MOSCOW - RUSIA. Rusia, semalam mengumumkan bahawa mereka akan menjalankan latihan ketenteraan melibatkan aset pertahanan udara lebih besar berhampiran sempadan Ukraine.

Jurucakap tentera, Igor Klimov berkata, lebih 100 jet pejuang, pesawat pengebom dan helikopter bakal menyertai latihan selama lima hari yang berakhir Jumaat ini.

"Kami akan menggunakan jet Su-27 dan MiG-31 serta pesawat pengebom seperti Su-34 untuk melakukan ujian peluru berpandu," katanya menurut laporan Reuters.

Menurutnya lagi, latihan tersebut bertujuan untuk meningkatkan koordinasi angkatan tentera udara mereka.

Mac lalu, Rusia pernah menerima kecaman negara Barat selepas kira-kira 8,500 askar dilengkapi senjata dikerah untuk menjalani latihan ketenteraan di sempadan Ukraine ketika konflik antara kedua-dua negara tersebut memuncak.