Pages

Thursday, April 14, 2011

Penentang Gaddafi mahu diiktiraf dunia

Kumpulan muncul pertama kali di depan pemimpin antarabangsa
DOHA: Para pemberontak Libya semalam tampil buat pertama kali di depan para pemimpin dunia bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan sokongan bagi mengguling Presiden Muammar Gaddafi.
Mesyuarat 'Kumpulan Kontak Libya' di Qatar itu dihadiri oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, dan para menteri luar negara Barat serta Arab, bagi menyusun tindakan antarabangsa dalam konflik itu.Berucap di pembukaan mesyuarat yang disertai sekurang-kurangnya 20 negara itu, Setiausaha Luar Britain, Encik William Hague, berkata sidang semalam akan memberi tekanan kepada Encik Gaddafi agar meletak jawatan.Beliau menggesa para wakil agar bersetuju 'mengekalkan tekanan ke atas rejim Gaddafi dengan melaksanakan ketetapan Majlis Keselamatan dan menguatkuasakan sekatan... dan bagi memberi gambaran jelas bahawa Gaddafi harus berundur'.Awal dari itu, ketika ditemui wartawan bagi mengulas agenda mesyuarat, Encik Hague, berkata: 'Salah satu perkara yang akan kami bincangkan ialah pembentukan satu mekanisme dana bagi menerima derma dari negara yang ingin membantu mengekalkan perkhidmatan asas di timur Libya - kawasan yang dikawal oleh pemberontak - agar kehidupan di situ dapat diteruskan.'Kami akan bincangkan bagaimana membantu kawasan yang didiami orang awam, bagaimana mendapatkan dana bagi mereka, misalnya dari beberapa negara Arab.'Sementara itu, dalam ucapannya pula, Encik Ban berkata sekitar 3.6 juta penduduk Libya yang kini memerlukan bantuan kemanusiaan.Beliau lantas menggesa masyarakat antarabangsa 'bersatu suara' berkaitan krisis itu yang dijangka semakin buruk.Awal dari itu, jurucakap pemberontak, Encik Mahmud Shammam, berkata pihaknya mahu Majlis Nasional Peralihan (TNC) diiktiraf sebagai pemerintah sementara yang sah.Ini bagi membolehkan majlis itu meminta bantuan dana bernilai AS$1.5 bilion ($1.8 bilion) daripada pemerintah Barat bagi memenuhi keperluan penduduk setempat di kawasan yang dikawal pemberontak.Beliau juga akan mengulangi pendirian TNC bahawa mereka hanya akan setuju melaksanakan gencatan senjata jika Encik Gaddafi dan sekutunya meninggalkan Libya.Kelmarin, pemimpin Afrika cuba merundingkan gencatan senjata tetapi ditolak pihak pemberontak yang mendesak Encik Gaddafi melepaskan kuasa serta-merta.Encik Shammam juga menggesa agar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menggiatkan kempennya untuk menyerang pasukan pro-Gaddafi bagi melindungi orang awam.Ini selain meminta Amerika Syarikat lebih melibatkan diri dalam operasi antarabangsa itu.Kelmarin, jurucakap pemberontak, Encik Ali Al Isawi, berkata tentera yang setia kepada Encik Gaddafi telah membunuh sekitar 10,000 orang awam, dengan 20,000 lagi hilang dan 30,000 cedera. -- AFP, AP, Reuters, Cyberita

No comments: