Malah aksi berani kanak-kanak berusia sembilan tahun itu, Jesse-Jane McParland bermain pedang tajam turut menyebabkan juri terkenal pertandingan itu, Simon Cowell, Alesha Dixon, David Walliams, dan Amanda Holden terpegun.
Dengan latar belakang sebagai juara dunia termuda liga karate dan kickboxing selain juara sembilan kali Pertandingan Seni Pertahanan Dunia Eropah, Jesse-Jane tidak mempunyai masalah untuk mara ke pusingan seterusnya.
Menurut ibu Jesse-Jane, Sinead McParland, anaknya berpotensi besar menjadi pelakon terkenal selepas bakatnya dikesan oleh pihak Hollywood dan baru selesai menjalani penggambaran filem aksi, Martial Arts Kid yang akan ditayangkan pada hujung tahun ini.
“Malah anak saya juga akan menjalani penggambaran filem yang dibintangi pelakon terkenal Zac Efron menerusi filem Awake­ning bermula Julai ini.
“Dia sangat meminati Jackie Chan dan berharap menjadi seperti aktor Hong Kong tersebut dan saya berharap Jesse-Jane akan menjadi bintang terkenal pada satu hari nanti,” katanya seperti yang dilaporkan portal Mirror.
Meskipun anaknya telah memenangi 117 gelaran secara keseluruhan, tetapi Sinead tidak mahu kanak-kanak terbabit memilih karier dalam seni mempertahankan diri yang boleh membahayakan diri terutamanya melibatkan penggunaan senjata tajam seperti pedang.
“Perkara buruk boleh berlaku kepada anak saya apabila beraksi sama ada terjatuh atau tercedera.
“Saya sentiasa berasa bimbang setiap kali menonton persembahan Jesse-Jane dan ada kalanya saya tidak mampu menonton dan bersembunyi di belakang orang lain,” katanya.