Pages

Sunday, November 4, 2012

Polis tembak mati suspek militan



Dua anggota polis anti-pengganas Indonesia, Densus 88, mengacukan rifel ketika melakukan serbuan terhadap rumah suspek pengganas, Abdul Halid Tumbingoa di Poso, semalam. - AFP
POSO, Sulawesi 3 Nov. - Polis Indonesia menembak mati seorang suspek anggota militan dan merampas sejumlah bom dalam satu serbuan di sini hari ini.
Jurucakap Polis Persekutuan, Boy Rafli Amar berkata, serbuan ke atas rumah tersebut dilakukan oleh polis tempatan dan unit anti keganasan di Kampung Kayamaya di sini selepas waktu subuh.
''Suspek yang dikenali sebagai Abdul Halid Tumbingoa, 24, terbunuh dalam serbuan itu dan seorang lagi ditangkap dan dibawa ke ibu pejabat polis di bandar Palu.
''Suspek berkenaan melemparkan bahan letupan ke arah polis ketika serbuan dibuat menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan balas,'' katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas beberapa butir bom yang siap dipasang dan beberapa bahan letupan dari rumah tersebut.
Sementara itu, saksi yang enggan dikenali berkata, lelaki-lelaki tersebut ditembak di luar sebuah sekolah ketika mereka cuba melarikan diri dari rumah tersebut.
Jurugambar AFP turut menyaksikan kesan darah di padang sekolah berkenaan selepas kejadian tersebut.
Serbuan tersebut dilancarkan selepas seorang suspek anggota militan dibunuh, dua lagi ditangkap dan sejumlah bahan letupan dirampas dalam serbuan di Poso, empat hari lalu.
Pada bulan lalu, dua anggota polis ditemukan mati di Poso selepas hilang ketika menyiasat terdapat kem militan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Jemaah Ansharut Tauhid (JAT). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121104/lu_02/Polis-tembak-mati-suspek-militan#ixzz2BDwf9XU8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: