Pages

Sunday, November 4, 2012

70 maut serangan di bandar Harem



BEBERAPA penduduk Syria melihat keadaan sebuah masjid yang musnah dalam serangan udara tentera kerajaan di kampung Taftanaz, wilayah Idlib pada 1 November lalu. - AGENSI
DAMSYIK 3 Nov. - Sekurang-kurangnya 70 orang maut dalam serangan udara tentera Syria ke atas bandar Harem, utara negara ini.
Jawatankuasa Penyelaras Tempatan, iaitu rangkaian pembangkang berkata, seramai 70 orang maut dalam serangan udara semalam di bandar tersebut yang terletak di wilayah Idlib.
Seorang aktivis, Moaz al-Shami berkata, kerajaan Syria meningkatkan serangan udara ke atas Ghouta Timur, pinggir bandar Damsyik.
''Presiden, Bashar al-Assad mengambil tindakan melancarkan serangan udara selepas gagal dalam cubaan mengerahkan tentera darat merampas kembali bandar itu.
''Assad cuba merampas kembali kawalan ke atas Ghouta Timur beberapa kali, tetapi terpaksa berundur selepas pertempuran hebat dengan pemberontak. Kini beliau cuba menyerang menggunakan kekuatan udara pula,'' katanya yang dipetik oleh stesen televisyen al-Jazeera.
Media rasmi melaporkan, tentera kini menjalankan 'operasi pembersihan' di kawasan yang disifatkan sebagai milik pengganas.
Aktivis berkata, sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam serangan udara di bandar Douma.
Dalam pada itu, tentera Syria dilaporkan berundur dari pangkalan tentera terakhir berdekatan Saraqeb, wilayah Idlib selepas pertempuran sengit dengan pemberontak. - Agensi/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121104/lu_01/70-maut-serangan-di-bandar-Harem#ixzz2BDwWByY0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: