Pages

Friday, April 15, 2011

4 anggota BRICS desak Barat henti serang Libya


SANYA: Lima pemimpin lima negara membangun paling berpengaruh yang bertemu pada sidang puncak bagi mencari jalan menangani konflik di Libya, berkata penggunaan kekerasan dan ketenteraan ke atas negara itu dan negara dunia Arab perlu dielak. 


Sidang pemimpin Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan dipanggil BRICS dalam satu kenyataan bersama juga memberi amaran bahawa harga komoditi yang tidak menentu boleh membantutkan pemulihan ekonomi dunia dan pengaliran besar modal akan menjejaskan negara sedang membangun.
Presiden China Hu Jintao, mempengerusikan perbincangan antara Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma; Presiden Brazil Dilma Roussefd; Presiden Russia Dmitry Medvedev dan Perdana Menteri India, Manmohan Singh.
Mereka berusaha mewujudkan blok untuk mendesak diberi lebih suara pada peringkat dunia terutama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Mata Wang Antarabangsa dan institusi global lain. 

Kelima-lima negara itu yang mewakili lebih 40 peratus penduduk dunia kehadiran mereka secara bersama di Malis Keselamatan PBB pada 2011, menawarkan peluang bekerjasama bagi mengatasi kemelut di Libya. 

“Kami sepakat dengan pandangan bahawa semua pihak perlu menyelesaikan perbezaan mereka dengan cara aman dan dialog, manakala PBB dan pertubuhan wilayah perlu memainkan peranan sama. 

“Kami juga berkongsi prinsip bahawa tindakan kekerasan hendaklah dielakkan,” kata pemimpin berkenaan dalam kenyataan. 
Setakat ini, Afrika Selatan adalah satu-satunya negara kumpulan BRICS yang menyokong keputusan Majlis Keselamatan PBB untuk menguatkuasakan zon larangan terbang dan semua kaedah perlu bagi melindungi orang awam, membuka pintu kepada tindakan serangan Tentera Bersekutu. 

Empat negara lagi bagaimanapun menyuarakan kebimbangan bahawa kempen serangan udara diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bertujuan menyekat serangan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi ke atas pemberontak dan mengakhiri pemerintahannya selama 41 tahun, juga menyebabkan kematian penduduk awam. – AFP 

Erdogan bidas burqa diharam




PENYOKONG parti Islam Pakistan, Jamaat-e-Islami memprotes pengharaman burqa  di Islamabad, semalam.
PENYOKONG parti Islam Pakistan, Jamaat-e-Islami memprotes pengharaman burqa di Islamabad, semalam.


BRUSSELS: Perdana Menteri Turki mengkritik kerajaan Perancis kerana menguatkuasakan pengharaman memakai burqa oleh wanita Islam di khalayak ramai sambil menyifatkannya serangan terhadap kebebasan beragama. 


“Memang pelik melihat dasar sekular hari ini dibahaskan di Eropah hingga menjejaskan kebebasan tertentu.
“Di Perancis pada hari ini, tiada penghormatan langsung kepada hak individu bebas beragama,” kata Erdogan di Dewan Parlimen Majlis Eropah.
Perancis secara rasminya mengharamkan wanita Muslim memakai burqa mulai 11 April lalu, negara pertama di Eropah melaksanakan langkah itu. 


Undang-undang berkenaan dijangka menimbulkan ketegangan antara pihak berkuasa dan masyarakat Muslim Perancis yang membentuk kumpulan agama terbesar di Eropah. 


Seorang wanita yang memakai burqa hingga menutup seluruh tubuh, boleh didenda 150 euro (RM450) serta diarah menghadiri kelas pendidikan semula. 


Tetapi, lelaki yang mengarahkan anggota keluarga wanita mereka memakai burqa boleh dikenakan hukuman lebih berat termasuk penjara dua tahun dan denda 30,000 euro (RM90,000) atau lebih jika pelakunya di bawah umur. 
Dianggarkan enam peratus daripada 65.8 juta penduduk Perancis beragama Islam tetapi hanya 2,000 saja memakai burqa. – Agensi 

Mavi Marmara ketuai flotila baru


KAPAL Mavi Marmara mengetuai misi kemanusiaan baru 'Freedom Flotilla 2' ke Gaza bulan depan.
KAPAL Mavi Marmara mengetuai misi kemanusiaan baru 'Freedom Flotilla 2' ke Gaza bulan depan.


Israel risau wakil 50 negara bakal rempuh sekatan Gaza, minta bantuan Turki
ANKARA: Kapal Mavi Marmara yang pernah diserang komando Israel ketika membawa bantuan ke Gaza Mei tahun lalu, sekali lagi mengetuai angkatan 15 buah kapal dalam misi kemanusiaan baru 'Freedom Flotilla 2' ke Gaza bulan depan.
Misi terbaru itu menimbulkan kebimbangan Israel yang sudah meminta Turki menghentikan usaha terbaru melanggar sekatan ke atas Gaza.
Akhbar Israel, Haaretz melaporkan, duta negara itu ke Turki, Gaby Levy, secara rasmi meminta diplomat Turki menghalang flotila bantuan itu yang dijadual memulakan pelayaran bulan depan dan berkata kedatangan konvoi berkenaan adalah sama dengan provokasi ke atas Israel.


Mavi Marmara diserang komando Israel Mei tahun lalu, menyebabkan sembilan orang terbunuh, manakala berpuluh lagi cedera. Insiden itu menyebabkan hubungan tegang antara Tel Aviv dan Ankara.


Levy memberi jaminan kapal berkenaan akan dibenar memasuki Semenanjung Gaza melalui ‘saluran sah’ tetapi tidak menjelaskan sama ada Israel bersedia menggunakan kekerasan atau keganasan.


Langkah diambil selepas laporan media memberi isyarat bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang menimbang membenarkan kapal bantuan itu belayar ke Gaza, jika mereka bersetuju diperiksa pasukan antarabangsa sebelum ketibaannya.
Bagaimanapun, tiada sebarang keputusan rasmi dibuat mengenainya setakat ini.


“Kerajaan Israel mengancam untuk menyerang flotila bantuan baru ini dan kami menggesa semua kerajaan yang terbabit, masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tidak tunduk kepada keganasan Zionis,” kata penganjur misi dalam satu kenyataan.


Sumber politik Israel menyatakan, tiada sebarang perubahan dalam dasar membabitkan konvoi bantuan itu, manakala Tel Aviv tetap menyifatkan flotila ke Gaza sebagai ‘musuh dan pengganas’.


Penganjur misi Kapal ke Gaza,Vaggelis Pissias, dalam satu sidang media di Athens berkata, persediaan berjalan lancar setakat ini dan kapal bantuan dijangka memulakan pelayaran akhir bulan depan.


Misi bantuan terbaru akan membawa peserta dari 50 negara dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.


Beliau berkata, atas sebab keselamatan, penganjur tidak mendedahkan jumlah sebenar kapal yang belayar tahun ini atau dari mana pelayaran akan dimulakan, walaupun berkata sebelum ini bahawa 15 buah kapal akan ikut serta berbanding enam tahun lalu.


Sementara itu, aktivis Greece, Dimitris Plionis, berkata dalam misi kali ini akan membawa pelbagai barang termasuk bahan binaan dan produk farmaseutikal. – Agensi 

Bapa kritikal, sukar bernafas



ALOR SETAR – Seorang lelaki yang bertindak membakar diri sehingga menyebabkannya terbakar 100 peratus dalam kejadian di rumahnya di Kampung Ruat, Yan dekat sini pada pagi kelmarin masih belum sedarkan diri dan sukar bernafas.

Zinol Ismail, (gambar) 51, seorang petani dilaporkan masih kritikal dan tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke Hospital Yan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada petang kelmarin.
Sementara, dua anak lelaki Zinol iaitu Badrul Amin, 14, dan Amirul Hadi, 12, yang turut melecur ketika cuba menyelamatkan bapanya itu kini dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Kebakaran HSB.
Isteri Zinol, Salma Saad, 47, memberitahu, suaminya masih tidak sedarkan diri dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Melihat keadaan suami yang semakin lemah dengan badan membengkak, saya hanya mampu berdoa agar dia cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Katanya, dua anak lelakinya yang turut melecur kini dalam keadaan stabil tetapi mengalami demam dan muntah-muntah.
“Badrul Amin dan Amirul Hadi juga menangis kerana menahan pedih akibat melecur daripada bahagian kaki sehingga tangan dan Amirul Hadi juga beberapa kali diserang lelah.
“Saya berharap mereka berdua sempuh cepat bagi membolehkan mereka menjalani peperiksaan tidak lama lagi,” ujarnya.

Bas unik umpama limousin


BAS unik dipamerkan pada Pameran Dunia Persatuan Pengangkutan Antarabangsa di Dunia yang bermula 10 April hingga semalam.


DUBAI - Satu kumpulan pereka Belanda dari Universiti Delft TU termasuk bekas angkasawan negara itu, Wubbo Ockels berjaya mencipta bas unik yang bernilai AS$18.75 juta (RM56.70 juta), lapor sebuah akhbar semalam.
Bas unik itu umpama limousin tetapi ia mempunyai enam tayar dan boleh membawa 23 penumpang manakala panjang kenderaan tersebut adalah 4.57 meter.
Kenderaan tersebut boleh bergerak selaju 255 kilometer sejam, mempunyai 12 pintu, dijana dengan satu motor elektrik dan bateri litium polimer.
Bentuk luaran kenderaan itu yang aerodinamik membantu ia menggunakan bahan bakar dengan efisen.
Ketua jurutera reka bentuk bas itu ialah Antonia Terzi yang pernah bekerja dengan pasukan kereta lumba Formula Satu, BMW Williams.
Projek pembinaan bas itu mengambil masa selama tujuh tahun yang bermula pada 2004. - Agensi, Kosmo

Kereta dua bampar di jalan raya


SEORANG lelaki memandu sebuah kereta yang mempunyai dua bampar di Taizhou, China baru-baru ini.


BEIJING - Polis terkejut apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memandu kereta yang mengandungi dua bampar di sebatang jalan raya di Taizhou, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang anggota polis menahan pemandu kereta itu yang mendakwa dia memandu kenderaan tersebut kerana ia merupakan cara pengangkutan yang paling murah.
Lelaki tersebut diberikan amaran oleh polis supaya tidak mengulangi perbuatannya kerana tiada undang-undang di China yang melarang penggunaan kereta unik itu. - Agensi, Kosmo

Keadaan kesihatan Hosni Mubarak stabil


SEORANG anggota polis memeriksa bunga yang akan dihantar untuk Hosni Mubarak oleh orang awam dekat sebuah hospital di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam.


KAHERAH - Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, 82, yang ditahan untuk disiasat berkaitan keganasan ke atas penunjuk perasaan kini berada dalam keadaan stabil selepas diserang sakit jantung, lapor agensi berita rasmi MENA dalam satu kenyataan ringkas semalam.
Penunjuk perasaan yang berjaya menyebabkan Hosni meletakkan jawatan pada Februari lalu menyifatkan penahanan pemimpin itu dan dua orang anaknya iaitu Gamal dan Alaa sebagai 'langkah positif' yang diambil oleh pihak tentera yang memerintah negara ini buat sementara waktu.
Ketiga-tiga mereka ditahan selama 15 hari mulai Rabu lalu.
Hosni dihantar ke sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir selepas beliau mengalami serangan jantung semasa disoal siasat oleh pendakwa raya pada Selasa lalu.
Beliau ditahan di sebuah hospital di sini dengan kawalan keselamatan yang ketat.
Gamal dan Alaa pula ditahan di kompleks penjara Tora di Kaherah yang turut dihuni oleh beberapa orang bekas pegawai pemerintah dan tahanan politik Mesir.
Ketua pendakwa raya, Abdel Maguid Mahmud mengesahkan penahanan selama 15 hari itu sebagai sebahagian daripada inkuiri ke atas penggunaan tentera terhadap penunjuk perasaan sepanjang kekacauan pada Januari dan Februari lalu.
Sekutu Hosni sejak sekian lama, Amerika Syarikat terus berdiam diri berkaitan perkembangan itu sambil menyifatkan penahanan tersebut sebagai masalah dalaman Mesir.
Hosni didakwa mengarahkan tembakan dilepaskan ke arah penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat bermula pada 25 Januari lalu.
Hampir 800 orang maut dalam tempoh tersebut.
Beliau meletak jawatan pada 11 Februari setelah kekacauan berlarutan selama 18 hari. - AFP, Kosmo

NATO setuju Gaddafi berundur


BEBERAPA pemberontak bersolat di sebuah gurun di pinggir bandar Ajdabiya, Libya semalam.


PARIS – Negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) semalam menegaskan bahawa tujuan utama mereka di Libya adalah untuk menamatkan pemerintahan rejim Muammar Gaddafi.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton menyatakan dunia mesti meningkatkan sokongan kepada pemberontak Libya yang menentang kepimpinan Gaddafi. Usaha menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya menjadi agenda utama dalam mesyuarat dua hari menteri-menteri luar 28 buah negara anggota NATO.
Serangan udara selama tiga minggu yang dilihat gagal melemahkan tentera Gaddafi nyata memberi tekanan kepada tentera sekutu Barat.
Walaupun bersetuju Gaddafi mesti disingkirkan, mereka kurang pasti bagaimana untuk merealisasikannya.
Itali mencadangkan supaya kuasa Barat membekalkan senjata kepada kumpulan pemberontak.
Menurut jurucakap Kementerian Luar Perancis, Bernard Valero berkata, pihaknya menyifatkan tindakan NATO masih belum cukup.
Malah beliau menggesa negara-negara lain supaya mengenakan tindakan yang lebih berkesan dan pantas.
Kumpulan pemberontak pula meminta tentera AS untuk kembali memegang peranan lebih besar dalam kempen serangan udara.
Namun, pentadbiran Presiden Barack Obama dilihat berpegang dengan pelannya yang ingin kekal sebagai penyokong.
Jabatan Pertahanan AS menegaskan Washington telah menerbangkan 35 peratus misi tentera udaranya dalam tempoh 10 hari lepas.
“Memandangkan misi kita berterusan, perpaduan antara anggota NATO amat penting. Gaddafi sedang menguji kesungguhan kita.
“NATO perlu meningkatkan misi politik, diplomatik dan ekonomi untuk menekan dan menjatuhkan rejim Gaddafi,” kata Hillary.
Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen menegaskan pihaknya benar-benar terlibat dalam operasi-operasi untuk melindungi rakyat Libya selain mengambil apa jua langkah bagi menghalang serangan kejam dan sistematik tentera Gaddafi.
Dalam mesyuarat yang sama, NATO turut mengutarakan usaha-usaha untuk menyerahkan tanggungjawab keselamatan di Afghanistan kepada pihak berkuasa negara tersebut.
Pergolakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran kejayaan penunjuk perasaan yang berjaya mengakibatkan Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan sebagai Presiden Tunisia pada Januari lalu.
Pemberontakan itu juga mendapat ilham kejayaan para penunjuk perasaan yang berjaya mengakibatkan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir pada Februari lalu.
Setakat ini, pertempuran masih berlaku melibatkan para pemberontak dengan tentera Gaddafi di Libya.
NATO kini mengambil kawalan menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya daripada tentera bersekutu diketuai AS. – Agensi, kosmo

Tragedi ragut nyawa waktu subuh


BEGINILAH keadaan kereta Perodua Viva yang dinaiki lima bakal jururawat selepas bertembung dengan sebuah lori tangki minyak hingga mengakibatkan tiga daripada mereka mati dalam kemalangan di Kampung Gerai, Besut semalam.


BESUT – Usaha lima bakal jururawat untuk lari daripada gangguan lelaki misteri yang menceroboh asrama mereka dengan bersiar-siar di Kuala Terengganu berakhir dengan kecelakaan apabila tiga daripada lima gadis itu maut selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak semalam.
Kejadian ngeri pukul 6 pagi di Kampung Gerai dekat sini itu menyebabkan pemandu kereta, Nordiana Mohd. Nor, 22, dari Kota Tinggi, Johor; Zur Iras Zakaria, 19 dan Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, masing-masing dari Kuala Terengganu, Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua lagi rakan mereka, Bazillah Abdullah, 19 dan Nur Adilah Mohd. Ghazali, 19, dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian akibat cedera parah.
Difahamkan, sebelum kejadian, kesemua pelajar tahun dua kursus kejururawatan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Bachok, Kelantan itu dalam perjalanan pulang ke Asrama Muiz Dalam Rhu di Pasir Puteh.
Jarak antara asrama mereka dengan Kuala Terengganu kira-kira 135 kilometer.
Kesemua rakan karib itu dikatakan telah meminjam kereta rakan mereka pada pukul 9 malam kelmarin untuk bersiar-siar.
Sementara itu, seorang rakan mangsa, Nik Sharmila Nik Amram, 21, memberitahu, kesemua mangsa pergi ke Kuala Terengganu bagi menghilangkan tekanan selepas diganggu lelaki misteri di asrama.
-Utusan

Thursday, April 14, 2011

Penentang Gaddafi mahu diiktiraf dunia

Kumpulan muncul pertama kali di depan pemimpin antarabangsa
DOHA: Para pemberontak Libya semalam tampil buat pertama kali di depan para pemimpin dunia bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan sokongan bagi mengguling Presiden Muammar Gaddafi.
Mesyuarat 'Kumpulan Kontak Libya' di Qatar itu dihadiri oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, dan para menteri luar negara Barat serta Arab, bagi menyusun tindakan antarabangsa dalam konflik itu.Berucap di pembukaan mesyuarat yang disertai sekurang-kurangnya 20 negara itu, Setiausaha Luar Britain, Encik William Hague, berkata sidang semalam akan memberi tekanan kepada Encik Gaddafi agar meletak jawatan.Beliau menggesa para wakil agar bersetuju 'mengekalkan tekanan ke atas rejim Gaddafi dengan melaksanakan ketetapan Majlis Keselamatan dan menguatkuasakan sekatan... dan bagi memberi gambaran jelas bahawa Gaddafi harus berundur'.Awal dari itu, ketika ditemui wartawan bagi mengulas agenda mesyuarat, Encik Hague, berkata: 'Salah satu perkara yang akan kami bincangkan ialah pembentukan satu mekanisme dana bagi menerima derma dari negara yang ingin membantu mengekalkan perkhidmatan asas di timur Libya - kawasan yang dikawal oleh pemberontak - agar kehidupan di situ dapat diteruskan.'Kami akan bincangkan bagaimana membantu kawasan yang didiami orang awam, bagaimana mendapatkan dana bagi mereka, misalnya dari beberapa negara Arab.'Sementara itu, dalam ucapannya pula, Encik Ban berkata sekitar 3.6 juta penduduk Libya yang kini memerlukan bantuan kemanusiaan.Beliau lantas menggesa masyarakat antarabangsa 'bersatu suara' berkaitan krisis itu yang dijangka semakin buruk.Awal dari itu, jurucakap pemberontak, Encik Mahmud Shammam, berkata pihaknya mahu Majlis Nasional Peralihan (TNC) diiktiraf sebagai pemerintah sementara yang sah.Ini bagi membolehkan majlis itu meminta bantuan dana bernilai AS$1.5 bilion ($1.8 bilion) daripada pemerintah Barat bagi memenuhi keperluan penduduk setempat di kawasan yang dikawal pemberontak.Beliau juga akan mengulangi pendirian TNC bahawa mereka hanya akan setuju melaksanakan gencatan senjata jika Encik Gaddafi dan sekutunya meninggalkan Libya.Kelmarin, pemimpin Afrika cuba merundingkan gencatan senjata tetapi ditolak pihak pemberontak yang mendesak Encik Gaddafi melepaskan kuasa serta-merta.Encik Shammam juga menggesa agar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menggiatkan kempennya untuk menyerang pasukan pro-Gaddafi bagi melindungi orang awam.Ini selain meminta Amerika Syarikat lebih melibatkan diri dalam operasi antarabangsa itu.Kelmarin, jurucakap pemberontak, Encik Ali Al Isawi, berkata tentera yang setia kepada Encik Gaddafi telah membunuh sekitar 10,000 orang awam, dengan 20,000 lagi hilang dan 30,000 cedera. -- AFP, AP, Reuters, Cyberita

AS sokong kebebasan bersuara dan beragama


MENUNTUT KEBEBASAN: Seorang wanita yang memakai purdah mengadakan bantahan ke atas tindakan Perancis melarang pemakaian purdah, di luar Kedutaan Perancis di London, pada Isnin lalu. -- Foto REUTERS




PERANCIS LARANG PURDAH DAN BURKA
Bagaimanapun Washington tidak bidas tindakan Perancis
WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menyokong hak rakyat untuk 'menzahirkan kepercayaan agama melalui pakaian keagamaan' selepas Perancis menyaman seorang wanita kerana memakai purdah.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Mark Toner, berkata negara itu memperjuangkan kebebasan bersuara dan beragama.Beliau bagaimanapun tidak membidas tindakan Perancis melarang pemakaian purdah dan burka.'Saya perlu merujuk anda kepada pemerintah Perancis bagi memberi penjelasan terperinci berkaitan undang-undangnya tetapi kami menyokong kebebasan beragama dan bersuara dan ini termasuk hak untuk menzahirkan amalan agama melalui pakaian keagamaan,' katanya sambil menekankan Perancis merupakan sekutu rapat Amerika.Isnin lalu, seorang wanita berusia 28 tahun didenda 150 euro ($273) setelah didapati memakai purdah di sebuah pusat beli-belah di Mureaux, di barat laut Paris.Kelmarin, polis di bandar Saint-Denis telah meminta seorang lagi wanita membuka purdahnya tetapi beliau enggan berbuat demikian.Wanita berusia 35 tahun itu telah dibawa ke balai polis dan beliau membuka purdahnya.Beliau kemudian dibebaskan selepas diberi peringatan bahawa pemakaian purdah tidak lagi dibenarkan di tempat awam.Perancis telah menguatkuasakan larangan memakai purdah dan burqa sejak Isnin lalu, menjadikannya negara pertama di Eropah melaksanakan undang-undang itu.Hanya selang beberapa jam pengharaman itu, dua wanita berpurdah ditangkap semasa menyertai satu protes di bandar raya negara itu.Demonstrasi di dataran berbatu menghadap gereja Notre Dame itu penuh simbolik sejarah zaman pertengahan Perancis dan semangat memberontak yang biasa ditunjukkan oleh warganya pada zaman moden.Sesetengah pihak melihat pengharaman itu sebagai menandakan sentimen Islamofobia yang semakin menular.Namun, pemerintah Presiden Nicolas Sarkozy mempertahankan undang-undang itu sebagai benteng yang melindungi identiti Perancis daripada ketidaksamaan dan fahaman pelampau.Dianggarkan hanya 2,000 wanita Islam di Perancis yang memakai purdah atau burka.Sebelum ini, pihak polis Perancis melahirkan kebimbangan undang-undang baru itu sukar dikuatkuasakan.Namun, Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Claude Gueant, menegaskan bahawa larangan itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menegakkan 'sekularisme dan kesaksamaan di antara wanita dengan lelaki... dua prinsip yang kita tidak akan bertolak ansur.' - AFP, AP, Reuters, Cyberita

Polis, tentera Yemen bertempur



KAUM wanita menyertai tunjuk perasaan mendesak pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh di Taiz, Yemen, kelmarin. - REUTERS


SANAA 13 April - Sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk empat anggota polis terbunuh dalam pertempuran dengan anggota tentera yang memberontak, kata sumber tentera dan perubatan hari ini.
Pegawai berkata, polis menyerang pos pemeriksaan tentera di wilayah Amran, 170 kilometer dari Sanaa, malam tadi, menyebabkan seorang pegawai mati dan dua askar cedera.
Di selatan negara itu, askar hari ini menembak mati dua penunjuk perasaan antirejim dan mencederakan beberapa orang yang lain di bandar Aden, kata saksi.
Mereka berkata, tentera melepaskan tembakan ketika penunjuk perasaan cuba membentuk sekatan jalan raya bagi mengadakan demonstrasi sehingga pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh. - AFP, Utusan

Kuwait gantung eksport minyak akibat ribut pasir



PAPAN tanda elektronik tertera ayat 'Perlahan. Pandangan Tidak Jelas' semasa ribut pasir melanda Kuwait, semalam. - AFP


KUWAIT CITY 13 April - Anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Kuwait hari ini menggantung eksport minyak sebagai 'langkah berjaga-jaga' selepas ribut pasir melanda negara Teluk ini.
Eksport minyak dari terminal, operasi kemudahan untuk menerima kapal dan beberapa kerja penyelenggaraan di loji penapis minyak 'dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga', kata jurucakap Kuwait Petroleum Corp. (KPC), Sheikh Talal Al-Sabah.
Menurutnya, langkah itu tidak akan menjejaskan komitmen Kuwait kepada pelanggan kerana eksport akan disambung semula apabila ribut pasir reda.
Kementerian Pendidikan turut menggantung kelas di semua sekolah dan universiti disebabkan ribut yang mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang 200 meter.
Lalu lintas udara sebahagiannya terjejas kerana penerbangan masuk dilencongkan ke lapangan terbang lain manakala penerbangan berlepas beroperasi seperti biasa, kata Jabatan Penerbangan Awam.
Operasi di tiga pelabuhan komersial negara ini juga digantung kerana jarak penglihatan terhad.
Penggantungan eksport minyak dan operasi lalu lintas udara itu adalah yang kedua dalam masa seminggu berpunca daripada ribut pasir.
Kuwait, pengeluar minyak kelima terbesar dalam OPEC, mengepam kira-kira 2.3 juta tong minyak mentah sehari menerusi kemudahan eksport di selatan negara ini. - AFP, Utusan

OIC kritik Perancis haramkan purdah

WASHINGTON 13 April - Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, tindakan Perancis mengharamkan purdah membesar-besarkan isu berhubung pakaian yang dikenakan oleh hanya segelintir wanita Islam di Barat.
Perancis menjadi negara pertama di Eropah menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan pakaian yang menutup muka termasuk purdah dan burqa, Isnin lalu.
"Mereka yang memakai burqa, terutamanya di Eropah atau negara Barat, adalah minoriti yang sangat kecil dan saya tidak faham mengapa anda meluluskan undang-undang untuk mengharamkannya," kata Ihsanoglu kepada wartawan pada forum Amerika Syarikat (AS)-Dunia Islam di sini.
Katanya, pengharaman itu mengalihkan perhatian kepada sebilangan kecil orang dan menjadikannya isu besar.
"Saya fikir ini isu kecil dan tidak wajar tidak diberi perhatian sebegitu rupa," katanya.
Sejak undang-undang itu berkuat kuasa di Perancis, hanya segelintir wanita telah didenda atau diberi amaran bertulis mengenai pemakaian purdah dan burqa di tempat awam, tetapi mereka telah diberi publisiti meluas.
Pihak berkuasa Perancis menganggarkan hanya 2,000 wanita, berbanding jumlah penduduk Islam kira-kira enam juta orang, yang memakai purdah atau burqa.
Parlimen Belgium juga telah meluluskan undang-undang yang mengharamkan purdah di tempat awam tetapi belum menguatkuasakannya, manakala pemimpin berhaluan kanan di Belanda mengesyorkan pengharaman burqa dan parti berhaluan kanan Liga Utara di Itali melobi supaya pengharaman seperti di Perancis dikuatkuasakan.
"Eropah sudah mula menjadi bumi pengharaman, dan bukan lagi bumi kebebasan," kata Ihsanoglu pada forum di sini, yang bertujuan untuk meningkatkan persefahaman antara umat Islam dengan rakyat AS. - AFP, Utusan

Bayar tebusan RM10j



HUTAN MELINTANG: Nelayan dan pemilik bot pukat tunda tempatan mendakwa hampir muflis akibat terpaksa membayar wang tebusan hampir RM10 juta kepada lanun atau pihak berkuasa Indonesia bagi membebaskan anak kapal atau bot mereka yang dirampas sebelum ditawan di negara jiran.
Difahamkan, kegiatan lanun dan pihak berkuasa negara jiran yang sengaja menceroboh perairan Malaysia sebelum merampas bot pukat tunda nelayan tempatan bukan perkara baru berikutan berlarutan sejak puluhan tahun lalu.


Perkara itu didedahkan Setiausaha Kerja Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Keh Jeh Hai, yang mendakwa pemilik bot pukat tunda di Hutan Melintang, di sini, kerugian besar akibat kegiatan pemerasan berlanjutan sejak 30 tahun lalu. Menurutnya, masalah bot nelayan Hutan Melintang diganggu lanun dan pihak berkuasa negara jiran itu banyak terjadi dan hampir setiap bulan menimpa nelayan tempatan.


“Setiap bot pukat tunda dirampas bernilai antara RM500,000 hingga RM1 juta bergantung kepada jenis peralatan penangkapan ikan dan peralatan komunikasi canggih digunakan.


“Biasanya, pemilik bot pukat tunda yang menjadi mangsa perlu membayar antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi membebaskan anak kapal dan bot pukat tunda dirampas,” katanya.


Menurutnya, aktiviti jenayah itu menyebabkan pemilik bot nelayan tempatan hampir gulung tikar akibat kerugian besar selain takut turun ke laut.


Beliau berkata, kawasan nelayan di Hutan Melintang di sini, mempunyai kira-kira 500 bot pukat tunda dengan jumlah 4,000 nelayan.


“Kawasan ini pusat pendaratan ikan basah terbesar di Semenanjung Malaysia dengan mencatat purata 28 peratus keseluruhan hasil tangkapan ikan negara setahun .
“Kami berharap Kementerian Pertahanan mengarahkan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan lebih kerap di perairan negara terutama membabitkan kawasan sempadan perairan antarabangsa,” katanya.


Menurutnya, langkah berkenaan diharap dapat menghalang kegiatan terbabit yang jelas mengganggu kegiatan dan pendapatan nelayan tempatan.


“Bagaimanapun kami berterima kasih terhadap campur tangan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha menyelesaikan kes penahanan lapan bot nelayan Hutan Melintang oleh pihak berkuasa lndonesia, baru-baru ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Chia Soon Fook, berkata, pihaknya mendapat laporan dua bot pukat tunda dirampas dan ditarik ke perairan Indonesia semasa nelayan terbabit menangkap ikan di perairan negara ini kira-kira 45 batu nautika dari perairan antarabangsa 4 April lalu.


“Kes berkenaan kejadian terbaru selepas enam bot pukat tunda nelayan Hutan Melintang turut menerima nasib sama ketika sedang menangkap ikan di perairan tempatan beberapa bulan lalu,” katanya.

Israel bimbang konvoi flotilla



BAITULMAQDIS: Israel menyatakan kebimbangan mereka terhadap rancangan Turki mengirim kapal bantuan kemanusiaan terbaru ke Gaza untuk mencabar kepungan Zionis ke atas wilayah Palestin itu bulan depan.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor, berkata kebimbangan itu dinyatakan duta negara terbabit di Ankara Penganjur misi itu berkata, konvoi Freedom Flotilla II disertai sukarelawan dari 50 negara yang cuba ke Gaza bulan depan, genap setahun selepas cubaan mereka digagalkan tentera Zionis tahun lalu yang turut mengorbankan sembilan aktivis Turki akibat ditembak.


Dipercayai, misi terbaru itu membabitkan 15 kapal berbanding enam tahun lalu.


Kata Palmor, inisiatif Turki itu boleh mendorong keganasan.


Amaran sama dibuat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Isnin lalu. - AFP
metro

Gamal, Alaa tolak makanan penjara



KAHERAH: Dua anak lelaki Hosni Mubarak, Gamal dan Alaa tiba di Penjara Tora di Kaherah untuk ditahan selama 15 hari bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan pembabitan mereka dalam aktiviti pembunuhan penunjuk perasaan dan rasuah.
Polis Mesir berkata, Gamal dan Alaa disyaki mendesak penunjuk perasaan ditembak ketika rakyat Mesir bangkit menuntut Hosni disingkirkan sejak 25 Januari lalu.


Hampir 800 orang terbunuh dalam kebangkitan rakyat itu.


Penjara Tora turut menempatkan ramai bekas menteri dan pegawai kanan rejim Hosni yang kini direman atau ditahan sebelum dibicarakan.


Sebelum revolusi rakyat Mesir tercetus, Gamal disebut-sebut sebagai pengganti Hosni.


Gamal dan abangnya diberi pakaian putih penjara selepas menyerahkan telefon bimbit masing-masing, tetapi enggan menerima hidangan sarapan, sebaliknya meminta beberapa botol air. - AFP, metro

Kate kecilkan cincin Diana


SEJARAH BERULANG...pasangan Charles - Diana (kiri) dan Kate - William bersama cincin pertunangan yang kini bernilai hampir RM158 juta.
SEJARAH BERULANG...pasangan Charles - Diana (kiri) dan Kate - William bersama cincin pertunangan yang kini bernilai hampir RM158 juta.

LONDON: Disebabkan badannya susut melampau, Kate Middleton terpaksa meminta tukang emas diraja menambah beberapa manik pada cincin pertunangannya bagi mengelak ia terjatuh dari jarinya.
Cincin bernilai RM157.6 juta itu pernah dipakai ibu Putera William, Puteri Diana.

Kate, 29, mempamerkan cincin berkenaan pada jari tirusnya ketika melakukan lawatan rasmi terakhir kelmarin sebelum disahkan menjadi isteri William akhir bulan ini.

Menurut sumber, Kate mahu cincin berkenaan diubah suai sedikit kerana bimbang ia menggelongsor ketika berkahwin nanti.

Kata sumber itu, Kate agak keberatan menerima cincin itu kerana dilihat terlalu besar untuk jarinya.

“Justeru, Kate meminta tukang emas diraja, G Collins and Sons, menambah dua manik kecil platinum di bahagian dalam cincin berkenaan,” katanya.

Hasil ubah suai itu, katanya, cincin berkenaan kini lebih kemas dipakai Kate.

Kata sumber itu, cincin berkenaan memang menarik perhatian Kate dan pengubahsuaian berkenaan dibuat semata-mata kerana bakal puteri itu enggan menimbulkan kekecohan nanti.
“Kebimbangan paling besar Kate nanti adalah melihat cincin pertunangannya jatuh dalam majlis perkahwinan dengan bakal raja England,” katanya.

Cincin itu bernilai tinggi kerana nilai sejarahnya yang pernah dipakai Diana ketika dia bertunang dengan Putera Charles.

Ia dihadiahkan William, 28, kepada Kate bagi memastikan Diana menjadi ‘sebahagian’ daripada majlis penuh bersejarah pada 29 April nanti. - TS

Dilarang rakam gambar selepas tawaf wida


Dianggap melengahkan perjalanan pulang 


KUALA LUMPUR: Jemaah haji dan umrah di negara ini dilarang mengambil gambar di sekitar Tanah Haram, Makkah selepas melakukan tawaf wida kerana ia boleh membatalkan tawaf itu dan menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sempurna.
Persoalan berhubung perbuatan mengambil gambar selepas tawaf wida itu dikemukakan pembimbing ibadat haji pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-27 kerana ada jemaah yang musykil sama ada perbuatan itu boleh memberi kesan kepada ibadat mereka atau sebaliknya.
Susulan itu, larangan terbabit disenaraikan antara 11 resolusi pada muzakarah yang dihadiri ulama, tokoh agama dan pembimbing ibadat haji di Pulau Pinang, Februari lalu. 

Pembimbing Ibadat Haji, Sapawi Che Mat, berkata larangan itu sememangnya wajar kerana tindakan mengambil gambar selepas tawaf wida tiada kaitan dengan urusan ibadat. 

“Malah, jemaah juga dianggap melengahkan perjalanan pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau yang juga penceramah bebas, berkata resolusi yang disenaraikan itu wajar disebarkan untuk manfaat jemaah haji dan umrah negara ini bagi mengelak melakukan perbuatan yang dilarang hukum syarak. 
Malah, beliau juga mengambil inisiatif menyediakan bahan yang sesuai berkaitannya untuk kursus haji yang sedang berjalan sekarang, selain untuk makluman jemaah umrah. 

Sementara itu, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji Tabung Haji, Datuk Daud Che Ngah, berkata mengikut hukum, tawaf wida adalah langkah terakhir bagi jemaah untuk meninggalkan Masjidil Haram. 

“Selepas tawaf wida, jemaah hanya boleh melakukan solat sunat, mengucup Hajar Aswad dan berdoa, jadi mengambil gambar boleh menyebabkan tawaf wida jemaah terbatal dan wajib melakukannya semula atau membayar dam,” katanya. 

Daud yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, berkata walaupun ibadat sah, jemaah berdosa kerana melanggar hukum syarak. 

Beliau berkata, syarikatnya yang menjalankan kursus haji dan umrah turut mencatatkan perkara itu dalam buku peraturan ibadat berkenaan, serta menjelaskan secara terperinci kepada semua jemaah yang menghadiri kursus anjuran syarikat terbabit. 

“Menjadi tanggungjawab untuk memaklumkan mengenai larangan ini bagi mengelak jemaah melanggar hukum syarak hingga wajib melakukan tawaf wida semula,” katanya. 

Penduduk mahu pampasan



MONITOR radiasi menunjukkan bacaan 0.41 microsievert   di sebuah ladang ternakan lembu  perah  Mutsuo Mito di Shinchimachi, Wilayah Fukushima, utara Jepun.
MONITOR radiasi menunjukkan bacaan 0.41 microsievert di sebuah ladang ternakan lembu perah Mutsuo Mito di Shinchimachi, Wilayah Fukushima, utara Jepun.
Ancaman radiasi di Fukuishima sebabkan ramai tidak bekerja
TOKYO: Penduduk berhampiran loji nuklear Fukuishima Dai-ichi yang berdepan dengan masalah kebocoran radiasi selepas dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, mengadakan tunjuk perasaan di depan ibu pejabat syarikat pengendali loji itu kerana berang tidak mendapat bantuan untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Saya tidak boleh bekerja dan ini bermakna saya tidak ada wang,” kata Shigeaki Konno, 73, seorang mekanik kereta yang tinggal 11 kilometer dari loji berkenaan.
“Kami hanya mendengar cakap-cakap mengenai pampasan. Kami memerlukannya sekarang,” kata Konno yang tergolong di kalangan beribu penduduk yang tinggal dalam lingkungan zon pemindahan 20 kilometer yang ditetapkan kerajaan Jepun. 


Bantahan semalam oleh kira-kira 20 pemilik perniagaan kecil berhampiran loji nuklear itu menggambarkan kemarahan yang meningkat terhadap Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) yang setakat ini gagal membendung kebocoran radiasi dari loji nuklearnya itu. 


Presiden TEPCO, Masataka Shimizu dan pegawai syarikat yang lain tunduk memohon maaf kepada penunjuk perasaan sambil berjanji akan berusaha memberi pampasan kepada penduduk yang tidak dapat kembali berkerja. 


“Pemberian tunai sedang diusahakan secepat mungkin,” kata Shimizu. 
Beliau berkata, syarikat itu akan melakukan sedaya upaya bagi mengawal reaktor yang rosak itu dan cuba membendung kebocoran radiasi. 


“Anda dapat menikmati sajian panas setiap hari, manakala kami hanya diberi dua keping roti setiap hari di pusat perlindungan sementara,” kata Konno. 


“Saya tidak meminta lebih daripada apa yang berhak kepada saya,” kata Ichijiro Ishikawa, 69, seorang pekerja pembinaan yang tinggal 13 kilometer dari loji nuklear terbabit. – AP , bharian