Pages

Sunday, November 4, 2012

Hayati derita perang



LENGKAP...pagar kawat berduri turut dibina.
         

LENGKAP...pagar kawat berduri turut dibina.
DIKELILINGI kawat berduri, beg pasir dan tanah, parit sepanjang 20 meter seperti pernah digunakan tentera Britain menentang musuh mereka dalam Perang Dunia Pertama hampir seabad lalu.

Binaan mencabar itu dilakukan dengan sabar oleh bekas guru sejarah, Andrew Robertshaw di belakang rumahnya di Charlwood, Surrey, England.


Turut menjayakan pelan itu ialah 30 sukarelawan, termasuk anggota Rejimen ke-23 Kor Lojistik Diraja Britain yang bertungkus-lumus selama sebulan menggali parit dengan mengalihkan 200 tan tanah.

   Foto

KERJA PEMBINAAN...30 sukarelawan membantu Robertshaw menggali parit.

Foto
MENARIK... Robertshaw menggunakan beg pasir dan tanah untuk menahan tebing parit sepanjang 20 meter.
Foto

MACAM BETUL... sukarelawan membuat lakonan semula kehidupan seharian tentera zaman Perang Dunia Pertama.

Selain parit, mereka membina tiga bilik seperti digunakan tentera Britain ketika zaman perang dulu, membabitkan dapur, bilik infantri dan pejabat pegawai.


Untuk merasai pengalaman itu, Robertshaw, 55, dan sukarelawan lain menghabiskan masa 24 jam sehari di dalam parit berkenaan.


Mereka melakonkan pelbagai aksi seperti tentera sebenar.

Kata Robertshaw, pembinaan parit itu diharap dapat memberi pendidikan kepada orang ramai mengenai kesukaran hidup tentera mereka ketika berjuang dalam perang.


Bapa kepada seorang anak, Robertshaw bertindak sebagai penasihat tentera seperti dalam filem Steven Spielberg, War Horse, manakala sukarelawan lain mengenakan pakaian seragam tentera.

Mereka menggunakan raifal untuk menembak peluru ke arah kawasan belukar ketika melakonkan aksi perang berkenaan.


Kata Robertshaw, datuknya terbabit dalam Perang Dunia Pertama dan mengalami kecederaan tiga kali.


“Saya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa perang adalah mengenai perjuangan, bukan sekadar isu hidup dan mati.


“Jika tidak berperang, beginilah mereka hidup,” katanya.


Robertshaw kini menguruskan Muzium Kor Logistik Diraja di Deepcut, Surrey.


Katanya, perasaan paling selalu dirasa sebagai ‘tentera’ itu ialah ikhtiar untuk cuba mendapatkan keselesaan sebaik mungkin ketika terkurung dalam parit.


“Dengan adanya parit ini, orang ramai akan tahu bahawa apa yang berlaku pada zaman itu mempunyai kaitan secara langsung dengan dunia hari ini,” katanya.


Bersama sukarelawan itu, Robertshaw menulis pengalaman menjadi tentera dalam diari sepanjang tempoh 24 mereka berkurung dalam parit berkenaan.


“Ia adalah untuk pembelajaran,” katanya.


Antara yang dicatat, pengalaman mereka memasak, makan dan membersihkan diri dalam parit.


Kata Robertshaw, sebagai bekas guru, dia mahu orang ramai tahu lebih banyak mengenai sejarah dan sedar bahawa Perang Dunia Pertama membawa makna besar dalam perkembangan dunia.


Robertshaw juga dalam proses menyiapkan video mengenai pengalaman Perang Dunia Pertama untuk digunakan di sekolah.


Antara lain, video itu akan memaparkan apa yang ada di parit berkenaan serta sebahagian daripada lakonan semula perang.


Tidak cukup dengan itu, Robertshaw berharap dia dapat membina satu laman sesawang bagi membolehkan pelajar meneroka parit berkenaan secara maya.


Kata Robertshaw, laman sesawang membolehkan generasi muda melihat secara lebih dekat dan jelas bagaimana sejarah tercipta puluhan tahun lalu.


“Pembelajaran melalui maya boleh digunakan di sekolah kerana ia lebih realistik berbanding hanya melihat gambar hitam putih seperti sebelum ini,” katanya.


Dia juga membuka peluang kepada sesiapa yang berminat merasai pengalaman di dalam parit itu, terutama di kalangan peminat sejarah.


Sepanjang tempoh 24 jam hidup sebagai ‘tentera’, Robertshaw turut mengambil pelbagai gambar untuk dimuatkan dalam bukunya berjudul 24 Hour Trench: A Day In The Life Of A Frontline Tommy.


Mengenai tindakannya menggali parit di belakang rumahnya, Robertshaw berkata, setakat ini tiada jiran mengadu atau membuat bantahan.


Malah, katanya, sesetengah jiran turut menyediakan minuman ketika dia dan sukarelawan lain melakonkan adegan perang pada waktu malam.


Sejak memulakan binaan berkenaan musim panas lalu, Robertshaw menjual rumahnya di Surrey dan sudah berpindah. Namun, kerana bertekad ingin melihat kesan projek itu, dia mengekalkan pemilikan tanah yang menjadi tapak parit berkenaan.


Sementara itu, jiran Robertshaw, Steven Andrews, 63, berkata dia terdengar bunyi tembakan dari parit itu ketika lakonan semula dilangsungkan.


“Tanah kami terletak bersebelahan, tetapi kami tidak pernah menghadapi masalah,” katanya.


Satu-satunya kebimbangan Andrews ialah kuda peliharaannya.


“Apabila lakonan semula perang dijalankan, kuda saya mudah terkejut,” katanya.


Justeru, untuk mengelak masalah, Andrews dan Robertshaw mencapai persefahaman - tiada lakonan semula pada waktu tertentu, terutama apabila kuda berkenaan dibiarkan lepas dari kandang.


“Kadangkala kami dengar bunyi tembakan dan Robertshaw menggunakan raifal seperti zaman Perang Dunia Pertama.


“Bagaimanapun, disebabkan ia jarang berlaku, kami tidak keberatan,” katanya.

No comments: