Pages

Monday, April 20, 2015

Mangsa Simbah Asid Temui Cinta Sejati Dengan Lelaki Tonton Kisahnya Di TV


Diterbitkan: Ahad, 19 April 2015 9:07 AM
Sonali dengan suaminya, Chittaranjan.

SEORANG wanita yang menjadi mangsa simbahan asid sehingga menyebabkan kecatatan pada penglihatan dan mukanya dalam satu insiden selepas menolak pelawaan seks oleh tiga lelaki, akhirnya menemui jodoh dengan cinta sejatinya.
Sonali Mukherjee-Tiwari, 29, mempunyai wajah dengan kesan 70 peratus melecur akibat disimbah asid oleh tiga remaja yang memecah masuk rumahnya di bandar Dhanbad pada April 2003.
Ketika kejadian, Sonali baharu sahaja berumur 17 tahun, terpaksa melalui lebih 28 pembedahan apabila pakar perubatan berusaha untuk menangani kerosakan teruk pada kulitnya akibat simbahan asid. 
Dalam keadaan yang buta dan kecacatan pada muka, Sonali menghabiskan masa selama sedekad dengan bersembunyi di kediaman ibu bapanya.
Bagaimanapun, kemunculan Sonali beberapa kali di televisyen di India, membuatkan kisah pahitnya menyentuh perasaan seorang penonton lelaki yang berhasrat untuk berhubung dengan wanita itu.
Selepas mengenali antara satu sama lain, Sonali dan pasangannya yang merupakan seorang jurutera berusia 29 tahun mengikat tali perkahwinan pada Rabu lalu.
Sonali berkata: "Saya tidak percaya saya akan menempuh gerbang perkahwinan. Saya banyak membina diri saya secara bersendirian.
"Saya menghabiskan masa 10 tahun untuk membina kekuatan dan kebebasan, tetapi inilah mimpi menjadi kenyataan."
Sonali mengalami kecacatan pada wajah dan matanya akibat disimbah asid dalam satu serangan tiga lelaki pada 2003.
Jurutera, Chittaranjan Tiwari buat pertama kali menyaksikan kemunculan Sonali dalam satu program mengenai jenayah di televisyen pada 2013 dan hatinya terpanggil untuk berhubung dengan wanita itu.
Chittaranjan berjaya mendapatkan nombor telefon bimbit Sonali di Internet dan menghubunginya untuk berkenalan.
Sonali berkata: Ramai yang berhubung dengan saya untuk mengucapkan selamat sejahtera, dan saya pada mulanya fikir Chittaranjan juga seperti yang lain.
"Dia (Chittaranjan) sangat baik dan mengatakan kata-kata yang sangat indah dan kami terus berhubung. Hubungan kami kemudiannya semakin akrab."
Selepas beberapa bulan, pasangan itu bercakap menerusi panggilan telefon berjam-jam lamanya sehingga kedua-duanya semakin mesra sebelum Chittaranjan memutuskan untuk melamar Sonali.
Sonali berkata: "Suatu hari pada tahun lepas dia melamar saya. Saya seperti tidak percaya. Terdapat kata-kata yang saya dengar daripadanya tidak pernah saya bayangkan selama ini.
"Saya berasa amat terkejut dan memberitahu dia yang saya akan memikirkan tentang perkara itu. Saya tanya dia 'kenapa mahu kahwini saya, kerana saya buta?' dan dia menjawab sekiranya dua insan berkahwin dan berlakunya satu kemalangan tragik... mereka tidak akan dipisahkan, mereka akan berada di samping antara satu sama lain, jadi inilah perkara yang sama berlaku.
"Dia beritahu saya bahawa saya seorang wanita yang sempurna untuknya dan ia merupakan sesuatu yang begitu indah untuk didengar. Saya tidak pernah terfikir seorang lelaki akan berkata sebegitu kepada saya."
Wajah Sonali ketika remaja sebelum insiden disimbah asid.
Selepas memberitahu mengenai lamaran itu kepada ibu bapanya, Sonali dan pasangannya akhirnya berkahwin secara sah.
Kata Sonali: "Saya tidak pernah fikir saya dapat mempercayai lelaki lain selain bapa saya. Dia (bapa) menjaga saya dengan baik sejak insiden serangan itu, dan sekarang tiba masanya untuk seseorang yang lain mengambil alih tanggungjawab itu. Bapa saya perlu berehat.
"Chittaranjan merupakan seorang lelaki yang sensitif dan saya gembira kerana dia sanggup hidup bersama dengan saya."
Sonali berkata: "Kami mahu berbulan madu di Mumbai dan kami akan memutuskan di mana kami akan tinggal.
"Saya tidak pernah memikirkan perkahwinan akan berlaku dalam hidup saya. Tetapi jika seseorang sudi bersama dengan saya, menjaga saya, jadi saya harus memberikannya peluang.
"Saya kini perlu membiasakan diri dengan nama baharu. Saya bukan lagi sekadar Mukherjee, saya sekaranga adalah Mukherjee-Tiwari. Inilah mimpi menjadi kenyataan." - MIRROR

No comments: