Pages

Wednesday, February 23, 2011

300 berhimpun kutuk kekejaman Gaddafi



Hampir 300 warga Libya mengadakan perhimpunan bagi menuntut pembaharuan di luar pekarangan Kedutaan Libya di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kira-kira 300 warga Libya mengadakan demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Libya di sini, hari ini, bagi membantah keganasan pihak berkuasa terhadap rakyat negara itu.
Demonstrasi yang disertai kebanyakan pelajar itu diadakan kira-kira pukul 11 pagi bermula di pekarangan kedutaan sebelum menuju ke Jalan U-Thant.
Peserta perhimpunan turut membakar dan mengoyak gambar pemimpin veteran negara itu, Muammar Gaddafi sambil melaungkan 'Gaddafi Mesti Pergi' dan 'Gaddafi Ialah Penyembelih'.
Mereka juga membawa kain rentang mengutuk kekejaman Gaddafi dan gambar mangsa-mangsa pihak berkuasa Libya.
Selain itu, bendera Libya semasa pemerintahan Gaddafi turut dibakar manakala bendera sebelum pemerintahannya dinaikkan di hadapan kedutaan itu.
Menurut salah seorang pegawai kedutaan, Osama Ahmad, mereka berhimpun beramai-ramai untuk mengutuk tindakan ganas pihak berkuasa Libya terhadap rakyatnya selain membantah sistem pemerintahan Gaddafi.
"Kami akan berjuang bersama rakyat Libya. Walaupun dalam keadaan yang tidak menentu, duta besar akan memimpin rakyat kami yang berada di negara ini dan kami menyokong demonstrasi bantahan ini," katanya.
Sementara itu, seorang peserta demonstrasi, Ahmad Al-Harari berkata, mereka sedih dengan keadaan rakyat yang teraniaya di Libya dan mendesak supaya Gaddafi keluar dari negara tersebut.
"Sungguh menyedihkan apabila ada saudara kami yang telah terkorban disebabkan tindakan ganas pihak berkuasa di sana.
"Kami tidak dapat menghubungi sesiapa kerana segala bentuk komunikasi sudah ditutup. Hampir 43 tahun Gaddafi memerintah Libya dan tiba masanya untuk dia berundur," katanya.
Perhimpunan yang berlangsung selama dua jam itu terpaksa dihentikan polis apabila peserta merempuh masuk ke dalam kawasan pejabat kedutaan sebelum mereka diarah supaya bersurai.
Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kedutaan Libya di sini mengutuk segala bentuk kekejaman terhadap orang awam yang mengadakan demonstrasi di negara tersebut.
Katanya, antara kekejaman itu pembunuhan beramai-ramai, jenayah dan penghapusan penuh masyarakat Libya.
"Demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat di negara itu adalah semata-mata untuk menuntut hak dan keadilan.
"Mereka cuma mahu meminta hak yang sama seperti apa dimiliki oleh rakyat lain di bumi ini," katanya.
Pihaknya turut berharap agar kekecohan dan tragedi malang di Libya dapat dihentikan segera.
"Kami terharu dengan nasib yang menimpa rakyat Libya di sana. Oleh itu, kami menyokong penuh segala usaha yang dibuat oleh teman senegara kami.
"Semoga Allah SWT melindungi dan merahmati kesejahteraan hidup mereka semua," tambah kenyataan itu.

No comments: