Pages

Wednesday, February 23, 2011

Diplomat desak pemimpin dunia campur tangan


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Beberapa diplomat penting Libya semalam memutuskan hubungan dengan rejim Gaddafi kerana membantah tindakan kejam terhadap penunjuk perasaan.
Sementara itu, Timbalan Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan badan dunia itu untuk membincangkan krisis politik di negaranya.

Duta Libya ke Amerika Syarikat pula mendesak Gaddafi meletak jawatan sementara dutanya ke India meletak jawatan, begitu juga dengan duta ke Bangladesh yang membantah pembunuhan penunjuk perasaan oleh tentera kerajaan.

Hampir semua diplomat Libya di PBB menyokong rayuan Timbalan Duta, Ibrahim Dabbashi supaya Gaddafi mengakhiri pemerintahannya selama 40 tahun serta desakan kepada masyarakat antarabangsa supaya campur tangan.

Pejabat jurucakap PBB berkata, Majlis Keselamatan akan mengadakan perbincangan mengenai keadaan di Libya awal pagi ini.


Ibrahim sebelum ini menggesa mesyuarat majlis itu diadakan bagi menghentikan pertumpahan darah.

Ibrahim turut mendesak masyarakat antarabangsa menguatkuasakan zon larangan terbang di bandar di Libya bagi memastikan tidak ada tentera upahan mahupun bekalan senjata tiba untuk membantu rejim Gaddafi.

Ketika sokongan diplomat untuk rejim itu mula musnah, Ibrahim memberi amaran, jika Gaddafi enggan melepaskan jawatannya, rakyat Libya akan bertindak untuk menyingkirkannya. - AFP
myMetro

2 juruterbang paling tadah

myMetro


TRIPOLI: Dua juruterbang tentera udara Libya berpangkat kolonel berpaling tadah ke negara pulau Meditteranean, Malta, sebagai membantah arahan menyerang penunjuk perasaan di negara Afrika Utara itu, semalam.

Mereka menerbangkan pesawat masing-masing dari sebuah pangkalan di Benghazi, bandar kedua terbesar Libya ketika ia dikuasai oleh penunjuk perasaan.
Mereka memberitahu pihak berkuasa Malta bahawa mereka diarah mengebom orang awam. - AP"

TV sangkal laporan pembunuhan

TRIPOLI: Televisyen Libya semalam menyangkal dakwaan pasukan keselamatan negara itu membunuh penunjuk perasaan sambil menyifatkannya sebagai pembohongan.
Penafian itu dibuat sejurus selepas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi muncul di kaca televisyen, buat kali pertama sejak revolusi bermula.

“Mereka mendakwa berlaku pembunuhan beramai-ramai di beberapa bandar dan kawasan kediaman di Libya. “Kita perlu menentang khabar angin dan pembohongan ini yang menjadi sebahagian daripada perang psikologi,” lapor saluran televisyen Al-Jamahiriya Dua.

“Khabar angin itu bertujuah memusnahkan semangat anda, kestabilan anda dan kemewahan anda,” tambahnya.

Saksi sebelum ini mendakwa berlaku beberapa pembunuhan beramai-ramai di beberapa bandar selepas saluran televisyen milik kerajaan mengumumkan pasukan keselamatan melancarkan serangan terhadap ‘sarang pengganas.’ Dalam pada itu, Gaddafi, 68, muncul di televisyen lewat semalam untuk menafikan khabar angin kononnya beliau sudah meninggalkan negara Afrika Utara itu. - AFP
myMetro

Askar digesa bunuh Gaddafi


BERSEMANGAT...penunjuk  perasaan mengibarkan bendera besar negara itu di atas sebuah bangunan di bandar Tobruk, semalam.
BERSEMANGAT...penunjuk perasaan mengibarkan bendera besar negara itu di atas sebuah bangunan di bandar Tobruk, semalam.


DOHA: Ulama berpengaruh, Yusuf al-Qara-dawi semalam mengeluarkan fatwa menggesa mana-mana anggota tentera Libya supaya menembak mati pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
“Sesiapa di kalangan tentera Libya yang boleh melepaskan tembakan terhadap Gaddafi sepatutnya bertindak demikian,” kata ulama kelahiran Mesir itu yang berpusat di Qatar kepada televisyen Al-Jazeera.

Yusuf juga memberitahu tentera Libya supaya tidak mematuhi arahan menembak orang awam negara itu. serta mendesak duta Libya di seluruh dunia memutuskan hubungan dengan rejim Gaddafi.

Terkenal di Timur Tengah kerana fatwanya yang kadang kala mencetuskan kontroversi, Yusuf mempunyai status selebriti di dunia Arab kerana ceramahnya menerusi televisyen Al-Jazeera.

Beliau sebelum ini mempertahankan keganasan yang dilakukan beberapa kumpulan Islam.


Barat menuduh ulama itu menyokong keganasan kerana menyokong serangan berani mati rakyat Palestin di Israel.

Britain dan Amerika Syarikat enggan mengeluarkan visa untuk membolehkan beliau memasuki negara itu.

Yusuf yang juga pemimpin spiritual Ikhwanul Muslimin di Mesir dan sudah sekian lama menetap di Qatar, mengetuai Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa. - AFP
myMetro

Misteri suara tangisan dari dalam kubur




KUBUR Desi Tri menjadi tumpuan ramai di Prumpung, Jatinegara, Jakarta Timur semalam.


JAKARTA - Penduduk di Prumpung, Jatinegara, Jakarta Timur mengerumuni sebuah kubur yang dikatakan mengeluarkan suara seperti orang menangis, lapor akhbar dalam talian Tribunnews.comsemalam.
Kubur itu yang menempatkan jenazah seorang remaja perempuan di Prumpung, Desi Tri yang berusia 15 tahun itu menjadi tumpuan orang ramai sejak pagi semalam.
Desi meninggal dunia pada 18 Februari lalu kerana sejenis penyakit.
Menurut seorang jirannya, Bony, 38, dia turut mendengar cerita bahawa Desi didapati masih hidup semasa solat jenazah.
Bagaimanapun, seorang wakil ketua kampung, Bambang berkata, dia tidak mendengar suara tangisan dari dalam kubur tersebut.
Dia menjelaskan, jika kubur itu mahu digali semula, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada keluarganya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Jejambat runtuh di timur China




SEBUAH kereta polis diletakkan dekat sebuah jejambat yang runtuh di Shangyu, timur China kelmarin.


HANGZHOU - Sebahagian jejambat setinggi tujuh meter runtuh di Shangyu, wilayah Zhejiang di timur China kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, empat pemandu lori yang melalui jejambat itu terselamat semasa kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 pagi.
Keempat-empat pemandu itu dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan manakala pihak berkuasa melakukan siasatan mengenai runtuhan tersebut. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Gempa bumi kuat di New Zealand




SEORANG wanita ditarik dari celah runtuhan di Christchurch, New Zealand semalam.


CHRISTCHURCH - Kerja-kerja menyelamat dilakukan semalam selepas satu gempa bumi kuat melanda bandar raya ini yang merupakan antara bandar terbesar di New Zealand dengan menyebabkan bangunan-bangunan tinggi dan gereja runtuh, banyak kenderaan musnah dan sekurang-kurangnya 65 orang terbunuh.
Gempa bumi tersebut berlaku semasa orang ramai sedang sibuk melakukan kegiatan harian di bandar yang dihuni 350,000 orang itu pada pukul 12.51 tengah hari kelmarin (8.19 pagi waktu Malaysia semalam).
Ia merupakan antara bencana alam yang paling dahsyat pernah melanda New Zealand.
Gempa bumi itu adalah yang kedua terkuat melanda bandar raya ini yang dihuni oleh 350,000 orang dalam tempoh lima bulan.
Ia yang sekuat 6.3 pada skala Richter mencetuskan kemusnahan jauh lebih besar berbanding gempa bumi yang terkuat yang melanda sebelum subuh pada September tahun lalu.
Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan gempa itu berpusat pada kedalaman 2.5 kilometer di bawah tanah pada jarak lima kilometer dari sini.
Menurut kenyataan agensi itu, selepas gempa bumi tersebut, dua gegaran susulan, setiap satu berukuran 5.6 dan 5.5 pada skala Richter melanda bandar ini.
Setakat malam semalam, lebih 100 orang termasuk 12 pelajar Jepun yang melawat bandar ini dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan ketika hujan turun.
"Situasi di sini penuh dengan kemusnahan," kata Perdana Menteri New Zealand, John Key selepas beliau tiba di bandar ini beberapa jam setelah gempa bumi berlaku.
Menurutnya, angka kematian setakat ini adalah 65 orang dan berkemungkinan besar akan terus meningkat.
"Kita sedang menyaksikan hari paling gelap dalam sejarah New Zealand," ujarnya.
Sebuah gereja batu yang menjadi mercu tanda bandar ini ranap manakala bangunan-bangunan tinggi runtuh dan jatuh bertindih dengan jalan-jalan raya dipenuhi dengan serpihan konkrit dan batu bata.
"Bencana kali ini amat mengerikan. Orang ramai ditindih dengan runtuhan, runtuhan seberat beberapa tan," kata seorang penduduk tempatan Nathanael Boehm.
Menurutnya, beberapa mangsa mati akibat dihempap konkrit.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker mengisytiharkan darurat di bandar ini dan mengarahkan orang ramai meninggalkan pusat bandar.
Lapangan terbang juga turut ditutup manakala Hospital Christchurch dikosongkan buat seketika sebelum dibuka semula.
Bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon terputus dengan paip bawah tanah bocor dan menyebabkan banjir di beberapa batang jalan raya di sini.
Sejumlah kereta yang diletakkan di tepi jalan kini tertimbus di bawah timbunan runtuhan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Christchurch macam zon perang




ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat berusaha mengesan mangsa gempa yang tertimbus dalam runtuhan selepas gempa bumi di Christchurch, New Zealand semalam.


KUALA LUMPUR – Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 pada skala Richter melanda wilayah itu pukul 12.51 tengah hari waktu tempatan kelmarin (waktu Malaysia pukul 8.19 pagi semalam).
“Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak,’’ kata Abdullah Mohd. Nawi ketika dihubungi Bernama.
Pelajar ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Universiti Canterbury itu sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.
“Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan.
Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat.
Kejadian gempa yang melanda itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai lagi terperangkap di celah-celah runtuhan.
Kosmo! Online - Negara

Gaddafi arah bedil penduduk di Libya




GAMBAR yang disiarkan stesen televisyen Al-Arabiya semalammenunjukkan Muammar Gaddafi memegang payungdi kediamannya di Libya.


TRIPOLI - Pemerintah Libya, Muammar Gaddafi menggunakan kereta kebal, helikopter dan jet pejuang untuk memerangi tunjuk perasaan rakyat yang menentang pemerintahannya, kata beberapa saksi semalam.
Tindakan tersebut dilakukan selepas pemimpin berkenaan yang memerintah Libya selama 40 tahun menafikan beliau meninggalkan negara itu dengan berlepas ke Venezuela.
Imej beliau muncul di televisyen selepas terdapat spekulasi beliau telah melarikan diri ke Venezuela.
Presiden Venezuela, Hugo Chavez mempunyai hubungan rapat dengan Gaddafi.
Gaddafi turut berucap di televisyen bahawa beliau akan berjuang sehingga mati menentang para penunjuk perasaan.
Sementara itu, kawasan timur Libya sudah jatuh ditangan para penunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur kerana tidak puas hati dengan pemerintahannya.
Menurut beberapa askar kepada agensi berita Reuters, bandar Tobruk di timur negara ini dikuasai oleh penunjuk perasaan.
Para penduduk Tobruk juga menyatakan bandar berkenaan sudah berada dalam tangan para penunjuk perasaan sejak tiga hari lalu.
Menurut beberapa pertubuhan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 233 orang terbunuh sejak penentangan rakyat terhadap Gaddafi tercetus seminggu lalu.
Gaddafi sudah memerintah selama hampir 42 tahun dan beliau berkuasa menerusi rampasan kuasa aman semasa pemerintah Libya, Raja Idris mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pesta kaut beras di lebuh raya


Gelagat orang ramai yang mengaut dan memunggah beras yang tumpah daripada sebuah treler yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim semalam.

KUALA KUBU BHARU - Jika bulan lepas ada pesta kutip duit syiling di Seremban, semalam pula ada pesta kaut beras di Kilometer 394.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim di sini.
Pesta kaut beras pada pukul 9.15 pagi itu berlaku apabila beratus-ratus kilogram beras daripada sebuah treler membawa muatan beras tumpah apabila kenderaan berat itu merempuh sebuah lori membawa muatan pasir.
Akibat perlanggaran itu juga, kelindan treler membawa beras maut manakala pemandunya cedera parah.
Mangsa yang terkorban Hanafi Mohd. Daud, 19, manakala mangsa yang cedera, Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22.
Muatan pasir dalam lori itu juga tumpah. Pemandu dan kelindan lori pasir itu tidak cedera.
Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Ismail Ibrahim berkata, sebelum kejadian itu, dua buah kenderaan itu dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan untuk untuk menghantar muatan masing-masing.
Kosmo! Online - Negara

300 berhimpun kutuk kekejaman Gaddafi



Hampir 300 warga Libya mengadakan perhimpunan bagi menuntut pembaharuan di luar pekarangan Kedutaan Libya di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kira-kira 300 warga Libya mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Libya di sini, hari ini, bagi membantah keganasan pihak berkuasa terhadap rakyat negara itu.
Demonstrasi yang disertai kebanyakan pelajar itu diadakan kira-kira pukul 11 pagi bermula di pekarangan kedutaan sebelum menuju ke Jalan U-Thant.
Peserta perhimpunan turut membakar dan mengoyak gambar pemimpin veteran negara itu, Muammar Gaddafi sambil melaungkan 'Gaddafi Mesti Pergi' dan 'Gaddafi Ialah Penyembelih'.
Mereka juga membawa kain rentang mengutuk kekejaman Gaddafi dan gambar mangsa-mangsa pihak berkuasa Libya.
Selain itu, bendera Libya semasa pemerintahan Gaddafi turut dibakar manakala bendera sebelum pemerintahannya dinaikkan di hadapan kedutaan itu.
Menurut salah seorang pegawai kedutaan, Osama Ahmad, mereka berhimpun beramai-ramai untuk mengutuk tindakan ganas pihak berkuasa Libya terhadap rakyatnya selain membantah sistem pemerintahan Gaddafi.
"Kami akan berjuang bersama rakyat Libya. Walaupun dalam keadaan yang tidak menentu, duta besar akan memimpin rakyat kami yang berada di negara ini dan kami menyokong demonstrasi bantahan ini," katanya.
Sementara itu, seorang peserta demonstrasi, Ahmad Al-Harari berkata, mereka sedih dengan keadaan rakyat yang teraniaya di Libya dan mendesak supaya Gaddafi keluar dari negara tersebut.
"Sungguh menyedihkan apabila ada saudara kami yang telah terkorban disebabkan tindakan ganas pihak berkuasa di sana.
"Kami tidak dapat menghubungi sesiapa kerana segala bentuk komunikasi sudah ditutup. Hampir 43 tahun Gaddafi memerintah Libya dan tiba masanya untuk dia berundur," katanya.
Perhimpunan yang berlangsung selama dua jam itu terpaksa dihentikan polis apabila peserta merempuh masuk ke dalam kawasan pejabat kedutaan sebelum mereka diarah supaya bersurai.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kedutaan Libya di sini mengutuk segala bentuk kekejaman terhadap orang awam yang mengadakan demonstrasi di negara tersebut.
Katanya, antara kekejaman itu pembunuhan beramai-ramai, jenayah dan penghapusan penuh masyarakat Libya.
"Demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat di negara itu adalah semata-mata untuk menuntut hak dan keadilan.
"Mereka cuma mahu meminta hak yang sama seperti apa dimiliki oleh rakyat lain di bumi ini," katanya.
Pihaknya turut berharap agar kekecohan dan tragedi malang di Libya dapat dihentikan segera.
"Kami terharu dengan nasib yang menimpa rakyat Libya di sana. Oleh itu, kami menyokong penuh segala usaha yang dibuat oleh teman senegara kami.
"Semoga Allah SWT melindungi dan merahmati kesejahteraan hidup mereka semua," tambah kenyataan itu.

Libya kian meruncing




  • Semakin ramai penyokong setia rejim Muammar Gaddafi meletakkan jawatan dan juruterbang jet pejuang berpaling tadah selepas diarah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.



  • Duta Libya di Amerika Syarikat (AS), Bangladesh, India dan Indonesia mendesak Gaddafi undur dengan sebahagian daripada mereka meletak jawatan dan menyatakan mereka kini berkhidmat untuk rakyat dan bukannya kerajaan Libya.



  • Ulama terkemuka Qatar, Yusuf al-Qaradawi mengeluarkan fatwa menyatakan mana-mana askar Libya yang berpeluang menembak mati Gaddafi hendaklah berbuat demikian ‘untuk membebaskan Libya’ daripada pemimpin veteran itu.

  • Saintis kesan 50 bilion planet



    WASHINGTON 22 Feb. – Para saintis menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 50 bilion planet di dalam galaksi Bima Sakti dengan lebih kurang 500 juta daripadanya terletak di zon Goldilocks yang mempunyai iklim sesuai untuk hidupan.
    Jumlah planet itu dikenal pasti melalui pemerhatian awal menggunakan teleskop Kepler milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) selama hampir dua tahun walaupun misi tersebut dijangka mengambil masa selama tiga tahun setengah dan mencecah kos sehingga $600 juta (RM1.86 bilion).
    Ketua Sains Kepler, William Borucki berkata, kiraan oleh saintis itu dibuat berdasarkan jumlah planet yang ditemui pada tahun pertama untuk mencari satu bahagian kecil di langit, sebelum menganggarkan kewujudan planet berdasarkan bilangan bintang yang mempunyai planet.
    Kepler mengesan planet ketika ia mengelilingi laluan antara Bumi dan bintang yang diorbitnya.
    Sehingga kini, Kepler telah mengenal pasti 1,235 planet dengan 54 daripadanya berada dalam zon Goldilocks dan misi utamanya bukanlah untuk mengenal pasti planet mana mempunyai hidupan namun ia sekadar petunjuk kepada ahli astronomi mengenai planet yang berpotensi untuk hidupan.
    Sementara itu, Borucki dan rakan saintis lain mengumumkan pihaknya telah mengenal pasti 200 bintang yang mempunyai planet dalam zon boleh didiami pada Sabtu lalu semasa persidangan tahunan Sains Lanjutan Persatuan Amerika di Washington.
    “Itu adalah jumlah maksimum kerana bintang-bintang yang ditemui ini boleh mempunyai lebih daripada satu planet dan Kepler masih membuat pemerhatian terhadap planet yang jauh dari bintang, seperti Bumi,” kata Borucki.
    Saintis mengambil masa bertahun-tahun bagi mengenal pasti terdapat 100 bilion bintang di dalam Bima Sakti namun pada tahun lepas di Yale, saintis mendapati jumlah tersebut menghampiri 300 bilion bintang.
    Tambah Borucki, jumlah tersebut hanya melibatkan galaksi Bima Sakti sahaja dan terdapat 100 bilion galaksi.
    “Pertambahan jumlah bintang yang ditemui menimbulkan persoalan adakah terdapat hidupan lain di alam semesta dan jawapannya tidak diketahui,” ujar Borucki. – Agensi

    Gaddafi sedia mati syahid



    TRIPOLI 22 Feb. - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini dalam sebuah ucapan menerusi stesen televisyen rasmi berikrar untuk mati sebagai seorang syahid biarpun pasukan tentera yang telah memberontak menyatakan bahawa bahagian timur Libya tidak lagi berada di bawah penguasaannya.
    "Saya tidak akan berundur dari tanah ini dan akan mati sebagai seorang syahid.
    "Saya tetap tidak akan tunduk kepada desakan itu," kata Gaddafi dalam ucapannya.
    Sebelum ini, saksi yang berada di sepanjang sempadan Libya dan Mesir berkata, Gaddafi menggunakan kereta kebal, pesawat perang dan askar upahan dalam usaha untuk mengekang pemberontakan yang semakin bertambah buruk.
    Di timur bandar raya Tobruk pula, wartawan Reuters yang berada di sana berkata, letupan sekali-sekala boleh kedengaran di kawasan itu yang disifatkan sebagai petunjuk terbaru bahawa penguasaan Gaddafi ke atas negara pengeksport minyak dan gas itu kian lemah.
    "Kesemua kawasan di selatan negara ini kini tidak lagi berada di bawah penguasaan Gaddafi. Orang ramai dan tentera kini berganding bahu di sini," kata seorang bekas mejar tentera.
    Terdahulu, Gaddafi menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa beliau telah melarikan diri ke Venezuela.
    Gaddafi tampil ketika protes merebak ke Tripoli, apabila semakin ramai penyokong setia rejim meletakkan jawatan dan juruterbang jet pejuang berpaling tadah selepas diarah melepaskan.
    "Saya akan menemui belia di Dataran Hijau semata-mata untuk membukti kan saya berada di Tripoli dan bukan di Venezuela dan untuk menafikan laporan televisyen anjing-anjing itu," katanya sambil memegang payung dalam hujan lebat sebelum melangkah ke keretanya. - REUTERS/AFP

    Kroni kuasai kerajaan Yemen



    SANAA 22 Feb. - Seorang ahli Parlimen pembangkang Yemen berkata, Presiden Ali Abdullah Saleh akan mengalami nasib yang sama seperti Presiden Mesir dan Tunisia jika beliau tidak membersihkan kerajaannya dan mula memerangi rasuah.
    "Keadaan sekarang tidak boleh diterima sama sekali. Tentera dipenuhi oleh ahli keluarganya, sumber negara terutamanya minyak dan gas berada di tangan beliau atau anak-anak didik beliau," kata Abdulmoez Dabwan kepada Reuters dalam wawancara di sini semalam.
    Katanya, institusi tidak wujud di Yemen dan rakyat Yemen mahu pembaharuan tulen sedangkan kenyataan Presiden hanya cakap kosong.
    "Beliau belum mendapat pengajaran daripada apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia," kata Dabwan.
    Penunjuk perasaan yang mendapat inspirasi daripada penggulingan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali di Tunisia dan Presiden Hosni Mubarak di Mesir mengadakan protes di Universiti Sanaa di ibu negara dan beribu-ribu lagi berhimpun di beberapa bandar di Yemen.
    "Kita belum menyaksikan gerakan besar-besaran kerana kebanyakan penunjuk perasaan setakat ini terdiri daripada golongan muda," kata Dabwan. - Reuters

    Tuesday, February 22, 2011

    Doa yang boleh diamalkan ke atas anak-anak @ saudara untuk mengelakkan mereka dari melakukan maksiat.


    اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ، وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ

    “Ya Allah, ampunilah dosanya, bersihkan hatinya dan peliharalah kemaluannya”

    Kaedah mengamal: Nabi SAW meletakkan tangan Baginda yang mulia di dada pemuda (yang dimaksudkan dalam hadis) dan membaca doa tersebut.

    (untuk membaca dengan lebih jelas, copy dan paste di atas Microsoft word dan besarkan font nya)

    107 paus mati tepi pantai


    2011/02/22
    SEBAHAGIAN daripada 107 ikan paus yang terdampar di pantai selatan New Zealand dan 48 daripadanya terpaksa dibunuh secara suntikan bagi mengurangkan kesakitan sebelum mati.
    SEBAHAGIAN daripada 107 ikan paus yang terdampar di pantai selatan New Zealand dan 48 daripadanya terpaksa dibunuh secara suntikan bagi mengurangkan kesakitan sebelum mati.
    WELLINGTON: Sekumpulan 107 ikan paus ‘Pilot’ mati selepas terdampar di pantai selatan New Zealand termasuk 48 yang terpaksa dibunuh secara suntikan.

    Jabatan Pemuliharaan berkata, orang ramai menemui kumpulan paus yang terperangkap di pantai di kawasan pedalaman di Cavalier Creek, Pulau Steward, kawasan paling selatan New Zealand, kelmarin.
    Jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, pegawai rasmi ke lokasi dan mendapati paus itu ada yang sudah mati dan ada yang hampir mati.
    Dengan keadaan air surut, mustahil paus itu akan selamat, justeru ia dibunuh supaya ia tidak menderita lama sebelum mati.

    “Suntikan itu terpaksa dilakukan kerana ia perlu bagi membantu haiwan berkenaan tidak berada dalam kesakitan yang lama sebelum mati,” kata pegawai jabatan terbabit, Brent Beaven.

    Kejadian paus terdampar di pantai adalah biasa di New Zealand. Bulan lalu, 24 paus mati selepas terdampar di Pulau Utara.

    Pada Disember 2010, lebih 120 paus mati dalam dua kejadian berasingan di pantai berdekatan Teluk Golden di timur Pulau Utara. – AP

    Berita Harian Online

    Letusan Gunung Bulusan cetus panik





    2011/02/22

    PENDUDUK bandar Irosin di wilayah Sorsogon melihat debu   letusan Gunung Bulusan.
    PENDUDUK bandar Irosin di wilayah Sorsogon melihat debu letusan Gunung Bulusan.
    MANILA: Beratus-ratus penduduk kampung lari mencari tempat perlindungan semalam selepas gunung berapi yang hampir sebulan lamanya tidak aktif tiba-tiba meletus memuntahkan debu dan asap ke udara. 

    “Walaupun Gunung Bulusan mengeluarkan letusan yang ke-13 sejak November lalu, tiada tanda menunjukkan ada lahar keluar,” kata ketua pakar gunung berapi kerajaan, Renato Solidum.
    Kepulan asap dilihat lebih dari kira-kira dua kilometer ke udara dengan debu menuju ke bandar pertanian di wilayah Sorsogon.
    “Kira-kira 1,200 penduduk kampung melarikan diri ke penempatan sementara dan kediaman saudara mereka. 

    “Trak tentera membantu penduduk berpindah dari kawasan yang dilanda debuan terbabit, manakala pasukan kecemasan menyediakan topeng perlindungan,” kata Benito Ramos yang mengetuai agensi bencana kerajaan. 

    Tiada arahan kerajaan untuk memindahkan penduduk berhampiran gunung terbabit. Ketika ramai cuba menyelamatkan diri, penduduk memenuhi bandar Irosin untuk merakamkan gambar. 

    Debu panas di kemuncak Bulusan, satu daripada 23 gunung berapi aktif di negara itu mengenai air, dipercayai meletus selepas hujan. Bulusan terletak kira-kira 380 kilometer ke tenggara Manila. – AP 

    'Awas sungai penuh darah'





    2011/02/22


    • Foto
      PENDUDUK Libya menuntut pembaharuan berhimpun di Kota Benghazi.
    • Foto
      SAIF memberi amaran di televisyen kesan buruk jika protes anti Gaddafi berterusan.
    Anak Gaddafi beri amaran padah penunjuk perasaan terus cabar bapa

    KAHERAH: Anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tampil di televisyen bagi menegaskan bapanya akan terus berkuasa dengan sokongan tentera dan terus
    ‘berjuang sehingga lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir’ selepas protes anti pemerintah merebak ke ibu negara itu apabila pembantah memasuki pangkalan tentera dan merampas senjata api. “Libya berada di persimpangan jalan. Jika kita tidak setuju dengan pembaharuan yang ditawarkan hari ini, Libya akan melihat sungai penuh darah,” kata Saif al-Islam, semalam, mengenai protes yang sudah berterusan enam hari.

    Saif juga memberi amaran bahawa tunjuk perasan boleh mencetuskan perang saudara hingga kekayaan minyak Libya musnah.

    Ucapan itu diikuti tindakan keras pasukan keselamatan yang menembak ribuan penunjuk perasaan dan mereka yang menyertai perarakan pengebumian di timur bandar Benghazi. Kejadian itu menyebabkan 60 terbunuh pada Ahad saja, menurut doktor di sebuah hospital.

    Sejak kebangkitan itu bermula, 233 penduduk Libya terbunuh, menurut pegawai perubatan, kumpulan hak asasi manusia dan pembangkang.
    Di Kota Benghazi, penunjuk perasaan menguasai keadaan dan mengambil alih
    pejabat keselamatan utama selepas pertempuran membunuh 60 lag penduduk.

    Tindakan Libya terhadap penunjuk perasaan itu dikatakan yang paling keras 
    antara negara Arab, berbanding bantahan yang menggulingkan pemimpin Tunisia dan Mesir.

    Tetapi, Saif berkata, bapanya akan terus menang. “Kami bukan Tunisia dan Mesir. Gaddafi adalah pemimpin kami yang mengetuai peperangan di Tripoli dan kami bersamanya.

    “Pasukan keselamatan bersama beliau. Ratusan ribu akan berada di sini bersama beliau. Kami akan bertarung sehingga lelaki terakhir, wanita terakhir dan peluru terakhir. Ini adalah komplot menghancurkan Libya,” katanya dalam ucapan 40 minit.

    Saif yang dipercayai pewaris kuasa selepas Gaddafi menuduh anasir luar cuba mengkucar-kacirkan negara itu, turut menawarkan dialog bagi pembaharuan politik dan perlembagaan baru.

    Dalam ucapannya, Saif turut mengakui pihak tentera membuat kesilapan semasa tunjuk perasaan berlangsung kerana pasukan keselamatan itu tidak dilatih berdepan dengan pembantah, tetapi tambahnya jumlah mangsa yang terbunuh dibesar-besarkan walaupun hanya 84 terbunuh. – Agensi 

    Gempa kuat 6.3 magnitud landa Christchurch


    2011/02/22

    WELLINGTON: Gempa kuat 6.3 magnitud menggegarkan Christchurch di selatan New Zealand awal hari ini dengan beberapa penduduk dilaporkan cedera parah serta merosakkan bangunan di bandar raya berkenaan.

    Klip video menunjukkan bangunan yang runtuh dan rosak di pusat bandar raya berkenaan dengan batu dan bumbung roboh.
    Ratusan mangsa yang panik menjerit dan menangis di jalan raya selepas keluar menyelamatkan diri dari rumah dan bangunan.

    Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker, berkata ketika gempa beliau berada di tingkat atas bangunan pejabat bandar raya dan gegaran yang kuat itu menyebabkannya terhumban ke bilik bersebelahan.


    “Saya terus berlari ke jalan raya dan saya lihat orang ramai dalam keadaan terkejut dan panik.

    “Saya sedar di dalam bangunan kami itu beberapa orang terperangkap dan cedera. Saya juga menerima laporan ada beberapa penduduk yang mengalami cedera parah di sekitar bandar raya ini," katanya. 
    Radio New Zealand melaporkan sebuah gereja berdekatan pusat bandar raya berkenaan runtuh.

    Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa berlaku di 5 kilometer dari Bandaraya Christchurch di kedalaman 4 kilometers jam 12.51 tengah hari waktu tempatan.

    Christchurch pernah dilanda gempa paling kuat 7.1 magnitud pada 4 September tahun lalu menyebabkan kerosakan bangunan dan premis kediaman yang teruk serta mencederakan penduduk. - AFP

    Gaddafi nafi tinggalkan Libya





    2011/02/22

    TRIPOLI: Presiden Muammar Gaddafi hari ini menafikan beliau sudah meninggalkan negara itu selepas penunjuk perasaan kini menguasai beberapa bandar raya bagi mendesaknya berundur daripada pemerintahan selama empat dekad itu. 

    “Saya akan bertemu golongan remaja di Dataran Hijau di pinggir Tripoli hari ini," katanya yang muncul di kaca televisyen yang dipancarkan secara langsung dari kediamannya, awal hari ini.
    “Saya ingin membuktikan bahasa saya masih berada di Tripoli dan bukan di Venezuela dan saya mahu menafikan laporan televisyen yang seperti 'anjing' itu (laporan tidak benar)," katanya sambil memegang payung melindunginya daripada hujan sebelum memasuki keretanya.
    Hujan lebat membasahi Tropili sejak petang semalam. 

    Ia adalah kemunculan pertama Gaddafi sejak penunjuk perasaan meletus di negara itu dan laporan sebelum ini menyebut beliau sudah melarikan diri ke Venezuela. - AFP 

    Hosni Mubarak didenda kerana minum arak


    DUBAI: Seorang hakim mengenakan denda ke atas Hosni Mubarak kerana meminum arak, semalam.
    Bagaimanapun, Hosni yang dihukum itu bukanlah diktator Mesir yang digulingkan rakyatnya sendiri baru-baru ini, sebaliknya seorang lelaki Pakistan yang bekerja di Dubai.

    Hosni dituduh melanggar undang-undang minuman keras Dubai yang melarang orang awam meminumnya di luar hotel atau restoran.

    Hakim menetapkan Hosni didenda RM826 atas kesalahan itu.

    Media tempatan melaporkan, hakim tidak dapat menahan senyumnya ketika memanggil defendan untuk mendengar hukuman. - Reuters

    Ikhwan mahu Kabinet serba baru


    KAHERAH: Pertubuhan Ikhwanul Muslimin Mesir menolak cadangan rombakan kerajaan semalam, sebaliknya menggesa pihak berkuasa mengetepikan saki-baki menteri Kabinet lama dilantik Hosni Mubarak.
    Kelmarin, junta tentera menamakan beberapa tokoh yang tidak disenangi Hosni menduduki jawatan dalam kerajaan.

    Bagaimanapun, jawatan penting seperti Menteri Pertahanan, Menteri Luar, Menteri Keadilan, Menteri Dalam Negeri serta Menteri Kewangan kekal di tangan tokoh lama.

    Pada masa sama, junta tentera menyatakan, perlembagaan baru bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh enam bulan hampir siap.

    Perintah darurat akan ditamatkan sebelum pilihan raya berkenaan.

    Pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin, Essam el-Erian, berkata rakyat mahukan Kabinet yang baru sepenuhnya dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hosni.


    “Jika mereka menawarkan jawatan, kami akan tolak kerana apa yang dituntut rakyat adalah kerajaan baru yang langsung tiada kena-mengena dengan rejim terdahulu,” katanya. - Reuters

    Ruby terima hadiah mahal dari Berlusconi


    ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, menghadiahkan penari gelek bawah umur - digelar Ruby Si Pencuri Hati - pelbagai hadiah mahal dengan jumlah keseluruhan hampir RM1 juta.
    Laporan media menyatakan, Ruby - atau nama sebenarnya Karima El-Mahroug - menerima dua jam tangan Rolex dan satu daripadanya bernilai RM221,425.

    Turut dihadiahkan, satu selendang bulu bernilai RM73,805.

    Berlusconi, 74, juga menghadiahkan Ruby, 18, satu rantai berlian bernilai RM59,048 buatan pengeluar barang kemas berpangkalan di Valenza.

    Syarikat itu pernah menyediakan cincin kepada Berlusconi untuk dihadiahkan kepada 24 ahli Parlimen dan 13 senator wanita negara itu pada Krismas lalu.

    Perdana menteri itu diarah hadir di mahkamah di Milan pada 6 April ini untuk menghadapi dakwaan mengadakan hubungan seks dengan pelacur remaja.


    Dia juga dituduh menyalahgunakan kuasa bagi menekan polis membebaskan Ruby yang ditahan kerana disyaki mencuri pada Mei tahun lalu.

    Tidak cukup dengan itu, Berlusconi turut berdepan dengan tiga pertuduhan lain kerana disyaki mengelak cukai serta terbabit dalam rasuah.
    Ruby diperkenalkan kepada Berlusconi oleh seorang kawan rapatnya pada tahun lalu ketika mereka mengadakan pesta bogel ‘bunga bunga’ di vila mewah milik perdana menteri itu.

    Pesta berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran ramai wanita cantik dan pelacur.

    Pendakwa Itali berkata, Berlusconi dan Ruby bertemu 15 kali, selain berbalas-balas mesej pesanan ringkas atau panggilan telefon sebanyak 67 kali.

    Ruby menafikan pernah mengadakan hubungan seks dengan Berlusconi.

    Ahli politik itu pula tetap mendakwa tidak pernah memberi serangan upah kepada penarik gelek berkenaan bagi melayan nafsunya. - DM

    Perisikan Libya ganggu al-Jazeera


    DOHA: Stesen televisyen al-Jazeera mendakwa agensi perkhidmatan perisikan Libya sengaja mengasak siarannya di negara itu bagi menghalang laporan demonstrasi antikerajaan.
    Stesen berpangkalan di Qatar itu berkata, mereka berjaya mengesan punca gangguan itu yang bermula sejak 2 Februari lalu dan berlaku ketika mereka menyiarkan laporan mengenai Libya.

    “Gangguan berpunca di selatan Tripoli yang menempatkan bangunan pentadbiran teknikal perisikan Libya,” kata kenyataan dikeluarkan semalam. - AFP

    Stesen penyiaran, ibu pejabat parti diserbu


    KAHERAH: Penunjuk perasaan menyelongkar pejabat penyiaran milik kerajaan di Tripoli, Libya, semalam selain membakar pejabat cawangan Jawatankuasa Rakyat yang menjadi tulang belakang kerajaan negara itu.
    Menurut saksi, ibu pejabat stesen televisyen al-Jamahiriya dan stesen radio al-Shababia diceroboh orang ramai.

    Siaran kedua-dua stesen itu terganggu sepanjang Ahad sebelum pulih pagi semalam.

    Saksi lain berkata, penunjuk perasaan membakar bangunan awam di ibu negara Libya itu.

    Antara yang menjadi sasaran mereka adalah balai polis tempatan.

    Pusat Persidangan Rakyat yang terletak di kawasan penempatan Hay al-Andalous - lokasi yang sering menjadi pusat perhimpunan menyokong kerajaan dan mesyuarat rasmi - turut dibakar penunjuk perasaan. - AFP

    Libya akan mandi darah: Saif


    ANCAMAN KEGANASAN...Saif al-Islam ketika berucap melalui televisyen Libya di Tripoli, semalam.
    ANCAMAN KEGANASAN...Saif al-Islam ketika berucap melalui televisyen Libya di Tripoli, semalam.

    TRIPOLI: Anak pemimpin Libya, Saif al-Islam Gaddafi, memberi amaran negara itu berdepan dengan perang saudara dan ‘sungai darah’ ketika keganasan pihak berkuasa masih gagal mengekang kebangkitan rakyat, semalam.
    Ketika Saif al-Islam menjanjikan pelaksanaan reformasi di Libya dan menuduh kebangkitan rakyat didalangi kuasa asing, bunyi tembakan berterusan di jalan raya Tripoli.

    Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), menyatakan jumlah korban protes antikerajaan meningkat kepada 233 orang.

    Kata Saif al-Islam, 38, Libya kini berada di persimpangan.

    “Jika kita tidak bersetuju mengenai reformasi hari ini, sungai darah akan mengalir di seluruh Libya,” katanya melalui ucapan disiarkan stesen televisyen.

    Tindakan itu dilihat usaha terdesak rejim Gaddafi meredakan kemarahan rakyat yang bosan dengan pentadbirannya sejak 41 tahun lalu.


    Kata Saif al-Islam, kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan berjuang ‘sehingga peluru yang terakhir.’ “Kita akan menghancurkan elemen penghasut. Jika semua orang bersenjata, perang saudara akan tercetus dan kita saling berbunuhan.

    “Libya bukan Mesir atau Tunisia,” katanya.
    Tanpa diberikan peranan dalam politik Libya, dia dianggap mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran negara.

    Sementara itu, Kementerian Luar Korea Selatan berkata, kira-kira 500 rakyat Libya menyerbu dan menjarah sebuah pusat pembinaan negara itu berhampiran Tripoli, menyebabkan 15 pekerja Bangladesh cedera.

    Turut menjadi mangsa, tiga pekerja warga Korea Selatan.

    Di London pula, syarikat petroleum gergasi Britain, BP, berkata pihaknya mengadakan persiapan mengeluarkan sesetengah pekerjanya dari Libya.

    Negara kesatuan Eropah dilaporkan bekerjasama menyelaraskan kemungkinan membawa rakyat masing-masing meninggalkan Libya, terutama yang ada di Benghazi. - AFP

    Ayam betina hasilkan telur gergasi




    SEEKOR ayam betina mengeluarkan sebiji telur ayam gergasi (kanan) di Hampshire, Britain pada Khamis lalu.


    WINCHESTER, Britain - Seekor ayam betina menelurkan sebiji telur gergasi yang besarnya lebih lapan kali ganda daripada normal, lapor sebuah akhbar semalam.
    Telur itu seberat 161.59 gram dan sepanjang 8.89 sentimeter di Hampshire.
    Pemilik ayam itu, Jeremy Paget, 50, memberitahu: "Isteri saya membawa telur itu kepada saya dan meminta saya menutup mata. Dia menyatakan akan membawa hadiah untuk saya."
    Setelah melihat telur itu pada Khamis lalu, kedua-dua mereka berasa amat terkejut.
    Menurut Paget, ayam peliharaan mereka itu tidak menunjukkan sebarang tingkah laku ganjil dan kelihatan bimbang selepas ia bertelurkan telur gergasi itu.
    Pada kebiasaannya telur ayam hanya sepanjang 5.84 sentimeter. - Agensi
    Kosmo! Online - Dunia