Lagi serangan bom di Afghanistan
Seorang lelaki tempatan mengutip serpihan letupan di kawasan insiden yang dipenuhi darah mangsa.
KABUL - Seorang pengebom berani mati dipercayai memakai pakaian seragam polis meletupkan dirinya, menyebabkan sekurang-kurangnya 14 terbunuh, termasuk tiga pegawai polis dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di bandar Khost, timur Afghanistan, semalam.

Menurut saksi, sasaran dilakukan ke atas konvoi pasukan keselamatan Nato tempatan berhampiran ibu pejabat polis.

Jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (Isaf) mengesahkan, tiga askar Nato meninggal dunia, tetapi tidak menjelaskan butiran insiden berkenaan.

Lebih 58 orang awam dilaporkan cedera selepas terkena serpihan letupan kuat di kawasan pasar dan menurut pegawai hospital, selain anggota Nato seramai enam penduduk awam turut maut.

"Kira-kira jam 8.30 pagi (waktu tempatan), seorang pengebom berani mati menggunakan sebuah motosikal menyasarkan sekumpulan anggota peronda di kawasan sibuk bandar," kata pegawai gabenor wilayah.

Letupan berlaku sehari selepas Nato mengumumkan pertempuran antara tentera kerajaan campuran dan sekutu Afghanistan telah membunuh askar Isaf, seorang kontraktor awam dan tiga tentera darat tempatan.  - Al-Jazeera