Pages

Tuesday, December 18, 2012

52 terbunuh insiden keganasan di 3 negara


Foto
Di Afghanistan: Penduduk berdiri berhampiran mayat kanak-kanak perempuan yang terbunuh akibat letupan periuk api di Jalalabad semalam.

Foto
Di Pakistan: Pekerja penyelamat memungut cebisan mayat mangsa serangan bom.


Di Iraq: Seorang budak lelaki meninjau kemusnahan akibat letupan bom berkembar di wilayah Kirkuk semalam.

Angka korban di Afghanistan, Pakistan, Iraq dijangka meningkat



JALALABAD: Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak perempuan terbunuh apabila periuk api meletup ketika mereka mencari kayu api di wilayah Nangarhar di timur Afghanistan semalam, kata pegawai.
“Kanak-kanak berkenaan, berusia antara sembilan dan 11 tahun, meninggal dunia apabila salah seorang daripada mereka secara tidak sengaja mengetuk periuk api itu dengan kapak.

“Sisa tinggalan periuk api sejak zaman memerangi tentera Soviet pada tahun 1980-an meletup, membunuh 10 kanak-kanak perempuan dan mencederakan dua lagi,” kata gabenor daerah Chaparhar, Mohammad Sediq Dawlatzai.

Ditanam musuh

Jurucakap kerajaan Nangarhar, Ahmad Zia Abdulzai, bagaimanapun berkata, periuk api itu ditanam oleh musuh Afghanistan, merujuk kepada Taliban, walaupun ia sudah agak lama berada di situ.

Dawlatzai berkata, mangsa mencari kayu api awal pagi sebelum menuju ke sekolah. “Kebanyakan mayat berkecai sehingga sukar dikenali,” katanya.

Sejak 1989, apabila Soviet berundur selepas pencerobohan tentera selama 10 tahun, hampir 700,000 periuk api dan lebih 15 juta lagi tinggalan bahan letupan sejak peperangan selama berdekad dimusnahkan, menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Di PAKISTAN, sebutir bom kereta membunuh 17 orang termasuk wanita dan kanak-kanak dan mencederakan berpuluh yang lain apabila ia meletup berhampiran sebuah perhentian bas di sebuah pasar di Jamrud, barat laut Pakistan, semalam, kata polis.

Letupan bom terbabit membunuh dan mencederakan penduduk yang menunggu bas untuk ke barat laut dan beberapa bahagian lain di negara itu, kata pihak berkuasa.

Darah memenuhi jalan

Darah dan cebisan daging mangsa memenuhi tepi jalan selain sekurang-kurangnya 20 kenderaan terbakar, kata seorang pemberita AFP. Pakaian, buku sekolah, kasut kanak-kanak dan burqa turut kelihatan bertaburan.

Jamrud adalah kawasan di daerah Khyber yang menjadi sebahagian daripada wilayah separa autonomi di sempadan Afghanistan. Taliban dan kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda lain, mempunyai kubu kuat di kawasan terbabit.

“Seramai 17 orang terbunuh dalam letupan itu. Sebanyak 14 mayat dibawa ke hospital manakala tiga lagi yang mengalami kecederaan dibawa ke Kompleks Perubatan Hayatabad, di Peshawar,” kata Dr. Sameen Jan Shinwari di ibu pejabat hospital itu di Jamrud.

Di IRAQ, Siri serangan menyasarkan pasukan keselamatan Iraq dan orang awam menyebabkan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh, kata pihak berkuasa dan kumpulan perubatan sehari sebelum ulang tahun pertama pengunduran tentera Amerika Syarikat.

Keganasan berlaku selepas siri serangan membunuh 19 orang dan mencederakan 77 yang lain kelmarin. Kejadian semalam paling banyak menyebabkan kematian di Iraq sejak 29 November apabila 50 orang terbunuh. - AFP

No comments: