Pages

Tuesday, August 14, 2012

Iran bimbang wabak penyakit selepas gempa



RUNTUHAN rumah yang terdapat di Kampung Varzaghan semalam selepas gempa bumi yang berlaku pada Sabtu lalu.


TEHERAN - Gempa bumi berkembar yang memusnahkan sejumlah perkampungan di pedalaman barat daya Iran hujung minggu lalu meragut 306 nyawa dengan kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, kata beberapa pegawai semalam.
Bencana itu juga kata mereka, mencetuskan kebimbangan penularan wabak penyakit.
Menteri Kesihatan Iran, Marzieh Vahid berkata, seramai 3,037 lagi mangsa cedera dengan 2,011 orang diberikan rawatan di lokasi kejadian manakala baki mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.
Menurutnya dalam laporan yang disiarkan di laman web Parlimen Iran, sebanyak 700 pembedahan dilakukan bagi menyelamatkan mangsa gempa bumi tersebut.
"Kami masih meneruskan usaha bagi mencari mayat-mayat mangsa," katanya.
Kelmarin pihak berkuasa Iran membatalkan usaha operasi menyelamat selepas memberitahu semua mangsa yang terselamat telah ditemui.
Seorang lagi pegawai, Hassan Ghadami yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Bagi Pengurusan Krisis berkata: "Ramai mangsa terbunuh selepas beberapa jam pertama gempa berlaku ekoran dihempap timbunan runtuhan kediaman mereka.,"
Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kecemasan Iran, Gholamreza Masoumi memberi amaran kemungkinan berlaku wabak penyakit berjangkit ketika mangsa-mangsa tinggal dalam persekitaran kotor dan mengalami kekurangan air dan tandas.
"Satu lagi isu penting adalah sejumlah besar bangkai haiwan yang bergelimpangan di sekitar kawasan gempa dan di dalam sumber air," katanya.
Dua gempa bumi kuat berkenaan yang setiap satu berukuran 6.4 dan 6.3 pada skala Richter menggegarkan barat daya Iran pada Sabtu lalu dengan meruntuhkan banyak bangunan dan kediaman di sejumlah perkampungan di barat daya bandar Tabriz.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Abdolhossein Faghih memberitahu Parlimen negara itu, 230 buah kampung rosak teruk dengan sejumlahnya musnah sama sekali dalam bencana tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Iran melancarkan satu dana bagi membina semula kediaman di kawasan pergunungan dilanda gempa tersebut menjelang musim sejuk yang akan melanda empat bulan lagi.
Pemerintah turut memberikan bantuan tunai hampir AS$2,000 (RM6,373) kepada setiap keluarga yang terjejas selain pemberian pinjaman dengan kadar faedah rendah sehingga AS$6,000 (RM19,119) untuk setiap keluarga.
Iran turut menolak bantuan luar daripada beberapa buah negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Taiwan, Singapura dan Rusia. Teheran menyatakan, ia dapat menangani bencana tersebut. - AFP

No comments: