Pages

Friday, September 10, 2010

Netanyahu sedar peluang tipis untuk capai perjanjian damai



BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu rakyatnya tiada jaminan bahawa rundingan damai antara Israel dan Palestin akan berjaya. 

Beliau bagaimanapun 'berjanji' akan meneruskan usaha untuk mencapai perjanjian damai pada hujung tahun ini. 

"Tahun ini, selepas banyak usaha dijalankan, akhirnya rundingan secara langsung dengan Palestin sudah bermula dan inilah langkah paling penting dalam percubaan kita untuk mencapai persetujuan bersama," katanya dalam rakaman televisyen. 

Netanyahu juga menegaskan Israel kononnya akan berunding secara 'ikhlas tetapi tidak secara naif' untuk mencapai persetujuan dengan Palestin. 

Kenyataan Netanyahu itu dikeluarkan sehari selepas beliau menyuarakan kebimbangan bahawa Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan menarik diri daripada rundingan damai kerana enggan memenuhi permintaan Israel. 

Tel Aviv dilihat cuba mengalihkan perhatian dunia daripada isu keganasan rejim itu ke atas konvoi kemanusiaan ke Gaza yang membunuh sembilan aktivis, 31 Mei lalu, dengan bersetuju untuk menyambung semula proses damai dengan Palestin. 

Rundingan damai itu juga dilihat beberapa pemerhati politik sebagai salah satu 'pertunjukan semata-mata' untuk menyelamatkan imej Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sempena pilihan raya Kongres AS tidak lama lagi.

Gereja kecil Florida sedia batal bakar al-Quran


2010/09/10




PADERI Dove World Outreach Center, Terry Jones menjawab soalan mengenai  rancangan meneruskan membakar al-Quran  esok.

PADERI Dove World Outreach Center, Terry Jones menjawab soalan mengenai rancangan meneruskan membakar al-Quran esok.

Paderi akan akur jika Obama meminta tak terus rancangan
 


GAINSEVILLE: Seorang paderi Florida yang mengundang kecaman dunia kerana merancang membakar beratus al-Quran esok, berkata beliau mungkin membatalkan hasratnya itu jika Presiden Amerika Syarikat Barack Obama meminta beliau untuk tidak melakukannya.
Terry Jones, Ketua Dove World Outreach Center, memberitahu akhbar USA Today setakat ini beliau belum dihubungi Rumah Putih berhubung rancangannya membakar kita suci Islam itu sempena menandakan ulang tahun kesembilan serangan pengganas 11 September.
“Jika Obama meminta kami membatalkannya sudah semesti kami akan menimbangkannya. Saya tidak akan dapat mengabaikan panggilan dari Rumah Putih,” katanya.

Obama semalam memberi amaran tindakan membakar al-Quran akan hanya menguntungkan kumpulan pengganas Al-Qaeda yang didakwa melancarkan serangan terhadap AS pada 2001 itu yang membunuh hampir 3,000 orang.

“Anda tahu, tindakan berkenaan akan mencetuskan keganasan serius di tempat seperti Pakistan atau Afghanistan,” Obama memberita rangkaian televisyen ABC.

Walaupun pelbagai kritikan diterima daripada pegawai tertinggi Amerika Syarikat, tentera, Vatican dan pemimpin agama lain, gereja terbabit sebelum ini menyatakan ia tetap enggan menangguhkan rancangan membakar al-Quran itu.
Jones memberitahu satu sidang media kelmarin gereja beliau menerima banyak mesej yang menyokong tindakan itu.

Jones menjelaskan beliau sudah berdoa untuk mendapatkan panduan sama ada meneruskan acara itu selepas amaran dari komander Amerika Syarikat di Afghanistan, Jeneral David Petraeus bahawa Amerika Syarikat dan tentera sekutu akan menjadi sasaran balas dendam.

“Kami faham mengenai kebimbangan jeneral terbabit dan kami masih lagi mempertimbangkan mengenainya,” kata Jones tetapi berkata beliau dihubungi seorang askar pasukan khas yang memberitahu beliau bahawa ‘mereka di medan perang 100 peratus di belakang kami.”

Paderi yang pernah menerima ancaman bunuh itu berkata acara selama tiga jam esok itu bertujuan menghantar mesej kepada kumpulan radikal Islam bahawa mereka perlu mematuhi perlembagaan Amerika Syarikat.

“Pembakaran al-Quran ini adalah untuk menarik perhatian bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Dan ia adalah masa yang sesuai untuk kami dalam satu cara baru untuk bangkit dan menentang keganasan,” katanya.

Rancangan membakar sejumlah 200 al-Quran yang kebanyakan didermakan kepada gereja dibuat menyusuli satu perdebatan yang membangkitkan kemarahan mengenai rancangan membina sebuah pusat kebudayaan Islam di New York berhampiran dengan tapak bekas Pusat Dagangan Dunia.

Ramai bimbang jika al-Quran dibakar ia akan membangkitkan lagi sentimen antiIslam. – AFP

Rakaman penumpang dalam kapal dilanda ombak




SEORANG lelaki (dalam bulatan) terbaring semasa ombak membadai kapal Pacific Sun, baru-baru ini.


WELLINGTON - Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suasana dalam sebuah kapal pesiaran semasa ribut melanda di luar pantai New Zealand, lapor sebuah akhbar semalam.
Semasa ribut itu melanda, sejumlah kakitangan dan tetamu kapal Pacific Sun 'berterbangan' dan mereka cuba untuk memegang sebarang benda yang boleh mengelak diri daripada terjatuh.
Beberapa kakitangan penyambut tetamu memegang meja dan komputer semasa ombak besar membadai kapal tersebut baru-baru ini.
Sebahagian meja dan kerusi bertaburan selepas kapal itu dibadai oleh ombak besar.
Terdapat sejumlah orang yang cedera kerana terkena meja dan kerusi yang menggelongsor.
Ekoran kejadian itu, pihak pengendali kapal tersebut menawarkan diskaun 25 peratus kepada penumpang yang mahu belayar pada masa depan.
Rakaman dalam kapal tersebut semasa ombak itu melanda juga boleh dilihat di laman YouTube. - Agensi

Dapat ikan kap gergasi




RAPHAEL BIAGINI memegang ikan kap koi gergasi berwarna keemasan di sebuah tasik di selatan Perancis baru-baru ini.


PARIS - Seorang pemancing, Raphael Biagini berjaya menangkap seekor ikan kap koi gergasi berwarna keemasan seberat 13.60 kilogram di sebuah tasik di selatan Perancis, lapor sebuah akhbar semalam.
Ikan yang seberat budak perempuan berumur tiga tahun itu dianggap antara yang paling besar pernah ditangkap pemancing.
Biagini bertarung selama sepuluh minit dengan ikan itu sebelum ia dapat ditarik keluar dari tasik berkenaan baru-baru ini.
Detik-detik yang mengembirakan buat pemancing itu berlaku selepas beberapa rakan memberitahunya bahawa mereka telah menghabiskan masa selama enam tahun sebelum ini untuk cuba menangkap ikan tersebut.
"Ikan itu merupakan haiwan yang kuat melawan tetapi ia gagal untuk menang (pertarungan tersebut)," kata Biagini.
Selepas bergambar dengan ikan itu, Biagini melepaskannya semula ke tasik berkenaan. - Agensi

Pencabar lelaki terpendek dunia melawat New York



GAMBAR menunjukkan Nino Hernandez di rumahnya di Bogota, Colombia pada Selasa lalu.


NEW YORK - Seorang remaja Nepal, Khagendra Thapa Magar setinggi 56 sentimeter (sm) yang bakal diisytiharkan sebagai manusia paling pendek di dunia apabila umurnya mencecah 18 tahun pada bulan depan, telah melawat bandar raya New York kelmarin.
Dia melawat bandar raya itu buat pertama kali ketika mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh program pertunjukan pelik, Ripley's Believe It or Not.
Dengan memakai sehelai baju berwarna putih dan jaket saiz anak patung, gambarnya dirakamkan oleh beberapa jurugambar di Times Square di sini.
Sebelum ini Ripley's Believe It or Not mengisytiharkan Magar yang seberat lima kilogram sebagai lelaki paling pendek di dunia.
Namun, The Guinness Book of Records pada Isnin lalu mengisytiharkan Nino Hernandez dari Colombia yang setinggi 70sm dan berusia 24 tahun sebagai manusia terpendek di dunia.
Alasan pemilihan Nino itu adalah kerana The Guinness Book of Records tidak mengiktiraf Magar kerana dia dianggap masih belum cukup umur disebabkan usianya 17 tahun.
Bagaimanapun, Magar akan berumur 18 tahun pada tahun depan sekali gus akan merempas gelaran manusia terpendek daripada Nino secara rasmi.
Seorang jurubahasa Magar yang mengikutinya melawat Amerika Syarikat (AS), Min Bahadur Rana berkata: "Dia (Magar) amat gembira. Dia ketawa berulang kali. Dia mahukan seorang kekasih yang besar dan bukannya yang kecil," kata Rana. Menurut Rana, Magar mahu menjadi seorang doktor.
Magar menghidap sejenis penyakit tumbesaran terbantut yang menyebabkan tubuhnya tidak membesar seperti orang dewasa lain. - AFP

Majoriti negara Islam raya hari ini



Umat Islam China mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Besar Dongguan di Xining, wilayah Qinghai semalam. – Reuters


RIYADH 9 Sept. – Arab Saudi, Mesir dan Lebanon bakal merayakan Aidilfitri esok, yang menandakan selesainya umat Islam menjalani ibadah puasa selama sebulan.
Menurut agensi berita rasmi SPA, majlis tertinggi Arab Saudi menitahkan bahawa Khamis merupakan hari terakhir berpuasa sebelum menyambut Aidilfitri pada Jumaat.
Keputusan tersebut bergantung kepada penglihatan bulan dan oleh sebab itu, hari raya disambut pada hari yang berbeza-beza di seluruh dunia.
Kebanyakan negara Teluk itu berpandukan kepada Arab Saudi, yang merupakan tuan rumah bagi dua kota suci iaitu Mekah dan Madinah, untuk menentukan tarikh bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sambutan hari raya yang juga jatuh pada hari Jumaat, hari suci bagi umat Islam, dianggap penuh dengan keberkatan.
Sebuah badan yang mengeluarkan fatwa di Mesir, Darul-Ifta turut mengumumkan bahawa Khamis mungkin menjadi hari terakhir rakyat Mesir berpuasa.
Dar al-Fatwa, yang bertindak sebagai kuasa tertinggi Sunnah di Lebanon juga berkata, Aidilfitri akan disambut di Lebanon pada hari Jumaat.
Hari Raya Aidilfitri bertujuan meraikan penyucian yang dicapai setelah berpuasa selama sebulan, satu daripada lima tuntutan rukun Islam dan diraikan dengan meriah selama beberapa hari.
Bandar raya di Arab Saudi merancang mengadakan pertunjukan bunga api dan persembahan untuk orang ramai.
Beberapa negara seperti Albania, Bosnia dan China yang penduduk Islam adalah minoriti, menyambut Aidilfitri semalam. – AFP

Mek Wook gembira dapat beraya bersama suami



WOOK Kundur setia menanti kepulangan suaminya yang sedang menjalani rawatan pemulihan penagihan dadah ketika ditemui di Kampung Tok Randok, Hulu Terengganu, semalam.


HULU TERENGGANU 9 Sept. - Ramai yang bertanyakan mengapa Wook Kundur, 108, masih sanggup menerima Mohd. Nor Musa, 38, yang sudah dua kali ditahan kerana penagihan dadah sebagai suami dengan penuh rasa kasih sayang.
Hubungannya dengan lelaki muda itu bukan mudah untuk dipisahkan oleh Wook yang telah 22 kali berkahwin sebelum ini sepanjang usianya.
Baginya, dia mengimpikan inilah perkahwinan terakhir dalam hidupnya yang sudah menjangkau begitu lama.
"Tok memang marah sangat dengan Nor sebab sebelum ini dia dah janji dan insaf tak mahu terlibat lagi dengan dadah tapi dia terpengaruh juga dengan rakan-rakannya.
"Tok sedih tapi kali ini tok nak ajar Nor. Kalau dia kembali sekali lagi menagih tok tak mahu jamin dah...biarlah ini kali terakhir.
"Tok mahu dia sedar dan fikir sendiri masa dia tinggal di pusat pemulihan itu nanti betapa sayangnya tok pada dia," katanya ketika ditemui di rumah adiknya di Kampung Tok Randok di sini semalam.
Namun seburuk mana tanggapan orang terhadap suaminya, Wook percaya, tiada siapa yang lebih menyayangi dirinya berbanding Mohd Noor.
Baginya Mohd Nor membuatkan dirinya begitu dihargai dalam usia yang sudah begitu lanjut ketika mungkin tiada siapa lagi yang akan ambil peduli, apatah lagi untuk mengisi kesepiannya terutama pada hari raya.
Menurut Wook, dia amat gembira pada tahun ini kerana dapat beraya bersama suami yang sekali lagi berada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut dan akan diberi pelepasan selama dua minggu.
Katanya, dia sememangnya tidak bersemangat membuat persiapan raya memandangkan suaminya berada di pusat pemulihan dan menjangkakan dia terpaksa menyambut Syawal bersendirian lagi tahun ini.
"Memang tok ingat Nor tak dapat beraya bersama di rumah kami di Kampung Tok Bat, Kuala Berang namun selepas dimaklumkan dia akan diberi pelepasan, tok berasa gembira walaupun sedih apabila dia terlibat dengan penagihan dadah sekali lagi baru-baru ini.
"Tapi apa yang penting, tahun ini tok tak sunyi lagi kerana Nor akan menemani tok beraya...baru rasa semangat nak pakai baju raya yang dibeli," katanya.
Mohd. Nor ditahan pada 9 Ogos lalu buat kali kedua tidak lama selepas sebulan dibebaskan kerana kembali terlibat dalam penagihan dadah.

Tengku Faris Sultan Kelantan?





KOTA BHARU 9 Sept. – Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.
Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal dilangsungkan di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.
Terdahulu, Utusan Malaysia telah dimaklumkan satu program khas akan diadakan pada hari tersebut di Istana Balai Besar dan meminta wartawan serta jurugambar memakai pakaian kebangsaan berwarna hitam mengikut protokol rasmi.
Bagaimanapun pegawai terbabit tidak mendedahkan secara terperinci mengenai program itu dan maklumat lengkap akan hanya disampaikan kepada media pada hari berkenaan.
Sementara itu sumber lain memberitahu, istiadat pemasyhuran tersebut akan dilangsungkan selepas mesyuarat penuh kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada sebelah pagi.
“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga diminta hadir pada istiadat tersebut dengan berpakaian lengkap mengikut istiadat istana.
“Pihak polis juga diarah supaya meningkatkan kawalan keselamatan pada hari berkenaan malah cuti anggota polis sempena Hari Raya Aidilfitri di beberapa unit tertentu turut ditarik balik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Spekulasi mengenai pertabalan Sultan Kelantan yang baru bertiup kencang sejak seminggu lalu dan beberapa petunjuk seperti yang dinyatakan sebelum ini seolah-olah mengesahkannya.
Sebelum ini, Institusi Diraja Kelantan dilanda krisis yang berpanjangan sejak Tuanku Ismail Petra gering dan mendapatkan rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 14 Mei 2009.
Ekoran itu, Tengku Muhammad Faris yang juga anakanda sulung baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja sebelum baginda berangkat ke Hospital Mount Elizabeth.
Sementara itu, seorang ADUN yang enggan identitinya didedahkan mengesahkan beliau telah menerima jemputan ke Istana Balai Besar dengan pakaian istiadat tetapi beliau tidak dimaklumkan mengenai majlis tersebut.
“Ya saya menerima jemputan untuk ke Istana Balai Besar pada hari raya keempat tetapi saya tidak diberitahu majlis apa. Kami cuma diarahkan supaya memakai baju Melayu hitam mengikut istiadat rasmi diraja,” katanya.

TERSELAMAT DARI HUKUMAN SETELAH BERNIAT MENGADAKAN JAMUAN MAULID NABI

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa cintakan aku nescaya ia akan berada bersamaku di dalam syurga."
Pada zaman Khalifah Abdul Malik bin Marwan ada seorang pemuda di negeri Syam yang suka bermain dengan menunggang kuda. Pada suatu hari, sedang ia menunggang kudanya dengan laju melalui hadapan pintu Gedung Khalifah tiba-tiba ia terlanggar salah seorang anak Khalifah yang kebetulan ada di situ, lalu anak itu mati. Berita itu telah sampai kepada Khalifah, dengan segera Khalifah memerintahkan agar pemuda itu menghadapnya. Apabila pemuda itu telah hampir kepada Khalifah, berniatlah ia dalam hatinya (bernazar) bahawa sekiranya Allah melepaskan dia daripada hukuman, dia akan mengadakan jamuan yang besar dan ia akan meminta dibacakan Maulid Nabi SAW (Maulid – iaitu kelahiran) di dalam majlis jamuan itu.
Apabila pemuda itu berada di hadapan Khalifah dan Khalifah pun memandang kepadanya, tiba-tiba baginda tertawa. Padahal baru sebentar tadi baginda telah berasa terlalu murka. Khalifah merasa hairan mengapa ia boleh jadi begitu, lalu baginda bertanya kepada pemuda itu, “Adakah engkau pandai ilmu sihir?”
Jawab pemuda itu, “Demi Allah, tidak sekali-kali wahai Amirul Mukminin.”
Berkata Khalifah: “Baiklah, aku ampunkan engkau. Tetapi katakanlah kepada aku apakah rahsia engkau?”
Pemuda itu pun berkata, “Aku telah berniat di dalam hatiku, sekiranya Allah melepaskan aku daripada angkra yang sangat berat ini, aku akan mengadakan satu jamuan Maulid Nabi SAW.”
Baginda berkata, “Tadi aku sudah ampunkan engkau dan sekarang ambillah pula seribu dinar untuk perbelanjaan Maulid Nabi SAW itu dan engkau lepaslah daripada sebarang balasan kerana membunuh anakku itu.”

Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a berkata: "Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga."
Telah selamatlah pemuda itu daripada balasan kerana membunuh dan telah menerima pula seribu dinar. Ini semuanya adalah berkat niatnya untuk mengadakan Maulid Nabi SAW. Berbagai pengajaran boleh kita ambil dari cerita ini. Jelaslah kepada kita bahawa pembalasan Allah terhadap kebaikan begitu cepat. Terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan sudah Allah nilai. Dan seorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan ia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah. Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis kelahiran Nabi SAW. Baru berniat sahaja hendak mengadakan Maulid Nabi, sudah dimuliakan. Dan sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik adalah merupakan doa dan dikira amal soleh.
Lihatlah akhlak seorang pemimpin yang adil dan bijak, mudah memaafkan kesalahan orang. Malah ia pula sanggup memberi hadiah kepada orang yang bersalah itu kerana terlalu suka untuk turut mengadakan majlis Maulid Nabi SAW. Begitulah para sahabat Rasul dan orang-orang soleh sangat memuliakan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membesarkan hari kelahiranku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah.”
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga.”
Sayidina Umar r.a pula berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW maka sesungguhnya ia menghidupkan agama Islam.”
Berkata Usman r.a pula: “Barangsiapa mengeluarkan satu dirham untuk membaca Maulid Rasulullah SAW seolah-olah ia mati syahid di dalam peperangan Badar dan Hunain.”
Sayidina Ali pula berkata: “Barangsiapa membesarkan Maulid Nabi SAW ia tidak akan keluar daripada dunia melainkan keadaannya di dalam iman.”
Seorang waliyullah, Hassan Al-Basri telah berkata: “Aku ingin kalaulah aku mempunyai emas sebanyak gunung Uhud nescaya aku akan membelanjakannya untuk membaca Maulid Rasulullah SAW.”

As Sirri As-Saqati berkata: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi SAW sesungguhnya ia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana ia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah SAW."
As Sirri As-Saqati berkata: “Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulid Nabi SAW sesungguhnya ia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana ia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah SAW.”
Rasulullah SAW pula bersabda: “Barangsiapa cintakan aku nescaya ia akan berada bersamaku di dalam syurga.”
Keberkatan mengadakan majlis Maulid itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya. Jalaludin As Suyuti r.h.m berkata: “Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi SAW nescaya Allah SWT akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila ia mati, Allah SWT akan memudahkan ia menjawab akan soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar kerajaan-Nya.”
Beliau berkata lagi, “Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi SAW melainkan malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka dan malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril dan Mikail, Israfil, Quryail, Ainail mendoakan kebaikan bagi yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis bacaan Maulid Nabi SAW itu.”

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang membesarkan hari kelahiranku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah."
Semoga kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang suka berbuat kebajikan dan memuliakan Rasulullah SAW sekurang-kurangnya dengan menghadiri majlis Maulid Nabi SAW serta memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi SAW. Mengingati kelahiran Nabi SAW dan berselawat ke atas Baginda bukan sahaja memberi banyak kelebihan pada umat Baginda tetapi juga senjata menghadapi puak Wahabi dan Yahudi yang sama-sama bekerja untuk menjauhkan umat Baginda dari mengingati Rasulullah melalui Maulid, berselawat, berzanji dan seumpamanya (Video konspirasi Yahudi dan Wahabi boleh ditonton di http://rising-sun.blip.tv/file/3760130/)
Kalau kita mahu menghadapi dua puak yang sedang bermaharaja lela sekarang, inilah kekuatannya dengan banyak berhubung dengan Rasulullah dengan berbagai cara termasuk melalui Maulid, berselawat, selalu menyebut-nyebut tentang Rasulullah, bercerita tentang kehidupan, sejarah dan perjuangan Baginda dan tidak dilupakan mendendangkan nasyid rindu, memuji dan mengingati Rasulullah hingga hati kita benar-benar terasa rindu dan hampir dengan Rasulullah. Semoga kita dapat bersama Rasulullah sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam Hadis Baginda: “Barangsiapa cintakan aku nescaya ia akan berada bersamaku di dalam syurga.”

SEPOTONG ROTI PENEBUS DOSA

Nabi SAW telah bersabda : " Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila matahari terbit. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Dan engkau menolong sesaorang menaiki tunggangannya atau pun engkau menolong mengangkat baginya barang-barang ke atas tunggangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah. Dan pada tiap-tiap langkah menuju ke tempat sembahyang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari jalan laluan juga menjadi sedekah. " Diriwayatkan oleh Abu Hurairah


Abu Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan, bahwa ketika menjelang wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: “Wahai anakku, ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sepotong roti.”


Dahulu kala di sebuah tempat ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya, kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga dia pun tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelimang di dalam dosa selama tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan suami-isteri. Setelah ia sedar, maka ia lalu bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan mengerjakan solat dan bersujud.
Akhirnya dalam pengembaraannya itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu. Rupanya berhampiran kedai tersebut hidup seorang Pendeta yang setiap malamnya selalu mengirimkan beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok itu, masing-masingnya mendapat sepotong roti.
Pada waktu yang lain, datang pula orang lain yang membahagi-bahagikan roti kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu juga dengan laki-laki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.

SABDA RASULULLAH SAW: Berikanlah sedekah walaupun dengan sebiji tamar ataupun sebuku roti, atau sebuah senyuman yang manis.
Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti itu ia berkata: “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku.”
Orang yang membahagikan roti itu menjawab: “Kamu dapat melihat sendiri, roti yang aku bahagikan semuanya telah habis, dan aku tidak membahagikan kepada mereka lebih dari sepotong roti.”
Mendengar ungkapan dari orang yang membahagikan roti tersebut, maka laki-laki yang sedang bertaubat itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.
Di hadapan Allah, maka ditimbanglah amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut, amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam.
Akan tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu ditimbang dengan sepotong roti yang pernah diberikannya kepada fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sepotong roti tersebut lebih berat timbangannya dibanding dengan perbuatan dosanya selama tujuh malam itu.
Kepada anaknya Abu Musa berkata: “Wahai anakku, ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sepotong roti itu!”

Kisah Imam Suyuti



Nama sebenarnya: Abdul Rahman bin Abu Bakr As-Suyuti
Imam As-Suyuti  atau disebut Imam Sayuti terkenal kerana alimnya dalam ilmu Hadis sehingga beliau digelar ‘Syeikhul Hadis’. Di samping itu beliau juga terkenal sebagai seorang yang diberi oleh Allah banyak Karamah.
Kelebihan Imam Suyuti dalam ilmu Hadis menyebabkan beliau sering difitnah oleh orang-orang yang menaruh hasad terhadapnya.
Di Mesir, beliau pernah memberi fatwa yang tidak disenangi oleh beberapa orang yang merasa bersalah akibat fatwanya itu. Mereka menghasut supaya beliau disakiti. Seorang lelaki telah memukulnya dan melemparkan beliau ke dalam sebuah kolam bersama pakaiannya.
Imam Suyuti kemudian meninggalkan Mesir dan enggan datang lagi ke negeri itu, sementara orang yang memukulnya hidup melarat dan merasa lapar sepanjang waktu. Dia sentiasa berhutang dengan orang lain untuk membeli makanan, tetapi tidak berdaya membayar hutangnya. Setiap hari orang datang mengetuk pintunya menagih hutang, namun dia masih berhutang dengan orang lain.
Ada sekumpulan orang hendak menguji Karamah Imam Suyuti, lalu mereka meminta beliau menyatakan (menerusi kasyafnya) apa yang akan terjadi pada seorang penguasa daerah yang terkenal zalim terhadap rakyat di daerah itu.
Imam Suyuti berkata, penguasa yang zalim itu pada sekian hari akan terbunuh dan akan diganti dengan orang yang namanya fulan bin fulan.
Denagn niat buruk, mereka menyampaikan ramalan Imam Suyuti itu kepada penguasa yang zalim itu hingga penguasa itu memerintahkan orang-orangnya mencari Imam Suyuti untuk dihukum bunuh.
Tetapi Imam Suyuti berjaya meluluskan dirinya dan tidak dapat dikesan selama 40 hari hingga penguasa yang zalim itu sendiri terbunuh dan diganti dengan penguasa yang lain.
Syeikh Najmul Ghazi meriwayatkan dari seorang khadam Imam Suyuti yang bernama Muhammad bin Ali Al Hibak yang bercerita bahawa Imam Suyuti pernah berkata kepadanya : ‘Aku akan bawa engkau ke Masjid Al Haram untuk bersembahyang Asar, dengan syarat engkau tidak memberitahu sesiapa tentang hal ini sepanjang hayatku.’
Khadam itu bersetuju mematuhi syarat tuannya itu. Maka Imam Suyuti pun memegang tangannya dan menyuruh dia memejamkan matanya. Kemudian dia ditarik oleh Imam Suyuti berjalan sejauh 27 langkah. Kemudian beliau disuruh membuka matanya.
Kata khadam itu : ‘Masa aku membuka mata, aku lihat kami sedang berada di Ma’la dekat kuburan Siti Khadijah. Kami menziarahi kuburnya dan kubur Imam Fudhail bin Iyadh dan Sufyan bin Uyainah. Kemudian kami masuk ke Masjid Al Haram dan tawaf serta minum air Zam-zam. Bila sampai waktu Asar kami pun sembahyang Asar berjama’ah.
Kemudian Imam Suyuti berkata : ‘Perjalanan kita dari Mesir ke Makkah ini tidak menghairankan. Lebih hairan, ada seorang Mesir yang duduk hampir dengan kita tapi tidak mengenal kita’.
Imam Suyuti berkata : ‘Sekarang tugas kita di sini telah selesai. Jika kamu mahu tinggal di sini saya izinkan.’ Tetapi khadamnya lebih suka untuk pulang. Lalu Imam Suyuti memegang tangannya dan membawa dia berjalan tujuh langkah sambil memejamkan matanya.
Bila dia membuka matanya, dilihatnya mereka sedang berada di daerah Juyusyi, di kota Khahirah. Dia mengikut Imam Suyuti ke Masjid Ibnu Tulun dengan menunggang keldainya.
Salah seorang murid Imam Suyuti bernama Syeikh Abdul Qadir As-Syadhili meriwayatkan bahawa Imam Suyuti pernah berkata : ‘Aku pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga (bukan dalam mimpi). Aku dipanggilnya : ‘Wahai Syeikhul Hadis!’ Dan aku pernah bertanya : ‘Ya Rasulullah s.a.w. apakah aku termasuk ahli syurga?’ Rasulullah menjawab : ‘Ya benar.’ Aku bertanya lagi : ‘Tanpa diseksa dahulu?’ Baginda menjawab : ‘Ya, sesuka hatimu.’
Syeikh Abdul Qadir As-Syadhili pernah bertanya : ‘Wahai tuan guru, berapa kali tuan berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. dalam keadaan jaga?’ Imam Suyuti menjawab : ‘Lebih 70 kali.’
Imam Suyuti wafat di Kaherah, Mesir tahun 911 Hijriyah