Pages

Thursday, May 3, 2012

Pengganas bawa bom dalam badan

Berita Harian Online | Pengganas bawa bom dalam badan:

WELLINGTON: Amerika Syarikat sedang memantau kemungkinan beberapa kumpulan pengganas merancang untuk menjatuhkan pesawat dengan memasukkan bahan letupan dalam tubuh manusia, kata ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Janet Napolitano, semalam. 

Ketika menekankan bahawa belum ada bukti ditemui mengenai ancaman terbaru itu yang juga dipanggil ‘bom tubuh’, beliau juga berkata, ada kemungkinan ia antara strategi serangan pada masa depan yang perlu diselesaikan anggota keselamatan.
Beliau merujuk kepada kes warga Nigeria dikenali pengebom seluar dalam, Umar Farouk Abdulmutallab yang cuba meletupkan sebuah pesawat pada 2009 dengan menyembunyikan bahan letupan dalam seluar sebagai satu contoh inovasi yang dibuat militan.
“Adalah wajar untuk mengatakan musuh menggunakan beberapa cara untuk membawa bahan letupan dalam pesawat seperti yang dilakukan pengebom seluar dalam,” katanya kepada pemberita di sini. 

“Satu lagi cara ialah dengan memasukkan bahan letupan dalam badan. 

“Adakah kami ada bukti kukuh yang khusus terhadap ancaman seperti itu? Saya katakan tidak. Apa yang penting ialah kita semua sentiasa memikirkan bentuk ancaman akan datang sebagai orang yang sering ke luar negara dan amat sensitif terhadap segala ancaman.” 

Napolitano berada di Wellington untuk menandatangani satu perjanjian perkongsian maklumat bersama New Zealand. 
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara khusus langkah yang diambil untuk memantau ancaman bom seperti itu. 

“Kita selalu buat perubahan, sebahagiannya mengenai membuat jangkaan perkara yang sukar dijangkakan. 

“Kita tidak mahu musuh mampu buat jangkaan langkah yang mungkin mereka hadapi di mana-mana lapangan terbang, pada bila-bila masa,” katanya. 

Abdulmutallab berjaya menyeludup lebih 76 gram bahan letupan Pentaerythritol tetranitrate (PETN) ke sebuah pesawat Northwest Airlines ke Detroit dari Amsterdam pada Krismas 2009.– AFP

Tunjuk perasaan Hari Pekerja di seluruh AS

Berita Harian Online | Tunjuk perasaan Hari Pekerja di seluruh AS:

NEW YORK: Berpuluh-puluh penunjuk perasaan ditahan dalam bantahan sempena Hari Pekerja yang diadakan di seluruh Amerika Syarikat, termasuk lebih 40 di bandar raya New York ketika beberapa pertempuran meletus dengan polis yang memaksa anggota keselamatan menyembur lada. 

Penunjuk perasaan Occupy Wall Street memecahkan tingkap di Seattle, dikejar di jalan raya di New York oleh polis yang menaiki skuter dan bertempur dengan pegawai di Oakland yang bertujuan menghidupkan semula pergerakan menentang ketidakadilan ekonomi.
Di Oakland, polis pencegah rusuhan menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling objek ke arah pegawai dan merempuh mereka dengan perisai besi ketika pergaduhan meletus pada tengah hari.
Pegawai berkata, penunjuk perasaan merosakkan dua bank, sebuah van polis dan kenderaan akhbar. 

“Saya berdiri di luar dan polis masuk ke dalam, menangkap dua orang di tengah orang ramai, memukul dan meletakkan mereka dalam kenderaan polis,” kata penganjur Occupy Oakland, Caitlin Manning. 

Lebih 12 orang ditahan di Oakland. Kebanyakan insiden ganas dan vandalisme dilakukan ketika anggota Occupy Wall Street bergaduh dengan polis, mencemarkan apa yang bermula sebagai pergerakan bantahan secara aman. 

Namun, pertempuran yang mereka cetus tahun lalu turut menyuntik nafas baru kepada perhimpunan tunjuk perasaan ketika penunjuk perasaan membangkitkan isu kekejaman polis berikutan pertempuran di Oakland dan kejadian semburan lada di merata tempat di negara itu. 
Di Seattle, penunjuk perasaan mengibarkan bendera hitam memecahkan tingkap beberapa kedai termasuk cawangan Nike Town dan bank HSBC sebelum polis mengusir mereka. 

Penunjuk perasaan yang lain memecahkan tingkap bangunan persekutuan Seattle menyebabkan lapan ditahan. 

Diilhamkan daripada kebangkitan di dunia Arab, pergerakan Occupy Wall Street menarik perhatian dunia tahun lalu dengan melancarkan kempen merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin serta sistem politik dan penstrukturan cukai ke atas penduduk kaya. 

Di New York, lokasi bermulanya gerakan itu mulai September lalu, beribu-ribu penunjuk perasaan memenuhi Dataran Kesatuan dalam keadaan meriah dengan kehadiran pemain gitar Rage Againts the Machine, Tom Morello. 

“Ini pastinya permulaan semula bagi Occupy Wall Street,” kata Lily Schwarzbaum, 21, dari New York yang belajar di Montreal, Kanada. 

Lewat kelmarin, kira-kira 400 orang – kebanyakannya memakai baju hitam dan lilit kepala – berlari ke arah Broadway apabila polis mengejar mereka dengan skuter. 

Polis juga melaporkan 10 kes serbuk putih yang tidak membahayakan – bertujuan menimbulkan ketakutan berhubung antraks – dihantar kepada institusi kewangan dan beberapa yang lain dengan nota berbunyi: “Selamat Hari Pekerja. Ini untuk mengingatkan bahawa bukan kamu yang mengawal keadaan.” – Reuters

Taliban isytihar perang bermula

Berita Harian Online | Taliban isytihar perang bermula:

ANGGOTA polis Afghanistan berkawal dekat mayat seorang penyerang bunuh diri di Kabul, semalam
ANGGOTA polis Afghanistan berkawal dekat mayat seorang penyerang bunuh diri di Kabul, semalam
KABUL: Pergerakan Taliban mengisytiharkan pelancaran perang di seluruh Afghanistan mulai hari ini selepas menyerang kawasan yang menempatkan warga asing di ibu kota Kabul menyebabkan tujuh orang terbunuh, semalam. 

Serangan itu dilakukan beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melakukan lawatan mengejut dan menandatangani perjanjian mengawal kehadiran Amerika Syarikat selepas pengunduran tentera asing.
Pelancaran kempen perang itu disasarkan ke atas ‘penjajah asing, penasihat, kontraktor dan sesiapa juga yang membantu mereka dari segi ketenteraan dan perisikan mulai 3 Mei di seluruh Afghanistan,’ kata militan itu.
Taliban berkata, serangan yang dilakukan semalam adalah reaksi kepada lawatan Obama, yang kebetulan ketika ulang tahun pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, di Pakistan. 

Ia adalah serangan kedua terbesar di Kabul dalam masa tidak sampai tiga minggu dan menunjukkan kemampuan berterusan Taliban menyerang Kabul yang dikawal ketat walaupun ketika kawalan keselamatan dipertingkatkan kerana kehadiran Obama. 

Presiden Amerika itu tiba di Pangkalan Udara Bagram lewat kelmarin, pergi ke Kabul dengan helikopter untuk bertemu dengan Presiden Hamid Karzai untuk menandatangani perjanjian. 

Kemudian, di pangkalan itu, beliau dikerumuni askar Amerika dan bermesra dengan semua anggotanya. Obama menamatkan lawatan singkat itu dengan ucapan secara langsung. 
Keganasan bermula sekitar jam 6.00 pagi di timur Kabul dengan beberapa letupan dan tembakan kedengaran dari kawasan yang dikawal ketat, dikenali sebagai Kampung Hijau yang menempatkan beratus-ratus kontraktor antarabangsa. 

Tembakan dan letupan menggegarkan bandar raya itu beberapa jam ketika militan yang menyerbu ke kawasan itu menentang pasukan keselamatan, kata pegawai. 

Seorang saksi berkata, penyerang menyamar dengan memakai burqa – pakaian jubah menutup keseluruhan tubuh yang dipakai wanita Afghanistan. 

“Sebuah kenderaan berhenti dan enam orang yang memakai burqa memasuki kawasan itu membawa beg hitam. Selepas mereka memasuki kawasan itu, letupan berlaku,” kata Abdul Manan. 

Sekurang-kurangnya tujuh orang maut, menurut Kementerian Dalam Negeri. Ia juga berkata, 17 lagi cedera, kebanyakannya kanak-kanak yang dalam perjalanan ke sekolah. 

Keadaan kembali tenang pada 10 pagi waktu tempatan dan pasukan Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO) berkata semua penyerang terbunuh. Pagar di pintu masuk Kampung Hijau musnah, dengan bangkai kereta penyerang bunuh diri berada di depan. 

Jalan menuju ke kawasan itu dikotori dengan kasut, buku, bekalan sekolah dan kad pengenalan dipenuhi darah seorang penuntut dari sekolah berhampiran. 

Bom kereta meletup berhampiran jalan Jalalabad - salah satu jalan raya utama keluar dari bandar raya itu – adalah antara letupan pertama, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Sediq Sediqi. 

“Sebuah kenderaan dipandu laju terperangkap dalam letupan dan empat yang berada di dalamnya maut, kata Sediqi. Seorang orang awam dan pengawal keselamatan warga Nepal juga terbunuh,” kata Timbalan Ketua Polis Kabul, Daoud Amin. 

Seorang lelaki yang melihat letupan itu berkata pejalan kaki yang mati adalah salah seorang rakan sekelasnya. 

“Saya sedang berjalan ke sekolah apabila melihat letupan besar. Sebuah kereta meletup dan api menjulang tinggi. – AFP

7 terbunuh dalam serangan Taliban

myMetro | 7 terbunuh dalam serangan Taliban:

KABUL: Pejuang Taliban menyerang perkarangan yang menempatkan warga asing di ibu negara Afghanistan ini semalam, membunuh tujuh orang.
Kejadian berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melakukan lawatan mengejut ke negara itu dan menandatangani perjanjian mengenai kehadiran Amerika selepas pengunduran tenteranya.

Taliban berkata, serangan itu adalah tindak balas terhadap lawatan Obama yang secara kebetulan berlaku pada ulang tahun pertama pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di Pakistan, tahun lalu.
Ia adalah serangan besar-besaran kedua di Kabul dalam masa kurang tiga minggu dan membuktikan keupayaan berterusan Taliban untuk melancarkan serangan terhadap Kabul walaupun ketika keselamatan dipertingkatkan bagi acara berprofil tinggi.

Obama tiba di Pangkalan Udara Bagram lewat kelmarin, kemudian berlepas ke Kabul dengan helikopter untuk berunding dengan Presiden Hamid Karzai sebelum menandantangani perjanjian itu. Keganasan semalam bermula sekitar jam 6 pagi waktu tempatan di timur Kabul dengan beberapa siri letupan dan tembakan dari perkarangan yang dikenali sebagai ‘Kampung Hijau.’ Ratusan kontraktor antarabangsa tinggal di perkarangan yang dikawal ketat itu.

Tembakan dan letupan menggegarkan Kabul selama beberapa jam ketika penjuang Taliban yang menyerbu perkarangan berkenaan bertempur dengan pasukan keselamatan, menurut seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan.
Saksi berkata, penyerang memakai burqa, pakaian yang biasa dipakai oleh wanita konservatif Afghanistan.

“Sebuah kenderaan berhenti di sini dan enam orang berpakaian burqa memasuki lorong itu sambil membawa beg hitam. “Letupan berlaku ketika mereka memasuki lorong berkenaan,” kata Abdul Manan. - AFP

Obama perketat sekatan terhadap Syria, Iran

myMetro | Obama perketat sekatan terhadap Syria, Iran: "WASHINGTON: Presiden Barack Obama semalam memberi kebenaran kepada Perbendaharaan Amerika Syarikat untuk bertindak terhadap syarikat, bank dan individu asing yang melanggar arahan sekatan terhadap Syria dan Iran.

Langkah itu yang terkandung dalam arahan eksekutif, akan membenarkan Perbendaharaan mengenal pasti secara terbuka mereka yang terbabit dalam ‘aktiviti mengelak dan mengelirukan’ serta menyekat mereka daripada akses ke sektor kewangan dan ekonomi Amerika Syarikat.


“Langkah itu akan memberi kesan serius terhadap warga asing yang cuba mengelak sekatan yang kita kuatkuasakan dan menjejaskan usaha antarabangsa bagi mengenakan tekanan terhadap kerajaan Iran dan Syria,” kata Setiausaha Rendah Amerika Syarikat Untuk Keganasan Dan Perisikan Kewangan, David Cohen.

Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata, sebelum langkah itu, pihak Perbendaharaan mempunyai kuasa terhad untuk bertindak terhadap warga asing yang tidak mempunyai kepentingan ketara di Amerika Syarikat. - Reuters"

'via Blog this'

Palestin balas dendam jika tahanan mati

myMetro | Palestin balas dendam jika tahanan mati: "NABLUS: Menteri Tahanan Palestin, Issa Qaraqaa semalam memberi amaran, tindak balas besar-besaran akan dilakukan sekiranya ada tahanan yang menyertai mogok lapar di penjara Israel meninggal dunia.

“Kami tidak akan menerima rakyat Palestin yang dalam tahanan penjajah pulang dalam keranda,” kata Issa kepada 3,000 orang yang menunjuk perasaan menyokong tahanan di Nablus, Tebing Barat.


“Jika ada sesuatu berlaku kepada mana-mana tahanan, tindak balas bukan hanya berlaku di dalam penjara itu, tetapi akan merebak hingga ke luar,” katanya.

Pada perhimpunan di Gaza, pemimpin Jihad Islam tempatan, Khaled al-Batsh memberi amaran mengenai kemungkinan tindak balas terhadap penceroboh Yahudi di Tebing Barat jika ada tahanan Palestin mati. “Keselamatan penduduk Yahudi di tanah yang mereka ceroboh terletak di tangan perkhidmatan penjara Israel,” katanya. - AFP"

'via Blog this'

Israel berang produk pertanian dipulau

myMetro | Israel berang produk pertanian dipulau: "LONDON: Tindakan syarikat peruncit makanan kelima terbesar Britain memulaukan produk dari wilayah yang diduduki rejim Zionis Israel mencetuskan kemarahan di Tel Aviv yang mendakwa pengharaman itu memberi kesan buruk pada semua produk Israel.

Cooperative Group, satu daripada peruncit terbesar di Eropah, Ahad lalu mengumumkan ia tidak lagi terbabit dengan mana-mana pembekal produk dari penempatan Yahudi di Palestin.


Jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor berkata: “Mereka mendakwa mensasarkan produk dari kawasan penempatatan. Tetapi, hakikatnya mereka mensasarkan semua produk yang dikeluarkan Israel.” Aktivis pro-Palestin mengalu-alukan langkah itu. Menurut mereka, eksport produk pertanian Israel adalah hasil daripada penjajahan terhadap bumi Palestin yang juga menggunakan air yang dicuri daripada mereka. - Agensi"

'via Blog this'

Lelaki ais tidak mati selepas dipanah

Kosmo! Online - Dunia:



MAYAT Oetzi yang dirakamkan pada 28 Februari 2011. - AFP


PARIS - Beberapa saintis yang membuat kajian terhadap mayat seorang lelaki ais berusia 5,300 tahun yang ditemui di utara Itali mendapati dia tidak mati sejurus selepas belakang badannya ditusuk sebilah anak panah.
Kumpulan saintis itu membuat kesimpulan itu setelah mereka menggunakan teknologi forensik untuk menganalisis darah beku lelaki tersebut.
Mereka berkata, lelaki tersebut yang diberi nama Oetzi tidak mati akibat luka terkena panah seperti dinyatakan dalam satu teori berhubung kematiannya.
Penemuan baharu tersebut dilaporkan dalam penerbitan Journal of the Royal Society Interface yang disiarkan kelmarin.
Sepasukan saintis diketuai oleh Albert Zink dari Universiti Ludwig Maximilian di Munich, selatan Jerman telah menggunakan kaedah berskala nano bagi mengkaji darah Oetzi yang diawet selama beberapa ribu tahun dalam cuaca sejuk beku di Banjaran Alps.
Menggunakan mikroskop atom yang berupaya melihat imej bersaiz beberapa nanometer, mereka menemui sejumlah sel darah merah yang sihat termasuk hemoglobin dan fibrin pada luka di belakang Oetzi.
Hemoglobin dan fibrin merupakan komponen utama dalam darah beku.
"Ekoran terdapat fibrin dalam luka baharu sebelum ia lupus, teori yang menyatakan Oetzi mati sejurus selepas dipanah dan bukan beberapa hari selepas kejadian itu, kini tidak lagi boleh diterima," kata Zink.
Mayat Oetzi ditemui oleh dua pendaki Jerman pada September 1991 di kawasan Alps Oetztal di Tyrol Selatan, utara Itali pada ketinggian 3,210 meter dari aras laut.
Kajian menunjukkan Oetzi yang setinggi 1.6 meter dan berat 50 kilogram itu mati ketika berusia sekitar 45 tahun. - AFP

Motosikal Harley-Davidson hanyut sejauh 6,400km

Kosmo! Online - Dunia:



SEBUAH motosikal Harley-Davidson terdampar di sebuah pantai di Pulau Graham, Kanada yang ditemui Peter Mark pada 18 April lalu.- AGENSI


TOKYO - Media Jepun melaporkan sebuah motosikal Harley-Davidson yang hilang semasa tsunami melanda di timur laut Jepun pada 11 Mac tahun lalu telah ditemui di Pulau Graham, Kanada pada 18 April lalu selepas dihanyutkan sejauh 6,400 kilometer (km).
Motosikal itu ditemui seorang lelaki, Peter Mark dalam sebuah kontena putih tempat ia disimpan oleh pemiliknya, Ikuo Yokoyama.
Stesen televisyen Jepun, Fuji TV melaporkan semalam bahawa pemilik motosikal berkenaan dikesan melalui nombor plat kenderaan tersebut.
"Tidak syak lagi, ia motosikal saya. Ia satu keajaiban," kata Yokoyama kepada stesen televisyen Nippon TV apabila dia melihat gambar motosikal tersebut.
Yokoyama kehilangan tiga anggota keluarganya dalam tragedi tsunami itu.
Dia kini menetap di sebuah kawasan perumahan sementara untuk mangsa-mangsa tsunami yang terselamat di wilayah Miyagi.
Mark menyatakan, dia sukar untuk mempercayai bahawa motosikal itu akan dihanyutkan merentasi Lautan Pasifik. - AGENSI

Peralatan ke Marikh diuji dalam gua

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG ahli fizik, Daniel Schildhammer memakai pakaian angkasa lepas di dalam sebuah gua di Gunung Dachstein dekat Obertraun, Austria pada 28 April lalu.- REUTERS


OBERTRAUN, Austria - Sekumpulan saintis telah menguji beberapa teknologi terbaharu yang akan digunakan dalam misi ke planet Marikh.
Ujian selama 11 hari yang bermula pada 28 April lalu itu dianjurkan Forum Angkasa Lepas Austria.
Ia melibatkan ujian sut angkasa lepas, kamera tiga dimensi, radar, kenderaan penjelajah dan sistem komunikasi serta kit pensterilan.
Ujian tersebut dilakukan dalam sebuah gua di Gunung Dachstein dekat sini dan melibatkan saintis dari 11 buah negara. - REUTERS

Jet MiG digelar 'keranda terbang'

Kosmo! Online - Dunia:




GAMBAR fail menunjukkan jet MiG-21 berlepas dari sebuah pangkalan Tentera Udara India di Kalikunda, India pada 29 September 2011. - AFP


NEW DELHI - Koleksi jet pejuang MiG buatan bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) dilaporkan tidak popular dalam kalangan juruterbang Tentera Udara India sehingga ia digelar 'keranda terbang' oleh mereka.
Gelaran memalukan itu dibuat ekoran banyak kemalangan melibatkan jet MiG berlaku sejak beberapa dekad lalu.
Menteri Pertahanan, A.K. Antony berkata, terdapat 482 nahas udara melibatkan pelbagai jenis MiG sejak 30 tahun lalu.
"Sepanjang tempoh tersebut, seramai 171 juruterbang, 39 orang awam, seorang kakitangan perkhidmatan dan seorang kru udara telah kehilangan nyawa," kata Antony kepada Parlimen India semalam.
Menurutnya, India memiliki 873 buah pesawat MiG pelbagai jenis yang masih beroperasi.
Pengunaan pesawat MiG oleh India bermula pada tahun 1966 dengan pembelian jet pemintas MiG-21 dan jet berkelajuan tinggi MiG-25.
Tentera udara India turut menggunakan jet serangan darat MiG-27 diikuti generasi keempat jet pejuang MiG-29.
Pakar-pakar menyatakan, majoriti nahas yang berlaku melibatkan jet MiG-21.
Lebih 50 buah negara menggunakan jet itu sejak ia dibangunkan oleh USSR dalam tahun 1950-an.
Kemalangan melibatkan MiG-21 yang kerap berlaku turut menjadi inspirasi untuk penerbitan filem Bollywood, Rang De Basanti pada 2006.
Pada tahun 2003, saudara mara seorang juruterbang MiG-21 yang terbunuh berkempen supaya pihak tentera tidak lagi menggunakan pesawat lama berkenaan.
Pemerintah India merancang menggantikan jet MiG dengan 123 buah pesawat tempur moden dalam urus niaga bernilai AS$12 bilion (RM36.37 bilion).
Firma Perancis, Dassault Aviation memperoleh hak rundingan untuk menjual pesawat Rafale kepada India pada Januari lalu. - AFP

Taliban beri amaran

Kosmo! Online - Dunia:



BEBERAPA penduduk menolak sebuah kereta yang remuk akibat satu serangan Taliban di Kabul semalam.- AGENSI


KABUL, Afghanistan – Kumpulan Taliban memberi amaran akan melancarkan “serangan musim bunga” di Afghanistan bermula hari ini.
Pengumuman semalam itu dibuat beberapa jam selepas satu serangan nekad dilancarkan ke atas pekarangan kompleks perumahan warga asing di ibu kota Afghanistan di sini yang meragut nyawa tujuh orang.
Serangan berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama membuat lawatan mengejut ke lokasi berkenaan.
Serangan Taliban berlaku pada setiap tahun selepas salji musim sejuk cair yang memudahkan mereka bergerak dan menyerang musuh.
Musim bunga menyaksikan peningkatan mendadak serangan militan di seluruh Afghanistan berikutan usaha Taliban untuk menguasai semula wilayah yang dikuasai tentera pemerintah. – AGENSI

Wednesday, May 2, 2012

Ketam gergasi


Rabu, 2 Mei 2012

Ketam gergasi

Seekor ketam gergasi Tasmania yang ditangkap nelayan Australia pada bulan lalu sepatutnya dimasak, namun takdir menyebelahinya apabila sebuah akuarium di sini bertindak membelinya pada harga 3,000 pound (RM14,723).

Selepas 29 jam diterbangkan dari Australia ke London dan dikuarantin selama dua minggu, ketam gergasi diberi nama Claude itu telah bersedia untuk dipamerkan kepada orang ramai di London.

Claude menjadi ketam terbesar yang pernah dipamerkan di United Kingdom dengan berat 6.8 kilogram dan cangkerangnya setebal 38 sentimeter, cukup untuk membuat sebanyak 160 kek ketam.

Ia mempunyai saiz yang agak besar iaitu menyamai 100 ekor ketam biasa di Britain dan beratnya ketika ini mampu bertambah sekali ganda kerana umurnya yang masih 'remaja'.

Claude ditangkap di perairan pantai Tasmania pada bulan lalu dan dijual kepada kumpulan Sea Life bersama dua ekor lagi ketam gergasi Tasmania.

Ia akan dipamerkan di pusat Sea Life di Weymouth, Dorset pada Khamis ini, manakala dua lagi ketam tersebut akan ditempatkan di Birmingham dan Berlin tertakluk kepada tindak balas Claude di 'rumah' barunya itu.

Buat masa ini, Claude ditempatkan di sebuah tangki berbentuk silinder yang mempunyai ketinggian tiga meter dan lebar, 1.8 meter.

Dalam habitat asalnya, ketam hanya makan benda-benda mati, namun Claude kini diberi makan ikan tenggiri yang dipotong dadu serta sotong dan dia dilaporkan gembira dengan diet barunya itu. - AGENSI

Zakar menegang, lelaki saman BMW

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



SAN FRANCISCO 1 Mei - Seorang lelaki memfailkan saman terhadap dua buah syarikat berikutan pengalaman ngeri yang dilaluinya apabila alat sulitnya menegang selama dua tahun selepas menunggang sebuah motosikal berkuasa besar.
Henry Wolf yang menetap di sini, mengemukakan saman tersebut terhadap syarikat pengeluar motosikal, BMW dan juga Corbin-Pacific Inc., yang bertanggungjawab membuat tempat duduk kenderaan itu di Mahkamah Agung San Francisco, minggu lalu.
Dalam saman tersebut, Wolf mendakwa pada mulanya dia sangat gembira dapat menunggang motosikal BMW 1993 yang dilengkapi tempat duduk Corbin-Pasific, dalam tunggangan selama dua jam tanpa henti.
Namun, secara tiba-tiba selepas itu, alat sulitnya mengalami ketegangan sepanjang masa yang didakwanya berpunca daripada rekaan tempat duduk berbonggol dan kegagalan pembuatan serta pemasangan oleh defendan.
Peristiwa tersebut menurutnya berlaku pada 1 Mei 2010 dan sejak itu, keadaannya berterusan sehingga sekarang.
Wolf turut menyatakan bahawa aktiviti hariannya terjejas termasuk tidak dapat melakukan hubungan seks, yang menyebabkan dia mengalami tekanan emosi dan mental yang teruk.
Sementara itu, sebuah blog automotif, Rushlane melaporkan, kejadian seperti itu bukan yang pertama pernah berlaku.
Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, ia dilihat mempunyai kaitan langsung antara rekaan tempat duduk motosikal dan masalah berkaitan seperti kesuburan dan mati pucuk.
Menurut blog tersebut, getaran yang berterusan sepanjang tunggangan ditambah keadaan tempat duduk, dikatakan menjadi punca masalah tersebut berlaku. - AGENSI

40 lagi terkorban di Syria

Utusan Malaysia Online - Luar Negara: "

BEIRUT 2 Mei - Sekurang-kurangnya 48 terkorban di Syria hari ini, selepas beberapa jam Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki Moon mengulangi seruan supaya menghormati gencatan senjata yang berkuat kuasa di negara ini, bulan lepas.

Di wilayah timur Deir al- Zour, 12 tentera President Bashar al-Assad terkorban, lapor pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.

Sementara itu, seorang orang awam terbunuh dalam kejadian pergaduhan di kawasan Bousayra, di mana askar-askar membalas peluru berpandu dan tembakan mesingan berat."

'via Blog this'

AS tempatkan jet F-22 di UAE

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


Gambar fail bertarikh 1 Mac 2011 merakamkan jet pejuang F-22 Raptors yang ditempatkan di UAE ekoran peningkatan ketegangan antara Iran dan negara jiran pro-AS itu. - AFP
WASHINGTON 1 Mei - Amerika Syarikat (AS) menempatkan jet pejuang canggihnya, F-22 Raptors di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ekoran peningkatan ketegangan antara Iran dan negara jiran pro-AS itu.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali itu, bagaimanapun tidak menyatakan jumlah jet pejuang itu yang dihantar ke pangkalan udara al-Dhafra, UAE.
Sementara itu, seorang jurucakap Tentera Udara AS mengesahkan sejumlah jet pejuang F-22, jet paling canggih AS, ditempatkan di rantau itu, tetapi tidak menyebut mana-mana pangkalan atau mengenai Iran.
"Tentera Udara AS telah menempatkan jet pejuang F-22 di barat daya Asia bagi memperkuatkan hubungan ketenteraan, mempromosi keselamatan serantau, memperbaiki operasi gabungan taktikal udara dan meningkatkan pertahanan dan peralatan tentera," kata Mejar Mary Danner-Jones.
Jurucakap Pentagon, Kapten John Kirby memberitahu wartawan bahawa tindakan itu adalah 'penempatan biasa' dalam membuat perubahan terhadap tentera AS di rantau itu ekoran pengunduran tentera Amerika dari Iraq.
Pertikaian wilayah antara Iran dan UAE ke atas tiga pulau di Teluk memuncak sejak akhir-akhir ini dengan Washington menyuarakan sokongannya kepada pendirian Abu Dhabi.
Selain pertikaian wilayah, ketegangan mengenai program nuklear Iran turut memuncak di mana AS, Eropah dan Israel mendakwa Teheran membangunkan senjata nuklear. - AFP

‘Perlu hormat al-Quran’

‘Perlu hormat al-Quran’ - Global - Sinar Harian:


Paderi Terry Jones
Paderi Terry Jones
GAINESVILLE - Paderi Terry Jones yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi kerana sikap biadabnya, sekali lagi bertindak kurang ajar membakar al-Quran dan gambar yang didakwa sebagai Nabi Muhammad SAW kononnya tanda protes atas tindakan Iran memenjarakan seorang lelaki murtad, Youcef Nadarkhani.

Akhbar The Sun Gainesville, kelmarin melaporkan, protes yang dihadiri hanya kira-kira 20 orang itu turut disiarkan secara langsung menerusi Internet dan rakaman videonya telah dimuat naik ke dalam laman video, YouTube.

Dalam satu kenyataan, seorang tenaga pengajar di universiti swasta di Kabul, Jamshed Hashimi berkata, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) perlu mengambil tindakan tegas terhadap Jones kerana ia sememangnya menyinggung perasaan orang Islam.

“Jika tidak, kumpulan militan pasti akan mengambil peluang untuk ‘menghukumnya’. Islam tidak membenarkan umatnya menghina agama lain, jadi penganut Kristian terutamanya dia sebagai seorang paderi juga perlu menunjukkan rasa hormat terhadap al-Quran,” jelasnya.

Difahamkan, paderi Nadarkhani, 34, ditahan pada Oktober 2009 dan dijatuhi hukuman mati kerana murtad semasa berumur 19 tahun tetapi dibicarakan semula pada akhir September 2011, namun keputusannya tidak dihebahkan kepada umum.

Pada Mac 2011, tindakan pembantu Jones membakar al-Quran telah mencetuskan keganasan di utara Afghanistan sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 12 terkorban.

27 kepala paip besi Masjid Al Faqeh dikebas

27 kepala paip besi Masjid Al Faqeh dikebas - Terengganu - Sinar Harian:


27 kepala paip besi Masjid Al Faqeh dikebas
Nodin menunjukkan deretan kepala paip yang hilang akibat dicuri di bilik wuduk lelaki di Masjid Al-Faqeh, Jertih

BALIK BUKIT – Selepas kabel telefon di daerah ini habis dikebas pencuri, kini kepala paip besi tahan karat dan tembaga di masjid daerah ini pula menjadi sasaran.

Dalam kejadian terbaru, sebanyak 27 kepala paip besi tahan karat di Masjid Al Faqeh hilang dikebas pencuri.

Timbalan pengerusi jawatankuasa masjid, Nodin Mohadi berkata, kejadian tersebut disedari imam muda masjid itu, Adnin Abu Bakar ketika ingin mengambil wuduk untuk solat Asar,
petang kelmarin.

Menurutnya, Adnin menyedari kehilangan kepala paip itu apabila mendapati tidak ada air di bahagian paip luar masjid dan apabila diperiksa di tempat mengambil wuduk lelaki sebanyak 22 kepala paip hilang dan baki hanya tiga kepala paip di bilik itu gagal ditanggalkan.

“Di ruang mengambil wuduk wanita pula sebanyak lima kepala paip jenis sama turut hilang menjadikan kesemua jumlah yang dicuri sebanyak 27.

“Pencuri terlebih dahulu menutup bekalan berhampi-ran meter air dan kejadian tersebut dipercayai dilakukan antara waktu Zuhur dan Asar berikutan ketika Zuhur kepala paip itu masih
ada,” katanya.

Nodin berkata, kecurian itu menyusahkan jemaah me-ngambil wuduk untuk menunaikan solat di sini.

Menurutnya, beliau dan jawatankuasa masjid kesal dengan tindakan individu yang tergamak mencuri kepala paip tersebut sedangkan ia tempat suci umat Islam.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan kejadian curi kepala paip membabitkan masjid berleluasa di daerah ini sejak beberapa minggu lalu.

Masjid Kayu Ulul Albab tidak terkecuali dan beberapa masjid lain kawasan Hulu Besut, Jertih, Kota Putera dan Kuala Besut turut menghadapi perkara sama.

Menurut saksi yang ditemui, kesemuanya dikatakan dilakukan pada waktu siang.

Banyak pihak membuat andaian perbuatan ini dilakukan kumpulan sama bertujuan mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) memandang serius perkara itu.

Kamaruddin berkata, tindakan lanjut sedang dilakukan pihaknya bagi mengesan suspek terbabit.

12 rumah rosak dilanda ribut

12 rumah rosak dilanda ribut - Kelantan - Sinar Harian:


12 rumah rosak dilanda ribut
Ruang tamu rumah Zainab rosak teruk
MACHANG - Ribut yang didakwa berbentuk pusaran angin dengan campuran air dan desiran kuat menggemparkan penduduk Kampung Kerilla, dekat sini apabila merosakkan kira-kira 12 rumah penduduk, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiga rumah mengalami kerosakan teruk apabila sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin kencang dalam kejadian itu.
 
Mangsa, Zaiton Zakaria berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas, dalam masa tiga minit hampir semua zink rumahnya diterbangkan angin.

Katanya, dia hanya fikirkan mati dan sedaya upaya melindungi cucu dan anak jiran yang dijaganya agar tidak ditimpa kayu, struktur bumbung rumahnya.

“Tidak dapat dibayangkan perasaan saya ketika itu tambahan pula anak jiran yang saya jaga ini baru berusia tiga bulan. Anak saya yang mengandung pula bersembunyi di sebalik pintu bilik.

“Angin itu seolah-olah mengangkat bumbung rumah kami. Tiada apa yang saya mampu selamatkan, semua kelengkapan rumah basah akibat kejadian itu,” katanya yang juga ibu tunggal.

Zaiton berkata, dia dan keluarga terpaksa menumpang di rumah keluarga terdekat memandangkan rumahnya rosak teruk.
 
Seorang warga emas, Zainab Mat yusof, 71, berkata, sebelum kejadian dia melihat pusaran angin mendekati rumahnya dari pintu dapur.

Katanya, dia dan keluarga berkumpul di bahagian dapur ketika kejadian bagi menyelamatkan diri.

“Memang menakutkan apatah lagi inilah kali pertama mak cik menghadapinya seumur hidup mak cik. Kami terimanya sebagai dugaan ALLAH dan berharap ada pihak yang sudi membantu mengurangkan kesusahan kami.

“Selain bumbung rumah, banyak pokok buah-buahan penduduk musnah yang mana menyebabkan bekalan elektrik terputus sekejap apabila kabelnya ditimpa pokok,” katanya.
 
Seorang penduduk, Abdul Rahman Mohamad, 40, berkata, jika sebelum ini hanya satu hingga dua keping zink sahaja diterbangkan angin akibat ribut, namun keadaannya jauh berbeza pada kejadian ini.

Katanya, bahagian ruang tamu dan dapur rumahnya rosak teruk akibat kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kerilla, Adnan Deraman berkata, penduduk mengalami kerugian teruk akibat kejadian itu.

Katanya, selain rumah, banyak tanaman juga musnah sekali gus menggemparkan penduduk apabila dikatakan kali pertama berlaku kejadian seumpamanya itu.