Takrif berpuasa mengikut Islam adalah menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari beserta niat.
Seorang penduduk yang juga pekerja di Pusat Islam Norway Utara, Hassan Ahmed berkata, sepanjang 24 jam, matahari tidak terbenam di Tromso dan umat Islam di bandar itu mencari alternatif bagi menentukan waktu berbuka puasa.
“Fatwa menyatakan, kami boleh mengikut waktu berpuasa negara Islam terdekat atau waktu Mekah,’’ katanya seperti lapor portal SBS.
Penduduk yang baru memeluk Islam, Sandra Maryam Moe bersetuju dengan kenyataan Hassan.
“Oleh kerana kita mempunyai matahari pada waktu malam semasa Ramadan tahun ini, kami memilih untuk menggunakan waktu berpuasa Mekah,’’ katanya yang juga pengurus pusat masyarakat Islam Tromso dan Masjid Alnor, masjid paling utara di dunia.
Maryam menambah, waktu berpuasa Mekah juga menjadikan ibadah sembahyang dan berpuasa mereka agak seimbang.
Norway, Sweden dan Finland merupakan antara negara yang mengalami siang sepanjang tempoh 24 jam pada Ramadan kali ini, fenomena yang dilapor berlaku setiap akhir Mei hingga penghujung Julai.
Tromso dihuni kira-kira 1,000 penduduk Islam yang kebanyakannya pendatang dari Somalia, Pakistan, dan Iraq.
Kali terakhir penduduk Tromso mengalami fenomena siang sepanjang 24 jam adalah sekitar tahun 1980-an.