Pages

Wednesday, July 6, 2011

Menteri Pembangunan Semula Bencana letak jawatan

TOKYO - Baru seminggu menjawat jawatan, Menteri Pembangunan Semula Bencana Jepun, Ryu Matsumoto (gambar) semalam meletak jawatan selepas tindakan sombongnya sewaktu melawat kawasan yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami dikritik hebat.

Dalam mesyuarat bersama beberapa orang gabenor pada hujung minggu lalu, kata-kata Matsumoto juga dianggap sebagai angkuh dan tidak prihatin. Tindakan itu sekali gus mencetuskan kemarahan masyarakat tempatan dan parti pembangkang.

Matsumoto didakwa memberitahu Gabenor Iwate, Takuya Tasso bahawa kerajaan tidak akan membantu majlis perbandaran yang tidak mempunyai idea bagus mengenai pembangunan semula.

Beliau juga dikatakan enggan berjabat tangan dan mengherdik Gabenor Miyagi, Yoshihiro Murai kerana terpaksa menunggu Murai yang lewat tiba bertemunya.

"Apabila tetamu datang melawat, jangan panggil mereka sehingga kamu tiba di dalam bilik. Kamu faham?" kata Matsumoto yang kemudian memberi amaran kepada para pemberita supaya tidak melaporkan tindakannya itu.

Namun, rakaman insiden itu tetap dimuat naik ke Internet. Perletakan jawatan Maysumoto memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan yang sememangnya turut didesak supaya meletak jawatan.

Dalam satu sidang media semalam, Matsumoto tidak menjelaskan kenapa beliau meletak jawatan. Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano memberitahu, Kan menerima perletakan jawatan Matsumoto dan berharap penggantinya akan dilantik secepat mungkin. - AP

Kosmo! Online - Dunia

Sakit mental punca askar marin mengamuk

SEOUL - Seorang askar marin Korea Selatan memberitahu dia berang kerana dipulau, selain mempunyai tanda-tanda sakit mental sebelum dia membunuh empat rakan sekerjanya di sebuah pangkalan barisan hadapan, kata beberapa pegawai tentera semalam.

Askar marin berusia 19 tahun berpangkat koperal itu yang dikenali sebagai Kim, turut mencederakan seorang askar marin lain kelmarin apabila dia melepaskan tembakan di pangkalan tentera Pulau Ganghwa di selatan sempadan maritim dengan Korea Utara.

Ketua penyiasat insiden berkenaan, Kwon Yeong-jae memberitahu wartawan bahawa Kim mengalami masalah psikologi sambil merujuk kepada sekeping nota yang menunjukkan Kim kecewa dengan hidupnya.

Menurut pegawai berkenaan, Kim cuba untuk membunuh diri dengan meletupkan sebutir bom tangan selepas dia mengamuk, tetapi percubaannya gagal.

Insiden tembakan rambang itu merupakan yang terburuk pernah dialami tentera Korea Selatan sejak 2005, apabila seorang askar membaling sebutir bom tangan dan melepaskan tembakan rambang yang meragut lapan nyawa askar dan mencederakan beberapa yang lain. - AP

Kosmo! Online - Dunia

Kembar rentung berpelukan


nur fatin farhana (kiri) dan Nur Fatin Farhanah.


KUALA TERENGGANU – Pilu hati seorang bapa apabila melihat anak kembar perempuannya rentung dalam keadaan berpelukan selepas gagal menyelamatkan diri dari rumah mereka yang terbakar di Kampung Durian Mas, Manir dekat sini semalam.

Kejadian pukul 9.15 pagi di rumah kos murah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) itu menyebabkan dua kanak-kanak malang masing-masing berusia tiga tahun, Nur Fatin Farhana dan Nur Fatin Farhanah mati di lokasi kejadian selepas rentung lebih 50 peratus.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa sedang bermain di dalam bilik manakala bapa mereka, Hamid Mustafa, 40, sedang tidur di ruang tamu manakala ibu mereka, Suriyani Sulong, 40, sedang bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini.

Difahamkan, Hamid yang menganggur dan menghidap penyakit sawan tidak berupaya untuk berjalan jauh.

Mengimbau semula kejadian itu, Hamid memberitahu, dia menyedari berlaku kebakaran selepas terdengar jeritan sepupunya, Wan Norizan Ismail, 40, yang tinggal di kawasan sama mengatakan kepulan asap keluar dari tingkap bilik.

Katanya, dia cuba bangun untuk mendapatkan pasangan anak bongsu daripada tujuh beradik itu tetapi gagal kerana api yang semakin marak.

“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan mereka kerana kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya cuba membawa mereka keluar dari bilik itu tetapi tidak mampu,” ceritanya di sini semalam.

Tambahnya, pasangan kembar itu jarang bermain di dalam bilik kerana mereka lebih gemar bermain di ruang tamu dan luar rumah.

“Malam sebelum kejadian, mereka langsung tidak mahu tidur walaupun sudah pukul 4 pagi hinggakan isteri saya terpaksa melayan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Wan Norizan berkata, dia terus menjerit nama pasangan kembar itu untuk menyuruh mereka keluar sebaik ternampak asap.

“Selepas tidak nampak kelibat kanak-kanak itu, saya mencari bapanya yang berada di ruang tamu. Selepas api padam, anggota bomba menemui mereka yang sudah rentung itu sedang berpelukan,” katanya.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd. Ridzuan Hassan berkata, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas akibat kepulan asap selain melecur.

Kosmo! Online - Negara

Berdemonstrasi dalam stadium sahaja

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara di sini semalam bersetuju membatalkan demonstrasi jalanan yang dijadual pada 9 Julai ini.

Mereka sebaliknya bersetuju supaya perhimpunan tersebut diadakan pada tarikh yang sama di sebuah stadium yang akan ditentukan tidak lama lagi sebagaimana ditawarkan oleh kerajaan sebelum ini.

Jawatankuasa itu yang terdiri daripada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin menghadap Tuanku Mizan petang semalam.

"Kami telah memberitahu Tuanku bahawa kami menerima cadangan kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium.

"Sehubungan itu, perhimpunan di atas jalan raya tidak akan berlangsung pada Sabtu ini," kata Ambiga kepada pemberita selepas menghadap Tuanku Mizan lebih sejam setengah.

Menurut Ambiga lagi, pihaknya berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengadakan perhimpunan secara aman di dalam stadium.

"Kami berpendapat ini jalan terbaik untuk meneruskan perhimpunan. Kerajaan menawarkan stadium, maka kami akan meneruskan perhimpunan di stadium,'' katanya.

Ketiga-tiga pemimpin Bersih 2.0 itu dibenarkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pukul 1.55 petang.

Ahad lalu, Tuanku Mizan bertitah, dalam keghairahan berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, rakyat diminta tidak menjadikan tuntutan demokrasi itu membawa kemusnahan kepada negara.

Seri Paduka tidak mahu melihat negara majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Kosmo! Online - Negara

Kereta Bugatti Veyron Edisi Khas berharga RM6.73 juta

PORSELIN digunakan sebagai material utama untuk kemasan dalaman dan luaran Bugatti Veyron ini.


BERLIN - Pengeluar kereta supersport mewah, Bugatti baru-baru ini memperkenalkan model Veyron terbarunya yang menggunakan kemasan porselin dan dijual pada harga AS$2.24 juta (RM6.73 juta) seunit.

Kereta yang turut dikenali sebagai Grand Sport L'Or Blanc tersebut dilancarkan di luar kilang porselin milik syarikat Koenigliche-Porzellan-Manufaktur (KPM) di Berlin, Jerman. Ia dihasilkan sebagai meraikan permulaan kerjasama antara KPM dan Bugatti.

Menjadi kereta pertama yang menggunakan material porselin pada bahagian dalaman dan luarannya, hanya sebuah Veyron sebegini dihasilkan.

Bugatti Veyron dengan spesifikasi biasa dijual pada harga AS$1.6 juta (RM4.81 juta) seunit. Ia dilengkapi dengan sebuah enjin V8 dan mampu mencecah kelajuan sehingga 407 kilometer sejam (km/j).

Pemilik KPM, Jorg Woltman memberitahu idea untuk bekerjasama dengan Bugatti sebenarnya diinspirasikan oleh Rembrandt Bugatti yang merupakan seorang pembuat arca terkenal. "Sekarang, kami telah menghasilkan porselin paling laju di dunia," kata Woltman. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Kepala gadis tersepit pada pintu bas

GADIS malang ini terpaksa menahan sakit apabila kepalanya tersepit di pintu sebuah bas.


ANHUI - Seorang gadis mengalami nasib malang apabila kepalanya tersepit pada pintu bas ketika mahu turun di satu perhentian bas di bandar Maanshan, wilayah Anhui, China.

Kejadian itu berlaku apabila pemandu bas berkenaan tidak sabar dan terus menutup pintu bas. Ini menyebabkan kepala gadis itu tersepit dan terpaksa menahan sakit sehingga ke satu perhentian bas seterusnya kerana pemandu bas tidak menyedarinya.

Mujurlah beberapa penumpang yang lain menyedari keadaan itu menjerit ke arah pemandu bas supaya memberhentikan bas dan membuka pintunya.

Sebaik sahaja berjaya melepaskan kepalanya, gadis yang kelihatan malu itu segera turun dari bas. Selepas mengurut-urut lehernya buat seketika, dia terus berjalan laju tanpa membuat sebarang aduan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Cermin mata bionik untuk si buta


LONDON - Sekumpulan penyelidik di Universiti Oxford, London sedang mencipta cermin mata bionik yang menggunakan kamera kecil dan komputer poket bagi kegunaan orang buta.
Cermin mata itu akan memudahkan orang buta untuk mencari arah di pusat beli-belah, stesen kereta api yang sibuk serta membolehkan mereka 'membaca'nombor bas dan tanda harga elektronik di kaunter bayaran.
"Kami berpuas hati dengan ciptaan ini. Dengan kos berpatutan, orang ramai boleh menggunakannya," kata penyelidik sains neuro klinikal, Dr. Stephen Hicks.
Penyelidikan awal mengenai kaca mata itu telah selesai dan pasukannya sedang menyediakan prototaipnya.
Kombinasi cermin mata yang ringan dan murah itu akan berada di pasaran seawal tahun 2014, sekiranya ujian yang dilakukan berjaya. Ia dikatakan sesuai digunakan oleh lebih 300,000 warga Britain yang dilaporkan buta. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Lelaki gemuk menang undian pencarian model



ROLAND BUNCE


LONDON - Seorang lelaki berbadan gempal, Roland Bunce, 24, berada di tempat teratas dalam pertandingan Make Me the Next Model 2011 yang akan diadili oleh barisan panel profesional selepas dia memenangi undian dalam talian.

Langsung tidak mempunyai penampilan dan raut wajah seperti seorang model, Bunce mendapat perhatian pengundi awam dalam talian selepas penyertaannya disabotaj oleh pengguna Internet.

Populariti Roland melonjak selepas kemunculannya menarik perhatian ramai pengundi bulan lalu. Dia juga terus mara untuk menang dalam pertandingan kelolaan pihak High Street yang bertujuan mencari model selepas menewaskan 5,000 peserta lain. Dia memperoleh undian terbanyak iaitu 66,000 undi.

Bunce yang merupakan seorang jurutera komputer dari Belfast akan mempertaruhkan nasibnya dalam pusingan terakhir bersama 250 orang peserta lain pada 30 Julai ini.

Pertandingan yang menerima 5,000 penyertaan itu menawarkan pemenangnya dengan baucar bernilai AS$3,221 (RM9,695.10) dan sesi fotografi untuk diperkenalkan kepada agensi peragaan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Bekas ketua IMF berdepan tuduhan baharu

AP
KAHN (kiri) didakwa cuba merogol Banon ketika beliau diwawancara di sebuah apartmen di Perancis.


PARIS - Seorang penulis Perancis berusia 32 tahun, Tristane Banon akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn kerana cuba merogolnya.

Perkembangan tersebut berlaku beberapa hari selepas Kahn dibebaskan daripada tahanan rumah di New York atas dakwaan melakukan serangan seksual ke atas seorang pekerja hotel di New York.

Penulis tersebut memfailkan aduan cubaan merogol kepada pihak pendakwa raya Perancis, kata peguamnya, David Koubbi kepada majalah berita L'Express.

Menurutnya, cubaan merogol itu itu berlaku pada tahun 2003 ketika anak guamnya mewawancara Kahn di sebuah apartmen di Perancis.

Koubbi memberitahu, anak guamnya berasa sakit hati melihat Kahn terlepas begitu sahaja daripada dakwaan melakukan serangan seksual. Apatah lagi, apabila dia melihat bekas ketua IMF itu menikmati makanan di restoran mewah bersama rakan-rakannya.

Bagaimanapun, Kahn dilaporkan akan menyaman Banon yang mendakwanya melakukan cubaan merogol dengan tuduhan memfitnah.

Kahn telah mengarahkan peguamnya, Henri Leclerc dan rakan sekutunya, Frederique Baulieu memfailkan dakwaan ke atas penulis itu.

Kahn yang meletak jawatan daripada IMF selepas menghadapi tuduhan melakukan serangan seksual di hotel Sofitel, New York pada Mei lalu, menolak dakwaan Banon dengan menganggapnya cuma satu imaginasi. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Tiada kompromi pengunduran Gaddafi

TRIPOLI - Pentadbiran Libya tidak berunding mengenai pengunduran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, kata seorang jurucakap pemerintah Libya semalam.

"Maklumat mengenai rundingan berhubung Gaddafi meletak jawatan atau melarikan diri di dalam atau luar negara langsung tidak benar," kata jurucakap berkenaan, Moussa Ibrahim (gambar).

"Soal Gaddafi tidak boleh dirundingkan. Ini adalah prinsip kami. Masa depan Libya akan ditentukan oleh rakyat Libya sendiri. Gaddafi ialah simbol sejarah dan rakyat Libya sanggup mati untuk mempertahankan beliau," jelasnya.

"Rundingan yang diadakan adalah mengenai gencatan senjata, bantuan kemanusiaan dan permulaan dialog antara pemimpin Libya, seterusnya fasa keempat iaitu tempoh peralihan mengenai perubahan politik yang akan ditentukan oleh rakyat Libya," tambah jurucakap itu.

Kelmarin, pentadbiran Libya menyatakan ia telah mengadakan beberapa rundingan di Itali, Mesir dan Norway dengan barisan pemimpin kanan pemberontak untuk mencari penyelesaian damai bagi menamatkan perang lima bulan di negara Afrika Utara itu.

- Reuters

Kosmo! Online - Dunia

Kabinet Thai belum diputuskan

Reuters
BAKAL Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menjawab soalan wartawan di ibu pejabat parti Pheu Thai di Bangkok semalam.


BANGKOK - Bakal Perdana Menteri baharu Thailand, Yingluck Shinawatra semalam menyatakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai pembentukan kabinet ketika proses melobi jawatan menteri bermula.

Pada masa yang sama, para pelabur melahirkan kebimbangan dasar populis beliau akan menyebabkan inflasi dan kadar faedah di negara itu meningkat.

Pemilihan barisan menteri kabinet oleh Yingluck perlu mengambil kira kebimbangan mengenai unsur kronisme. Selain kekhuatiran pengkritik tentang kepulangan abang Yingluck iaitu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra selepas kemenangan majoriti parti mereka, Parti Pheu Thai pada pilihan raya umum Ahad lalu.

"Buat masa ini tiada rundingan diadakan mengenai pembentukan kabinet," kata Yingluck dalam satu sidang akhbar di sini.

Menurut pengiraan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya semalam, parti Pheu Thai memenangi 265 daripada 500 kerusi Parlimen dan membolehkannya memerintah bersendirian.

Namun, Yingluck yang bakal dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Thailand menyatakan, beliau akan membentuk sebuah kerajaan campuran bersama lima buah parti bagi menguasai 299 kerusi di Parlimen.

"Kami tidak akan menyisihkan sesiapa dalam pembentukan kabinet sama ada beliau orang dalam atau orang luar," kata Yingluck.

Kabinet yang didominasi menteri pro-Thaksin bagaimanapun boleh melemahkan usaha Yingluck ke arah perdamaian selepas Thailand dilanda krisis politik sejak enam tahun lalu.

"Ujian paling penting dan mencabar yang perlu dipikul Yingluck adalah untuk melenyapkan prasangka yang wujud disebabkan oleh perbezaan politik," kata kolumnis sebuah akhbar tempatan, Avudh Panananda.

Sementara itu, rancangan Yingluck untuk melaksanakan program berbentuk populis seperti yang pernah dilakukan oleh Thaksin turut dibimbangi boleh meningkatkan perbelanjaan awam dan inflasi.

Rancangan beliau yang melibatkan peluasan laluan kereta api, pembelian kereta api laju hinggalah kenaikan gaji dan faedah lain bertujuan meningkatkan kuasa beli penduduk di kawasan pedalaman yang rata-ratanya menyokong parti Pheu Thai. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Bot flotila Perancis belayar ke Gaza

AFP
GAMBAR fail pada 25 Jun 2011 menunjukkan bot Perancis Dignite - Al Karama.


ATHENS - Sebuah bot Perancis berjaya menyelinap keluar dari perairan Greece semalam dalam percubaan untuk mematahkan sekatan laut Israel ke atas Gaza, sekali gus menghidupkan semula kempen antarabangsa yang tergendala.

Bot yang dikenali sebagai Dignite - Al Karama setakat ini merupakan satu-satunya bot daripada flotila yang melibatkan kira-kira 11 buah kapal kumpulan aktivis pro-Palestin yang berjaya belayar keluar dari Greece, selepas pihak berkuasa negara itu menghalang kapal-kapal lain daripada keluar dari pelabuhan Piraues, Athens.

Bot sepanjang 19 meter itu dinaiki lapan penumpang. Ia dijangka berada di perairan Gaza dalam masa sehari dua lagi, jelas seorang jurucakap kempen flotila Gaza, Jean-Claude Lefort.

Menurutnya, bot Dignite dapat membolosi kawalan pihak berkuasa Greece kerana ia tidak dapat dikesan berikutan bot berkenaan bukan berada di Piraeus tetapi di tempat lain.

Terdahulu, pihak berkuasa Greece menyatakan, ia menguatkuasakan larangan belayar ke atas flotila ke Gaza demi keselamatan sejumlah aktivis pro-Palestin di atas kapal-kapal berkenaan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Tuesday, July 5, 2011

Akibat Menduakan Suami, Darah Memancut Dari Rahim

DALAM sebuah hadis Rasulullah s. a. w. bermaksud: "Jika seorang isteri menunaikan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga kesucian dirinya (dari perbuatan tidak senonoh) dan taat kepada suaminya, ia akan masuk syurga melalui pintu mana saja yang dikehendakinya." Memang janji Allah, setiap yang berbuat dosa, balasannya diterima diakhirat kelak. Namun ada ketikanya terdapat juga dosa-dosa besar seperti berlaku curang terhadap suami, balasan seksanya sudah Allah tunjukkan di dunia lagi agar ianya menjadi iktibar kepada orang lain.

Perkara ini diakui oleh seorang bidan kampung di selatan tanahair. Bidan tersebut telah menceritakan pengalamannya menyambut kelahiran anak yang dikatakan hasil hubungan sulit si isteri itu dengan bekas kekasihnya di luar pengetahuan suaminya.

Bidan yang tidak mahu namanya disebut telah berpengalaman berpuluh tahun mengakui tragedi yang berlaku terhadap wanita berkenaan ketika melahirkan anaknya memang agak aneh dan luar biasa.

"Makcik telah mengalami berbagai peristiwa ketika menyambut kelahiran, Ada wanita yang mudah melahirkan anak. Ada pula yang mengalami masalah susah beranak kerana bayinya berkedudukan songsang atau sebagainya.

Tetapi Alhamdulillah, sejauh pengalaman makcik, mereka yang sukar melahirkan setelah diberi air jampi dan melakukan beberapa petua tertentu, wanita berkenaan akan mudah melahirkan anaknya," kata bidan tersebut.

Wanita yang disebut sebagai Salmah oleh bidan berusia
30-an itu memang tidak dapat dilupakannya.

"Dia mengalami kesakitan yang luar biasa seolah-olah ada sesuatu yang menghalang kelahiran bayinya. Hampir sejam dia bergolek-golek dan meronta-ronta menahan kesakitannya sambil meraung-raung dan merintih-rintih menyebut nama suaminya.

Berbagai usaha dilakukan oleh bidan untuk membantu Salmah seperti memberi air jampi berendamkan daun sirih. Kesan-kesan untuk melahirkan sudah ada, air ketuban telah lama meleleh, namun bayinya tetap tersendat walaupun entah berapa kali Salmah mencuba menerannya.

Apa yang menyayat hati, setiap kali Salmah berusaha meneran bayinya seluruh anggota tubuhnya menggigil, dan matanya terbelalak bagaikan menyaksikan sesuatu pemandangan yang mengerikan.

Kira-kira 10 minit selepas meminum air jampi bidan, berlakulah peristiwa aneh, ngeri dan luar biasa itu. Dari saluran rahimnya meleleh tumpahan darah yang dalam beberapa saat kemudian darah itu memancut menyembur mengenai bidan itu yang sedang memeriksanya dan percikan darah itu memercik ke dinding klinik bersalin yang tidak luas itu.

"Kejadian itu memang luar biasa. Pengalaman makciklah, wanita yang mengalami tumpah darah macam mana pun tidaklah sampai darahnya memancut sebegitu rupa. Selepas kejadian itu, makcik berfirasat ada sesuatu yang tidak kena pada wanita ini.

"Makcik mengesyaki mungkin ada dosa-dosa tertentu pernah dilakukan oleh si isteri ini terhadap suaminya. Menurut hemat makcik, selagi wanita ini tidak mengakui dosanya dan mendapatkan keampunan suaminya, selagi itulah dia tidak dapat melahirkan anaknya," kenang semula bidan itu menceritakan kepada penulis.

Seketika kemudian, bidan pun memanggil suami Salmah yang disebutnya sebagai Ustaz Azhar itu termasuk ke bilik bersalin menemui isterinya. Azhar kelihatan terharu menyaksikan penderitaan yang ditanggung oleh Salmah dan bercadang membawa Salmah untuk ke Hospital bersalin di bandar yang jauhnya kira-kira 20 km dari kampung itu.

Tetapi itu adalah masa amat kritikal hagi Salmah. Jelas pada pengamatan Azhar dan mereka yang berada di situ, Salmah kini sedang berjuang antara hidup dan mati.

Bidan pun membisikkan sesuatu ke telinga Salmah. Dan Salmah dalam keadaan tidak berupaya itu merangkul kedua tangan Azhar dan dengan suara yang terputus-putus mengakui perbuatan terkutuknya selama ini berzina beberapa kali dengan bekas kekasihnya. Hasil perzinaan itulah kehadiran bayi yang dikandungnya sekarang.

Mendengar pengakuan isterinya, terasa gelap dunia ini dirasai oleh Azhar. Jika tidak kerana ada rasa simpatinya terhadap wanita yang pernah berkongsi hidup dengannya lebih 10 tahun itu yang kini sedang terbaring penuh azab, mahu sahaja Azhar lari meninggalkan tempat itu.

Namun Tuhan mahu menunjukkan kebesaranNya melembutkan hati seorang suami. Sementara Salmah yang sedang azab itu kini pasrah dengan takdir Tuhan menghukumnya dan memohon keampunan daripada suaminya.

Memang benarlah sebagaimana yang difirasatkan oleh bidan, selepas Azhar memaaf dan mengampunkan segala dosa-dosa Salmah, Salmah pun melahirkan anaknya dengan mudah dan segera disambut oleh bidan.

Beberapa minit selepas melahirkan anaknya itu, Salmah pun menghembuskan nafas terakhirnya sementara Azhar tetap berada disampingnya dan sempat mengajarnya mengucapkan kalimah tauhid, "Laa Illaaha illallah" dan dengan mudah diikuti oleh gerak bibir Salmah ketika menghadapi nazaknya.

Menurut cerita bidan itu kepada penulis, kejadian itu berlaku kira-kira lima belas tahun lalu. Anak lelaki yang dilahirkan oleh Salmah itu kini sudah berada di tingkatan tiga dan dipelihara oleh Azhar sebagai anaknya sendiri.

Azhar selepas peristiwa tersebut beberapa tahun kemudian telah berkahwin lain dan dikurniakan dua orang anak.

Menurut Bidan, apa yang mendorong Salmah berlaku curang terhadap suaminya kerana menuduh suaminya mandul. Sementara bekas kekasihnya (difahamkan kini masih lagi hidup) mengambil kesempatan dari keadaan rumahtangga Salmah yang tidak bahagia itu kerana tidak dikurniakan anak.

"Makcik mendoakan semoga Tuhan mengampunkan dosa Salmah dan azabnya menghadapi kematian itu sebagai kifarat kepada dosanya itu. Harap kisah ini ada iktibar dan manfaatnya kepada semua," ujar bidan tersebut mengakhiri perbualannya dengan penulis.

Hasil kiriman netters dari Sedarlah
Coretan & Kisah: Akibat Menduakan Suami, Darah Memancut Dari Rahim

Gadis Yahudi Itu...

KUTEMUI gadis Yahudi itu secara kebetulan. Ketika dia masih tercangak-cangak di hadapan Old College di New Promenade,aku lantas menghulurkan bantuan.Barangkali dia tersilap informasi sehingga tersasar haluan di pekan Aberystwyth itu.

"Mahu ke mana?" sapaku ketika kami bertiga dari North Beach petang minggu dalam musim bunga.

"University of Wales!" jawabnya sambil menyebak rambut perang yang melitupi wajah pucat. Bebola matanya biru nipis galak memandang kami yang sawo matang. Kehairanan mungkin!

"Baru tiba?!"

"Emm... !!"

"Dari mana?"

"Tel Aviv!"

Jawapan itu menjadikan kami bertiga berpandangan .Namun, kami cepat-cepat berlakon selamba.Seperti tidak ada apa-apa.Walaupun sebenarnya diantara aku, HaiQal dan Ridwan dengan gadis itu seperti langit dengan bumi. Perbezaan kami bukan dari warna kulit,akan tetapi lebih jauh daripada itu. Dia Yahudi totok barangkali. Bagaimana harus aku melunasi kerak kebencian terhadap satu bangsa yang jijik sejarahnya itu.

"Saya tersesat! Barangkali saudara boleh membantu!"

Ada nada merayu simpati dalam ungkapannya. Dia orang baru yang bakal menjadi warga Aberystwyth untuk beberapa waktu, mungkin empat tahun. Aku hanya bersetuju walau dalam hati ada rasa kejengkelan. Dia Yahudi totok, musuh sejak lama. Kami tidak punya hubungan apa-apa.Terlalu jauh beza, bangsa, budaya, apatahlagi agama. Permusuhan ini termaktub dalam kitab-kitab utama.Dan hingga kehari ini api itu masih marak seperti bumi Palestin yang terbakar.Aku melaksanakan tugas kemanusiaan, tanpa mahu berlama-lama mengiringi sekujur tubuh yang membawa jiwa permusuhan. Selesai saja masalahnya, aku segera beredar, sambil membuang segala ingatan tentangnya. Minta dijauhkan daripada bertemu lagi. Keturunannya tidak ada hubungan apa-apa dengan keturunanku, apatah lagi agamaku. Negaranya tidak ada hubungan diplomatik dengan negaraku.Tidak kuduga, dia tinggal sekolej denganku. Ah, kebetulan.

Waktu makan malam hari berikutnya, aku disapa dari belakang. Malah dia mendesak aku untuk duduk semeja. Barangkali mahu mencari perlindungan daripada terjahan mata galak senior.Aku yang sudah dua tahun di sini mungkin selamat untuk didampingi.

"Saya Abigail Netanya," tangan putihnya pantas dihulur.

Aku teragak-agak menerima salam perkenalan itu. Aku berasa diperhatikan oleh seribu mata, terutama mata dari rakan-rakan senegara. Malah semua mata di tanahair seakan-akan menjegil ! tunak ke arahku. Kedinginan musim bunga di Aberystwyth tiba-tiba saja berubah pijar.

"Saya Shahril!" aku menyambut salam perkenalan itu.

Tidak manis tidak menerima salam orang lain. Kemanusiaan melebihi garisan budaya dan agama. Dan malam itu aku duduk dan makan semeja dengan seorang gadis Yahudi totok. Aku lebih banyak diam daripada bercakap. Jiwaku masih belum dapat menerima bahawa aku akan duduk di depan seorang yang berjiwa permusuhan. Sekali lagi aku bertekad untuk berbuat sesuatu. Aku tidak mahu bertemu lagi dengan gadis bermata biru itu.

Sepanjang malam aku terbayang kerakusan serangan di Ramallah.Aku terbayang ledakan-ledakan maut yang mewarnai bumi Nablus dan Jenin. Sepanjang malam itu terbayang wajah Yasser Arafat yang terketar-ketar bibirnya diasak peluru kereta kebal sehingga meruntuhkan pertahanan terakhir.Yang tinggal hanya kamar sempit, terlalu sempit bagi seorang yang bergelar pemimpin negara.

Esoknya,dia datang lagi. Dan kami duduk semeja lagi. Sehingga suatu petang dia memintaku menghantarnya ke Queen's Avenue.Aku tidak dapat menolak. Petang itu kubawa dia melalui Portland Street, Bath Street sehingga ke Queen'sAvenue. Aku mula merasakan sesuatu.

"Abigail... !

"Panggil aku Girl... !"

"Tidak perlu aku.."

"Itu nama manjaku.Hanya ibu yang memanggilku dengan nama itu,"

"Maksudku... " Hilang Kata-kata itu hilang tanpa sempat aku meluahkannnya.

Aku tidak mahu berterusan berkawan dengan seorang yang berjiwa permusuhan. Sebenarnya, aku sedang bermusuh dengannya. Aku tahu yang dia cukup mengerti tentang itu. Lebih-lebih lagi apabila aku memberitahu bahawa aku beragama Islam, datang dari sebuah negara Islam di Asia Tenggara.

"Aku sayang kamu Shah... !"

"Ti..tidak! Tidak mungkin... !"

"Cinta tidak mengira agama shah... !"

"Tetapi, kita tidak boleh meneruskannya... "
"Siapa kata tidak?!"

"Semuanya akan berkata tidak! Kita tidak boleh begini... !"

Dalam tidak mahu itu, aku semakin terbabas ke dalam medan musuh.Dia sebenarnya musuh yang tidak seganas bangsanya meragut nyawa rakyat Palestin.Tetapi dia tetap berlabel musuh.Aku semakin terpengaruh dengan musuh itu.Aku amat takut suatu hari nanti dia akan menjadi musuh dalam selimutku sendiri.

Aku perlu bertindak pantas. Aku berpindah dari Student Village di Pentre Jane Morangan ke Seafront Residences Brynderw berhadapan dengan Cardigan Bay. Biarpun kucekalkan hati, aku sebenarnya mula berasa kehilangan seketika.Sehingga suatu hari pintu kamarku diketuk.

"Kau lari daripada aku, Shah?"

"Tidak! Tidak Girl.Cuma aku... "

"Kau membenci aku! Hanya kerana aku Yahudi,"

"Susah... susah untuk kuterangkan kepadamu,"

"Shah, aku kebetulan dilahirkan dalam keluarga Yahudi.Tetapi aku manusia biasa seperti kamu, seperti HaiQal dan Ridwan. Di Tel Aviv aku menyertai pertubuhan antikeganasan. Kau tidak boleh membuat generalisasi terhadap aku!"

"Kita hanya layak berkawan saja.Itupun atas dasar kebetulan,Girl.Tidak lebih daripada itu.Ada sempadan besar yang merentang di antara kita,"

"Aku mahu berhijrah ke seberang sempadan itu!"

Aku bungkam dengan penyataan yang keluar dari bibir merah gadis berambut perang itu. Aku buntu. Tetapi aku tidak harus kalah dalam permainan perasaan ini. Aku tidak harus menyerah. Langkah terbaik hanya kunantikan saat kami berpisah. Aku akan menyelesaikan pengajian sarjana dalam bidang kejuruteraan.Selepas itu akan pulang ketanah air. Barangkali ini saja cara yang dapat membebaskan musuh yang kudampingi semakin hampir ini. Semakin hampir sehingga tidak dapat kubohong ihati dan perasaanku.

Akhirnya, saat yang kunantikan tiba juga. Setelah dua tahun aku berdepan dengan musuh keturunan dan agama, aku menunggu saat untuk berangkat. Biarkan dia ditanah Aberyswyth itu. Dia sudah lama di sini dan punya ramai kenalan.Tidak lama lagi dia juga akan menamatkan pengajian komputernya. Dia akan balik ke Tel Aviv. Dia akan membantu membunuh umat Islam di bumi Palestin. Itulah yang ada dalam fikiranku. Dia Yahudi totok. Yahudi tetap Yahudi. Aku tidak mahu bersubahat lagi dalam perkara ini.Cukuplah. Aku hanya menantikan saat untuk pulang. Dia tetap musuhku, biarpun sebenarnya sebagai manusia aku semakin sayang kepadanya.

"shah,boleh kukatakan sesuatu kepadamu... "

"Katakan Girl.Yang pasti aku mahu pulang ke tanah airku!"

"Aku mahu ikut kau pulang ke Malaysia!"

Darahku seperti berhenti mengalir sejenak. Kerongkongku seperti disumbat kain yang basah oleh darah rakyat Palestin. Kita tidak ada hubungan apa-apa.Tiada hubungan diplomatik.Tiada hubungan agama.

Aku ingat ketika pasukan kriket negaranya datang ke Malaysia, keadaannya amat kecoh. Ramai yang berdemonstrasi menentang kedatangan itu. Mustahil aku akan membawa balik seorang gadis Yahudi totok.

"Itu sesuatu yang sangat mustahil,Girl,"

"Aku sudah buat keputusan... !"

"Itu keputusan kamu,bukan aku!"

"Aku telah ke musalla kampus minggu lepas,"

"Buat apa?"

Soalan itu tidak terjawab. Aku masih diserang kegugupan yang serius. Dalam hati ini, aku tidak dapat menafikan bahawa jiwa lelakiku telah mula memuja wajah lembutnya, rambut perang keemasannya, mata birunya, dan semua yang ada pada dirinya.Akan tetapi aku masih mampu bertahan.Ini soal besar. Membabitkan negara, lebih-lebih lagi agamaku yang suci.

Musim bunga di Pekan Penglais itu bakal menjadi yang terakhir buatku. Beberapa musim yang lalu, aku sering bersama Girl, berjalan dari kampus University of Waleske pusat bandar. Tidak jauh, hanya lima belas minit dalam keadaan biasa.Tetapi, aku dan Girl akan mengambil masa yang lebih.Terutamanya apabila Aberystwyth disirami hujan kerana kedudukannya yang hampir dengan pantai barat, berdepan pula dengan Cardigan Bay.

Kami berjalan melalui Old College yang menempatkan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, dan Jabatan Pendidikan. Sering juga aku dan Girl menghabiskan cuti hujung minggu di North Beach, mengambil angin segar di sepanjang Marine Terraces ehingga ke VictoriaTerrace di hujung sebelah utara. Atau kami berpeleseran di stesen bas di Alexandra Road. Semuanya menjadikan aku dan Girl seperti sepasang kekasih.Tetapi dia tetap musuh kepadaku. Aku tidak harus percaya dengan mudah segala kata manisnya.

"Aku serius shah... !"

"Maksud kamu Girl?"

"Aku mahu terus berada di sampingmu... "

"Hanya untuk itu?"

"Tidak shah! Aku sudah lama mahu melakukannya di negeriku.Tetapi keadaan tidak mengizinkan!"

"Sukar untuk kupercaya,Girl!"

"Terpulang! Tapi aku akan buktikan kepadamu shah,"

Mata birunya kulihat basah.Tangisan itu masih meragukan hatiku. Benarkah dia ikhlas dengan semua yang diperkatakan. Atau dia sengaja mahu memerangkap aku,sementelah kami sememangnya musuh yang panjang sejarahnya. Adakah aku akan tewas dengan air mata itu.

Aku pulang penghujung musim bunga setelah selesai majlis konvokesyen sarjanaku. Hingga ke saat perpisahan kami di Heathrow, Girl masih merayu aku dengan permintaan yang sama. Akan tetapi aku terpaksa bertegas, walaupun pernah sekali kulihat dia bertelekung, seperti baru selesai solat ketika aku ke kediamannya.Bagiku musuh boleh berbuat apa saja untuk memerangkap lawan.

Ketika aku mula bertugas di ibu kota, aku mula mendapat surat elektroni daripada Girl. Dalam e-melnya, dia masih merayu agar aku berbuat sesuatu. Katanya dia akan menjadi seorang muslimah sejati sekiranya aku memberikan kata putus.Katanya, kalau boleh, dia tidak mahu pulang ke Tel Aviv. Katanya dia sudah terlalu jijik melihat kekejaman manusia. Dan aku masih tidak percaya.

Dua tahun selepas aku pulang, Girl menamatkan pengajiannya.Kami terus berhubung melalui siber. Dan malam itu apabila aku membuka kotak e-mel, aku terperanjat dengan isi kandungannya.

"Shah,aku merayu untuk sekian kalinya kepadamu. Namun aku sedar kau seorang yang sangat kuat pendirian dan kukuh pegangan agama. Aku hormati pendirianmu. Aku sudah mengubah pendirianku untuk tidak pulang ke tanah air. Aku tidak menyalahkanmu. Kini aku sebenarnya sudah berada di tanah tumpah darahku sendiri. Maafkan aku Shah. Halalkan segala kenangan kita ditanah Aberystwyth. Seperti yang kujanjikan padamu, aku sudah berhijrah, dan akan terus berhijrah. Untuk e-mel terakhir ini, aku nyatakan sekali lagi dan yang terakhir, bahawa aku benar-benar mencintaimu. Selamat tinggal Shah.Akan kubawa cinta suciku hingga mati."

Dariku,
Habibah Firdaus Abdullah @ Girl

Malam itu aku terkedu separuh mati menonton berita lewat Cable News Network : ?Seorang gadis yang bernama Abigail Netanya meletupkan dirinya dalam sebuah disko dan membunuh tidak kurang daripada dua puluh remaja rakyat Israel yang sedang bersuka ria.?

Dialah Abigail yang kukenali.Abigail yang benar-benar telah berhijrah. Malam itu juga, aku berzikir panjang, bertahlil seorang diri untuk roh seorang yang pernah hadir dalam hidupku. Semoga rohnya diterima dalam kelompok mereka yang syahid.Coretan & Kisah: Gadis Yahudi Itu...

Isteri Curang - Meraung dalam kawah berapi

KISAH menyayat hati ini kami siarkan sesuai dengan isu semasa yang dipaparkan, tentang gejala sosial muda-mudi, anak-anak kita yang sudah rosak akhlaknya dan maksiat yang bermaharajalela di akhir zaman ini.
Kisah benar yang dilalui Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz ini berdasarkan pengalaman beliau. "Ambillah iktibar dan renungkanlah kisah yang terjadi ini," tegas beliau sambil memetik firman dan hadis-hadis yang berkaitan dengan kisah tersebut.
Baca dan lihatlah betapa terseksanya seorang isteri yang melakukan perbuatan curang di belakang suaminya, tatkala berkursus di luar negara! Bukan saja menduakan suami tetapi berbuat perkara keji dan terkutuk dengan lelaki asing!
Akibat dosa dan noda yang dilakukan, si isteri menerima azab dan pembalasan ketika di dunia lagi. Ustaz Hassan mahu pembaca mengambil teladan apa yang berlaku. Bertauhatlah sebelum terlambat! Jauhilah segala larangan Allah - maksiat, zina dan perbuatan keji yang dilaknat Allah.
Semoga kisah ini memberi pedoman berguna! kepada pembaca budiman. Hayatilah kisah ini yan. diceritakan Ustaz Hassan Mahmud al-Hafiz, Pe-ngarah Urusan Ibti-zam Travel & Tours Sdn. Bhd.

SAYA perhatikan Ashikin yang masih tidak putus-putus berwirid di depan Kaabah. Jari-jemarinya membilang butir-butir tasbih dan mulut terkumat-kamit memuji Ilahi. Sekejap dia
menunduk ke bawah, kemudian memandang semula ke arah Baitullah yang tersergam beberapa puluh meter di hadapannya.
"Ai... dah pukul 12.00 malam, tak nak balik lagi ke?" kata saya di dalam hati.
Sambil melangkah saya mengerling lagi ke arah Ashikin yang duduk di hujung sekumpulan jemaah wanita. Rasa ingin tahu saya ini makin bertambah apabila saya lihat dia mengesat-ngesat matanya dengan hujung telekung. Menangis lagikah dia?
Mungkin bagi orang lain tiada apa-apa yang pelik kalau bertasbih, berwirid dan menangis di depan Kaabah hingga larut malam. Apa yang dipelikkan sangat, orang lain pun begitu. Betul, tapi Ashikin lain.
Saya perhatikan sudah beberapa hari sejak tiba di Mekah ini, Ashikin tiba-tiba saja berubah perwatakannya. Setiap waktu saya dapat perhatikan wanita itu akan berdoa dan sujud di depan Baitullah sehingga kain telekungnya basah. Melihatkan kelakuannya itu, tanya rakan se biliknya, namun dia hanya gelengkan kepala.

Mulanya saya tidak ambil kisah dengan kelakuan Ashikin itu. Pada fikiran saya mungkin dia terlampau gembira dan takjub dengan keadaan di Tanah Suci sehingga menitiskan air mata. Namun bila setiap hari dia asyik menangis dan meratap hiba, saya mula tidak se-dap hati. Maklumlah sepanjang menge-nalinya selama beberapa tahun, Ashikin orang yang sentiasa ceria. Ada-ada saja ceritanya diselang-seli dengan gelak ketawa.
Pelik, waktu mula-mula hendak ke Mekah bersama 40 lagi jemaah yang saya pimpin, dialah yang paling seronok sekali. Tetapi bila sudah sampai di Mekah lain pula jadinya.
Dulu kalau terserempak dengan saya pasti ada cerita akan dikhabarkan-nya pada saya. Tentang itulah, tentang inilah. Paling tidak pun, senyum dan mengucap salam. Kata wanita itu, dia betul-betul gembira sebab sudah lama menyimpan hajat hendak ke Tanah Suci. Jadi apabila impian itu tercapai, tentulah seronok. Tambahan pula dapat menunaikan ibadah itu dalam bulan Ramadan yang penuh berkat.
Bukan itu saja, sepanjang berada di Tanah Suci dia juga merupakan wanita yang sangat rajin ke masjid pada setiap waktu solat dan menjadi contoh kepada parajemaah wanita yang lain.
Namun masuk hari keempat di Mekah, saya dapati perwatakannya tiba-tiba berubah. Dia tidak semena-mena jadi pendiam. Wajahnya murung dan tawar. Bila terserempak, hanya senyuman hambar yang dilemparkannya kepada saya. Tiada lagi gelak tawa atau bual-bual panjang. Ashikin cuma mengucap salam, kemudian berlalu dengan wajah muram dan gelisah.
Masanya juga lebih banyak dihabiskan di Masjidilharam. Di situlah dia berwirid, bertasbih, solat, berdoa dan menangis dengan sesungguh hati. Seperti yang saya katakan, kalau terjadi pada orang lain, saya anggap ini perkara biasa. Tapi bila berlaku pada Ashikin, saya jadi pelik. Kalau tiada apa-apa, mustahil orang yang periang macam Ashikin itu tiba-tiba jadi pendiam.Mesti ada sesuatu yang dah berlaku.
Tapi apa dia?
Saya berhenti melangkah. Hasrat untuk balik ke bilik saya tangguhkan dulu walaupun badan letih dan mengantuk. Saya sebaliknya berdiri memerhatikan Ashikin dengan perasaan sebak. Riak wajahnya yang begitu sugul, meruntun hati saya untuk mengetahui, bahana apalah yang menimpanya sehingga membuatkan perasaannya begitu sedih dan sayu. Saya menghampirinya perlahan-lahan, kemudian memberi salam.
"Tak balik lagi ke? Dah lewat ni..." kata saya sambil bertinggung di sebelahnya.
Ashikin hanya menggeleng kepala. "Kejap lagi,"jawabnya ringkas.
Setelah itu saya cuba bertanyakan kenapa dia tiba-tiba saja berubah jadi pendiam. Ada masalah ke? Lagipun sebagai ketua rombongan saya bertanggungjawab untuk memastikan para jemaah di bawah kelolaan saya berada dalam keadaan yang baik.
Wanita yang berusia dalam lingkungan 30-an itu pandang wajah saya sambil mengesat air matanya dengan hujung telekung. Riak-riak kekesalan tergambar di wajahnya.
"Kenapa dengan awak ni? Macam ada masalah aja, sebelum ini saya nampak awak betul-betui ceria dan bersemangat nak buat umrah, tapi dah dua tiga hari ini tengok awak sedih aja," saya bertanya lagi dengan lembut.
Ashikin hanya tersenyum hambar. "Tak ada apalah, ustaz," jawabnya.
"Kalau tak ada apa-apa, kenapa saya tengok awak lain macam aja. Tiba-tiba aja jadi pendiam, duduk masjid sampai larut malam, menangis," sambung saya.
Ashikin mendiamkan diri lagi. Macam ada sesuatu yang hendak disampai-kannya, tapi tiada sepatah perkataan pun dilafazkannya.
"Bukanlah saya nak selongkar rahsia awak, tapi kita ni dah kenal lama, sejak awak belum ke Mekah lagi. Kalau ada apa-apa masalah, beritau saya. Kalau saya boleh bantu, saya bantu," kata saya.
Lama juga Ashikin cuba berdalih, tapi akhirnya dia tidak berdaya juga membendung gejolak perasaan yang sedang melanda dirinya.
Sambil menggetap bibir dan menahan sebak, Ashikin berkata; "Ustaz, sebenarnya saya dah banyak buat dosa, saya betul-betul nak bertaubat."
Dosa? Dosa apa pula? Terkejut saya mendengar kata-kata Ashikin itu.
"Banyak dosa saya ustaz, banyaaaaak..." sambungnya lalu terus menangis teresak-esak hingga menimbulkan kehairanan jemaah-jemaah wanita di sebelahnya.
Melihatkan keadaannya itu saya pujuk Ashikin supaya tenangkan perasaan dahulu, tapi tangisannya terus meninggi.
"Ustaz... saya tiba-tiba jadi macam ni sebab saya pemah berzina! Saya dah buat dosa besar, bukan hanya pada Allah tapi pada suami saya sendiri," sambungnya lagi. Beberapa kali wanita itu menekup muka dengan telekungnya kerana terlampau sedih.
Berzina? Astaghfirullahal azim. Saya beristighfar beberapa kali, terkejut bukan kepalang. Lantas saya meminta Ashikin menceritakan perkara itu dengan lebih lanjut.
Dalam esakannya Ashikin memberitahu perbuatan keji itu dilakukan lama dulu semasa dia berkursus selama tiga tahun di Jerman. Masa itulah dia berkenalan dengan seorang lelaki kulit putih. Mulanya hubungan mereka hanya sebagai kawan biasa saja, tapi lama-kelamaan timbul perasaan sayang. Maklumlah, suami jauh, dia rasa kesunyian.
Dek hubungan yang terlalu rapat, akhirnya mereka terlanjur. Mereka lakukan benda keji itu sampailah Ashikin habis kursus, balik ke Malaysia. Suaminya langsung tidak tahu perkara tersebut.
"Balik saja ke Malaysia, saya mula alami mimpi menakutkan. Dalam mimpi itu saya dibakar dengan api yang menjulang-julang. Saya rasa macam berada dalam neraka. Panasnya tak tertanggung. Kulit saya terbakar, seluruh badan dan tulang-temulang saya hangus semuanya.
"Ke mana saja saya pergi cuma ada api. Saya tak dapat larikan diri. Saya menjerit-jerit kesakitan, tapi saya tak boleh buat apa-apa. Api menyala-nyala dari atas, bawah, kiri dan kanan. Kepanasan itu masih terasa apabila saya terjaga daripada tidur, seolah-olah ia be-nar-benar terjadi," kata Ashikin sambil menangis tersedu-sedu.
Saya yang mendengar cerita Ashikin itu turut berasa sedih. Ketika itu saya teringat firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 81: "Barang siapa berbuat dosa dan ia telah diselaputi oleh dosa-dosanya, mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya."
Tidak disangka Ashikin tergelincir jauh, sanggup berzina.
"Kalau sekali tak apa, ustaz, tapi ini setiap malam sampai saya takut nak lelapkan mata," sambung Ashikin dengan air mata berjuraian.
Panjang lebar Ashikin bercerita sehinggakan saya sendiri pun turut merasakan kesedihan yang ditanggungnya. Menurut wanita itu lagi, dia seolah-olah berada dalam kawah yang menggelegak dengan api yang marak. Malahan rambutnya juga hangus dibakar api.
"Saya jerit sekuat hati tapi tak ada sesiapa pun yang dengar. Ustaz, bayangkanlah betapa seksanya saya masa itu, hanya Allah yang tahu betapa dahsyatnya azab yang saya tanggung," wanita itu terus menangis kerana tidak dapat menahan kesedihannya.
Benar! Keadaan neraka yang diberitahu Ashikin sama seperti gambaran dalam al-Quran. Apinya yang bergelojak, menjulang tinggi membakar manusia-manusia berdosa. Api neraka menyala-nyala 70 kali ganda daripada api di dunia.
Bahan bakarnya pula terdiri daripada manusia-manusia dan batu-batu. Minuman ahli neraka adalah berupa darah dan nanah. Pakaian pula daripada tembaga yang merah menyala.
Hampir menitik air mata saya mendengar ceritanya itu. Pilu, hiba, sebak dan pelbagai lagi perasaan sedih bermain di benak fikiran saya ketika saya menatap wajahnya itu. Namun dalam hati saya berkata, mungkin apa yang terjadi pada Ashikin itu adalah kifarah
daripada Allah s.w.t. kepada hamba-Nya supaya kembali ke pangkal jalan.
Ashikin terus bercerita; setelah beberapa lama mengganggu tidur, akhirnya mimpi tersebut hilang begitu saja. Sedikit demi sedikit perasaan cemas dan takut itu hilang. Dia kembali ceria. Langsung tak diceritakan perihal mimpi itu kepada suaminya.
"Saya dah hampir lupakan mimpi itu, sampailah ketika kita tiba di Mekah. Selepas satu dua malam di sini, tiba-tiba saya teringat semula. Makin lama ingatan itu makin kuat dan jelas.
"Bila pandang Kaabah, saya jadi takut yang amat sangat. Saya menggigil. Saya terbayang, mungkin itulah balasan yang akan saya terima bila saya mati kelak. Kerana dosa zina itu saya akan dihumban ke dalam neraka. Saya akan hangus sampai bila-bila, tak ada siapa boleh selamatkan. Suami saya pun tak akan selamatkan saya. Saya terbayang akan dibaham ular-ular besar, makan buah-buah berduri, air nanah, timah cair dan segala macam seksaan lagi.
"Saya jadi terlalu takut, ustaz. Sebab itulah tiap-tiap hari saya menangis dan berwirid depan Kaabah kadang-kadang sampai larut malam. Saya nak tebus dosa, saya tak mau masuk neraka. Saya tak mau kena seksa dengan binatang berbisa, dengan api..." katanya hiba.
Saya beritahu Ashikin, memang benar sesunguhnya dalam neraka itu terdapat ular-ular sebesar leher unta dan kadangkala sebesar baghal atau keldai. Apabila ular itu menggigit ahli neraka sakitnya terasa selama 40 tahun. Tapi Allah juga Maha Pengampun.
"Tuhan ampunkan ke dosa saya ni, ustaz?" soal Ashikin dalam esak tangisnya yang semakin kuat hingga jemaah-jemaah di sebelah beberapa kali memandangnya.
Saya tenangkan Ashikin. Kata saya, walau sebesar mana sekalipun dosa kita, tapi selagi masih bernyawa selagi itu kita masih ada peluang untuk bertaubat. Taubatlah dengan sebenar-benar taubat. Selebihnya serahkan kepada Allah. Saya berikan semangat kepada-nya semula dan selepas puas meluahkan perasaannya, akhirnya perasaan wanita itu kembali tenang.
Sambil mengesat air mata yang masih berbaki, Ashikin berkata; "Ustaz, terima kasih kerana bawa saya ke sini. Ustaz dah banyak sedarkan saya."


Perasaan Ashikin agak terkawal selepas itu. Walaupun masih menangis di depan Kaabah, tapi tidaklah sampai tersedu-sedu macam dulu. Setelah dua minggu berada di Tanah Suci Mekah dan selesai mengerjakan ibadah umrah kami pulang ke Malaysia. Ashikin kembali ke pangkuan suami dan tiga orang anaknya di utara tanah air.
Sehinggalah kami sampai di Kuala Lumpur, dan sehingga kini selepas dua tahun peristiwa itu berlalu, Ashikin masih berhubung dengan saya untuk meminta nasihat. Alhamdulillah kini dia benar-benar insaf dan tidak lagi mengalami mimpi yang menakutkan. Saya berdoa agar segala dosanya diampunkan Allah.

Mastika Sept. 05Coretan & Kisah: Isteri Curang - Meraung dalam kawah berapi

Harta bilion dolar ditemui di kuil



Komando India menemui harta bernilai RM33.6 bilion di bilik kebal Kuil Sree Padmanabhaswamy di Thiruvananthapuram, ibu negeri Kerala di selatan India. - AFP


THIRUVANANTHAPURAM India 4 Julai - Komando India hari ini mengepung kuil Hindu zaman pertengahan di selatan India selepas menemui syiling emas dan batu permata bernilai berbilion dolar di bilik kebal kuil tersebut.

Menurut Ketua Menteri Kerala, Oommen Chandy, kira-kira 100 orang polis bersenjata mengawal Kuil Sree Padmanabhaswamy di ibu negeri Kerala, di sini.

"Harta bernilai 500 bilion rupee (RM33.6 billion) itu akan disimpan di kuil tersebut dan polis Kerala mengambil alih kawalan keselamatan daripada kakitangan kuil", katanya.

Sejumlah besar barang kemas dan duit syiling daripada emas dan perak, serta batu permata ditemui apabila lima bilik kebal dibuka minggu lepas, dan bilik kebal keenam dijadual dibuka hari ini.

Bekas hakim Mahkamah Tinggi Kerala, C.S. Rajan menganggarkan nilai harta karun itu boleh mencecah satu trilion rupee (RM66 bilion).

Rajan menganggotai sebuah panel tujuh ahli yang dilantik oleh Mahkamah Agung India untuk memantau pentaksiran harta tersebut.

Jelas beliau, bilik kebal ketujuh berdinding besi akan dibuka hanya selepas mendapat arahan baru daripada Mahkamah Agung.

Kuil itu dibina ratusan tahun silam oleh Raja Travancore dan sumbangan oleh penganut Hindu disimpan di dalam tujuh bilik kebalnya sejak itu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Penduduk Maghribi bantah Perlembagaan baru


TANGIER, Maghribi 4 Julai - Beribu-ribu orang mengadakan demonstrasi di negara ini semalam bagi membantah pelaksanaan Perlembagaan baru yang dikatakan tidak membawa perubahan besar.

Bagaimanapun, seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, jumlah mereka yang membantah pelaksanaan itu, kurang daripada mereka yang mengadakan perhimpunan yang menyokongnya.

Pemerintah Magribi, Raja Mohamed menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Perdana Menteri dalam satu pungutan suara, yang dilihat oleh negara-negara Arab lain sebagai satu ujian sama ada perubahan Perlembagaan itu mampu membendung pemberontakan rakyat di rantau itu.

Penunjuk perasaan berarak di Tangier sejauh 450 kilometer sambil melaungkan 'Menteri Dalam Negeri Pembohong'.

Mereka juga membawa kotak-kotak kosong dan menjerit 'Kosong, kosong, kotak undi kosong'.

Wartawan Reuters melaporkan kira-kira 10,000 penunjuk perasaan berada di Beni Mekada, Tangier, namun seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, hanya 1,000 penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi bantahan, manakala 3,000 lagi orang berkumpul bagi menyatakan sokongan kepada perubahan berkenaan.

Pergerakan pembangkang dikenali sebagai 20 Februari sering mengadakan demonstrasi bantahan sejak beberapa bulan lalu, namun demonstrasi hari ini merupakan yang pertama diadakan selepas pengutan suara pada Jumaat lalu,

Penyokong Perlembagaan baru berkata, ia merupakan satu model perubahan demokratik di dunia Arab.

Para pembangkang pula menyatakan bahawa ia tida membawa perubahan besar kerana isu keselamatan, pertahanan negara dan agama masih diletakkan di bawah kuasa Istana.

Selain itu, mereka berkata, ia tidak menangani masalah rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

DNA 3 mangsa pada kayu kriket

SHAH ALAM 4 Julai - Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah merancang serta membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi ketika umat Islam sedang berpuasa pada 30 Ogos tahun lalu.

Ketua Unit Jenayah Am dan Jenayah Seksual, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Ishak Mohd. Yusoff ketika membuka tirai pendakwaan berkata, plot pembunuhan keempat-empat mangsa akan dikemukakan melalui keterangan dua lagi pekerja ladang, U. Suresh dan T. Sarawanan.

Menurut beliau, ia akan turut dibuktikan melalui corak panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat oleh keempat-empat mangsa kepada ahli keluarga masing-masing pada saat-saat akhir sebelum mereka dibunuh.

''Keempat-empat mangsa telah dibunuh di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting Selangor. Pembunuhan dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010, antara pukul 8.30 dan 9.45 malam di ladang milik Pathmanabhan. Semasa pembunuhan, keempat-empat tertuduh berada di ladang tersebut.

''Suresh dan Sarawanan akan memberi keterangan bagi membuktikan tentang niat bersama mereka dan bagaimana perancangan tertuduh pertama dan tertuduh keempat bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan terhadap keempat-empat mangsa serta peranan yang dimainkan mereka serta bagaimana tertuduh kedua membunuh setiap mangsa,'' katanya.

Pathmanabhan, 42, bersama T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, pemandu wanita tersebut, Kamarudin Shamsudin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38.

Mereka dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini mulai hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Menurut Ishak, pada pukul 7.30 malam hari kejadian, Sosilawati menghubungi kawannya, Habishah Bahari dan memberitahu: ''Wei, aku tak percaya kat Kamal masuk dalam bilik aku, pergi kat bilik air, kau check ada kamera tersorok tak.''

Ia diikuti panggilan oleh Ahmad Kamil kepada isterinya, Sabrina Adnan pada pukul 7.45 malam memberitahu, dia tidak akan pulang ke rumah selama tiga hari kerana mahu menolong Sosilawati yang diugut oleh orang kanannya, Kamal (Kamarudin).

Jelas beliau, peguam itu juga memberitahu Kamal mengugut hendak menyebarkan gambar Sosilawati yang tidak elok dan memberitahu jutawan itu sedang menangis.

''Suzana Radin Pangit akan memberi keterangan menerima panggilan pada pukul 8.15 malam daripada suaminya, Noorhisham memberitahu dia tidak akan balik selama tiga hari kerana hendak menolong Sosilawati berikutan Kamal ada mengambil gambar dan dikatakan mengugut Sosilawati.

''Dia meminta maaf banyak-banyak dan meminta Suzana faham.

''Pada pukul 8.40 malam, Sosilawati juga ada menghubungi anaknya, Erni Dekritawati tetapi beliau tidak perasan dan juga menerima mesej berbunyi: 'Jangan bagi Kamal masuk rumah jika datang hubungi Bisah dia ambil gambar mak,'' jelas pendakwa raya tersebut.

Menurut Ishak, keterangan itu akan disokong oleh saksi R. Vakasan yang dipanggil untuk mengesahkan dia melihat Sosilawati datang bersama tiga lelaki Melayu dengan menaiki kereta BMW hitam pada pukul 6.40 petang hari kejadian.

Ia akan perkukuhkan oleh keterangan Ketua Seksyen Asid Deoksiribonukleik (DNA) Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, Lim Kong Boon berhubung penemuan DNA Noorhisham pada kayu kriket dan DNA Kamarudin serta Ahmad Kamil pada zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat mereka.

Begitu juga keterangan saksi berhubung penemuan jam tangan jenama Longines milik Ahmad Kamil di bilik tidur rumah V. Selvapandian, saksi yang akan mengesahkan dia menerima jam tangan itu daripada Suresh.

Tidak ketinggalan penemuan jam tangan Seiko milik Kamarudin, jam tangan Bell & Ross dan telefon bimbit Blackberry Bold warna putih milik Ahmad Kamil, telefon Blackberry warna hitam, sebatang anak kunci hitam bertulis BMW dan pemegang kunci tertulis perkataan Sytner.

Sementara sebilah pisau berkarat hulu besi sepanjang 37 sentimeter, lapan gelung dawai dan tiga serpihan dawai, serpihan tulang-tulang disyaki tulang manusia, beberapa keping logam dan beberapa anak kunci dan sekarung plastik pula ditemui di kawasan pembuangan abu mayat.

Tertuduh-tertuduh diwakili peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Peguam Kamarudin Ahmad pula hadir sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Sosilawati.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Anak, bekas suami jadi saksi, zink alas mayat barang kes

SHAH ALAM 4 Julai - Seramai 76 saksi termasuk dua anak perempuan Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu yang ditetapkan berjalan tiga bulan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dua anak Sosilawati yang akan memberi keterangan ialah Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, dan Erni Erinawati Sofea, 22.

Turut disenaraikan sebagai saksi ialah isteri kepada peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, Sabrina Adnan; kakak dan anak saudara pemandu, Kamaruddin Shamsudin; Zaidah serta Khairul Izwan Ismail; dan isteri pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, Suzana Radin Pangit.

Saksi-saksi lain terdiri daripada pakar-pakar forensik dan ahli-ahli pasukan penyelam yang menemui serpihan-serpihan tulang serta dua orang saksi yang melihat api yang marak di tempat kejadian dari rumah mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam ucapan pembukaannya menyatakan, bekas suami pertama Sosilawati, Buhari Mohamed juga akan dipanggil memberi keterangan berhubung urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.

Lelaki terbabit juga akan memberi keterangan berkaitan panggilan yang dibuat kepada tertuduh pertama, N. Pathmanabhan yang menafikan bertemu dengan Sosilawati, 47, pada 30 Ogos tahun lalu sebaliknya akan berjumpa dengan pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages (NV) tiga hari selepas itu.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, beberapa anggota polis dilihat membawa masuk pelbagai barang kes ke dalam mahkamah antaranya satu tong plastik dipercayai berisi petrol dan beberapa kepingan zink.

Pada prosiding hari ini, lebih 500 keping gambar beberapa lokasi di sekitar Banting berkaitan dengan kes itu yang diambil oleh empat jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Jabatan Forensik IPD Bukit Aman dikemukakan dan diterima masuk sebagai bukti.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Isteri Ahmad Sarbani dakwa suami dianiaya ejen


KUALA LUMPUR 4 Julai - Empat hari sebelum Ahmad Sarbani Mohamed ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu, Penolong Pengarah Kastam Selangor itu pernah memberitahu isterinya bahawa dia telah dianiaya oleh ejen berhubung baucer RM100.

Perkara itu didedahkan di Mahkamah Koroner di sini oleh isteri Ahmad Sarbani, Masiah @ Maziah Manap ketika memberi keterangan pada hari pertama inkues siasatan kematian suaminya di hadapan Koroner Aizatul Akmal Maharani.

Masiah, 50, selaku saksi inkues pertama berkata, Ahmad Sarbani memberitahunya, ejen terbabit mengaku mengambil RM70, sementara RM30 lagi didakwa telah diberikan kepada Allahyarham.

"Suami saya kata dia tidak tandatangan pun baucer itu dan tidak mengambilnya,'' kata Masiah ketika disoal oleh pegawai pengendali inkues Timbalan Pendawa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas.

Menurut Masiah, perkara tersebut diberitahu oleh Ahmad Sarbani ketika mereka menunggu pesanan makanan di Pusat Beli Belah The Mines di Seri Kembangan sejurus suaminya dibebaskan daripada tahanan reman SPRM pada 2 April lalu.

Penyelia di Petronas itu juga berkata, ketua suaminya ada bertanya kepada Ahmad Sarbani apa yang berlaku dan Allahyarham ada memberitahu: "Ejen menganiaya kita.''

Bagaimanapun setakat ini, tiada penjelasan lanjut diberitahu mengenai baucer tersebut.

Saksi itu mengatakan, selain itu dia sendiri ada terdengar berita di televisyen pada tarikh yang sama mengenai Kastam memiliki jongkong emas.

Kata saksi itu, Ahmad Sarbani yang sepatutnya menunaikan fardu haji tahun ini bersamanya, bersumpah dia tidak mengambil sebarang habuan seperti yang didakwa oleh SPRM.

Mengimbas semula saat akhir kehidupan suaminya yang disifatkannya sebagai seorang yang tenang dan sabar serta banyak mengalah terutama ketika mereka berselisih faham, Masiah berkata, dari segi fizikal Ahmad Sarbani tidak menampakkan sebarang perubahan.

Namun katanya, dia nampak mental suaminya agak letih tetapi tidak kelihatan tertekan selepas dibebaskan dengan jaminan mulut sebanyak RM5,000 pada hari yang sama.

"Ahmad Sarbani tidak sedih, cuma dia kata sudah tua-tua pun kena tangkap, alamak tercalar prestasi kerja saya,'' kata Masiah.

Dia yang tinggal di kuarters Kastam sejak tujuh tahun lalu, sepanjang keterangannya, kerap kali meneguk air mineral yang dibawa bersamanya kerana tekaknya kering.

Pada awal keterangannya Masiah diminta supaya menyatakan harta sepencarian yang dimiliki sepanjang perkahwinannya bersama Ahmad Sarbani selama 28 tahun.

Menurut Masiah, atas namanya sendiri dia ada membeli sebuah apartmen di Bukit Tinggi Klang, Puncak Alam, tiga buah kenderaan iaitu Honda CRV terpakai, sebuah kereta Perodua Kancil (berusia sembilan tahun) dan sebuah kereta Proton Persona, sementara suaminya ada membeli sebuah rumah di Saujana Utama.

Menceritakan semula kehadirannya di SPRM pada 2 April lalu untuk berjumpa suaminya yang ketika itu diminta membantu siasatan, dia mendakwa telah terlebih dahulu 'disiasat' oleh pegawai penyiasat mengenai harta, kereta dan turut dipertikaikan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya.

"Sedangkan wang tersebut saya keluarkan ketika genap usia 51 tahun,'' kata wanita itu ketika disoal oleh peguam pemerhati yang mewakili keluarganya, Awtar Singh. Menurutnya, dia turut disoal oleh SPRM mengenai 11 buku simpanan bank miliknya.

Selepas berlaku beberapa pertikaian, menurut Masiah, dia telah menyusun geran kereta dan rumah untuk diberikan kepada Ahmad Sarbani supaya diserahkan kepada SPRM pada hari kejadian.

Namun begitu kata saksi, selepas jenazah suaminya dikebumikan, dia ternampak dokumen tersebut berada di atas meja di rumah mereka kerana Ahmad Sarbani tidak membawanya.

Bagi Masiah, suaminya seorang yang waras, tenang, tidak bersikap melulu dan bukannya seorang pemarah sambil menegaskan bahawa "Allah berjanji jika solat lima waktu, kita tidak akan mati dalam keadaan murtad."

Dalam prosiding inkues itu, Abazafree dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Rashid, Azlina Rasdi dan Nor Amalina Ismail, sementara SPRM diwakili peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah dan Fadzillah Mohd. Ossman.

Peguam Salim Bashir mewakili Majlis Peguam Malaysia selaku peguam pemerhati.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Strauss-Kahn didakwa cuba merogol lagi

PARIS 5 Julai – Bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) Dominique Strauss-Kahn bakal berhadapan dengan satu lagi pertuduhan melakukan serangan seksual selepas seorang wanita Perancis membuat laporan polis, semalam.

Tristane Banon yang merupakan seorang wartawan dan penulis berusia 32 tahun membuat laporan polis mendakwa bekas ahli politik tersebut cuba merogolnya pada 2003 di sebuah rumah.

Dalam kejadian itu, Banon mendakwa Strauss-Kahn menjemputnya datang ke sebuah rumah untuk melakukan sesi temu bual namun selepas tiba di situ, bekas pengarah itu mula menerkam dan cuba merogolnya. – AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini