Pages

Wednesday, November 14, 2012

Israel serang tempat simpanan senjata Palestin

RAMALLAH - Israel melancarkan serangan udara secara langsung ke atas kawasan penyimpanan senjata tentera Palestin, semalam.

Wakil tentera mendakwa serangan telah dilancarkan dengan 110 buah roket sejak Sabtu lalu.

“Bagaimanapun, kami tidak akan bertolak ansur jika berlaku cubaan mencederakan orang awam Israel dan akan menyerang kembali sesiapa saja yang cuba melakukan keganasan terhadap negara Israel,” kata wakil Angakatan Tentera Israel.

“Organisasi pengganas Hamas yang patut bertanggungjawab terhadap segala aktiviti keganasan yang berpunca dari Semenanjung Gaza,” ujarnya.

Serangan mula berlaku sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata Israel akan meningkatkan tindak balas ketenteraan ke atas Gaza.

“Dunia mesti memahami yang Israel tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan untuk mencederakan kami. Kami juga sentiasa bersedia untuk bertindak balas,” kata Netanyahu, Ahad lalu.

Tentera Israel juga mula menyerang kumpulan pengganas di Gaza.

Menurut agensi media, 30 rakyat Palestin cedera dengan leboh 10 orang berada dalam keadaan kritikal akibat serangan itu.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhous memberi amaran terhadap Israel kerana keganasan semakin meningkat dan sasaran mereka kepada orang awam terhadap Israel  dan perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu saja.

Tiga serangan udara dilancar di Gaza

Tiga serangan udara dilancar di Gaza
Beberapa penduduk mengusung jenazah saudara mereka yang terkorban dalam serangan udara terbaru di Gaza yang dilancarkan sejak Sabtu lalu. Foto: AFP
GENTING GAZA - Israel melancarkan tiga serangan udara terbaru di kawasan barat bandar Gaza, semalam, yang menyasarkan tempat simpanan senjata tentera Hamas, termasuk kem latihan Ezzedine al-Qassam.

Menurut pihak berkuasa, insiden itu berlaku sehari selepas tentera bersenjata Palestin suarakan hasrat mereka melaksanakan gencatan senjata jika rejim Zionis henti pencerobohan mereka.

Tawaran tersebut dibuat selepas tujuh penduduk Palestin termasuk empat orang awam terbunuh akibat serangan udara dilancarkan oleh Israel sejak Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan lain, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu beri amaran kononnya mereka ada hak dan kewajipan untuk melindungi penduduk Israel.

"Negara antarabangsa perlu memahami situasi ini kerana kami perlu bertindak menghentikan serangan roket dari Palestin," katanya pada lawatan di selatan Israel bersama diplomat asing. 

Sementara itu, jurucakap tentera Israel memaklumkan serangan balas itu dilancarkan selepas kumpulan militan Gaza menembak enam roket ke selatan negara itu. - AP

Pertandingan janggut di Las Vegas





LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Seorang peserta Austria, Fritz Sendlhofer memenangi pingat emas pada pertandingan janggut kategori Gerabaldi di sini pada Ahad lalu.
Dia turut memenangi Anugerah Pilihan Orang Ramai dan bonus sebanyak AS$1,000 (RM3,066).
Seorang peserta Jerman, Hans-Peter Weis memenangi pingat emas bagi kategori janggut gaya bebas. - Reuters

Tuesday, November 13, 2012

Serangan di sempadan Turki

Asap tebal memenuhi ruang udara di bandar Ras al-Ain dekat sempadan Turki selepas dibom tentera Syria dapat dilihat dari bandar Ceylanpinar, wilayah Sanliurfa di Turki, semalam. - REUTERS
CEYLANPINAR, Turki 12 Nov. - Sebuah pesawat perang Syria, hari ini mengebom kubu pemberontak di Ras al-Ain, yang terletak beberapa meter dari sempadan Turki, menyebabkan 16 orang maut dan sejumlah besar rakyat Syria melarikan diri ke negara jiran itu.
Helikopter bersenjata turut menyerang sasaran berdekatan bandar itu yang jatuh ke tangan pemberontak pada Khamis lalu.
Jet itu menyerang hanya beberapa meter dari pintu sempadan yang memisahkan Ras al-Ain dari kem pelarian Turki di Ceylanpinar, menyaksikan asap tebal menyelubungi kawasan tersebut.
Wartawan Reuters di Ceylanpinar melaporkan pesawat itu terbang di sekitar sempadan dan pada satu ketika memasuki ruang udara Turki.
Tidak dapat dipastikan sasaran bom tersebut, namun sejumlah penduduk awam melarikan diri dari kawasan itu dan memanjat pagar sempadan memasuki Turki.
Kira-kira 9,000 rakyat Syria tiba di Turki dalam tempoh 24 jam pada minggu lepas, meningkatkan jumlah pelarian Syria berdaftar kepada 120,000 orang, keadaan yang membimbangkan Ankara ekoran ketibaan musim sejuk. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121113/lu_01/Serangan-di-sempadan-Turki#ixzz2CB3rLu4h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artifak emas abad ketiga Sebelum Masihi ditemui




REUTERS
MAHKOTA emas yang ditemui di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari, Bulgaria pada Khamis lalu.


SOFIA - Sejumlah artifak emas pada abad ketiga Sebelum Masihi dipamerkan oleh pihak Muzium Arkeologi Bulgaria di sini kelmarin.
Antara artifak yang ditemui itu ialah patung emas berbentuk muka kuda, cincin, mahkota dan gelang emas.
Sekumpulan ahli arkeologi menemui artifak itu semasa melakukan kerja-kerja penggalian di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari di utara negara ini pada Khamis lalu.
Artifak tersebut milik suku kaum Thrace, Getae pada akhir abad keempat atau permulaan abad ketiga Sebelum Masihi.
Menurut ketua pasukan arkeologi itu, Diana Gergova, makam tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan pemerintah Getae, Cothelas.
Dia berkata, ia kemungkinan ditanam pada satu majlis pengebumian. - Agensi

Zionis sahkan serangan balas ke atas Syria



DUA buah kereta kebal tentera Israel mengawal
Bukit Golan dekat Kampung Bariqa, Syria semalam.
BAITULMUQADDIS - Tentera Israel semalam melancarkan serangan balas ke atas Syria sebagai respons terhadap serangan mortar di Bukit Golan, kata satu sumber tentera.
"Sebelum ini, serangan mortar mengenai sebuah kawasan di pekarangan pos tentera Israel di Bukit Golan yang disebabkan oleh konflik dalaman Syria," kata sumber tentera tersebut.
Menurutnya, askar-askar tentera Israel melancarkan bedilan meriam kereta kebal.
Sumber tersebut menyatakan bedilan tersebut dihalakan ke arah lokasi bedilan mortar tersebut dilancarkan.
Tentera Israel turut memberi amaran bahawa jika tentera Syria terus melancarkan serangan, pihaknya akan melancarkan serangan yang lebih besar.
"Bedilan dari Syria ke Israel tidak akan dikompromi," kata satu kenyataan daripada tentera Israel. - AFP

Israel ancam serangan besar-besaran di Gaza



BEBERAPA anggota polis memeriksa sebuah rumah yang mengalami kerosakan akibat serangan roket para pejuang Palestin di bandar Netivot, Israel semalam.



BAITULMUQADDIS - Beberapa pegawai Israel semalam mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza semalam.
Ancaman itu dibuat selepas 24 jam para pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.
Serangan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa negaranya bersedia untuk meningkatkan serangan balas.
Menteri Pertahanan, Ehud Barak menyatakan para pemimpin pergerakan Hamas akan menerima padah ekoran serangan roket itu.
Seorang pegawai kanan Israel mengesahkan bahawa Netanyahu mengadakan mesyuarat bagi melakukan persediaan untuk kemungkinan satu tindakan yang keras akan dilakukan untuk melindungi penduduk Israel.
Para pejuang Gaza melancarkan 110 roket ke selatan Israel sejak Sabtu lalu.
Salah satu serangan itu mengenai pekarangan sebuah rumah di bandar Netivot.
Tiada sebarang laporan tentang kecederaan dilaporkan ekoran serangan tersebut.
Sehari sebelum itu, jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan di tiga buah lokasi di Gaza.
Beberapa pegawai Israel turut menyatakan serangan balas yang lebih hebat perlu dilancarkan.
Bekas ketua tentera negara itu, Dan Halutz mencadangkan beberapa aset milik pergerakan Hamas perlu diserang sebelum operasi ketenteraan dilancarkan tentera Israel.
Menurut seorang bekas penasihat keselamatan Israel, Giora Eiland, import barangan dan bekalan elektrik ke Gaza perlu dipotong. - Agensi

Monday, November 12, 2012

Guatemala dilanda gempa bumi lagi, kali ini 6.2 magnitud

Berita Harian | Guatemala dilanda gempa bumi lagi, kali ini 6.2 magnitud: "GUATEMALA: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud menggegar pantai Pasifik di Guatemala pagi ini, cuma empat hari selepas gempa kuat mengorbankan berpuluh orang di negara Amerika Tengah itu.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa bumi itu berpusat pada 180 kilometer barat daya Guatemala City berdekatan pantai negara berkenaan manakala kedalaman direkodkan ialah 29 kilometer.
Rabu lalu, gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menyebabkan 52 orang terkorban dalam kejadian gempa paling kuat dalam tempoh 36 tahun negara itu. - AP "

'via Blog this'

Gunung Lokon meletus, hambur abu setinggi 600 meter

myMetro | Gunung Lokon meletus, hambur abu setinggi 600 meter: "JAKARTA: Gunung Lokon di Sulawesi Utara meletus lagi dan menghamburkan abu setinggi 600 meter dari Kawah Tompaluan.

“Abu ditiup ke arah utara,” kata Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Sorono.
Katanya, buat masa ini belum ada sesiapa cedera akibat bencana itu.

Bunyi letupan yang berlaku pada jam 1.43 petang waktu tempatan boleh didengar hingga ke Gunung Mahawu yang terletak kira-kira enam kilometer dari Kawah Tompaluan.


Sementara itu, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Perhubungan Awam, Sutopo Purwo Nugroho berkata, aktiviti Gunung Lokon meningkat sejak pagi semalam.


Data visual mendapati Kawah Tompaluan mengeluarkan asap putih nipis setinggi 25 hingga 200 meter. - JP "

'via Blog this'

13 korban gempa bumi di Myanmar


SEBUAH jambatan masih dalam pembinaan merentasi Sungai Irrawaddy, runtuh akibat gempa bumi semalam.
SEBUAH jambatan masih dalam pembinaan merentasi Sungai Irrawaddy, runtuh akibat gempa bumi semalam.
SHWEBO: Satu gempa bumi kuat melanda Myanmar semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.
Gegaran itu yang mencetuskan panik di bandar raya Mandalay, turut mencederakan 40 orang.
Gempa 6.8 magnitud itu melanda kawasan pedalaman 116 kilometer ke utara Mandalay, disusuli dengan gegaran selepas gempa, kata Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Empat pekerja terhumban ke dalam Sungai Irrawady di utara bandar berkenaan yang terletak berhampiran pusat gempa itu.

Mereka dikatakan antara mangsa yang terbunuh, lapor kumpulan sukarelawan Save The Children.

Sementara itu, sebuah kuil runtuh di Kampung Kyauk Myaung akibat gempa itu, meragut dua nyawa. Seorang lagi mati di Mandalay.

Di bandar Sint Ku, bencana itu menyebabkan enam penduduk mati, termasuk dua yang terkorban apabila sebuah lombong emas runtuh.

“Penduduk begitu bimbang mengenai kemungkinan berlaku satu lagi gempa,” kata kumpulan itu.

Sementara itu, penduduk di Mandalay meluru keluar dari bangunan yang bergoncang kuat ketika gempa berlaku.

Bagaimanapun, tidak ada kerosakan besar dilapor berlaku di bandar itu.

“Saya lari keluar dari rumah sambil mendukung anak. Semua penduduk berkumpul di jalan raya. Ada yang meraung sementara yang lain mengalami pening kepala,” kata seorang penduduk San Yu Kyaw.

USGS mengeluarkan amaran kuning dengan berkata, gempa itu mungkin menyebabkan kematian dan kerosakan berhampiran kawasan kejadian.

Gempa itu yang mulanya dikatakan berukuran 7.0 magnitud, melanda jam 7.42 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer.

Ia disusuli dengan dua gegaran selepas gempa berukuran 5.0 magnitud selang 20 minit.

Seorang pegawai Jabatan Bantuan dan Penempatan Semula berkata, kebanyakan yang cedera adalah pekerja binaan. - AFP

Jam tangan platinum RM12.6 juta



JAM tangan Patek Philippe milik penyanyi legenda Eric Clapton dipamerkan di firma lelongan Christie's di New York pada 12 Oktober lalu.


GENEVA - Seutas jam tangan milik penyanyi rock legenda, Eric Clapton dijangka dapat dijual pada harga £2.6 juta (RM12.6 juta) dalam satu lelongan di Switzerland.
Menurut akhbar MailOnline, jam kronograf jenama Patek Philippe yang diperbuat daripada logam platinum itu akan dilelong oleh firma Christie di sini hari ini.
Hanya terdapat dua jam tangan platinum Patek Philippe di dunia dengan seutas lagi jam tersebut kini berada di sebuah muzium.
Barangan itu adalah antara 310 jam eksklusif dengan harga keseluruhan mencecah £9.9 juta (RM48.1 juta) yang akan dilelong oleh firma berkenaan.
Berita berhubung jualan jam tersebut disiarkan selepas sebuah lukisan oleh Gerhard Richter milik Clapton dijual £21.3 juta dalam satu lelongan Sotheby's di London sekali gus lelongan termahal di dunia bagi seseorang pelukis yang masih hidup.
Clapton yang popular dengan lagu Wonderful Tonight membeli lukisan tersebut pada harga £2 juta (RM9.7 juta) dalam tahun 2001. - Agensi

Rumah kapsul popular di Wuhan




SEORANG pemuda mandi di dalam rumah kapsul yang disewanya di Wuhan, China.



WUHAN, China - Kadar sewa rumah yang terlampau tinggi mendorong ramai pekerja berkongsi tinggal di bilik-bilik kecil di dalam sebuah bangunan di sini, dalam wilayah Hubei, lapor akhbar New York Daily News.
Setiap bilik kecil itu yang digelar 'rumah kapsul', memiliki keluasan purata cuma 4.5 meter persegi.
Idea tersebut dicetuskan oleh pemilik hartanah tersebut yang membina 55 buah bilik kecil di dalam bangunannya.
Setiap bilik kecil tersebut berfungsi sebagai tempat tidur, ruang tamu, bilik mandi dan dapur sekali gus semua dalam satu.
Penghuninya pula terdiri daripada individu-individu yang mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya.
Walaupun kecil, ramai penyewa menganggap tinggal di rumah kapsul itu berbaloi memandangkan gaji mereka yang rendah berbanding sewa rumah yang amat mahal di sini. - Agensi

Gempa bumi kuat landa Myanmar



SEBUAH pagoda rosak teruk di bandar Kyauk Myaung selepas dilanda gempa bumi semalam.


YANGON, Myanmar - Sekitar 12 orang dikhuatiri terbunuh dan 16 yang lain cedera apabila satu gempa bumi kuat menggegarkan bahagian utara Myanmar semalam.
Gegaran yang berpusat dekat bandar Shwebo mengakibatkan sebuah jambatan dan sebuah lombong emas runtuh.
Bencana itu turut merosakkan beberapa struktur pagoda lama.
Namun, tiada kecederaan atau kemusnahan besar dilaporkan di bandar kedua terbesar di Myanmar, Mandalay yang terletak dekat Shwebo.
Mandalay terletak sekitar 117 kilometer ke selatan pusat gempa berkenaan.
Seorang pegawai Jabatan Meteorologi Myanmar berkata, gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 7.42 pagi waktu tempatan.
"Ini merupakan gempa bumi terburuk sepanjang hidup saya," kata seorang penduduk Shwebo berusia 52 tahun yang dikenali sebagai Soe Soe.
Menurutnya, tembok konkrit besar sebuah biara runtuh dan beberapa ukiran pada dinding pagoda lain di bandar itu turut rosak.
Kemusnahan turut dilaporkan di Mogok yang merupakan sebuah kawasan perlombongan permata utama di Myanmar.
"Tanah runtuh berlaku di sebahagian lombong batu delima tetapi tiada kecederaan berlaku ekoran kawsan tersebut menempatkan lombong lama," kata seorang penduduk Mogok, Sein Win.
Stesen televisyen Myanmar melaporkan, berpuluh-puluh pagoda di lima buah bandar rosak dalam bencana tersebut.
Bencana itu turut menyebabkan sebuah jambatan yang sedang dibina merentasi Sungai Irrawaddy runtuh.
Infrastruktur tersebut menghubungkan bandar Sintku yang terletak sekitar 65 kilometer ke utara Mandalay dengan bandar Kyaukmyaung.
Gegaran di Myanmar itu turut dirasai hingga ke Bangkok di Thailand. - Agensi

Sunday, November 11, 2012

Potret kekasih Picasso berharga RM127 juta

Potret kekasih Picasso berharga RM127 juta - Global - Sinar Harian: "NEW YORK - Potret kekasih Pablo Picasso hanya terjual pada harga AS$41.5 juta ( RM127 juta) ketika pameran seni di New York.

