BEIJING - CHINA. Beberapa penuntut Universiti Kashgar Normal di wilayah barat Xinjiang mengesahkan mereka sememangnya ditegah berpuasa seperti yang diuar-uarkan media sebelum ini.

Memetik laporan Agensi, seramai tiga pelajar Islam itu turut mendedahkan mereka dipaksa makan bersama pensyarah untuk memastikan pelajar di institusi pengajian tinggi terbabit mematuhi larangan tersebut.

"Mana-mana penuntut yang enggan mematuhi arahan terbabit akan dikenakan hukuman berat. Semua universiti di Xinjiang telah menguatkuasakan larangan tersebut.

"Kebanyakan pelajar Islam terpaksa akur kerana takut tidak dapat menamatkan pengajian mereka," kata seorang daripada pelajar itu yang enggan identitinya didedahkan.

Menurutnya lagi, beberapa jabatan kerajaan turut mengenakan larangan sama dan yang paling memeranjatkan apabila kakitangan beragama Islam di sebuah hospital juga diarahkan menandatangani perjanjian bertulis bahawa mereka tidak akan berpuasa sepanjang Ramadan.

Sebelum ini, Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang pernah menafikan laporan media yang mendakwa kononnya penduduk Islam di wilayah Xinjiang dilarang berpuasa ketika Ramadan.

Awal bulan lalu, media antarabangsa melaporkan kerajaan China meneruskan larangan berpuasa ke atas etnik Uighur terutamanya kakitangan awam, pelajar dan guru seperti yang dikenakan sebelum ini.

Susulan daripada pendedahan itu, banyak pihak menyelar tindakan kerajaan tersebut yang dilihat sengaja mahu menyekat kebebasan beragama selain disifatkan sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan minoriti di negara terbabit.