Pages

Monday, August 13, 2012

Iran dilanda gempa



PENDUDUK menyelamatkan seorang wanita di dalam runtuhan sebuah rumah di Kampung Sourmah, dekat pekan Varzaqan selepas dua gempa bumi melanda barat laut Iran, kelmarin.
DUBAI 12 Ogos - Dua gempa bumi kuat menggegarkan barat laut Iran semalam menyebabkan 300 orang terbunuh dan 2,600 lagi cedera.
Pasukan penyelamat bergegas menggeledah runtuhan bangunan di berpuluh-puluh perkampungan sepanjang malam tadi hingga ke hari ini dan kakitangan perubatan berusaha menyelamatkan mangsa.
Beribu-ribu orang bersesak-sesak di kem sementara atau tidur di jalanan selepas gempa yang melanda bandar Tabriz di wilayah Azerbaijan Timur itu dikhuatiri menyebabkan banyak gempa susulan dengan 40 gempa direkodkan berlaku.
Angka kematian dijangka meningkat ekoran ramai mangsa berada dalam keadaan kritikal dan ada yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kawasan yang sukar dihubungi manakala kegelapan malam menghalang kerja-kerja menyelamat.
Enam perkampungan musnah dan kira-kira 60 lagi kampung menghadapi kerosakan sehingga 50 peratus, lapor media.
Gambar-gambar yang disiarkan di laman web berita Iran menunjukkan banyak mayat, termasuk kanak-kanak, terbaring di atas lantai di bilik mayat di pekan Ahasr dan kakitangan perubatan merawat mangsa cedera di kawasan terbuka ketika waktu senja.
Beberapa imej menunjukkan kerosakan besar terjadi akibat gempa bumi itu dan pasukan penyelamat menarik keluar mangsa dari runtuhan bangunan dengan sesetengahnya masih hidup, tetapi ramai yang telah mati.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa pertama yang menggegarkan Iran semalam berukuran 6.4 skala Richter dan berpusat di 60 kilometer ke timur laut bandar Tabriz pada kedalaman 9.9 kilometer.
Gempa kedua pula berlaku 11 minit selepas itu dengan berukuran 6.3 sekala Richter, berpusat di 49 kilometer ke timur laut Tabriz, iaitu berhampiran pekan Varzaghan, pada kedalaman sama.
Beratus-ratus orang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan tetapi malam yang gelap menghalang bantuan kecemasan.
Operasi menyelamat bagaimanapun dihentikan hari ini selepas semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
“Tidak ada lagi mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan dan semua bantuan yang diperlukan sedang diagihkan," kata pegawai Kementerian Dalam Negeri bagi Pengurusan Bencana, Hossein Ghadami kepada televisyen kerajaan.
Beliau turut berharap angka korban tidak meningkat kerana mangsa yang sebelum ini kritikal mula stabil.
- REUTERS/AFP

No comments: