Pages

Tuesday, July 15, 2014

Angkara buaya pesawat terhempas

Keadaan pesawat yang terhempas. Gambar kecil: Buaya.
Keadaan pesawat yang terhempas. Gambar kecil: Buaya.
JURUTERBANG, Danny Philemotte dan pembantunya Chris Wilson serta 18 penumpang lain maut serta-merta dalam nahas pesawat domestik Let-410 di Republik Demokratik Congo, Afrika.

Nahas itu dipercayai berpunca daripada seekor buaya bersaiz dua meter yang dikatakan terlepas ke dalam pesawat dari bahagian kargo.

Pegawai inkues memberitahu, buaya itu dipercayai memanjat keluar dari koper bahagian tengah pesawat menyebabkan juruterbang dan pembantunya panik termasuk krew yang lain.

Suasana panik itu gagal dikawal hingga menyebabkan pesawat berkenaan menjunam ke sebuah kawasan penempatan di Congo.

Bagaimanapun penumpang menyangkal dakwaan bahawa buaya yang disimpan di dalam satu beg sukan adalah punca nahas berkenaan.

Kenyataan itu disuarakan oleh Penolong Koroner David Dooley selepas diberitahu oleh seorang penumpang Rob Wilson.

“Rakaman video menunjukkan terdapat seekor buaya keluar dari pesawat selepas ianya terhempas. Sebelum kejadian, krew dan penumpang dipercayai berlari kebahagiaan hadapan kabin menyebabkan pesawat itu tidak stabil,” katanya.

Difahamkan, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Kinshasa untuk menuju ke Bandundu, laporan dipetik dari Mirror Daily.

‘Mati’ hidup semula


Manila: Seorang budak perempuan berusia tiga tahun yang diisytiharkan mati secara klinikal mengejutkan ahli keluarganya apabila terjaga ketika upacara pengebumiannya selepas ibu saudaranya kebetulan memeriksa keranda kanak-kanak itu.

Kanak-kanak dari Zamboanga del Sur, selatan Filipina itu sepatutnya dikebumikan pagi keesokannya selepas majlis keagamaan diadakan di Aurora.


Bagaimanapun, bapa saudaranya yang membuka keranda berkenaan untuk melihat wajahnya terkejut apabila melihat kepala budak itu bergerak.

Kanak-kanak yang namanya dirahsiakan itu didapati mempunyai denyutan nadi dan bernafas walaupun baru diisytiharkan mati oleh pihak hospital pada pagi sama.


Kejadian itu sempat dirakam anggota keluarga menggunakan kamera telefon bimbit sebelum dimuat naik ke Internet.


Jurucakap polis Inspektor Heidil Teelan berkata, kanak-kanak berkenaan mengalami demam panas yang teruk selama beberapa hari sebelum dibawa ke klinik, Jumaat lalu.

“Ketika itu doktor dan kakitangan hospital mengesahkan dia meninggal dunia apabila nadinya tidak lagi berdenyut. Dia diisytiharkan mati secara klinikal pada jam 9 pagi,” katanya.

Menurut laporan Philippine Star, pihak hospital menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarganya untuk dikebumikan.

“Kami tidak dapat mengesahkan status sebenar budak berkenaan, namun berdasarkan pemeriksaan awal pihak polis yang diarahkan menyiasat, memang nyata kanak-kanak itu masih dalam keadaan koma.

“Dia kini berada di hospital untuk rawatan lanjut,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Van jenazah ‘tertinggal’ mayat


Feasterville, Pennsylvania: Kegagalan pintu van jenazah berfungsi dengan baik menyebabkan satu mayat yang diletakkan atas pengusung beroda terkeluar dari kenderaan itu sebelum menggelungsur di tengah jalan raya.

Laporan media semalam menyatakan kejadian berlaku berdekatan kompleks beli-belah Feasterville, kelmarin.


Gambar disiarkan laman sesawang berita dalam talian menunjukkan mayat berbalut kain putih berada betul-betul di atas jalan raya yang sibuk dengan kenderaan.

Namun mayat itu mungkin bernasib baik kerana tiada mana-mana kenderaan melanggarnya.


Menurut Pejabat Koroner Bucks County, pemandu van menyedari pintu belakang kenderaannya terbuka lalu menyelamatkan mayat berkenaan.


Pihak pengurusan mayat pula meminta maaf kepada waris si mati dan menyatakan kekesalan atas kejadian yang tidak diduga itu.

Seorang pejalan kaki yang melintas di jalan raya pula menganggap itu sebagai satu usikan dan menganggap ia “perkara paling aneh” yang pernah berlaku. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

Apabila jiwa wanita bergelora


Harare: Seorang wanita Bikita yang tertekan kerana dinafikan hak dan nafkahnya sejak beberapa lama dituduh memulakan kebakaran sebuah rumah ketika suami dan madunya tidur lena.

Shingai Mandivengerei, 34, bagaimanapun menafikan dakwaan itu ketika tuduhan dibacakan di depan majistret Judith Zuyu.


Media semalam melaporkan, mahkamah mengarahkan Shingai direman sehingga 21 Julai ini untuk siasatan lanjut.



Shingari ialah isteri pertama kepada Tasara Zima, 39, sebelum dia berpoligami dengan mengahwini Mary Dzingai, 28, baru-baru ini. Kata Shingai, dia mengaku memulakan kebakaran rumah berkenaan namun mengaku tidak bersalah atas dakwaan mahu membunuh.


Sumber polis semalam berkata, Shingai bertindak nekad kerana terlalu cemburu terhadap layanan yang diberikan suaminya ke atas madunya. Kata Shingai, ketika dia menghidupkan api, pintu pondok tidak dikunci.


“Saya membakarnya kerana terlalu marah,” katanya. Pendakwa Moreblessing Rusere berkata, suspek yang dipercayai tertekan kerana tidak mendapat nafkah batin dan tidak dapat melelapkan mata. Tanpa berfikir panjang, katanya, Shingai membakar bilik tempat Zima dan Mary tidur.

“Kira-kira jam 8 malam, Zima dan Mary masuk ke bilik tidur tetapi terkejut lima jam kemudian apabila mendapati bilik itu dijilat api,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

Bapa terkurung 31 jam dalam penjara


Chicago: Lawatan biasa seorang bapa ke penjara yang menempatkan anaknya bertukar menjadi pengalaman sukar dilupakan apabila dia dikurung secara tidak sengaja selama 31 jam.

Farad Polk pergi ke Penjara Daerah Cook untuk melawat anaknya selepas dia ditahan sementara menunggu dakwaan terhadap kes berkaitan dadah. Namun, ketika Polk berada di sana, dia diberitahu anaknya dipindahkan ke blok berlainan.


Untuk sampai ke situ Polk perlu melalui dua pintu besi untuk menuju balai pelawat.



Bagaimanapun tidak lama kemudian pintu besi di blok itu tertutup secara tidak sengaja dan Polk terkurung di dalamnya. Pegawai penjara berkata, mereka amat kesal dengan kejadian berkenaan tetapi ia gagal menyejukkan hati Polk.


Justeru, semalam dia memfailkan dakwaan ke atas penjara itu untuk mendapat ganti rugi. Dalam petisyennya, Polk menuntut penjara menyerahkan rakaman kamera litar tertutup di situ untuk mendapat penjelasan sebenar bagaimana dia ‘dipenjara.’ Polk juga mendakwa dia “tidak mendapat makanan, minuman, kemudahan tandas dan sebarang hubungan dengan dunia luar” selama 31 jam walaupun berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar.


Polk bernasib baik apabila diselamatkan pada jam 1 pagi selepas dia memecahkan alat penggera kebakaran yang mendorong anggota bomba datang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

Si dungu tidak takut ambil ‘selfie’


Bagaimanapun, seorang lelaki seolah-olah tidak mempedulikan bahaya di belakangnya apabila sempat mengambil gambarnya dalam jarak terlalu dekat dengan haiwan berkenaan ketika pesta larian lembu, baru-baru ini.
Menurut sumber, lelaki terbabit dipercayai mengambil gambar itu ketika bahagian terakhir hari kelima larian lembu di Pamplona, Jumaat lalu.

Menurut jurucakap polis, lelaki berjambang itu kini diburu polis Sepanyol dan boleh didenda sehingga £2,400 (RM13,072) kerana melanggar undang-undang tempatan yang melarang perbuatan seperti itu ketika menyertai larian berkenaan.
Foto
LELAKI (berjambang) yang sempat merakam ‘selfie’ menyertai larian lembu di Pamplona, Sepanyol, baru-baru ini.

Gambar itu disiarkan di laman media sosial dan lelaki berkenaan diselar sebagai ‘bodoh’ kerana tindakannya itu turut mampu membahayakan peserta lain. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Iklan antijudi dirombak selepas Jerman muncul juara



SEORANG lelaki berjalan melintasi sebuah papan iklan antiperjudian di Singapura pada 9 Julai lalu.


SINGAPURA - Pemerintah Singapura terpaksa mengemas kini sebuah iklan antiperjudian yang memaparkan seorang kanak-kanak bernama Andy dengan nada sedih memberitahu kawan-kawannya bahawa bapanya telah menggunakan semua wang simpanan keluarga kerana bertaruh bahawa pasu- kan Jerman akan memenangi Piala Dunia 2014.
Iklan terbitan Majlis Kebangsaan bagi Menangani Perjudian itu mula disindir di seluruh dunia selepas Jerman membenam Brazil 7-1 pada separuh akhir Piala Dunia baru-baru ini.
Orang ramai secara berjenaka memberitahu, iklan tersebut akan menggalakkan lebih ramai orang ber- judi berbanding sebaliknya berikutan kemenangan Jerman.
Ejekan terhadap iklan itu semakin lantang selepas Jerman menewaskan Argentina 1-0 awal semalam, sekali gus menepati ramalan bapa Andy dalam iklan itu.
Orang ramai kemudian memuat naik status di laman sosial untuk mengucapkan tahniah kepada Andy kerana bapanya menjadi kaya hasil pertaruhan tersebut.
"Andy, anda boleh meminta semula wang simpa- nan itu daripada bapa anda. Beritahunya supaya tidak berjudi lagi," kata Menteri di Kementerian Per- dagangan dan Industri, Teo Ser Luck di laman Facebooknya.
Iklan itu sebelum ini disiarkan untuk menasihati orang ramai supaya tidak bertaruh dalam perlawa- nan bola sepak menjelang Piala Dunia di Brazil. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz37UGvtqPg 
Hakcipta terpelihara 

Buka negara baharu penuhi impian anak jadi puteri



HEATON dan anaknya, Emily bersama bendera Kerajaan Utara Sudan yang bakal menjadi sebuah negara di bawah pemerintahan Emily.


VIRGIA - Seorang bapa yang telah berjanji kepada anak perempuannya berusia tujuh tahun untuk menjadikannya seorang puteri telah mengembara sehingga ke Afrika bagi membuka sebuah negara baharu.
Lelaki itu, Jeremiah Heaton kemudian menemui sebuah kawasan yang dipanggil Bir Tawil, seluas 2,071 kilometer persegi yang terletak di sempadan antara Sudan dan Mesir bagi membina sebuah negara untuk anaknya yang kini dipanggil Puteri Emily.
"Emily telah bertanyakan kepada saya tentang keinginannya untuk menjadi seorang puteri," kata Heaton yang telah menjalankan beberapa kajian sebelum menemui Bir Tawil.
Heaton telah memacakkan bendera yang dipilih oleh anaknya di kawasan tersebut sebagai tanda kawasan itu adalah milik keluarganya dan telah membelikan Emily mahkota.
Heaton kini menamakan kawasan itu dengan gelaran Kerajaan Utara Sudan (Kingdom of North Sudan) dan telah menulis surat kepada kerajaan-kerajaan Afrika untuk mendapatkan pengiktirafan.
"Ia satu kawasan yang cantik, hanya dikunjungi oleh masyarakat Badawi dan tanpa seorang penduduk," katanya.
- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz37UGfnkEw 
Hakcipta terpelihara 

Costa Concordia kembali diapung



KAPAL penumpang Costa Concordia dilihat di pelabuhan Giglio, Pulau Giglio, Itali kelmarin.


PULAU GIGLIO - Satu operasi besar-besaran untuk mengapungkan semula kapal penumpang Costa Concordia bermula di Itali semalam.
Sejumlah pekerja cuba menaikkan kapal itu dari tempat persemadiannya di pinggir pantai pulau ini dengan bantuan beberapa kren gergasi.
"Saya agak gementar," kata ketua operasi tersebut, Nick Sloane.
Kapal Costa Concordia yang sekali ganda lebih besar daripada kapal Titanic akan diapungkan dalam masa enam hingga tujuh hari.
Kapal tersebut kemudian akan ditunda untuk dileraikan di sebuah pelabuhan di Genoa, Itali.
Consta Concordia yang miliki berat 114,500 tan akan diapung pada jarak dua meter semalam dari sebuah plat- form tempat kapal itu disandarkan selepas ia ditegakkan pada September 2012.
Kapal tersebut karam di perairan pulau ini pada malam 13 Januari 2012 sekali gus memaksa sebahagian besar daripada 4,229 penumpang dan krunya terjun ke dalam laut selepas bot penyelamat gagal diturunkan.
- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz37UFHBwkt 
Hakcipta terpelihara 

Motosikal terbang di pasaran 2016


MOTOSIKAL terbang dikenali sebagai Helicycle yang boleh digunakan di darat dan juga boleh terbang akan mula dipasarkan pada 2016. - AGENSI
AMSTERDAM 14 Julai - Sebuah syarikat permotoran Belanda membuka era baharu dalam dunia pengangkutan apabila mengeluarkan motosikal terbang pertama di dunia yang akan dijual di pasaran pada 2016.
Portal berita Mail Online melaporkan motosikal yang diberi nama Pal-V One Helicycle atau The Helicycle dihasilkan selama bertahun-tahun oleh syarikat Pal-V dan berkeupayaan untuk digunakan di darat atau di udara.
Malah penggunaan motosikal dwifungsi itu adalah sah di sisi undang-undang dan pemiliknya perlu mendapatkan lesen khas iaitu Sijil Penerbangan Sukan.
MOTOSIKAL Helicycle keluaran firma Pal-V memerlukan landasan kira-kira 150 meter untuk berlepas dan boleh mencapai kelajuan sehingga 180 kilometer sejam di udara. - AGENSI
Menurut firma Pal-V, The Helicycle boleh mencecah kelajuan sehingga 180 kilometer sejam dan mampu mencapai kelajuan 0 hingga 96 kilometer sejam di bawah lapan saat apabila bergerak di darat.
Jelasnya, kenderaan tersebut mempunyai dua tempat duduk dan reka bentuknya kelihatan seperti helikopter serta memerlukan landasan sejauh 164 meter untuk berlepas.
"The Helicycle menggunakan enjin 230 kuasa kuda yang dijana oleh petrol dan pemandunya boleh terbang sejauh 354 kilometer pada ketinggian 1,219 meter atau dipandu sejauh 1,207 kilometer di darat.
"Tidak seperti kereta terbang, The Helicycle perlu mengambil masa 10 minit untuk proses mengeluarkan kipas secara automatik sebelum terbang," kata firma tersebut.
The Helicycle akan dijual di pasaran pada harga 230,000 pound (RM1.2 juta) seunit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140715/lu_11/Motosikal-terbang-di-pasaran-2016#ixzz37UBum6nb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4,000 pembesar suara di Masjidil Haram


SEBANYAK 4,000 pembesar suara dipasang dalam Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya bagi membolehkan azan didengari sejauh 9 kilometer di Mekah. - AGENSI
MEKAH 14 Julai - Sebanyak 4,000 pembesar suara dipasang di seluruh kawasan Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya bagi memastikan bunyi berkualiti semasa waktu puncak pada bulan Ramadan dan musim haji.
Menurut pengarah operasi Masjidil Haram, Faras Al-Saadi, pembesar suara turut dipasang di koridor dan dataran luar masjid, lapor laman web, arabnews.com, semalam.
"Sebanyak 656 pembesar suara dipasang di koridor timur masjid dan di aras baharu yang dibuka untuk tawaf ketika bulan Ramadan.
"Satu jawatankuasa teknikal telah memilih pembesar suara yang paling berkualiti selepas meneliti sistem pembesar suara dari seluruh dunia," katanya.
Tambah Faras, dengan menggunakan pembesar suara berkualiti, azan boleh didengari dalam jarak sehingga sembilan kilometer dari Gaza Street hingga ke Ibrahim Khalil Street.
"Pembesar suara yang dipasang di luar juga bercirikan tahan angin, bermaksud bunyi akan jelas kedengaran walaupun dalam cuaca buruk.
Pembesar suara yang dipasang di bahagian puncak Menara Jam Mekah membolehkan azan didengari sejauh tujuh kilometer, manakala lampu berwarna hijau serta putih turut dipasang ketika azan berkumandang yang boleh dilihat dalam jarak sehingga 30 kilometer untuk jemaah yang mengalami cacat pendengaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140715/lu_07/4000-pembesar-suara-di-Masjidil-Haram#ixzz37UB6zt1L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, July 14, 2014

Xinjiang: Pelajar diugut buang universiti jika puasa


HARAKAHDAILY | .


(Pelajar dipaksa makan oleh pensyarah sebelum masuk ke kelas)
CHINA: Pelajar Islam di Xinjiang berhadapan ugutan buang universiti atau hilang peluang kerjaya jika berpuasa dalam bulan Ramadan ini.

Sebuah universiti di Kashgar melakukan rutin memaksa pelajar makan di hadapan pensyarah mereka sebelum memulakan kelas setiap hari bagi memastikan mereka tidak berpuasa.

Jika pelajar enggan, mereka akan diusir dan dinafikan untuk menerima ijazah mahupun diploma.

Menurut seorang pelajar, kakitangan pentadbiran universiti turut memberikan air botol dan makanan kepada pelajar Islam pada siang hari.

Merka juga akan mencatat nama pelajar yang enggan mengambil pemberian tersebut.

Pihak berkuasa China sebelum ini melarang penjawat awam, guru dan pelajar berpuasa khususnya di wilayah Xinjiang.

Mereka juga telah mengarahkan restoran ditutup pada waktu malam, dan mengancam denda bagi mereka yang tidak mematuhi arahan itu.

Kerajaan China mendakwa, kempen melarang puasa ini adalah sebagai usaha menangani apa yang dianggap "perbuatan pengganas" oleh minoriti Muslim Uygur.

Ianya ekoran berlaku pertempuran di sebuah pasar di Urumqi, sebuah stesen kereta api di Kunming, dan di Dataran Tiananmen.

Bagaimanapun kumpulan hak asasi manusia melihat larangan tersebut adalah cubaan menindas dan mencabul hak beragama golongan minoriti Islam itu. - HARAKAHDAILY 14/7/2014

Catalonia bakal laksana larangan burqa

Wilayah Catalonia di Sepanyol bakal menguatkuasakan larangan pemakaian burqa.
Wilayah Catalonia di Sepanyol bakal menguatkuasakan larangan pemakaian burqa.
MADRID - SEPANYOL. Larangan memakai burqa bagi wanita Muslim di wilayah autonomi Catalonia, Sepanyol akan dikuatkuasakan susulan perintah Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) yang memutuskan perkara itu tidak melanggar undang-undang hak asasi manusia.

Memetik laporan Al -Arabiya, Menteri Dalam Negeri Catalonia, Ramon Espadaler berkata, larangan itu bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama berikutan pemakaian topi dan topeng di tempat awam juga bakal berdepan tindakan sama.

Agensi berita The Local melaporkan, Espadaler mengumumkan bahawa kerajaan akan mendapatkan pengesahan larangan tersebut selepas musim panas.

Difahamkan, ECHR membuat keputusan itu berdasarkan kes seorang wanita Islam di Perancis yang tidak dibenarkan memakai burqa di khalayak ramai kerana mengikut undang-undang baharu negara tersebut.

10 ciri-ciri anggota Al-Qassam

Al-Qassam sentiasa dekat di hati penduduk Palestin. Foto: EPA
Al-Qassam sentiasa dekat di hati penduduk Palestin. Foto: EPA
SUKAR untuk ditakrifkan sama ada Hamas dan Al-Qassam mempunyai cukup kekuatan untuk melawan rejim Zionis dalam mempertahankan bumi Gaza. Tetapi kekuatan kumpulan pejuang ini tidak boleh dipandang ringan oleh kuasa luar terutama Amerika Syarikat mahupun Rusia.

Anggota Hamas dan Fatah

Harakatul Muqawwamatil Islamiyyah (Hamas) dibentuk secara rasmi pada Disember 1987 iaitu ketika kemuncak Intifada Pertama yangt berlaku selama 10 tahun.

Ada sumber mengatakan, idea penubuhannya pernah tercetus sekitar 1973 iaitu lanjutan kelahiran pejuang gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Ketika itu dikatakan ribuan mujahid sedang menghadapi kemaraan penjajah Yahudi yang ketika itu cuma merampas tanah Palestin pada 1948. Susulan dari itu, Ikhwanul menubuhkan cawangan barunya di Palestin sekali gus lahirlah HaAmas.

Ketua Hamas pertama pada 1987 ialah As-Syahid Sheikh Ahmad Yasin yang akhirnya syahid pada 22 Mac 2004. Ia kemudiannya digantikan DrAbdul Aziz Ar-Rantisi.

Beliau bagaimanapun hanya sempat berkhidmat selama sebulan apabila dibedil oleh helikopter Apache Israel pada 18 April 2004.
Jawatan itu kini dipimpin oleh Sheikh Khalid Mish’al dan Sami Abu Zuhri.

Sepanjang perjuangan menentang Israel, Hamas juga berhadapan dengan parti kebangsaan Palestin iaitu Fatah pimpinan Mahmoud Abbas. Fatah adalah lanjutan dari Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pimpinan Yaser Arafat.

Terdapat sumber menyatakan Fatah mendapat perlindungan dari Israel dan Amerika Syarikat. Namun, sejauh mana dakwaan itu, tiada siapa yang tahu.

Briged Al-Qassam

Al-Qassam adalah sayap ketenteraan Hamas terdiri daripada pejuang berhati waja. Mereka sentiasa bersedia menghadapi Zionis pada bila-bila masa. Bagi menyertai kumpulan ini, seseorang haruslah mempunyai ciri-ciri seperti;

1 - Mendapat izin dari ibu bapa untuk syahid.
2 - Mendapat izin dari ketua masjid di tempat tinggalnya dengan pengesahan individu itu tidak meninggalkan solat subuh berjemaah selama tiga bulan.
3 - Tidak melakukan maksiat atau menghisap rokok.
4 - Wajib mempelajari tafsir al-Quran.
5 - Wajib membaca al-Quran satu juzuk sehari.
6 - Wajib menghafaz 40 hadis Arba’in (Imam Nawawi).
7 - Puasa sunat dan bertahajud.
8 - Tahap kecerdasan tinggi.
9 - Kerap hadir di majlis pengajian ilmu.
10 - Mengamalkan zikir harian.

Datuk 48 cucu khalwat dengan isteri orang



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Julai 2014


KUALA TERENGGANU - Seorang datuk kepada 48 cucu dan empat cicit didenda RM2,400 selepas didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Alias Salleh, 78, yang masih beristeri dan mempunyai 18 anak itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang bekas guru dan berkahwin sebanyak 25 kali itu memilih menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan pertuduhan, Alias didapati berkhalwat dengan seorang tukang cuci berstatus isteri orang, Zalina Ismail, 31, di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Mei lalu.

Sebelum kejadian, Alias dan wanita terbabit yang berasal dari Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, ditahan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan oleh sepasukan polis, yang kemudian mendapati mereka tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dibuat Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala Alias tidak diwakili peguam syarie.

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakimannya menasihatkan warga emas itu bertaubat atas kesalahannya, apatah lagi pada usia emas seperti itu kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan.

“Dengan peringkat umur kamu ini, bukan waktu yang munasabah dan sesuai untuk kamu buat kesalahan seperti ini. Kamu nak balik menghadap ALLAH dah...hukuman yang mahkamah jatuhkan kepada kamu tidak boleh menebus kesalahan yang kamu lakukan ini. Insaf dan bertaubatlah,” katanya.

Fenomena menakjubkan bulan 'Supermoon'



REUTERS
BULAN 'Supermoon' yang boleh dilihat di sebalik kawasan perumahan di Olvera, di wilayah Cadiz, selatan Sepanyol kelmarin.


WASHINGTON - Kejadian bulan penuh atau dikenali sebagai 'Supermoon' berjaya dirakamkan kelmarin dengan bentuk dan saiz yang luar biasa, lapor Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Menerusi imej yang dirakam, kedudukan bulan itu kelihatan dekat dengan bumi dan bersaiz lebih besar serta lebih cerah daripada biasa.
Menurut NASA, kejadian 'Supermoon' akan dilihat berada lebih dekat berhampiran bumi pada 10 Ogos ini. Fenomena yang sama dijangka juga dapat disaksikan pada 9 September ini.
Bulan dan Bumi yang mempunyai jarak sejauh 356,577 kilometer kali terakhir dilihat berlakunya fenomena 'Supermoon' adalah pada tahun 1993, dengan 20 peratus lebih cerah serta 15 peratus lebih besar berbanding saiz bulan biasa. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz37OP26R75 
Hakcipta terpelihara 

Budak 5 tahun kawal jentera berat


Gambar merakamkan aksi Wang Shuhan berusia lima tahun mengendalikan jentera pengorek yang dipercayai diambil oleh ayahnya sendiri di tapak pembinaan di wilayah Hubei, tengah China, baru-baru ini. - AGENSI
BEIJING 13 Julai - Aksi seorang kanak-kanak lelaki dari China berusia lima tahun mengendalikan jentera pengorek yang tersebar dalam internet, mencetuskan kebimbangan terhadap kualiti pembinaan ba­ngunan dan jalan raya di negara ini yang sering runtuh dan rosak.
Mail Online melaporkan, dalam rakaman video itu, Whang Shuhan mengawal jentera berat itu untuk mengorek tanah dengan aksi bersahaja di satu tapak pembinaan di Whuan dekat wilayah Hubei, tengah China.
Malah ayahnya, Wang Xuebing yang dipercayai merakamkan aksi anaknya itu, menggalakkan Shuhan mengikut jejaknya mengendalikan jentera pengorek dan sering membawa anaknya itu ke tempat kerja.
"Pada usia tiga tahun, Shuhan telah mula mengemudi kenderaan tersebut selepas saya memberi pe­nerangan kepadanya tentang fungsi gear dan bahagian lain.
"Dia melihat jentera itu sebagai alat permainan yang besar dan saya juga sentiasa memantau Shuhan setiap kali dia mengendalikan jentolak tersebut sebagai langkah berhati-hati," katanya.
Tindakan Xuebing membenarkan anaknya membuat kerja pembinaan meningkatkan kebimbang­an tentang kualiti struktur yang dibina selepas kejadian tempat letak kereta bawah tanah runtuh ekoran dilanda angin kuat dan hujan lebat di bandar Yan'an, wilayah Shaanxi di barat China, baru-baru ini.
Jurutera mendakwa kuantiti air yang banyak membanjiri kawasan itu tidak mampu ditampung dengan baik, tetapi media tempatan menyalahkan mereka kerana tidak mengikut asas pembinaan dengan betul.
Dalam kejadian lain pada awal minggu ini, sebuah lagi tempat letak kereta di Chengdu, barat laut China turut runtuh selepas hujan lebat, dipercayai berpunca akibat kelemahan yang sama seperti kejadian di Yan'an.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_09/Budak-5-tahun-kawal-jentera-berat#ixzz37OJrwSrr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bas dua tingkat Routemaster sambut ulang tahun ke-60


ORANG ramai mengambil kesempatan mengambil gambar bas paling ikonik di Britain, Routemaster sempena sambutan ulang tahun ke-60 bas dua tingkat itu yang diadakan di Taman Finsbury, London, hari ini. - AGENSI
LONDON 13 Julai - Kira-kira 130 buah bas dua tingkat, Routemaster yang merupakan lambang paling ikonik di kota London, akan terlibat dalam perarakan di ibu negara Britain ini, esok sempena sambutan ulang tahun peringatan ke-60 pembinaan bas itu.
Menurut Mail Online, majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Routemaster bertempat di Taman Finsbury itu juga memberi peluang kepada orang ramai menaiki bas berkenaan untuk bersiar-siar di sekitar bandar London.
Malah bas Routemaster yang kini berada di Scotland, Jerman dan Perancis telah dipanggil untuk menyertai konvoi tersebut bagi mengembalikan nostalgia sebagai antara sistem pengangkutan awam paling awal bertapak di Britain.
Prototaip Routemaster pertama dibangunkan antara 1947 dan 1956 dengan reka bentuk yang lebih ringkas dan jimat minyak.
Walaupun bas klasik itu tiga tan lebih ringan berbanding bas persiaran yang memuatkan 56 penumpang, tetapi Routemaster boleh membawa 64 orang penumpang pada satu-satu masa.
Kini selepas 60 tahun berlalu, kebanyakan model bas itu dicat semula tetapi ramai pemilik Routemaster mengekalkan iklan dan poster asal yang ditampal pada kenderaan tersebut.
Untuk mengembalikan suasana zaman kegemilangan Routemaster, penganjur turut memasang skrin televisyen yang menggunakan gulungan filem lama, gerai cenderahati dan gerai makanan yang berkonsepkan era klasik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140714/lu_08/Bas-dua-tingkat-Routemaster-sambut-ulang-tahun-ke-60#ixzz37OJeqY7G
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, July 13, 2014

Larangan berpuasa di Xinjiang sahih

Pelajar Islam di seluruh universiti di Xinjiang dilarang untuk mengerjakan Rukun Islam ketiga.
Pelajar Islam di seluruh universiti di Xinjiang dilarang untuk mengerjakan Rukun Islam ketiga.

BEIJING - CHINA. Beberapa penuntut Universiti Kashgar Normal di wilayah barat Xinjiang mengesahkan mereka sememangnya ditegah berpuasa seperti yang diuar-uarkan media sebelum ini.

Memetik laporan Agensi, seramai tiga pelajar Islam itu turut mendedahkan mereka dipaksa makan bersama pensyarah untuk memastikan pelajar di institusi pengajian tinggi terbabit mematuhi larangan tersebut.

"Mana-mana penuntut yang enggan mematuhi arahan terbabit akan dikenakan hukuman berat. Semua universiti di Xinjiang telah menguatkuasakan larangan tersebut.

"Kebanyakan pelajar Islam terpaksa akur kerana takut tidak dapat menamatkan pengajian mereka," kata seorang daripada pelajar itu yang enggan identitinya didedahkan.

Menurutnya lagi, beberapa jabatan kerajaan turut mengenakan larangan sama dan yang paling memeranjatkan apabila kakitangan beragama Islam di sebuah hospital juga diarahkan menandatangani perjanjian bertulis bahawa mereka tidak akan berpuasa sepanjang Ramadan.

Sebelum ini, Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang pernah menafikan laporan media yang mendakwa kononnya penduduk Islam di wilayah Xinjiang dilarang berpuasa ketika Ramadan.

Awal bulan lalu, media antarabangsa melaporkan kerajaan China meneruskan larangan berpuasa ke atas etnik Uighur terutamanya kakitangan awam, pelajar dan guru seperti yang dikenakan sebelum ini.

Susulan daripada pendedahan itu, banyak pihak menyelar tindakan kerajaan tersebut yang dilihat sengaja mahu menyekat kebebasan beragama selain disifatkan sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan minoriti di negara terbabit.

Bapa tiri dapat hadiah Porsche



Gambar menunjukkan Dave dan Kristin bergambar bersama kereta Porsche keluaran tahun 1973.


LOS ANGELES - Seorang anak perempuan tiri mengejutkan bapa tirinya, Dave Russell dengan memberikan hadiah sebuah kereta Porsche lama, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kereta tersebut pernah menjadi milik Dave tetapi dia terpaksa menjualnya selepas berkahwin dengan ibu anak perempuannya itu.
Anak perempuan tiri Dave, Kristin Russell dari California kemudian memutuskan untuk membeli kereta Porsche 914 2.0L keluaran tahun 1973.
Kristin juga sanggup melakukan pencarian selama dua tahun dan mengembara sejauh 1,126.54 kilometer ke Arizona untuk membeli kereta yang pernah dimiliki Dave itu.
Dia kemudian menghantar kereta tersebut untuk dibaiki oleh seorang mekanik dekat rumah ibu bapanya di Philadelphia,
Kereta tersebut kemudian dihadiahkan kepada bapa tirinya itu pada Hari Bapa.
Kristin tidak mendedahkan harga yang dibayarnya untuk memiliki Porsche itu.
Namun, menurut syarikat insurans kereta Hagerty, harga pasaran kereta itu ialah AS$14,822 (RM47,212).


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0713&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz37IhurWEN 
Hakcipta terpelihara 

Saturday, July 12, 2014

Mayat Pendaki Gunung Mont Blanc Ditemui Selepas 32 Tahun


Diterbitkan: Khamis, 10 Julai 2014 1:27 PM

MAYAT seorang pendaki muda Perancis yang hilang di gunung Mont Blanc telah dijumpai; selepas 32 ​​tahun.

Polis di bandar pergunungan Chamonix di wilayah Haute-Savoie Perancis mengenal pasti mayat yang ditemui oleh sekumpulan pendaki sebagai Patrice Hyvert, yang telah hilang pada tahun 1982 ketika berusia 23 tahun.

Hyvert, pendaki gunung yang bercita-cita tinggi, meninggalkan rumahnya pada 1 Mac 1982 untuk melakukan pendakian solo di kawasan pergunungan mencabar, Nant Blanc, Mont Blanc di sebelah Perancis, tetapi tidak pernah kembali selepas cuaca tiba-tiba bertukar buruk dan dia terkandas.

Pasukan penyelamat helikopter terpaksa menangguhkan pencarian selama dua hari kerana cuaca buruk dan tidak dapat menemuinya.

Bapa Hyvert, Gerard, 82 tahun, terkejut apabila mendapat berita mayat anaknya telah ditemui.

"Saya seorang 'lelaki gunung', dan saya lebih suka dia 'tinggal' di atas sana," katanya kepada radio RTL.

"Dia lebih baik berada di atas sebuah gunung berbanding dalam keranda."

Kumpulan pendaki yang menemui mayat Hyvert telah mendaki kawasan pergunungan ais Talefre yang merupakan gunung tertinggi di Eropah yang telah mengalami pencairan ais minggu lepas.mstar

Wanita mahu kahwin empat


Woman with two husbands looking for two more

Harare: Seorang wanita yang sudah mempunyai suami, berhasrat berkahwin dengan dua lagi lelaki.

Dukun wanita yang berusia 57 tahun itu, Emma Chaleka berkata, memang menjadi impiannya untuk mempunyai empat suami.


Menurutnya, dia akan menambah bilangan suaminya itu jika mereka sanggup hidup dengan aman di bawah satu bumbung dan menghormati apa yang dianggapnya sebagai ‘tugas’ masing-masing.



Emma mendakwa suami pertamanya, Never Mudenda yang memperkenalkan dia kepada suami keduanya, Sikabenga Pendasi, 55.


Disebabkan amalan luar biasa yang diamalkannya, perkahwinannya menjadi ‘buah mulut’ masyarakat di bandar di Gadzema.


Pendasi berkahwin dengan Emma di hadapan saksi yang juga jiran mereka dengan membawa seekor ayam sebagai hantaran.

Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi huru-hara apabila suami pertamanya mula cemburu terhadap suami baru isterinya itu.


Mudenda dan anaknya kemudian menyerang Pendasi. Kerana tidak mahu anak-anaknya dipenjara, Emma memujuk suami keduanya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis. Emma sebelum itu mempunyai 11 anak hasil perkahwinan dengan seorang lelaki yang sudah meninggal dunia, selain dua lagi dengan Mudenda. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/12

Bukan ‘budak penyu’ lagi


Didier Montalvo, lapan, pernah digelar ‘budak penyu’ kerana mempunyai ketumbuhan seperti cengkerang di belakang badannya.
Dia disahkan menghidap Congenital Melanocytic Nevus (CMN) pada 2011.

Didier diterbangkan dari bandar asalnya di Colombia ke Britain semalam untuk bertemu dengan kanak-kanak yang senasib dengannya.
Foto
DIDIER sebelum (kanan) dan selepas dibedah.

Menceritakan keadaan anaknya dalam satu wawancara dengan stesen televisyen ITV, ibu Didier, Luz berkata, anaknya begitu sedih kerana digelar ‘budak penyu.’

“Dia sering memberitahu saya mengapa nasib dia begitu. Sukar untuk menjawab soalannya. 

“Keadaan itu menghalangnya melakukan pelbagai aktiviti yang digemarinya,” kata Luz.

Tetapi mujur ada pakar bedah plastik, Neil Bulstrode yang sanggup menjalankan pembedahan percuma selepas mendengar nasib Didier.

Dia kini boleh menjalani hidup seperti kanak-kanak lain.

Bulstrode berlepas ke Bogota untuk membantu sepasukan pakar bedah membuang tanda lahir Didier yang tumbuh begitu besar sehingga membahayakan nyawanya.

Doktor kemudian menjalani beberapa sisi pembedahan secara berperingkat-peringkat.

Menurut Bulstrode, kes Didier adalah yang paling teruk pernah ditemuinya.

“Dia umpama berjalan dengan membawa seguni kentang di belakangnya,” kata Bulstrode. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/12

Remaja Turki wanita tertinggi dunia


GELGI bergambar bersama seorang pegawai Guinness World Records yang menyerahkan sijil pengiktirafan ketinggiannya di Safranbolu, Turki baru-baru ini.


SAFRANBOLU, Turki - Seorang remaja di sini diiktiraf sebagai wanita paling tinggi di dunia oleh Guinness World Records dengan memiliki ketinggian 213.6 sentimeter (sm), lapor portal berita MailOnline semalam.
Remaja berusia 17 tahun itu, Rumeysa Gelgi turut menghidap sindrom weaver yang menyebabkan tubuhnya menjadi besar.
"Saya gembira menjadi seseorang yang berbeza daripada orang lain," kata Gelgi.
Wanita itu terpaksa menggunakan alat bagi membantunya berjalan kerana tubuhnya yang besar menyebabkan dia sukar untuk membuat imbangan pada badannya.
Dia menerima sijil pengiktirafan Guinness World Records di rumahnya di Safranbolu, Karabuk baru-baru ini.
Gelgi merupakan pelajar gred 11 dan tinggal di rumah bersama keluarga dan adik-beradiknya yang lain yang mempunyai ketinggian normal.
Dia juga mempunyai sepasang kasut yang ditempah khas di Amerika Syarikat.
Tubuh Gelgi tidak lagi membesar menyebabkan dia tidak akan mengatasi ketinggian lelaki paling tinggi di dunia dari Turki, Sultan Kosen yang setinggi 251sm. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz37ChOrC6t 
Hakcipta terpelihara 

Buta kerana pakai kanta lekap


TAIPEI 11 Julai - Seorang pelajar Taiwan yang memakai kanta lekap pakai buang selama enam bulan tanpa menanggalkannya, menjadi buta selepas sejenis bakteria mikroskopik parasit merosakkan bebola matanya.
Mata Lian Kao buta kerana dia tidak menanggalkan dan mencuci kanta lekap yang dipakainya itu selama enam bulan.
Menurut laporan akhbar Daily Mail, beberapa doktor menyatakan, kes itu merupakan satu contoh kritikal membabitkan orang muda yang tidak mementingkan kebersihan sehingga enggan meluangkan masa untuk membersihkan kanta lekap.
Pengarah bahagian oftalmologi di Hospital Wan Fang, Wu Jian-liang berkata, pemakai kanta lekap merupakan kumpulan yang be-risiko tinggi untuk terdedah kepada pelbagai penyakit mata.
"Kekurangan oksigen akan me-rosakkan permukaan tisu epithelial, menyebabkan luka kecil yang memudahkan jangkitan kuman terjadi, sekali gus merebak ke keseluruhan mata dan menjadikannya sebagai tempat pembiakan bakteria," katanya.
Jelas Jian-liang, remaja perempuan itu sepatutnya membuang kanta lekap tersebut selepas sebulan digunakan, tetapi terus menggunakannya, menyebabkan kornea matanya rosak.
Tambahnya, remaja itu disahkan mengidap penyakit acanthamoeba keratitis yang jarang berlaku dan se-ring menyerang pada musim panas.
Parasit mikroskopik atau acanthamoeba, biasanya ditemui pada air dan tanah yang merebak sama ada menerusi kanta sentuh, luka atau luka kulit dan semasa bernafas.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140712/lu_10/Buta-kerana-pakai-kanta-lekap#ixzz37CcgXgWn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nordstrom Tower bangunan kediaman tertinggi dunia


NEW YORK 11 Julai - Nordstrom Tower yang kini dalam proses pembinaan di sini, bakal menjadi bangunan kediaman tertinggi di dunia apabila siap sepenuhnya pada tahun 2018, lapor Mail Online.
Terletak di 227 West, 57th Street, pencakar langit yang mempunyai ketinggian 540 meter itu juga akan menjadi bangunan tertinggi di hemisfera barat mengatasi One World Trade Center.
Walaupun One World Trade Center mempunyai ketinggian 541 meter iaitu 1 meter lebih tinggi daripada Nordstrom Tower, namun begitu ukuran aras bumbungnya hanyalah setinggi 450 meter.
Laman web berita YIMBY melaporkan, menara tersebut juga akan mengatasi ketinggian bangunan kediaman pencakar dunia lain iaitu Mumbai World One Tower dan 432 Park Avenue.
Mempunyai keluasan 1.2 juta kaki persegi, bangunan berkenaan juga bakal memiliki pusat beli-belah gergasi setinggi tujuh tingkat di bahagian bawahnya.
Selain itu, Nordstrom Tower juga dilaporkan mempunyai lebihan ketinggian sebanyak 91 meter daripada mana-mana bangunan yang terdapat di sekitar bandar raya New York.
Pihak yang bertanggungjawab dalam menghasilkan reka bentuk Nordstrom Tower adalah dua orang arkitek tersohor iaitu Adrian Smith dan Gordon Gill yang terkenal dengan hasil kerja mereka menghasilkan rekaan bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa, di Dubai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140712/lu_08/Nordstrom-Tower-bangunan-kediaman-tertinggi-dunia#ixzz37CcIf06d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Serba kekurangan


PENDUDUK Islam Sudan Selatan selesai menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di sebuah kawasan lapang di kem pelarian selepas berbuka puasa di Andalas, dekat Khartoum, semalam. - REUTERS
Krisis perang saudara di Sudan Selatan yang masih berlanjutan sejak tahun lalu, menyaksikan penduduk Islam di sebuah kem pelarian di Sudan Selatan pasrah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dalam serba kekurangan terutamanya apabila ketiadaan kemudahan penting termasuk masjid.
Dengan hanya berbekalkan batu-bata sebagai penanda binaan masjid buatan sendiri dan berlantaikan tanah selain beralaskan tikar plastik dan sejadah, keadaan itu tidak menghalang pelarian Islam di kem terbabit untuk menunaikan solat.
Bagi mereka, segala ujian perlu dihadapi dengan tabah dan rasa syukur kerana masih diberikan nafas untuk beramal sebaik mungkin sebelum ajal menjemput.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140712/lu_07/Serba-kekurangan#ixzz37Cbv4QLx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, July 11, 2014

Dapat hidayah melalui mimpi

Lisiyanti (kanan) sedang belajar membaca al-Quran ketika mengikuti kelas di Petama di sini.
Lisiyanti (kanan) sedang belajar membaca al-Quran ketika mengikuti kelas di Petama di sini.
KUANTAN - “Saya mendapat hidayah melalui mimpi sebelum mengambil keputusan memeluk Islam pada 26 Disember tahun lalu,” demikian kata remaja Orang Asli, Lisiyanti Zainal, 19.

Menurutnya, dalam mimpi itu ada individu datang bertemu dengannya sambil menghadiahkan sejadah dan telekung sembahyang.

“Sukar mentafsir apa yang tersirat di sebalik peristiwa itu, saya segera bertemu dengan seorang ustaz bagi mendapatkan penjelasan mimpi berkenaan selain mendengar nasihat tindakan terbaik yang perlu saya buat.

“Keinginan untuk memeluk Islam yang sebelum ini begitu menebal ditambah pula apabila mendapat sokongan kuat dan nasihat daripada kakak saudara, Melora Sentri, 22, yang sudah lama bergelar Muslim,” katanya.

Lisiyanti berkata, sebelum memeluk Islam, dia sudah biasa berpuasa dan menunaikan solat ketika tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak, Bentong, selama lima tahun.

“Malah  rakan-rakan terdiri daripada pelajar Melayu banyak menceritakan kehebatan Islam kepada saya,” katanya.

Lisiyanti berkata, kini selepas tujuh bulan bergelar Muslim dia begitu tenang dan selesa serta tidak ada sebarang masalah untuk dia menunaikan sembahyang lima waktu, memakai tudung, membaca al-Quran dan berpuasa.

“Saya bersyukur kerana keluarga tidak pernah melarang saya memeluk Islam malah sentiasa memberikan galakan walaupun mereka masih lagi dengan kepercayaan nenek moyang, saya berharap satu hari nanti ibu bapa dan adik beradik lain memilih Islam.

“Pengalaman kali pertama menyambut Ramadan selepas bergelar Muslim begitu menyeronokkan, saya tidak banyak menghadapi masalah cuma pada hari pertama saja dianggap begitu mencabar apabila terasa begitu penat kerana lapar dan dahaga.

“Namun, selepas beberapa hari keadaan kembali normal, setiap hari saya tidak sabar menanti waktu berbuka. Juadah nasi dan kuih menjadi menu harian. Selesai berbuka kami menunaikan solat Maghrib dan Tarawih secara berjemaah,” katanya yang berasal dari Pos
Lemoi, Cameron Highlands.

Lisiyanti antara 31 pelajar orang Asli dari seluruh negeri ini yang kini belajar selama satu tahun setengah di Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) Bukit Sekilau, di sini.

Tukar permaidani meragukan

Kuantan: Kontraktor yang bertanggungjawab membina Masjid Lapang Besar di Jalan Tun Ismail, di sini, akan menukar permaidani ruang utama solat di masjid berkenaan yang tertera kalimah Allah selain lambang salib.
Ia susulan mesyuarat antara Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abd Aziz dan wakil syarikat pemaju, baru-baru ini. 
Pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Abdul Zaki Mat Zin berkata, kontraktor terbabit diberikan tempoh sebulan untuk melakukan kerja penggantian itu bagi membolehkan JAIP mengeluarkan sijil layak menggunakan masjid berkenaan.

Beliau berkata, siasatan sebelum ini mendapati permaidani di ruang utama solat berwarna kelabu mempunyai corak tertera tulisan Allah selain lambang salib.
Foto
CORAK permaidani yang menimbulkan keraguan.

“Jalan terbaik perlu dilakukan adalah menanggalkan semua permaidani dan tukar dengan yang baru. Jika usaha menggantikan dengan yang baru tidak dapat dilakukan, sijil layak menggunakan masjid berkenaan tidak akan dikeluarkan,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

RM511,00 untuk cari isteri ‘suci, asli’



Beijing: Seorang jutawan di Wuhan dilaporkan menghabiskan sejuta yuan (RM511,992) kepada sebuah syarikat pengurusan perkahwinan untuk mencarinya seorang isteri yang ‘suci dan asli’, lapor akhbar Jingchu Daily.

Jutawan yang masih bujang bernama Rong itu dikatakan ‘gila bekerja’ sehingga jarang mempunyai masa untuk aktiviti sosial, malah tidak merokok atau minum arak.


Ketika ditanya kenapa dia memilih khidmat ejen untuk mencari isteri, Rong berkata: “Saya mahu menggembirakan ibu saya dan kerjaya saya juga kini lebih stabil jadi saya mempunyai lebih masa untuk menikmati kehidupan bersama isteri dan keluarga.

“Di tempat kerja saya memang tidak sesuai untuk memikirkan percintaan.


“Memang ramai wanita yang saya temui tetapi tidak seorang pun sesuai untuk dijadikan isteri. Bakal isteri saya mestilah ‘suci dan asli’ kalau tidak nanti saya akan cepat jemu.


“Namun pada masa sama saya mahu memastikan dia bahagia dan tidak kisah sama ada dia mahu menjadi suri rumah atau memulakan perniagaannya sendiri,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

Tiga tahun teman mayat


New York: Seorang wanita hidup selama tiga tahun malah makan dan tidur di sebelah mayat ibunya di dalam sebuah apartmen sempit.

Chava Stirn, 28, hidup dengan mayat ibunya Susie Rosenthal malah mendudukkan Susie di meja makan setiap waktu makan malam dan tidur bersama mayat itu ketika tidur.


Menurut akhbar new York Post, Chava dilaporkan menyusun rangka ibunya itu di atas plastik sampah di dapur sebelum perbuatannya terbongkar.

Difahamkan, dia menarik kerusi ke dapur setiap malam untuk tidur di sebelah rangka itu.


Malah Chava juga berpakaian seperti ibunya - baju dan kasut hitam digunakan wanita berusia 61 tahun itu ketika dia mati.


Kejadian berkenaan disamakan dengan filem seram terkenal karya Hitchcock berjudul Psycho.

Jiran Chava di Brooklyn tidak mengesyaki sesuatu sehingga seorang penjaga bangunan menemui rangka Susie ketika menyiasat kebocoran di kediaman berkenaan. Dia kemudian menghubungi polis.

Chava bagaimanapun enggan membuka pintu ketika polis datang menyiasat menyebabkan mereka terpaksa memecah masuk sebelum menemui wanita itu dalam rumah yang kotor dan dipenuhi sampah-sarap.

Dia difahamkan berpindah ke situ sebelum kematian ibunya dan tidak pernah keluar dari rumah, malah jirannya sering meninggalkan makanan untuknya kerana dia juga tidak membenarkan sesiapa memasuki apartmen itu.

Punca kematian Susie masih disiasat manakala Chava kini ditahan di Pusat Perubatan Maimonides untuk ujian psikologi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

Padah pesta larian lembu


Mengikut kenyataan kerajaan tempatan Navarra, dua lelaki itu ditanduk di kaki manakala lima lain dibawa ke hospital kerana cedera ringan dalam kejadian jam 8 pagi itu.
Kejadian berlaku selepas seekor lembu terpisah dari kumpulannya dan merempuh orang ramai, mengakibatkan keadaan menjadi panik.

Larian lembu adalah acara kemuncak bagi setiap daripada sembilan hari pesta yang diadakan di jalanan Pamplona itu dan disertai ribuan pelancong setiap tahun.
Foto
BEBERAPA peserta larian lembu di Pamplona terjatuh dan dipijak haiwan itu.

Puluhan orang sering cedera sepanjang festival itu setiap tahun, kebanyakannya akibat terjatuh ketika melarikan diri.

Malah 15 orang mati ditanduk sejak pihak berkuasa mula menyimpan rekod festival berkenaan pada 1924.

Dalam pesta tahun ini, empat rakyat tempatan dan seorang warga Amerika dilaporkan ditanduk setakat ini, namun hanya seorang lelaki Sepanyol dilaporkan parah.

Enam lembu jantan yang dimasukkan dalam larian itu selalunya dibunuh selepas acara lawan lembu pada sebelah petang. - AP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/11

Juruterbang beli piza untuk penumpang terperangkap dalam pesawat



SEORANG pramugari memberikan kotak mengandungi piza kepada para penumpang syarikat Frontier Airlines di sebuah lapangan terbang di Cheyenne pada Isnin lalu.


CHEYENNE, Wyoming - Seorang juruterbang pesawat syarikat Frontier Airlines, Gerhard Bradner membeli piza untuk dimakan para penumpang yang terperangkap selama beberapa jam disebabkan ribut.
Pengurus Domino's Pizza, Cheyenne, Andrew Ritchie memberitahu agensi berita The Associated Press, Bradner menghubunginya pada pukul 10 malam waktu tempatan untuk membeli 35 kotak piza.
Ritchie berkata, Bardner mahu memberikan makanan kepada 160 orang penumpang yang terperangkap di dalam pesawat tersebut di sebuah lapangan terbang di sini.
Para penumpang itu terpaksa menunggu beberapa jam di dalam pesawat kerana ribut berlaku di laluan penerbangan pesawat berkenaan ke Denver.
Ritchie berkata, Bardner mahu piza itu dihantar dengan segera.
Menurutnya, dia kemudian memanggil beberapa kakitangannya untuk menghasilkan piza tersebut.
Stesen televisyen KUSA-TV melaporkan, pesawat yang dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Denver dari Washington D.C itu kemudian berlepas pada pukul 10.30 malam sejurus piza tersebut tiba untuk dimakan para penumpang. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz376rTSTk9 
Hakcipta terpelihara