perlu mempunyai keyakinan diri sama ada anda bercukur atau tidak,” katanya di laman sesawang itu.

Walaupun peraduan tidak menawarkan sebarang hadiah berakhir pada 22 Julai lalu, namun ramai wanita daripada terus memuat naik gambar ketiak mereka dengan hashtag berkenaan. 

Sebelum ini ada negara lain menggalakkan wanita berkongsi gambar bulu ketiak, bulu kaki dan sebagainya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

Askar tiada kaki cipta rekod tekan tubi



DADIANI mencipta rekod baharu tekan tubi di Tbilisi, Georgia kelmarin.- AFP


TBILISI, Georgia - Seorang askar yang kedua-dua kakinya dipotong kerana cedera ketika berkhidmat di Afghanistan mencipta rekod dunia melakukan tekan tubi di sini kelmarin.
Askar itu, Korporal Temur Dadiani, 22, membuat tekan tubi sebanyak 36 kali dalam tempoh hanya 38.25 saat.
Beberapa rakan dan Ketua Staf Angkatan Tentera Georgia, Vakhtang Kapanadze menyaksikan Dadiani melakukan tekan tubi itu.
Dadiani hilang kedua-dua kakinya selepas dia berdiri di atas bahan letupan ketika berkhidmat di wilayah Helmand pada Ogos 2011. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0805&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39Spx6fGA 
Hakcipta terpelihara 

Monday, August 4, 2014

Kasih 12 tahun tak makan nasi


Bahau: “Selepas bersalin pada 2002 berat badan saya mencecah hampir 90 kilogram (kg) berbanding sebelum itu hanya 52kg sahaja,” kata Kasih Kejora Yusof, 39, wanita yang tidak makan nasi selama 12 tahun dipercayai berpunca daripada pil kurus yang diambilnya.

Tidak selesa dengan berat badan itu yang dikatakan obesiti, dia mengambil keputusan berjumpa doktor klinik swasta sebelum diberi pil duromine untuk menguruskan badan.


Katanya, pil berkenaan yang dimakan hanya untuk tempoh dua bulan dan dalam tempoh itu itu juga berat badannya turun sehingga 55kg.



“Ubat berkenaan benar-benar buat saya tiada selera untuk makan dan akhirnya saya langsung tidak boleh menjamah nasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Desa Puteri, di sini. Kasih berkata, ketika pengambilan ubat berkenaan dia hanya makan buah-buahan sama ada pada waktu sarapan, makan tengah hari atau malam.


Katanya, pelbagai cara dilakukan ketika itu untuk makan nasi, namun tidak berjaya dan akhirnya membiarkan saja kerana tidak ada kesan sampingan yang wujud walaupun tidak makan nasi.


“Ketika demam pada 2013, pernah juga saya cuba untuk makan nasi menggunakan beras perang, namun tetap tidak berjaya.

“Mula-mula dulu ramai ahli keluarga yang terkejut melihat saya tidak makan nasi dan risaukan kesihatan saya, namun lama kelamaan selepas tengok saya sentiasa sihat, mereka sudah tak ambil kisah lagi,” katanya.


Bagi mengekalkan kecergasan sepanjang hari, pekerja syarikat swasta di Bahau itu akan bersarapan dengan oat dan susu manakala pada sebelah petang dia makan mi atau bihun goreng. “Sepanjang Ramadan lalu juadah sahur hanya air susu dan oat manakala ketika berbuka saya hanya makan popia goreng sahaja.

“Saya tidak ada masalah untuk memasak bagi keluarga, namun suami Alwi Alias, 42, lebih gemar membawa saya dan anak tunggal kami makan di luar jika ada kelapangan,” katanya.


Kata Kejora, kerana itu juga beras lima kilogram untuk kegunaan mereka seisi keluarga hanya mampu dihabiskan dalam tempoh empat bulan.


“Memang saya teringin untuk makan nasi tetapi setiap kali cuba menelannya, saya berasa mual,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Dietetik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban Dr Basmawati Baharom berkata, pihaknya tidak menafikan pengambilan pil duromine boleh membahayakan diri sendiri.


“Pil ini akan bertindak merangsang otak untuk mengawal selera makan hingga menyebabkan seseorang hilang selera makan dan minum hingga terjadinya dehidrasi dan gangguan tidur.


“Seterusnya ia boleh menyebabkan kita mengalami halusinasi dan gangguan pada otak. Sebenarnya doktor di klinik atau hospital kerajaan tidak menggalakkan atau menyuruh pesakit mengambil ubat ini kerana kesan buruknya pada diri,” katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, tiada yang pelik dalam kes Kasih Kejora kerana dia ada mengambil pelbagai makanan lain seperti oat, susu dan mi yang turut mengandungi zat dan kaborhidrat diperlukan tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Seni janggut tiada bandingan


New York: Setiap kisah janggut yang cantik, sudah tentu ada seorang wanita hebat di sebaliknya.

Isaiah Webb, pekerja di syarikat Sony di San Fransisco, kini menjadi terkenal kerana janggutnya yang menakjubkan.


Setiap Isnin, Webb akan menyiarkan gambar janggutnya yang digubah menjadi bentuk luar biasa.



“Isteri saya meminati fesyen, dan dia menyukai janggut,” katanya kepada Huffington Post.


Antara gambar yang disiarkan Webb yang paling mendapat perhatian adalah janggutnya yang berbentuk mangkuk.


Dengan cita rasa hebat isteri Webb dalam fesyen, ia menjadikan minat luar biasa suaminya berbaloi sehingga mereka berdua terpilih menjadi satu karektor dalam buku terbaru Ripley's Believe It Or Not!, ‘Reality Shock!’ yang akan diterbitkan pada 9 September depan. Webb mula berjanggut ketika dia berusia 11 tahun.

Foto
SATU lagi bentuk yang dibuat daripada janggut Webb.

Foto
WEBB makan mi daripada janggutnya.
Empat tahun lalu, janggutnya itu sudah cukup panjang untuk dijadikan pelbagai bentuk.


“Kami tidak sangka ia akan menarik perhatian orang ramai. “Ia amat menyeronokkan dan kami mengambil keputusan membentuknya sekerap mungkin,” kata Webb.

Tetapi akhirnya mereka kehabisan idea untuk mencipta rekaan baru dan mula meminta pendapat peminat.


Kini, Webb mula menceburkan diri dalam perniagaan penjagaan rambut. Dia bakal mengeluarkan sikat khas yang diciptanya untuk mereka yang berjanggut panjang.


“Ia mempunyai berus khusus yang boleh menguraikan janggut yang bergulung. Anda boleh menyikat janggut anda walaupun ia basah,” katanya.


Menurutnya, ini bukan satu-satunya impiannya.


Webb berkata, dia benar-benar mahu membawa pendedahan meluas terhadap pertandingan janggut di Amerika Syarikat. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/04

Sunday, August 3, 2014

Peniaga berjaya cipta basikal unik


  • Mohamad Akhiar menunjukkan basikal unik yang diciptanya.Mohamad Akhiar menunjukkan basikal unik yang diciptanya.

MANJUNG - Seorang peniaga nasi ayam, Mohamad Akhiar Radhli, 52, di sini, berjaya mencipta sebuah basikal unik yang mempunyai kelengkapan terkini termasuk aksesori canggih dengan modal hampir RM10,000.

Mohamad Akhiar berkata, basikal ciptaannya itu hasil idea dan inovasinya sendiri dan menamakan basikal itu ‘harmoni’ dan dicipta khas untuk beriadah bersama keluarga atau boleh digunakan oleh pelancong.

Menurutnya, kecanggihan basikal alaf baharu itu setanding dengan hasil cipta yang dihasilkan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang elektrik dan elektronik kerana basikal terbabit banyak menggunakan elektronik.

"Reka bentuknya yang unik seolah-olah mirip sebuah kereta, yang turut dilengkapi bumbung dan lampu isyarat membelok sebagaimana yang ada pada motosikal.

"Malah sistem gear yang canggih membolehkan basikal itu bergerak lebih laju serta sistem pemegang yang diubahsuai mirip handle kereta memantapkan haluan pergerakan basikal ketika beroperasi. Sistem gear basikal ini yang lebih besar membolehkan pusingan tayar lebih  pantas berbanding sistem gear yang digunakan secara normal," katanya.

Mohamad Akhiar berkata, basikal itu boleh membawa tujuh individu pada satu masa walaupun pada asalnya hanya menggunakan tiga basikal yang diubah suai menjadi sebuah basikal.
“Basikal ini juga menyediakan kemudahan lain seperti peranti sistem kedudukan global (GPS), tempat meletak komputer riba dan atap pelindung yang dikawal secara automatik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lekir, dekat sini.

Menurutnya, basikal itu pada awalnya untuk pertandingan Ideal Malaysian Inventor pada 2011, namun hasrat tersebut tidak tercapai kerana kosnya tinggi.

“Namun, saya tidak berputus asa untuk menyiapkan basikal ini menggunakan wang simpanan sendiri, dan akhirnya pada tahun 2012 basikal ini berjaya disiapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pada mulanya dia ingin membina sebuah kenderaan futuristik yang boleh digunakan di darat, meluncur laju di kawasan berlumpur dan terbang di atas permukaan air.

“Namun disebabkan kekurangan wang, saya hanya mampu mencipta basikal.

“Saya telah mengayuh basikal ini bersama dua anak ke Lumut. Ada juga yang datang tanya sama ada mahu jual basikal ini tetapi ketika itu masih pada peringkat percubaan dan saya tidak boleh menjualnya. Kini, saya bersedia menjualnya dengan harga RM15,000,” katanya.

Saturday, August 2, 2014

Kurang tidur cenderung jadi pelupa


LONDON 1 Ogos - Tidur bukan sahaja berfungsi untuk merehatkan badan tetapi seseorang yang tidak mendapat tidur mencukupi juga boleh menyebabkan memorinya terganggu, bahkan mampu membawa kepada risiko-risiko buruk yang lain.
Umumnya, waktu tidur normal seseorang adalah antara enam dan tujuh jam sehari bagi orang dewasa dan 10 jam bagi kanak-kanak yang bersekolah rendah.
Bagaimanapun, kekurangan tidur boleh menyebabkan seseorang cenderung menjadi seorang yang pelupa dan suka mereka-reka cerita.
Satu kajian ke atas 104 pelajar yang diberikan gambar-gambar jenayah mendapati mereka memberikan maklumat salah berhubung gambar-gambar berkenaan.
Separuh daripada mereka mendapat tidur yang cukup, manakala separuh lagi berjaga sepanjang malam.
Peserta yang tidak mendapat tidur yang mencukupi cenderung mereka-reka maklumat yang mereka lihat berbanding mereka yang mendapat tidur yang mencukupi.
Kajian sebelum ini mendapati kurang mendapat tidur yang sempurna selama lapan jam boleh mengganggu fungsi kognitif (pemikiran).
"Selama beberapa tahun saya mendapati jika saya tidak mendapat tidur yang mencukupi, ingatan dan memori saya seolah-olah kabur sehinggalah saya mendapat tidur yang mencukupi," ujar Frenda.
Frenda berkata, dia sangat terkejut selepas mendapati beberapa kajian emperikal (nyata) berkaitan dengan kekurangan tidur dan gangguan memori.
"Kajian mendapati kebanyakan orang yang tidak mendapat tidur yang mencukupi mempunyai memori yang lemah dan tidak mampu mengingati sesuatu secara tepat," ujarnya yang menerbitkan hasil kajian tersebut di dalam jurnal Sains Psikologi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140802/lu_10/Kurang-tidur-cenderung-jadi-pelupa#ixzz39BFDgfGc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, August 1, 2014

Untukmu adik


Lucas Aldrich, 6, dilahirkan dengan lissencephaly (otak rata) - sejenis kecacatan pada otak yang jarang berlaku disebabkan gangguan tumbesaran ketika janin berusia antara minggu ke-12 hingga 24.
Penyakit itu menyebabkan Lucas lumpuh hampir seluruh badan.
Namun ketika abangnya, Noah, 8, mengetahui Persatuan Belia Kristian (YMCA) di kawasannya menganjurkan acara triatlon mini untuk kanak-kanak, dia berazam untuk menyertai dan menghabiskan perlumbaan itu bersama adiknya.
Selama tiga bulan mereka berlatih bersama sebelum benar-benar bersedia menyertai cabaran merangkumi aktiviti renang sejauh 200 meter, berbasikal 4.8 kilometer dan berlari sejauh 1.6 kilometer Pada hari pertandingan, pasangan Noah - Lucas menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

Dalam cabaran berenang Noah menarik Lucas yang diletakkan dalam pelampung sebelum meneruskan acara berbasikal dan akhirnya berjaya melintasi garisan penamat dengan si abang menolak adiknya dalam kereta tolak kanak-kanak.
Foto

Foto


Sementara itu, ibu mereka, Alissa Aldrich berkata dia agak bimbang melihat anaknya melalui cabaran berkenaan.
“Namun ia kemudian menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan saya sangat bangga melihat mereka menyempurnakan setiap cabaran.

“Sebagai ibu bapa, ia adalah perkara paling menakjubkan untuk disaksikan,” katanya.
Alissa berkata, Lucas juga amat seronok selepas menamatkan perlumbaan itu.
“Saya rasa dia mengetahui yang dia adalah anugerah istimewa buat kami,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Tidur lama ganggu ingatan


NEW YORK 31 Julai Saintis menyatakan, individu yang tidur lebih daripada lapan jam sehari boleh mengalami gangguan tahap ingatan dan gagal membuat keputusan dengan baik.
Seorang profesor dari Universiti Phoenix Arizona, Shawn Youngstedt berkata, tempoh yang cukup untuk seseorang tidur adalah sebanyak tujuh jam.
Satu penyelidikan yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Sleep Medicine menyatakan, manusia tidak perlu masa tidur yang lama seperti yang mereka sangkakan.
"Kebanyakan orang sekarang tidur lebih lama daripada yang diperlukan kerana menyangka mereka tidak cukup tidur," kata Profesor neurosaintis dari Universiti Longhborough, Jim Horne.
Horne berkata, kehidupan zaman moden lebih selesa berbanding berpuluh-puluh tahun sebelum ini, sekali gus membuatkan manusia tidak perlu tidur lebih lama.
"Berbanding seorang pekerja kira-kira 150 tahun lalu yang bekerja 14 jam sehari, enam kali seminggu dan pulang ke rumah yang sesak serta katil yang penuh dengan pijat, kebanyakan kita pada zaman sekarang mempunyai tidur yang cukup," katanya.
Satu kajian yang dijalankan ke atas hampir 9,000 orang berumur antara 50 hingga 64 tahun yang tidur kurang enam jam atau lebih lapan jam sehari didapati mempunyai daya ingatan yang merosot dan sering membuat keputusan yang teruk.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140801/lu_08/Tidur-lama-ganggu-ingatan#ixzz395QB6PUc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Thursday, July 31, 2014

Harimau semakin pupus di negara-negara Asia



GAMBAR fail menunjukkan empat lelaki ditahan pada Januari 2011 ketika cuba menjual kulit harimau dan beberapa organ haiwan tersebut di Chandrapur, India.


NEW DELHI - Secara purata hampir dua ekor harimau dibunuh dalam tempoh seminggu di negara-negara Asia disebabkan permintaan tinggi, lapor Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Senario itu menjadi ancaman terbesar bagi harimau disebabkan kekurangan maklumat tepat mengenai spesies berkenaan di beberapa negara, lapor agensi media, Press Trust of India (PTI).
Statistik yang dibuat oleh pihak pengurusan hidupan liar menunjukkan hampir 1,590 ekor harimau telah dibunuh antara Januari tahun 2000 dan April 2014, namun jumlah tersebut dikatakan akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Kami bimbang sekiranya negara berkenaan tidak menyimpan data mengenai haiwan ini, mereka akan lebih terdedah kepada pencerobohan tanpa mereka sedari," kata wakil WWF.
Negara seperti India, Nepal dan Rusia menjadi antara negara yang mengemas kini maklumat mengenai populasi haiwan liar tersebut.
Bagaimanapun, rekod populasi harimau di Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam tidak dikemas kini dengan betul, ujar wakil WWF.
Secara keseluruhan, jumlah populasi harimau di seluruh dunia dianggarkan cuma 3,200 ekor pada tahun 2010.
"Sekitar tahun 2010, banyak negara tidak membuat kaji selidik harimau secara sistematik.
"Kini kami cuba sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat sehingga kami berjaya mengenal pasti jumlah sebenar haiwan liar ini termasuk habitat selain berusaha untuk memberi pelindungan kepada mereka," kata Ketua WWF Inisiatif Mengekalkan Harimau Liar, Michael Baltzer. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz392dLgYaG 
Hakcipta terpelihara 

Pepatung gergasi gemparkan penduduk



IMEJ seekor pepatung gergasi sebesar 20sm berjaya dirakamkan di tingkap dapur rumah Rowena Wilkinson di Weston Turville, Buckinghamshire, baru-baru ini.


BUCKINGHAMSHIRE - Penduduk di kawasan Buckinghamshire di sini gempar apabila menemui seekor pepatung gergasi di kawasan mereka, lapor portal Metro.co, kelmarin.
Imej seekor pepatung gergasi sebesar 20 sentimeter (sm) berjaya dirakamkan oleh seorang penduduk, Rowena Wilkinson, 53, ketika serangga itu hinggap di tingkap rumahnya di Weston Turville.
Serangga berwarna hitam kelabu itu ditemui oleh anaknya, Molly, 24, di bahagian dapur sebelum dia menjerit ketakutan.
"Saya terdengar suara anak saya menjerit sebelum mendapati seekor pepatung gergasi sedang terbang," kata Wlkinson yang turut sama ketakutan.
Menurutnya, serangga itu mengeluarkan bunyi yang sangat bising seperti helikopter mini dan kelihatan seperti raksaksa.
Pepatung gergasi itu akhirnya dihalau keluar menerusi tingkap dapur selepas imejnya berjaya dirakamkan.
"Situasinya sama seperti berhadapan dengan labah-labah dan kami seperti tidak percaya dengan saiznya yang begitu besar," kata Wilkinson. -Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz392YhNwbN 
Hakcipta terpelihara 

Lima beradik jalan merangkak


LIMA daripada 19 beradik keluarga Ulas perlu merangkak untuk bergerak. - AGENSI
ANKARA 30 Julai - 'Merangkak' dengan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki mungkin agak lucu, namun perkara itu benar-benar berlaku dan dialami sebuah keluarga Turki yang menggunakan kaedah tersebut sebagai satu-satunya cara mereka untuk bergerak.
Lima daripada 19 beradik keluarga Ulas dari wilayah Hatay menderita penyakit misteri itu yang membuatkan mereka hilang keseimbangan dan kestabilan sekiranya berdiri tegak sekali gus memaksa mereka merangkak untuk bergerak.
Keluarga itu hanya menyedari keganjilan tersebut pada tahun 2005 selepas 14 daripada anggota keluarga tersebut didapati normal, manakala lima lagi berjalan dengan cara merangkak.
Portal Oddity Central melaporkan, keadaan itu membuatkan saintis bingung tentang penyakit yang dialami lima adik beradik tersebut.
Adik-beradik Ulas pernah muncul dalam dokumentari filem BBC, The Family That Walks On All Fours pada 2006.
Dokumentari itu mendedahkan, daripada lima beradik, dua perempuan dan seorang lelaki bergerak dengan cara merangkak sejak lahir, sementara masing-masing seorang lelaki dan perempuan boleh berjalan dengan tegak pada masa-masa tertentu.
"Keadaan mereka agak pelik berbanding perkembangan manusia normal. Namun, saya kagum kerana mereka boleh menyesuaikan diri dengan dunia moden," kata pensyarah Nicholas Humphrey yang melawat keluarga Ulas sebanyak dua kali sepanjang pembikinan dokumentari itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140731/lu_05/Lima-beradik-jalan-merangkak#ixzz38zbhvB9v
© Utusan Melayu (M) Bhd