Pages

Tuesday, August 14, 2012

Jet tentera Syria ditembak jatuh




IMEJ daripada video amatur menunjukkan sebuah jet tentera Syria ditembak jatuh di wilayah Deir el-Zour, Syria semalam.


DAMSYIK - Pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA) mendakwa pihaknya menembak jatuh sebuah jet pejuang semalam tetapi kedudukan tentera pemerintah semakin kukuh di bandar raya Aleppo apabila mereka mara ke sebuah daerah baharu yang dikuasai FSA.
Tentera pemerintah turut mengebom beberapa kawasan di sekitar ibu kota Syria di sini dan melancarkan operasi pembersihan di bandar raya berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika beberapa klip video kontroversi yang menunjukkan kekejaman FSA di sekitar Aleppo disiarkan.
Satu rakaman tersebut menunjukkan anggota-anggota FSA mencampakkan beberapa mayat dari sebuah bangunan pejabat pos manakala klip video kedua memaparkan pemberontak menyembelih seorang lelaki.
Dalam perkembangan berkaitan, media Syria melaporkan sebuah jet tentera terhempas di timur negara itu ketika penerbangan rondaan selepas mengalami masalah teknikal. Menurutnya, juruterbang pesawat itu sempat mengaktifkan kerusi anjal pesawat bagi menyelamatkan diri.
Namun, FSA yang menggesa masyarakat antarabangsa supaya membekalkan organisasi tersebut dengan senjata penangkis pesawat mendakwa pihaknya menembak jatuh jet berkenaan di wilayah Deir Ezzor, timur Syria.
"Ya, kami boleh mengesahkan bahawa sebuah jet pejuang MiG 21 telah ditembak jatuh," kata jurucakap FSA, Kassem Saadeddine. - AFP

Iran bimbang wabak penyakit selepas gempa



RUNTUHAN rumah yang terdapat di Kampung Varzaghan semalam selepas gempa bumi yang berlaku pada Sabtu lalu.


TEHERAN - Gempa bumi berkembar yang memusnahkan sejumlah perkampungan di pedalaman barat daya Iran hujung minggu lalu meragut 306 nyawa dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, kata beberapa pegawai semalam.
Bencana itu juga kata mereka, mencetuskan kebimbangan penularan wabak penyakit.
Menteri Kesihatan Iran, Marzieh Vahid berkata, seramai 3,037 lagi mangsa cedera dengan 2,011 orang diberikan rawatan di lokasi kejadian manakala baki mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.
Menurutnya dalam laporan yang disiarkan di laman web Parlimen Iran, sebanyak 700 pembedahan dilakukan bagi menyelamatkan mangsa gempa bumi tersebut.
"Kami masih meneruskan usaha bagi mencari mayat-mayat mangsa," katanya.
Kelmarin pihak berkuasa Iran membatalkan usaha operasi menyelamat selepas memberitahu semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
Seorang lagi pegawai, Hassan Ghadami yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Bagi Pengurusan Krisis berkata: "Ramai mangsa terbunuh selepas beberapa jam pertama gempa berlaku ekoran dihempap timbunan runtuhan kediaman mereka.,"
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kecemasan Iran, Gholamreza Masoumi memberi amaran kemungkinan berlaku wabak penyakit berjangkit ketika mangsa-mangsa tinggal dalam persekitaran kotor dan mengalami kekurangan air dan tandas.
"Satu lagi isu penting adalah sejumlah besar bangkai haiwan yang bergelimpangan di sekitar kawasan gempa dan di dalam sumber air," katanya.
Dua gempa bumi kuat berkenaan yang setiap satu berukuran 6.4 dan 6.3 pada skala Richter menggegarkan barat daya Iran pada Sabtu lalu dengan meruntuhkan banyak bangunan dan kediaman di sejumlah perkampungan di barat daya bandar Tabriz.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Abdolhossein Faghih memberitahu Parlimen negara itu, 230 buah kampung rosak teruk dengan sejumlahnya musnah sama sekali dalam bencana tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Iran melancarkan satu dana bagi membina semula kediaman di kawasan pergunungan dilanda gempa tersebut menjelang musim sejuk yang akan melanda empat bulan lagi.
Pemerintah turut memberikan bantuan tunai hampir AS$2,000 (RM6,373) kepada setiap keluarga yang terjejas selain pemberian pinjaman dengan kadar faedah rendah sehingga AS$6,000 (RM19,119) untuk setiap keluarga.
Iran turut menolak bantuan luar daripada beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Taiwan, Singapura dan Rusia. Teheran menyatakan, ia dapat menangani bencana tersebut. - AFP

Monday, August 13, 2012

Bandar eksklusif untuk wanita bekerja



Golongan wanita di Arab Saudi boleh bekerja tanpa melanggar sebarang isyarat selepas bandar baru yang dikenali sebagai Hafuf siap dibina. - AGENSI
RIYADH 12 Ogos - Arab Saudi merancang membina sebuah bandar baru yang eksklusif untuk wanita bagi membolehkan kaum itu bekerja dengan selamat.
Pembinaan bandar Hafuf oleh Pihak Berkuasa Hartanah Industri Arab Saudi itu, kini berada di peringkat pembangunan dan pembinaan dijangka bermula pada tahun depan.
Ia diharap dapat membenarkan wanita bekerja tanpa melanggar undang-undang syariah negara ini.
Bandar di timur negara ini dijangka menarik pelaburan sebanyak 500 juta riyal (RM415.4 juta) dan mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor tekstil, farmasi dan industri pembuatan makanan.
Ia akan mewujudkan syarikat-syarikat yang diuruskan wanita dan semua kakitangan juga akan terdiri daripada kaum tersebut.
Walaupun undang-undang syariah tidak menghalang wanita bekerja, data menunjukkan hanya 15 peratus wanita mewakili golongan pekerja di negara ini.
Pelan itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk membolehkan wanita memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Hartanah Industri Arab Saudi, Saleh al-Rasheed berkata, bandar industri sedia ada telah mempunyai kilang milik wanita dan syarikat yang menggajikan wanita.
Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya kini berusaha untuk membina bandar industri kedua untuk wanita.
''Kami merancang untuk mewujudkan sejumlah industri khas hanya untuk wanita di bahagian-bahagian tertentu di negara ini,'' katanya. - AGENSI

Iran dilanda gempa



PENDUDUK menyelamatkan seorang wanita di dalam runtuhan sebuah rumah di Kampung Sourmah, dekat pekan Varzaqan selepas dua gempa bumi melanda barat laut Iran, kelmarin.
DUBAI 12 Ogos - Dua gempa bumi kuat menggegarkan barat laut Iran semalam menyebabkan 300 orang terbunuh dan 2,600 lagi cedera.
Pasukan penyelamat bergegas menggeledah runtuhan bangunan di berpuluh-puluh perkampungan sepanjang malam tadi hingga ke hari ini dan kakitangan perubatan berusaha menyelamatkan mangsa.
Beribu-ribu orang bersesak-sesak di kem sementara atau tidur di jalanan selepas gempa yang melanda bandar Tabriz di wilayah Azerbaijan Timur itu dikhuatiri menyebabkan banyak gempa susulan dengan 40 gempa direkodkan berlaku.
Angka kematian dijangka meningkat ekoran ramai mangsa berada dalam keadaan kritikal dan ada yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kawasan yang sukar dihubungi manakala kegelapan malam menghalang kerja-kerja menyelamat.
Enam perkampungan musnah dan kira-kira 60 lagi kampung menghadapi kerosakan sehingga 50 peratus, lapor media.
Gambar-gambar yang disiarkan di laman web berita Iran menunjukkan banyak mayat, termasuk kanak-kanak, terbaring di atas lantai di bilik mayat di pekan Ahasr dan kakitangan perubatan merawat mangsa cedera di kawasan terbuka ketika waktu senja.
Beberapa imej menunjukkan kerosakan besar terjadi akibat gempa bumi itu dan pasukan penyelamat menarik keluar mangsa dari runtuhan bangunan dengan sesetengahnya masih hidup, tetapi ramai yang telah mati.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa pertama yang menggegarkan Iran semalam berukuran 6.4 skala Richter dan berpusat di 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz pada kedalaman 9.9 kilometer.
Gempa kedua pula berlaku 11 minit selepas itu dengan berukuran 6.3 sekala Richter, berpusat di 49 kilometer ke timur laut Tabriz, iaitu berhampiran pekan Varzaghan, pada kedalaman sama.
Beratus-ratus orang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan tetapi malam yang gelap menghalang bantuan kecemasan.
Operasi menyelamat bagaimanapun dihentikan hari ini selepas semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
“Tidak ada lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan semua bantuan yang diperlukan sedang diagihkan," kata pegawai Kementerian Dalam Negeri bagi Pengurusan Bencana, Hossein Ghadami kepada televisyen kerajaan.
Beliau turut berharap angka korban tidak meningkat kerana mangsa yang sebelum ini kritikal mula stabil.
- REUTERS/AFP

Lelaki hina isteri Rasulullah dipenjara dua tahun

DUBAI 13 Ogos - Mahkamah Bahrain semalam menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap seorang lelaki puak Syiah selepas didapati bersalah menghina isteri Rasulullah SAW, Aisyah di Internet.
Lelaki berusia 19 tahun itu dilaporkan menggambarkan keperibadian Aisyah dengan kata-kata berbentuk penghinaan dan memalukan.
Aisyah merupakan tokoh dihormati di kalangan puak Sunnah. - AFP/REUTERS

Rakyat Maghribi protes pemerintah



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Rakyat Maghribi protes pemerintah
Kumpulan aktivis meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka dengan protes dan mengibarkan bendera anti kerajaan.
RABAT - Ratusan aktivis berhimpun di bandar utama Maghribi  untuk membantah kerajaan kerana gagal menangani isu rasuah, peningkatan kos sara hidup dan beberapa sebab lain yang mendatangkan ketidakpuasan hati rakyat.

Kumpulan hak asasi, ahli kesatuan sekerja dan gerakan protes 20 Februari, kelmarin berdemonstrasi susulan kecewa dengan kegagalan kerajaan yang memerintah menunaikan janji pilihan raya.

Di Casablanca, hampir 1,000 orang berkumpul sambil melaungkan slogan anti rasuah, mengecam kenaikan harga barangan dan meminta pembebasan beberapa aktivis yang sebelum ini dipenjarakan.

Menurut polis, protes yang berakhir tengah malam kelmarin turut berlaku di jalan-jalan utama Rabat dengan dihadiri lebih 300 penunjuk perasaan yang melaungkan kritikan terhadap Perdana Menteri Abdelilah Benkirane.

Dalam protes itu, aktivis menyalahkan keputusan Parti Pembangunan dan Keadilan (PJD) yang mendalangi kenaikan harga petrol sehingga 20 peratus pada Jun lalu sebaik sahaja kerajaan melancarkan rang undang-undang ketidakmampuan subsidi yang sekali gus meningkatkan harga makanan dan barangan asas lain.

Presiden Mesir arah ketua tentera bersara awal



WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Ogos 2012
Presiden Mesir Mohammed Mursi
Mohammed Mesir diberi penghormatan pada hari beliau mengangkat sumpah sebagai presiden negara itu. - Foto ihsan CNN
KAHERAH - Presiden Mohammed Mursi mengarahkan persaraan ketua tentera yang berpengaruh, Fil Marsyal Mohamad Hussein Tantawi - dua bulan selepas beliau dipilih sebagai ketua baru Mesir.
Jurucakap Presiden berkata, deklarasi yang bertujuan mengekang kuasa presiden juga telah dibatalkan.
Laporan media menyebut masih belum jelas sama ada Mohamad yang turut dilucutkan sebagai Menteri Pertahanan akan menerima keputusan itu.
Mohammed mengangkat sumpah sebagai Presiden baru, yang dipilih menerusi pilihan raya selepas Hosni Mubarak digulingkan awal tahun, pada Jun lalu.
Ikhwanul Muslimin, yang dianggotai Mohammed, melalui hubungan yang tegang sejak Hosni jatuh dari tampuk kuasa menerusi kebangkitan rakyat.
Mursi telah menamakan Fil Marsyal Abdul Fatah Khalil al-Sisi sebagai Menteri Pertahanan yang baru dan ketua Majlis Agung Angkatan Tentera, demikian menurut Nile TV.
Abdul Fatah merupakan ketua risikan tentera sebelum ini.

Israel uji amaran SMS mengenai serangan ke atas Iran




         
BAITULMAQDIS: Israel semalam mula menguji sistem amaran mengenai serangan peluru berpandu terhadap Iran menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Ujian itu dilakukan ketika berita mengenai kemungkinan serangan terbabit menguasai tajuk akhbar media Israel.


Menurut Markas Pertahanan Kebangsaan, ujian itu diadakan hingga Khamis ini dan mesej itu dihantar kepada pelanggan dalam bahasa Yahudi, Arab, Inggeris dan Russia menerusi tiga rangkaian utama Israel - Cellcom, Pelephon dan Orange.

Latihan itu bertujuan untuk menggunakan sistem SMS bagi memberi amaran kepada penduduk Israel mengenai serangan peluru berpandu oleh Iran atau Hizbullah di Lubnan jika tentera Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Teheran yang didakwa rejim itu bertujuan untuk menghasilkan senjata nuklear. Dalam pada itu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu mesyuarat mingguan Kabinetnya bahawa Israel mencatatkan kemajuan penting dari segi keupayaan pertahanan. - AFP

2 wartawan Syria maut




         
AMMAN: Dua wartawan Syria terbunuh di Damsyik menurut laporan agensi berita rasmi, Sana dan sebuah stesen televisyen Arab.

Sana melaporkan, wartawannya, Ali Abbas terbunuh di kediamannya di wilayah Ali Abbas, berpunca daripada serangan pemberontak. Tiada butir lanjut mengenainya diberikan.


Stesen televisyen Al-Arabiya pula melaporkan Bara’a Yusuf al-Bushi, bekas tentera Syria yang berpaling tadah dan menjadi pemberi maklumat kepada stesen itu dan beberapa pertubuhan berita antarabangsa, terbunuh dalam serangan bom ketika membuat liputan di al-Tal. - Reuters

Zon larangan terbang di Syria




         
ALEPPO: Amerika Syarikat dan Turki semalam berkata mereka mengkaji beberapa langkah untuk dilaksanakan terhadap Syria.

Ia termasuk menguatkuasakan zon larangan terbang di negara itu ketika pertempuran antara tentera Presiden Bashar al-Assad dengan pemberontak menggegarkan Aleppo dan tengah Damsyik.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton berkata, Washington dan Ankara perlu menghasilkan rancangan secara terperinci mengenai cara membantu pemberontak yang berjuang untuk menggulingkan Bashar.

“Perkhidmatan Perisikan dan tentera kami mempunyai tanggung jawab penting dan kami akan menubuhkan kumpulan kerja untuk melakukannya,” kata Hillary selepas berunding dengan rakan sejawatannya dari Turki, Ahmet Davutoglu di Istanbul, semalam.


Ditanya mengenai pilihan seperti menguatkuasakan zon larangan terbang di wilayah yang dikuasai pemberontak, beliau berkata, ia adalah antara kemungkinan yang beliau dan Ahmet setuju untuk mengkaji secara mendalam.


Ia adalah kenyataan paling kukuh Washington setakat ini mengenai kemungkinan ia terbabit secara langsung dari segi ketenteraan di Syria.

Zon larangan terbang yang dikuatkuasakan Nato dan sekutu Arabnya membantu pemberontak Libya menggulingkan Muammar Gaddafi tahun lalu.

Barat sebelum ini menolak rancangan mengulangi tindakan seumpama itu di Syria.

Arab Saudi dan Qatar dipercayai membekalkan senjata kepada pemberontak Syria sementara Amerika Syarikat dan Britain berikrar untuk meningkatkan bantuan bukan ketenteraan kepada penentang Bashar itu.

Tentera Bashar bertempur dengan pemberontak sejak tiga minggu lalu di Allepo dalam usaha menawan semula beberapa daerah. - Reuters

Dua gempa landa Iran

Foto
Pandangan umum menunjukkan kemusnahan kampung Ishikhli berhampiran bandar Varzaqan selepas gempa bumi yang melanda Iran semalam. - AFP
Foto
Penduduk bertungkus lumus mengeluarkan mayat mangsa gempa yang tertimbus. - AFP 
Foto
Seorang lelaki mengangkat mayat anak saudaranya yang baru dikeluarkan dari celah runtuhan akibat gempa di perkampungan Sourmah berhampiran bandar Varzaqan di barat laut Iran, semalam. AFP

300 terbunuh, lebih 2,600 cedera bencana menjelang Aidilfitri

Dubai: Dua gempa bumi dengan magnitud 6.4 dan 6.3, menggegarkan bahagian barat laut Iran semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 300 orang dan mencederakan lebih 2,600 yang lain, kata pegawai.

Gempa pertama berlaku di Ahar kira-kira 58 kilomter ke timur laut Tabriz pada pukul 4.54 petang waktu tempatan ketika umat Islam di Iran sedang membuat persiapan untuk berbuka puasa, diikuti gempa kedua 11 minit kemudian.
Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah ketika kejadian, kerana mereka sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa. Ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang” - Pegawai penyelamat
Tak dapat Aidilfitri

Kejadian menyebabkan beribu-ribu penduduk tidak akan dapat menyambut Aidilfitri dengan sempurna sebaliknya terpaksa mendiami khemah sementara selepas rumah dan harta benda mereka musnah.

Pekerja penyelamat meneruskan kerja menggali runtuhan di berpuluh-puluh perkampungan sepanjang malam sehingga semalam ketika kakitangan perubatan bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

“Kebanyakan penduduk berada di dalam rumah ketika kejadian, kerana mereka sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa. Ramai tidak sempat menyelamatkan harta benda dan kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang,” kata seorang pegawai penyelamat.
Beribu-ribu penduduk berlindung di kem sementara atau tidur di atas jalan selepas gempa bumi kelmarin, ketika 55 gegaran susulan melanda wilayah itu manakala lebih banyak gegaran lagi diramal berlaku.

Angkat kematian meningkat

Pihak berkuasa Iran berkata, angka kematian dijangka meningkat berikutan keadaan sebilangan mangsa yang kritikal, manakala ramai lagi masih terperangkap di bawah runtuhan yang tidak dapat dimasuki pekerja penyelamat berikutan keadaan terlalu gelap.

“Enam buah kampung musnah manakala 110 lagi mengalami kerosakan teruk,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Hassan Ghadami yang dipetik agensi berita Fars.
Gambar yang dihantar ke laman web berita Iran menunjukkan banyak mayat mangsa termasuk kanak-kanak terbaring di lantai rumah mayat di bandar Ahar dengan kakitangan perubatan merawat mangsa yang cedera di tempat terbuka menjelang senja.

Kemusnahan besar

Imej lain menunjukkan kemusnahan besar akibat gempa manakala pekerja penyelamat menggali mangsa keluar dari runtuhan, sebilangannya masih hidup, yang lain terkorban.

Iran terletak dalam garis gelinciran utama dan mengalami beberapa gempa bumi dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk gempa dengan magnitud 6.6 pada 2003 yang meranapkan bandar tenggara bersejarah di Bam dan mengorbankan lebih 25,000 penduduk. - Reuters

Tentera, polis dilarang sertai pilihan raya

Brigadier Jeneral Hartind Asrin, jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia.
Brigadier Jeneral Hartind Asrin, jurucakap Kementerian
 Pertahanan Indonesia.

Indonesia dakwa negara boleh berpecah jika pasukan keselamatan ambil bahagian 

Jakarta: Kementerian Pertahanan Indonesia semalam mengumumkan bahawa anggota tentera dan polis tidak akan dibenarkan mengambil bahagian dalam pilihan raya 2014, berikutan keadaan politik negara itu masih terlalu rapuh untuk membolehkan pasukan keselamatan menyertainya.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Brigadier Jeneral Hartind Asrin berkata keadaan sekarang amat berisiko untuk membenarkan anggota tentera dan polis dicalonkan dalam pilihan raya.

“Jika anggota keselamatan mengambil bahagian dalam pilihan raya sekarang, negara akan berpecah,” katanya sambil menambah perang saudara boleh berlaku jika tentera dan polis bertelagah berikutan pandangan politik yang berbeza.

Indonesia mempunyai 400,000 askar dan disokong 60,000 kakitangan awam. manakala pasukan polis mempunyai 408,000 pegawai dengan sokongan 30,000 anggota awam.

Anggota keluarga mereka dan pegawai yang sudah bersara dibenarkan mengundi, manakala mereka yang masih dalam perkhidmatan dilarang mengundi atau menyertai parti politik.

Hartind berkata buat masa ini, Indonesia tidak mempunyai persekitaran sesuai untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara.
Beliau juga merujuk mengenai jawatan di dalam tentera di mana seseorang tidak mungkin terus menyandang kedudukan tinggi tanpa hirarki.
“Prinsip sama juga mesti diamalkan dalam sistem demokrasi di negara ini,” katanya.

Hartind berkata pengundi tidak sepatutnya memilih pemimpin yang lama dan tidak mempunyai rekod bersih untuk menyandang jawatan tinggi seperti gabenor, datuk bandar dan pemimpin daerah. - Agensi

Militia bunuh 10 penduduk awam

Beirut: Majlis Kebangsaan Syria (SNC) yang juga pembangkang dan aktivis mendakwa militia pro-kerajaan membunuh 10 orang awam ketika serbuan mengejut di bandar Homs semalam.

“Anggota militia menahan hampir 350 orang dari daerah Shamas, mengumpulkan mereka di sebuah laman dan membunuh 10 daripadanya,” kata kumpulan aktivis, Majlis Revolusi Awam Syria.
“Nasib hampir 340 lain tidak diketahui dan kami amat bimbang mereka mendapat nasib sama seperti 10 syahid itu,” tambah kumpulan itu. Pembangkang SNC turut mengeluarkan kenyataan sama. - AFP

Militia bunuh 10 penduduk awam

Manila: Supek militan daripada sebuah kumpulan serpihan pemisah meletupkan bom di selatan Filipina namun gagal untuk mencederakan atau menjejaskan serangan tentera ke atas anggotanya yang mengamuk minggu lalu dan menyebabkan 28 orang terkorban.

Beratus-ratus anggota tentera disokong helikopter, kereta kebal dan tembakan meriam, memaksa pejuang bersenjata Pergerakan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) keluar dari dua kubu kuat mereka.
Selain memburu mereka di kawasan pedalaman wilayah Maguindanao semalam, kata pihak berkuasa.

Tentera cuba mengusir kumpulan bersenjata jauh dari lebuh raya utama, yang ditutup minggu lalu dalam usaha melindungi pengguna daripada tembakan hendap pemisah.

Sekurang-kurangnya tujuh butir bom buatan sendiri meletup sejak beberapa hari kebelakangan ini di sepanjang jalan serta di perkampungan di Maguindanao dan wilayah berhampiran Cotabato Utara dalam cubaan jelas pemisah berpecah untuk mengalih fokus tentera daripada melakukan serangan yang berterusan. - AP

Kapal persiaran gergasi keluar dermaga




BEBERAPA orang menyaksikan kapal Celebrity Reflection di dermaga Meyer di Papenburg, Jerman semalam.


PAPENBURG, Jerman - Sebuah kapal persiaran gergasi, Celebrity Reflection ditunda sebuah bot ketika ia meninggalkan dermaga Meyer di sini semalam.
Kapal sepanjang 319 meter dan dibina untuk syarikat perkapalan Amerika Syarikat, Celebrity Cruise itu mempunyai bilik untuk 3,000 penumpang.
Kos untuk membina kapal itu dianggarkan AS$750 juta (RM2.3 bilion).
Kapal itu akan memulakan pelayaran dari Amsterdam ke Barcelona pada 9 Oktober depan. - Agensi

250 maut gempa bumi di Iran




SEBAHAGIAN orang melakukan kerja-kerja mencari mangsa gempa bumi di Kampung Baje-Baj dekat bandar Varzaghan semalam.


DUBAI - Beberapa buah hospital di barat laut Iran semalam menerima limpahan ribuan mangsa gempa bumi yang berlaku di sekitar bandar Tabriz kelmarin dengan mengakibatkan 250 orang terbunuh.
Ribuan penduduk lagi membuat khemah dan tidur di jalanan selepas gegaran gempa bumi berlaku.
Menurut beberapa pegawai, angka kecederaan dan kematian mungkin meningkat dengan ratusan mangsa masih terperangkap di celah runtuhan.
Anggota-anggota penyelamat berusaha untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan dalam kejadian gempa bumi yang berlaku pada bulan Ramadan.
"Saya melihat sejumlah orang yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan semua ternakan mereka turut mati," kata seorang jurugambar tempatan, Tahir Sadati menerusi telefon kepada agensi beritaReuters.
Menurutnya, dia melihat beberapa buah kampung mengalami kemusnahan teruk.
"Suatu perkara yang baik ialah gempa bumi itu berlaku ketika ramai orang tidak berada di dalam rumah.
"Jika ia berlaku pada waktu malam, angka kematian akan menjadi lebih buruk," katanya.
Kawasan yang teruk dilanda kemusnahan terletak di kampung-kampung luar bandar yang mengelilingi bandar Ahar, Varzaghan dan Harees dekat bandar utama Tabriz, menurut laporan media Iran.
Kebanyakan kampung sukar untuk dilalui menerusi jalan sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat.
Beberapa hospital di Tabriz, Ardabil dan bandar-bandar lain mempunyai ramai mangsa yang cedera.
Terdapat barisan pesakit yang panjang menunggu untuk dirawat.
Menurut seorang penduduk, dia pergi mendermakan darah di sebuah hospital kelmarin dan melihat kakitangan hospital terlalu sibuk untuk merawat pesakit yang ramai.
Kebanyakan pesakit dihantar oleh keluarga mereka sekali gus menunjukkan kekurangan ambulans.
"Orang ramai takut dan tidak mahu kembali ke rumah mereka kerana bimbang bangunan (tempat tinggal mereka) tidak selamat," kata seorang penduduk.
Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa bumi pertama berlaku pada kekuatan 6.4 magnitud.
Ia berlaku 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz.
Gempa bumi kedua berukuran 6.3 magnitud dan berlaku 11 minit kemudian dekat Varzaghan, 49 kilometer ke timur laut Tabriz.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Hassan Ghadami, sebanyak 110 buah kampung mengalami kerosakan.
Jurucakap Pertubuhan Palang Merah, Hossein Derakhshan memberitahu agensi berita Fars, lebih 2,000 orang dipercayai cedera.
Seorang pegawai Pertubuhan Palang Merah, Mahmoud Mozafar memberitahu agensi berita Mehr, kira-kira 16,000 orang telah diberi bantuan kecemasan.
Seorang wakil rakyat, Mohammad Hassan-Nejad berkata, jika bantuan tidak dipertingkatkan, angka kematian akan meningkat.
Bekalan air, elektrik dan telefon di Varzaghan terputus sekali gus menjejaskan usaha-usaha menyelamat, lapor Press TV.
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Zeinab di Kampung Mirza Ali Kandi memberitahu agensi berita AFP, dia melihat adiknya berumur lapan tahun dan kakaknya mati di depan matanya.
"Saya berada di luar rumah untuk bermain apabila ia (gempa bumi pertama berlaku.
"Saya berlari ke luar melihat adik saya dan mendapati dia berada di bawah runtuhan. Saya cuba untuk menariknya keluar. Kemudian saya mendengar kakak saya menangis dan apabila saya menoleh, batu besar berada di atas kepalanya. Saya kemudian berlari," katanya sambil menangis.
- Agensi

Tentera Syria perhebat serangan




SEBUAH bangunan runtuh akibat pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak di Khaldiyeh, wilayah Homs Syria kelmarin.


KAHERAH - Tentera Syria semalam meningkatkan serangan di beberapa buah bandar yang didiami kumpulan pemberontak, kata seorang aktivis daripada pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
Askar-askar Presiden Syria, Bashar Al-Assad bertempur dengan para pemberontak di wilayah Daraa dekat sempadan Jordan.
Para pemberontak merampas sebuah kenderaan berperisai daripada pihak tentera dalam pertempuran di bandar Tafs di Daraa.
Tentera Syria turut membedil daerah yang menyokong pemberontak di al-Shaar dan Hananu di timur bandar Aleppo.
Pertempuran juga berlaku antara tentera Syria dan para pemberontak di daerah Salaheddin di Aleppo.
Pada awal minggu ini, para pemberontak terpaksa melarikan diri dari kubu kuat mereka di Aleppo ekoran serangan besar-besaran tentera Bashar.
Kedua-dua pihak telah bertempur selama tiga minggu untuk menguasai bandar Aleppo.
Bandar Aleppo merupakan pusat komersial Syria.
Lebih 20,000 dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara tentera Bashar dengan para pemberontak bermula pada Mac tahun lalu.
Kumpulan pemberontak menuntut supaya Bahsar meletakkan jawatan selepas beliau gagal untuk membawa banyak pembaharuan pentadbiran di negara tersebut. - Agensi

Kapal tentera AS berlanggar




SEBAHAGIAN badan kapal USS Porter remuk akibat perlanggaran dengan kapal tangki M/V Otowasan di Selat Hormuz semalam.


MANAMA, Bahrain - Salah sebuah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengalami kerosakan kecil selepas ia berlanggar dengan kapal tangki minyak semalam dekat Selat Hormuz di Asia Barat.
Perlanggaran itu menyebabkan sebuah lubang kecil terbentuk pada badan kapal tersebut.
Menurut Tentera Laut AS dalam satu kenyataan, tiada seorang pun yang cedera dalam kejadian itu.
Perlanggaran itu melibatkan kapal tentera laut pemusnah, USS Porter dengan kapal tangki minyak M/V Otowasan yang mengibarkan bendera Panama.
Selat Hormuz terletak di Teluk Parsi yang merupakan laluan utama kapal-kapal minyak.
Ketegangan telah meningkat berhubung ancaman Iran utnuk menyekat laluan kapal tangki minyak di laluan tersebut sebagai tindak balas terhadap sekatan Barat.
Sebelum ini Barat melakukan pelbagai sekatan ke atas Iran termasuk larangan mengimport minyak dari negara tersebut ekoran isu nuklear.
Iran tidak mahu menghentikan program nuklearnya dengan mengemukakan alasan ia digunakan untuk tujuan menjana tenaga elektrik. - Agensi

Arab Saudi sumbang AS$50 juta


SEJUMLAH penduduk Muslim di Jakarta, Indonesia semalam memegang kain pemidang bagi mendesak keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan.


RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah (gambar kecil) mengarahkan bantuan sebanyak AS$50 juta (RM155.79 juta) dihantar kepada etnik Rohingya di Myanmar.
Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, penduduk Muslim itu menjadi sasaran serangan pembunuhan, rogol, perpindahan secara paksa dan pembersihan etnik.
"Raja Abdullah telah mengarahkan bahawa bantuan berjumlah AS$50 juta akan diperuntukan kepada warga Muslim Rohingya di Myanmar," menurut satu laporan yang disiarkan media Arab Saudi semalam.
Bagaimanapun, media itu tidak menyatakan pihak yang melakukan penderaan ke atas etnik Rohingya.
Pertubuhan hak asasi Human Rights Watch menyatakan pada 1 Ogos lalu bahawa etnik Rohingya ditangkap beramai-ramai, dibunuh dan dirogol anggota-anggota pihak berkuasa.
Terdapat 800,000 etnik Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai penduduk di Myanmar.
Pada minggu lalu, Kabinet Arab Saudi mengutuk keganasan terhadap penduduk Muslim di Myanmar.
Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 31 Julai lalu di Jeddah, Arab Saudi, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak anggota-anggotanya menghantar bantuan kepada etnik Rohingya.
Keganasan di Rohingya bermula pada Jun lalu setelah beberapa orang daripada etnik itu dituduh merogol seorang wanita etnik Rakhine yang beragama Buddha.
Kumpulan etnik Rakhine kemudian menyerang penduduk Rohingya sehingga menyebabkan sebahagian mereka melarikan diri ke Bangladesh.
- Agensi

Protes sokong Rohingya tukar ganas

MAKASSAR, Sulawesi Selatan 11 Ogos - Satu perarakan yang dianjurkan oleh Barisan Pertahanan Islam (FPI) bagi membantah pembunuhan etnik Islam Rohingya di Myanmar, bertukar ganas apabila penunjuk perasaan bertindak menyerang dua kuil Buddha di sini, semalam.
Kumpulan penunjuk perasaan FPI itu memulakan perarakan selepas selesai solat Jumaat di Masjid Al-Markaz Al-Islami, dengan membentuk konvoi dan berarak di beberapa jalan utama di bandar ini.
Di Jalan Sulawesi, kumpulan terbabit berhenti dan bertindak melemparkan batu ke arah Kuil Kwang Kong dan beberapa penunjuk perasaan mengetuk pintu rumah ibadat berkenaan dengan kayu.
Kumpulan demonstrasi itu kemudiannya membaling batu ke arah Kuil Xian Ma yang merupakan pejabat sekretariat Majlis Komuniti Buddha (Walubi) cawangan Sulawesi Selatan.
Anggota polis berjaya menghentikan kekecohan dengan mengadakan pertemuan antara penunjuk perasaan FPI dan ketua cawangan Walubi, Yongris.
Yongris menjelaskan kepada FPI bahawa beliau kesal dengan isu pembunuhan Islam Rohingya, yang turut didakwa dilakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar.
Beliau meminta penunjuk perasaan mendesak pihak berkuasa Myanmar menghentikan kezaliman berkenaan.
"Kami kesal dengan pembunuhan yang berlaku di Myanmar dan kami tidak akan menerima sebarang bentuk keganasan yang dilakukan," katanya.
FPI turut menuntut kerajaan Indonesia memutuskan hubungan dua hala dengan Myanmar sekiranya pihak berkuasa negara itu gagal menghentikan konflik tersebut. - AGENSI

Sunday, August 12, 2012

Kuan Yew: Singapura ‘bungkus’ jika kadar kelahiran terus kecut




12 Ogos 2012
SINGAPURA - Rakyat Singapura diingatkan akan betapa pentingnya berkahwin dan mempunyai anak untuk memastikan mempunyai warganegara asal yang mencukupi bagi membentuk majoriti di republik ini.

Melahirkan kebimbangan berhubung kadar kesuburan yang rendah di negara itu, bekas Menteri Mentor Lee Kuan Yew menyatakan akan ada impak merugikan bagi Singapura sekiranya kadar kelahiran yang menurun di republik itu berterusan.

"Jika kita terus menerus seperti itu, tempat ini akan bungkus, disebabkan tidak ada lagi warganegara asal yang tinggal untuk membentuk majoriti, dan kita tidak ada warganegara baharu, tidak ada pemastautin tetap (PR) baharu, dalam mengatasi etos sosial kita, semangat sosial, norma sosial.

"Jadi mesej saya mudah. Jawapannya sangat sukar tetapi masalahnya jika kita tidak mencari jawapannya, adalah sesuatu yang sungguh besar," kata Kuan Yew semasa berucap di majlis makan malam Hari Kebangsaan di Tanjong Pagar GRC dan Tiong Bahru, di sini malam semalam.

Kuan Yew yang merupakan bekas Perdana Menteri Singapura, berkata kadar kelahiran kaum Cina ialah 1.08, India 1.09 dan Melayu 1.64.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa pemegang permit kerja telah memain peranan penting ke arah pembangunan infrastruktur negara itu.

Dengan tidak melupakan sumbangan daripada penduduk tetap, Kuan Yew berkata, tanpa PR, penduduk republik itu akan menjadi lebih berumur, bertambah kecil dan hilang daya ketahanan hidup.

Menyatakan pilihan mereka adalah mudah, Kuan Yew menegaskan sama ada menerima kehadiran migran pada kadar di mana 'kita boleh menyerap mereka dan menjadikan mereka tunduk kepada nilai-nilai kita' atau mempunyai yang lainnya yang memiliki permit kerja sementara untuk membangunkan Singapura dan memperbaikinya.

Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, kata Kuan Yew, apa yang penting ialah membuat perubahan pada pemikiran.

"Lelaki dan wanita kita yang berpendidikan mesti membuat keputusan sama ada mahu menggantikan diri mereka pada generasi akan datang. Pada masa ini, 31 peratus daripada wanita dan 44 peratus lelaki memilih untuk tidak turut serta, tidak mahu melahirkan generasi akan datang.

"Jadi fikirkanlah tentang perkara ini, anda akan tahu penyelesaiannya bukanlah mudah. Tetapi kita mesti memujuk orang memahami bahawa berkahwin dan mempunyai anak adalah penting.

"Mahukah kita menggantikan diri kita atau mahukah kita ini mengecut dan menjadi tua serta digantikan oleh golongan migran dan pemegang permit kerja? Inilah persoalannya," kata beliau. - Bernama

Derita liang roma ditumbuhi kuku



12 Ogos 2012
Shanyna Isom
Kulitnya menjadi berkuku susulan sel-sel kulit tumbuh sehingga 12 kali ganda pertumbuhan kulit normal.
BALTIMORE - Penyakit seorang pelajar universiti dilabelkan sebagai berprofil tinggi dan penuh misteri selepas menghidap sejenis penyakit aneh di mana seluruh liang roma kulit badannya ditumbuhi kuku-kuku kecil.

Sejenis alahan dialami Shanyna Isom, 28, sejak tiga tahun lalu itu menyukarkannya melakukan kerja-kerja harian kerana tidak selesa dan terpaksa memakai rambut palsu.

Menurut Shanyna, dia terpaksa melindungi kepalanya yang botak selepas ditumbuhi kuku dengan skarf dan rambut palsu selain menunggu penawar yang belum ditemui.

Jelas doktor, kulit Shanyna menghasilkan 12 kali ganda sel-sel kulit biasa di setiap liang romanya sehingga menjejaskan  keadaan kulitnya.

"Pada September 2009 lalu, saya mengambil ubat penahan sakit steroid kerana diserang asma, dan selepas beberapa jam saya seluruh tubuh saya berasa sangat gatal," katanya kemudian menambah keseluruhan kakinya turut diselaputi  benjolan kehitaman.

Kini, kumpulan pakar bertungkus lumus mengkaji penyakit misteri Shanyna dan hanya mampu mengawal simptom daripada merebak.

250 maut, 1,300 cedera gempa gegar Iran



12 Ogos 2012
 250 maut, 1,300 cedera gempa gegar Iran
Laporan awal CNN menyebut tentang gempa bumi di barat laut Iran yang meragut lebih 250 nyawa. - Foto ihsan CNN
180 maut, 1,300 cedera gempa gegar Iran
Pasukan mencari dan menyelamat terlibat dalam kerja-kerja membantu mangsa gempa bumi di barat laut Iran semalam. - Foto ihsan BBC
TEHERAN - Dua kejadian gempa bumi yang melanda barat laut Iran petang semalam (waktu tempatan) menyebabkan sekurang-kurangnya 250 orang maut manakala lebih 1,300 cedera.
Kawasan teruk dilanda gempa bumi ialah Tabriz dan Ahar.
Laporan BBC menyebut 180 orang terbunuh manakala CNN pula melaporkan sekurang-kurangnya 250 orang korban.
Press TV Iran, milik kerajaan, melaporkan sekurang-kurangnya 250 orang terbunuh. Bandar Ahar merekodkan 45 kematian dan 500 lagi tercedera, demikian menurut IRNA.

Enam kampung musnah dan beribu-ribu mangsa terpaksa bermalam di pusat perlindungan kecemasan dan di tempat terbuka.
Sebanyak 60 kampung mengalami 50 peratus kerosakan dan angka kematian dijangka meningkat.

Kebanyakan mangsa dipercayai berada di kampung-kampung terpencil.
Laporan dari negara Asia Barat itu mengatakan talian telefon terputus menyebabkan usaha menyelamat menjadi semakin sukar.
Pusat Geologi Amerika Syarikat merekodkan gempa pada magnitude 6.4 dan 6.3.
Gegaran pertama berlaku di kawasan 37 batu (61 kilometer), ke timur laut Tabriz, pada jam 4.53 petang waktu tempatan. Gegaran kedua berlaku 11 minit kemudian, kira-kira 30 batu (50 kilometer) ke timur laut Tabriz.
“Gempa bumi menyebabkan ramai yang panik. Semua orang berlari ke jalan raya dan bunyi siren ambulanw berada di mana saja,” kata seorang penduduk Tabriz.
Menurut Ketua Jawatankuasa Tempatan, Khalil Saie, bandar sekitar Haris dan Varzaqan di daerah Azerbaijan Timur antara yang ramai mengalami kecederaan.

Berpuluh-puluh pasukan penyelamat dikejarkan ke kawasan ini namun usaha menyelamat amat terhad semalam kerana komunikasi telefon di banbar berkenaan terganggu.

Pasukan Bulan Sabit Merah Iran menganggarkan 16,000 orang diberi tempat perlindungan kecemasan selepas dipaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Dalam kenyataan dikeluarkan menerusi laman web, Pejabat Presiden Mahmoud Ahmadinejad menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan menggesa pihak berkuasa agar segera membantu penduduk yang terjejas.

Seorang pegawai daerah telah memberi amaran kepada penduduk kawasan berkenaan tinggal di luar buat sementara waktu kerana bimbang akan berlaku gempa susulan.

"Terdapat sekitar 10 gempa susulan, yang terjadi sepanjang 10 minit kemudian," kata seorang penduduk.

Pada tahun 2003 gempa bumi di bandar Bam menyebabkan  25,000 orang maut.

George Soros kahwin kali ketiga



George Soros kahwin kali ketiga
George Soros kahwin kali ketiga
NEW YORK – Bilionair George Soros meraikan hari jadinya yang ke-82 semalam sambil mengumumkan pertunangan dengan teman wanitanya, Tamiko Bolton.

Dipetik Reuters, pengumuman mengenai pertunangan Soros dan Bolton, yang pertama kali bertemu pada musim bunga 2008, dibuat di rumah musim panas Soros di Southampton dekat sini, dengan dihadiri sekumpulan kecil rakan-rakan dan saudara mara terdekat.

Soros telah melamar Bolton, 40, beberapa minggu yang lalu semasa mereka menghabiskan hujung minggu di Hamptons iaitu sebuah koloni musim panas di kawasan tepi pantai Long Island yang sering tumpuan golongan hartawan New York.

Bagi Soros, ini akan menjadi perkahwinan yang ketiga dan kedua bagi Bolton yang pernah berkahwin secara ringkas pada 1990-an.

Sementara itu, Soros mempunyai lima anak daripada perkahwinan sebelum ini.

Tahun lepas, bekas kekasih Soros, Adriana Ferreyr memfailkan saman di mahkamah negeri Manhattan dan mendakwa jutawan itu telah memungkiri janji untuk membelikannya sebuah apartmen.

Kemudian, Soros telah memfailkan usul sementara bagi menolak tuntutan.

Negara rugi RM10 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya



BUTTERWORTH 12 Ogos - Negara mengalami kerugian lebih RM10 bilion setiap tahun akibat 7,000 kematian dalam kemalangan di jalan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian adalah dari golongan produktif iaitu yang berusia antara 15 hingga 30 tahun yang mana mereka ini mampu memberikan sumbangan kepada kerajaan.
"Purata kematian membabitkan satu kematian mengakibatkan kerugian RM1.43 juta iaitu jumlah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan kerana kita membelanjakan wang yang banyak dari mula mereka lahir, pendidikan mereka dan kos rawatan di hospital.
"Jumlah ini untuk orang biasa tidak termasuk golongan profesional kerana kerajaan juga akan kehilangan tenaga pakar yang mampu bersama-sama menjana ekonomi negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.- BERNAMA

Tentera Syria, Jordan bertempur



Penduduk memerhati bangunan yang runtuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera udara Syria di al-Khalidiah dekat Homs, semalam. - REUTERS
AMMAN 11 Ogos - Satu pertempuran dilaporkan meletus antara tentera Jordan dan Syria di sempadan kedua-dua negara lewat semalam, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Kejadian itu merupakan insiden paling serius membabitkan kedua-dua negara sejak tercetus kebangkitan rakyat di Syria menentang Presiden Bashar al-Assad 17 bulan lalu.
Seorang aktivis Syria yang menyaksikan kejadian itu yang hanya dikenali sebagai Abdallah berkata, kenderaan berperisai turut digunakan dalam pertempuran yang berlaku di kawasan Tel Shihab-Turra, kira-kira 80 kilometer ke utara Amman, ibu negara Jordan.
Katanya, pertempuran itu tercetus selepas pelarian Syria cuba menyeberang masuk ke Jordan.
"Tentera Syria melepaskan tembakan ke arah Jordan ketika mengejar pelarian, menyebabkan tentera jiran itu bertindak balas.
"Pertempuran berlarutan selama sejam dan kenderaan berperisai Jordan menembak dua pengawal sempadan Syria," katanya.
Satu sumber Jordan yang enggan dikenali berkata, tentera Syria melepaskan tembakan di sepanjang sempadan, menyebabkan pertempuran meletus.
"Laporan awal mendapati tiada kematian di pihak tentera Jordan," kata sumber itu.
Beribu-ribu rakyat Syria dilaporkan telah melarikan diri ke Jordan sejak konflik meletus di Syria pada Mac tahun lalu. - REUTERS

Gempa bumi di Iran; 50 terkorban, 400 cedera



DUBAI 12 Ogos - Dua gempa bumi sederhana berukuran 6.4 pada skala Ritcher melanda barat laut Iran semalam, menyebabkan 50 orang terkorban manakala 400 yang lain mengalami kecederaan.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa itu berpusat kira-kira 60 kilometer dari timur laut bandar Tabriz.
Sementara itu, kejadian kedua pula berlaku kira-kira 49 kilometer di timur laut Tabriz berdekatan bandar Varzgan, kira-kira 11 minit daripada kejadian pertama. - REUTERS

Hillary sedia runding konflik Syria dengan pemimpin Turki




         
ISTANBUL: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton tiba di negara ini semalam untuk rundingan mengenai konflik di Syria bersama pemimpin Turki selepas Washington mengenakan sekatan baru terhadap kerajaan pemerintahan Bashar al-Assad dan sekutunya.

Hillary terbang dari Benin selepas menutup kunjungan 11 hari di sembilan negara di Afrika. Dia akan bertemu dengan Presiden Abdullah Gul, Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan dan Menteri Luar, Ahmet Davutoglu. Pertemuan turut dijangka dibuat dengan anggota pembangkang dan wakil pelarian Syria.


Hillary akan mengadakan “perbincangan secara mendalam” dengan pemimpin Turki mengenai strategi serampang tiga, kata pegawai kerajaan AS.

Aspek pertama ialah mengenai “bagaimana kami mengadili keberkesanan tindakan kami dalam memberi sokongan kepada pihak pembangkang” kata pegawai itu sambil menambah tekanan dan pengasingan ke atas pemerintahan Basahar adalah sebahagian daripada strategi itu. - AFP

3 lagi askar Nato dibunuh



         
KABUL: Seorang rakyat Afghanistan yang bekerja di markas tentera Nato menembak mati tiga askar antarabangsa kelmarin pada hari sama tiga lagi dibunuh oleh polis negara itu, kata pegawai Tentera Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) semalam.

“Penembak tidak memakai uniform dan laporan kami menyatakan dia adalah pekerja awam yang bertugas di markas itu, tetapi tiada bukti menyatakan dia adalah anggota tentera Afghanistan,” kata jurucakap ISAF. Jurucakap itu berkata, dia tidak mempunyai maklumat bagaimana pekerja awam terbabit mendapat senjata di markas tentera Afghanistan-Nato di selatan negara itu.


Kelmarin seorang anggota polis Afghanistan melepaskan tembakan terhadap empat askar Amerika yang diundang untuk menjamu selera, membunuh tiga daripada mereka, kata pihak berkuasa Afghanistan dalam insiden serangan ketiga dalam tempoh empat hari saja. Tentera AS di Afghanistan mengesahkan bahawa tiga tentera mereka dibunuh oleh “seorang penjawat awam beruniform Afghanistan” di daerah Sangin di wilayah Helmand, tetapi tidak memberi ulasan lanjut. - AFP

3 kanak-kanak antara korban bom di kedai roti




         
ALEPPO: Tentera Syria dan askar pemberontak bertempur kelmarin di bandar raya ini, di mana beberapa orang mati apabila sebuah bom terkena di sebuah kedai roti ketika ratusan penduduk beratur untuk membeli roti, kata petugas media semalam.

Petugas media itu berkata, puluhan penduduk, termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dan 20 lagi cedera di kedai roti di daerah Tariq al-Bab di timur bandar raya itu.


Tentera kerajaan juga menangkis serangan askar pemberontak di Lapangan Terbang Aleppo, lapor agensi berita kerajaan SANA.

Dalam kenyataannya, SANA melaporkan, “pengganas yang lengkap bersenjata” cuba melakukan serangan dan tentera menyerang balas hingga membunuh hampir semua mereka. Dalam pertempuran terbaru itu, kubu bersejarah di bandar raya itu yang menjadi sebahagian tapak warisan dunia disenaraikan Unesco rosak teruk akibat terkena bom, kata parti pembangkang. - AFP

Digantung kerja gara-gara burung

Daging burung merpati dikatakan kaya dengan protin dan rendah lemak.
Daging burung merpati dikatakan kaya
dengan protin dan rendah lemak.
Pegawai hidupan liar cadang budak miskin diberi makan daging merpatiBuenos Aires: Seorang pegawai wilayah di Argentina digantung tugas Rabu lalu, selepas mencadangkan agar kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah diberi makan daging burung merpati bagi menangani ledakan populasi haiwan itu. < Gabenor wilayah Cordoba, Jose Manuel de la Sota, dalam satu kenyataan berkata Oscar De Allende, seorang pegawai kementerian alam sekitar hidupan liar digantung tugas berikutan ‘cadangan kontroversi memakan daging burung merpati’. De Allende mencadangkan program pengedaran makanan dan pakaian kepada pelajar miskin dikenali Paicor, turut menghidangkan daging burung merpati di sekolah awam. “Kami menganggarkan ada 600 juta burung merpati di Cordoba. Kita patut mempertimbangkan merpati sebagai sumber makanan yang banyak dan bukan perosak. Kami sedang bekerjasama dengan Paicor untuk memulakan projek menjadikan burung merpati sebagai makanan,” katanya. - AFP

6 askar AS mati ditembak

pix_gal0Seorang lelaki Afghanistan menembak mati tiga askar Amerika Syarikat semalam, meningkatkan angka korban askar negara itu kepada enam dalam tempoh sehari, kata pegawai, semalam. Kejadian berlaku Jumaat lalu, pada hari yang sama seorang anggota polis Afghanistan menembak mati tiga Marin Amerika dalam serangan berasingan di selatan negara itu. Taliban mendakwa bertanggungjawab atas kejadian berkenaan di wilayah Helmand. Serangan terhadap askar asing semakin bertambah yang meningkatkan rasa tidak percaya antara askar, polis tempatan dengan askar asing yang melatih mereka. - AP 

Berbuka ketika siang

pix_gal0
Dubai: Buat pertama kalinya dalam masa beberapa puluh tahun, Ramadan tahun ini berlangsung ketika musim panas yang dianggap paling sukar hingga ada tempat penduduk Islam hanya berbuka selepas 20 jam.

Selain musim panas kali ini disifatkan sebagai paling panas, ia juga menyebabkan tempoh berpuasa lebih panjang setiap hari.

Di bandaraya pelabuhan barat laut Russia, Murmansk, penduduk Islam di sana berpuasa dan berbuka pada waktu siang sepanjang Ramadan. Murmansk ketika ini disinari cahaya matahari selama 24 jam, bermakna tidak ada waktu yang jelas bagi penduduk Islam di negara itu untuk mula berpuasa dan berbuka. Imam Besar Dubai, Dr Ali Mashael berkata, penduduk di wilayah berkenaan perlu berpuasa mengikut waktu yang sama dengan negara paling hampir kepada mereka yang mempunyai waktu siang dan malam yang jelas. 

Tentera Syria dan Jordan bertempur di sempadan




SEKUMPULAN warga Syria berjalan menuju ke kem pelarian al-Zaatri di bandar Mafraq Jordan yang terletak berhampiran dengan sempadan Syria.


AMMAN, Jordan - Pertempuran di antara tentera Syria dan Jordan tercetus di sempadan kedua-dua buah negara lewat hari Jumaat, sekali gus menimbulkan kebimbangan antarabangsa bahawa perang saudara di Syria boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih serius.
Sumber dari Jordan dan Syria bagaimanapun mengesahkan tiada yang terkorban dalam kejadian tersebut. Ia merupakan insiden terburuk sejak kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad 17 bulan lalu.
Pertempuran berlaku di Tel Shihab-Turra, kira-kira 80 kilometer dari Amman apabila pelarian Syria cuba masuk ke Jordan.
"Tentera Syria menembak ke arah Jordan pada pukul 10.30 malam (waktu tempatan) untuk menghalang pelarian memasuki Jordan. Tentera Jordan kemudian membalas tembakan. Ia berlangsung selama sejam," kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Abdallah.
Sementara itu, sumber dari Jordan yang enggan dikenali berkata: "Tentera Syria memulakan tembakan di sempadan sebelum pertempuran tercetus."
Sejak kebangkitan rakyat berlaku, berpuluh-puluh ribu warga Syria menyeberangi sempadan menuju ke Jordan. - Reuters