Pages

Sunday, June 21, 2015

Penduduk Islam Artik puasa ikut waktu Mekah


Penduduk Islam di Artik berpuasa mengikut waktu Mekah berikutan
Penduduk Islam di Artik berpuasa mengikut waktu Mekah berikutan matahari terbit sepanjang hari di Kutub Utara. AGENSI
OSLO 20 Jun – Penduduk Islam yang tinggal di Lingkaran Kutub Artik menemui kaedah untuk berpuasa sepanjang Ramadan ini selepas matahari di wilayah berkenaan terbit sepanjang hari.
Takrif berpuasa mengikut Islam adalah menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.
Seorang penduduk yang juga pekerja di Pusat Islam Norway Utara, Hassan Ahmed berkata, sepanjang 24 jam, matahari tidak terbenam di Tromso dan umat Islam di bandar itu mencari alternatif bagi menentukan waktu berbuka puasa.
“Fatwa menyatakan, kami boleh mengikut waktu berpuasa negara Islam terdekat atau waktu Mekah,’’ katanya seperti lapor portal SBS.
Penduduk yang baru memeluk Islam, Sandra Maryam Moe bersetuju dengan kenyataan Hassan.
“Oleh kerana kita mempunyai matahari pada waktu malam semasa Ramadan tahun ini, kami memilih untuk menggunakan waktu berpuasa Mekah,’’ katanya yang juga pengurus pusat masyarakat Islam Tromso dan Masjid Alnor, masjid paling utara di dunia.
Maryam menambah, waktu berpuasa Mekah juga menjadikan ibadah sembahyang dan berpuasa mereka agak seimbang.
Norway, Sweden dan Finland merupakan antara negara yang mengalami siang sepanjang tempoh 24 jam pada Ramadan kali ini, fenomena yang dilapor berlaku setiap akhir Mei hingga penghujung Julai.
Tromso dihuni kira-kira 1,000 penduduk Islam yang kebanyakannya pendatang dari Somalia, Pakistan, dan Iraq.
Kali terakhir penduduk Tromso mengalami fenomena siang sepanjang 24 jam adalah sekitar tahun 1980-an.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penduduk-islam-artik-puasa-ikut-waktu-mekah-1.105162#sthash.xjtyqmqH.dpuf

Saturday, June 20, 2015

Manusia tertua 116 tahun meninggal dunia



TALLEY meninggal dunia di Michigan, 26 hari selepas hari lahirnya yang ke-116. - REUTERS


CHICAGO – Manusia tertua di dunia meninggal du­nia di kediamannya di Amerika Syarikat (AS) pada usia 116 tahun, menurut laporan media kelmarin.
Wanita itu, Jeralean Talley yang masih bermain bo­ling sehingga berusia 104 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada Rabu lepas di Inkster, dekat Detroit, lapor akbar Detroit Free Press.
Talley dilahirkan di negeri Georgia, selatan AS di penghujung kurun ke-19 pada 23 Mei, 1899.
“Dia seorang yang cantik dan pemaaf,” kata anak perempuannya, Thelma Holloway, 77, sambil menambah bahawa Talley telah dima­sukkan ke hospital selama seminggu sebelum dibawa pulang pada Sabtu lalu.
Talley meninggalkan anak perempuannya di samping beberapa cucu dan cicit.
Suaminya yang dikahwini selama 52 tahun, Alfred Talley meninggal dunia pada 1988 semasa berusia 95 tahun.
Susulan kematian Talley, gelaran manusia tertua di dunia kini milik seorang lagi wanita, Susannah Mushatt Jones yang lahir pada 6 Julai, 1899.
Manusia paling tua setakat ini menurut Guinness World Records ialah Jeanne Louise Calment.
Dia meninggal dunia di tanah airnya Perancis pada 1997 semasa berusia 122 tahun dan 164 hari. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3dYF3sxHG 
Hakcipta terpelihara 

Friday, June 19, 2015

Wanita mengandung ketagih jilat sabun

Wanita mengandung ketagih jilat sabun
Jilat sabun menjadi kegemaran Gayford.

BRISTOL - BRITAIN. Seorang ibu mengandung tidak dapat menahan keinginan peliknya iaitu makan sabun.

Jess Gayford, 26, yang kini mengandung lapan bulan kerap menjilat ketulan sabun atau cecair sabun pencuci tangan.

"Saya tidak pasti mengapa saya ingin makan sabun, tetapi setiap kali melihat sabun, saya ingin menjilatnya.

"Saya ke pasaraya untuk membeli sabun dan akan menjilatnya. Ia kedengaran menjijikan tetapi saya amat gemarkannya," katanya dipetik Bristolpost.

Suaminya, Jess Le Trimby berkata, pada mulanya dia agak bimbang mengenai keinginan pelik isterinya itu, namun berasa lega kerana ia tidak akan membahayakan kandungan isterinya itu.

Perlumbaan basikal kayu di Filipina



MASYARAKAT suku Igorat di Filipina menyertai pertandingan lumba basikal yang diperbuat daripada kayu baru-baru ini. - AGENSI


MANILA – Masyarakat suku Igorat di Filipina membina basikal buatan sendiri menggunakan kayu bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pertandingan lumba basikal baru-baru ini.
Seorang jurugambar, Richard Haw telah merakam aktiviti masyarakat berkenaan di sebatang jalan di bandar Batad.
Basikal tersebut dibuat sepenuhnya daripada kayu dan tidak mempunyai brek yang sempurna. Kenderaan tersebut mampu mencapai kelajuan sehingga 40 kilometer sejam ketika menuruni kawasan berbukit.
Peserta pertandingan itu juga dilihat tidak memakai sebarang pakaian perlindungan melainkan pakaian tradisional orang gunung yang dipanggil bahag dan sehelai jubah mengikut suku-suku mereka
“Saya tidak pernah dengar berita kematian atau kemalangan semasa mereka mengendalikan basikal itu.
“Namun melihat kaki mereka yang berparut dalam, saya boleh membayangkan bahawa mungkin berpunca daripada aksi ini,” ujar seorang pengunjung dari Tokyo, Jepun.
Penunggang kenderaan tersebut pada mulanya hanya mereka bentuk basikal yang mudah sebelum mereka menghasilkan motif seperti naga yang luar biasa, singa dan koboi pada kenderaan itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3dSTK37Dw 
Hakcipta terpelihara 

Ikan jerung malang


Perut dibelah, 34 ekor anak turut mati

Seorang nelayan bot Phoenix mengeluarkan anak jerung dari perut
Seorang nelayan bot Phoenix mengeluarkan anak jerung dari perut ibunya di Destin, Florida, awal bulan ini. AGENSI
NEW YORK 18 Jun - Seorang nelayan bertindak di luar peri kemanusiaan apabila mengeluarkan sebanyak 34 ekor anak ikan jerung dari perut ibu ikan itu yang telah mati, sambil disaksikan orang ramai termasuk beberapa orang kanak-kanak, dalam satu insiden mengejutkan di Florida baru-baru ini.
Malah, insiden itu juga sempat dirakam dalam video klip selama 1.15 minit, yang memaparkan nelayan tersebut menggodek perut jerung sepanjang 3.9 meter terbabit, selepas terperangkap pada jaring sebuat bot sewa yang mengikuti trip memancing, awal bulan ini di perairan antarabangsa.
Menurut saksi, ikan seberat 376 kilogram itu yang juga spesies ikan terancam dilihat mempunyai kesan lubang akibat tembakan atau lembing pada badannya, manakala sirip haiwan tersebut telah dipotong.
Insiden itu berlaku di Pelabuhan Harborwalk di Destin.
Agak malang, seperti nasib ibunya, semua 34 ekor anak ikan jerung itu turut mati.
Individu yang merakam klip tersebut, Jeff Bratcher berkata, dia sendiri tidak tahu ikan tersebut datang daripada spesies terancam.
“Anak saya yang berada bersama saya turut menyatakan apa yang dilihatnya itu adalah salah,” ujarnya seperti laporan Mail Online.
Jerung jenis tukul itu disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Alam dan turut berada dalam ‘Senarai Merah’.
Bagaimanapun, ikan itu tidak dilindungi oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) di bawah Akta Spesies Terancam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ikan-jerung-malang-1.104509#sthash.LKZqhk1o.dpuf

Thursday, June 18, 2015

Pengemis ada tujuh isteri

Sidoarjo (Indonesia): Seorang lelaki tua yang meraih simpati pengguna media sosial negara ini apabila gambarnya memakai kostum watak kartun Winnie the Pooh ketika meminta sedekah tersebar di Internet sebenarnya mempunyai tujuh isteri dan tinggal di rumah mewah.
Lelaki itu, Suaedi, 75, mendapat simpati pengguna media sosial selepas dia mendakwa hidup sebatang kara dan menderita penyakit strok.
Kisah lelaki itu menyebabkan ramai pengguna media sosial turut mengkritik pihak berkuasa kerana tidak membantu lelaki malang berkenaan.
Selepas kisah itu tersebar, Pengarah Kebajikan Sosial dan Tenaga Kerja Sidoarjo, Husni Tamrin mengarahkan pegawainya membawa Suaedi ke hospital untuk dirawat.
Bagaimanapun, pemeriksaan doktor di hospital mendapati lelaki itu tidak sakit, sebaliknya sangat sihat.
Seorang pegawai kebajikan sosial, Dayat berkata, selepas didesak Suaedi akhirnya mengaku dia sengaja mereka cerita untuk meraih simpati.
Katanya, lelaki itu mengaku dia memperoleh pendapatan Rp500,000 (RM141) sehari dengan mengemis.
“Ketika menghantar lelaki itu pulang, kami terkejut apabila mendapati dia tinggal di rumah besar dan disambut seorang wanita muda.
“Pada mulanya Suaedi memberitahu wanita itu anaknya, tetapi selepas didesak dia akhirnya mengaku wanita itu isteri mudanya.
“Lebih mengejutkan lagi, Suaedi mendedahkan dia mempunyai tujuh isteri,” katanya.
Menurutnya, jabatan itu merancang untuk membuat laporan polis terhadap Suaedi kerana menipu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 7:57 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58472#sthash.D4EyFRWw.dpuf

Tertidur 40 kali sehari

Bedford (Britain): Seorang remaja menderita masalah otak yang menyebabkan dia tiba-tiba tertidur hampir 40 kali sehari dan sering kelihatan mengantuk.
Lucy Tonge, 18, mengidap penyakit otak yang dikenali sebagai narkolepsi itu selepas dia mengambil suntikan vaksin selesema babi kira-kira lima tahun lalu.
Penyakit itu boleh menyerang bila-bila masa walaupun ketika dia berjalan, berbual, memandu atau membaca buku.
Lucy berkata, dia juga jarang keluar rumah atau melakukan aktiviti seperti remaja lain kerana bimbang keadaan itu boleh membahayakan dirinya.
“Ketika berbual dengan rakan-rakan saya boleh menjadi terlalu mengantuk dan kelihatan seperti seorang yang mabuk.
“Saya juga boleh tertidur ketika melakukan sebarang aktiviti seperti bermain piano dan bersiar-siar di taman,” katanya.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan dia tidak boleh memandu kenderaan kerana bimbang dia mungkin tertidur ketika memandu.
Menurutnya, doktor mengesahkan vaksin selesema babi yang dikenali sebagai Pandemrix diambilnya ketika berusia 13 tahun adalah punca penyakit berkenaan.
“Keluarga saya menyaman kerajaan kerana menyebabkan penyakit ini tetapi mahkamah baru-baru ini menolak saman berkenaan dengan alasan keadaan tidak membahayakan saya.
“Bagaimanapun, kami akan merayu keputusan itu kerana penyakit ini menyebabkan peluang saya menyambung pelajaran ke universiti terjejas,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:25 PM


LUCY boleh tertidur walaupun ketika bermain piano.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58328#sthash.qpROuk4b.dpuf

China larang penduduk Islam Xinjiang berpuasa


Penduduk Islam Uighur bakal menempuh pelbagai kesukaran sepanjang
Penduduk Islam Uighur bakal menempuh pelbagai kesukaran sepanjang bulan Ramadan ini selepas kerajaan tempatan di Xinjiang mengeluarkan banyak notis larangan termasuk larangan berpuasa . AGENSI
BEIJING 17 Jun – Umat Islam di wilayah Xinjiang, barat China bakal menyambut Ramadan pada tahun ini dengan perasaan dukacita, selepas beberapa buah kerajaan tempatan mengeluarkan notis larangan meraikan bulan penuh keberkatan itu termasuk memaksa penjawat awam berjanji untuk tidak berpuasa.
Laman web Hindustan Times melaporkan, sejak beberapa hari lalu laman web kerajaan tempatan di Xinjiang telah menerbitkan berita dan mengeluarkan notis yang menggesa anggota parti, penjawat awam, pelajar dan guru-guru supaya tidak menyambut bulan Ramadan, sama seperti tahun lalu.
Tindakan tersebut diambil susulan daripada kejadian serangan ganas di wilayah berkenaan sejak tiga tahun lalu sehingga mengakibatkan beratus-ratus orang terkorban, dengan Beijing mendakwa serangan dilancarkan oleh militan Islam.
Kerajaan dalam laman webnya berkata, pegawai keselamatan makanan minggu lalu sebulat suara bersetuju untuk ‘membimbing dan menggalakkan’ restoran halal beroperasi pada bulan Ramadan di daerah Jinghe berhampiran sempadan Kazakhstan.
Mana-mana restoran yang mendengar arahan tersebut tidak akan diperiksa secara kerap oleh pegawai keselamatan makanan.
Media tempatan melaporkan, penjawat awam di daerah Maralbexi berjanji secara lisan dan bertulis untuk tidak menyambut bulan Ramadan, tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan serta tidak berpuasa.
Kongres Uighur Sedunia dan aktivis hak asasi manusia berkata, polisi berbentuk penindasan yang dilaksanakan oleh kerajaan di wilayah Xinjiang, termasuk sekatan ke atas amalan agama menjadi punca utama kekacauan berlaku, dakwaan yang dinafikan oleh Beijing.
“China meningkatkan larangan dan pemantauan menjelang bulan Ramandan. Nasib bangsa Uighur sering dipolitikkan dan peningkatan kawalan akan menyebabkan berlaku banyak penentangan,” kata jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit dalam satu kenyataan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/china-larang-penduduk-islam-xinjiang-berpuasa-1.104198#sthash.tEsO35Pu.dpuf

4 juta isi rumah China, bertaraf jutawan


China mempunyai empat juta isi rumah jutawan pada tahun lalu,
China mempunyai empat juta isi rumah jutawan pada tahun lalu, iaitu kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat.
BEIJING 17 Jun - China mempunyai empat juta isi rumah bertaraf jutawan pada tahun lalu, negara kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat (AS), dengan kenaikan pasaran saham negara ini menyumbang kepada kekayaan perseorangan, demikian menurut satu kajian bebas.
Menurut kaji selidik yang dijalankan sebuah firma berpangkalan di AS, Kumpulan Perunding Boston (BCG) itu, sumber utama kekayaan jutawan-jutawan terbabit adalah didorong pelaburan dalam ekuiti tempatan.
Amerika mempunyai tujuh juta isi rumah bertaraf jutawan pada tahun lalu dan tempat ketiga Jepun dengan satu juta isi rumah bertaraf jutawan, menurut kajian itu.
BGC berkata, China juga membuat kejutan apabila menjadi negara tertinggi melahirkan jutawan sebanyak sejuta jutawan pada tahun lalu.
China yang merupakan negara sedang membangun dinobat tempat pertama di Asia selepas penanda aras Indeks Komposit Shanghai menutup tirai 2014 dengan kenaikan melebihi 50 peratus.
“Pasaran yang kukuh di seluruh rantau (Asia Pasifik kecuali Jepun), terima kasih kepada permintaan domestik yang tinggi - sekali gus meningkatkan nilai aset-aset sedia ada, berbanding peningkatan yang berpunca daripada kekayaan baru,” kata BGC, yang dilaporkan AFP, baru-baru ini.
Peningkatan nilai aset-aset sedia ada yang mencecah 76 peratus merupakan jumlah pertumbuhan kekayaan individu di rantau ini, tambah kajian itu.
China mempunyai 1,037 isi rumah yang memiliki nilai kekayaan bersih lebih $100 juta, iaitu kira-kira satu perlima daripada 5,201 isi rumah bertaraf jutawan di AS.
Forbes pada April lepas juga melaporkan, tanah besar China mempunyai kira-kira 400 bilionaire dan isi rumah bertaraf jutawan berikutan kenaikan pasaran saham di negara ini. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/4-juta-isi-rumah-china-bertaraf-jutawan-1.104200#sthash.t70acw6m.dpuf

Wednesday, June 17, 2015

Lingkaran misteri

Lingkaran misteri

FENOMENA crop circle atau lingkaran misteri terus mencetuskan persoalan hingga kini dan banyak teori mengaitkannya dengan kehadiran makhluk asing.

Ia pertama kali dilaporkan ketika era moden pada 1972 selepas corak misteri tersebut muncul berhampiran Warminster, England.

Sejak itu, jumlah lingkaran misteri terbabit meningkat secara mendadak pada 1980-an dan 1990-an apabila corak lingkaran yang terhasil semakin pelik termasuk simbol matematik yang kompleks.

Sehingga kini, lebih 10,000 lingkaran misteri telah dilaporkan dan didokumentasikan di seluruh dunia pada akhir abad ke-20 dan 90 peratus daripadanya adalah di Britain.

Bagaimanapun, ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja mereka cerita berhubung kewujudan corak pelik tersebut pada 1989 dan bertitik tolak daripada insiden itu penyelidik menganggarkan 30 peratus daripada lingkaran misteri terbabit adalah buatan manusia.

Kajian dilakukan Physics World mendapati kemungkinan corak itu terhasil akibat gelombang haba pada permukaan bumi, laser dan penggunaan alat navigasi GPS.

Persoalan yang tidak terjawab menyebabkan penyelidik, Richard Taylor dari Universiti Oregon melakukan kajian dan mendapati beberapa alat termasuk papan serta tali digunakan untuk menghasilkan corak geometri tersebut.

"Ia mungkin dihasilkan menggunakan peralatan moden berteknologi tinggi seperti magnetron iaitu sejenis tiub yang menggunakan tindak balas elektrik dan magnetik untuk menjana haba bertujuan untuk 'meratakan' kawasan tanaman terlibat pada kelajuan tinggi," jelasnya. - livescience
 

65 juta bayi kembar dibunuh sejak 1978?

bayi
Foto yang dirakam Jeff Abelin.

BEIJING - CHINA. 'Dasar satu anak, satu keluarga' di China sejak 1978 telah menyebabkan hampir 65 juta bayi kembar telah dibunuh dan 1.5 juta bayi perempuan dibuang setiap tahun di negara itu.

Dasar ini diperkenalkan oleh Presiden Deng Xiaoping pada 1978 untuk mengurangkan masalah sosial, ekonomi, dan alam sekitar China. Dasar ini bertentangan dengan dasar Mao Zedong pada 1949 bahawa 'dalam semua benda di dunia, manusia adalah paling utama'. Lebih besar penduduk, bermakna lebih banyak tenaga kerja.

Pada November 2013, kerajaan China mengumumkan yang dasar rasmi itu akan dilonggarkan bagi membenarkan pasangan memiliki dua anak jika salah seorang daripada mereka ialah anak tunggal.


KISAH YANG MENGEJUTKAN

Pada tahun 1997, ketika seorang jurugambar dari Amerika Syarikat, Jeff Abelin bersama-sama beberapa orang rakannya mendaki sebuah gunung di Wilayah Fuyang China, mereka terjumpa suatu bungkusan kain yang agak besar di kawasan lereng gunung tersebut.

Sangkaan awal mereka kain itu adalah peninggalan pendaki terdahulu, namun setelah diteliti, rupa-rupaya bungkusan kain putih itu mengandungi bayi perempuan yang masih bernyawa.

Lantas tanpa berlengah, Jeff serta rakan-rakannya membawa bayi berkenaan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Namun apa yang mengejutkan, pegawai perubatan di hospital itu memaklumkan bahawa bayi itu sepatutnya ditinggalkan di sana dan tidak perlu diberi rawatan.

Keenganan pegawai perubatan berkenaan merawat bayi itu mengecewakan Jeff. Dia kemudian membawa semula bayi itu ke lereng bukit berkenaan kerana tidak tahu ke mana hendak meletakkan bayi tersebut.

Berat hati memikirkan tentang bayi itu, Jeff kembali semula ke lokasi itu beberapa hari kemudian namun kali ini dia dikejutkan dengan lebih ramai bayi diletakkan di tempat sama.


MALANG BAGI SIBAYI

Selang beberapa hari, bayi perempuan yang ditemui Jeff meninggal dunia kerana masalah radang dan komplikasi hati.

Bagi menzahirkan kesedihannya, Jeff telah mengambil sekeping foto bagi menceritakan betapa kejamnya dasar tersebut dan menjadi saksi bisu kes pembuangan bayi oleh pasangan di China kerana dasar 'satu anak satu keluarga'.

Gambar tersebut tidak pernah memenangi sebarang anugerah namun ia tersenarai antara 100 gambar yang mampu menggegarkan dunia.

Selepas tersebarnya gambar itu, para aktivis hak asasi manusia dengan lantangnya mengkritik kerajaan China atas pelaksanaan dasar kejam tersebut.


KESAN DASAR

Kerajaan China menganggap dasar itu sebagai kejayaan besar untuk mengatasi masalah kependudukan seperti kemiskinan, kelaparan, kebuluran, kesihatan, kadar celik huruf dan pelbagai masalah sosial lain.

Presiden AS George W. Bush menggunakan alasan hak asasi manusia untuk menghentikan AS$40 juta bayaran kepada UNFPA (China) pada awal tahun 2002.


NEGARA CHINA

Republik Rakyat China (RRC), China merupakan sebuah negara di Asia Timur yang merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1,300 juta orang, iaitu kira-kira satu perlima manusia di bumi. China diperintah oleh Parti Komunis China di bawah sistem satu parti.

Pada keluasan kira-kira 9.6 juta kilometer persegi (3.7 juta batu persegi), RRC ialah negara ketiga atau keempat terluas di dunia dari segi keluasan keseluruhan dan negara kedua terbesar dari segi keluasan daratan.

Ia juga merupakan sebuah negara yang kuat dari segi ketenteraan dan ekonomi.

Kemaruk batu akik

Tangerang Selatan (Indonesia): Seorang pengumpul batu akik di sini sering menjadi perhatian orang ramai kerana selalu memakai sehingga 80 perhiasan batu akik setiap kali keluar rumah.
Setiap kali keluar rumah, Hermanus Manafe, 65, memakai 70 hingga 80 perhiasan batu akik pada cincin, rantai dan gelang tangan.
Hermanus berkata, dia mula mengumpul batu akik sejak setahun lalu dan kini sudah mempunyai koleksi sebanyak 750 batu itu.
“Saya kini mempunyai kira-kira 500 cincin dan lebih 250 rantai yang mempunyai batu akik.
“Saya sudah habiskan kira-kira Rp300 juta (RM84,594) untuk membeli semua perhiasan daripada batu akik ini,” katanya.
Ujarnya, walaupun terpaksa mengeluarkan modal yang besar tetapi isteri dan anaknya tidak pernah menghalang hobinya itu.
“Isteri dan anak-anak saya tidak ada masalah kerana yang penting bagi mereka, saya gembira,” jelasnya.
Menurutnya, penampilannya yang luar biasa itu sering menarik perhatian orang ramai untuk mendekatinya dan mengambil gambar.
“Ada yang datang untuk bergambar dengan saya dan ada juga peminat batu akik mahu berkongsi koleksi yang saya miliki ini,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:41 PM


HERMANUS dengan batu akiknya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58112#sthash.MIre9W8i.dpuf

Tombol pintu mampu bunuh bakteria


Sun Ming Wong (kiri) dan King Pong Li (kanan) bergambar bersama
Sun Ming Wong (kiri) dan King Pong Li (kanan) bergambar bersama pemegang pintu yang diselaputi sebatian titanium dioksida bagi membunuh bakteria. AGENSI
BEIJING 16 Jun - Dua pelajar pintar berjaya mencipta pemegang pintu yang boleh membunuh bakteria setiap kali tangan manusia menyentuhnya.
Laman web Oddity Central melaporkan, idea inovasi tersebut terhasil selepas Sun Ming Wong, 17, dan King Pong Li, 18, mendapati terdapat berjuta-juta bakteria hidup di sekitar objek yang sering dipegang oleh manusia setiap hari seperti tombol pintu dan pemegang troli.
Pelajar Sekolah Menengah Tam Lee Lai Fun Memorial itu berpendapat, bakteria boleh memudaratkan kesihatan manusia dan sesuatu perlu dilakukan bagi menghapuskannya.
Hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh dua sahabat baik itu, mereka menemui sebatian titanium dioksida yang telah disahkan sebagai agen pembunuh bakteria paling berkesan.
“Kami juga mendapati titanium dioksida sangat aktif ketika berada di bawah sinaran UV. Bagi memastikan sebatian itu terus aktif, kami telah membina pemegang pintu khas yang diperbuat daripada lampu LED.
“LED bertindak sebagai sinaran UV tiruan. Kami boleh sahkan 99.8 peratus bakteria akan mati setiap kali sesiapa memegang tombol pintu berkenaan,” jelas Ming Wong.
Produk yang masih belum diberi nama itu kini berada dalam makmal untuk ujian lanjut dan dijangka dijual kepada umum pada harga AS$13 (RM48.81) sebuah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tombol-pintu-mampu-bunuh-bakteria-1.103802#sthash.K9pCq8wP.dpuf

Monday, June 15, 2015

Mata Wang Jatuh: 500 Bilion Zimbabwe Tidak Cukup Untuk Beli Satu Tin Susu


Diterbitkan: Ahad, 14 Jun 2015 1:22 PM

HARARE: Rakyat Zimbabwe dibenarkan menukar mata wang tempatan sehingga 'quadrilion' kepada Dolar Amerika Syarikat (AS$) ekoran kejatuhan nilai mata wang negara itu.
Langkah tersebut diambil sebagai salah satu usaha menghentikan penggunaan nilai mata wang negara tersebut.
Negara Afrika itu mula menggunakan nilai mata wang AS$ dan Rand selepas nilai mata wang Zimbabwe terjejas akibat inflasi teruk yang jatuh sebanyak 500 bilion peratus pada 2008.
Semasa kejatuhan ekonomi negara itu pada 2008, rakyat Zimbabwe terpaksa membawa beg plastik yang dipenuhi dengan wang untuk membeli barangan keperluan seperti roti dan susu dan harga barangan yang turut meningkat sekurang-kurangnya dua kali sehari.
Gabenor Reserve Bank of Zimbabwe, John Mangudya menjelaskan, para pelanggan yang masih memiliki akaun Dolar Zimbabwe boleh berkunjung ke bank-bank berdekatan untuk menukar baki wang mereka kepada AS$ bermula Isnin.
Rakyat negara itu diberi masa sehingga September untuk membuat penukaran wang kertas Zimbabwe yang kadang kala dijual kepada pelancong sebagai cenderamata.
Baki akaun bank yang berjumlah 175 quadrilion Dolar Zimbabwe akan dibayar sebanyak AS$5 manakala mereka yang mempunyai baki akaun melebihi 175 quadrilion pula akan dibayar dengan AS$1 Dolar AS bagi setiap 35 quadrilion Dolar Zimbabwe.
Nilai wang kertas tertinggi yang dicetak kali terakhir pada 2008 adalah berjumlah 100 trilion Dolar Zimbabwe tetapi jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membayar tambang bas selama seminggu.
Pihak bank menjelaskan, para pelanggan yang mempunyai wang kertas Zimbabwe boleh mengunjungi mana-mana bank di situ dan mendapat AS$1 bagi setiap 250 trilion Dolar Zimbabwe yang ditukar.
Ini bermakna orang ramai yang memiliki wang kertas 100 trilion akan menerima 40 sen apabila membuat penukaran.
Pihak bank dilaporkan telah memperuntukkan AS$20 juta untuk membayar pemegang mata wang Dolar Zimbabwe yang membuat penukaran.

Kura-kura gergasi tarik perhatian penduduk Tokyo


Mitani Hisao dan kura-kura gersasi yang diberi nama Ban-chan bersiar-siar
Mitani Hisao dan kura-kura gersasi yang diberi nama Ban-chan bersiar-siar di sekitar bandar raya Tokyo, baru-baru ini. AGENSI
TOKYO 14 Jun – Kemunculan seekor kura-kura gergasi yang ditemani ­tuannya di sekitar jalan raya di bandar raya ini baru-baru ini, menjadi viral di Internet selepas ramai yang mengambil peluang untuk melihat sendiri dari dekat reptilia gergasi itu.
Menurut laman web Oddity Central, aktiviti itu menjadi rutin ­mingguan kura-kura tersebut yang diberi nama Bon-chan.
Pemiliknya, Mitani Hisao berkata, dia menganggap binatang peliharaannya itu seperti anaknya sendiri.
“Setiap dua atau tiga kali se­minggu, saya akan memperuntukkan masa selama sejam setengah untuk bersama Bon-chan bersiar-siar di sekitar bandar raya ini.
“Setiap kali kami bersiar-siar, Bon-chan tahu laluan yang kami akan tuju kerana haiwan itu mempunyai ingatan yang kuat.
“Dia (kura-kura itu) juga akan berjalan membelakangi saya menyebabkan ramai yang memerhati dan mengiringi kami,” ujarnya.
Setiap kali bersiar-siar, Mitani berkata, dia akan membawa beg berisi ‘bekalan’ termasuk lobak merah, kubis, dan plastik untuk mengutip najis kura-kura itu sepanjang mereka bersiar-siar.
Mitani yang juga pengarah sebuah rumah pengurusan mayat berkata, kura-kura dari Afrika itu berukuran lima sentimeter ketika mendiang isterinya membelinya dari sebuah kedai haiwan peliharaan kira-kira 19 tahun lalu.
“Tetapi kini, Bon-Chan sema­kin membesar sehingga 75 sentimeter dan seberat 70 kilogram,” ujarnya.
Menurutnya, Bon-Chan juga diibaratkan seperti manusia biasa dan dia sering berkongsi masalah bersama kura-kura gergasi itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kura-kura-gergasi-tarik-perhatian-penduduk-tokyo-1.103075#sthash.05GPPRCG.dpuf

Sunday, June 14, 2015

$100 bilion untuk beli 3 telur

Harare: Bank Pusat Zimbabwe menawarkan kepada rakyat negara itu untuk menukar wang kertas Zimdolar kepada dolar Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, untuk menukar 100 trilion dolar Zimbabwe mereka hanya akan memperoleh AS$0.40 saja.
Zimbabwe tidak lagi menggunakan nilai matawangnya sendiri sejak 2009 dan menggantikannya dengan sistem dikuasai dolar AS dan rand Afrika Selatan selepas inflasi yang melanda negara itu menjangkau 230 juta peratus.
Sejak itu, penjaja jalanan juga enggan menerima not Zimdolar.
Dengan wang 100 bilion Zimdolar pembeli hanya boleh membeli tiga biji telur. Sementara 100 trilion Zimdolar hanya boleh digunakan untuk tambang bas selama seminggu.
Tidak hairanlah jika melihat rakyat negara itu membawa beberapa bungkusan wang untuk membeli roti dan susu.
Mulai esok, mereka boleh menukar Zimdolar yang masih disimpan kepada dolar AS.
Ia sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menarik balik peredaran matawang tempatan secara menyeluruh.
Sebahagian penduduk di Harare berkata, mereka sudah lama membuang Zimdolar.
“Saya jadikannya baja untuk tanaman saya,” kata penjaja Isaac Mutezowepasi.
Yang lain berkata, mereka masih menyimpan wang kertas itu dan tidak tertarik dengan tawaran kerajaan.
“Saya mahu menyimpannya untuk ditunjukkan kepada cucu saya. Tambahan pula, saya yakin nilai Zimdolar akan meningkat kerana banyak permintaan apabila ia semakin pupus,” kata pereka grafik Tendai Nyaundi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:07 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57702#sthash.1ROhpxUo.dpuf

Penceraian termahal dunia

GAMBAR saat-saat bahagia Natalia dan Vladimir semasa bercuti di Jordan pada tahun 2010. - AGENSI


MOSCOW – Isteri kepada seorang bilionair Rusia akan membuat tuntutan separuh daripada £10 bilion (RM58.3 bilion) kekayaan suaminya sekali gus bakal mencatat perceraian termahal di dunia, lapor MailOnline.
Kes tuntutan Natalia Potanina terhadap Vladimir Potanin yang dikurniakan tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup selama 30 tahun akan dibicarakan di mahkamah Moscow bermula 1 Julai ini.
Vladimir, 54, yang merupakan pemilik syarikat perlombongan dan pelaburan melahirkan hasrat untuk menceraikan Natalia kerana dia mempunyai hubungan dengan seorang wanita lain dan turut mempunyai dua anak.
“Dia memberitahu hasrat untuk bercerai pada satu majlis makan malam bersama anak-anak kami. Saya tidak menjangka perkara ini berlaku, malah tidak sanggup untuk memikirkannya,” luah Natalia.
Sebelum ini, Vladimir menawarkan kepada Natalia wang £32 juta (RM186 juta) berserta elaun tetapi ditolak dan menuntut separuh daripada kekayaannya.
Tawaran itu termasuk elaun bulanan £250,000 (RM1.45 juta) serta rumah di Moscow, London dan New York.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3czI45N5h 
Hakcipta terpelihara