Pages

Friday, April 24, 2015

Doktor sedia lakukan pemindahan kepala manusia

Pakar bedah kontroversi, Sergio Canavero (kiri) merancang untuk melakukan pembedahan pertama di dunia melibatkan pemindahan kepala sukarelawan Valery Spiridonov (kanan) ke tubuh yang lain. AGENSI


head off

ROM 23 APRIL - Seorang doktor Itali tidak kisah dirinya disamakan dengan watak jahat, Dr. Frankenstein yang melakukan eksperimen ke atas manusia apabila beliau me­ngakui mampu melakukan pembedahan pemindahan kepala pertama di dunia dalam tempoh tidak sampai sejam.
Pakar bedah itu, Sergio Canavero berkata, beliau sedia me­lakukan prosedur tersebut kepada golongan kaya yang mahu memiliki tubuh manusia muda bagi kekal muda.
Menurut portal Mail Online, Canavero mahu menjalankan pembedahan itu ke atas seorang lelaki Rusia yang menghidap penyakit genetik otot dan akan meneruskan prosedur berkenaan di China, sekiranya beliau dilarang berbuat demikian di negara Eropah atau negara bekas Kesatuan Soviet.
Malah pesakit itu, Valery Spiridonov, 30, yang menderita penyakit Werdnig-Hoffman, secara sukarela mahu menjadi bahan uji kaji kepada Canavero dan menyedari risiko yang bakal dihadapinya.
Canavero berkata, walaupun risiko untuk gagal amat besar, beliau yakin mampu melakukan pembedahan bagi memindahkan kepala Spiridonov ke tubuh manusia yang lain.
Jelasnya, kepala Spiridonov pada mulanya akan disejukkan pada suhu 10 hingga 15 darjah Celsius.
“Saya mempunyai masa selama sejam untuk memindahkan kepala itu ke badan lain dan memerlukan masa beberapa minit menyam­bungkan saluran darah.
“Kepala Spiridonov akan dicantumkan pada tubuh baharu dan darah dari otak akan mula mengalir dalam tempoh kira-kira 15 minit,” katanya, sambil menambah, kos pembedahan itu berjumlah AS$15 juta (RM54 juta).
Canavero, bagaimanapun tidak menyatakan bilakah pembedahan itu akan dilakukan, tetapi bakal menjelaskan teknik prosedur berkenaan secara teliti pada sidang antarabangsa pakar bedah di Anna­polis, Amerika Syarikat pada 12 Jun ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/doktor-sedia-lakukan-pemindahan-kepala-manusia-1.84140#sthash.p2MlC7v9.dpuf

Thursday, April 23, 2015

Pulau Berbahaya, Pengunjung Akan Dibunuh


Diterbitkan: Khamis, 23 April 2015 10:57 AM

SEBUAH pulau di Lautan Hindi, berdekatan kepulauan Andaman dilapor mempunyai 'syurga pantai' yang pasti akan memikat sesiapa sahaja selepas melihat keindahannya.
Namun, pulau yang didiami suku kaum orang asli sejak 60,000 tahun lalu itu amat berbahaya untuk orang asing.
Hal ini kerana, sesiapa sahaja yang mendekati pulau tersebut akan dibunuh serta merta, sama ada dipanah atau dibaling batu.
Pada 2006, dua lelaki yang memancing berdekatan Pulau Utara Sentinel ini yang terletak di bawah wilayah kedaulatan India telah dibunuh penghuninya.
Antara pulau bertamadun yang terletak paling dekat dengan pulau tersebut ialah pulau Andaman.
Selain itu, tinjauan udara yang dilakukan pihak berkuasa menggunakan helikopter juga dipanah dan dibaling batu oleh orang asli terbabit.
Berikutan itu, pihak berkuasa India kini mengawal pulau tersebut dan membuat larangan pihak luar mendekatinya sebagai langkah keselamatan.
Difahamkan, sebelum ini terdapat bot nelayan cuba menangkap ikan berhampiran pulau tersebut, bagaimanapun mereka telah ditahan pihak berkuasa.

Cinta sejati

>Nanning (China): Sepasang suami isteri mengotakan apa yang mereka ikrarkan ketika melangsungkan perkahwinan 55 tahun lalu - untuk bersama ketika susah dan senang.
Wanita berkenaan, Wei Guiyi, 76, memimpin suaminya yang buta, Huang Funeng, 80, berjalan sekeliling pekan kecil tempat mereka tinggal di selatan China, dengan mengguna buluh.
Perkara itu dilakukan sejak 30 tahun lalu selepas suaminya hilang penglihatan.
Walaupun dia sendiri berdepan dengan penyakit osteoporosis, pesara itu tidak pernah merungut mengenai nasib mereka.
Malah, katanya, dia sentiasa tidak sabar menanti hari esok untuk menjalankan tugas menjaga suaminya.
Kisah dan imej pasangan itu berjalan di sekitar daerah Donglan di wilayah Guangxi dicop sebagai ‘imej cinta sejati’ selepas ia tersebar di media sosial.
Wei menjadi ‘mata’ kepada kedua-duanya apabila Huang dijangkiti masalah penglihatan sehingga menyebabkan dia buta pada 1985.
Huang hanya mengikuti isterinya yang bongkok dengan memegang buluh itu setiap kali mereka keluar rumah.
Mereka berkahwin 55 tahun lalu ketika berusia 20-an, tetapi tidak dikurniakan anak.
Pada hari perkahwinan mereka, pasangan itu berjanji akan menjaga satu sama lain sehingga ke hujung hayat.
Huang memberitahu isterinya: “Saya akan menjaga anda sepanjang hidup anda.”
Wei pula berkata: “Saya akan bergantung kepada anda selama-lamanya.”
Menurut Wei, dia akan menceritakan kepada suaminya mengenai apa yang dilihat dan dihadapi setiap kali dia membawanya berjalan.
“Kami bahagia dan berpuas hati dengan kehidupan ini. Kami akan sentiasa bersama. Saya menjadi matanya dan dia adalah segala-galanya bagi saya.” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 7:42 AM


WEI dan Huang berjalan di pekan di daerah Donglan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45683#sthash.iJbNr8Wj.dpuf

Haiwan pelik ditangkap di China


HAIWAN misteri ini menimbulkan pelbagai persoalan kepada pengguna internet. - YOUTUBE


SHENZHEN – Satu video yang dimuat naik di YouTube menunjukkan seekor haiwan misteri dalam kurungan sangkar besi menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna internet.
Haiwan itu dikatakan ditangkap ketika berenang di kawasan empangan Shenzhen oleh pekerja jabatan saliran.
Orang ramai yang melihat video tersebut membuat pelbagai spekulasi termasuk mendakwa itu ialah seekor ‘raksasa air’, malah ada yang mengatakan haiwan tersebut merupakan seekor beruang matahari.
Pengarah Animal Asia, David Neal memberitahu, haiwan itu seakan seekor anak beruang yang mengalami masalah kesihatan sehingga menyebabkan kehilangan bulu pada tubuhnya.
Dia juga tidak menolak kemungkinan video tersebut dirakam di Pulau Borneo dan bukannya di China seperti yang didakwa. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Y5Ap1srb 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, April 22, 2015

Tren maglev cipta rekod baharu kelajuan 600 kilometer sejam



TREN maglev kembali ke stesen selepas mencatat rekod kelajuan baharu dalam satu ujian dekat Gunung Fuji semalam.


TOKYO – Kereta api tercanggih Jepun, maglev mencatat rekod kelajuan dunia apabila bergerak sepantas 600 kilometer sejam(km/j) dalam satu ujian dekat Gunung Fuji semalam.
Tren tujuh gerabak itu mencapai kelajuan maksimum 603km/j dan mengekalkan kelajuan melebihi 600km/j hampir 11 saat, menurut syarikat JR Central.
Rekod baharu itu dicatat kurang seminggu selepas tren syarikat berkenaan mencecah kelajuan 590km/j sekali gus memecahkan rekodnya sendiri pada 2003 iaitu 581km/j.
Tren maglev terapung 10 sentimeter di atas landasan dan pergerakannya dijana magnet-magnet bercas elektrik.
JR Central mahukan kereta api maglev beroperasi pada 2027 melibatkan laluan sejauh 286 kilometer yang menghubungkan kota raya ini dan bandar raya Nagoya, tengah Jepun.
Tren itu akan berge­rak di laluan berkenaan pada kelajuan 500km/j dan menghubungkan kedua-dua bandar raya itu dalam tempoh cuma 40 minit, kurang separuh daripada masa perjalanan kereta api peluru shinkansen.
Menjelang 2045, tren maglev dijangka menghubungkan bandar raya ini dan Osaka dalam tempoh hanya sejam tujuh minit sekali gus mengurangkan masa perjalanan sebanyak 50 peratus.
Bagaimanapun kos pembinaan laluan maglev amat tinggi dengan laluan ke Nagoya menelan belanja sebanyak AS$100 bilion (RM363.24 bilion), manakala 80 peratus laluan tersebut melibatkan perjalanan di dalam terowong. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Y39d66bP 
Hakcipta terpelihara 

Kembar buat pembedahan nak nampak lebih serupa

Kembar buat pembedahan nak nampak lebih serupa
Anna dan Lucy (bawah) sebelum pembedahan. Anna dan Lucy (atas) selepas pembedahan plastik.

PERTH - AUSTRALIA. Sepasang kembar menghabiskan lebih USD 250,000 (RM910,725) untuk nampak lebih seiras antara satu sama lain.

Menurut International Business Times, Anna dan Lucy DeCinque, 28, menjalani pembedahan buah dada, pembesaran bibir dan juga memasang tatu kening untuk mendapatkan penampilan serupa.

Menurut sebuah ujian, komputer juga gagal menemui perbezaan antara Anna dan Lucy.

Anna dan Lucy telah diberikan gelaran kembar paling seiras di dunia menerusi satu rancangan di Jepun.

"Ia (gelaran) telah dibuktikan di Jepun. Mereka memberikan cabaran dan kami berjaya buktikan kami kembar paling seiras di dunia," kata Anna dan Lucy dalam satu temuramah.

Kembar tersebut juga memberitahu, mereka memakan jumlah dan jenis makanan yang sama, tidur di katil yang sama dan tidak pernah meninggalkan antara satu sama lain.

Anna dan Lucy yang tinggal bersama ibu mereka juga berkongsi teman lelaki yang sama.

"Kami sentiasa bersama, jadi lebih senang jika kami berkongsi teman lelaki yang sama," jelas kembar tersebut.

Foto 'hantu samurai' timbulkan cemas

Foto 'hantu samurai' timbulkan cemas
'Entiti' (kiri, tengah) jelas kelihatan di dalam bulatan. (Kanan) Tiada entiti kelihatan dari gambar lain yang diambil dari lokasi sama.

KANAGAWA - JEPUN. Sekeping foto yang dimuatnaik ke laman forum Reddit menimbulkan perdebatan mengenai ketulenan entiti yang terdapat dalam gambar tersebut.

Menurut pelayar Reddit, Obiaruf berkata, entiti berkenaan kelihatan memakai 'but samurai'.

Gambar berkenaan dilaporkan diambil berdekatan dengan makam samurai di Kanagawa, tahun lepas.

Obiaruf yang merupakan kawan kepada jurugambar berkenaan berkata, dalam foto lain di lokasi sama, tidak ada apa-apa entiti pelik kelihatan.

Terdapat juga pelayar Reddit mengandaikan kemungkinan 'hantu' tersebut dari zaman Perang Dunia Kedua.

"Datuk saya berada di Okinawa (Jepun) ketika Perang Dunia Kedua dan saya mengecam but yang dipakai. Itu but Tentera Laut Amerika Syarikat (ketika) Perang Dunia Kedua." jelas pelayar tersebut.

Bagaimanapun, pelayar laman Reddit yang lain bersikap skeptikal terhadap foto tersebut.

Mereka memberitahu ianya adalah 'ilusi' atau permainan cahaya dan kehadiran manusia sebenar yang lain dalam foto berkenaan.

Tuesday, April 21, 2015

Elizabeth Holmes: Jutawan wanita termuda dunia

Elizabeth Holmes
Elizabeth Holmes
SAYA rasa ramai anak muda mempunyai idea dan pandangan luar biasa, tetapi kadang kala mereka menunggu terlalu lama untuk merealisasikan idea itu. Apa yang saya lakukan adalah, dengan mulakannya lebih awal,” - Elizabeth Holmes

Pada usia 31 tahun, Elizabeth Holmes mampu mencipta kejayaan luar biasa apabila berjaya menjadi seorang jutawan wanita termuda di dunia atas usahanya sendiri.

Meskipun tercicir pada tahun kedua di Universiti Stanford, beliau membuktikan ia bukanlah penghalang kepada kejayaannya.

Pada tahun 2003 ketika berusia 19 tahun, beliau menggunakan wang simpanannya dan menubuhkan Theranos, sebuah syarikat teknologi kesihatan dan perkhidmatan makmal perubatan berpangkalan di Palo Alto, California.

Dengan hanya setitik darah, makmalnya boleh menjalankan pelbagai ujian berbanding makmal komersial lain yang biasanya memerlukan sehingga sebotol darah.

Dua tahun lalu, Walgreens, sebuah farmasi runcit terbesar di Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 8,100 kedai mengumumkan rancangan untuk melancarkan Theranos Wellness Centers di dalam farmasi itu.

Fosil telur dinosaur dijumpai

Fosil telur dinosaur dijumpai
Fosil yang ditemui awal bulan ini.
HEYUAN - CHINA. Sebanyak 43 objek yang dikatakan fosil telur dinosaur yang masih melekat dijumpai ketika sebuah kerja mengorek sedang dijalankan, awal bulan ini.

Menurut South China Morning Post, sejumlah 19 telur masih berada dalam keadaan elok.

Pakar dari Akademi Sains China sedang menyiasat jenis dinosaur yang menghasilkan telur tersebut, kata sebuah laporan.

Pihak berkuasa memberitahu, sebanyak 17,000 serpihan fosil telur dinosaur telah dijumpai sejak penemuan pertama di sebuah sungai pada tahun 1996.

Penemuan terbaru tersebut juga merupakan penemuan pertama fosil di kawasan bandar.

Du Yanli, pengarah sebuah muzium berkata, sebarang kerja pembinaan akan dihentikan jika terdapat penemuan fosil yang lain.

Pada tahun, 2004, seorang petani ditahan polis selepas menyimpan lebih 500 fosil telur dinosaur secara haram.

Tren pecah rekod 'meluncur' 589km/j

Tren pecah rekod 'meluncur' 589km/j
Tren Maglev
YAMANASHI - JEPUN. Tren Maglev atau tren terapung mencipta rekod baru dengan kelajuan mencapai 366 batu perjam (589km/j) dalam satu ujian, semalam.

Menurut Dailymail, rekod tersebut mengalahkan rekod lama iaitu 361 batu perjam (580 km/j) yang dicapai pada tahun 2003.

Dalam satu lagi ujian yang dijadualkan akan berlangsung esok, kelajuan baru pada 373 batu perjam (600km/j) akan berjaya dicapai.

Menurut jurutera syarikat Central Japan Railway, tren tujuh gerabak tersebut mampu bergerak pantas kerana teknologi Maglev.

Teknologi tersebut yang menggunakan magnet untuk mengapungkan gerabak mampu menyediakan perjalanan yang lancar, senyap dan dua kali ganda kelajuan tren biasa.

Walaupun begitu, kelajuan yang akan digunakan untuk tujuan komersial hanyalah  314 batu perjam (505km/j).

Tren HS2 di Britain ketika ini hanya mampu mencapai 224 batu perjam (360 km/j).

Perkhidmatan tren Maglev komersial dijangka membawa 16 gerabak dan sejumlah 1,000 penumpang pada satu-satu masa.

Mohammed Mursi dihukum penjara 20 tahun

Mohammed Mursi
Mohammed Mursi

KAHERAH - MESIR. Bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan menimbulkan keganasan dan pembunuhan penunjuk perasaan pada 2012.

Menurut CNN, Mohammed Mursi dibicarakan bersama 14 defendan yang lain, termasuk beberapa kakitangan yang bertugas di bawah pemerintahan beliau.

Hukuman dijatuhkan oleh hakim, Ahmed Sabry Youssef.

Mohamed Mursi dan defendan lain melaungkan "Allahuakhbar" selepas hukuman dijatuhkan.

Mohamed Mursi merupakan presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik dan telah digulingkan oleh pihak tentera pada bulan Julai 2013.

Lamborghini pamer kereta 'paling emosi'

Lamborghini
Lamborghini Aventador Superveloce
SHANGHAI - CHINA. Pameran Industri Automobil Antarabangsa ke-16 menyaksikan kemunculan sulung model Aventador edisi terhad, Superveloce dari Lamborghini.

Menurut kenyataan media, Superveloce merupakan model paling 'sporty', laju dan 'paling emosi' yang pernah dihasilkan oleh Lamborghini.

Edisi terhad Superveloce terdiri daripada 600 buah untuk seluruh dunia.

Aventador Superveloce dikatakan meneruskan tradisi model SV Lamborghini, dimana setiap model mempunyai tahap prestasi yang tinggi dan kawalan pemanduan yang terbaik.

Untuk Superveloce, berat keseluruhan dikurangkan sebanyak 50 kilogram melalui penggunaan karbon fiber yang lebih menyeluruh.

Enjin V12 Superveloce berupaya menghasilkan kuasa 750hp atau 552kW.

Difahamkan, Superveloce mampu memecut dari 0 km/j ke 100 km/j dalam masa 2.8 saat dan mempunyai had kelajuan sebanyak 350 km/j.

Syarikat gergasi Lamborghini diasakan pada 1963 dan berasal dari Itali.

Pengantin minta bantuan pengetua batal perkahwinan

Pengantin minta bantuan pengetua batal perkahwinan
Gambar hiasan
MILAN MITHI - INDIA. Seorang kanak-kanak berumur 13 tahun menghantar surat kepada pengetua sekolahnya supaya menyelamatkannya dari sebuah perkahwinan yang diatur keluarga, esok.

Menurut India Times, Duli Hembrom, pelajar Gred 9 menghantar surat meminta pertolongan daripada pengetua Sekolah Tinggi Milan Mithi selepas dia sendiri gagal menghentikan perkahwinan tersebut.

"Saya tak mahu berkahwin. Saya sudah berjanji tidak akan berkahwin sebelum umur saya 18 tahun," kata Duli di dalam suratnya.

Beliau menambah, dia mahu cikgunya supaya berusaha sedaya-upaya untuk menghentikan perkahwinan tersebut.

Ayah Duli, Lachhu memberitahu, perkahwinan pada usia muda adalah fenomena biasa dalam masyarakat mereka.

"Agak susah untuk cari pasangan jika mereka sudah berumur," kata Lacchu ketika ditemuramah India Times.

Berdasarkan laporan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), India merupakan negara kedua tertinggi dengan perkahwinan melibatkan kanak-kanak.

Hampir 52 peratus pengantin perempuan berusia kurang dari 18 tahun, kata laporan tersebut.

Aksi ala kung fu budak perempuan curi perhatian


Jesse-Jane MACPARLAND, mempamerkan aksi akrobatik yang menarik
Jesse-Jane MACPARLAND, mempamerkan aksi akrobatik yang menarik semasa sesi latihan sebelum membuat persembahan pada pertandingan Britains Got Talent, baru-baru ini. AGENSI
LONDON 20 April – Seorang kanak-kanak perempuan Ireland mempamerkan kehebatan dan kelincahannya dalam seni mempertahankan diri ala kung fu pada pertandingan mencari bakat, Bri­tain’s Got Talent, sekali gus mencuri perhatian barisan juri dan penonton.
Malah aksi berani kanak-kanak berusia sembilan tahun itu, Jesse-Jane McParland bermain pedang tajam turut menyebabkan juri terkenal pertandingan itu, Simon Cowell, Alesha Dixon, David Walliams, dan Amanda Holden terpegun.
Dengan latar belakang sebagai juara dunia termuda liga karate dan kickboxing selain juara sembilan kali Pertandingan Seni Pertahanan Dunia Eropah, Jesse-Jane tidak mempunyai masalah untuk mara ke pusingan seterusnya.
Menurut ibu Jesse-Jane, Sinead McParland, anaknya berpotensi besar menjadi pelakon terkenal selepas bakatnya dikesan oleh pihak Hollywood dan baru selesai menjalani penggambaran filem aksi, Martial Arts Kid yang akan ditayangkan pada hujung tahun ini.
“Malah anak saya juga akan menjalani penggambaran filem yang dibintangi pelakon terkenal Zac Efron menerusi filem Awake­ning bermula Julai ini.
“Dia sangat meminati Jackie Chan dan berharap menjadi seperti aktor Hong Kong tersebut dan saya berharap Jesse-Jane akan menjadi bintang terkenal pada satu hari nanti,” katanya seperti yang dilaporkan portal Mirror.
Meskipun anaknya telah memenangi 117 gelaran secara keseluruhan, tetapi Sinead tidak mahu kanak-kanak terbabit memilih karier dalam seni mempertahankan diri yang boleh membahayakan diri terutamanya melibatkan penggunaan senjata tajam seperti pedang.
“Perkara buruk boleh berlaku kepada anak saya apabila beraksi sama ada terjatuh atau tercedera.
“Saya sentiasa berasa bimbang setiap kali menonton persembahan Jesse-Jane dan ada kalanya saya tidak mampu menonton dan bersembunyi di belakang orang lain,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/aksi-ala-kung-fu-budak-perempuan-curi-perhatian-1.83133#sthash.GQ1iL1iT.dpuf

Monday, April 20, 2015

Ibu bapa bekukan anak, harap hidup kembali


Ibu bapa bekukan anak, harap hidup kembali
Matheryn Noavaratpong
SEORANG kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia akibat kanser akan menjadi manusia termuda yang akan dibekukan dengan harapan dia akan hidup suatu hari nanti selepas penawar untuk menyembuh penyakitnya itu ditemui.

Matheryn Noavaratpong meninggal dunia awal tahun ini selepas alat bantuan penafasannya terpaksa ditanggalkan.

Penyakit kanak-kanak tersebut mula dikesan selepas kedua-dua ibu-bapanya membawanya ke hospital Bangkok dan doktor mendapati terdapat tumor sepanjang 11cm dalam otaknya.

Matheryn terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan sejak beberapa bulan dan menyebabakan 80 peratus dari otak kirinya terpaksa dibuang namun malangnya kanser tersebut telah merebak ke keseluruhan otaknya.

Memetik laporan Mirror.uk, proses pembekuan dilakukan di Thailand dan jasadnya kemudian dihantar ke Amerika Syarikat (AS).

Otak Matheryn kini diasingkan di dalam bekas keluli tahan karat, yang merupakan bekas vakum berpenebat yang diisi dengan cecair nitrogen.

Kanak-kanak tersebut akan di bekukan sehinggalah penawar penyakitnya itu ditemui.

Kebakaran: Burung kakak tua minta tolong


Kebakaran: Burung kakak tua minta tolong
Burung kakak tua diberikan bantuan penafasan. - Foto KBOI2.com
IDAHO - AMERIKA SYARIKAT. Dua ekor burung kakak tua yang terperangkap dalam satu kebakaran berjaya diselematkan selepas suara mereka meminta tolong didengar oleh anggota bomba yang ditugaskan memadamkan kebakaran. tersebut.

Selepas tiba ditempat kejadian, angggota bomba telah terdengar suara "tolong" dan "kebakaran" di dalam rumah terbabit dan percaya masih adalah orang yang terperangkap dalam rumah berkenaan.

Namun selepas diperiksa, suara meminta tolong tersebut sebenarnya datang dari dua ekor burung kakak tua yang masih  terperangkap.

Memetik laporan Mirror.uk, kedua-dua ekor burung tersebut diselamatkan dan diberi bantuan penafasan.

Pemilik rumah tiada pada waktu kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Mangsa Simbah Asid Temui Cinta Sejati Dengan Lelaki Tonton Kisahnya Di TV


Diterbitkan: Ahad, 19 April 2015 9:07 AM
Sonali dengan suaminya, Chittaranjan.

SEORANG wanita yang menjadi mangsa simbahan asid sehingga menyebabkan kecatatan pada penglihatan dan mukanya dalam satu insiden selepas menolak pelawaan seks oleh tiga lelaki, akhirnya menemui jodoh dengan cinta sejatinya.
Sonali Mukherjee-Tiwari, 29, mempunyai wajah dengan kesan 70 peratus melecur akibat disimbah asid oleh tiga remaja yang memecah masuk rumahnya di bandar Dhanbad pada April 2003.
Ketika kejadian, Sonali baharu sahaja berumur 17 tahun, terpaksa melalui lebih 28 pembedahan apabila pakar perubatan berusaha untuk menangani kerosakan teruk pada kulitnya akibat simbahan asid. 
Dalam keadaan yang buta dan kecacatan pada muka, Sonali menghabiskan masa selama sedekad dengan bersembunyi di kediaman ibu bapanya.
Bagaimanapun, kemunculan Sonali beberapa kali di televisyen di India, membuatkan kisah pahitnya menyentuh perasaan seorang penonton lelaki yang berhasrat untuk berhubung dengan wanita itu.
Selepas mengenali antara satu sama lain, Sonali dan pasangannya yang merupakan seorang jurutera berusia 29 tahun mengikat tali perkahwinan pada Rabu lalu.
Sonali berkata: "Saya tidak percaya saya akan menempuh gerbang perkahwinan. Saya banyak membina diri saya secara bersendirian.
"Saya menghabiskan masa 10 tahun untuk membina kekuatan dan kebebasan, tetapi inilah mimpi menjadi kenyataan."
Sonali mengalami kecacatan pada wajah dan matanya akibat disimbah asid dalam satu serangan tiga lelaki pada 2003.
Jurutera, Chittaranjan Tiwari buat pertama kali menyaksikan kemunculan Sonali dalam satu program mengenai jenayah di televisyen pada 2013 dan hatinya terpanggil untuk berhubung dengan wanita itu.
Chittaranjan berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit Sonali di Internet dan menghubunginya untuk berkenalan.
Sonali berkata: Ramai yang berhubung dengan saya untuk mengucapkan selamat sejahtera, dan saya pada mulanya fikir Chittaranjan juga seperti yang lain.
"Dia (Chittaranjan) sangat baik dan mengatakan kata-kata yang sangat indah dan kami terus berhubung. Hubungan kami kemudiannya semakin akrab."
Selepas beberapa bulan, pasangan itu bercakap menerusi panggilan telefon berjam-jam lamanya sehingga kedua-duanya semakin mesra sebelum Chittaranjan memutuskan untuk melamar Sonali.
Sonali berkata: "Suatu hari pada tahun lepas dia melamar saya. Saya seperti tidak percaya. Terdapat kata-kata yang saya dengar daripadanya tidak pernah saya bayangkan selama ini.
"Saya berasa amat terkejut dan memberitahu dia yang saya akan memikirkan tentang perkara itu. Saya tanya dia 'kenapa mahu kahwini saya, kerana saya buta?' dan dia menjawab sekiranya dua insan berkahwin dan berlakunya satu kemalangan tragik... mereka tidak akan dipisahkan, mereka akan berada di samping antara satu sama lain, jadi inilah perkara yang sama berlaku.
"Dia beritahu saya bahawa saya seorang wanita yang sempurna untuknya dan ia merupakan sesuatu yang begitu indah untuk didengar. Saya tidak pernah terfikir seorang lelaki akan berkata sebegitu kepada saya."
Wajah Sonali ketika remaja sebelum insiden disimbah asid.
Selepas memberitahu mengenai lamaran itu kepada ibu bapanya, Sonali dan pasangannya akhirnya berkahwin secara sah.
Kata Sonali: "Saya tidak pernah fikir saya dapat mempercayai lelaki lain selain bapa saya. Dia (bapa) menjaga saya dengan baik sejak insiden serangan itu, dan sekarang tiba masanya untuk seseorang yang lain mengambil alih tanggungjawab itu. Bapa saya perlu berehat.
"Chittaranjan merupakan seorang lelaki yang sensitif dan saya gembira kerana dia sanggup hidup bersama dengan saya."
Sonali berkata: "Kami mahu berbulan madu di Mumbai dan kami akan memutuskan di mana kami akan tinggal.
"Saya tidak pernah memikirkan perkahwinan akan berlaku dalam hidup saya. Tetapi jika seseorang sudi bersama dengan saya, menjaga saya, jadi saya harus memberikannya peluang.
"Saya kini perlu membiasakan diri dengan nama baharu. Saya bukan lagi sekadar Mukherjee, saya sekaranga adalah Mukherjee-Tiwari. Inilah mimpi menjadi kenyataan." - MIRROR

Kerusi Lipat Titanic Dilelong Lebih Setengah Juta Ringgit


Diterbitkan: Ahad, 19 April 2015 10:45 AM

SEBUAH kerusi lipat diperbuat daripada kayu yang ditemui dari bangkai kapal Titanic dijual pada £100,350 (RM543,836.73) dalam satu majlis lelongan.
Portal Daily Mail melaporkan bahawa kerusi berkenaan untuk kemudahan penumpang kelas pertama bersantai di kapal itu, telah ditemui oleh pasukan mencari di Lautan Atlantik selepas Titanic karam pada 1912.
Bergelar sebagai 'salah satu jenis koleksi Titanic yang paling jarang ditemui', ia pada mulanya adalah kerusi yang rapuh untuk diduduki tetapi telah dipelihara dengan baik.
Sebelum ini, kerusi tersebut dimiliki oleh seorang pengumpul warga British selama 15 tahun.
Kerusi itu diperbuat daripada kayu jati dengan berukuran 57 inci panjang, 23 inci lebar dan 35 inci tinggi.
Kapal Titanic yang karam apda 1912.
Ia mempunyai lambang bintang dengan lima bucu yang merupakan logo White Star Line, syarikat yang memiliki kapal Titanic.
Andrew Aldridge, seorang pelelong bagi syarikat Henry Aldridge and Son menyifatkan kerusi itu merupakan salah satu bahan penting bagi memperingati Titanic.
Beliau berkata: "Adalah sukar untuk mencari sesuatu bersaiz itu di dalam Titanic, yang telah diselamatkan dan masih wujud sehingga ke hari ini."
Titanic karam pada pukul 10.20 malam apda 14 April 1912, mengakibatkan kehilangan 1,522 nyawa. - DAILY MAIL

Pemuda Buta Pertama Menyertai Islam


Dalam sejarah Islam, ia dikenali memiliki ilmu dan adab istimewa yang dikurniakan Allah kepadanya, menggantikan kebutaan matanya sebagai cahaya dalam pandangan dan pancaran di hati. Sehingga ia dapat melihat dengan mata hati, apa-apa yang tidak dapat dilihat oleh mata kepala orang lain. Hatinya dapat mengetahui apa yang tersembunyi.

