11,000 lari dari Syria
Kem pelarian di sempadan Jordan dan Lubnan kini menampung beribu pelarian Syria.
BEIRUT - Kemelut berdarah di bumi Syria, memaksa lebih 11,000 penduduknya melarikan diri dalam tempoh 24 jam, dengan sebahagian daripada mereka bertindak memanjat pagar kawat semata-mata untuk memasuki negara Turki, kelmarin.

Menurut aktivis, penghijrahan mengejut itu merupakan petanda peperangan masih berterusan hingga meragut lebih 36,000 nyawa penduduk tidak berdosa sejak tercetusnya pertempuran di antara pemberontak dan tentera kerajaan sejak Mac 2011.

Penyelaras agensi pelarian serantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Panos Moumtzis berkata, Turki, Jordan dan Lubnan, menjadi lokasi utama pelarian Syria bagi mendapatkan perlindungan.

"Hampir 3,000 penduduk Syria melarikan diri setiap hari dan jumlah keseluruhan pelarian yang berdaftar dengan agensi lebih daripada 408,000 orang," katanya.

Panos mendedahkan, seramai 9,000 rakyat Syria memasuki sempadan Turki termasuk 70 yang parah dan dua daripadanya meninggal dunia pada Khamis lalu.

Kebanjiran pelarian ke Turki berlaku, selepas tercetusnya pertempuran di Ras Al-Ayn iaitu kawasan pengeluar minyak utama di wilayah timur laut Al-Hasaka.

Minggu lalu, kumpulan pemberontak menawan tiga bangunan dimiliki tentera perisikan, tentera udara dan agensi-agensi lembaga perisikan.

Sementara itu, Presiden Bashar Al-Assad masih bertegas negaranya tidak berhadapan dengan  sebarang perang saudara.

"Kami sentiasa melindungi penduduk Syria daripada keganasan yang didalangi pihak luar. - AP