Lukisan tahun 1932 digelar Nature morte aux tulipes, itu dijual ketika pameran Sotheby Impressionist di Manhattan.

Namun, penganjur agak terkilan kerana harga potret itu sepatutnya mencecah AS$35 juta (RM107 juta) dan AS$50 juta (RM153 juta).

Lukisan menggambarkan wajah kekasih Picasso Marie Therese Walter, sedang mengubah bunga dalam keadaan ghairah.

Potret kekasih pelukis terunggul dunia itu sering menjadi  rebutan hartawan dan peminat lukisan dunia kerana mempunyai nilai estetika tinggi. - AP"

'via Blog this'

Pemogok lapar 12 tahun cipta rekod



Pemogok lapar 12 tahun cipta rekod
Irom dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.
MANIPUR - Seorang wanita nekad meneruskan mogok lapar yang dilakukan sejak 12 tahun lalu, sekali gus mencipta rekod mogok paling lama selepas tidak berpuas hati dengan akta Kuasa Khas Angkatan Tentera yang memberi kebebasan membunuh.

Irom Sharmila, 40, yang kini berada dalam tahanan masih enggan menghentikan tindakannya itu walaupun dipaksa makan dua kali sehari melalui saluran tiub, juga tidak mengosok gigi pada masa sama.

Aktivis hak asasi manusia berkata, Irom mula mogok lapar kerana berang selepas menyaksikan 10 orang awam ditembak mati oleh tentera bersenjata Assam pada  2000 di Malom.

"Akibat daripada insiden itu, Irom mengalami trauma melampau hingga menyebabkan beliau nekad membunuh diri lalu dipenjara setahun angkara tindakkannya itu," katanya.

Menurutnya, Irom kini berada dalam keadaan lemah dan sukar melakukan pergerakan hingga terpaksa dibantu oleh pegawai penjara.

Ketua aktivis mendedahkan, insiden tercetus apabila berlaku perselisihan faham antara anggota keselamatan dengan pemberontak Manipur.  - Mail Online

Makkah, Madinah paling terang dari angkasa lepas

myMetroMakkah, Madinah paling terang dari angkasa lepas: "RIYADH: Seorang angkasawan Russia semalam berkata, bandar suci Makkah dan Madinah adalah yang paling terang dan cantik apabila dilihat dari angkasa lepas.

Angkasawan berkenaan memberitahu demikian kepada pelajar Arab Saudi yang menyertai program Persatuan Kembara Angkasa Lepas semalam.


“Ketika berada di angkasa lepas, kami tidak berdepan dengan masalah untuk merakam gambar bandar raya di bumi pada siang hari.

“Tetapi, sebelah malam, ia begitu rumit dan anda perlu menggunakan teknik khas. Namun, saya berjaya merakam gambar beberapa bandar waktu itu. “Yang mengejutkan saya, ialah Makkah dan Madinah begitu terang berbanding bandar lain di seluruh dunia ketika waktu malam,” kata angkasawan Anatoly Ivanishin.


Menurutnya, bandar lain tidak begitu jelas ketika itu tetapi pemandangan Makkah dan Madinah begitu menakjubkan dan tidak diduga. - AN"

'via Blog this'

11,000 lari dari Syria



11 November 2012
11,000 lari dari Syria
Kem pelarian di sempadan Jordan dan Lubnan kini menampung beribu pelarian Syria.
BEIRUT - Kemelut berdarah di bumi Syria, memaksa lebih 11,000 penduduknya melarikan diri dalam tempoh 24 jam, dengan sebahagian daripada mereka bertindak memanjat pagar kawat semata-mata untuk memasuki negara Turki, kelmarin.

Menurut aktivis, penghijrahan mengejut itu merupakan petanda peperangan masih berterusan hingga meragut lebih 36,000 nyawa penduduk tidak berdosa sejak tercetusnya pertempuran di antara pemberontak dan tentera kerajaan sejak Mac 2011.

Penyelaras agensi pelarian serantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Panos Moumtzis berkata, Turki, Jordan dan Lubnan, menjadi lokasi utama pelarian Syria bagi mendapatkan perlindungan.

"Hampir 3,000 penduduk Syria melarikan diri setiap hari dan jumlah keseluruhan pelarian yang berdaftar dengan agensi lebih daripada 408,000 orang," katanya.

Panos mendedahkan, seramai 9,000 rakyat Syria memasuki sempadan Turki termasuk 70 yang parah dan dua daripadanya meninggal dunia pada Khamis lalu.

Kebanjiran pelarian ke Turki berlaku, selepas tercetusnya pertempuran di Ras Al-Ayn iaitu kawasan pengeluar minyak utama di wilayah timur laut Al-Hasaka.

Minggu lalu, kumpulan pemberontak menawan tiga bangunan dimiliki tentera perisikan, tentera udara dan agensi-agensi lembaga perisikan.

Sementara itu, Presiden Bashar Al-Assad masih bertegas negaranya tidak berhadapan dengan  sebarang perang saudara.

"Kami sentiasa melindungi penduduk Syria daripada keganasan yang didalangi pihak luar. - AP

Rumah terkecil dibina satu hari

Rumah terkecil di dunia.
Rumah terkecil di dunia
 London: Seorang arkitek Jerman cuba menangani krisis perumahan dengan mencipta rumah paling kecil di dunia berukuran hanya satu meter persegi dan hanya memakan masa sehari untuk dibina.

Ada cukup ruang untuk menempatkan bangku di dalamnya dan pada waktu malam ia boleh digulung ke belakang untuk mengubahnya kepada sebuah katil.
Arkitek Van Bo Le-Mentzel kini menyerahkan pelan induk ciptaannya One SQM, dengan harapan ia akan memperbaiki pasaran perumahan.


Tawar satu rumah

“Saya mahu menawarkan rakyat satu pelan membina rumah mereka sendiri,” lapor akhbar The Sun memetiknya sebagai berkata.

“Anda boleh membawanya dan tinggal di taman atau tasik atau di atas bumbung. Ia adalah rumah sebenar yang anda boleh tambah pemanas, panel suria atau tandas jika mahu,” katanya.

Pembina hanya memerlukan sebatang tukul besi dan gergaji selain 20 meter papan, 200 skru, empat roda dan tingkap kaca serta pintu untuk membina bangunan seberat 40 kilogram itu.
“Falsafah di sebalik projek saya ialah mencipta idea yang mana rakyat boleh mengembangkannya,” kata Le-Mentzel. - Agensi

Golongan Salafi tuntut laksana Syariah

pix_gal0Kaherah: Beribu-ribu penyokong kumpulan Salafi berkumpul di Dataran Tahrir sebelum solat Jumaat kelmarin bagi menggesa undang-undang Syariah dilaksanakan segera di Mesir.

Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan mendesak Presiden Mohamed Morsi bertindak segera melaksanakan hukum Islam. Mereka memenuhi dataran itu sambil melaungkan, “Rakyat mahu undang-undang Allah dilaksanakan.”
Mesir sedang merangka Perlembagaan baru selepas revolusi dan Syariah mengundang kontroversi - membahagikan golongan Islam dan sekular. Ikhwanul Muslimin ingin melaksanakan undang-undang Islam secara perlahan-lahan sebaliknya Salafi menggesa ia disegerakan. - Agensi

Lebih 20 askar Bashar maut letupan bom

DARAA - Dua serangan bom berani mati menggegarkan bandar ini semalam, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 20 askar rejim Presiden Bashar Al-Assad, kata sebuah kumpulan permerhati.
Kumpulan Permerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, letupan berkembar pada awal pagi itu berlaku di zon keselamatan yang menempatkan bangunan perisikan tentera dan sebuah kelab pegawai tentera di sini.
Beberapa aktivis pula berkata, sekitar 30 buah kereta kebal yang digunakan untuk membedil bandar ini dan kawasan sekitarnya turut ditempatkan di sebuah stadium berdekatan.
Daraa, yang terletak di selatan Syria merupakan bandar kelahiran Bashar.
Menurut mereka, dua letupan itu disusuli beberapa pertempuran antara tentera rejim dengan penentang, Tentera Pembebasan Syria yang berjuang untuk menggulingkan Bashar.
"Saya mendengar bunyi dua letupan amat kuat disusuli satu letupan kecil dan bedilan mesingan," kata seorang aktivis di sini, Mohammad Abu Houran.
Agensi berita pemerintah SANA melaporkan letupan berkembar itu menyebabkan kemusnahan besar dan kehilangan nyawa tetapi tidak mengulas lanjut.
Kumpulan pemerhati tersebut memberitahu, lebih 36,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan menentang Bashar bermula pada Mac tahun lalu bagi menuntut demokrasi dan kebebasan bersuara. - Agensi