Bila Rasulullah SAW pergi ke berbagai medan perang, dia selalu ditunjuk menjadi wakil beliau di Madinah, mengimami solat jamaah di mihrab beliau, dan berdiam di sebelah kiri mimbar dengan khusyuk.

Pada awal sejarah Islam, Abdullah bin Ummi Maktum memperolehi hidayah untuk bergabung bersama orang-orang yang telah memeluk Islam. Ketika itu ia masih muda belia, sehingga hatinya merasakan betul manisnya keimanan. Apabila dewasa, dia merasakan bahwa ajaran Islam telah menjadikan hatinya bersih, sehingga walaupun matanya tak mampu melihat, namun itu merupakan nikmat besar yang dikurniakan Allah kepadanya.

Ibnu Ummi Maktum mempunyai naluri yang sangat peka untuk mengetahui waktu. Setiap menjelang fajar, dengan perasaan jiwa yang segar ia keluar dari rumahnya, dengan bertopang tongkat atau bersandar pada lengan salah seorang kaum Muslimin untuk mengumandangkan azan di masjid Rasul.

Dia selalu bergantian azan dengan Bilal bin Rabah. Jika salah satu dari mereka berdua azan, maka yang lainnya bertindak mengumandangkan iqamat. Namun Bilal mengumandangkan azan semalam untuk membangunkan kaum Muslimin, sedangkan Ibnu Ummi Maktum mengumandangkannya waktu Subuh.

Oleh sebab itulah, Rasulullah bersabda terkait waktu sahur pada bulan Ramadhan, "Makan dan minumlah kalian hingga Ibnu Ummi Maktum mengumandangkan azan…"

Allah telah memuliakan Abdullah bin Ummi Maktum. Ketika Nabi sedang duduk bersama dengan para pemuka Quraisy, diantara mereka terdapat Uqbah bin Rabi'ah. Beliau bersabda, "Tidakkah baik sekiranya kamu datang dengan begini dan begini?"

Kata mereka, "Benar!"

Tiba-tiba Ibnu Ummi Maktum datang menanyakan tentang sesuatu kepada beliau, namun beliau mengelak kerana sibuk berbicara dengan para tokoh Quraisy itu. Allah pun menurunkan ayat yang berbunyi: "Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang ia takut kepada (Allah), maka kamu mengabaikannya." (QS Abasa: 1-11).

Sewaktu ayat ini turun, Rasulullah kemudian memanggil Ibnu Ummi Maktum dan memberinya suatu kehormatan dengan menunjuknya sebagai wakil beliau di Madinah pada saat beliau menghadapi peperangan untuk yang pertama kalinya.

Suatu ketika Abdullah bin Ummi Maktum menyampaikan keinginannya untuk dapat ikut berjihad kepada para sahabat. Tentu saja para sahabat merasa sangat senang kerana keutamaan yang dimiliki Ibnu Ummi Maktum. Walau matanya buta, telah lama ia mengharapkan dapat ikut berperang bersama Rasulullah dan pasukan Muslimin.

Abdullah bin Ummi Maktum merasa sangat sedih dan pilu tatkala ayat turun wahyu kepada Rasulullah yang berbunyi, "Tidaklah sama antara orang mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang)."

Ia pun berkata, "Ya Allah, Kau memberiku ujian begini, bagaimana aku dapat berbuat…?" Kemudian turunlah ayat lainnya, "Selain yang mempunyai uzur…"

Kemuliaan seperti apakah gerangan yang lebih tinggi dari penghormatan ini, di mana wahyu diturunkan dua kali lantaran persoalan Ibnu Ummi Maktum; yang pertama merupakan teguran terhadap Rasulullah SAW, dan yang kedua ketentuan berperang bagi orang yang mampu dan berhalangan, termasuk di antaranya adalah Abdullah bin Ummi Maktum.

Walau demikian, Ibnu Ummi Maktum tetap mempunyai hasrat yang kuat untuk berjihad fi sabilillah bersama barisan kaum Muslimin. Dia telah mengutarakan hasratnya berulangkali. Dia berkata kepada para sahabat Rasulullah, "Serahkanlah panji kepadaku, kerana sesungguhnya aku adalah seorang buta sehingga tidak akan dapat melarikan diri. Tempatkanlah aku di antara kedua pasukan!"

Sang sahabat yang mulia dan agung ini tidak berakhir hayatnya sebelum Allah mengabulkan hasrat hatinya tersebut. Pada saat Perang Qadisiyah, ia turut berperang sebagai pembawa panji pasukan berwarna hitam. Dialah seorang buta pertama yang turut berperang dalam sejarah peperangan Islam.

*Sumber www.suatuperjalananmaya.com

Rumah ‘Flintstones’ dijual RM15.2 juta



RUMAH yang mempunyai rekaan seperti filem komedi Flintstones di Scottsdale, Arizona.


ARIZONA, Amerika Syarikat – Sebuah rumah yang mempunyai rekaan luaran dan dalaman seperti filem komedi Flintstones dijual pada harga AS$4.2 juta (RM15.2 juta) dan diklasifikasikan sebagai rumah paling asli di Amerika.
Rumah itu kelihatan pelik kerana dibina 60 peratus daripada batu granit selain terletak di kawasan padang pasir Scottsdale.
Mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, hanya 40 peratus seni bina rumah itu tidak menggunakan rekaan batu dengan keluasan rumah 40.7 meter persegi.
Rekaan luar rumah berkenaan yang mempunyai ukiran dinding purba menyebabkan kediaman itu diiktiraf sebagai kawasan bersejarah oleh Pendaftaran Kebangsaan selepas dibina pada tahun 1980.
“Dinding, lantai dan bahagia atap yang merupakan batu dan stuko iaitu plaster berkualiti tinggi membuatkan sesiapa sahaja yang masuk ke rumah ini akan berasa takjub,” ujar seorang jurucakap dari syarikat hartanah, Estately. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Xo6WBDLS 
Hakcipta terpelihara 

Budak miliki kepala tergantung


KEADAAN kepala Mahendra. - AGENSI


NEW DELHI, India – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di sini menghidap sejenis penyakit ganjil menyebabkan kepalanya dalam keadaan tergantung di tubuhnya.
Kanak-kanak itu, Mahendra Ahirwar yang berasal dari Madhya Pradesh, tengah India bukan sahaja tidak mampu berdiri atau berjalan, malah tidak boleh duduk lama akibat tulang belakangnya yang lemah.
Keadaan itu menyebabkan Mahendra hanya mampu merangkak dan memerlukan bantuan untuk makan atau ke tandas.
Bapanya, Mukesh Ahirwar, 40, berkata, dia telah merujuk kepada lebih 50 doktor di seluruh negara, namun mereka tidak dapat mengesahkan penyakit anaknya itu yang mula dikesan ketika dia berusia enam bulan.
“Dia tidak mampu membuat apa-apa dengan sendiri. Bayangkan, dia hanya mampu duduk di satu sudut sepanjang hari. Jika doktor tidak boleh merawatnya, lebih baik tuhan mengambilnya,” katanya.
Sementara itu, seorang pakar telinga, hidung dan tekak Hospital Artemis, Dr. Shashidhar Tatavarthy berkata, kanak-kanak itu mungkin mengalami masalah gangguan otot.
“Ia merupakan salah satu kes yang paling luar biasa. Kepalanya tergantung mungkin kerana masalah tulang belakang atau gangguan otot,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0420&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Xo6LvyII 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, April 19, 2015

JPAM tangkap ular sawa 100kg

JPAM tangkap ular sawa 100kg





Nazlan (empat, kiri) bersama anggotanya menunjukkan ular sawa yang berjaya ditangkap.



SEGAMAT - Anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Segamat berjaya menangkap seekor ular sawa betina seberat 100 kilogram (kg) dengan panjang lapan meter dekat Kampung Pudu, di sini, petang kelmarin.



Pegawai JPAM Segamat, Staf Muda Mohd Nazlan Ruslan berkata, anggotanya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung yang terlihat ular tersebut berhampiran rumah penduduk kira-kira  pukul 3.30 petang.



“Empat anggota saya bergegas ke kawasan tersebut dengan membawa peralatan menangkap ular kerana dilaporkan reptilia berkenaan sangat besar.



“Kerja menangkap ular tersebut juga agak mudah kerana ia tidak bertindak ganas seperti sudah keletihan, dipercayai keluar dari habitatnya untuk mencari makanan,” katanya.



Menurutnya, operasi menangkap ular tersebut mengambil masa lebih kurang 10 minit dan anggotanya juga turut mendapat bantuan daripada penduduk kampung sebelum dimasukkan ke dalam sangkar yang disediakan JPAM.



Jelasnya, ular ini adalah tangkapan kedua ular terbesar di Segamat sehingga bulan April tahun ini.



“Sebelum ini pada 1 Mac lalu juga, kita berjaya menangkap seekor ular sawa yang hampir sama besarnya di Kampung Sepinang.



“Ular ini akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Segamat untuk tindakan selanjutnya dan saya nasihatkan kepada orang awam jangan terus bertindak sesuka hati sekiranya terserempak haiwan ini kerana bimbang boleh mencederakan dan mendatangkan  bahaya,” katanya.

Keluarga mahu penyeksaan anak 'ditamatkan'

Keluarga mahu penyeksaan anak 'ditamatkan'



Sumitra dan anaknya, Mahendra





MADHYA PRADESH - INDIA. Tidak terdaya lagi melihat anak mereka terseksa, sepasang ibu bapa sanggup jika Tuhan mengambil nyawa anak mereka pada bila-bila masa.



Mahendra Ahirwar, 12 dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain, tetapi ketika berusia tiga tahun, leher Mahendra mula membengkok.



"Pada mulanya kami fikir Mahendra cuma lemah dan akan kembali kepada sediakala, tapi selepas hari jadinya yang ketiga, lehernya terus membengkok," kata ayah Mahendra, Mukesh, 40.



Menurut Dailymail, Mukesh yang memperolehi pendapatan sebanyak RM10 sehari sebagai buruh telah membawa Mahendra berjumpa lebih 50 orang doktor.



"Jika doktor tidak mampu merawat Mahendra, biarlah Tuhan ambil nyawanya," kata ibunya, Sumitra, 35.



Masyarakat sekeliling memburukkan lagi keadaan dengan dengan mengatakan keadaan Mahendra disebabkan dosa-dosa lampau bapanya.



Mukesh yang tidak bersekolah kerana sering diejek dan dicemuh hanya bergaul dengan saudara-maranya yang normal.