Pages

Monday, November 5, 2012

Penduduk New York masih terjejas




SEBUAH rumah yang musnah masih belum dibaiki di Pantai Union, New Jersey kelmarin.


NEW YORK - Kekurangan bekalan petrol dan diesel semalam menjejaskan usaha-usaha pemulihan di lokasi yang dilanda taufan Sandy pada minggu lalu.
Bagaimanapun, bekalan elektrik kembali pulih di kebanyakan kawasan Manhattan kelmarin selepas banjir melanda kawasan perumahan.
"Manhattan tidak lagi kelihatan seperti bandar hantu," kata seorang jurucakap syarikat elektrik Con Edison, Bob McGee.
Para kakitangan syarikat itu berusaha untuk memulihkan bekalan di sekolah yang dijangka dibuka semula pada hari ini.
Menurut Gabenor New York, Andrew Cuomo, kira-kira 40 peratus penduduk tidak akan mendapat bekalan elektrik selama seminggu lagi.

SEJUMLAH penduduk menunggu untuk memperoleh bekalan petrol percuma di Brooklyn, New York kelmarin.


Ketiadaan bekalan elektrik itu akan menyebabkan penduduk tidak dapat menggunakan alat pemanas ketika cuaca sejuk melanda.
Menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS), kira-kira 550,000 penduduk tidak mendapat bekalan elektrik di Pulau Long.
Sementara itu, polis di New Jersey meningkatkan angka kematian kepada 22 orang sekali gus menjadikan jumlah korban taufan tersebut di AS ialah 109 orang.
Para pegawai di sini turut mengumumkan bahawa beberapa buah trak tentera akan membawa 38 liter minyak untuk diberikan kepada para pemandu secara percuma.
Taufan itu melanda kawasan Pantai Timur AS sehingga hampir menenggelamkan bandar raya ini pada Isnin lalu. - Agensi

Sunday, November 4, 2012

Iran selesai pasang alat tingkat upaya pengayaan uranium



Loji Nuklear Iran
Kewujudan loji nuklear Fordo ini mula didedahkan pada 2009 selepas ia dikesan oleh Perkhidmatan Perisikan Barat. Foto: AP
TEHERAN - Ketua Agensi Tenaga Atom Iran, kelmarin, mengesahkan negara itu selesai memasang centrifuge (alat berfungsi untuk meningkatkan keupayaan pengayaan uranium) di loji nuklear Fordo terletak berhampiran Qom.

Fereydoun Abbasi turut memberitahu kejayaan negara itu melengkapkan projek pengayaan uranium mereka seperti yang dirancang sebelum ini.

Minggu lalu, diplomat Barat mendakwa Teheran semakin hampir menamatkan projek pembinaan senjata nuklear mereka walaupun centrifuge baru masih belum diaktifkan.

Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sebelum ini menyebut Teheran sudah melakukan pengayaan uranium sehingga tahap 20 peratus.

Ogos lalu, IAEA juga melaporkan jumlah centrifuge di Fordo juga telah meningkat sekali ganda mencecah 2,140 unit. - Haaretz

Ulama sifatkan Taufan Sandy sebagai hukuman



Taufan Sandy
Beribu kediaman musnah di Breezy Point, Queens, New York. -Reuters
KAHERAH - Segelintir ulama menyifatkan tragedi Taufan Sandy yang membadai New York dan beberapa bandar lain di Amerika Syarikat (AS) adalah hukuman ALLAH SWT selepas kelancangan dan kebiadaban negara itu menerbitkan filem menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Ulama Mesir, Wagdi Ghoneim menganggap taufan itu sebagai pembalasan terhadap penerbitan filem anti-Islam yang dilakukan AS sehinggamencetuskan gelombang protes di seluruh dunia pada September lalu.

“Punca dan sebab taufan di AS masih menjadi persoalan dan saya berpendapat ia adalah pembalasan ALLAH SWT terhadap kemungkaran mereka,” katanya.

Kenyataan itu disampaikan melalui laman Twitternya selepas dua hari bencana itu melanda AS.

Manakala ulama Arab Saudi, Salman al-Audah berkata, taufan mengorbankan lebih daripada 140 orang itu, adalah petanda awal untuk mendorong rakyat AS memeluk Islam.

Namun, reaksi berbeza disuarakan mufti besar negara itu, Abdel Aziz Al Sheik apabila menyatakan rasa simpatinya terhadap mangsa bencana.

“Jangan terlalu gembira dengan tragedi itu kerana terdapat mangsa bencana dalam kalangan umat Islam dan mereka turut menderita,” katanya.

Sementara itu, ulama Iran berpendapat, kejadian itu adalah kuasa ALLAH SWT kerana Iran juga pernah mengalami bencana yang sama pada 2003 hingga menyebabkan lebih 26,000 terkorban di bandar Bam.

Polis tembak mati suspek militan



Dua anggota polis anti-pengganas Indonesia, Densus 88, mengacukan rifel ketika melakukan serbuan terhadap rumah suspek pengganas, Abdul Halid Tumbingoa di Poso, semalam. - AFP
POSO, Sulawesi 3 Nov. - Polis Indonesia menembak mati seorang suspek anggota militan dan merampas sejumlah bom dalam satu serbuan di sini hari ini.
Jurucakap Polis Persekutuan, Boy Rafli Amar berkata, serbuan ke atas rumah tersebut dilakukan oleh polis tempatan dan unit anti keganasan di Kampung Kayamaya di sini selepas waktu subuh.
''Suspek yang dikenali sebagai Abdul Halid Tumbingoa, 24, terbunuh dalam serbuan itu dan seorang lagi ditangkap dan dibawa ke ibu pejabat polis di bandar Palu.
''Suspek berkenaan melemparkan bahan letupan ke arah polis ketika serbuan dibuat menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan balas,'' katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa butir bom yang siap dipasang dan beberapa bahan letupan dari rumah tersebut.
Sementara itu, saksi yang enggan dikenali berkata, lelaki-lelaki tersebut ditembak di luar sebuah sekolah ketika mereka cuba melarikan diri dari rumah tersebut.
Jurugambar AFP turut menyaksikan kesan darah di padang sekolah berkenaan selepas kejadian tersebut.
Serbuan tersebut dilancarkan selepas seorang suspek anggota militan dibunuh, dua lagi ditangkap dan sejumlah bahan letupan dirampas dalam serbuan di Poso, empat hari lalu.
Pada bulan lalu, dua anggota polis ditemukan mati di Poso selepas hilang ketika menyiasat terdapat kem militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Ansharut Tauhid (JAT). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121104/lu_02/Polis-tembak-mati-suspek-militan#ixzz2BDwf9XU8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

70 maut serangan di bandar Harem



BEBERAPA penduduk Syria melihat keadaan sebuah masjid yang musnah dalam serangan udara tentera kerajaan di kampung Taftanaz, wilayah Idlib pada 1 November lalu. - AGENSI
DAMSYIK 3 Nov. - Sekurang-kurangnya 70 orang maut dalam serangan udara tentera Syria ke atas bandar Harem, utara negara ini.
Jawatankuasa Penyelaras Tempatan, iaitu rangkaian pembangkang berkata, seramai 70 orang maut dalam serangan udara semalam di bandar tersebut yang terletak di wilayah Idlib.
Seorang aktivis, Moaz al-Shami berkata, kerajaan Syria meningkatkan serangan udara ke atas Ghouta Timur, pinggir bandar Damsyik.
''Presiden, Bashar al-Assad mengambil tindakan melancarkan serangan udara selepas gagal dalam cubaan mengerahkan tentera darat merampas kembali bandar itu.
''Assad cuba merampas kembali kawalan ke atas Ghouta Timur beberapa kali, tetapi terpaksa berundur selepas pertempuran hebat dengan pemberontak. Kini beliau cuba menyerang menggunakan kekuatan udara pula,'' katanya yang dipetik oleh stesen televisyen al-Jazeera.
Media rasmi melaporkan, tentera kini menjalankan 'operasi pembersihan' di kawasan yang disifatkan sebagai milik pengganas.
Aktivis berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam serangan udara di bandar Douma.
Dalam pada itu, tentera Syria dilaporkan berundur dari pangkalan tentera terakhir berdekatan Saraqeb, wilayah Idlib selepas pertempuran sengit dengan pemberontak. - Agensi/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121104/lu_01/70-maut-serangan-di-bandar-Harem#ixzz2BDwWByY0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hayati derita perang



LENGKAP...pagar kawat berduri turut dibina.
         

LENGKAP...pagar kawat berduri turut dibina.
DIKELILINGI kawat berduri, beg pasir dan tanah, parit sepanjang 20 meter seperti pernah digunakan tentera Britain menentang musuh mereka dalam Perang Dunia Pertama hampir seabad lalu.

Binaan mencabar itu dilakukan dengan sabar oleh bekas guru sejarah, Andrew Robertshaw di belakang rumahnya di Charlwood, Surrey, England.


Turut menjayakan pelan itu ialah 30 sukarelawan, termasuk anggota Rejimen ke-23 Kor Lojistik Diraja Britain yang bertungkus-lumus selama sebulan menggali parit dengan mengalihkan 200 tan tanah.

   Foto

KERJA PEMBINAAN...30 sukarelawan membantu Robertshaw menggali parit.

Foto
MENARIK... Robertshaw menggunakan beg pasir dan tanah untuk menahan tebing parit sepanjang 20 meter.
Foto

MACAM BETUL... sukarelawan membuat lakonan semula kehidupan seharian tentera zaman Perang Dunia Pertama.

