Pages

Thursday, April 14, 2011

Kuwait gantung eksport minyak akibat ribut pasir



PAPAN tanda elektronik tertera ayat 'Perlahan. Pandangan Tidak Jelas' semasa ribut pasir melanda Kuwait, semalam. - AFP


KUWAIT CITY 13 April - Anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Kuwait hari ini menggantung eksport minyak sebagai 'langkah berjaga-jaga' selepas ribut pasir melanda negara Teluk ini.
Eksport minyak dari terminal, operasi kemudahan untuk menerima kapal dan beberapa kerja penyelenggaraan di loji penapis minyak 'dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga', kata jurucakap Kuwait Petroleum Corp. (KPC), Sheikh Talal Al-Sabah.
Menurutnya, langkah itu tidak akan menjejaskan komitmen Kuwait kepada pelanggan kerana eksport akan disambung semula apabila ribut pasir reda.
Kementerian Pendidikan turut menggantung kelas di semua sekolah dan universiti disebabkan ribut yang mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang 200 meter.
Lalu lintas udara sebahagiannya terjejas kerana penerbangan masuk dilencongkan ke lapangan terbang lain manakala penerbangan berlepas beroperasi seperti biasa, kata Jabatan Penerbangan Awam.
Operasi di tiga pelabuhan komersial negara ini juga digantung kerana jarak penglihatan terhad.
Penggantungan eksport minyak dan operasi lalu lintas udara itu adalah yang kedua dalam masa seminggu berpunca daripada ribut pasir.
Kuwait, pengeluar minyak kelima terbesar dalam OPEC, mengepam kira-kira 2.3 juta tong minyak mentah sehari menerusi kemudahan eksport di selatan negara ini. - AFP, Utusan

No comments: