Pages

Saturday, May 5, 2012

Evangelista saman jutawan



NEW YORK 4 Mei - Bekas model terkenal, Linda Evangelista (gambar), semalam mengemukakan saman terhadap jutawan Perancis, Francois-Henri Pinault bagi menuntut perbelanjaan bagi menyara anak lelakinya, Augustin, 5, yang didakwa merupakan anak jutawan itu bersamanya.
Model tinggi lampai berasal dari Kanada itu meminta perbelanjaan berjumlah AS$46,000 (RM138 juta) setiap bulan, termasuk seorang pengawal, seorang pemandu dan seorang pengasuh sepenuh masa.
Peguamnya, William Beslow, bagaimanapun menafikan jumlah itu, namun tidak menyatakan angka sebenar yang diminta Evangelista bagi menyara anak lelakinya itu.
Pinault, yang memiliki konglomerat barangan mewah termasuk jenama Gucci dan Yves Saint Laurent, memberi keterangan lebih satu jam di Mahkamah Keluarga Manhattan, semalam.
Pinault berkata, dia hanya mengenali bekas model itu selama empat bulan dan menghabiskan masa bersama selama tujuh hari, sebelum Evangelista mengaku mengandung pada awal 2006.
"Saya bertanya Evangelista apa yang ingin dilakukan dengan kandungan tersebut, kami hanya bersama tujuh hari dan saya tidak betul-betul mengenalinya," katanya.
Menurutnya, wanita itu bersetuju untuk membesarkan sendiri anak itu, seandainya dia tidak mahu terlibat dalam keputusannya memiliki bayi tersebut.
Pinault berkahwin dengan aktres Salma Hayek pada 2009 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun. Dia juga memiliki dua lagi anak melalui perkahwinan terdahulunya. - AFP

5 suspek 11 Sept. dihadap semula ke tribunal tentera



DUA bangunan menara Pusat Dagangan Dunia, di New York runtuh selepas serangan pengganas pada 11 September 2001. - AGENSI
PANGKALAN TENTERA UDARA ANDREWS, Maryland 4 Mei - Lima lelaki yang dituduh mendalangi serangan di New York pada 11 September 2001 akan dihadapkan semula ke tribunal tentera di Teluk Guantanamo esok.
Seorang suspek, Khalid Sheikh Mohammed yang mengaku kepada pihak berkuasa tentera sebagai dalang serangan tersebut, sebelum ini mengutuk tribunal tersebut dan menyatakan kesediaan dikenakan hukuman mati.
Seorang lagi suspek, Ramzi Binalshibh pula memberitahu dia berbangga dengan serangan tersebut.
Ia berlaku lebih tiga tahun selepas Presiden, Barack Obama menanggguhkan kes itu dalam usaha memindahkannya ke mahkamah sivil dan menutup pangkalan tentera Amerika Syarikat di Cuba itu.
Bagaimanapun, peguam sivil Binalshibh, Jim Harrington berkata, defendan-defendan dijangka menentang dakwaan yang dikenakan terhadap mereka termasuk tuduhan membunuh dan melakukan keganasan yang membawa hukuman mati.
''Binalshibh tidak akan mengaku bersalah. Saya tidak rasa seorang pun akan mengaku bersalah,'' katanya.
Harrington enggan menyatakan asas dan alasan yang akan digunakan untuk mempertahankan anak guamnya itu, manakala peguam Khalid tidak dapat dihubungi.
Suspek-suspek tersebut tidak membuat sebarang pengakuan dalam perbicaraan sebelum ini tetapi Khalid memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia akan mengaku bersalah merancang serangan dan berharap dapat 'mati syahid'.
Khalid menolak sistem kehakiman tentera.
''Selepas diseksa, mereka memindahkan kami di kawasan penyiasatan di Guantanamo,'' katanya. - AGENSI

Gesa cegah keganasan terhadap media

Berita Harian Online | Gesa cegah keganasan terhadap media:


SEBAHAGIAN wartawan menyertai  perarakan sempena  Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di  Tbilisi, Georgia, kelmarin.
SEBAHAGIAN wartawan menyertai perarakan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Tbilisi, Georgia, kelmarin.
GENEVA: Semakin ramai wartawan dibunuh ketika menjalankan tugas setiap tahun di seluruh dunia. Laporan menyatakan sekurang-kurangnya 67 wartawan maut tahun lalu manakala 22 lagi terbunuh sejak awal tahun ini. 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyifatkan serangan itu sebagai keterlaluan dan menggesa semua negara berusaha menghalangnya.
Beliau juga meminta semua negara mencegah keganasan terhadap media dan mengambil langkah memastikan keselamatan wartawan dan kebebasan akhbar.
Sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar PBB kelmarin, Ban meminta semua diplomat yang hadir, wakil media dan wakil masyarakat awam untuk bertafakur seminit bagi memperingati wartawan yang terbunuh ketika bertugas tahun lalu. 

Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang beribu pejabat di New York menyatakan, seramai 179 wartawan ditahan pada 2011, dengan 20 peratus peningkatan berbanding 2010 dan kadar paling tinggi sejak 1990, kata Ban. 

“Ramai lagi terpaksa menghadapi ugutan, gangguan dan tapisan oleh kerajaan, perbadanan dan individu yang mahu mengekalkan kuasa mereka atau menyembunyikan perbuatan silap dan salah laku mereka,” katanya. 

Presiden Ireland yang juga bekas wartawan penyiaran, Michael Higgins, berkata kematian itu menunjukkan risiko yang terpaksa dihadapi wartawan dan pekerja media. 
“Ramai wartawan menjadi sasaran pembunuhan manakala yang lain dibunuh tanpa sebarang alasan yang jelas,” katanya. 

Sementara itu kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan mengemaskinikan senarai wartawan yang menjadi mangsa akibat tugas kepada 41 individu dan kumpulan. 
Ia juga mengecam tindakan ke atas wartawan termasuk diserang dan dibunuh. 

Kumpulan itu berkata suku pertama 2012 jelas menunjukkan pemangsa dunia diketuai Presiden Syria, Bashar Assad dan kumpulan Islam Somalia yang mampu bertindak sebagai penjual daging yang keterlaluan. 

Organisasi penyokong media, yang beribu pejabat di Perancis, mencela peningkatan serangan dan pembunuhan penyedia berita, yang meningkat daripada 57 pembunuhan pada 2010 kepada 67 pada 2011 serta 22 pembunuhan setakat ini tahun ini termasuk lima wartawan pembunuhan di Somalia, empat di Syria, dan dua masing-masing di Bangladesh, Brazil dan India. 

Di ibu negara Somalia, Mogadishu, puluhan wartawan Somalia mengadakan pertemuan dengan suasana suram untuk menyambut Hari Kebebasan Akhbar, mesyuarat yang berlaku jam saja selepas pembunuhan wartawan kelima Somalia tahun ini. – AP

Jepun tutup reaktor nuklear terakhir

Berita Harian Online | Jepun tutup reaktor nuklear terakhir: "TOKYO: Reaktor terakhir Jepun yang berfungsi selepas bencana tsunami tahun lalu akan ditutup hari ini, meninggalkan negara berkenaan tanpa tenaga nuklear setahun selepas kemalangan atom terburuk di dunia dalam tempoh suku abad ini.

Ketika juruteknik bersedia untuk menutup operasi unit No 3 di Tomari, Hokkaido, persoalan sama ada Jepun memerlukan tenaga nuklear atau tidak, mula diperdebatkan.
Hokkaido Electric Power, yang menguruskan operasi loji berkenaan, berkata pada jam 5 petang, syarikat itu akan mula memasukkan rod kawalan yang akan menghentikan tidak balas rantaian atom dan membawa reaktor kepada ‘penutupan sejuk’ sementara pada Isnin ini. - AFP"

'via Blog this'

AS terus bedil Pakistan, 6 terkorban

Berita Harian Online | AS terus bedil Pakistan, 6 terkorban: "MIRANSHAH (Pakistan): Sekurang-kurangnya enam anggota pemisah terbunuh apabila jet pejuang Amerika Syarikat bertindak menyerang daerah bergolak di sepanjang sempadan Afghanistan, kata pegawai tempatan.

Pegawai keselamatan Pakistan berkata, AS menyasarkan dua peluru berpandu dan memusnahkan kawasan Shawal, kira-kira 70 kilometer di barat Miranshah, bandar utama di wilayah utara jajahan Waziristan di sepanjang sempadan Afghanistan.
"Jet pejuang AS melepaskan dua peluru berpandu di pekarangan wilayah berkenaan. Sekurang-kurangnya enam militan terbunuh. Dilaporkan, angka kematian mungkin meningkat," kata pegawai keselamatan Peshawar. - AFP"

'via Blog this'

Hukuman mati: Saudi lanjut proses permaafan

Hukuman mati: Saudi lanjut proses permaafan - Global - Sinar Harian:

JAKARTA - Kerajaan Arab Saudi telah melanjutkan tempohwaktu islah untuk proses permaafan selama tiga bulan lagi kepada empatwarganegara Indonesia yang sedang menghadapi hukuman mati di negara itu.

Keputusan Raja Abdullah mengenai perkara itu, yang dibuat semalam telah disampaikan melalui Kedutaan Besar Arab Saudi di Jakarta dalam satu nota diplomatik.

Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam kenyataan hari ini berkata keputusan Raja Arab Saudi itu merupakan respons positif terhadap permintaan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, berasaskan hubungan baik dan persahabatan kedua-dua buah negara.

Keputusan itu dikeluarkan menjelang pertemuan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud Al-Faisal pada 8 Mei ini di Riyadh, Arab Saudi.

Lanjutan waktu selama tiga bulan itu diberikan agar usaha permohonan maaf daripada pihak keluarga mangsa dapat terus dijalankan dalam tempoh islah (waktu penyelesaian perbalahan dengan jalan damai).

Dalam sistem udang-undang di Arab Saudi, keluarga merupakan satu-satunya pihak yang dapat memberikan kemaafan bagi melepaskan seseorang pesalah yang telah dijatuhi hukuman qisas, iaitu hukuman mati.

Sejak pertengahan tahun 2011 hingga sekarang, daripada 62 warganegara Indonesia yang menghadapi hukuman mati di Arab Saudi, seramai 23 orang telah dapat dibebaskan daripada menjalani hukuman tersebut. - Bernama

‘Kubur’ Osama ditemui?

‘Kubur’ Osama ditemui? - Global - Sinar Harian:


Warren nekad untuk melakukan misi mencari beg mengandungi jenazah Osama pada Jun depan.
Warren nekad untuk melakukan misi mencari beg mengandungi jenazah Osama pada Jun depan.
NEW YORK - Lokasi sebenar jenazah pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden dibuang ke laut masih tidak dapat dipastikan sehingga kini.

Tetapi, seorang pencari harta karun warga warga Amerika Syarikat (AS), Bill Warren, 60, mendakwa dia telah menemui lokasi yang tepat dan merancang untuk menyelam ke kawasan itu.

Warren yang mempunyai pengalaman mencari lebih 200 bangkai kapal kini cuba untuk mengumpulkan dana berjumlah kira-kira AS$200,000 (RM609,000) untuk misi mencari beg didakwa mengandungi jenazah Osama di sebuah kawasan di Laut Arab Utara.

Dia nekad untuk melakukan misi tersebut selepas mengkaji imej satelit yang diberikan oleh sumber rahsianya di Pentagaon.

Menurutnya, beg jenazah Osama turut diletakkan pemberat supaya kedudukannya di dalam dasar laut tidak berubah.

Sebelum ini, AS gagal mengemukakan bukti kematian Osama dan enggan mendedahkan lokasi jenazah pemimpin Al-Qaeda itu dibuang kerana khuatir kononnya ia akan menjadi tempat pemujaan penyokongnya.

Mesir kuat kuasa perintah berkurung

Mesir kuat kuasa perintah berkurung - Global - Sinar Harian:


Pihak tentera Mesir
Pihak tentera Mesir mengenakan sekatan di kawasan berhampiran Kementerian
Pertahanan di Kaherah, semalam. – Foto EPA
KAHERAH - Majlis Agung Angkatan Tentera Mesir, yang memerintah negara itu sejak Presiden Hosni Mubarak digulingkan, mengenakan perintah berkurung di kawasan sekitar Kementerian Pertahanan di sini selepas seorang askar dilaporkan terbunuh manakala beratus-ratus cedera dalam pertempuran membabitkan anggota tentera dan penunjuk perasaan.
Askar-askar menggunakan meriam air dan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan semalam. Berpuluh-puluh orang ditahan.
Penunjuk perasaan kemudiannya bersurai dan menyertai satu protes di Dataran Tahrir.
Rabu lalu, beberapa penembak tidak dikenali menyerang penunjuk perasaan di luar Kementerian Pertahanan, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh.
Penunjuk perasaan pula mendakwa kerajaan mengaturkan serangan itu.
Perintah berkurung dikuatkuasakan dari jam 8 malam hingga 7 pagi waktu tempatan (5 pagi tadi hingga 1 pagi esok waktu Malaysia).
Perkembangan terbaru ini disaksikan sementara rakyat Mesir akan keluar mengundi dalam pilihan raya presiden negara itu tidak lama lagi.

Perbuatan lucah anak pengasuh

myMetro | Perbuatan lucah anak pengasuh:


KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang kerap menangis sebaik dihantar ke rumah pengasuhnya di Jalan Padang Behor-Guar Syed Alwi, di sini, sejak seminggu lalu, membongkar rahsia apabila mendakwa dia dipaksa melakukan seks oral di rumah pengasuhnya sejak sebulan lalu.
Difahamkan, mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu dihantar di rumah berkenaan sejak setahun lalu dan dipaksa melakukan seks oral oleh anak pengasuh berusia 15 tahun.

Ibu mangsa yang enggan dikenali dan bekerja sebagai peniaga itu berkata, dia dimaklumkan anaknya tiga minggu lalu bahawa pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah itu menyuruhnya melakukan seks oral sehingga mangsa muntah teruk.
“Anak saya memberitahu dia diperlakukan sedemikian sejak tiga minggu lalu sebelum saya tidak menghantarnya ke sana lagi, namun tidak mengesyaki sesuatu yang buruk.

“Namun, minggu lalu saya cuba menghantarnya ke sana sebelum dia menangis tidak mahu ke rumah pengasuhnya,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, kelmarin mangsa mengadu kesakitan di kemaluannya termasuk sakit ketika hendak membuang air kecil.

“Saya menghantarnya ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, kelmarin sebelum doktor memberitahu kemaluan anak saya dijangkiti kuman,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan menyiasat perkara berkenaan.

Katanya, suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan kerana merangsang dengan tujuan melakukan perbuatan melampau yang salah.

Guru cair pujukan rakan facebook rugi RM75,900

myMetro | Guru cair pujukan rakan facebook rugi RM75,900:

KOTA BHARU: Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita mendakwa dari United Kingdom (UK) yang dikenali melalui laman sosial, facebook, seorang guru kerugian RM75,900 selepas menyerahkan wang berkenaan kepada suspek konon untuk urusan pembelian produk hormon tumbesaran haiwan.
Difahamkan, mangsa berusia 30 tahun berkenalan dengan wanita itu sejak awal tahun ini sebelum ditawarkan produk berkenaan yang kononnya lebih murah dan boleh memberikan keuntungan berganda jika dijual semula.

Mangsa menyerahkan wang dalam tempoh tiga hari dengan memasukkan wang pendahuluan dalam akaun bank milik individu tidak dikenali.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud berkata, mangsa membuat pembayaran pendahuluan RM45,900 pada jam 2.56 petang, 26 April lalu, di sebuah bank di Kota Bharu.

Menurutnya, pada 27 dan 28 April pula, mangsa membuat pembayaran RM30,000 menerusi akaun sama.

“Mangsa menghubungi suspek untuk berjumpa dan suspek mendakwa berada di Kuala Lumpur pada 28 April lalu untuk urusan pembelian produk itu.
“Mangsa diarah berjumpa suspek di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 9 malam, 30 April lalu, namun sebaik tiba, suspek tidak muncul sebelum mangsa menyedari ditipu selepas mendapati wanita itu tidak menginap di hotel berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu, Rabu lalu.

20 mangsa bom Taliban

myMetro | 20 mangsa bom Taliban: "KHAR (Pakistan): Seorang pengebom berani mati berusia belasan tahun meletupkan dirinya di bandar ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan dan berkata, ia mensasarkan ketua polis tempatan dan timbalannya.
Pegawai perisik berkata, pengebom berkenaan berusia antara 14 hingga 16 tahun. - AFP"

'via Blog this'

Russia ancam serang sistem antipeluru berpandu Nato

myMetro | Russia ancam serang sistem antipeluru berpandu Nato: "MOSCOW; Ketua Turus Tentera Russia semalam berkata, negaranya mungkin melancarkan serangan awal terhadap kemudahan pertahanan peluru berpandu Nato di Eropah bagi melindungi keselamatannya.

Kenyataan Jeneral Nikolai Makarov itu menyerlahkan bantahan Russia terhadap sistem antipeluru berpandu yang mahu dibina oleh Amerika Syarikat dan Nato di Poland dan Romania, kononnya untuk melindungi Eropah daripada serangan Iran.

Makarov, dalam satu persidangan yang turut dihadiri pegawai Amerika Syarikat dan Nato, mengulangi ancaman untuk menempatkan lebih banyak peluru berpandu di selatan dan barat laut Russia sebagai persediaan melancarkan serangan terhadap kemudahan pertahanan di Eropah itu.

Moscow percaya sistem pertahanan peluru berpandu itu akan melemahkan keupayaan senjata nuklearnya, bukan semata-mata untuk menangani peluru berpandu Iran. - AFP"

'via Blog this'

Tentera Mesir ulangi ikrar serah kuasa

myMetro | Tentera Mesir ulangi ikrar serah kuasa: "KAHERAH: Pemimpin tentera yang memerintah Mesir semalam mengulangi ikrar untuk menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam dalam masa dua bulan lagi.

Ikrar berkenaan dibuat sehari selepas pertempuran menyebabkan 11 orang terbunuh, berpunca daripada ketegangan politik.


Kejadian itu, secara tidak langsung mencetuskan tuduhan bahawa tentera cuba menimbulkan huru-hara bagi membolehkannya terus berkuasa.

Pada masa sama, Majlis Pemerintahan Tentera memberi amaran kepada penunjuk perasaan antikerajaan bahawa kekerasan akan digunakan jika mereka menghampiri bangunan Kementerian Pertahanan.


Pertempuran kelmarin berlaku apabila penyokong tentera menyerang kumpulan penyokong parti Islam yang mengadakan tunjuk perasaan di luar Kementerian Pertahanan untuk mendesak tentera mengakhiri pemerintahan mereka.


“Pihak tentera dan Majlis Tertinggi komited untuk menyerahkan kuasa pada 30 Jun. Kami tidak ingin untuk terus berkuasa,” kata Mejar Jeneral Mohammed al-Assar pada sidang akhbar. - AFP"

'via Blog this'

Kubu Fordow tetap operasi

myMetro | Kubu Fordow tetap operasi:

VIENNA: Iran semalam berkata, ia tidak akan menggantung program pengayaan uraniumnya dan tidak akan menutup kubu nuklear bawah tanah di Fordow.
Kenyataan Iran itus secara tidak langsung menunjukkan ia sudah menggariskan had untuk rundingan dengan kuasa besar dunia pada hujung bulan ini.

Bulan lalu, seorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata, negara itu dan sekutunya akan mendesak Iran menghentikan aktiviti pengayaan uranium gred tinggi serta menutup kemudahan nuklear di Fordow pada rundingan itu kelak.
Bagaimanapun, duta Iran ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Ali Asghar Soltanieh memberitahu Reuters, dia tidak melihat kewajaran untuk menutup Fordow yang menurutnya, diletakkan di bawah pemerhatian IAEA.

“Apabila anda mempunyai tempat selamat di bawah kawalan IAEA, mengapa anda memberitahu saya supaya menutupnya?” kata Ali, menjelaskan lagi hasrat Iran yang membina kawasan itu untuk melindungi program nuklearnya daripada menjadi sasaran serangan Amerika Syarikat dan Israel.

“Fordow ialah tempat selamat. Kami menghabiskan sejumlah besar wang dan masa untuk memiliki sebuah tempat selamat,” kata duta berkenaan.
Iran dan kuasa besar dunia menyambung semula perbincangan mengenai program nuklearnya pertengahan April lalu di Istanbul, selepas tertangguh selama lebih setahun. Ia dilihat sebagai peluang untuk meredakan ketegangan dan mengelak ancaman tercetusnya Perang Asia Barat yang baru.

Mereka dijadual berunding lagi pada 23 Mei di Baghdad. Barat menuduh program nuklear Iran bertujuan menghasilkan bom atom dan mahu Teheran memberi jaminan bahawa ia tidak merancang sedemikian. Ini boleh dilakukan dengan membenarkan lebih banyak pemeriksaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mengehadkan kapasiti pengayaan uraniumnya.
Iran menolak tuduhan itu, sebaliknya berkata, program nuklearnya bertujuan untuk keamanan.

“Satu perkara yang jelas: aktiviti pengayaan uranium tidak akan digantung,” kata Ali. - Reuters

Imelda Marcos anggota Parlimen kedua terkaya di Filipina

myMetro | Imelda Marcos anggota Parlimen kedua terkaya di Filipina:


MANILA: Imelda Marcos mengisytiharkan pendapatan bersihnya sebanyak AS$22 juta (RM67 juta) yang tercatat dalam rekod Parlimen dan dia masih lagi cuba berusaha agar kerajaan melepaskan hartanya sejak dua dekad rejim diktator suaminya digulingkan.
Balu diktator Ferdinand Marcos mengisytiharkan kekayaan sebanyak 932.8 juta peso (RM67 juta) pada 2011 dalam rekod yang dikeluarkan kelmarin, menunjukkan beliau adalah ahli politik kedua terkaya di Filipina, di belakang wira peninju dan ahli Kongres, Manny Pacquiao.

Jumlah yang diisytihar oleh Marcos, 82, adalah 50 peratus lebih tinggi dari 2010, termasuk aset terbaru yang diserahkan oleh kroni diktator itu. Pemberontakan besar-besaran menggulingkan kuasa diktator itu pada 1986 menyebabkan ahli keluarganya melarikan diri ke luar negara.
Sejak itu Manila berusaha mendapatkan semula harta kekayaan yang dikatakan dikumpul melalui rasuah oleh keluarga Marcos dan kroninya sepanjang 20 tahun dia memerintah. Diktator yang digulingkan itu mati dalam buangan pada 1989 dan ahli keluarganya dibenarkan pulang ke Filipina.

Pada 2010, balunya dilantik sebagai ahli Kongres.

Sebelum dilantik, Marcos mengadu dia hampir muflis, walaupun tinggal di kondominium mewah dan sering memakai banyak perhiasan ketika muncul di khalayak ramai. - Manila Times

Harta Zuckerberg dijangka berjumlah RM54 bilion

myMetro | Harta Zuckerberg dijangka berjumlah RM54 bilion:


SAN FRANCISCO: Mark Zuckerberg akan menjadi antara orang paling kaya di dunia dengan harta berjumlah RM54 bilion apabila saham Facebook diapungkan di pasaran saham 18 Mei ini.
Pengasas laman sosial berusia 27 tahun itu akan bernilai lebih tinggi berbanding pesaing teknologi lain, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Balmer yang berusia 56 tahun, dua kali ganda usia Zuckerberg, menurut dokumen yang difailkan oleh Facebook pada pihak berkuasa kewangan Amerika Syarikat.

Beliau juga akan lebih kaya daripada Michael Dell, 47, dan bilionair keluli Russia, Vladimir Lisin, 55.
Zuckerberg yang akan memegang jawatan CEO juga akan mengekalkan kira-kira 58 peratus kuasa mengundi syarikat.

Saham Facebook ditetapkan antara RM84 hingga RM105 untuk diapungkan membolehkan syarikat itu dinilaikan pada RM238 bilion, pengapungan tertinggi dalam sejarah Silicon Valley.

Pelabur dijangka berebut untuk mendapatkan saham itu, walaupun sebahagian mereka menyuarakan kebimbangan mengenai pertumbuhan jangka panjang rangkaian sosial berkenaan Sambutan terhadap saham Facebook dijangka tinggi bukan setakat kerana jumlah wang yang akan dihasilkan tetapi ia sendiri adalah amat popular.
Rangkaian sosial online itu mempunyai 900 juta pengguna di seluruh dunia. - DM

Buaya 4.4 meterditangkap di Australia

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan buaya sepanjang 4.4 meter yang ditangkap di Sungai Daly, selatan Darwin.


SYDNEY, Australia - Seekor buaya air masin sepanjang 4.4 meter yang membaham sembilan ekor anjing peliharaan ditangkap di sebatang sungai di utara Australia, menurut satu laporan semalam.
Laporan akhbar Northern Territory Newsmenyatakan, buaya ganas itu ditangkap di penempatan penduduk Sungai Daly, sekitar 225 kilometer ke selatan bandar raya Darwin selepas reptilia itu menakutkan penduduk setempat.
Seorang pegawai polis, Mark Casey memberitahu, pejabatnya menerima sembilan aduan tentang anjing peliharaan penduduk dibaham haiwan itu dalam tempoh sebulan.
"Buaya adalah bahaya yang menanti kerana anda menyangka ia batang kayu terapung di permukaan sungai," kata Casey.
Menurutnya, selain haiwan itu, terdapat dua lagi buaya besar dan seekor buaya kecil yang masih berkeliaran di kawasan berkenaan.
Buaya air masin yang boleh membesar hingga sepanjang 7 meter dan mencapai berat satu tan, kerap ditemui di bahagian utara Australia.
Sebanyak dua orang mati akibat serangan haiwan itu di Australia pada setiap tahun. - AFP

Surat Osama didedahkan

Kosmo! Online - Dunia:





SURAT Osama yang didedahkan Pusat Memerangi Keganasan Tentera Amerika Syarikat kelmarin.



WASHINGTON - Bekas ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden pernah menyuarakan kebimbangan tentang kelunturan kepercayaan dunia Islam terhadap rangkaiannya dalam beberapa pucuk surat yang ditulis semasa dia bersembunyi di sebuah banglo di bandar Abbotabad, Pakistan.
Dalam surat berkenaan, beliau turut khuatir berhubung organisasi pengganas berkenaan yang semakin tidak tersusun.
Sebilangan dokumen berkenaan yang dirampas dalam serbuan pasukan komando AS, Navy Seal ke kediaman Osama di Abbottabad, disiarkan di Internet kelmarin oleh Pusat Memerangi Keganasan Tentera AS.
"Saya merancang untuk mengeluarkan satu kenyataan bahawa kita (Al-Qaeda) akan memulakan fasa baharu bagi membetulkan kesilapan yang kita lakukan," kata Osama dalam sepucuk surat berkenaan pada 2010.
"Dengan berbuat demikian, kita akan memperoleh kembali kepercayaan sebahagian besar mereka yang telah hilang keyakinan terhadap perjuangan kita," tambahnya.
Dokumen berkenaan turut menyuarakan kekesalan Osama ekoran tindakan anggota-anggota Al-Qaeda yang membunuh terlalu ramai orang Islam.
Namun, sehingga ke akhir hayatnya, Osama tetap memberikan tumpuan untuk menyerang rakyat AS dan berkomplot membunuh barisan pemimpin tertinggi negara kuasa besar berkenaan termasuk Jeneral David Petraeus, Naib Presiden Joe Bidden dan tidak terkecuali, Presiden AS, Barack Obama.
Ketua Al-Qaeda itu terbunuh dalam serangan komando AS ke kediaman persembunyiannya di Abbottabad pada 2 Mei 2011 ketika berusia 54 tahun. - Agensi

Friday, May 4, 2012

Arab Saudi ulangi amaran

myMetro | Arab Saudi ulangi amaran: "RIYADH: Arab Saudi sekali lagi berkata, ia tidak akan bertolak ansur mengenai ancaman terhadap kedaulatan negara Teluk Arab.

Ia amaran terbaru kepada Iran selepas Presiden Mahmoud Ahmadinejad melawat sebuah pulau yang dituntut oleh Teheran dan juga Emiriah Arab Bersatu.


Amaran itu, yang ketiga sejak beberapa minggu lalu oleh anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dibuat ketika kebimbangan semakin meningkat di rantau berkenaan, berkait dengan Iran.

“Sebarang ancaman yang berlaku di mana-mana negara jiran kami, adalah ancaman terhadap kami juga,” kata Putera Mahkota Saudi, Naye al-Saud, pada mesyuarat GCC di Riyadh. Beliau mengecam peranan Iran yang mencetuskan kekacauan pengikut Syiah di Bahrain dan pendudukan negara itu di Pulau Abu Musa yang dianggap sebagai penjajahan. - Reuters"

'via Blog this'

Tahanan mogok lapar meningkat

myMetro | Tahanan mogok lapar meningkat: "BAITULMAQDIS: Jumlah warga Palestin di penjara Israel yang mengambil bahagian dalam mogok lapar besar-besaran kini meningkat kepada 1,550 orang.

Menurut jurucakap Perkhidmatan Penjara Israel, Sivan Weizman, jumlah itu bertambah selepas 100 lagi tahanan Palestin menyertai mogok berkenaan dua hari lalu.
Jumlah itu adalah lebih sepertiga daripada 4,700 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Persatuan Doktor Untuk Hak Asasi berkata, dua tahanan, Bilal Diab dan Thaer Halahla yang mogok sejak 64 hari lalu, kini berdepan dengan maut. - AFP"

'via Blog this'

Israel paling bahaya: Iran

myMetro | Israel paling bahaya: Iran:


VIENNA: Seorang pegawai kanan Iran berkata semalam, senjata nuklear Israel yang tidak diisytiharkan menjadi ancaman paling besar terhadap keamanan Asia Barat.
Timbalan Menteri Luar, Mohammad Mahdi Akhondzadeh, ketika berucap pada mesyuarat Mengehadkan Senjata yang dihadiri 189 negara, juga menyelar ‘beberapa negara yang bersenjata nuklear’ dan sudah memeterai Perjanjian Mengehadkan Senjata (NPT) bahawa simpanan senjata mereka dan permodenannya adalah ancaman paling serius terhadap kehidupan manusia.

Beliau menuduh mereka tidak mencapai keberkesanan dan kemajuan sistematik dalam melaksanakan tanggungjawab melucutkan senjata nuklear menerusi komitmen kepada Perjanjian Mengehadkan Senjata.
“Beberapa negara tertentu tidak menunjukkan keikhlasan dan semangat politik, sebaliknya bersikap hipkorit berhubung dengan tanggungjawab mereka terhadap perlucutan senjata nuklear,” kata Timbalan Menteri Luar Iran itu. Kenyataannya dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan kebimbangan antarabangsa bahawa Iran berhasrat menghasilkan senjata menerusi aktiviti nuklearnya.

Walaupun beliau tidak menyebut nama negara itu, penggunaan kata ‘beberapa’ membayangkan beliau bercakap mengenai Amerika Syarikat, Britain dan Perancis.

Iran mengambil tindakan berhati-hati untuk tidak mencetuskan kemarahan Russia dan China, dua lagi negara yang mempunyai senjata nuklear dan menandatangani NPT serta menentang sekatan yang dikenakan terhadap Iran oleh Washington dan sekutu Baratnya.
Amerika Syarikat dan sekutunya melihat Iran sebagai ancaman nuklear di Asia Barat kerana keengganannya menghentikan kerja pengayaan uranium dan aktiviti lain yang boleh digunakan untuk menghasilkan senjata.

Tetapi Iran dan negara Arab berkata, senjata nuklear Israel yang tidak diisytihar menjadi ancaman paling utama. - AFP

Obama dingin dengan kekasih

myMetro | Obama dingin dengan kekasih:


PADA zaman muda, Obama gemar menghabiskan hujung minggu dengan menikmati kopi sambil menyelesaikan silang kata dalam akhbar New York Times bersama kekasihnya.
PADA zaman muda, Obama gemar menghabiskan hujung minggu dengan menikmati kopi sambil menyelesaikan silang kata dalam akhbar New York Times bersama kekasihnya.
GENEVIEVE mengesyaki Obama pernah melalui pengalaman pahit sehingga menyebabkan dia menjadi pendiam.
GENEVIEVE mengesyaki Obama pernah melalui pengalaman pahit sehingga menyebabkan dia menjadi pendiam.
WASHINGTON: Diari rahsia seorang wanita Australia yang pernah menjadi teman wanita Barack Obama menunjukkan sikap Presiden Amerika Syarikat itu terhadap cinta ketika zaman mudanya.
Kandungan diari itu turut membayangkan sifat pendiam dan tenang Obama.

Hubungan romantis Obama dengan Genevieve Cook itu berlangsung pada 1980-an, ketika mereka berusia dalam lingkungan 20-an.
Sedutan kandungan catatan peribadi Genevieve itu disiarkan majalah Vanity Fair berdasarkan buku Barack Obama: The Story ditulis David Maraniss.

Anak seorang diplomat Australia, Genevieve mengenang bagaimana Obama menghabiskan masa hujung minggunya dengan bersantai sambil meminum kopi dan menyelesaikan silang kata dalam akhbar New York Time.

Dalam buku berkenaan, Maraniss memetik kata-kata Genevieve yang menceritakan bagaimana Obama melakukan aktiviti itu tanpa berbaju dan hanya mengenakan sarung biru putih.
Buku itu turut memuatkan catatan Genevieve mengenai perkembangan hubungan romantiknya dengan Obama kemudian menjadi dingin apabila mereka tinggal bersama.

“Kehangatan seksual memang ada, tapi selebihnya agak menekan dan saya dapati segala-galanya tidak beres.
“Saya dapati hati saya mahu keluar daripada semua itu,” katanya.

Catatan Genevieve turut menunjukkan Obama cuba memujuk dirinya supaya menerima keadaan dirinya yang lahir dalam keluarga berbeza budaya dan bangsa.

Ibu Obama adalah warga AS berkulit putih, manakala bapanya berkulit hitam berasal dari Kenya dan mereka menghabiskan sebahagian hidupnya di Indonesia.

Dia juga berdepan dengan pelbagai cabaran sebelum namanya melonjak sebagai seorang ahli politik tertinggi di AS dua dekad kemudian. Kata Genevieve, kemesraan Obama mengelirukan.

“Dia bermulut manis, terbuka dan mempercayai, tetapi di situ juga ada yang dingin,” katanya.

Pada 1984, Genevieve menulis di diarinya: “Obama masih menghantui saya, tapi terlalu banyak yang berlaku dan tak terjangkau. Dijaga, dikawal.” Setahun kemudian, selepas hubungan mereka berakhir, Genevieve mengimbau semula kenangan bersama Obama dalam diarinya.

Kata Genevieve, dia yakin Obama menyembunyikan emosi yang dicarinya dalam diri pemuda itu.

“Saya tertanya-tanya jika sikap pendiam Obama bukan saja sifat semula jadinya, tetapi akibat calar emosi yang menyebabkannya sukar menjalin hubungan walaupun selepas dia melepasi pengalaman berkenaan,” katanya.

Genevieve bertemu Obama dalam sebuah parti Krismas di New York pada 1983.

- AFP

Mangsa culik ditemui di R&R

Berita Harian Online | Mangsa culik ditemui di R&R:

pix_gal0
KUALA LUMPUR: Pelajar Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Nayati Shamelin Moodliar, 12, yang dilaporkan diculik ketika berjalan kaki ke sekolahnya sejak seminggu lalu dibebaskan pagi semalam, kira-kira 19 jam selepas ibu bapanya membayar sejumlah wang tebusan kepada kumpulan penculiknya.

Dalam kejadian jam 7.55 pagi itu, kanak-kanak terbabit ditinggalkan bersama telefon bimbit milik seorang suspek kes penculikannya di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh sebelum mangsa menghubungi ibu bapanya memaklumkan pembebasannya dan meminta mengambilnya di tempat kejadian.
Bertindak atas maklumat itu, ibu bapa mangsa, Sham Moodliar, 41, dan Janice Smith, 40, kedua-duanya warga Belanda, bergegas ke lokasi dan menemui anak lelaki mereka dalam keadaan selamat tetapi keletihan, selain ketakutan sebelum memaklumkan polis mengenai penemuannya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika mengesahkan pembebasan mangsa, berkata kanak-kanak itu ditemui sendiri oleh keluarganya di hentian berkenaan tanpa sebarang kesan kecederaan kecuali mengalami trauma berikutan kejadian menimpanya sejak seminggu lalu.

“Mangsa diambil sendiri oleh ibu bapanya selepas dihubungi anak mereka. Ada kemungkinan mangsa ditinggalkan di situ ketika kumpulan penculiknya dalam perjalanan melarikan diri. Kita mengesahkan memang ada wang tebusan ibu bapa mangsa yang mendorong kepada pembebasannya pagi ini.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, ibu bapa mangsa membayar wang tebusan itu di satu lokasi di Cheras kira-kira jam 12 tengah hari semalam selepas mengadakan beberapa siri rundingan dengan kumpulan penculik. 

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan berapa jumlah wang tebusan yang dibayar, namun jumlahnya ‘boleh tahan’,” katanya kepada pemberita, di sini semalam. 
Dalam kejadian 27 April lalu, Nayati yang lengkap berpakaian sekolah diculik dua lelaki tidak dikenali menaiki PROTON Gen-2 disyaki kereta curi, ketika sedang berjalan kaki di persimpangan Jalan Kiara - Jalan Kiara 1 untuk ke sekolah kira-kira jam 7.35 pagi, malah tempat kejadian hanya 700 meter dari rumah keluarganya di Kondominium 10 Mont Kiara.

Ibu bapanya kemudian membuat laporan di Balai Polis Mont Kiara selepas dimaklumkan mengenai kehilangannya oleh pihak pengurusan sekolah pada jam 7.45 pagi sebelum polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes penculikan dan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan.

Mohmad ketika mengulas lanjut, berkata pihaknya tidak terbabit langsung dalam keputusan pembayaran wang tebusan itu, sebaliknya dilakukan keluarga mangsa sendiri yang risaukan keselamatan anak mereka.

“Polis sedang menjalankan siasatan kes ini mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Kita juga sedang giat mengesan dan memburu kedua-dua suspek. 

“Polis akan mengambil keterangan kanak-kanak itu secepat mungkin bagi membantu siasatan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kes berkenaan turut membabitkan ahli keluarga mangsa seperti dilaporkan sebelum, beliau memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan.

Sementara itu, Janice ketika dihubungi semalam menyatakan rasa syukur di atas penemuan anak lelakinya, malah turut merakamkan penghargaan kepada rakyat negara ini, terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas dalam usaha mengesan kanak-kanak berkenaan.

“Syukur, Nayati selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, dia sedikit trauma dengan kejadian itu dan sedang berehat. 

“Kepada Kerajaan Malaysia, khususnya PDRM, terima kasih kerana memberikan keutamaan kepada keselamatan anak kami, termasuk merancang rapi setiap tindakan yang diambil dalam menyelesaikan kes itu tanpa membahayakan nyawa Nayati.

“Kami akan mengadakan sidang media esok (hari ini), anda (wartawan) boleh bertanyakan lebih lanjut mengenai kejadian ini. Kami berharap pihak media memahami situasi kami sekeluarga,” katanya sambil menyatakan hasrat mereka untuk terus menetap di negara ini walaupun masih trauma dengan kejadian berlaku.

Ulama Indonesia khuatir Syiah


JAKARTA: Ulama Jawa Barat yang bernaung di bawah kepemimpinan Majlis Ulama Indonesia dan Forum Jemaah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan ajaran Syiah.

Amaran itu dikeluarkan berikutan perbezaan mazhab antara Syiah dan Sunnah yang lebih berpengaruh di Indonesia.
“Ada sekurang-kurangnya tiga masalah dalam Syiah. Pertama, mereka menganggap al-Quran diubah suai. Kedua, hanya ulama Syiah ada kuasa utama mentafsir hadis.
“Ketiga, Syiah membenarkan kahwin kontrak mengikut kepentingan sendiri. Ia boleh digunakan hingga menyebabkan pelacuran seolah-olah dibolehkan,” kata ketua forum berkenaan, Athian Ali, kepada Jakarta Post, kelmarin.

Pemimpin Majlis Ulama Indonesia cawangan Jawa Barat, Rafani Akhyar, mengesahkan mereka perlu berwaspada penyebaran Syiah kerana ia membawa pengaruh negatif kepada umat Islam Indonesia.

“Kita perlu berhati-hati dengan agenda politik Syiah kerana ia boleh membahayakan idea Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI),” katanya.

Berdasarkan perspektif Syiah, ulama yang memegang kuasa penuh mentadbir negara, bukan kerajaan. Sementara itu, di Sampang, Madura, sesi keterangan membabitkan ulama Syiah, Tajul Muluk, masih berterusan.
Tajul dihadapkan ke mahkamah kerana polis menganggap kepercayaan agamanya mendorong umat Islam mengambil langkah ganas.

Sementara itu, sarjana Syiah Indonesia, Jalalluddin Rahmat, pula berpendapat tuntutan mengelak daripada terpengaruh dengan ajaran mazhab berkenaan bertentangan Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama.

Keputusan yang dikeluarkan pelbagai persidangan antarabangsa mengenai Sunnah dan Syiah, termasuk deklarasi Makkah, deklarasi Amman dan deklarasi Bogor, juga menjamin kebebasan kedua-dua mazhab itu, katanya.

Pegawai Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Manusia (KOMNAS HAM), Hesti Armiwulan, pula berkata ketika suruhanjaya itu tidak terbabit perbezaan ideologi atau agama, ia melihat pihak yang mencabar Syiah mungkin mencabul kebebasan beragama yang dilindungi undang-undang. – Agensi

Tahanan Palestin mogok lapar

Berita Harian Online | Tahanan Palestin mogok lapar:

BAITULMAQDIS: Seramai 1,550 rakyat Palestin di penjara Israel menyertai mogok lapar besar-besaran dan dua daripada mereka sudah berlapar selama 64 hari, kata pegawai penjara Israel. 

Jurucakap penjara, Sivan Wiezman memberitahu, 100 banduan lain mula bertindak enggan makan sejak dua hari, menjadikan bilangan mereka yang menyertai mogok lapar meningkat kepada 1,550 atau lebih satu pertiga daripada keseluruhan 4,700 tahanan Palestin.
Dua daripada mereka, Bilal Diab dan Thaer Halahla, melakukan mogok lapar selama 64 hari, menyebabkan kumpulan Physicians for Human Right (PHR) – Israel memberi amaran bahawa mereka berdepan risiko maut.
Mahkamah Agung Israel semalam mendengar satu rayuan terhadap mereka yang ditahan tanpa didakwa. Prosiding itu juga digunakan bagi memperbaharui tempoh tahanan mereka sehingga enam bulan lagi. 

Selasa lalu, Diab berpindah dari penjara Ramle ke hospital Assaf HaRofeh berhampiran, sehari selepas PHR memberi amaran bahawa dia terancam jika tidak mendapat perhatian perubatan secukupnya. 

“Bilal dalam keadaan stabil selepas dipindahkan ke jabatan gasteroenerologi di Hospital Assaf HaRofeh,” kata peguamnya, Jamil Khatib. 

Seorang penasihat perundangan kepada Kelab Tahanan Palestin, Jawad Boulos yang melawat Diab kelmarin berkata, dia dirantai pada katil hospital dan dipantau empat pengawal keselamatan. 
Diab enggan berurusan dengan doktor sehingga mereka menanggalkan rantai itu dan memberitahu pengawal: “Setiap kali anda lebih kejam, saya akan lebih percaya dengan pendirian dan kepercayaan bahawa kebebasan adalah perkara paling berharga dalam hidup,” kata Boulos. 

Seorang doktor PHR yang memeriksa Diab mendapati dia mengalami sakit perut dan mungkin mengalami pendarahan dalaman. Katanya, Halahla juga perlu menjalani imbasan CAT dengan segera. 

Khatib yang mewakili Halahla, cuba untuk melawatnya di penjara Ramle pada Rabu tetapi tidak dibenarkan, katanya. 

Majoriti tahanan mula tidak makan sejak 17 April lalu dalam satu tuntutan termasuk menambah akses kepada peguam dan lawatan keluarga selain menamatkan hukuman ditahan bersendirian dan mengakhiri tempoh penahanan. 

Weizman berkata, satu suruhanjaya penjara memeriksa isu keadaan di tempat tahanan itu tetapi tidak memberikan tarikh bila ia akan diserahkan. Suruhanjaya terbabit mula bekerja sebelum bermulanya mogok lapar berkenaan. 

Human Right’s Watch turut berkata, Israel perlu segera mengemukakan dakwaan atau membebaskan mereka yang dipenjarakan tanpa dakwaan yang dipanggil tahanan pentadbiran. – AFP

Haiwan sebesar biri-biri pernah tinggal di pokok

Kosmo! Online - Dunia:



BLACK merakamkan gambar tulang rangka seekor haiwan sebesar biri-biri yang ditemui di Tapak Warisan Dunia Riversleigh di Queensland.


SYDNEY - Australia pernah mempunyai haiwan yang sebesar biri-biri dan tinggal di dahan pokok kira-kira 15 juta tahun lalu, kata seorang ahli paleontologi, Karen Black semalam.
Black berkata, anggota-anggota penyelidikannya telah menemui fosil haiwan itu di Tapak Warisan Dunia Riversleigh di Queensland.
Kerja-kerja untuk mencari fosil itu telah dilakukan sejak tahun 1993.
Beliau berkata, haiwan itu seberat 70 kilogram dan mempunyai pertalian dengan wombat yang merupakan haiwan seperti beruang.
Black menyatakan ia mungkin haiwan memanjat pokok yang terbesar pernah wujud ketika itu. - Agensi

Batu 2,000 tahun ada sel darah manusia

Kosmo! Online - Dunia:



MIKROSKOP pengimbas menunjukkan sel darah manusia pada batu tajam yang dijadikan pisau.


BANDAR RAYA MEXICO - Beberapa batu tajam yang berusia 2,000 tahun didapati mempunyai sel darah dan cebisan tisu termasuk otot, kulit, rambut serta tendon manusia.
Institut Sejarah dan Antropologi Mexico menyatakan penemuan yang dibuat oleh para penyelidik itu menyokong dakwaan tentang amalan penggunaan batu tersebut dalam upacara pengorbanan manusia.
Menurut institut itu kelmarin, ia menggunakan mikroskop pengimbas semasa membuat penemuan tersebut.
Batu-batu itu ditemui di Cantona, negeri Puebla, Mexico.
Ia diserahkan kepada seorang penyelidik di institut tersebut, Luisa Mainou oleh beberapa ahli antropologi selepas menemuinya dua tahun lalu.
Seorang profesor madya dalam bidang antropologi di Universiti Florida, Susan Gillespie menyatakan batu-batu itu digunakan untuk memotong daging manusia. - AGENSI