PERTH - AUSTRALIA. Sepasang kembar menghabiskan lebih USD 250,000 (RM910,725) untuk nampak lebih seiras antara satu sama lain.

Menurut International Business Times, Anna dan Lucy DeCinque, 28, menjalani pembedahan buah dada, pembesaran bibir dan juga memasang tatu kening untuk mendapatkan penampilan serupa.

Menurut sebuah ujian, komputer juga gagal menemui perbezaan antara Anna dan Lucy.

Anna dan Lucy telah diberikan gelaran kembar paling seiras di dunia menerusi satu rancangan di Jepun.

"Ia (gelaran) telah dibuktikan di Jepun. Mereka memberikan cabaran dan kami berjaya buktikan kami kembar paling seiras di dunia," kata Anna dan Lucy dalam satu temuramah.

Kembar tersebut juga memberitahu, mereka memakan jumlah dan jenis makanan yang sama, tidur di katil yang sama dan tidak pernah meninggalkan antara satu sama lain.

Anna dan Lucy yang tinggal bersama ibu mereka juga berkongsi teman lelaki yang sama.

"Kami sentiasa bersama, jadi lebih senang jika kami berkongsi teman lelaki yang sama," jelas kembar tersebut.