Selain parit, mereka membina tiga bilik seperti digunakan tentera Britain ketika zaman perang dulu, membabitkan dapur, bilik infantri dan pejabat pegawai.


Untuk merasai pengalaman itu, Robertshaw, 55, dan sukarelawan lain menghabiskan masa 24 jam sehari di dalam parit berkenaan.


Mereka melakonkan pelbagai aksi seperti tentera sebenar.

Kata Robertshaw, pembinaan parit itu diharap dapat memberi pendidikan kepada orang ramai mengenai kesukaran hidup tentera mereka ketika berjuang dalam perang.


Bapa kepada seorang anak, Robertshaw bertindak sebagai penasihat tentera seperti dalam filem Steven Spielberg, War Horse, manakala sukarelawan lain mengenakan pakaian seragam tentera.

Mereka menggunakan raifal untuk menembak peluru ke arah kawasan belukar ketika melakonkan aksi perang berkenaan.


Kata Robertshaw, datuknya terbabit dalam Perang Dunia Pertama dan mengalami kecederaan tiga kali.


“Saya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa perang adalah mengenai perjuangan, bukan sekadar isu hidup dan mati.


“Jika tidak berperang, beginilah mereka hidup,” katanya.


Robertshaw kini menguruskan Muzium Kor Logistik Diraja di Deepcut, Surrey.


Katanya, perasaan paling selalu dirasa sebagai ‘tentera’ itu ialah ikhtiar untuk cuba mendapatkan keselesaan sebaik mungkin ketika terkurung dalam parit.


“Dengan adanya parit ini, orang ramai akan tahu bahawa apa yang berlaku pada zaman itu mempunyai kaitan secara langsung dengan dunia hari ini,” katanya.


Bersama sukarelawan itu, Robertshaw menulis pengalaman menjadi tentera dalam diari sepanjang tempoh 24 mereka berkurung dalam parit berkenaan.


“Ia adalah untuk pembelajaran,” katanya.


Antara yang dicatat, pengalaman mereka memasak, makan dan membersihkan diri dalam parit.


Kata Robertshaw, sebagai bekas guru, dia mahu orang ramai tahu lebih banyak mengenai sejarah dan sedar bahawa Perang Dunia Pertama membawa makna besar dalam perkembangan dunia.


Robertshaw juga dalam proses menyiapkan video mengenai pengalaman Perang Dunia Pertama untuk digunakan di sekolah.


Antara lain, video itu akan memaparkan apa yang ada di parit berkenaan serta sebahagian daripada lakonan semula perang.


Tidak cukup dengan itu, Robertshaw berharap dia dapat membina satu laman sesawang bagi membolehkan pelajar meneroka parit berkenaan secara maya.


Kata Robertshaw, laman sesawang membolehkan generasi muda melihat secara lebih dekat dan jelas bagaimana sejarah tercipta puluhan tahun lalu.


“Pembelajaran melalui maya boleh digunakan di sekolah kerana ia lebih realistik berbanding hanya melihat gambar hitam putih seperti sebelum ini,” katanya.


Dia juga membuka peluang kepada sesiapa yang berminat merasai pengalaman di dalam parit itu, terutama di kalangan peminat sejarah.


Sepanjang tempoh 24 jam hidup sebagai ‘tentera’, Robertshaw turut mengambil pelbagai gambar untuk dimuatkan dalam bukunya berjudul 24 Hour Trench: A Day In The Life Of A Frontline Tommy.


Mengenai tindakannya menggali parit di belakang rumahnya, Robertshaw berkata, setakat ini tiada jiran mengadu atau membuat bantahan.


Malah, katanya, sesetengah jiran turut menyediakan minuman ketika dia dan sukarelawan lain melakonkan adegan perang pada waktu malam.


Sejak memulakan binaan berkenaan musim panas lalu, Robertshaw menjual rumahnya di Surrey dan sudah berpindah. Namun, kerana bertekad ingin melihat kesan projek itu, dia mengekalkan pemilikan tanah yang menjadi tapak parit berkenaan.


Sementara itu, jiran Robertshaw, Steven Andrews, 63, berkata dia terdengar bunyi tembakan dari parit itu ketika lakonan semula dilangsungkan.


“Tanah kami terletak bersebelahan, tetapi kami tidak pernah menghadapi masalah,” katanya.


Satu-satunya kebimbangan Andrews ialah kuda peliharaannya.


“Apabila lakonan semula perang dijalankan, kuda saya mudah terkejut,” katanya.


Justeru, untuk mengelak masalah, Andrews dan Robertshaw mencapai persefahaman - tiada lakonan semula pada waktu tertentu, terutama apabila kuda berkenaan dibiarkan lepas dari kandang.


“Kadangkala kami dengar bunyi tembakan dan Robertshaw menggunakan raifal seperti zaman Perang Dunia Pertama.


“Bagaimanapun, disebabkan ia jarang berlaku, kami tidak keberatan,” katanya.

38 tahun angkat tangan

MANHANT dengan tangan kanan yang tidak pernah diturunkan.
MANHANT dengan tangan kanan yang tidak pernah diturunkan.
NEW DELHI: Seorang lelaki tidak pernah menurunkan tangan kanannya sejak 1973.
Bekas kerani, Manhant Amar Bharti Ji dikatakan mengangkat tangannya pada tahun berkenaan sebagai menghormati Tuhan Hindu, Shiva.

Manhant meninggalkan keluarganya pada 1970 selepas berhenti kerja untuk mengabdikan diri pada Shiva.

Tiga tahun kemudian, kerana merasakan masih terikat dengan gaya hidup lamanya, Manhant mengangkat sebelah tangannya sebagai tanda taat kepada Tuhannya.

Dan hari ini, selepas 38 tahun, dia masih tidak menurunkannya, Pengikutnya berkata, dia enggan menggunakan tangannya itu bagi memisahkan dirinya dengan keseronokan hidup.

Ramai mengikut jejak Manhant dengan mengangkat tangan dan tidak menurunkannya selama beberapa tahun. - Agensi

Kena 17 tahun serang Pentagon

Rezwan Ferdaus
Rezwan Ferdaus
Boston: Seorang lelaki Massachusetts dijatuhi hukuman penjara 17 tahun selepas didapati bersalah berkomplot menyerang Pentagon dan bangunan Capitol di Washington dengan bahan letupan diisi ke dalam model pesawat kawalan jauh.

Rezwan Ferdaus, yang ditahan September 2011 dan mengaku bersalah Julai lalu atas tuduhan berkaitan keganasan dalam satu perjanjian dengan pendakwa raya, memberitahu mahkamah dia memperuntukkan banyak masa menyesali perbuatannya ketika berada di penjara sementara menunggu hukuman dan menerima nasibnya.
Ferdaus, 26, ditahan selepas satu operasi serbuan FBI di mana dia meminta dan mengambil penghantaran bahan letupan. - Reuters 

Israel bunuh Abu Jihad

pix_gal0Ehud Barak, Moshe Yaalon jadi dalang

BAITULMAQDIS: Israel semalam mengaku membunuh timbalan pemimpin Palestin, Yasser Arafat, yang juga pengasas Fatah Khalil al-Wazir atau Abu Jihad (gambar), dalam serbuan pada 1988 di Tunisia.
Pengakuan itu akhirnya membongkar rahsia hampir 25 tahun dan membenarkan tanggapan mengenai operasi rahsia Zionis sebagai sebab kematian beliau. Abu Jihad yang berpengaruh dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bersama Arafat, dipersalahkan di atas siri serangan maut terhadap penduduk Israel.



'Saya tembak'

Dua dalang yang terbabit dalam operasi membunuh al-Wazir, kini menyandang jawatan politik tinggi di Israel iaitu Menteri Pertahanan, Ehud Barak dan Timbalan Perdana Menteri, Moshe Yaalon.

Ketika Barak adalah timbalan ketua tentera dan Yaalon mengetuai unit elit komando, Sayeret Matkal. Peranan mereka di dalam operasi itu tidak dihebahkan dan pejabat kedua-duanya juga enggan memberi komen.
Israel memang sudah lama disyaki membunuh al-Wazir. Namun baru sekarang badan tapisan tentera wilayah itu membenarkan akhbar Yediot Ahronot menyiarkan maklumat berkenaan, selama 12 tahun termasuk temubual dengan komando yang membunuhnya.

“Saya menembaknya dan berhati-hati supaya tidak mencederakan isterinya yang ada di situ. Beliau meninggal dunia. Abu Jihad terbabit dalam tindakan ganas ke atas penduduk awam. Saya menembaknya tanpa sebarang keraguan,” kata komando Nahum Lev kepada akhbar itu sebelum kematiannya dalam kemalangan motosikal pada 2000.

Berpuluh-puluh operasi sama dikaitkan dengan Israel sejak berdekad lalu. Namun Israel jarang mengambil tanggungjawab dan tidak memberi komen mengenai operasi itu.

Pegawai Israel tidak mengesahkan operasi itu secara terbuka. Bagaimanapun, keputusan badan tapisan membenarkan penyiaran itu bermakna Israel semakin hampir membuat pengakuan.

Identiti rahsia

Tugas utama badan itu ialah menghalang penerbitan bahan yang dianggap ancaman kepada keselamatan negara. Israel mempunyai dasar melarang penerbitan maklumat yang mendedahkan ejennya, taktik dan kaedah pengumpulan perisikan atau meletakkan nyawa orang masih hidup yang terbabit dalam sebarang operasi dalam bahaya.

Walaupun dalam kes al-Wazir ia muncul lama sebelum khabar angin dan laporan asing mendakwa berjaya mendedahkan operasi itu, bersama-sama kematian penembak, pejabat badan penapisan memutuskan untuk menggugurkan larangan penyiaran. Banyak maklumat dan identiti mereka yang terbabit masih kekal rahsia. - AP

Gempa 6.1 gegar selatan Filipina



MANILA: Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.1 melanda persisir pantai kepulauan Mindanao, selatan Filipina awal hari ini, demikian menurut ahli seismologi Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan atau kecederaan dikeluarkan setakat ini.
Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa yang berlaku pada jam 2.17 pagi (waktu tempatan), kira-kira 87 kilometer dari timur bandar Butuan dikesan pada kedalaman 38 kilometer.

USGS sebelum ini melaporkan gempa berlaku dengan magnitud 6.4, namun selepas diukur semula ia melanda dengan magnitud 6.1.

Sementara itu, Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina mencatatkan gegaran berukuran 6.5 pada skala Ritcher dan memberi amaran bahawa terdapat gegaran susulan dijangka berlaku. - AFP

Katak berjari tiga spesies baharu




KATAK kecil berjari tiga, Brachycephalus tridactylus yang ditemui di hutan simpan di selatan Brazil.


BRASILIA - Sejenis katak unik berjari tiga yang hidup di sebuah hutan simpan di selatan Brazil diiktiraf sebagai spesies baharu pada minggu ini, lebih lima tahun selepas amfibia itu ditemui oleh seorang ahli biologi, Michel Garey.
"Saya sedang melakukan kajian bersama dua orang rakan di puncak sebuah bukit di hutan itu dan ternampak seekor katak ganjil berjari tiga," kata Garey.
"Penemuan tersebut berlaku pada 14 Februari yang juga hari jadi saya, ia hadiah yang sungguh istimewa," tambahnya.
Namun, hanya pada Jun lalu barulah katak berwarna oren dengan panjang kurang daripada 1.5 sentimeter itu disahkan sebagai spesies baharu.
Dikenali dengan nama saintifik, brachycephalus tridactylus, penemuan Garey disiarkan dalam jurnal antarabangsa, Herpetologica.
Ditemui pada ketinggian lebih 900 meter, brachycephalus tridactylus unik kerana memiliki tiga jari berbanding katak biasa yang berjari empat.
Menurut Garey, perbezaan ketara itu disebabkan oleh proses evolusi dan bukannya kesan pencemaran alam sekitar.
Pakar-pakar sebelum ini menganggarkan terdapat sekitar 950 spesies amfibia hidup di seluruh Brazil dan lebih 6,700 lagi spesies berada di seluruh dunia. - Agensi

Penentang lancar serangan besar-besaran



KLIP video YouTube menunjukkan pejuang-pejuang penentang memerhatikan mayat beberapa askar Syria yang ditembak mati selepas mereka ditawan di bandar Saraqeb, Khamis lalu.


DAMSYIK - Pihak penentang di Syria menyatakan semalam bahawa mereka melancarkan serangan besar-besaran ke atas sebuah pangkalan udara utama di utara negara berkenaan.
Serangan itu dilancarkan menjelang satu rundingan penting berhubung masa depan penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad di Syria.
Kepungan ke atas pangkalan udara Taftanaz itu berlaku selepas tentera Bashar melancarkan serangan udara bertubi-tubi minggu ini bagi melemahkan kedudukan penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Pangkalan udara itu menempatkan sejumlah helikopter tempur yang digunakan tentera Syria untuk menyerang kawasan-kawasan yang dikuasai FSA.
Satu klip video di internet menyatakan, sebanyak lapan batalion FSA mengambil bahagian dalam serangan itu termasuk kumpulan Islam radikal, Barisan Al-Nusra.
Rakaman turut menunjukkan FSA menggunakan pelancar roket untuk menyerang kedudukan tentera Syria di pangkalan udara tersebut.
Semalam, pemberontak menawan kedudukan pertahanan udara di Duwila, dalam wilayah Idlib dalam pertempuran yang meragut nyawa seorang pegawai tentera dan mencederakan lapan pejuang FSA.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, FSA turut menawan beberapa kedudukan tentera Bashar di bandar Douma, dekat sini dan merampas sebuah balai polis, sebuah bangunan majlis perbandaran dan selepas membunuh 21 askar Syria.
Pertempuran terbaharu itu berlaku ketika pihak penentang Syria bersiap sedia menyertai rundingan di Qatar hari ini dengan Amerika Syarikat dijangka mendesak satu organisasi baharu diwujudkan bagi menyatukan kesemua kumpulan serpihan penentang rejim Bashar.
Sementara itu, FSA dikecam berikutan tersiarnya satu klip video di laman web YouTube yang mendakwa pejuang-pejuangnya membelasah dan menembak mati kira-kira 10 askar selepas menyerang beberapa pos kawalan tentera di bandar Saraqeb, barat daya Syria pada Khamis lalu.
Setakat ini, lebih 36,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Bashar tercetus pada Mac tahun lalu kerana menuntut hak demokrasi. - AFP

Saturday, November 3, 2012

Kerajaan arah penduduk Rakhine serah senjata



Seorang askar Myanmar berkawal di hadapan sebuah rumah yang hangus terbakar di bandar Ramee, negeri Rakhine, barat Myanmar, kelmarin. - AFP
YANGON 2 Nov. - Pihak berkuasa Myanmar semalam mengarahkan penduduk di Rakhine menyerahkan senjata api, pedang dan senjata lain kepada polis dalam tempoh tiga hari atau bakal menghadapi tindakan undang-undang.
Menurut pengumuman oleh akhbar rasmi Myanmar, Myanma Ahlin itu, beberapa kumpulan di Rakhine menggunakan pisau dan senjata api dalam pertempuran terbaru antara etnik Rakhine Buddha dan Rohingya beragama Islam baru-baru ini.
Pejabat Presiden Thein Sein kelmarin menjelaskan, sebanyak 180 senjata api buatan sendiri telah dirampas dan pembuat senjata berkenaan ditahan.
“Dalam usaha untuk menyelesaikan konflik secara aman, pihak berkuasa mengarahkan orang ramai menyerahkan senjata api, pedang dan semua jenis senjata ke balai polis berdekatan antara 31 Oktober hingga 3 November ini,’’ jelas pejabat tersebut dalam pengumuman itu.
Kerajaan Myanmar kelmarin memberitahu, pihaknya mempunyai bukti individu dan pertubuhan tertentu yang mencetuskan keganasan tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121103/lu_04/Kerajaan-arah-penduduk-Rakhine-serah-senjata#ixzz2B7qVda9e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Taufan Sandy: Penduduk Staten Island dakwa diabai



Seorang anggota bomba New York City, memantau kerosakan akibat Taufan Sandy yang turut menghanyutkan bot-bot dari tepi pantai ke kawasan perumahan di Tennyson Drive, Staten Island di New York City, kelmarin. - AGENSI
NEW YORK 2 Nov. - Penduduk di kawasan Staten Island yang terjejas teruk akibat Taufan Sandy, berang dengan pihak berkuasa yang didakwa mengabaikan mangsa dan lambat menghantar bantuan ke kawasan mereka.
Semalam sahaja, angka kematian di seluruh Amerika Syarikat (AS) meningkat tiga kali ganda iaitu sebanyak 102 orang, dengan New York mencatatkan 40 kematian dan separuh daripadanya merupakan penduduk Staten Island.
Presiden Majlis Perbandaran Staten Island, James Molinaro melahirkan rasa marahnya terhadap Palang Merah AS kerana mendakwa pasukan itu tidak menghulurkan bantuan di kawasan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121103/lu_02/Taufan-Sandy-Penduduk-Staten-Island-dakwa-diabai#ixzz2B7rNnO99
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KLIA 2 dijangka beroperasi Mei 2013



KLIA 2
KLIA 2 sedia menerima 50 peratus syarikat penerbangan tambang rendah dunia yang dijangka akan memulakan operasinya Mei 2013.
TERMINAL baru penerbangan tambang rendah (LCCT), KLIA 2 sudah bersedia menarik lebih daripada 50 peratus syarikat penerbangan tambang rendah dunia apabila memulakan operasinya kelak pada Mei 2013.

Pada masa ini, terdapat sejumlah 30 hingga 40 syarikat penerbangan tambang rendah dunia berbanding hanya lima syarikat penerbangan sejak lima tahun lalu.

Pengurus Besar Pembinaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Zaifuddin Idris berkata, pada masa ini sejumlah 12 syarikat penerbangan tambang rendah terbang dari KLIA 2 dan dua lagi syarikat penerbangan akan masuk apabila kemudahan baru itu siap sepenuhnya kelak.

“Kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah itu ialah Malindo Airways dan Firefly,” katanya sempena pemasangan akhir struktur jambatan udara KLIA 2, semalam.

Israel mengaku bunuh timbalan Yasser Arafat




3 November 2012
Abu Jihad - Yasser Arafat
Abu Jihad (kiri) juga adalah sahabat baik kepada Arafat. Foto: AP
TEL AVIV - Israel, kelmarin membuat pengakuan menjadi dalang pembunuhan Khalil al-Wazir @ Abu Jihad, timbalan kepada bekas Presiden Yasser Arafat dalam satu operasi dirancang agensi perisikan Mossad pada 1988 di Tunisia.

Pendedahan termasuk wawancara bersama komando yang bertanggungjawab menembak mati pengasas gerakan Fatah itu disiarkan oleh akhbar Yediot Aharonot selepas maklumat tersebut dirahsiakan selama 12 tahun.

Menurut akhbar itu, operasi rahsia dilancarkan di kediaman Abu Jihad yang terletak di negara Afrika Utara tersebut disertai oleh 26 anggota unit komando elit Sayeret Matkal.

Difahamkan, tindakan itu diambil kononnya selepas beliau didakwa terlibat dengan beberapa siri serangan menyasarkan golongan Yahudi termasuk mengetuai intifada pada 1987-1993 yang menentang pendudukan Israel.

Ketika insiden tersebut, pengawal peribadi dan pekebun beliau turut dilaporkan terbunuh.

Beberapa sumber menyebut Menteri Pertahanan Ehud Barak dan Timbalan Perdana Menteri Moshe Yaalon juga antara pemimpin tertinggi yang terlibat dalam operasi itu.

Maklumat yang didedahkan menjelang proses penggalian semula kubur Arafat pada akhir bulan ini dilihat akan mencetuskan semula kontroversi kerana sebelum ini Palestin pernah menuduh Israel menyebabkan kematian bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin(PLO) tersebut. - AP

Bayi bantu ibu bersih lantai

PENGELUAR menggunakan gentian mikro sebagai bahan mop pada pakaian bayi ini.
PENGELUAR menggunakan gentian mikro sebagai bahan mop pada pakaian bayi ini.
PADA harga RM120, Baby Mop ini boleh membantu ibu.
PADA harga RM120, Baby Mop ini boleh membantu ibu.
LONDON: Sebuah syarikat memperkenalkan pakaian unik yang membolehkan bayi ‘membantu’ ibu bapa mereka membersihkan rumah ketika mereka merangkak.
Syarikat itu menggabungkan baju bayi dengan pembersih lantai (mop) yang dilekatkan pada bahagian tangan dan kaki.

Dikenali sebagai Baby Mop, pakaian itu membolehkan lantai rumah digilap ketika bayi terbabit belajar merangkak. Baby Mop dijual pada harga kira-kira RM120 sepasang.

Ia adalah projek laman sesawang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), BetterThanPants.com yang diinspirasi daripada satu iklan di Jepun.

Dalam kenyataan di laman sesawang itu, syarikat terbabit secara bergurau berkata, Baby Mop akan “mendidik bayi anda mengamal etika kerja yang baik sejak kecil” ketika mereka dididik supaya tidak menyepahkan makanan di lantai.
Menurut laman sesawang BetterThanPants.com, bayi yang menggunakan Baby Mop juga “akan mendapat riadah berfaedah, membakar tenaga dan membentuk otot.” “Amalan itu akan membantu bayi mendapat tidur yang lebih baik,” kata syarikat itu.
Sementara itu, jurucakap BetterThanPants.com, Mike Parker, berkata kira-kira 100 pasang Baby Mop berjaya dijual dalam tempoh hanya sebulan sejak ia diperkenalkan di laman sesawang berkenaan.

“Setakat ini, maklum balas daripada pelanggan sangat positif walaupun ada sedikit e-mel negatif mengenai idea produk itu,” katanya. Bahagian pembersih pada tangan dan kaki Baby Mop diperbuat daripada bahan gentian mikro yang dilekatkan secara langsung. - DM

Datuk Bandar New York undang kontroversi



SEBUAH bot dan serpihan lain terdampar di atas landasan kereta api New Jersey Utara di New Jersey selepas taufan Sandy kelmarin.


NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mencetuskan kontroversi apabila mahu meneruskan acara marathon terbesar di dunia yang akan diadakan di kota metropolitan ini esok.
Ramai penduduk kota raya ini berpendapat bahawa keputusan Bloomberg tidak kena pada masanya.
Ia ekoran keputusan itu dibuat ketika pasukan penyelamat memasuki sejumlah kediaman yang ditenggelami air bah untuk mencari mangsa-mangsa terselamat selepas taufan Sandy membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).
Angka kematian akibat bencana tersebut itu di sini dan negeri New Jersey kini meningkat kepada lebih 95 orang.
"Jika mereka meneruskan marathon ini saya akan menjerit," kata seorang ahli majlis bandar raya ini, James Oddo dalam akaun Twitternya.
"Kita ada ramai orang yang hilang kediaman dan hilang harapan," tambahnya.
Bagaimanapun, dalam mempertahankan keputusannya, Bloomberg berjanji marathon itu tidak akan menggunakan sebarang sumber atau bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa taufan Sandy.
Beliau juga menjangkakan bekalan elektrik di kawasan Manhattan di sini akan dipulihkan esok.
"(Tambahan pula), terdapat banyak perniagaan kecil yang bergantung kepada acara itu. Kita perlukan aktiviti bagi menjana ekonomi," kata Bloomberg dalam satu sidang akhbar Rabu lalu.
Penganjur marathon berkenaan, kelab New York Road Runners memberitahu, acara tersebut akan menjana pendapatan berjumlah AS$340 juta (RM1.03 bilion) kepada kota raya ini.
Kelab itu mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mendermakan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) bagi membantu mangsa-mangsa taufan Sandy di sini.
Seramai 40,000 pelari dijangka mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Sementara itu, kemarahan orang ramai semakin memuncak ekoran angka kematian yang terus meningkat di samping bantuan yang lambat tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.
"Mereka (pihak berkuasa) lupakan kita," kata seorang wanita berusia 42 tahun, Theresa Connor.
Menurutnya, kawasan kejiranannya di Staten Island di sini musnah sama sekali akibat taufan Sandy.
"Bloomberg pula menyatakan kota raya New York berada dalam keadaan baik. Marathon akan diteruskan!" katanya.
Selain kelambatan bantuan, orang ramai juga berasak-asak untuk membeli petrol dengan menyebabkan harga bahan itu melambung tinggi.
Pendakwa Raya Daerah Richard Brown berkata, berlaku beberapa kejadian tidak diingini ekoran situasi tersebut dengan seorang lelaki di sini didakwa kerana mengacukan pistol terhadap seorang pemandu lain selepas lelaki itu cuba memotong barisan untuk membeli petrol.
Sebuah firma pengukur bencana, Eqecat menganggarkan Sandy menyebabkan kerugian yang diinsurans berjumlah AS$20 bilion (RM61 bilion) manakala kerugian ekonomi pula mencecah AS$50 bilion (RM152 bilion).
Taufan Sandy merupakan bencana keempat terburuk di AS di belakang Taufan Katrina pada 2005, serangan 11 September pada 2001 dan Taufan Andrew pada 1992.
- Agensi

Model dikecam bergambar di lokasi kemusnahan Sandy




GAMBAR pertindihan imej menunjukkan Gouvea menyaksikan peristiwa seorang sami Buddha membakar dirinya di Vietnam pada 1963.


NEW YORK - Seorang model terkenal Brazil diselar oleh pengguna internet kerana bergambar di beberapa lokasi yang musnah akibat taufan Sandy di sini.
Nana Gouvea, 30, yang dilaporkan pernah menghiasi majalah Playboy memuat naik beberapa keping gambar tersebut di laman Facebook.
Beberapa gambar itu menunjukkan dia bersandar pada sebatang pokok tumbang dan berdiri di atas kereta-kereta yang musnah di sini.
Gambar-gambarnya mencetuskan bantahan pengguna internet malah portal hiburan Gawker.com.mempersendakan model tersebut.
"Bencana alam memberikan peluang baik untuk keluar dan bergambar dengan menampilkan pelbagai aksi dan gaya," kata seorang pengguna internet secara sinis.
Sebuah laman Facebook yang dinamakan Nana Gouvea in Disasters turut mempersendakan model berambut hitam itu.
Laman web itu memaparkan beberapa gambar pertindihan imej yang menunjukkan imej Gouvea dalam beberapa peristiwa tragis seperti kapal Titanic karam dan perbuatan seorang sami Buddha, Thich Quang Duc yang membakar dirinya di Vietnam pada 1963. - Agensi

Polis halang 500 ekor kucing dijadikan lauk




SEBAHAGIAN daripada 500 ekor kucing yang dipintas pihak polis di bandar Xuzhou, dalam wilayah Jiangsu di China baru-baru ini.


XUZHOU - Polis di bandar ini, dalam wilayah Jiangsu, di timur China menghalang sebuah lori yang membawa 500 ekor kucing untuk dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran tempatan, lapor akhbar Telegraph semalam.
Polis mengarahkan lori terlibat supaya berhenti apabila menyedari kenderaan tersebut memiliki nombor plat luar wilayah.
Mereka kemudian menyoal pemandu lori tentang haiwan yang dibawa selepas terdengar bunyi mengiau dari bawah plastik penutup kargo tersebut.
"Arnab," jawab pemandu tersebut.
Namun, kenderaan itu sebenarnya membawa beratus-ratus ekor kucing yang diletakkan di dalam puluhan sangkar besi.
Sejak beberapa tahun lalu, permintaan daging kucing di selatan China meningkat dengan bekalan haiwan itu diperoleh dari seluruh China.
Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak sejenis hidangan tempatan istimewa yang digemari penduduk tempatan.
Undang-undang China tidak melarang rakyatnya menjual kucing kerana haiwan itu tidak dianggap sebagai harta benda milik keluarga.
Pencuri kucing biasanya memperoleh bayaran 10 yuan (RM4.90) untuk seekor kucing yang dijual kepada orang tengah.
Berikutan pemandu lori berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, pihak polis membeli kargo tersebut pada harga 3,500 yuan (RM1,723) selepas berunding selama tiga jam dengan pemandu terlibat. - Agensi